Langkah Azrin laju diatur melintasi jalan raya. Bangunan
yang tersergam indah di hadapan mata dimasuki pantas. Orang ramai yang memenuhi
ruang legar bangunan itu tidak diendahkan. Mata dan mindanya bersatu, ingin
mencari insan tersayang yang dikhabarkan ada di dalam bangunan itu.
“Azrin!” panggilan itu buat Azrin menghentikan langkahnya
spontan. Dia menoleh lalu senyum melihat orang yang memanggilnya tadi.
“Abang Besar,” panggil Azrin hormat. Lalu tangan lelaki itu
dicium. “Lama tak jumpa. Abang Besar sihat?”
“Sihat,” Abang Besar pandang Azrin atas bawah. “Tapi tengok
kamu yang berlari macam tak cukup nafas ni buat Abang rasa kurang sihat pula.
Kamu ni nak kejarkan apa? Atau, dikejar sesuatu?”
“Eh, tak adalah, Abang,” pantas Azrin menafikan. Bukan boleh
percaya sangat Abang Besar ni. Silap hari bulan dia kata kita kena ikut dengan
makhluk halus pula. Meremang bulu roma Azrin apabila memikirkannya.
“Habis tu?” tanya Abang Besar mematikan lamunan Azrin. Dia
sengih. “Nak cari Syakirah.”
“Dia datang ke sini ke hari ni?” tanya Abang Besar. Azrin
angguk. “Dia bertugas hari ni.”
“Dah tu, yang dok kejar dia tu kenapa? Dah sah-sah dia ada
kat situ. Takkan lari punya,” ujar Abang Besar selamba. Azrin senget bibir. Ada
nada perli di situ!
“Dah, jangan nak buat muka comel kat sini. Jom. Abang pun
nak ke sana,” ajak Abang Besar. Azrin akur. Mereka berjalan beriringan ke dewan
di mana program motivasi kegemaran mereka dijalankan.
“Syakirah ada?” Azrin terkejut dengan pertanyaan itu. Abang
Besar menjelingnya sambil angkat kening. Ni tak ada kerja lain, nak mengenakan
akulah tu!
“Ada, kat dalam dewan. Kenapa?” jawab gadis manis yang
bertugas di luar dewan itu.
“Ada orang tu, tak cukup tanah pula dia berlari cari teman
wanitanya. Macam la kesayangan dia tu nanti lari cari orang lain!” Azrin
sengih. Dah agak dah! Gadis itu senyum.
“Nanti awak boleh cari dia. Sekarang ni dia tengah bertugas,
baik jangan kacau dia,” nasihat gadis itu. Azrin angguk, lalu dia melangkah ke
bilik air. Dibiarkan sahaja Abang Besar dan gadis itu berbual.
“Syakirah.”
“Opocot mak kau!” melatah gadis itu apabila disergah
sebegitu rupa. “Azrin! Jangan la buat saya macam tu. Hari-hari macam ni boleh
sakit jantung saya!”
Azrin hanya sengih. Mengundang rasa hairan di hati gadis
itu. “Ni dah kenapa ni?”
“Saya dah dapat kerja.” Bersinar-sinar mata Azrin apabila
memberitahu khabar gembira itu. Sekaligus mengundang senyum riang di bibir
Syakirah.
“Betul ke ni?”
“Betul. Syarikat yang saya pergi temuduga minggu lepas
telefon saya tadi. Dia kata saya boleh mula kerja minggu depan,” beritahu Azrin
ceria.
“Tahniah! Kerja rajin-rajin yea. Jangan menggatal. Kalau
tak, siap!” sempat lagi Syakirah memberi amaran. Azrin ketawa.
“Insya Allah, tak. Dan, saya nak kotakan janji saya,” Azrin
mengeluarkan sesuatu dari poketnya. Syakirah terpana. Kotak cincin!
“Saya pernah cakap dulu, kalau saya dapat kerja, saya akan
masuk meminang awak,” ujar Azrin, sedikit gugup. “Jadi, bila mak saya boleh
sarungkan cincin ni kat awak?”
“Bila-bila masa pun boleh!” jawab Syakirah teruja. Suaranya
yang sedikit kuat menarik perhatian orang ramai. Rakan-rakan Syakirah datang
menghampiri mereka.
“Wah, cantiknya cincin!”
“Korang dah nak bertunang ke? Tahniah!”
“Bila nak kahwin?”
Azrin dan Syakirah malu-malu alah menerima segala soalan
maut daripada rakan-rakan mereka. Kehadiran seorang wanita ke dalam dewan itu
langsung tidak diendahkan. Sehinggalah…
“Maaf ye, orang luar tidak
dibenarkan masuk.”
“Oh, maaf yea, dik. Saya sebahagian daripada program ini
juga,” jawab wanita itu sambil menunjukkan kad akuan. Gelagatnya dikesan Abang
Besar.
“Nina!”
Panggilan itu buat Azrin tersentak. Lantas dia menoleh. Demi
melihat wajah wanita yang dipanggil Nina itu, Azrin perlahan berdiri. Menarik
perhatian Nina yang sedang berjalan menghampiri Abang Besar.
“Apa khabar, Azrin?”
“Er, baik,” Azrin menjawab perlahan. Dia hilang kata-kata
saat bertemu kembali dengan wanita itu. Syakirah yang sedang duduk di
sebelahnya tidak diendahkan. Dalam diam, gadis itu menjeling ke arah Nina yang sedang berbual mesra dengan
Abang Besar.
*****
“Apa?” tanya Azrin bagaikan tidak percaya. Berita yang
diterimanya ini benar-benar menggoncang imannya. Mujur juga Nina tiada di situ.
Kalau tidak…
Sofian angkat bahu. “Itu yang aku dengar. Betul atau tidak,
aku tak tahu.”
“Patutlah sejak akhir-akhir ni Nina susah sangat untuk
dihubungi. Rupa-rupanya ada rahsia besar yang disimpan!” Azrin mengepal
tangannya. Marah!
“Er, bro. sabar sikit,” Sofian mula cuak dengan tindakan
Azrin itu. Bukannya dia tidak tahu, baran Azrin itu bagaimana. Silap hari
bulan, dia yang makan penampar.
“Nak sabar macam mana lagi?” suara Azrin mulai tinggi.
“Siapa yang mampu sabar bila teman wanita sendiri ada hubungan sulit dengan
lelaki lain sampai hamil anak luar nikah?”
“Er…,” Sofian diam. Tidak tahu apa yang patut dikatakannya
lagi.
“Kau tahu dengan siapa dia berskandal selama ni?” tanya
Azrin serius. Sofian angkat bahu. “Itu je la yang aku tahu.”
Azrin tidak puas hati. Pantas tangannya laju mendail nombor
telefon Nina. Sebal hatinya apabila panggilannya tidak berjawab.
“Kurang ajar betul perempuan ni. Susu yang aku beri, tuba
yang dia balas. Kasih sayang yang aku curahkan, dia balas dengan
pengkhianatan!”
“Sabar, bro.”
“Nak sabar macam mana lagi?” suara Azrin semakin tinggi.
Menarik perhatian orang ramai dalam kafe itu. Lantas Azrin bangun dan melangkah
keluar.
“Kau nak pergi mana tu?” terkocoh-kocoh Sofian berlari
mengejar Azrin yang sudah sampai di pintu kereta.
“Aku nak pergi cari Nina. Aku nak penjelasan daripada dia.
Berani betul dia buat aku macam ni. Dia ingat dia siapa?”
“Aku ikut!” cepat-cepat Sofian meloloskan diri ke dalam
kereta Azrin. Lelaki ini bukan boleh percaya sangat. Di saat begini, Sofian
rasa perlu ada seseorang di sisinya. Menyesal pula dia memberitahu Azrin
tentang apa yang didengarnya. Kereta Azrin terus menderum menyusuri lebuhraya.
“Eh, bro. Kau tak boleh bawak laju lagi ke?” tanya Sofian
takut-takut. Dia menjeling sekilas. “140km/j! Kalau kau nak mati pun…!”
“Diam!”
“Okey…,” Sofian kecut. Dia tahu, darjah kemarahan Azrin
sudah sampai ke kemuncaknya.
“Aduh!” hampir terhantuk Sofian ke cermin kereta apabila
Azrin brek mengejut. Belum sempat Sofian berkata apa-apa, Azrin sudah melangkah
keluar dari kereta. Sofian mengeluh kasar lalu dia turut keluar.
“Nina! Nina!” panggil Azrin berulang kali. Namun panggilan
itu tidak bersahut. Sofian hampa. Namun tidak Azrin.
“Nina!!”
“Sudahlah tu, Azrin. Aku tak rasa dia ada kat rumah. Jomlah.
Nanti orang ingat kau ni orang jahat pula,” pujuk Sofian. Dia menarik perlahan
lengan lelaki itu.
“Aku tetap nak tunggu dia juga!” lengan Azrin ditarik kuat,
membuatkan Sofian terkejut. “Aku tetap nak tanya kenapa dia buat aku macam ni.”
Sofian bungkam. Sudah tidak tahu apa yang patut dibuat. Dia
akhirnya berdiri di sebelah Azrin sambil menyandar pada kereta. Sebentar
kemudian seorang wanita keluar dari rumah sebelah rumah Nina.
“Adik berdua ni, cari Nina ke?” tanya wanita itu.
“Ye kak. Kami contact dia, tak dapat. Kami pergi pejabat
dia, diorang kata dia dah berhenti kerja. Akak tahu tak mana dia pergi?” belum
sempat Azrin membuka mulut, Sofian sudah menjawab pertanyaan wanita itu. Azrin
menjeling tajam, namun Sofian buat tidak peduli.
“Adik berdua ni siapa?”
“Kami ni kawan dia. Ada urusan yang perlu kami selesaikan
dengan dia. Akak tahu dia ke mana?” sengaja Sofian mengulang pertanyaan tadi.
“Kalau tak silap akak, dia dah pindah keluar dua hari lepas.
Ada seorang lelaki yang datang jemput dia. Akak tak tau la dia pindah ke mana,”
jelas wanita itu.
“Apa?”
“Hei,” panggilan itu mematikan lamunan Azrin. Dia senyum
memandang Syakirah yang duduk di sebelahnya. “Fikir apa?”
“Tak ada apa-apa,” jawab Azrin perlahan sambal geleng
kepala. “Cuma teringat kisah lalu.”
“Kisah lalu dengan perempuan tu?” tanya Syakirah dengan nada
cemburu. Ekor matanya menangkap kelibat Nina sedang berbual dengan dua orang
urusetia program itu. Sesekali tawa manja keluar dari bibirnya. Meluat pula
Syakirah melihatnya.
“Sayang cemburu?” tanya Azrin dalam nada mengusik. “Jangan risau
la. Hati saya dengan awak je.”
Syakirah senyum. Namun hatinya tetap bimbang dengan
kembalinya Nina di sini. Apa lagi yang kau nak?
*****
“Awak,” panggil Nina pada satu petang. Ketika itu dia sedang
menemani Azrin mengulangkaji pelajaran di perpustakaan awam. “Saya nak tanya
sikit, boleh?”
“Tanyalah. Bukan kena bayar pun,” jawab Azrin acuh tidak
acuh. Matanya tertumpu pada buku dihadapannya. “Tapi jangan tanya saya tentang
apa yang saya tak tahu.”
“Apalah awak ni. Takkanlah saya nak tanya soalan macam tu,”
Nina senyum. “Erm, lepas habis belajar ni awak buat apa?”
“Balik rumah, mandi, solat, tidur,” jawab Azrin bersahaja.
“Hesh, bukan yang itu la,” Nina mendengus kecil. Dia
membetulkan duduknya. Mendengarkan itu, Azrin memandangnya. “Habis tu, awak nak
saya jawab macam mana?”
“Maksud saya… apa perancangan awak bila awak habis belajar
nanti. Bila awak dah dapat ijazah ni.”
“Hurm…,” Azrin meletakkan pen di atas meja. “Saya akan cari
kerja, beli kereta, beli rumah…. Saya dah bayangkan kunci kereta idaman saya
ada dalam genggaman saya. Wah, indahnya saat tu….,”
Nina tunduk. Cuba memujuk hati. Azrin jeling manja. “Tapi
sebelum tu, saya nak kahwin dengan awak, nak?”
“Hah?” spontan dia mendongak, mencari kepastian di mata
Azrin. Melihat anggukan lelaki itu, barulah dia senyum.
“Dah macam apa je senyum sorang-sorang,” tegur Abang Besar
mematikan lamunan Nina. Cepat-cepat dia membetulkan duduknya. “Abang dari mana
ni?”
“Tandas. Banyak makan tadi, tu yang banyak buang,” Abang
Besar ketawa kecil. Nina hanya senyum mendengar lawak Abang Besar yang tidak
berapa menjadi itu.
“Menungkan apa tadi tu?” tanya Abang Besar. “Kenangan
silam?”
“Kenangan lalu tak akan kembali lagi, Abang Besar,” jawab
Nina selamba. Abang Besar angguk perlahan.
“Dah lama Azrin dengan Syakirah tu bercinta?” tanya Nina.
Sekadar ingin tahu.
“Lama tak lama jugak la. Dalam dua tahun macam tu,” jawab
Abang Besar. “Kenapa? Cemburu?”
Nina senyum. “Siapalah saya ini untuk cemburukan diorang,
Abang Besar oi. Azrin berhak dapat wanita yang lebih baik dari saya.”
“Tapi awak pun berhak dapat lelaki yang baik juga, kan?”
suara Abang Besar berubah serius. Saat itu dia nampak kelibat Azrin yang datang
kepadanya.
“Abang, saya balik dululah,” Nina bangkit. Bulat mata Abang
Besar mendengarnya. “Eh, tunggulah dulu. Awak tu dah la lama tak jumpa kita,
datang pun sekejap je.”
“Tak apalah. Ada yang menunggu kat rumah tu,” Nina
melamparkan senyuman kepada Azrin namun tidak dibalasnya.
“Oh, Abang lupa pasal anak Nina,” Azrin telan liur mendengar
perkataan ‘anak’ itu. Namun dia buat muka selamba. “Siapa namanya?”
“Amalina. Nur Amalina Abdul Rahman,” jawab Nina. Senyumannya
masih tidak lekang dari bibirnya.
“Insya Allah, ada masa Abang sekeluarga akan datang ziarah,”
janji Abang Besar. Nina angguk, lalu melangkah pergi dari situ.
“Hati-hati di jalan!” pesan Abang Besar sedikit melaung.
Nina hanya angkat tangan tanda dia pesanan lelaki itu.
“Nama suami dia Abdul Rahman ke?” tanya Azrin sambil duduk
di sebelah Abang Besar. “Berapa umur suami dia tu?”
“Eh, dia ni! Kenapa beria-ia nak tahu pasal Nina tu? Ada
hati dengan dia lagi ke?” tebak Abang Besar rambang. Azrin telan liur.
“Tak adalah, Abang. Saje je nak tahu siapa yang dia lebihkan
sampai sanggup lukakan hati saya. Sampai hamil anak luar nikah,” luah Azrin.
“Jujur saya cakap. Saya dah hilang hormat dengan dia sejak dia curang dengan
saya tiga tahun lalu.”
Abang Besar hanya diam, tidak membalas kata-kata Azrin itu.
Seketika dia mengeluh kecil. Namun Azrin tidak mendengarnya.
*****
"Kenapa kau datang balik, hah? Kenapa kau datang, saat
aku tengah bahagia dengan Azrin? Kenapa kau nak hancurkan kebahagiaan aku
dengan dia? Kenapa?" Syakirah bersuara geram. Teddy bear di tangan diramas
sedari tadi.
"Siapa? Takkan Nina pulak? Kan dia hilangkan diri lepas
keluar cerita dia hamil luar nikah tu," tanya Nasuha, pelik. Nasuha
merupakan rakan serumah Syakirah.
"Ninalah! Siapa lagi?" balas Syakirah lantang.
Geram pula dia melihat Nasuha yang kelihatan blur. Nyata jawapannya benar-benar
membuatkan Nasuha terkejut.
"Kau biar betul?" tanyanya tidak percaya.
"Kau ada nampak muka aku ni main-main ke?"
"Kenapa dia datang balik?" tanya Nasuha sendiri.
Dia mengeluh. Setelah semua yang berlaku...
"Aku rasa terancam," luah Syakirah jujur.
"Aku takut Azrin masih lagi ada hati dengan Nina. Manalah kita tahu,
kan?"
"Kau tak percaya dengan Azrin ke?" tanya Nasuha
spontan. Soalan itu membuatkan Syakirah terdiam sendiri. Cepat-cepat dia
membetulkan duduknya.
"Bukan aku tak percaya dengan Azrin. Tapi aku tak
percaya dengan si Nina tu. Aku takut dia tu nanti goda Azrin," luah
Syakirah.
"Hesh, aku tak percaya la yang Nina akan buat macam tu,"
tanpa sedar, pandangan Nasuha membangkitkan kemarahan Syakirah. "Kau tak
percaya kat aku?"
"Bukannya aku tak percaya dengan kau, tapi...,"
Nasuha tersedar sesuatu. "Eh, apsal kita bnyak sangat sebut perkataan
percaya ni?"
"Kau jangan nak tukar topik!" bentak Syakirah.
Bengang pula dia. Orang tengah geram, di boleh buat iklan pula!
"Nak gurau sikit pun tak boleh...," Nasuha
menggerutu. "Habis tu kau nak buat apa ni? Takkan kau nak duduk diam
je?"
Pertanyaan itu membuatkan air muka Syakirah berubah riak.
Dia senyum. Penuh makna. Senyumannya amat menakutkan Nasuha.
*****
Azrin meletakkan mug yang penuh berisi air milo kegemarannya
di atas meja. Ipad dicapai. Leka dia menggunakan gajet itu sehingga tidak sedar
namanya dipanggil.
"Azrin!"
"Ya, mama?"
"Mana telefon pintar kesayangan kamu?" ada nada
perli pada nada suara Puan Naimah. Azrin gelak kecil. "Dalam bilik. Sedang
dicas. Kenapa mama?"
"Patutlah. Si Syakirah telefon mama. Katanya kamu tak
jawab panggilan telefon dia. Risau, katanya," Puan Naimah senget bibir.
"Nanti kamu telefon balik. Mama nak keluar ni."
Dengan malas, dia bangkit menuju ke telefon yang terletak di
salah satu sudut dalam rumah itu. Dalam hati doa tertanya-tanya, mengapa
Syakirah bersikap sedemikian sejak kebelakangan ini?
Enggan melayani perasaan yang bercelaru dek kerana perubahan
sikap Syakirah, Azrin mengambil keputusan untuk keluar mengambil angin. Namun
langkahnya pincang akibat tiada hala tuju. Dari satu tempat ke satu tempat yang
lain dia menghayunkan kakinya sehingga dia keletihan. Akhirnya dia ke sebuah
taman tasik tidak jauh dari situ. Di sana dia termenung melayan perasaan.
"Adik, jangan lari! Nanti jatuh!"
Pekk!
Terkejut Azrin apabila kakinya dilanggar oleh seorang
kanak-kanak perempuan berskirt kembang. Wajah anak kecil itu takut-takut
memandangnya. Lantas Azrin mengelus rambut kanak-kanak itu lembut.
"Comelnya adik ni. Siapa nama?"
"Nama saya...."
"Adik!" suara seorang wanita menarik perhatian
Azrin. Suara itu seakan dikenalinya. Lantas dia menoleh. Sebentar kemudian dia
tergamam. Wanita itu pun sama.
"Nina..."
*****
Azrin memusatkan pandangannya ke pintu rumah itu. Sedari tadi,
dia mengekori Nina dan anak kecil yang dipanggil adik. Dalam diam dia mencongak
sendiri. Usia anak kecil itu dianggarkan dua tahun setengah. Anggapannya itu
menimbulkan tandatanya. Adakah anak kecil itu anak Nina? Mana suaminya?
Ting!
Bunyi itu yang datangnya dari lif memecah lamunan Azrin.
Cepat-cepat dia bersembunyi, mengelakkan diri dari dilihat sesiapa terutamanya
Nina. Kelibat orang yang keluar dari lif itu betul-betul mengejutkan Azrin.
Abang Besar?
Azrin menurut langkah lelaki itu dengan ekor matanya. Dia
hanya memerhatikan Nina menyambut lelaki itu dengan senyuman sebelum
kedua-duanya masuk ke dalam rumah. Hatinya sudah diserang rasa tidak senang.
Abang Besar kahwin dengan Nina? Budak itu, anak mereka? Habis, apa nasib Kak
Mahirah, isteri Abang Besar?
Perlahan dia menghampiri rumah itu. Rasa ingin tahunya
semakin membuak-buak. Emosinya berkecamuk. Antara marah dan sedih. Antara geram
dan cemburu. Untuk apakah itu? Dia sendiri tidak tahu.
"Comelnya Amalina ni, Nina," suara Abang Besar
kedengaran di ruang tamu rumah itu. Azrin memasang telinga. Ingin sungguh dia
mengetahui apa sebenarnya yang terjadi.
"Cuba Abang Besar tengok, rupa dia mirip siapa? Ibunya
atau ayahnya?" soal Nina mesra.
"Mestilah ibunya. Terutamanya kat mana tu. Geram Abang tengok,"jawab
Abang Besar sambil memicit lembut pipi Amalina yang sedang tidur. Pantas
tindakannya itu ditegah Nina. "Janganlah. Terjaga dia nanti."
"Abang geram. Nak buat macam mana," balas Abang
Besar. "Tapi mulutnya tak macam mulut ibunya. Mulut siapa ni?"
"Mulut ayahnya la kot," jawab Nina selamba. Azrin
tersentak. Kot? Takkan Nina tak kenal siapa ayah kepada Amalina?
"Bukan mulut Nina ke?" tanya Abang Besar dalam
nada mengusik. "Lagipun, bukan Nina ke yang sambut Amalina masa dia lahir
dulu?"
"Hamboi!"
Azrin bagai hilang nafas. Apa sebenarnya yang berlaku? Apa
yang aku tak tahu?
"Nina," panggil Abang Besar. "Bila Nina nak
bagitahu semua orang?"
"Bagitahu apa?"
"Kebenaran. Tentang Amalina. Tentang Nina. Tentang apa
yang berlaku sebenarnya," suara Abang Besar berubah serius. "Abang
rasa diorang semua perlu tahu semua ni."
"Dan Abang nak biarkan orang nak hina Amalina macam tu
je? Gitu?" tanya Nina.
"Abang bukan apa. Abang tak nak orang cerita yang
bukan-bukan pasal Nina. Dah tiga tahun, Nina. Tiga tahun diorang pandang serong
kat Nina," pujuk Abang Besar. Sungguh, hatinya sakit setiap kali mendengar
caci maki yang dilemparkan terhadap gadis itu.
"Abang Besar, dengar sini," giliran Nina pula
bersuara serius. "Bila saya setuju nak tolong Khadijah dulu, saya dah agak
semua ni akan jadi kat saya dan saya redha. Saya juga dah janji akan lindungi Amalina
masa Khadijah lahirkan dia dulu. Biar saya yang dihina, Abang Besar. Bukan
dia!"
Prang!!!
Bunyi pasu pecah menarik perhatian mereka. Cepat-cepat Abang
Besar ke pintu. Sebentar kemudian dia tergamam melihat kelibat Azrin.
"Siapa sebenarnya anak tu?" satu sahaja soalan
Azrin. Namun ia cukup untuk membuatkan Nina terkedu. Lemah lututnya melihat
kelibat Azrin. Insan yang dicintainya.
*****
"Nina sebenarnya perasan perubahan sikap Khadijah.
Selaku termenung, selalu berkurung dalam bilik. Makan tak mahu, pergi kerja pun
macam terpaksa. Tak banyak cakap. Daripada seorang yang ceria, menjadi seorang
yang pendiam. Tapi Nina ingatkan dia jadi macam tu sebab kematian ininya,
satu-satunya keluarga yang dia ada."
Nina akhirnya membuka cerita. Itupun setelah dipaksa oleh
Azrin. Lelaki itu diam, mendengar setiap patah kata dari bibir wanita itu.
"Lama kelamaan Nina rasa perubahan tu makin pelik. Dia
selalu muntah-muntah terutamanya pada waktu pagi. Sudah suka makan asam,
padahal sebelum ni cukup tak suka benda-benda macam tu. Selalu pening-penung.
Malah dia pernah pitam masa nak bersiap pergi kerja. Nina mula syak sesuatu
jadi Nina pergi beli kit pengesan kehamilan."
"Ada orang nampak Nina beli alat tu kat farmasi. Dia
nak beli untuk siapa kalu bukan untuk dirinya sendiri?" bagai terdengar
suara sumbang bercerita tentang Nina suatu ketika dahulu di telinga Azrin. Dia
mengeluh. Abang Besar hanya memerhatikan lelaki itu tanpa menyampuk sedikit
pun.
"Lepas tu?"
"Khadijah mengandung," Nina tunduk, cuba menahan
air matanya dari merembes keluar. "Nina terkejut dan marah. Nina tanya
dia, tapi dia tak nak cerita apa-apa. Bila Nina paksa, baru dia buka crrita.
Azrin, Khadijah telah dirogol."
"Apa?" terkejut Azrin mendengarnya.
"Ya. Dia disamun dan dirogol," Nina mengesat
matanya. "Dia pendam semuanya sendiri. Dia simpan segalanya seorang diri.
Bila Nina dapat tahu semua ni, Nina nekad nak bantu dia, walaupun Nina tahu, Nina
akan terkena tempiasnya."
"Abang Besar," panggil Azrin setelah beberapa
ketika. Lelaki itu menyahut perlahan. "Abang tahu semua ni?" Abang
Besar tidak menjawab pertanyaan itu.
"Masa Nina ambil keputusan nak bantu dia, Nina dah
dengar cakap-cakap belakang tentang Nina. Tapi Nina tak peduli semua tu. Masa
tu, apa yang Nina nak buat cuma bantu Khadijah hingga dia melahirkan. Sebelum
Nina pindah, Nina ada bagitahu Abang Besar apa yang berlaku."
"Jadi Abang tahu?" Azrin tersentak.
"Kenapa... kenapa Abang tak pernah bagitahu saya?"
"Maaf Azrin. Nina yang tak benarkan." jawab Nina.
"Tapi kenapa? Semua cerita buruk pasal Nina tu adalah
fitnah! Membabitkan maruah Nina!" suara Azrin semakin tinggi.
"Dengan membelakangkan maruah Khadijah?"
pertanyaan Nina membuatkan dahi Azrin bercantum. Tidak faham. Nina mengambil
kesempatan ini menyambung kata-katanya. "Khadijah sangat perlukan bantuan.
Sokongan moral. Bantuan dari segi material untuk dia teruskan hidupnya.
Salahkah?"
"Azrin," Abang Besar akhirnya bersuara. "Abang
sebenarnya tak berapa setuju dengan tindakan Nina tu tapi bila Abang tengok
dengan mata Abang sendiri... Abang tidak dapat mengelak dari menyokong tindakan
Nina."
"Abang Besar! Sanggup Abang buat macam ni?"
"Kau sepatutnya tengok keadaan Khadijah masa tu,"
Abang Besar terus bersuara tanpa mempedulikan amarah Azrin yang mulai membuak.
"Dah macam mayat hidup budak tu Abang tengok. Itupun, orang masih belum
tahu tentang cerita dia. Kalau orang tahu perkara sebenar dan pandang serong
kat dia, rasa-rasanya apa yang dia boleh buat?" tegas suara Abang Besar
ketika itu.
"Mana Khadijah?" tanya Azrin.
"Dia meninggal semasa melahirkan Amalina," jawab
Nina perlahan.
"Nama Amalina berbintikan Abdul Rahman...," Azrin
tidak sanggup meneruskan ayat itu.
"Kami dah rujuk pada JPN. Amalina boleh dibintikan
dengan nama Abdullah ataupun nama-nama dalam Asmaul Husna," jelas Abang
Besar.
Suasana hening seketika.
"Nina minta maaf sebab tak bagitahu Azrin perkara yang
sebenar. Dalam fikiran Nina masa tu hanyalah Khadijah. Sumpah Azrin, Nina tak
ada lelaki lain macam yang orang cakap tu. Nina setia dengan Azrin sampai
sekarang. Nina tak pernah curang!"
Azrin diam. Kerana salah sangka, semua ini terjadi.
Kenapalah aku tidak tahu semua ni dari dulu? "Kalaulah saya tahu semua
ni..."
"Benda dah jadi," sampuk Abang Besar. Azrin diam.
Dia memandang lelaki itu dan Nina silih berganti. "Nina, awak korbankan
diri awak untuk lindungi Khadijah. Izinkan saya berkorban untuk lindungi
Amalina. Lambat-laun dia akan tanya di mana ayahnya."
"Maksud awak?" tanya Nina, tidak faham.
"Izinkan saya jadi ayah kepada Amalina. Kahwin dengan
saya, Nina?" Jatuh rahang gadis itu mendengarnya. Abang Besar terkejut.
*****
Prang!!!! Pecah berderai telefon bimbit Syakirah setelah dia
menghempasnya ke dinding. Nasuha yang sedang membaca buku, terkejut dengan
tindakan rakannya itu. “Kau dah kenapa?”
“Kurang ajar punya lelaki. Aku yang ada di sisinya, dia
boleh pula kejar perempuan tak bermaruah tu!”
Nasuha menghela nafas kasar. Mendengarkan ayat itu, dia
sudah tahu siapa yang dimaksudkan Syakirah. Pastinya Azrin. “Kenapa pula dengan
dia kali ni?”
“Dia nak putuskan pertunangan kitorang! Dia nak kahwin
dengan betina tu!” Nasuha tersentak. Terlepas buku yang dipegangnya. “Kau biar
betul?”
“Kau ingat aku tipu?” mata Syakirah buntang memandangnya.
“Kau ingat aku mereka cerita? Azrin baru saja telefon aku tadi dan dia dah
putuskan pertunangan kitorang!”
“Bukan pertunangan rasmi pun,” Nasuha capai kembali buku
yang terlepas sebentar tadi. “Dia pun belum hantar rombongan ke rumah kau lagi
kan?”
“Memanglah! Tapi bila dia cakap dia nak kahwin dengan aku
dan aku terima, itu dikira bertunang tau! Kau tak tahu ke?”
Nasuha senget bibir. Memanglah aku tahu, sebab aku yang
bagitahu kau! Kau lupa ke? Tempelaknya dalam hati.
“Ini mesti betina tu yang dah goda Azrin balik. Mesti punya
la!” Syakirah mencapai beg tangannya dan melangkah ke pintu. Nasuha kaget. “Eh,
kau nak ke mana?”
“Nak jumpa betina tu la! Kau ingat aku boleh duduk diam ke
dalam situasi sekarang ni?” bentak Syakirah marah. Nasuha tidak membuang masa.
Dia terus mengekori ke mana sahaja Syakirah pergi. Namun…
“Syakirah, kau tahu ke mana Nina tinggal?” tanya Nasuha. Syakirah
diam, tidak menjawab pertanyaan itu.
"Kau beria nak cari Nina ni, kau tahu ke mana dia
pergi?" tanya Nasuha lagi, pelik. Setahunya, Syakirah tidak pernah ambil
tahu hal Nina terutamanya setelah bercinta dengan Azrin. Syakirah diam. Dia
mengeluarkan telefon pintarnya dan membelek sesuatu. Sebentar kemudian dia
meletakkan telefon pintar itu di atas dashboard kereta. Aplikasi Waze jelas
terpapar di skrin telefon tersebut.
Nasuha tersentak. "Jadi selama ni kau tahulah Nina kat
mana? Kenapa kau tak pernah bagitahu Azrin di mana Nina masa Nina hilang
dulu?"
"Kau diam!" bentak Syakirah keras. "Kau ingat
kalau aku tak buat semua ni, aku akan dapat Azrin ke?" kata-kata Syakirah selepas
itu membuatkan Nasuha menutup mulutnya dengan tangan. Spontan. Syakirah, jangan
kata yang kau dah...
Kereta yang dibrek mengejut mematikan lamunan Nasuha. Pantas
dia keluar mengekori Syakirah yang sudah laju menaiki tangga rumah flat itu.
Nasuha yakin, ini kawasan rumah Nina. Dan Syakirah tahu di mana rumah gadis
itu.
"Weu, tunggulah aku! Kau ni pun, laju sangaa.....
Aduh!" Tidak semena-mena, dia terlanggar seorang wanita di lobi lif.
"Maaf."
"Tak apa," suara lembut wanita itu mematikan
langkah Syakirah. Pantas dia menoleh. "Nina!"
Wanita itu menoleh apabila mendengar namanya dipanggil. Dia
cuba bangun dari tumbangnya akibat berlanggar dengan Nasuha tadi. Tapi belumpun
stabil kedudukannya...
Pang!!!! Nina terjelepuk lagi. Nasuha sempat menangkap tubuh
itu daripada terus tumbang. Sempat Nina melemparkan senyum ke arah gadis itu
sebagai tanda terima kasih. Melihatkan itu, Nasuha segera mengalihkan
pandangannya ke arah Syakirah. Mata rakannya itu merah menahan marah. Nasuha
berdiri.
"Syakirah! Apa ni? Benda boleh bawa berbincang kan?
Takkan nak gaduh kat sini?"
"Kau diam, Nasuha! Aku perlu selesaikan hal ni hari ini
jugak!" suara Syakirah sudah semakin tinggi.
"Kalau iya pun tak payahlah nak serang orang kat sini!
Kau tak tahu malu ke bergaduh kat tempat awam macam ni?"
"Kau ni di pihak aku ke di pihak dia? Dari tadi aku
tengok kau asyik nak membela dia je...," Syakirah bersuara seakan memerli.
"Kalau aku di pihak dia sekalipun, aku tetap akan tegur
dia kalau dia buat salah!" suara Nasuha juga sudah naik. Bengang dia
dengan Syakirah yang sentiasa ingin menang sahaja itu.
"Ah, tepilah kau!" Syakirah menolak Nasuha ke tepi
membuatkan gadis itu gagal menawal imbangan lalu terjatuh. Tidak dipedulikan
keadaan Nasuha yang terhantuk pada dinding. Segera dia menghadap Nina yang
sudah berdiri. Air liur ditelan entah untuk kali ke berapa. Syakirah dirasakan
lain benar hari ini. Mujur juga Amalina ada dalam jagaan Abang Besar ketika
ini. Kalau tidak...
"Mana anak luar nikah kau?"
Nina tersentak. "Kenapa nak babitkan anak aku dalam hal
ni?"
"Sebab anak luar nikah kau tu...," Syakirah
menunjal kepala Nina dengan jari telunjuk."Azrin dah tak nak kahwin dengan
aku. Azrin putuskan pertunangan kami sebab anak haram kau tu!"
"Amalina anak aku. Bukan anak Azrin. Jadi anak aku tak
ada kena-mengena dengan Azrin. Dia nak buat apa, dia punya suka. Tak ada kena
mengena dengan anak aku!"
"Oh iya?" Syakirah bersuara separuh menyindir.
"Azrin sendiri yang cakap dengan aku yang dia nak jadi ayah kepada anak
kau. Apa maknanya tu?"
Nina diam. Enggan membalas bicara Syakirah. Ada betulnya.
"Kenapa diam?" provok Syakirah. "Sukalah kau
kan, akhirnya dapat juga kau kahwin dengn orang yang kau sayang, orang yang kau
cinta. Pandai kau main cara kotor untuk dapatkan Azrin balik."
"Kalau Azrin cakap yang dia nak jadi ayah kepada anak
aku, sepatutnya kau juga tahu apa jawapan aku pada dia," jawab Nina
selamba. Senyuman sinis yang terukir di bibir nyata menggoyahkan ego Syakirah.
"Kau jawab apa dengan dia?" tanya Syakirah, ingin
tahu.
Nina angkat bahu. "Kau tanyalah dia sendiri. Aku ni
jenis yang simple je, Syakirah. Tak mengharapkan simpati lelaki. Apatah lagi
cinta. Aku bukan macam kau, yang sanggup lakukan apa sahaja untuk dapatkan
cinta Azrin," ujar Nina.
"Kau cakap apa ni?" suara Syakirah mulai
takut-takut. Nina menghampirinya. Bibirnya didekatkan ke telinga gadis itu.
"Aku tahu kau yang upah orang untuk rogol Khadijah."
Pantas Syakirah menolak bahu Nina. "Apa kau cakap
ni?"
Nina senyum. "Aku tahu kau yang rancang semua ni. Untuk
jatuhkan aku. Untuk malukan aku. Untuk buat semua orang bencikan aku. Untuk
buat Azrin hina aku."
"Kau... Kau tak ada bukti!"
"Ada," Nina senyum. Menakutkan pada pandangan
Syakirah. "Bukti yang aku ada cukup untuk heret kau ke penjara. Jadi
sekarang kau pilih, sama ada kau meroyan kat sini, dan aku repot polis... Atau
kau pergi dari sini. Aku pun takkan kacau kau lagi."
"Kau....," tangan kanan dikepal kuat, diunjukkan
ke arahnya. Namun dapat Nina lihat, tangan itu menggigil. Syakirah mendengus
kasar. Dia sudah kalah. "Jom kita pergi!"
Nasuha terkocoh-kocoh mengekori langkah Syakirah yang sudah
laju menuruni tangga. Senyum di wajahnNina mati sebaik sahaja kelibat mereka
hilang dari pandangan. Kata-kata Khadijah kembali terngiang-ngiang di
telinganya.
"Masa aku sedang bergelut dengan diorang, aku terdengar
diorang cakap 'kita dah salah orang ni. Dia bukan yang Cik Syakirah nak kita
kendurikan tu.' Tapi sebab nafsu...!"
"Lepas diorang selesaikan 'kerja' diorang tu, diorang
tinggalkan aku macam tu aje kat lorong tu. Tapi diorang tercicir sekeping
gambar. Mungkin gambar tu panduan diorang untuk cari mangsa yang sebenarnya.
Gambar tu... gambar kau, Nina."
Dia katup mata. Cuba menahan air mata daripada mengalir.
Namun gagal. Ia terus keluar tanpa henti. Abang Besar, Azrin, maafkan Nina
kerana menipu kalian. Maafkan Nina...
*****
Plup!
Sebiji batu lagi dibaling ke dalam kolam. Azrin melihatnya
tanpa perasaan. Pandangannya kosong. Kepalanya serabut. Satu persatu kenangan
bersama Nina bermain di mindanya. Sehinggalah kenangan di rumah Nina tempoh
hari…
"Izinkan saya jadi ayah kepada Amalina. Kahwin dengan
saya, Nina?" ucap Azrin, penuh mengharap. Nina pandang Abang Besar, lelaki
itu pandang Azrin. Namun Abang Besar tahu, perhatiannya kini hanyalah kepada
Nina.
“Apa awak cakap ni?”
“Saya nak kahwin dengan awak. Cukuplah dengan segala
tohmahan yang dilemparkan pada awak selama ni. Biar saya bersama awak kali ni.”
“Dan awak nak biarkan orang cakap yang Amalina ni anak awak?
Dan awak nak dengar orang cakap yang awak seorang lelaki yang dayus sebab
tinggalkan saya waktu saya mengandung? Gitu?”
“People will say anything, Nina. Just let them be. Kisah apa
semua tu?”
“Saya kisah!” Nina bersuara tegas. Terkejut Azrin
mendengarnya. Abang Besar juga. “Awak ingat saya tinggalkan bandar ni, saya
tinggalkan awak semata-mata kerana Khadijah?”
“Apa… apa maksud awak?” Azrin tidak faham.
Nina menggeleng perlahan. “Saya tahu yang saya akan jadi
bahan cacian, bahan tohmahan orang ramai apabila saya pelihara Amalina. Saya tak
mahu awak terpalit sama.”
“Tapi, Nina…!”
“Saya ni cuma anak yatim yang tak tahu dari mana asal usul
saya. Saya sebatang kara. Tapi awak Azrin… awak punya keluarga. Maruah diorang
terletak di bahu awak untuk awak jaga. Jangan jadi bodoh dengan ambil tindakan
macam ni!”
“Salahkah saya nak kahwin dengan awak?”
“Salah! Sebab awak dah bertunang dengan Syakirah!” bentak
Nina keras. “Awak dah janji nak kahwin dengan dia. Awak tak boleh mungkiri
janji tu!”
“Baru bertunang, Nina…”
“Jadi awak tak layak nak kahwin dengan saya.”
“Eh?” buntang mata Abang Besar mendengarnya. “Kenapa Nina
cakap macam tu pulak?”
“Seorang lelaki sejati, tidak akan memungkiri janjinya. Kalau
awak boleh tinggalkan Syakirah untuk saya, tak mustahil awak boleh tinggalkan
saya untuk orang lain di masa akan datang.”
“Tapi, Amalina perlukan seorang ayah!”
“Mungkin juga tidak,” Nina senyum nipis. Dia mengelus lembut
ubun-ubun anak itu yang sedang nyenyak tidur. “Saya akan bagitahu dia hal yang
sebenar apabila dia besar nanti. Sehingga detik itu, saya rela jaga dia seorang
diri.”
“Tapi Nina, awak tak mampu jaga dia seorang diri. Biarlah Azrin
bersama-sama awak,” Abang Besar akhirnya bersuara.
“Saya tak perlukan simpati dia, apatah lagi cintanya,” jawab
Nina perlahan. “Sayang saya kepadanya hanya sebagai sahabat sekarang ni. Saya
harap sangat Abang Besar faham.”
“Mama, nak aiskrim!” jeritan seorang kanak-kanak mematikan
lamunan Azrin. Dia kembali memandang tasik di hadapannya. Kemudian dia
memandang langit. Kelihatan sebuah pesawat terbang laju membelah awan.
“Saya akan ke Singapura hujung bulan ni. Bekerja di sana. Dan
saya akan bawa Amalina sekali,” ujar Nina. Abang Besar pandang Azrin yang sudah
tunduk. Kecewa kerana permintaan hatinya ditolak.
“Berapa lama?”
“Tak tahu lagi. Mungkin setahun, mungkin dua tahun. Mungkin lebih
lama,” jawab Nina lembut.
Azrin senyum. Matanya berkaca. Pergilah… pergilah, Nina. Kalau
itu membuatkan hatimu tenang, pergilah. Namun satu permintaan hatiku. Tolong jangan
buang aku dari hatimu.
“Maaf,” bagai terdengar-dengar suara Nina mengucapkannya. Seolah-olah
gadis itu mendengar kata hatinya.
Deringan telefon mengejutkan Azrin dari lamunan. Perlahan
dia memeriksa telefon pintarnya. Ah, mesej dari Abang Besar. Lantas ikon
Whatsapp dibuka.
‘Bukan semua benda yang kita nak, kita akan dapat. Bersyukurlah
dengan apa yang ada.’
Azrin senyum. Dia menghela nafas halus. Belum sempat dia
membalas mesej tersebut, satu panggiln telefon diterima. Nasuha?
“Helo.”
“Azrin, aku nak minta maaf sangat dengan kau. Aku nak minta
maaf sangat…,” suara Nasuha resah di hujung talian.
“Kenapa?” tanya Azrin tidak sabar.
“Syakirah… dia dah tak ada, Azrin! Kereta dia berlanggar
dengan lori!” Terlepas telefon dari tangan Azrin. Menggigil dia mendengar
berita kematian itu.
TAMAT