“Macam tulah ceritanya,” Suria mengakhiri ceritanya. Dia mengesat
matanya perlahan. “Kami terpaksa mengalah. Tapi sebelum pergi, ibu sempat
berbisik pada saya.”
“Dia bisik apa?” tanya Fathanah, buat kali pertama sejak Suria
membuka ceritanya. Suria pandang Fathanah dengan mata berkaca. “Ibu bisik,
‘bila ada peluang, lari’.”
Fathanah senyum. “Ibu awak sangat sayangkan awak, Suria. Dia sanggup
biarkan awak lari walaupun dia tahu, itu akan mengancam nyawa dia.”
Spontan air mata Suria berhenti. Dia pandang Fathanah dalam-dalam.
“Apa maksud awak?”
“Awak dah berjaya larikan diri, tapi ibu awak masih dalam pengawasan
Tauke. Dalam genggamannya. Bererti, ibu awak dalam bahaya, Suria.”
“Apa?” terbeliak mata Suria mendengarnya. “Habis tu, apa yang perlu
kita buat?”
Fathanah menggeleng perlahan. “Jujur, saya pun tak tahu. Kalau
dilihat balik kejadian malam tu, anak-anak buah Tauke ramai juga. Kalau setakat
kita berdua, tak terlawan nanti.”
Mendengarkan itu, semangat Suria untuk menyelamatkan Maria, luntur. Dia
tunduk. Air matanya menitis mengenangkan nasib ibunya dalam genggaman Tauke.
“Tak apalah. Itu kita akan fikirkan kemudian,” Fathanah bangkit dari
duduknya. “Dah nak masuk waktu Asar ni. Solat sekali? Boleh kita solat
berjemaah.”
Ajakan Fathanah membuatkan Suria tergamam. Matanya terkebil-kebil
memandang wanita itu. Tergagap dia menjawab, “Maaf… saya…”
Fathanah batuk kecil. Faham dia dengan situasi Suria ketika ini.
“Tak apalah. Saya solat dulu ya. Lepas ni, kita keluar ke pasaraya. Beli barang
dapur. Dah banyak yang dah habis. Nanti dulu…”
Fathanah diam sejenak. “Rasanya kita tangguhkan dulu rancangan tu.
Takut ada yang memerhatikan kita. Bahaya.”
Kecut perut Suria mendengarnya. Fathanah menyentuh bahunya lembut.
“Jangan risau. Selagi kita meyakini Allah dalam hidup kita, Dia akan lindungi
kita dengan sifatnya Yaa Waliiy.”
Kata-kata Fathanah buat Suria terkedu. Dia termenung panjang. Dia
hanya memerhatikan tingkah Fathanah dalam menunaikan solat fardu. Kenangannya
semasa kanak-kanak singgah di ruang mata.
“Ibu, ayah… telekung Suria mana?” tanyanya sebaik kembali dari
sekolah. Maria dan Sulaiman yang sedang menonton televisyen, terkejut mendengar
pertanyaan anaknya itu. “Kenapa tiba-tiba tanya macam tu?”
“Tadi masa kat sekolah, ada amali solat. Ustazah cakap, kalau nak
Allah saying kita, solat tu kita kena jaga. Jangan tinggal.”
Maria bangun dan mendekati Suria lalu ubun-ubun anak itu diusap
lembut. “Sayang… Suria kan kecil lagi. Nanti-nanti la solat tu. Lagipun, ibu
dan ayah tak solat pun. Ada kita kelaparan? Tak, kan? Itu bermakna, Allah
sayangkan kita.”
“Jadi, Suria tak payah solatlah ni?” tanyanya lagi. Maria hanya
senyum, tidak menjawab pertanyaan itu. Perlahan Suria membalas senyuman itu.
“Suria,” panggilan Fathanah buat lamunan Suria terlerai. Dia
memandang Fathanah yang tersenyum lembut kepadanya. “Ya?”
“Kerja dengan saya, ya?”
“Hah?”
*****