“Azeem, I rasa kita tak boleh teruskan hubungan ni. I minta maaf. I nak minta kita putuskan hubungan ni. That’s it.” Syafia membaca sekali lagi mesej tersebut sebelum menekan butang ‘Hantar’. Kemudian dia menyandar di kerusi. Wajahnya sugul, namun dia tidak mengalirkan air mata.
Seminit kemudian, mesejnya berbalas. “Darling, why? Sebab I tak bagi perhatian kat you ke? Sebab you rasa dah tak disayangi ke? Sebab you ada orang lain ke?”
Syafia senyum pahit. “Bukan. Hubungan kita ni memang salah. Dari mula lagi. I tak sepatutnya muncul dalam hidup you.”
“You kata you sayangkan I.”
“Sebab I sayangkan you la, I pilih untuk putuskan hubungan ni. Agar you bahagia, agar kita sama-sama tak tersiksa.”
“Selama ni you tersiksa dengan I?” Syafia memilih untuk tidak membalas mesej tersebut. Dia menetapkan telefonnya dalam mode senyap dan meletakkannya di dalam beg tangan. Kemudian beg itu diletakkan jauh daripadanya, di atas sofa. Laila masuk ke bilik ketika dia kembali ke meja kerjanya, pelik dengan tindakan gadis itu. “Kenapa?”
“Aku cuma tak mahu diganggu,” balas Syafia perlahan lalu melabuhkan duduknya. Dia cuba fokus dengan kerjanya namun kelibat Laila seakan menyindirnya. “Kau kenapa?”
“Kau terganggu dengan aku ke?”
“Bukan kau,” balas Syafia. “Dari sesuatu yang tak sepatutnya aku babitkan diri dari awal.”
Laila senyum. “Akhirnya, kau buat tindakan yang tepat.”
Syafia hela nafas berat. “Ini bukan kali pertama. Aku takut aku akan kalah lagi kali ni.”
“Dan setiap kali kau kalah dengan pujukan Azeem, kau akan jauhkan diri dari aku,” sambung Laila selamba. Dia buat tidak peduli apabila Syafia memandangnya tajam. “Aku bukan baru kenal kau semalam la, Syafia.”
“Kali ni, aku harap sangat kali ni berjaya.”
“Good luck,” Laila bangun dari duduknya. “Aku ingatkan nak ajak kau keluar makan ke apa ke… tapi kau tengah serabut kan. Aku tak nak tambah lagi.”
“Terima kasih,” ucap Syafia. Laila hanya membalasnya dengan senyuman sebelum dia hilang di balik pintu. Syafia memusatkan fokusnya pada tugasan kerja sehingga dia tidak sedar masa menginjak tengahari. Malah ketika Laila masuk kembali pun dia tidak menyedarinya. “Hoi!”
“Oh terkejut mak kau!” Syafia melatah. “Kau ni! Kalau iya pun, bagi la salam dulu.”
“Macam la kau balas. Nur Syafia, bila dah leka dengan kerja, bom meletup pun tak sedar,” usik Laila. “Kau tak reti lapar ke? Dah tengah hari ni. Jom makan. Aku belanja.”
“Okey!” tangan Syafia sudah meliar bagaikan mencari sesuatu. “Mana beg aku?”
“Tu,” Laila memuncungkan mulutnya ke arah sofa, membuatkan Syafia teringat sesuatu. “Er, kau tunggu aku kat lobi ya. Nanti aku datang.”
“Okay,” tanpa banyak bicara, Laila melangkah keluar dari bilik itu. Perlahan Syafia mendapatkan begnya di atas sofa. Telefon pintarnya dicapai. Mesej daripada Azeem dibaca lambat-lambat.
“I nak jumpa you kat kafe biasa. Datang ya. Kita bincang hal ni.”
Syafia hela nafas berat. Patutkah dia jumpa?”
*****
“Hai, Azeem!” sapa Laila sambil melabuhkan duduknya di sebelah lelaki itu yang sedang membelek fail. “Senyap je dari tadi. Kau sakit ke?”
“Jangan kacau la. Aku tengah buat kerja ni,” balas Azeem perlahan tanpa memandang sekalipun kepada gadis itu. “Jangan halang laluan aku untuk jadi pekerja cemerlang.”
“Ah, gedik la kau!” Laila tepuk bahu Azeem laju. “Tak payah nak tunjuk rajin sangat. Dah pukul 5.01 petang dah. Masa untuk balik!”
“Eh, dah habis waktu kerja?” terkejut Azeem. Kemudian dia lebih terkejut apabila melihat jam di dinding. “La, betul la. Kenapa kau tak bagitahu aku?”
“Eh, aku tengah cuci pinggan ke ni?” Laila berlawak. “Jom kita pergi makan. Dah lama kita tak makan bertiga.”
“Dengan siapa lagi?” Azeem kerut dahi. Laila sengih. “Dengan Syafia la. Kenapa?”
Mendengarkan nama itu, Azeem senget bibir. Laila nampak itu. “Ala, tak semestinya kau dah putus cinta dengan dia, kau tak boleh berkawan dengan dia. Tenang aja, okey. Aku yakin, dia boleh je kalau nak berkawan biasa dengan kau.”
“Ye la,” Azeem masih senget bibir. “Aku memang kalah kalau berdebat dengan kau. Baik aku mengalah siap-siap.”
“Macam tu la kawan!” Laila tepuk bahu Azeem lagi. “Aku tunggu kat kereta. Jangan tak datang!”
Azeem hanya menghantar langkah kaki Laila dengan pandangan mata. Kemudian telefon bimbitnya dicapai. Laju jari-jemarinya menari di atas pad kekunci peranti itu.
Dari jauh Laila nampak Syafia tersenyum-senyum sambil membelek telefonnya. Namun senyumannya berubah sebaik sahaja mereka bertemu mata. Cepat-cepat Syafia membetulkan duduknya. “Mana?”
“Dia cakap dia turun sekejap lagi,” beritahu Laila. “Kau bermesej dengan siapa tu? Pakwe baru ke?”
“Mana ada la,” Syafia cuba mengelak. “Siapa la yang nakkan aku ni, Laila oii…”
“Kau tu yang memilih,” selamba Laila membidas. “Kau tunggu si Azeem lagi ke? Tak payah la. Kau tahu kan yang Azeem tu dah kembali kepada kekasih lamanya? Tak payah la kau tunggu dia lagi.”
“Aku tak cakap pun aku tunggu dia,” Syafia memuncungkan mulutnya. “Aku cuma memerlukan masa. Ye la, macam berkabung kan.”
“Orang berkabung tu sebab kematian suami!” Laila jeling tajam. “Kau tu, suami pun belum ada lagi, sibuk nak berkabung. Apa punya fahaman la ni.”
“Eh, dia datang tu,” cepat-cepat Syafia mengalihkan perhatian Laila kepada Azeem yang sedang menapak menuju ke keretanya. Tanpa Laila sedari, Syafia dan Azeem saling berbalas senyuman penuh makna.
*****
“Kau tak keluar ke mana-mana, Laila?” tanya Syafia sambil menatang semangkuk mi segera. “Pelik. Biasanya hujung minggu macam ni, ada je aktiviti kau di luar. Balik kampung la, pergi program motivasi la…”
“Minggu ni mana ada program tu,” balas Laila selamba. “Lagipun aku baru je balik kampung minggu lepas. Balik kampung selalu nanti, tak sempat nak timbul rindu.”
“Dah mula la tu madah pujangga dia tu,” Syafia melabuhkan duduknya di sebelah gadis itu. Laila tergelak.”Sebenarnya aku kesian dengan kau. Tiap-tiap minggu aku selalu tinggalkan kau sorang-sorang kat rumah.”
“Aku okey je la dengan situasi tu,” balas Syafia. “Mula-mula tu aku rasa sunyi la. Tapi lama-lama, aku dah biasa. Kadang-kadang aku pun keluar juga mengisi masa bosan.”
“Kau keluar dengan siapa?” pertanyaan Laila membuatkan suapan Syafia terhenti. Dia pandang gadis itu tidak berkelip. “Aku keluar dengan siapa?”
“Ye la. Keluar sorang-sorang, tak ke bahaya tu?” tanya Laila penuh prihatin. “Lain la masa kau bercinta dulu, kau keluar dengan kekasih kau. Sekarang?”
“Keluar dengan kawan la.”
“Siapa kawan kau?”
“Siapa?”
“Apa?”
“Kawan kau.Siapa? Aku kenal ke dia?” tanya Laila bertubi-tubi. Syafia telan liur. Cepat-cepat dia menghabiskan makanannya dan membawa mangkuk yang kotor ke dapur. “Tak tahu la kau kenal ke tak!” laungnya dari dapur.
“Dia buat dah perangai buruk dia tu,” Laila memuncungkan bibirnya. “Suka sangat melaung macam tu. Dia ingat dia tengah duduk kat gua agaknya.”
“Membebel?” Syafia muncul kembali. “Dia buat dah perangai buruk dia tu. Suka sangat membebel sorang-sorang. Dia ingat orang tak dengar la apa yang dia bebelkan tu.”
Laila jeling tajam. “Kau tak jawab lagi soalan aku.” Syafia kerut dahi. “Aku dah jawab la! Kau tak dengar ke? Menyesal aku jerait dari jauh.”
“Aku mungkin kenal kawan kau? Siapa? Sebut la nama dia. Mana tahu aku kenal dia ke,” Laila senyum, menimbulkan rasa serba salah di hati Syafia. “Er…..”
“Eleh, nak berahsia pula dengan aku,” Laila seakan merajuk. “Tak apa. Satu hari nanti aku akan tahu juga siapa kawan kau tu.”
Syafia senyum pahit. ‘Kalaulah kau tahu siapa ‘kawan’ aku tu, kau mesti marahkan aku. Tak apalah. Suatu hari nanti kau akan tahu juga.’
*****
Telefon bimbit Syafia berdering kuat ketika gadis itu berada di dalam bilik air. Laila yang sedang membetulkan tudungnya, melihat sekilas ke arah peranti tersebut sebelum menjerit nyaring. “Syafia, Azeem telefon!”
“Jangan angkat! Biar je!” jerit Syafia kembali. Cepat-cepat dia keluar dari bilik air lalu mendapatkan telefonnya. Laila jadi pelik. “Kalau iye pun, bilas la badan tu. Ini… kejap panggilan Azeem macam kejar panggilan kekasih!”
Syafia tidak mempedulikan sindiran Lail itu. Dia terus menjawab panggilan tersebut. “Ha, Azeem. Ada apa?”
Langkah kaki Syafia tertuju ke hadapan bilik air, jauh daripada Laila. “Kenapa telefon masa ni?”
“Kenapa? Tak boleh ke?” jawab Azeem di hujung talian. Suaranya kedengaran mesra. “I rindu kat you. Nanti you datang ke pejabat, kan?”
“Mestilah datang. I tahu you rindu. I pun rindu juga,” lembut sahaja suara Syafia. “Tapi you sendiri tak nak hubungan kita diketahui oleh Laila. Dan you telefon waktu-waktu macam ni. Laila boleh syak, tahu?”
“Ala, you cakap la kita cakap pasal kerja. Jangan risau la I tahu macam mana kita nak sorok hubungan kita. Yang penting, you masih sayangkan I.”
“Mestilah I sayangkan you. Nanti you cari akal ya untuk kita makan bersama?”
“Apa saja untukmu, sayang,” mudah kata-kata Azeem mencairkan hati Syafia. Dia senyum simpul. “Love you, Azeem.”
“Love you, Azeem?” terdengar suara Laila di belakang sebaik sahaja Syafia menamatkan panggilan. Syafia terkejut. Wajahnya pucat tidak berdarah. “Laila…”
“Kau masih bercinta dengan Azeem? Kau sedar tak Azeem tu dah kembali dengan kekasih lama dia?” tanya Laila lagi. Sungguh dia tidak menyangka, ‘kawan’ yang dimaksudkan Syafia tempoh hari ialah Azeem.
“Kau tak malu ke? Dia dah ada kekasih, Syafia! Hari-hari dia cakap dengan aku yang dia sayangkan Farzana. Kau sanggup jadi orang ketiga?”
“Kau tak faham, Laila!” akhirnya Syafia bersuara. “Bukan mudah untuk aku melupakan cinta, lebih-lebih lagi bila Azeem adalah cinta pertama aku. Tambahan pula, kita satu pejabat!”
“Itu bukan lesen untuk kau jadi punca Azeem curang, Syafia!” suara Laila makin tinggi. “Kau tak malu ke? Kau tak takut ke kalau Farzana dapat tahu semua ni?”
“Kalau kau tak pecah rahsia, dia takkan tahu!” balas Syafia keras. “Lagipun, dia bukan selalu cari aku pun. Aku sendiri sedar kedudukan aku. Aku redha kalau dia lebihkan Farzana daripada aku.”
“Kau ingat bila kau buat macam ni, Azee akan lebih hargai kau ke?” mata Laila sudah memerah. “Kau kena ingat, kau tu perempuan. Farzana tu perempuan. Sekali kau lukakan hati perempuan lain, sama macam kau lukakan hati kau sendiri!”
“Sebab tu aku cakap kau tak faham!” Syafia sudah separuh menjerit. “Sudahlah. Aku malas nak berbalah lagi. Nanti lambat pula aku sampai ke pejabat.”
“Aku tak rasa nak tumpangkan kau hari ni,” Laila bersuara ketika Syafia sedang bersiap. “Pandai-pandai la kau naik teksi.”
Syafia tidak menjawab. Dia tidak memberikan sebarang reaksi ketika Laila menghempas pintu dengan kuat.
*****
“Macam mana Laila boleh tahu pasal kita?” tanya Azeem keras ketika Syafia bertemunya. Ingatkan boleh melepaskan rindu yang terpendam, namun lain pula jadinya. “Tahu tak, dia datang kat I tadi, marah-marah. Apa yang dia tahu pasal kita?”
Syafia tidak menjawab. Dia terus menghirp minuman di hadapannya. Azeem tidak puas hati. “You, I tanya ni!”
“Yang you tiba-tiba telefon pagi-pagi macam tu, macam mana la dia tak syak?” balas Syafia pula. “You lupa ke, kita di dalam pejabat tak bertegur sapa dah lama? Sejak kita ‘putus’ haritu, dah lupa ke?”
“Kenapa you tak bawa telefon you ke mana saja you pergi? Bukan selalu macam tu ke?” tanya Azeem lagi, masih tidak berpuas hati.
“Takkan I nak bawa ke bilik mandi? Apa, you buat macam tu ke?” geram pula Syafia dengan perangai lelaki seorang ni.
Azeem mendengus kasar. “You kena la berjaga-jaga sikit. Jangan sampai orang syak hubungan kita ni. Bahaya!”
“Asyik I je yang kena selindung segala. Habis you tu?” nada suara Syafia sudah mula naik. “Apa yang you buat selama ni? Berseronok dengan Farzana, tanpa pedulikan perasaan I?”
“Sayang…,” Azeem cuba menggapai tangan Syafia namun laju sahaja gadis itu menepis. “Jangan sentuh I!”
“Okey, I salah. Maafkanlah I, sayang. I terlalu emosi,” pujuk Azeem. Syafia masih beriak wajah selamba. Tiada tanda dia terpujuk dengan kata-kata manis lelaki itu.
“Sayang…,” pujuk Azeem lagi. “Sedangkan nabi ampunkan umat, apatah lagi kita hanya manusia biasa. Maafkanlah I, sayang.”
“Tak tahu la berapa lama I harus bertahan dengan semua ni,” Syafia bersuara. “Kalau I maafkan you, adakah perancangan you nak bertunang dengan Farzana tu akan you batalkan?”
“Mana you tahu ni?” tanya Azeem, nampak terkejut. Syafia pandang lelaki itu sekilas. “Laila. Dia beritahu, you akan bertunang hujung bulan depan. Betul ke?”
Azeem tarik nafas dalam-dalam. “Betul la tu. I dengan Farzana kan dah lama kenal. Bercinta lama-lama pun buat apa? Baik bertunang je. Lepas tu, bernikah.”
“Habis, I?” tanya Syafia. “You nak letak I kat mana dalam hati you?”
“You sentiasa ada tempat istimewa dalam hati I,” jawab Azeem sambil tersenyum. “You masih tak percaya dengan I? Setelah apa yang kita lalui bersama?”
Syafia masih diam. Tidak bersuara sepatah kata pun. Namun dia tidak menghalang tatkala Azeem memegang tangannya. Lembut dan mesra.
“I love you,” ucap Azeem penuh romantis. Dan sekali lagi, Syafia cair.
*****
“Kau dah putus ke dengan Azeem tu?” tanya Laila. Ketika itu mereka sedang menikmati makan tengahari dan Azeem agak jauh daripada mereka.
“Kenapa kau tanya soalan macam tu?” tanya Syafia kembali. Mendengarkan itu, Laila menghela nafas berat.
“Aku dah agak. Kau tak putus lagi dengan dia kan?”
“Yang kau ni nak doakan keruntuhan hubungan cinta orang lain dah kenapa?”
“Sebab kau tu orang ketiga!” balas Laila keras. “Kau sedar tak? Kau tu cuma menempel je antara Azeem dan Farzana. Aku sebagai kawan kau, aku nak kau bahagia.”
“Dengan doakan aku putus dengan Azeem?” Syafia masam. “Kau tahu kan, lelaki boleh kahwin sampai empat?”
“Yakin sangat kau yang dia akan jadikan kau sebagai isteri.”
“Mestilah. Dia kata dia sayangkan aku.”
“Kalau selalu sangat dia ucap sayang, maka perkataan tu jadi tak bermakna. Bersiap sedialah,” sinis Laila memberikan amaran. Syafia buat-buat tidak dengar amaran itu.
“Kalau jadi apa-apa kat kau, memang aku takkan masuk campur!” Syafia sudah lali dengan kata-kata Laila yang satu itu. Dia anggap seperti angin lalu sahaja. Masakan tidak…
“Kau yakin yang Azeem tu akan sayang kau macam mana dia sayang Farzana?” tanya Laila kembali. Syafia senyum sinis. Aku dah agak.
“Kau, tak payah la masuk campur urusan aku dengan Azeem. Sakit aku, biar aku tanggung sendiri.”
“Baik,” Laila angkat bahu. “Suka hati kau.”
Azeem tiba ketika Syafia sudah bangkit ke sinki membasuh tangan. Dia terus menikmati makanannya tanpa melihat kiri kanan. Dia hanya terpandang wajah Laila yang kusam ketika mencapai minumannya. “Apa?”
“Kau boleh buat muka selamba kau tu? Kau sedar tak yang kau dah lukakan hati orang yang sayangkan kau?”
“Apa yang kau merepek ni?”
“Hati Syafia terluka dengan perbuatan kau, tahu tak?”
“Dia tak cakap apa-apa pun!”
“Memang la, sebab dia tak nak kau rasa terbeban dengan dia. Itu pun kau tak nampak ke? Macam mana la kau boleh uruskan semua ni,” Laila tepuk dahi.
“Hal aku dengan Syafia, kau tak perlu masuk campur. Tahu la aku nak uruskan. Dah, jangan kacau aku nak makan,” Azeem meneruskan suapannya. Berapi Laila melihatkan gelagat lelaki itu, Laila bangun dan mendapatkan Syafia di sinki. “Jom kita balik!”
“Kenapa ni?” tanya Syafia. Laila tidak menjawab. Di dadanya masih membara.
*****
Majlis tadarus Al Quran baharu sahaja berakhir. Syafia dan Laila bersama staf pejabat yang lain beratur untuk menikmati juadah moreh yang disediakan pihak pejabat.
“Dah masuk hari kedua puluh kita berpuasa. Dah dua puluh lima hari juga tadarus diadakan di pejabat kita. Sekalipun, aku tak pernah nampak bayang si Azeem tu. Mana dia pergi?” bebel Laila ketika mereka sedang beratur. Syafia diam, dia termenung jauh.
“Syafia! Aku tanya ni!” sergah Laila. Syafia terkejut, namun sebentar kemudian dia mengeluh halus. Laila senyum senget. “Ni mesti ada yang tak kena ni.”
“Mana la aku tahu,” balas Syafia lemah. “Bukannya selalu dia ada dengan aku. Kau tu, boleh je telefon dia. Kenapa kau tak buat?”
“Sebab dia tak jawab panggilan aku la, aku tanya kau ni!” jawab Laila separuh memerli. “Kau kan selalu berhubung dengan dia secara rahsia.” bisiknya lagi.
“Hish, nanti orang dengarlah!” mata Syafia sudah meliar memandang sekeliling. “Farzana datang sini bulan puasa ni. Ada kursus pendek kat sini. Jadi dah tentulah, Azeem kena luangkan masa bersama tunang tercinta.”
“Macam cemburu je bunyinya tu,” usik Laila. “Itulah, nak bercinta dengan hak orang, memang macam tu la risikonya.”
“Diamlah. Nanti orang dengar.”
“Dah memang itu risiko yang perlu diambil. Hadap je la.”
“Iya, aku redha. Puas hati kau?” ucap Syafia geram. “Tak faham aku dengan kau ni. Mula-mula kau cakap tak nak ambil tahu tentang kitorang. Tapi lepas tu tanya macam-macam.”
“Aku prihatin, sebab aku kawan kau. Aku tak nak la tengok kau terluka sebab lelaki tak guna tu!”
“Tak guna pun, kau berkawan juga dengan dia.”
“Berkawan je, bukan bercinta?”
“Siapa bercinta?” satu suara asing dari belakang mengejutkan mereka berdua, pantas mereka menoleh ke belakang. Masing-masing telan liur melihat kelibat seorang wanita. “Puan Zuraida.”
“Kenapa saya tak pernah nampak Azeem setiap kali tadarus diadakan? Dia tak mahu ke dapat keberkatan membaca Al Quran di bulan Ramadan?”
“Dia ada urusan kot, bos,” jawab Syafia selamba. Dia hanya sedar apabila wanita itu memandangnya tepat. “Kenapa?”
“Cuba awak telefon dia, saya nak cakap dengan dia,” arah Puan Zuraida. Tanpa kata, Syafia menghubungi lelaki itu menggunakan telefon bimbitnya. Terdengar suara wanita menjawabnya di hujung talian. “Helo!”
“Er, helo. Azeem ada?”
“Kau siapa? Sibuk sangat cari tunang aku?” jerkah suara itu di hujung talian. Syafia tergamam. Wajah Puan Zuraida dan Laila dipandang silih berganti.
*****
“Kau okey, Syafia?” tanya Laila. Sejak gadis itu menghubungi Azeem semalam atas arahan Puan Zuraida, dia terus membisu seribu bahasa, walaupun majikannya itu mendesaknya.
Syafia hanya menganggukkan kepala. Dia masih diam membisu. Laila teleng kepala memandangnya. “Kau macam sembunyikan sesuatu. Betul tak cakap aku?”
Soalan Laila masih tidak berjawab. Syafia terus menumpukan perhatiannya kepada kerja-kerja yang sedang bertimbun. Hari Raya akan menjelang tidak lama lagi. Pasti, banyak perkara yang perlu diselesaikan.
“Apa lagi yang si Azeem tu sakitkan kau kali ni, Syafia? Dia ni kan… bulan-bulan puasa ni masih nak buat hal.” kata-kata Laila itu mengingatkan Syafia dengan peristiwa semalam.
“Er, helo. Azeem ada?”
“Kau siapa? Sibuk sangat cari tunang aku?” jerkah suara itu di hujung talian. Syafia tergamam. Wajah Puan Zuraida dan Laila dipandang silih berganti. “Saya Syafia. Kawan sepejabat Azeem. Saya telefon ni sebab... “
“Kau jangan nak tipu aku!” jerkah suara itu lagi. “Kau orangnya yang menggatal dengan tunang aku, kan?”
“Er…”
“Dah tak ada orang lain ke kau nak menggatal? Apa, dah habis ke lelaki bujang kat kota ni, sampai tunang aku pun kau nak rampas?”
“Apa ni?”
“Apa ni, kau tanya? Aku yang patutnya tanya kau. Kenapa kau sibuk sangat nak menggatal dengan tunang aku, sampai dia simpan nombor telefon kau dengan nama Sweetie?”
Hampir putus nafas Syafia mendengar nama itu. Sweetie… sudah lama nama itu tidak didengarinya. Azeem simpan nombor telefonnya dengan nama itu?
“Kau ingat, bila dia simpan nombor telefon kau dengan nama tu, kau dah boleh menangi hati dia? Jangan mimpi! Dia tunang aku, dia hak aku!”
“Syafia!” panggilan cemas salah seorang rakan sepejabatnya mematikan lamunannya. Segera dia bangun. “Kenapa, Azila?”
“Ada orang mengamuk kat luar tu. Tak habis-habis dia sebut nama kau. Baik kau pergi tengok cepat!”
Syafia dan Laila memandang sesama sendiri. “Farzana!”
Pantas mereka berdua berlari ke pintu utama. Dari jauh, kelihatan seorang gadis sedang menjerit-jerit kemarahan. Kelibat Azeem juga kelihatan bagi memujuk gadis itu, namun gagal.
“Farzana!” panggil Laila. Gadis itu menoleh pantas. Dan spontan, tangan Farzana hinggap di pipi Laila.
Pang!
“Laila!” segera Syafia mendapatkan Laila yang sudah terjelepuk ke lantai. Orang ramai hanya menyaksikan drama yang berlaku. “Kau okey?” tanya Syafia prihatin.
“Kau nasihatkan kawan kau ni, jangan berani-berani dekat dengan Azeem lagi. Jangan cari pasal dengan aku!”
“Apa yang berlaku ni?” suara Puan Zuraida lantang kedengaran. Syafia, Laila, Farzana dan Azeem terkedu memandangnya.
*****
“Saya benar-benar tak sangka, kamu berdua sanggup buat perkara tak senonoh ni!” Puan Zuraida benar-benar marah. Pertelingkahan yang berlaku di pejabatnya pagi itu benar-benar mencabar kesabarannya. Apatah lagi ia melibatkan pekerjanya.
“Tak cukup ke seorang, Azeem? Yang kamu nak pasang dua tu dah kenapa? Dah tu, dapat kawan yang kuat cemburu pula tu! Tak malu ke dengan orang sekeliling?”
Azeem masih diam seribu bahasa. Kelu lidahnya apabila majikannya itu masuk campur dalam urusan mereka, sekaligus menyebabkan hubungan rahsianya dengan Syafia terbongkar.
“Kamu, Syafia!” merah matanya memandang gadis itu. “Dah tak ada lelaki bujang yang boleh kamu ajak bercinta? Nak juga yang ada kekasih macam ni!”
Syafia tunduk memandang lantai. Malu kerana rahsianya terbongkar dengan cara sebegitu. Segan kerana Laila pula yang menerima kesan akibat perbuatannya itu.
“Tak kesian ke dengan Laila? Dia yang kena tampar tau, bukan kamu! Nasib baik dia tak apa-apa. Kalau jadi apa-apa dengan dia, korang berdua kena bertanggungjawab!”
“Saya minta maaf, puan.”
“Minta maaf dengan saya buat apa? Bukan dengan saya awak buat salah!” suara Puan Zuraida mulai merendah. “Minta maaf dengan Laila tu. Kesian dia. Lebam pipi dia kena tampar dengan tunang Azeem.”
Sempat wanita itu menjeling ke arah Azeem yang diam sedari tadi. “Kamu tak nak cakap apa-apa, Azeem?”
“Saya…,” tergagap lelaki itu bersuara. “Saya tahu, saya salah. Tapi, bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.”
Buntang mata Syafia mendengarnya. Pandangannya tepat ke arah Azeem. “You nak cakap I ni terhegeh-hegeh nakkan you? Macam tu?”
“Macam yang I cakap tadi, bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi,” ujar Azeem lagi. Syafia ketap gigi geram. Tak sangka…
“Azeem, kamu sedar tak apa yang kamu cakap ni?”
“Puan, hal peribadi saya tak ada kena-mengena dengan kerja. Jadi rasanya, tak perlulah puan masuk campur.”
“Biadapnya kamu, Azeem,” kata-kata Puan Zuraida buat Syafia telan liur. “Kamu sedar tak, prestasi kerja kamu menurun teruk sejak akhir-akhir ni. Kerap ponteng kerja, tugasan tak siap ikut jadual… banyak aduan yang saya terima pasal kamu, tahu tak?”
Terdiam Azeem mendengarnya. Dia pandang Syafia tajam sebelum mengalihkan pandangannya ke arah Puan Zuraida. “Saya… saya…”
“Tak perlu cakap banyak. Awak dipecat!” ucapan itu benar-benar mengejutkan Azeem dan Syafia.
*****
“I nak jumpa you kat kafe biasa. Datang ya. Kita bincang hal ni.”
Azeem menanti dengan penuh kesabaran. Selepas dipecat Puan Zuraida tiga bulan lalu, kehidupan Azeem terumbang-ambing. Dia cuba mencari pekerjaan namun gagal. Farzana langsung tidak mahu mengambil tahu, katanya “itu pembalasan sebab curang.” Namun Farzana tidak memutuskan pertunangan mereka.
Dalam tempoh tiga bulan ini, Syafia yang menanggung kehidupan Azeem. Makan pakainya, rumah sewanya. Malah bil telefon juga dibayar gadis itu. Sedikit sebanyak, dia berasa selesa dengan keadaan itu. Namun apabila dia menerima mesej daripada Syafia meminta hubungan mereka diputuskan, Azeem jadi tidak tentu arah.
Siapa yang akan bantu dia selepas ini? Siapa yang akan jadi ‘mesin ATM’ dia? Siapa yang akan tanggung dia? Siapa yang akan bayarkan hutangnya selepas ini?
“Encik, nak minum?”
“Tak apa. Saya tunggu kawan. Dia sampai nanti, baru saya buat pesanan.” jawabnya sopan. Pelayan itu angguk dan berlalu dari situ. Masuk ini, sudah lima kali pelayan bertanyakan hal yang sama.
Azeem membelek jam tangannya untuk kesekian kalinya. Dia mengeluh untuk entah kali ke berapa. Usahkan batang hidung, bayang Syafia pun tidak kelhatan. Azeem mula susah hati.
“Encik…,” pelayan itu datang lagi.
“Sekejap lagi, boleh? Kawan saya tak sampai lagi.”
“Maaf ya. Kafe ni akan ditutup dalam masa setengah jam lagi,” beritahu pelayan itu membuatkan Azeem tersentak. Baru disedarinya, hanya dia seorang pelanggan di situ. Cepat-cepat dia membuka langkah keluar dari kafe itu. Sambil-sambil itu pandangannya meliar memandang sekeliling.
“Mana Syafia ni? Kafe dah nak tutup pun dia masih belum muncul. Dia serius ke dengan apa yang dia cakap tu, sebab tu dia tak datang?”
Bunyi telefon pintar yang berbunyi nyaring membuatkan Azeem cepat-cepat mencari peranti itu. Seperti yang diduga, mesej daripada Syafia. Cepat-cepat dia membukanya. Sekejapan, wajahnya yang bercahaya menjadi muram tiba-tiba.
“Baca dan hayati lirik lagu ini, Azeem. Inilah perasaan dan keputusan Syafia ketika ini. Harap Azeem faham. Minta maaf dan terima kasih.
Hei, Sephia, Malam ini 'ku takkan datang, Mencoba 'tuk berpaling sayang, Dari cintamu
Hei, Sephia, Malam ini 'ku takkan pulang, Tak usah kau mencari aku, Demi cintamu
Hadapilah ini, Kisah kita takkan abadi
Selamat tidur kekasih gelapku
Semoga cepat kau lupakan aku
Kekasih sejatimu takkan pernah sanggup untuk melupakanmu
Selamat tinggal kasih tak terungkap
Semoga kau lupakan aku cepat
Kekasih sejatimu takkan pernah sanggup untuk meninggalkanmu
Hei, Sephia, Jangan pernah panggil namaku,
Bila kita bertemu lagi, Di lain hari
Hadapilah ini, Kisah kita takkan abadi…”
Terlepas telefon pintar dari tangan Azeem. Tangannya menggigil. Matanya berkaca. Tidak disangka, dia nekad dengan keputusannya.
Syafia…
TAMAT