Monday, September 2, 2019

Cerpen : Hajat


“Mama kalau boleh, nak la bermenantukan orang yang mama tahu asal usulnya. Tahu siapa ayah ibunya. Kenal keluarganya. Sebab mama nak keturunan mama terjaga nama baiknya. Tak adalah nanti, cucu mama membesar dengan perangai buruk.” 

Perlahan Syuhada menarik nafas. Kata-kata Puan Zaleha kedengaran kuat di cuping telinganya, walaupun peristiwa itu telah berlaku hampir sebulan yang lalu. Yang membuatkan dia lebih sakit hati, Kazim langsung tidak membantah cakap ibunya itu walaupun dia menyedari, hatinya tersakiti. 

“Maaflah, Syuhada. Kata-kata mama I ada benarnya. I seorang anak yang taat dan patuh cakap mama I, jadi…” 

“You nak putuskan hubungan kita? Macam tu?” potong Syuhada cepat. Dia bangun, pandang Puan Zaleha dan Kazim bersilih ganti. “Kalian rasa saya tak layak untuk masuk ke keluarga ni, jadi sebahagian daripada keluarga ni?” 

“Aunty tak cakap pun macam tu,” balas Puan Zaleha. “Tapi kalau dah faham tu, baguslah. Aunty ni orang baik-baik, tak suka marah-marah orang.” 

“Walaupun kata-kata Aunty tu dah menyakiti hati orang lain?” 

“Aunty tak menengking pun, Syuhada. Aunty hanya suarakan pendirian Aunty. Sebagai ibu, Aunty nak yang terbaik untuk anak aunty. Salah ke?” 

Kata-kata Puan Zaleha membuatkan Syuhada terdiam. Dia memandang Kazim untuk meraih simpati. Namun lelaki itu hanya diam seribu bahasa. 

“Baiklah kalau Aunty berfikiran begitu. Saya tak rasa saya boleh jadi menantu Aunty yang baik kalau macam tu. Saya minta diri dulu.” 

“Ada!” 

“Kazim…,” panggil Puan Zaleha. Lembut, namun penuh isi tersirat. Kazim yang tadinya berdiri, kembali duduk apabila matanya bertemu mata Puan Zaleha. Dia hanya menghantar Syuhada ke muka pintu dengan pandangan mata. 

“Mama tak suka kamu berkawan dengan orang yang tak tahu asal-usulnya, apatah lagi dengan orang yang tiada keluarga macam tu. Kamu faham kan, Kazim?” 

“Faham, mama,” ujar Kazim. Syuhada dengar itu. Dia terus melangkah keluar dari rumah itu tanpa menoleh lagi. 

“Tren menghampiri Platform 2, menuju ke Sungai Buloh,” suara seorang wanita dari corong pembesar suara menghentikan lamunan Syuhada. Dia terus bersiap sedia untuk menaiki tren yang dimaksudkan. Langsung dia tidak menyedari seorang lelaki datang menghampirinya. Bila Syuhada masuk, lelaki itu ikut masuk dan duduk di sebelah gadis itu. 

“Cik Syuhada Ramli,” panggil lelaki itu lembut apabila tren mula bergerak meninggalkan platform. Tindakan lelaki itu mengejutkan Syuhada. ‘Aku tak kenal lelaki ni. Macam mana dia kenal aku?’

“Saya kenal awak ke?” 

“Belum kenal lagi, saya belum perkenalkan diri lagi,” lelaki itu tersenyum, menampakkan lesung pipit di pipi. “Nama saya Fazwan, setiausaha Tan Sri Saifuddin.” 

Mendengarkan nama terakhir yang disebut Fazwan, buat dada Syuhada sesak seketika. Tan Sri Saifuddin? Apa dia nak?

***** 

“Ibu, kita nak ke mana ni?” tanya Syuhada. Tangannya erat digenggam Ruqayah semasa henak melintas jalan. Wanita itu hanya diam, tidak menjawab pertanyaan itu. Terus sahaja dia meneruskan langkahnya menuju ke taman perumahan mewah tidak jauh dari situ. 

“Ibu, kita nak ke mana ni? Ada penat la,” tanya Syuhada lagi. Kakinya terasa semakin lenguh dan sakit. Melihatkan itu, Ruqayah memberhentikan langkahnya. Tubuh anak kecil itu didukung penuh kasih sayang. 

“Ada nak jumpa dengan datuk Ada tak?’

“Atuk Ada hidup lagi?” 

“Ada. Nak jumpa dia tak?” 

“Nak!” jawab Syuhada teruja. “Yeay! Ada ada atuk! Boleh Ada cerita dengan kawan-kawan Ada kat tadika nanti!” 

Ruqayah senyum. Tubuh anak itu terus didukung sambil berjalan mendekati kawasan perumahan itu. Tiba di satu rumah di penghujung jalan, dia memberhentikan langkahnya. Syuhada diturunkan dari dukungan. 

Syuhada terkesima. “Ini ke rumah atuk Ada? Besarnya. Atuk Ada tinggal sorang-sorang ke kat sini?” 

Pertanyaan itu tidak berjawab. Fokus Ruqayah hanya pada pintu masuk rumah itu. “Assalamualaikum!” 

“Waalaikumsalam! Siapa tu?” terdengar suara seorang wanita menjawab salamnya. Wanita itu kemudian muncul di muka pintu. “Yaa Allah! Ruqayah!” 

Laju sahaja langkah wania itu mendaptkan Ruqayah dan Syuhada di luar pagar, sebelum langkahnya tiba-tiba dimatikan seseorang. “Jangan bagi dia masuk, Munah!” 

“Ayah…,” nada suara Ruqayah sungguh sayu. “Ayah, saya datang bawa cucu ayah ni. Ayah tak mahu jumpa dia ke? Cucu ayah ni teringin sangat nak jumpa dengan ayah.” 

“Jangan kau nak gunakan budak kecil tu untuk masuk ke rumah ni!” Tegas suara seorang lelaki yang muncul di balkoni. “Aku dah cakap, kalau kau keluar dari rumah ni, aku dah tak nak ambil tahu pasal kehidupan kau kat luar sana. Termasuk anak kau!” 

“Ayah…” 

“Aku tak nak jumpa kau. Berambus!” 

“Cik Syuhada,” panggilan Fazwan mengembalikan Syuhada ke dunia realiti. Dia pandang lelaki itu sambil mengukir senyuman manis. “Ada apa?” 

“Kita dah sampai di rumah Tan Sri. Cik tak nak masuk?” tanya Fazwan. Syuhada diam, dia memandang sekeliling. “Masa umur saya lima tahun, saya pernah datang sini dengan arwah ibu saya. Kami nak jumpa atuk. Tapi atuk langsung tak nak pandang kami. Saya masih ingat, saya takkan lupa.” 

“Saya pasti, Tan Sri dah maafkan Cik Syuhada.” 

“Are you sure?” pertanyaan Syuhada dijawab dengan senyuman manis Fazwan. Hampir cair dia melihat lesung pipit lelaki itu. Dia berdehem perlahan, cuba mengembalikan dirinya ke realiti. “Should we go?” 

Kali pertama Syuhada menjejakkan kaki ke rumah agam itu, air matanya menitis. Dia teringat tangisan Ruqayah pada waktu itu. Cepat-cepat dia menitiskan air matanya apabila berdiri di hadapan bilik Tan Sri Saifuddin.

“Tan Sri, saya datang bawa Cik Syuhada bersama saya,” beritahu Fazwan usai dia memberi salam. Syuhada tergamam. Di hadapannya adalah seorang lelaki tua yang terlantar di atas katil. “Atuk…” 

“Syuhada, cucu atuk…” 

***** 

Jalil dan anaknya, Kazim antara mereka yang paling lewat tiba di bilik mesyuarat itu. Mata Kazim kelihatan sedikit kuyu namun masih cuba untuk memberikan senyuman manis kepada hadirin di bilik tersebut. Sebaik melabuhkan duduknya di sebelah Jalil, Kazim bersuara, “Kenapa saya kena masuk mesyuarat ni, papa?” 

“Kenapa? Tak suka?” 

“Banyak kerja la yang belum siap,” Kazim memberi alasan. 

“Banyak sangat la kerja kau, sampai kau buat kerja lebih masa di kelab malam? Kau ingat aku tak tahu kegiatan kau?” keras suara Jalil berbisik. Bukannya dia tidak tahu, kerja-kerja Kazim di pejabat semuanya diuruskan oleh staf bawahannya. Huh! 

Kazim diam. Pecah tembelangnya. “Tapi pa, saya rasa saya terlalu muda untuk hadiri mesyuarat macam ni. Tengok la. Yang datang semuanya sebaya papa. Saya ni je yang muda.” 

“Kau perlu libatkan diri dengan benda-benda macam ni bila kau jadi bos nanti,” Jalil masih berbisik. “Apa kau dah lupa, yang Tan Sri tengah sakit? Dia tiada waris. Mesti dia akan serahkan syarikat ni pada anak-anak muda. Kaulah calonnya!” 

“Saya tak nak la, papa. Saya masih mahu nikmati masa muda saya.” 

“Muda apanya kalau umur tu dah pertengahan 30-an?” suara Jalil kembali keras. “Kau jangan nak buat hal. Papa buat semua ni untuk kepentingan keluarga kita. Untuk kau!”

“Tapi papa…!” perbualan mereka tiba-tiba mati apabila melihat kelibat seorang lelaki masuk ke bilik mesyuarat itu. Fazwan, yang masuk seorang diri, melamparkan senyuman manis kepada semua orang di bilik itu. Dia kemudian mengambil tempatnya di sebelah kerusi pengerus. 

Kerusi itu masih kosong. 

“Terima kasih pada semua yang sudi hadir hari ini. Mohon maaf sekali lagi kerana Tan Sri masih tidak sihat untuk hadiri mesyuarat ini.” 

“Kalau Tan Sri masih tak sihat, kenapa mesyuarat ini masih diadakan?” tanya Jalil, tidak puas hati. “Banyak urusan yang memerlukan kata putus daripada Tan Sri. Macam mana nak teruskan kalau Tan Sri tak ada kat sini?” 

“Itulah sebab mesyuarat ini diadakan,” jawab Fazwan tenang. “Beberapa hari lepas, Tan Sri telah melantik proksinya berkuat-kuasa serta-merta, dan beliau juga akan mengambil alih syarikat ini sekiranya Tan Sri meninggal dunia." 

Para hadirin terkejut dengan pengumuman yang dibuat oleh Fazwan. "Siapa dia? Adakah dia berada dalam bilik ini?" 

Kembang kuncup hidung Jalil mendengar pertanyaan itu. Yakinnya dia, yang dia akan menerima pelantikan itu. 

"Belum lagi. Dia singgah ke tandas tadi," jawab Fazwan, mengejutkan Jalil, Kazim dan mereka yang lain. Jalil bangun. "Kenapa tak lantik proksi dari kalangan kami je? Lebih mudah. Kami lebih faham selok-belok syarikat!"

"Kenapa tidak?" jawab Fazwan. "Itu hak Tan Sri sendiri sebagai pengarah urusan, juga sebagai pemilik syarikat ini. Siapa kita untuk menghalang?" 

Kemunculan seorang wanita di muka pintu mematikan perbalahan mereka. Kazim terkedu. Wanita itu sangat dikenalinya. 

Fazwan tersenyum tatkala wanita itu menghampirinya penuh berkarisma. Dengan penuh hormat dia memberi ruang untuk wanita itu mengisi kerusi pengerusi, menimbulan persoalan di kalangan hadirin, terutamanya Jalil. "Dia proksi Tan Sri?" 

Fazwan angguk. "Kenalkan, proksi Tan Sri Saifuddin, Cik Syuhada Ramli." 

Kazim sudah ternganga. 

***** 
“Aku tak percaya perempuan tu cucu dia! Aku tak percaya! Perempuan tu saja nak kikis harta orang tua tu! Macam la aku tak tahu!” Jalil sudah meroyan dalam ruang tamu rumahnya. Kazim hanya memerhatikan ayahnya marah-marah di ruangan itu. Bayangan Syuhada lebih menarik hatinya. 

Sumpah, itulah kali pertama dia melihat Syuhada berpakaian korporat sebegitu. Sebelum ini, setiap kali mereka berjumpa, pasti Syuhada akan berkemeja T dan berseluar jeans. Agak biasa pada Kazim. Kali ini…. sangat lain. 

“Ini semua konspirasi, Kazim! Konspirasi untuk halang kau daripada ambil alih syarikat ni! Aku takkan benarkan ini semua terjadi!” 

“Papa,” panggil Kazim. “Syuhada tu cantik, kan?” 

“Cantik? Perempuan yang suka ambil kesempatan macam tu, kau kata cantik?” suara  Zaleha pula berkumandang. Agak nyaring pada pendengaran Kazim. 

“Kenapa dia muncul sebagai cucu Tan Sri lepas kita tolak dia jadi menantu kita? Abang tak rasa ni semua sesuatu yang pelik sedang berlaku ke?” 

“Aku syak, dia saja nak kikis harta Tan Sri tu. Mentang-mentang Tan Sri tak ada waris, laju je dia nak mengaku cucu la, apa la….. kenapa dia tak mengaku isteri je? Kan senang!”

“Papa,” panggil Kazim lagi. “Kalau dah itu rezeki dia, apa salahnya? Apa yang kita ada ni pun, kita ah cukup bersyukur.” 

“Mana boleh!” Pantas Jalil membangkang. “Itu lubuk rezeki kita, Kazim. Lubuk emas kita. Sepatutnya, syarikat tu, harta orang tua tu, milik kita! Bukan milik perempuan yang entah dari mana datangnya tu!”

Kazim menggeleng perlahan. Nampak sangat papanya berdendam dengan Syuhada. Kasihan gadis itu, fikirnya. 

“Papa, saya dah penat la. Saya nak naik bilik dulu,” Kazim meminta diri. Langsung tidak dipedulikan Jalil dan Zaleha yang sedang berbalah di ruang tamu. Masuk ke dalam bilik, Kazim terpandang ke arah telefon pintarnya yang terletak di bucu katil. Perlahan dia mencapai peranti tersebut dan mencari sesuatu. 

“Syuhada…,” panggilnya perlahan. Gambar mereka berdua bersama, sebelum mereka berpisah tidak lama dahulu, masih disimpannya. Kenangan ketika mereka bersama masih basah dalam ingatannya. 

“Awak nak anak berapa orang?” tanya Kazim ketika mereka sedang berjalan-jalan di tepi tasik, apabila dia terpandang seorang ibu sedang mendukung anak kecilnya. “Mesti comel kan bila awak mengandung nanti.” 

“Apa awak ni,” wajah Syuhada mula memerah. “Kenapa tanya soalan macam tu?” 

“Eh, apa salahnya? Kita kena la merancang dari sekarang. Untuk masa depan kita juga, kan?” tanya Kazim lagi. Wajah Syuhada dipandang penuh kasih sayang. 

“Kalau boleh la,” Syuhada mula memasang angan-angan. “Saya nak anak seramai yang mungkin. Kalau dapat kembar, lagi bagus!” 

“Amboi….”

“Ye la,” Syuhada senyum senget. “Saya ni sebatang kara. Ibu ayah dah tak ada. Keluarga yang lain pun dah buang kita. Saya nak bina keluarga, supaya anak saya tak keseorangan bila kita dah tak ada nanti.” 

Tok! Tok! 

Ketukan di pintu mematikan lamunan Kazim. Cepat-cepat dia menyimpan telefon pintarnya di birai katil dan membuka pintu bilik. Kemunculan Jalil dengan wajah bercahaya dan wajah keruh Zaleha di muka pintu menghairankan Kazim. “Eh, kenapa ni mama?”

Tanpa mempedulikan wajah keruh isterinya, Jalil terus menyatakan hasratnya. “Papa nak kamu pikat Syuhada tu. Boleh?”

“Hah?”

***** 


Syuhada keluar dari bilik air sambil mengelap rambutnya. Kemudian dia menyiapkan dirinya. Semakin lama, dia semakin selesa di rumah agam itu. Berbeza dengan kali pertama dia berpindah ke sini, atas permintaan Tan Sri Saifuddin. 

“Tinggallah di sini, Syuhada. Rumah ni akan jadi milik kamu juga nanti. Tinggallah di sini, temankan atuk.” 

Air mata Syuhada mengalir. Bayangan Ruqayah muncul di ruang mata. “Ibu, atuk dah maafkan ibu dan ayah. Atuk dah terima Ada. Kalau ibu ada di sini, pasti ibu orang yang paling seronok, kan?” 

Deringan telefon mematikan lamunan Syuhada. Lambat-lambat dia mendapatkan peranti itu di atas meja kerjanya. Mesej yang diterima oleh Kazim dibacanya sekali lalu. 

‘Rindu la. Baru siang tadi jumpa di pejabat. Tapi rindu menggebu macam tak jumpa sebulan. Tak sabar nak tunggu esok. Boleh jumpa you lagi.’ 

Syuhada tarik nafas dalam-dalam setelah membaca mesej tersebut. Matanya dipejam rapat. Semua kenangan bersama lelaki itu terbayang kembali. Sakit. Sangat sakit. 

“Cik Syuhada serius ke dengan Encik Kazim tu?” tanya Fazwan pada satu hari, ketika mereka sedang menyelesaikan beberapa isu berbangkit di bilik pejabatnya. “Cik tahu perangai dia di pejabat macam mana?” 

“Sudah tiga bulan saya di sini, Fazwan. Sudah ramai orang yang saya jumpa. Sudah banyak perangai yang saya temu. Kazim tidak terkecuali, sebab dia kan staf saya.” 

“Juga bekas kekasih awak,” sambung Fazwan laju. Tajam mata Syuhada memandang lelaki itu, meminta penjelasan. “Saya minta maaf, Cik Syuhada.” 

“Saya faham, awak mesti dah siasat segala-galanya tentang saya sebelum awak jumpa saya untuk kali pertama dulu. Tapi itu bukan lesen untuk awak masuk campur dalam kehidupan saya. Suka hati saya nak bercinta dengan siapa!” 

“Dan biarkan hati awak tersakiti lagi?” tanya Fazwan lagi. Kali kedua panggilan ‘awak’ itu keluar dari lisannya. Syuhada menghela nafas halus. “Kalau saya masih cintakan dia, siapa awak untuk menghalang?” 

“Lebih baik cintakan orang yang cintakan kita kerana diri kita, bukan cintakan orang yang cintakan kita kerana harta!” 

“Fazwan…”

“Maaf,” lelaki itu menepuk mulutnya perlahan. “Tak sepatutnya saya masuk campur. Hubungan kita hanya sekadar rakan sekerja. Bukan, Cik Syuhada bos, saya pekerja. Maafkan saya,” Lelaki itu terus keluar dari bilik itu, meninggalkan Syuhada termangu sendiri. Tidak lama kemudian, dia kembali ke mejanya dan melakukan tugasannya seolah-olah tiada apa yang berlaku. 

Mengingatkan peristiwa siang tadi, air mata Syuhada menitis. Dia sedar, dia telah melukakan hati lelaki yang telah mendapat tepat di hatinya ini. Puas menangis, dia mengesat air matanya. Telefon pintarnya dicapai, mesej Kazim kembali dibaca. Kemudian dia menyusun mesej balasan. 

“Rindu awak juga. Jumpa esok.” 

***** 
“Indah betul pemandangan malam ni kan, Kazim?” tanya Syuhada lembut ketika mereka sedang menikmati hidangan di sebuah restoran eksklusif di ibu kota. “Kenapa sebelum ni you tak pernah ajak I makan kat sini?” 

“I tak mampu,” jawabnya selamba. Terangkat kening Syuhada mendengarnya. “Tak mampu? Sekarang ni, you mampu?”

“You bayarkan. Nanti I bayar you balik bila gaji,” lancar sahaja kata-kata itu keluar dari lisan lelaki itu. Syuhada senyum sinis. “Senangnya you cakap.” 

“Ala, jangan macam ni. You sayangkan I, kan?” tanya Kazim separuh merayu. “I memang mampu sebenarnya. Tapi dompet I tertinggal kat rumah. You tolong bayarkan dulu ya?” 

Syuhada telan liur. Perangai Kazim memang tidak pernah berubah! Namun Syuhada tetap melemparkan senyuman manis. “Okey. Apa saja untuk you. I kan sayang you?” 

Kazim senyum lalu dia menghabiskan hidangannya. Sebentar kemudian, dia meminta diri untuk ke tandas. Syuhada diam, tidak menghalang. Hilang sahaja lelaki itu dari pandangan mata, Syuhada semak telefon pintarnya. Mesej dihantar kepada Fazwan. 

‘Esok jumpa saya di pejabat. Ada yang perlu saya jelaskan dengan awak.’

Seminit kemudian, mesejnya berbalas. ‘Tak perlu rasanya. Esok saya akan hantar surat letak jawatan.’ 

Mati senyum Syuhada tiba-tiba. ‘Kenapa tiba-tiba? Awak dapat tawaran kerja lebih baik ke? Atau awak tak selesa bekerja dengan seorang wanita?’

Seminit. Dua minit. Tiga minit. Mesejnya hanya dibaca tanpa dibalas fazwan. Syuhada panas punggung. Namun dia cuba memaniskan wajahnya tatkala Kazim menghampiri. 

“Sedaplah makanan di sini, kan? Nanti kita datang makan di sini lagi, boleh?” 

“Anything for you, dear,” jawab Syuhada. Lembut dan mesra. Kazim senyum meleret. Dia menghulurkan tangannya namun langsung tidak bersambut. “Kenapa?”

“Kita belum kahwin, kan? Mana boleh pegang tangan?” Syuhada bangun. “Tunggu la kita kahwin dulu. Bila kita dah kahwin nanti, you nak lebih dari pegang tangan pun, I rela.” 

Kazim mula tersenyum nakal. “You dah sedia nak jadi yang halal buat I ke, sayang?” 

“You dah sedia?” 

“Dari dulu lagi I dah sedia,” senyuman Kazim makin melebar. Dia gembira, semuanya berjalan mengikut rancangannya. Kazim akan berkahwin dengan Syuhada, dan semua harta wanita itu akan menjadi miliknya. Seronoknya! 

Kazim dan Syuhada berjalan beriringan keluar dari restoran itu. Dari jauh, Fazwan hanya memerhatikan mereka tanpa sepatah kata. Dia hanya diam di dalam kereta, mengekori dari saat Kazim menjemput Syuhada di rumah agam. 

“Mungkin inilah nasib aku. Melihat gadis yang aku cinta, menjadi milik orang lain,” Fazwan menghela nafas halus melihatkan gelagat Kazim yang membukakan pintu untuk Syuhada. “Saya cintakan awak, Syuhada.” 

Mati langkah gadis itu sejurus sebelum dia masuk ke dalam kereta Kazim. Menarik perhatian lelaki itu. “Kenapa?” 

“Tak ada apa-apa,” jawabnya perlahan. Namun jawapan itu belum dapat memuaskan hati lelakinya. Dia tahu, ada sesuatu dalam fikiran wanita itu. 

Aku mesti buat sesuatu! 

***** 
Jalil meluru masuk ke dalam bilik Kazim ketika lelaki itu sedang memeriksa beberapa dokumen. Keterujaan Jalil terbantut apabila melihat anaknya begitu tekun bekerja. “Apa mimpi kau malam tadi?” 

“Apa ni, papa…,” Kazim menutup beberapa fail di hadapannya. “Papa sendiri yang minta saya menangi hati Syuhada. Di luar, dia kekasih saya. Tapi di sini, dia bos. Jadi saya kena la buat kerja saya. Barulah dia yakin dengan saya.” 

“Wah, papa kagum,” Jalil tepuk tangan perlahan. “Ada perkembangan yang baik. Sebelum ni, kau macam pahat dengan penukul. Kena ketuk sikit, baru kau buat kerja. Kali ni, tak perlu disuruh!” 

“Untuk kebaikan papa juga, kan?” Kazim bersuara sinis. “Bukannya saya tak tahu yang papa nak tumpang kekayaan saya nanti.” 

“You are my son. Kalau bukan pada papa, pada siapa lagi kau nak berbakti?” Jalil senyum senget. “Tapi bukan itu yang membawa papa ke sini.” 

“Habis tu?” 

“Tahu apa yang berlaku hari ni?” 

“Fazwan letak jawatan?” 

“Eh? Mana kau tahu?” 

“Syuhada la yang cerita. Dia cakap, dia selalu berselisih faham dengan lelaki tu. Kemuncaknya, bila Fazwan cakap yang saya nak ambil kesempatan. Syuhada marah, dia bagi kata dua. Sama ada letak jawatan, atau dia sendiri yang pecat.” 

“Papa bertambah kagum dengan kau, Kazim,” Jalil tepuk bahunya perlahan. “Syuhada dah semakin percayakan kau. Ini memudahkan kerja kita.” 

Kazim tersenyum bangga. 

“Bila kita nak teruskan rancangan kita?” 

“Papa kena mainkan peranan juga ni. Takkan saya sorang je yang kena buat kerja?” jawab Kazim selamba. Apabila Jalil membuntangkan matanya, Kazim cepat-cepat menyambung, “Papa kena yakinkan mama yang rancangan kita akan berjalan dengan lancar.” 

“Itu la,” Jalil mengeluh kasar. “Tapi papa dah cakap dengan mama, kalau rancangan kita berjaya, mama boleh buat apa yang dia suka kat Syuhada. Termasuk halau dia.” 

“Itu akan terjadi bila kita dah dapat duit dia, begitu?” Kazim tersenyum apabila Jalil angguk kepala. Dalam mindanya, sudah tersusun perancangan seterusnya. Sudah terbayang di ruang mata, majlis perkahwinannya dengan Syuhada yang gilang-gemilang, dihadiri oleh para VIP dan orang ternama. 

Bila tiba waktu, kamu harus bercincinkan aku! 

***** 
“Dah sampai dah? Macam mana perjalanan? Okey?” tanya Zaleha, cuba memaniskan muka menyambut ketibaan Syuhada di rumahnya. “Senang cari rumah ni? Itulah, kalau Kazim datang ambil di rumah, kan senang. Tak payah susah-susah Syu memandu ke sini.” 

Berkerut dahi Syuhada, jarang benar dia dipanggil sebegitu. Jujur, dia kurang selesa. Namun dimaniskan senyumannya. “Tak apalah, puan. Bukan saya yang memandu pun. Pemandu Tan Sri yang hantar saya.” 

“Tak payahlah panggil puan. Pelik pula dengar. Panggil mama je. Lagipun, kita akan jadi keluarga tak lama lagi, kan?” 

Syuhada berdehem kecil mendengar kata-kata Zaleha.“Tapi belum jadi keluarga lagi, kan? Selagi belum ada apa-apa ikatan, selagi itu apa pun boleh terjadi.” 

“Syu masih terasa dengan apa yang berlaku dulu ke?” Zaleha paut lembut bahu gadis itu. “Mama minta maaf. Mama tak tahu yang Syu ni, cucu Tan Sri Saifuddin. Kalau mama tahu…” 

“Mesti saya tak kena halau tempoh hari, kan?” potong Syuhada selamba. Tergamam Zaleha mendengarnya. Syuhada senyum meleret. “Puan Zaleha, saya masih ingat tau. Dan saya takkan lupa. Eh, Encik Jalil tahu tak kisah ni?” 

Merah padam wajah Zaleha. Soalan Syuhada itu langsung tidak berjawab. Gadis itu meneruskan langkahnya, mendapatkan Jalil dan Kazim di ruang tamu. Zaleha mengetap gigi, geram dengan tingkah Syuhada. 

‘Kau tunggu la. Aku akan buat kau melutut depan aku!’ 

Setelah berbual kosong beberapa ketika, Jalil mengajak Syuhada ke meja makan. Lelaki itu mendahului mereka, dan Kazim mengiringi Syuhada. “Awak dah tetapkan tarikh pernikahan kita?” 

“Apa?” 

“Ye la. Takkan kita nak tunggu lama-lama?” Kazim ukir senyuman manis. “Apa salahnya? Lebih cepat, lebih bagus. Tak la kita buat dosa banyak sangat.” 

“Awak tahu apa maksud dosa yang sebenarnya?” tanya Syuhada membuatkan kening Kazim bercantum. “Apa dia?” 

“Kita tahu ia adalah dosa, bila kita terpaksa melakukan dosa untuk melakukannya,” Syuhada terus meninggalkan Kazim terkedu di situ. Dia terus bergerak ke meja makan sebelum langkahnya iba-tiba terhenti. 

Tingkahnya menarik perhatian Jalil. “Kenapa, Syu?” 

Gadis itu tidak menjawab, namun terus membaca kalimah doa ta’awwuz dengan kuat sehingga boleh didengari oleh Jalil, Zaleha dan Kazim yang jauh di belakangnya. 

“Auzubillah Minashaitan Nirajeem,” 
“BISMILLAHILLAZI LA YADURRU MA’ASMIHI SYAIUN FIL ARDI WA LA FIS SAMAIE , WAHUWAS SAMI’UL ‘ALIM” 

Sejurus, semua pinggan mangkuk yang terisi nasi dan lauk-lauk yang terhidang, pecah berderai. Terkejut mereka semua dengan apa yang berlaku. Syuhada masih berlagak selamba. 

“Apa semua ni?” Jalil separuh menjerit. “Apa yang kau dah buat dengan makanan aku?” 

“Tanya saya?” Syuhada masih berlagak selamba. “Tanyalah isteri tercinta encik, apa yang dia letak dalam makanan tu. Dia yang berada di dapur dari tadi, kan?” 

Masing-masing tidak menjawab, memberi peluang kepadanya untuk meneruskan bicaranya. “Sanggup korang buat benda terkutuk ni hanya kerana inginkan saya tunduk pada korang. Ingat saya ni apa? Boneka?” 

“Syu, papa boleh jelaskan semua ni…” 

“Saya tak suka dipanggil macam tu,” potong Syuhada tegas. “Saya juga tak suka orang-orang macam korang. Terlalu pandang darjat dan harta, sampai sanggup menghalalkan semua cara. Minta maaf, saya takkan biarkan diri saya masuk ke dalam keluarga macam ni. Saya minta diri dulu.” 

“Sayang, jangan macam ni,” Kazim cuba menghalang apabila Syuhada berkeras mahu pulang. “Mama tak sengaja buat macam tu.” 

“Tak sengaja?” terangak sebelah kening Syuhada mendengarnya. “Tak apalah. Saya nak balik.” 

“I hantar you balik.” 

“Saya datang sini sendiri, saya juga boleh balik sendiri!” tegas Syuhada lalu dia melangkah keluar dari kawasan perumahan itu. Setelah agak jauh dari rumah Kazim, dia menghubungi seseorang. 

“Sayang, boleh kita jumpa?” 

***** 
Sudah dua minggu sejak peristiwa itu berlalu. Syuhada melayan Kazim dan Jalil seperti biasa apabila berurusan. Namun, apabila Kazim ingin berbincang dengannya soal peribadi, Syuhada cuba mengelak. 

“Kau mesti buat sesuatu, Kazim!” keras nada suara Jalil ketika anak lelakinya itu datang ke biliknya. “Kau kena buat supaya Syuhada tu jatuh ke tangan kita. Dalam kawalan kita!” 

“Saya nak buat macam mana lagi, papa? Sekarang ni, nak bercakap dengan saya pun dia tak mahu,” balas Kazim lemah. Dia sudah mati akal.

“Kita paksa dia!” Jalil bersuara penuh nekad. “Kalau kita tak boleh dapatkan dia dengan cara kasar, kita akan dapatkan dia dengan cara halus!” 

“Maksud papa?” 

“Kau rogol dia, Kazim!” cadangan Jalil itu benar-benar mengejutkan. Kazim pandang mata ayahnya tepat. “Papa betul ke ni?”

“Betul la! Bila benda tu jadi, dia pasti akan minta kau bertanggungjawab. Masa tu, kita boleh genggam dia!” Jalil sudah tersenyum kemenangan. Bagaikan rancangan jahatnya itu sudah terlaksana. 

“Kalau dia buat laporan polis, macam mana?” 

“Dia takkan! Sebab, kita akan rakam suasana tu!” 

“Kurang ajar!” tiba-tiba sesusuk tubuh sasa menyerbu masuk ke bilik itu dan menumbuk Jalil laju. Terdorong lelaki itu ke belakang. Kazim spontan berdiri lalu mencekak kolar baju lelaki itu. “Fazwan?” 

“Lepaskan aku!” pantas Fazwan menepis tangan Kazim. “Binatang pun jauh lebih mulia daripada kamu berdua. Biadap! Maruah Syuhada tu korang letakkan di bawah kaki korang je kan? Mana pergi kemanusiaan dalam diri korang?” 

Sejurus, kelibat Syuhada muncul bersama beberapa orang lelaki berpakaian seragam polis. Pucat lesi wajah Kazim. Wajah Jalil apatah lagi. 

“Tuan, mereka berdua ni yang saya maksudkan. Tuan bolehlah tangkap diorang sekarang,” suara Syuhada kedengaran lembut, tetapi tegas. 

Pegawai polis itu melangkah setapak ke hadapan. "Encik Jalil, Encik Kazim… anda berdua ditahan atas kes pecah amanah dan penyelewengan wang syarikat." 


“Tipu!” jerit Jalil, menarik perhatian pekerja lain di luar bilik itu. “Kau!” jarinya ditunjuk ke dahi Syuhada. “Kau sengaja nak jatuhkan aku, kan? Kau takut aku akan pengaruhi ahli lembaga pengarah untuk jatuhkan kau, kan?” 

“Bukti semua dah ada, Encik Jalil,” sampuk Fazwan. Dia sedikitpun tidak gentar walaupun mata Jalil terjegil memandangnya. “Kau dah berhenti kerja, kan? Kau jangan sibuk!” 

“Fazwan tidak berhenti kerja,” spontan semua perhatian terarah kepada Syuhada. “Sengaja kami buat drama seakan-akan kami berbalah dan dia letak jawatan, supaya mudah bagi dia untuk jalankan siasatan terhadap kamu berdua.” 

“Siasatan?” 

“Dari dulu lagi, Tan Sri Saifuddin dah kesan ada yang tak kena bila akaun tak seimbang. Belum sempat dia nak siasat, dia dah jatuh sakit. Jadi dia minta aku cari cucu dia, Syuhada.” 

Sempat dia memandang ke arah gadis itu sebelum menyambung bicaranya. “Selain menjadi proksi, Syuhada juga diberikan amanah untuk menyiasat tentang hal ni. Tindakan Encik Kazim yang mula rapat dengan dia, sebenarnya memudahkan kerja saya untuk teruskan siasatan.” 

“Saya betul-betul tak sangka yang Encik Jalil sanggup gunakan ilmu hitam untuk buat Tan Sri jatuh sakit, semata-mata untuk bolot harta dia. Bila Tan Sri lantik Syuhada, Encik Jalil nak kenakan dia pula. Ingat saya tak tahu?” 

Terdiam Jalil mendengarnya. Namun berbeza dengan Kazim. Perlahan, dia bangun dan cuba mendapatkan Syuhada. "Sayang…" 

"Jangan kau berani dekat dengan bakal isteri aku!" langkah Kazim terhenti. Dia memandang Fazwan dan Syuhada silih berganti. “Sayang?”

“Aku tak pernah berjanji nak kahwin dengan kau,” giliran Syuhada pula bersuara. “Terutamanya lepas mak kau halau aku dulu. Aku masih ingat, aku takkan lupa.” 

“Maafkanlah mama I, dia tak sengaja…,” Kazim cuba merayu lagi. Namun tidak diendahkan oleh Syuhada. Sebaliknya, dia pandang anggota polis yang sedari tadi, hanya diam membisu. “Tahanlah diorang ni encik. Dah sakit pula kepala saya ni.” 

Meronta-ronta Jalil apabila anggota-anggota polis cuba menggarinya. Kazim pula hanya diam, pasrah apabila diiringi keluar dari pejabat itu. Syuhada dan Fazwan hanya memerhati tanpa kata. Sebaik mereka hilang dari pandangan, Syuhada pamer senyuman nakal. Fazwan kerut dahi, pelik dengan tindakan gadis itu. “Kenapa?” 

“Hai, bakal suami…,” panggilnya penuh nakal. Fazwan hanya senyum manis sambil geleng kepala. “Hai, bakal isteri…” 

***** 
“Aku terima nikahnya Syuhada binti Ramli dengan mas kahwin sebanyak dua ratus ringgit, tunai!”

“Sah!”

“Sah!” 

“Alhamdulilah…,” dan tok kadi mula membaca doa. Fazwan menarik nafas lega, Syuhada yang duduk tidak jauh daripadanya pula mengesat mata. Masing-masing bersyukur, semuanya berjalan dengan lancar. 

“Terima kasih, Tan Sri,” ucap Fazwan setelah selesai upacara membatalkan air sembahyang terhadap Syuhada. “Terima kasih sebab merestui pernikahan kami.” 

“Kalau macam tu, panggilan tu kena ubahlah ya,” Tan Sri Saifuddin senyum. “Lepas ni, tak boleh panggil Tan Sri lagi. Kena panggil atuk.” 

“Baiklah, Taa… atuk,” hampir sahaja lelaki itu tersasul kata. Sudah lima tahun bergelar setiausaha, kali ini bergelar cucu menantu pula. Pasti kekok pada mulanya. 

“Ada…,” panggil Tan Sri Saifuddin. Syuhada menghampiri lelaki itu sambil tersenyum. Tangannya diletakkan di atas tangan lelaki tua itu. “Atuk…” 

“Atuk minta maaf kalau selama ni, hidup Ada susah. Memang salah atuk. Sepatutnya, atuk terima kamu anak-beranak pada kali pertama kamu datang ke rumah atuk. Sungguh, atuk tak tahu yang ayah kamu dah meninggal dunia masa tu. Maafkan atuk.”

“Tak apalah, atuk. Ibu selalu pesan, jangan berdendam dengan atuk. Sebab, macam mana marah sekalipun, atuk tetap darah daging Ada. Keluarga Ada. Ibu juga dah maafkan atuk. Jadi, janganlah atuk risau.” 

Tan Sri Saifuddin tersenyum mendengarnya. “Ruqayah, kamu besarkan anak kamu dengan sangat baik. Ayah sangat bangga dengan kamu, nak.” 

“Atuk…,” Syuhada genggam erat tangan tua itu. “Terima kasih, kerana terima Ada sebagai keluarga atuk. Bukan harta yang Ada inginkan, cuma kasih sayang atuk yang tidak berbelah bahagi.” 

Fazwan senyum melihat kemesraan antara cucu dan datuk itu. Dalam hati, dia mengagumi Syuhada, isterinya. Gadis yang ditemui buat kali pertama, ketika mereka di dalam MRT. Kali pertama. Dia sudah jatuh cinta. 

“Cik Syuhada Ramli,” panggil lelaki itu lembut apabila tren mula bergerak meninggalkan platform. Tindakan lelaki itu mengejutkan Syuhada. ‘Aku tak kenal lelaki ni. Macam mana dia kenal aku?’

“Saya kenal awak ke?” 

“Belum kenal lagi, saya belum perkenalkan diri lagi,” lelaki itu tersenyum, menampakkan lesung pipit di pipi. “Nama saya Fazwan, setiausaha Tan Sri Saifuddin.” 

Mendengarkan nama terakhir yang disebut Fazwan, buat dada Syuhada sesak seketika. Meresahkan Fazwan. “Awak okay?” 

“Ah, saya okay,” Syuhada menghela nafas halus. “Awak setiausaha Tan Sri Saifuddin? Pandai atuk saya cari. Hensem!” 

Mengingatkan itu, Fazwan tersenyum manis. Menampakkan lesung pipit di pipinya. 

TAMAT