“Ibu,” panggil Suria separuh merayu. “Su
tak nak buat kerja ni lagi. Tolonglah, ibu…”
Maria mengucup lembut ubun-ubun anaknya
itu. “Ibu faham, nak. Tapi, kita taka da pilihan. Ayah kamu… ayah kamu
inggalkan hutang yang banyak. Kita… kita kena bayar hutang tu, nak!”
Air mata Suria menitis. “Kenapa nasib kita
macam ni, ibu? Apa dosa kita, sampai ayah buat kita sengsara begini?”
Sayu hati Maria mendengarnya. Tubuh gadis
itu didakap erat. Maafkanlah ayah, nak. Maafkanlah… dia sudah tiada lagi untuk
memohon maaf.”
Suria sudah teresak-esak menangis. Dia
sudah kehabisan kata. Matanya ditutup kejap. Bayangan wajah ayahnya mula
bermain di matanya.
Pintu bilik dibuka kasar membuatkan lamunan
Suria terhenti. Dia cepat-cepat mengesat matanya apabila melihat Tauke dan
konco-konconya masuk ke bilik. Jantungnya berdegup kencang.
“Maria,” Tauke akhirnya bersuara. “Anak kau
ikut kami malam ni. Ada pelanggan yang mahukan dia.”
“Saya tak mahu!” jerit Suria kuat
membuatkan Maria dan Tauke terkejut. “Ibu, saya tak nak ikut dia. Tolong saya,
ibu!”
“Tauke,” panggil Maria. “Anak aku ni kecil
lagi. Belum habis belajar. Takkan kau nak suruh dia buat kerja macam aku? Apa
kata, aku yang ganti dia?”
“Orang tu nak anak kau, bukannya kau!”
jerkah Tauke garang. “Banyak pelanggan tu bayar untuk anak kau ni! Dengan
bayaran semahal tu, anak kau tak perlu belajar lagi!”
“Ibu, tolong! Saya tak nak! Ibu!”
“Ibu!” Suria terjaga. Terus dia bangkit
dari pembaringan. Seketika kemudian, dia berasa bingung. Keadaan sekeliling
dirasakan asing baginya. Aku kat mana ni?
Bau cili yang ditumis menarik perhatiannya.
Perlahan dia turun dari katil dan melangkah keluar dari bilik itu. Bunyi
kelentang kelentung dari arah dapur memancing pendengaran. Langkah mula diatur
perlahan.
“Dah bangun dah?” seorang wanita tiba-tiba
muncul dari dapur. Suria tergamam. Suara itu… seperti pernah didengarnya. Tapi
di mana ya?
“Awak lapar ke? Saya tengah masak ni. Satu
lauk je lagi. Lepas ni, kita makan sama-sama ya? Apa kata awak mandi dulu?
Nanti saya ambilkan tuala dan baju ganti ya?”
“Awak ni siapa?” tanya Suria membuatkan
langkah wanita itu terhenti. Dia kembali memandang Suria. “Awak tak ingat? Awak
lari ke arah kereta saya semalam. Dikejar sekumpulan lelaki, dan awak pengsan
depan kereta saya. Ingat?”
Kata-kata wanita itu buat mata Suria
terbuntang luas. “Baru saya teringat! Awak Gadis Spanar tu, kan?”
“Gadis Spanar? Ooo… ya,” wanita itu garu
kepala yang tidak gatal. “Pertama kali saya dapat panggilan macam tu. Tapi,
comel juga. Haha.”
Mata Suria berkaca. “Terima kasih sebab
selamatkan saya. Nama awak siapa?”
“Fathanah,” wanita itu senyum. “Panggil
saya Fathanah.”
*****