Sunday, January 7, 2024

Cerpen : Sesuatu Janji


Jarum jam telah menginjak ke angka satu. Mereka yang hadir ke masjid itu sudah mengipas-ngipas diri kerana kepanasan. Tok kadi sudah beberapa kali membetulkan duduknya. 


“Mana pengantin perempuan ni, Tuan Haji? Dah tiga jam kita tunggu,” tanya imam masjid. “Janjinya, mereka nikah selepas solat dhuha. Ini waktu Zuhur pun dah nak masuk.” 


“Sabar ya, imam. Pihak kami pun sedang cuba hubungi pengantin perempuan ,” jawab bapa pengantin lelaki. Sebleh mungkin dia cuba menyembunyikan resahnya, namun kelihatan juga. 


“Bukan apa, Tuan Haji. Hari ni jadual tok kadi kita ni padat. Lepas Zuhur, dia nak kena nikahkan pengantin lain pula,” imam menjelaskan keadaan sebenar. “Maklumlah, ramai nak nikah hari ni sebab tarikhnya cantik.” 


“Saya faham, imam. Tapi…,” kata-kata pengantin lelaki mati apabila seorang lelaki datang dan membisikkan sesuatu di telinganya. Air mukanya berubah serta-merta, menarik perhatian imam. “Ada apa yang tak kena ke, Tuan Haji?” 


“Saya nak jumpa dengan anak saya kejap,” tergesa-gesa lelaki itu bangkit dari duduknya dan mendapatkan pengantin lelaki yang berada tidak jauh daripadanya. “Apa yang terjadi sebenarnya? Amar?” 


“Sebenarnya… sebenarnya…,” tergagap-gagap Amar yang duduk di sebelah pengantin lelaki itu apabila namanya dipanggil. “Aduh, macam mana nak cakap ni?”


“Apa yang dah jadi sebenarnya ni? Kenapa Dina tak datang-datang ni? Faris? Amar?” 


“Kami tak dapat telefon keluarga Dina. Jadi kami… Yaya ke rumah dia untuk cari dia.” 


“Lepas tu?” 


Yaya yang berada di sebelah Amar hanya mendiamkan diri. Meningkatkan resah di hati bapa. “Yaya!” 


“Tak ada orang kat rumah inap yang dia sewa tu!” 


“Apa?” si bapa sudah pegang dada. “Apa yang kau cakap ni, Yaya?” 


“Masa saya sampai tadi, memang ada orang. Tapi tu tuan rumah inap tu. Dia cakap…,” Yaya pandang pengantin lelaki. “Dia cakap, Dina batalkan tempahan rumah tu dua hari lepas.” 


“Habis tu, dia ke mana?” 


“Saya tak tahu. Saya pun masih cari dia….” 


Deringan telefon membuatkan perhatian mereka teralih seketika. Pantas Yaya menjawab panggilan tersebut dan memasang mod pembesar suara. “Helo, Dina?” 


“Yaya, aku nak cakap dengan ayah Faris.” 


“Kau cakap je. Aku dengar semuanya.” 


“Pakcik, saya nak batalkan pernikahan ni.”


“Apa?” suara lelaki itu bergema di ruangan masjid itu. “Kau sedar tak apa yang kau cakap ni? Kenapa kau buat macam ni dengan keluarga aku?” 


“Maafkan saya, pakcik. Saya terpaksa.” 


“Tapi kenapa…!” talian dimatikan sebelum sempat dia menghabiskan pertanyaannya. Dia memandang Faris yang sudah merah matanya. Jemputan di sekelilingnya sudah berbisik sesama sendiri. Tidak lama selepas itu, Faris menerima mesej ringkas daripada Dina.


‘Aku hanya ingin melunaskan sesuatu janji.’


“Dina….” 


***** 

“Saya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Puan Mila sebagai katerer kami,” ujar Dina, tulus dalam bicaranya. 


“Saya yang patut cakap macam tu,” balas Puan Mila. “Tak sangka, orang yang dah banyak pengalaman dalam bidang pengurusan majlis perkahwinan macam Cik Dina sanggup bekerjasama dengan kami yang baru setahun jagung ni.” 


“Saya macam Puan Mila dulu, masa mula-mula dalam bisnes ni. Saya diberi peluang untuk bekerjasama dengan syarikat lain. Sekarang saya cuma membalas budi syarikat tu dengan menawarkan peluang pada orang macam Puan Mila pula.” 


“Bagusnya. Saya terinspirasi,” Puan Mila senyum. “Nanti bila saya dah berjaya macam Cik Dina, saya akan buat macam mana Cik Dina buat sekarang. Memberi peluang kepada orang lain untuk mengeluarkan potensi mereka dan berjaya.” 


“Insya Allah. Dengan izin Allah.” 


“Baiklah. Banyak benda yang saya harus buat untuk pastikan kerjasama kita ni berjaya. Jadi, saya harus mulakan sekarang. Saya minta diri dulu.” 


Puan Mila berselisih dengan Jaja di muka pintu. Dina hanya memerhatikan langkah wanita itu dengan ekor matanya. Kemudian dia memandang Jaja yang tersenyum. “Kau dah kenapa?” 


“Itu bukan Puan Mila dari BZM Catering ke?” tanya Jaja, sedikit teruja. “What do I miss?” 


“Kolaborasi,” Dina kembali membelek fail di hadapannya. “Kami dah bersetuju untuk bekerjasama dalam tempoh tiga tahun.” 


“Kenapa tiga tahun? Kenapa bukan lima tahun?” 


“Kontrak aku. Suka hati aku la. Kau sibuk kenapa?” tergelak Jaja mendengar respon Dina. “Kau jangan garang sangat, Dina. Nanti…” 


“... ada yang lari? Gitu?” balas Dina laju. Dia ketawa kecil. “Tak garang pun ada yang lari, Jaja. Macam mana tu?” 


“Eh…,” Jaja baru tersedar sesuatu. “Aku minta maaf, Dina. Aku tak bermaksud…” 


“Tak apa. Aku faham,” balas Dina cepat. “Bukan kau je. Ramai lagi yang cakap macam tu. Aku dah biasa.” 


“Kau masih belum lupakan apa yang dah jadi lima tahun lepas tu ke?” tanya Jaja Penuh hati-hati. Dina tutup fail di hadapannya perlahan dan pandang wajah Jaja dalam-dalam. “Kau rasa?” 


“Aku mana tahu apa yang kau rasa,” jawab Jaja. “Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, kan? Tapi aku kagum, kau dapat bangkit dan berjaya macam sekarang ni.” 


“Dina senyum. “Kebangkitan dimulai dengan keyakinan. Dan keyakinan dimulai dengan kemahuan. Aku mahu bangkit, dan aku yakin aku mampu bangkit. Dengan izin Allah.” 


Jaja senyum. “Eh, aku lupa. Sebenarnya aku nak ajak kau keluar makan. Dah tengah hari dah ni.” 


“Maaflah. Aku ada temujanji dengan pelanggan hari ni. Dalam waktu sekarang ni la. Lain kali la kita keluar makan, okey?” 


“Yalah yalah. Sibuk benar kawan aku sorang ni. Mengalahkan Perdana menteri,” komen Jaja membuatkan Dina tergelak. Mereka terus berborak sehingga… 


“Assalamualaikum,” satu suara membuatkan mereka serentak menoleh ke arah pintu. Sebentar kemudian Dina dan Jaja sama-sama tergamam.


“Faris?” 


***** 

“Aku akan berkahwin tidak lama lagi.” 


“Selepas lima tahun? Jadi?” 


“Kawan aku cadangkan syarikat ni untuk jadi uruskan majlis perkahwinan aku nanti. Tak sangka aku yang kau kerja di sini.” 


“Pembetulan. Dia bukan setakat kerja di sini. Dia pemilik syarikat ni. Tak nampak tu?” laju jari dituding pada papan tanda di pintu. “Mardina Saffiyah, pengarah urusan.” 


“Dah kenapa kau yang menjawab semuanya ni?” geram pula Faris melihat telatah Jaja. “Apa dia dah bisu ke?” 


“Ha, tu la kau. ak ambil tahu perkembangan semasa,” balas Jaja selamba. “Aku sekarang ni dah jadi jururawat… eh, salah!” 


“Jaja…”


“Aku jadi jurucakap tak rasmi dia sekarang ni,” teguran Dina langsung tidak dipedulikan. “Apa-apa soalan, terutamanya daripada kau, harus ditapis oleh aku dulu. Mengerti?” 


Dina menghela nafas halus. “Saya berbesar hati kerana encik memilih syarikat ini sebagai pengurus majlis perkahwinan encik. Kami akan buat yang terbaik.” 


“Encik?”

“Dina!” 


“Dia klien aku, Jaja,” senyuman manis terukir apabila memandang wanita itu, sebelum pandangannya beralih ke arah Faris. Lelaki yang pernah menjadi suaminya dahulu. 


“Silakan duduk. Kita bincang dengan lebih lanjut.” 


“Kalau macam tu, aku pergi makan dulu la.” 


“Jaja, teman kami boleh?” pinta Dina.”Tak manis rasanya hanya kami berdua di sini. Walaupun pintu terbuka, tirai pun dah ditarik, aku masih kurang selesa. Lagipun, kau jurucakap aku, kan?” 


Jaja duduk kembali sambil geleng kepala. Sedikitpun dia tidak masuk campur dalam perbincangan antara Dina dan Faris. Dalam diam, dia mengagumi wanita itu dalam cara dia menghadapi lelaki yang pernah dicintainya. 


Masih cintakah dia pada lelaki ini? 


“Setakat ini, ada apa-apa yang perlu ditambah?” suara lembut Dina mengembalikan Jaja ke dunia realiti. Terangguk-angguk kepala Faris. “Rasanya dah cukup ni.” 


“Baik. Pihak saya akan memulakan tugas dalam sehari dua lagi. Apa-apa hal, saya akan hubungi encik balik. Encik boleh dihubungi setiap masa, kan?” 


“Baik, saya minta diri dulu,” Faris terus bangun dan meninggalkan bilik itu. Dina dan Jaja berpandangan sesama sendiri sebelum… “Aku lapar.” 


Terhambur tawa Jaja. “Itulah kau. Kuat sangat kerja. Dah, jom pergi makan.” 


“Jom. Aku belanja.” 


“Cantik!” Jaja tepuk tangan gembira. “Tapi aku nak ke tandas sekejap. Kau boleh tunggu kat dalam kereta?” 


“Boleh.” 


Dina menyanyi kecil sementara menunggu Jaja di dalam kereta. Ketika telefon pintarnya menjerit nyaring, dia terus menjawab tanpa melihat skrin. “Lamanya, Jaja. Kau guna tandas ke, buat tandas?” 


‘Dina,” suara garau di hujung talian membuatkan dia tergamam. Tangannya menggigil. Wajahnya pucat bagaikan tidak berdarah. 


“Faris?” 


***** 

“Faris ajak jumpa?” tanya Jaja. “Tak puas ke jumpat kat pejabat? Nak jumpa juga kat luar? Nanti kalau bakal isteri dia nampak, tak ke haru?”


Dina tidak menjawab. Dia menghabiskan makanannya. “Kau tak nak makan ke? Kenyang lepas dengar cerita aku ke macam mana ni? Aku habiskan lauk ni karang.”


“Bukan macam tu,”Jaja senget bibir. “Kau tinggalkan dia pada saat akad nikah hampir berlangsung, Dina. Dan selepas lima tahun, dia muncul balik dan kau kena uruskan majlis perkahwinan dia? Apa punya rumit kisah kau ni, hah?”


“Rumit pun, kisah aku. Bukan kisah kau. Tak payah kau nak serabut sangat,” ujar Dina. “Aku sendiri pun okey je dengan percaturan hidup aku. Dah kenapa kau asingkan udang tu pula?”


“Dia nak apa?”


“Mana la aku tahu. Aku belum jumpa dia lagi. Belum ada rasa nak jumpa dia pun,” balas Dina selamba. “Kau tak nak udang ni ke? Bagi aku je la. Membazir je.”


“Kau masih boleh fikir pasal makan?”


“Dah aku tengah lapar, nak buat macam mana,” balas Dina. “Aku makan udang ni karang, jangan pula kau merajuk sampai nak pergi Sabah! Tak ada kerja aku nak pujuk kau nanti.”


Bulat mata Jaja mendengarnya. “Kau!”


Dina ketawa.


“Kau memang tak mahu fikir pasal apa yang dia dah buat kat kau ke macam mana sekarang ni, Dina?” 


“Kalau kau terlalu fikir pun, kau boleh ubah ke apa yang dah terjadi dulu? Tak, kan? Jadi, kenapa fikir?” 


“Macam tu pun boleh ek?”


“Macam tu je la. Barulah hidup aku tenang. Bila hidup aku tenang, baru aku boleh bagi yang terbaik untuk bisnes aku. Kau kena ingat, Jaja. Aku masih ada staf yang aku perlu bayar gaji. Itu tanggungjawab aku.” 


“Oh…..,” muncung Jaja panjang sedepa. “Jadi kau terima ajakan dia tu?” 


“Memang taklah!” balas Dina pantas. “Kalau keluar dengan dia boleh menimbulkan fitnah, baik aku tolak. Aku tak nak terpalit gosip liar dan murahan, walaupun aku bukan artis.” 


“Wow, jawapan…,” kagum Jaja dengan jawapan Dina itu. “Aku pun tak terfikir sampai ke situ. Kalau aku la, dah lama aku buang dia dari kehidupan aku.”

Dina senyum. 


“Kau nak teruskan juga, uruskan majlis Faris ni?” 


“Kenapa tidak?” 


“Kalau orang lain tak apa tau. Ini Faris, Dina. Orang yang pernah hadir dalam hidup kau. Pernah ada dalam hati kau. Pernah berjanji untuk sehidup semati dengan kau.” 


“La, kau sendiri cakap. Pernah. Bukannya ‘masih’,” balas Dina selamba. “Hanya sebab dia pernah aku cinta, tak bermakna sekarang aku masih cinta. Am I right?” 


Jaja angguk perlahan. “Jadi jawapannya sekarang ni, ‘pernah’ atau ‘masih’?” 


“Dalam banyak-banyak soalan, kenapa itu?” 


***** 



“Sekarang ni semua persiapan berjalan dengan baik. Kami telah dapatkan pelamin, sesuai dengan permintaan encik,” beritahu Dina. “Kalau semuanya berjalan lancar, kita akan….”


“Tenang betul kau ya, berhadapan dengan aku,” bicara Faris menangkis tingkah Dina. Berkerut dahinya memandang lelaki itu. “Apa maksud encik?”


“Orang lain bila berhadapan dengan bekas kekasih, dia akan jadi tidak tentu arah. Tapi kau….,” Faris senyum sinis. “Seolah-olah kau tak pernah ada hati dengan aku.”


“Encik Faris ni macam nak menduga kesabaran saya je,” Dina balas dengan senyuman manis. “Kita berbincang tentang majlis perkahwinan encik, bukan pasal hubungan kita.”


“Hubungan kita,” Faris ketawa. “Jadi sekarang kau mengaku la yang kau dan aku pernah ada sesuatu dulu?”


“Apa yang encik cuba katakan ni?”


“Kau mengelak daripada aku, Dina. Kau tolak bila aku ajak keluar.”


“Encik hanya klien saya. Antara kita tidak ada apa-apa hubungan istimewa.”


“Dulu?”


“Maksud encik?”


“Apa hubungan kita dulu?”


“Kita?”


“Ya.”


“Encik nak tahu semuanya?”


“Ya.”


“Saya takkan bagitahu,” ujar Dina tenang, membangkitkan kemarahan Faris. “Kau…!”


“Sebaliknya, saya akan bagitahu siapa encik di mata saya lima tahun lalu,” pantas Dina memotong, membuatkan Faris terkedu. “Apa kau cakap?”


“Ya. Encik Faris di mata saya lima tahun lalu, adalah seorang lelaki yang saya tinggalkan pada hari pernikahan kita. 


“Bagus pun kalau kau masih ingat!” bentak Faris. “Kalau kau dah tak ada hati pada aku, cakap elok-elok. Bukan main tinggal macam tu je. Di masjid, pada majlis kita, saat semua orang ada! Apa kau ingat aku suka bila aku buat macam tu? 


“Yang tanggung malunya, aku. Yang hadap caci maki masyarakat, keluarga aku. Semuanya sebab kau, Dina!”


“Jadi awak datang sini untuk apa? Balas dendam? Nak malukan saya macam mana lima tahun lepas?” balas Dina berani. Dia melangkah setapak ke hadapan. “Awak dah lupa apa yang awak dah buat kat saya dulu?”


“Dina….”


*****

Hampir dua minggu sejak kejadian itu berlaku. Dan hampir dua minggu, Dina mengelak daripada bertemu dengan Faris. Segala urusan berkenaan perkahwinan lelaki itu diserahkan kepada stafnya. Dan setiap cubaan Faris untuk menemuinya berakhir dengan kegagalan. 


“Kau dah kenapa?”


“Apa?”


“Haritu kau cakap lain pasal Faris. Harini lain pula,” Jaja sandar tubuh pada kerusi. “Betullah. Kita memang akan diuji dengan apa yang kita percaya.”


Dina tidak menjawab, hanya menumpukan perhatian pada skrin komputer riba. Pernyataan Jaja langsung dipandang sepi. 


“Nasib baik la semua kerja hampir siap. Tak la staf kau terkontang-kanting menguruskan segalanya.”


“Diorang ada pengalaman. Aku percayakan diorang.”


“Tapi meninggalkan kerja separuh jalan macam tu bukan profesional namanya.” ulas Jaja. “Tak pernah aku tengok kau beremosi macam ni.”


“Mana ada la. Itu kan cara aku ajar staf aku,” suara Dina sedikit keras. “Jangan kau nak persoalkan pulak cara aku.”


“Bila masa pula aku cakap macam tu,” Jaja kerut dahi. Belum sempat dia bersuara lebih lanjut, telefon pintar Dina berbunyi nyaring. Melihatkan nama di skrin, Dina mengeluh kuat sebelum menjawab panggilan. “Ya, Sasha?”


“Cik Dina, Encik Faris tukar fikiran lagi,” jawapan Sasha di hujung talian buat Dina mengeluh kuat. “Dia nak apa lagi?” 


“Dia cakap, dia tak nak pelamin warna biru. Dia nak warna ungu,” balas Sasha. Dina terdiam. Warna ungu…


“Kita kahwin nanti, awak nak pelamin warna apa?” tanya Faris ketika mereka menghadiri majlis perkahwinan salah seorang rakan mereka. Dina yang sedang menikmati makanan menoleh dengan mulutnya penuh makanan. “Hah?” 


“Kalau iya pun, habiskanlah makanan tu dulu,” Faris senyum melihat tingkah Dina. Dia kembali memandang ke hadapan, memandang sepasang mempelai yang cantik bersanding di atas pelamin. “Kalau warna ungu, kan elok.” 


“Hah?”


“Cik Dina.” pecah kenangannya mendengar suara Sasha. “Ya, saya dengar. Awak sendiri tahu, kita tak ada pelamin macam tu. Sampaikan pada Encik Faris macam tu juga la.” 


“Saya dah bagitahu banyak kali, Cik Dina. Dia masih nakkan pelamin warna ungu,” balas Sasha. “Macam mana ni? Dia cakap, kalau permintaannya tak dipenuhi, dia akan batalkan kerjasama kita.” 


“Main ugut-ugut pula,” rungut Dina. “Tak apalah, kita akan usahakan. Nanti dapatkan gambaran daripada Encik Faris ya.”


“Pelamin warna ungu? Pelik.”


“Farsi tu memang pelik.” 


“Tak, kau yang pelik,” balas Jaja. Dina kerut dahi. “Apa maksud kau?”


“Aku baru perasan, kau tak pernah ada pelamin warna ungu. Kenapa ya?”


Dina telan liur. 


***** 



“Nama saya Azian. Boleh saya jumpa dengan awak?” 


Mesej yang diterima sedikitpun tidak menganggu Dina. Dia meneruskan kerjanya seperti biasa. Malah mesej itu dipandang sepi. Langsung dia terlupakan mesej tersebut sehinggalah…


“Ini berkenaan Faris. Penting. Kita perlu jumpa.” 


Faris? Dina kerut dahi. Sejak peristiwa itu, dia belum bertentang mata lagi dengan lelaki itu. Malah, segala urusan pernikahannya diuruskan Sasha meskipun semakin hari ulahnya semakin menyebalkan. 


Lalu apa perlunya dia bertemu kerana Faris lagi? 


“Maaf. Kalau berkenaan urusan majlis Faris, Cik Azian boleh berurusan dengan Sasha, staf saya.” 


“Ini bukan tentang majlis Faris. Ini tentang Faris sendiri. Tentang apa yang berlaku kepada dia sebelum ni.” 


“Saya tak faham.” 


“Awak Dina, tunang Faris yang dia tinggalkan pada hari pernikahan kalian lima tahun lepas kan?” 


Bulat matanya membaca mesej Azian. Siapa dia ni? Macam mana dia tahu pasal aku? Kenapa aku tak pernah kenal dia sebelum ni? 


“Awak siapa?” 


“Sebab itulah saya perlu jumpa awak. Untuk saya jelaskan hal yang sebenar.” 


“Kau rasa macam mana, Jaja?” tanya Dina apabila mereka bertemu untuk makan tengah hari. Untuk pertama kali, Jaja diam seribu bahasa. Bukan kebiasaannya. 


“Tak payah la jumpa dia ni, Dina. Buang masa kau je nanti.” 


“Aku pun rasa macam tu,” balas Dina. “Tapi, macam mana kalau ada sesuatu yang betul-betul penting?” 


“Kalau betul-betul penting, dia dah telefon kau dah. Ini main mesej je. Dia ingat kita ni tak ada kerja lain nak buat?” 


“Aku ada la kerja. Kau tu, asyik datang sini je. Tak takut ke bos kau cari?” 


“Bukan kau ke yang cari aku tadi?”


“Itu tadi. Sekarang tak,” Dina sudah masuk mood ingin bergurau. “Sekarang aku dah tak perlukan kau dah. Pergi main jauh-jauh. Syuh.” 


“Sampai hati kau halau aku sebegini rupa,” Jaja pula sudah masuk mood drama. “Biarlah aku membawa diri. Melayan rajuk di hati.” 


“Merajuklah kau. Lepas lima minit, datang sini balik ya.” 


Pecah tawa mereka berdua. Seketika hening suasana. Masing-masing termenung memikirkan sesuatu. 


“Kau nak jumpa dia ke? Azian tu?” 


Dina diam membisu. 


***** 

“Azian?” panggilan itu buat gadis itu tegak kepalanya. Senyuman terukir apabila melihatkan wanita itu di hadapannya. “Dina ya? Duduklah.” 


“Nak pesan makanan apa?”


“Tak apa. Saya tak lapar.” 


“Minum?”


“Kenapa beria sangat nak jumpa saya ni?” ujar wanita itu sebaik dia melabuhkan duduknya. “Cepatlah. Saya tak ada masa ni. Lebih-lebih lagi pasal Faris.” 


“Baik, alang-alang awak dah sebut nama dia. Baik saya berterus terang je,” Azian hirup sedikit minuman di hadapannya. “Apa yang awak dah buat pada Faris?” 


“Buat apa?”


“Baik awak mengaku je.” 


“Saya tak faham dengan apa yang awak cakap ni,” wanita itu sudah tidak senang duduk. “Apa pun tuduhan awak, itu terlalu berat untuk saya.” 


Azian senyum. 


“Apa yang awak cuba cakap ni?” 


“Mengaku sajalah, awak yang kenakan sihir pada Faris. Kan, Dina? Or, should I call you Jaja?”


Gadis itu telan liur. “Kau tahu aku hanya menyamar sebagai Dina.” 


“Dari awal lagi. Aku cuma nak tengok sejauh mana kau sanggup menipu.” 


Jaja mendesis. “Kau bukan siapa-siapa, nak masuk campur urusan mereka berdua.”


“Kau pun sama.”


“Aku kawan Dina.”


“Kawan yang makan kawan?” tebak Azian. “Let me guess. Kau sebenarnya suka kat Faris, kan? Sebab tu kau hantar sihir pemisah, supaya Faris bencikan Dina dan sukakan kau?”


“Apa kau merepek ni?”


Azian bersandar di kerusi. “Faris pergi berubat lepas Dina tinggalkan dia di majlis mereka. Ustaz yang ubatkan Faris bagitahu, kawan Dina yang hantar benda tak elok sebab dia sukakan Faris. Dan kau…” jari telunjuk dituju pada Jaja. “... kau kawan baik Dina.”


“Zaman sekarang ni, scammer ramai. Ustaz penipu pun sama naik. Takkan kau percaya cakap ustaz tu? Dia cakap depan kau ke?”


“Dia tak cakap pada aku. Faris yang ceritakan semuanya.”


“Kau percaya cakap Faris?”


“Kenapa tidak? Dia tunang aku.”


“Kau percaya cakap lelaki yang rajin menanam tebu di bibir tu? Lelaki yang mesranya pada semua wanita, di saat dia masih bercinta dengan Dina?”


“Apa kau cakap ni?” Jaja sembunyi senyum melihat reaksi Azian. Sudah tidak senang duduk. Senjata makan tuan!


“Baik aku berterus terang sajalah ya.” Jaja berdehem seketika. “Faris, yang pada pandangan kau tu, yang baik hati, solat tak tinggal, pergi masjid setiap hari, sebenarnya pernah ajak aku tidur dengannya.”


“Apa?”


“You heard me right,” Jaja angguk perlahan. “Dan sebenarnya, punca Dina tinggalkan Faris pada hari pernikahan mereka, hanya satu. Dia cuma nak Faris rasa apa dia rasa dulu. Cinta Dina pada Faris dah mati, ketika Faris tinggalkan Dina setelah hamilkan dia.”


Azian rasa sesak nafas! 


*****


“I dah tiga bulan tak datang bulan,” adu Dina. Suapan Faris terhenti. Gadis di hadapannya dipandang tepat. “Apa you cakap?”


“I dah tiga bulan tak datang bulan.”


“Jadi?”


“You!” marah pula Dina dengan reaksi lelaki itu saat ini. “Biasanya kalau perempuan tak datang bulan, apa maksudnya?”


“Kawan I tak kahwin pun, ada masa tak datang bulan. Lama pula tu. Apa masalahnya?”


“Kawan you tu memang ada masalah. I ni sihat walafiat,” Dina mendengus kasar. “I dah buat ujian kehamilan pagi tadi. Keputusannya positif.”


“Maksudnya?” 


Dina tepuk dahi. Apa yang membuatkan Faris bingung macam ni? “I mengandung, sayang.”


“Anak siapa?” 


“Anak you!” suara Dina sedikit tinggi. “You ingat I ni macam you ke?” 


“Okey, okey,” Faris cuba meredakan suasana. “Sekarang ni you nak I buat macam apa?”


“You kena bertanggungjawab.”


“Gugurkan anak ni?”


“Faris!”


“I muda lagi, Dina. I belum puas menikmati dunia,” balas Faris. “I ada cita-cita yang I nak kejar. Masa depan I gelap kalau I ada anak sekarang!” 


“You fikir masa depan you je. Habis tu, I?” Dina sudah bergenang air mata. “I ni tak ada cita-cita? Tak ada impian? Tak ada masa depan?”


“Sebab tu la I nak kita gugurkan anak ni,” pujuk Faris lagi. “Untuk kebaikan kita bersama.” 


“No,” tegas Dina. “Sudah cukup besar dosa kita lakukan dengan berzina, Faris. I tak nak tambahkan lagi dengan bunuh anak ni.”


“Kita bukan bunuh orang. Kita gugurkan kandungan you je,” Faris hela nafas berat. “Apa yang susahnya?”


“Susah, sebab hukumnya sama seperti membunuh!” Dina sudah tidak mampu bertahan lagi. “Kita kahwin, ya?”


“Bagi I fikir dulu,” Faris bangkit dari duduknya. “You tunggu kat sini dulu. I pergi tandas sekejap. Nanti I hantar you balik ya.” 


“Baik,” Dina kesat air mata. Dan setia dia menunggu kembalinya Faris, sehinggalah restoran itu hampir menamatkan operasinya.


“Sampai hati you, Faris….” 


***** 


"You left me when I need you the most, so why can't I do the same to you? Adil kan?"


“Sampai hati awak buat saya macam ni.”


“And you came when I lost everything,” balas Dina tanpa mempedulikan kata-kata Faris. “Okey la tu. Kosong-kosong, kan?”


“Kenapa awak bagi Jaja bagitahu semuanya pada Azian?” Faris masih tidak berpuas hati. “Sebab tu, Azian nak putus tunang dengan saya!”


“I got nothing to lose. Therefore, I got nothing to hide,” balas Dina datar. “Apa yang terjadi antara awak dan Azian tak ada kena mengena dengan saya.”


“Kau…,” Faris kepal penumbuk kuat. “Kau memang saja nak balas dendam pada aku kan? Cakap je la!”


“Kejap kau, kejap awak, kejap you…boleh tetap sikit tak pendirian tu?” Dina meluah geram. “Untuk pengetahuan awak Encik Faris, dendam saya dah terbalas masa saya tinggalkan awak pada majlis pernikahan kita. Jadi apa yang berlaku sekarang ni, bukan tanggungjawab saya lagi.”


“Kau…”


“Memandangkan encik dah putus tunang, saya rasa persiapan majlis ni tak perlu diteruskan lagi. Saya akan kembalikan bayaran yang dah dibuat sebelum ini,” potong Dina cepat. “Saya ada mesyuarat ni. Kalau encik tak ada apa-apa lagi…” 


Faris tidak tunggu lama di bilik itu. Hampir sahaja dia berlanggar dengan Jaja yang baru tiba. Terangkat kening gadis itu memandang mereka berdua. 


“Ada drama Samarinda ke yang aku terlepas?” 


Dina ketawa kecil. Dia teringat peristiwa lima tahun lepas, ketika dia ditinggalkan Faris. Tidak lama selepas itu, dia terjatuh di bilik air, menyebabkan kandungannya tidak dapat diselamatkan. Jaja adalah orang yang menjaganya ketika dia berpantang, dan setia bersamanya sehingga kini.


“Terima kasih, Jaja.”


“Lah, kenapa pula?”


“Sebab selalu ada dengan aku.”


Jaja sengih. “Nanti aku hantar invois ya? Untuk perkhidmatan aku selama lima tahun ni.”


Dina ketawa besar. 


TAMAT