“Apa? Kerja dengan awak?”
“Ya,” Fathanah bangun dari kerusi kerjanya.
“Kerani lama saya berhenti kerja sebab berkahwin dan ikut suami bekerja di
Singapura. Memang sayang nak lepaskan, tapi apa boleh buat? Tempat seorang
isteri itu di sisi suami.
“Oh…,” tidak semena-mena, dia teringatkan
pekerjaannya dahulu, ketika bersama Tauke. Spontan, dia menggenggam penumbuk.
Namun Fathanah tidak melihatnya.
“Susah nak cari pekerja yang bagus sekarang
nu, lebih-lebih lagi di tempat yang macam ni. Bukan semua orang suka. Tak ada
kelas, katanya.”
Fathanah senget bibir. Namun Suria
memandangnya tidak berkelip. “Tapi saya tak pandai buat kerja-kerja tu, Fath.
Setakat benda-benda asas tu, boleh la. Lebih dari itu…”
“Awak boleh belajar,” potong Fathanah.
“Menabung sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Belajar sikit-sikit, lama-lama
pandai la.”
“Tapi…”
“Ia boleh buat awak sibuk sikit. Juga boleh
bantu awak kurangkan berfikir tentang masa lalu. Kisah silam awak tu.”
“Hah?” Suria terkejut besar. Macam mana dia
tahu?
“Macam mana saya tahu?” Fathanah bagai
dapat membaca fikiran Suria. “Awak jangan marah pula ya. Saya selalu nampak
awak termenung di tepi tingkap. Saya perasan juga awak susah nak tidur. Jadi
saya fikir, apa salahnya saya bantu awak?”
Suria tunduk. Air matanya menitis. Fathanah
memeluknya erat. Suria menangis teresak-esak. Fathanah mengusap bahunya
perlahan. “Jangan risau. Allah ada. Saya ada.”
“Awak nak suruh saya lupakan ibu saya ke?”
tanya Suria tiba-tiba. “Saya bersenang-senang kat sini, sedangkan ibu terseksa
kat sana? Macam tu ke yang awak nak?”
“Bukan macam tu. Kan saya dah janji saya
akan tolong awak?” Fathanah melonggarkan pelukannya, lalu memandang Suria
dalam-dalam. “Tapi awak kena kuat. Kalau awak lemah, lembik macam ni, macam
mana awak nak tolong ibu awak?”
Tangisan Suria terhenti. Dia cuba menghadam
kata-kata Fathanah. Ada betulnya juga, fikirnya. “Jadi, saya perlu jadi kuat
untuk selamatkan ibu saya?”
“Ya,” jawab Fathanah. Suria diam, dia
tunduk. Matanya terkatup seketika. Apabila dia membuka mata, dia pandang
Fathanah tidak berkelip. “Saya… saya terima tawaran kerja wak tu.”
“Alhamdulilah,” Fathanah senyum manis.
“Selamat datang ke SFM Automotorsport.”
*****