Sunday, February 17, 2019

Takdir Cinta Bab Tujuh


“Dan sekarang dia dah boleh baca doa qunut,” ujar Fathanah mengakhiri ceritanya. Dia di hujung talian hanya tekun mendengar. “Saya gembira, bangga bila tengok perubahannya dari hari ke hari.”

“Alhamdulilah. Baguslah. Abang pun gembira mendengarnya,” balas dia di hujung talian. “Tapi jangan terbawa-bawa dengan kegembiraan tu. Ingat, seseorang itu berubah kerana Allah yang beri hidayah itu, bukannya kerana manusia macam kita.”

“Baik, abang. Saya akan sentiasa ingat. Terima kasih atas nasihat tu,” Fathanah merendah diri. “Apapun, saya telefon abang ni bukan setakat nak ceritaka perkembangan Suria. Saya nak tanya pasal…”

“Maria, kan?” dia di hujung talian laju sahaja memotong. Fathanah menggerutu. “Abang ni…”

Dia tergelak besar di hujung talian. “Maaf la. Bukan selalu abang kenakan adik abang ni.” Fathanah mendengus. “Cepatlah, abang. Saya dah tak sabar ni.”

“Pasal Maria, kan?” tanya dia di hujung talian.  “Abang dah buat siasatan awal. Dengar cerita, Maria kena belasah teruk lepas diorang gagal tangkap Suria kembali.”

“Maria selamat atau sudah…,” Fathanah menutup mulutnya perlahan. Tidak sanggup dia menyebut perkataan itu.

“Belum tahu lagi,” balas dia di hujung talian. “Abang masih siasat. Fathanah pun batulah abang. Tanya sikit-sikit pada Suria. Dia dah lama dengan Tauke, mesti dia tahu rahsia Tauke.”

“Apa yang dia bagitahu saya, dahpun saya sampaikan pada abang,” Fathanah hela nafas halus. “Abang, tolong ya. Kesian saya tengok keadaan Suria. Setiap kali lepas solat, mesti doakan ibu dia sampai nangis-nangis. Minta Allah Yaa Waliiy lindungi Maria macam mana Dia lindungi Suria.”

“Ye la, itu kan tanggungjawab dia sebagai seorang anak,” balas dia di hujung talian. “Apapun, abang akan bantu mana yang mampu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam,” Fathanah menamatkan panggilan dan terus keluar bilik, mendapatkan Suria di dapur. Air mukanya cuba dimaniskan di hadapan gadis itu. “Sedapnya bau! Suria masak apa?”

“Kari ayam,” balas Suria selamba. “Nanti bila dah siap, kita makan sama-sama ya? Sekarang ni, awak pergi rehat dulu di ruang tamu.”

“Eh, saya kena halau la macam ni?” tanya Fathanah, terkejut. “Ini yang tak best ni. Saya baru nak minta resepi.”

“Ah takde. Awak rehat dulu di depan. Nanti bila dah siap, baru saya panggil. Awak tinggal makan je,” Suria menolak lembut Fathanah. Dia ketawa kecil.

Fathanah ketawa melihat ulah Suria. Dia kemudian menapak ke ruang tamu dan menonton televisyen yang sedang menyiarkan berita. Seketika kemudian, senyumannya tiba-tiba mati.

“Maya seorang wanita berusia kira-kira 50-an ditemui mati di sebuah lombong….”

Kelu lidah Fathanah mendengarnya. Spontan dia menoleh ke pintu dapur. Dia nampak Suria berdiri di situ. Dia nampak tangan Suria yang memegang senduk, menggigil.

*****