"Maha Suci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa’ dan Qidam. Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa. Maha Suci Tuhan yang menjadikan mati. Dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa."
"Maha Suci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran. Untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai. Dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup."
“Ingatlah! Bahawa sekalian makhluk Allah akan jahanam dan binasa. Melainkan zat Allah Taala, Dialah Tuhan yang Maha Besar berkuasa menghukum. Manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadrat Allah Taala.”
“Wahai Eidlan Hamzah bin Saadah, wahai Eidlan Hamzah bin Saadah, wahai Eidlan Hamzah bin Saadah. Hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah. Yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini. Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat. Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah. Dengan sebenar-benarnya melainkan Allah. Dan bahawasanya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah.”
“Ingatlah wahai Eidlan Hamzah bin Saadah. Apabila datang kepada kamu dua malaikat yang serupa dengan kamu. Iaitu Mungkar dan Nangkir, maka janganlah berasa gentar dan takut.
Janganlah kamu berduka cita dan risau. Serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut.”
“Ketahuilah wahai Eidlan Hamzah bin Saadah. Bahawasanya Mungkar dan Nangkir itu hamba Allah Taala. Sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala. Apabila mereka menyuruh kamu duduk. Mereka juga akan menyoal kamu.”
“Mereka berkata: Siapakah Tuhan kamu? Siapakah Nabi kamu? Apakah agama kamu? Apakah kiblat kamu? Siapakah saudara kamu? Apakah pegangan iktikad kamu? Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?”
“Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka. Dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul. Janganlah berasa gementar, janganlah cuak. Dan janganlah tergopoh-gapah.”
“Biarlah tenang dan berhati-hati, hendaklah kamu jawab begini: Allah Taala Tuhanku,
Muhammad nabiku, Islam agamaku, kitab suci Al-Quran ikutanku, Baitullah itu kiblatku,
Malahan solat lima waktu, Puasa di bulan Ramadhan, Mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku, Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku, Bahkan dari masa hidup hingga aku mati , Aku mengucap: “La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah”.”
“Wahai Eidlan Hamzah bin Saadah tetapkanlah hatimu. Inilah dia suatu dugaan yang paling besar. Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal di dalam alam Barzakh. Sehingga sampai satu masa kelak. Kamu akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar.”
“Insaflah wahai Eidlan Hamzah bin Saadah. Bahawasanya mati ini adalah benar. Soalan malaikat Mungkar dan Nangkir di dalam kubur ini adalah benar. Bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar. Berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar. Dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar. Minum di kolam air nabi adalah benar. Ada syurga dan neraka adalah benar. Bahawasanya hari Kiamat tetap akan adanya.
Begitu juga Tuhan yang Maha Berkuasa. Akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur.”
“Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah. Dan selamat tinggal kamu di sisi Allah Taala.
Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu. Tuhan jua yang menetapkan hati kamu. Kami sekalian berdoa mudah-mudahan Allah Taala. Menjinakkan hati kamu yang liar.
Dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu. Yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini. Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan. Dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu.”
“Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepadaMu supaya tidak
diseksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW. Subhana rabbika rabbil izzati amma ya sifun wassallamu alalmursalinwalhamdulillahi rabbil alamin.”
*****
“Assalamualaikum, mak!” ramah Eijaz bersuara sambil menanggalkan kasut di muka pintu. Tubuhn dihempas lemah di atas sofa. Matanya terpejam.
“Waalaikumsalam. Penat nampaknya tu, Eijaz, tegur Saadah, keluar dari dapur menatang minuman, lalu diletakkan di hadapan Eijaz. “Terima kasih, mak.”
“Sama-sama,” Saadah hanya melihat anak gadisnya menghirup minuman yang dibawanya. “Banyak kerja, ya?”
“Banyak, mak,” rengek Eijaz manja. Dia peluk Saadah penuh kasih. “Penay memang penat. Tapi bila peluk mak je, semua penat tu hilang.”
“Banyaklah kamu,” Saadah senyum senget. “Kamu dah solat?”
“Dah.”
“Dah makan?”
“Belum.”
“Dah, pergi mandi. Badan tu berbau masam dah,” usik Saadah sambil cuba meleraikan pelukan namun gagal. Makin dicuba, makin Eijaz mengeratkan pelukannya.
“Hish, budak ni,” Saadah mendengus geram. “Pergi mandilah! Karang melekat bau masam kamu ni kat mak pula. Mak dah mandi la!”
Eijaz ketawa besar. Tas tangan dicapai sebelum dia menapak naik ke biliknya. Selesai membersihkan diri, dia turun semula ke ruang makan. Lauk-pauk yang terhidang menarik perhatiannya.
“Mak rindukan abang, ya?” tanya Eijaz perlahan. “Ni semua lauk kegemaran abang ni.”
“Nampak sangat ke?”
“Nampak ketara pun saya tak kisah, mak. Anak mak juga, kan?” Eijaz tarik kerusi untuk duduk. “Bukan saya seorang anak mak.”
“Dah tujuh tahun, Eijaz. Rasa macam baru semalam Eidlan tinggalkan kita,” suara Saadah terdengar sayu.
Eijaz tidak menjawab. Dia teringat salah seorang sahabatnya pernah berkata, “Rindu yang paling sakit adalah rindu pada yang telah meninggal dunia. Rindu yang tiada penghujung.”
“Saya pun rindukan abang.”
“Mak ingatkan mak yang akan pergi dulu, sebab mak dah tua dan selalu sakit-sakit,” luah Saadah lagi. “Tapi itulah. Syarat mati tak semestinya tua. Tak semestinya sakit. Kalau Allah dah tetapkan ajal kita macam mana, tak ada siapa mampu halang.”
“Mak, hujung minggu ni kita ke kubur abang, nak?”
“Hah?”
“Jomlah,” ajak Eijaz lagi. “Bukan mak kata mak rindu ke?”
“Kamu tak kerja ke?’
“Hesh, mak ni. Mana saya kerja hujung minggu,” Eijaz senyum-senyum sambil angkat kening. Lambat-lambat Saadah mengangguk setuju. Eijaz bersorak riang. “Yeah!”
Selepas makan, Eijaz mengambil tugas Saadah di dapur, membasuh pinggan mangkuk. Kenangan bersama Eidlan singgah di lubuk ingatan, membuatnya tersenyum sendiri.
“Apa ni, abang?” Eijaz terjerit kecil apabila Eidlan memercikkan air ke wajahnya. Banyak pula tu! “Basahlah baju adik macam ni!”
“Eleh, setakat baju buruk macam tu, abang boleh beli sepuluh la!” Eidlan jelir lidah.
“Mak, tengok abang ni!”
“Abang….,” panjang nada Saadah kedengaran dari ruang tamu, membuatkan tingkah nakalnya terhenti seketika.
Hanya seketika. Sekali lagi Eidlan memercikkan air ke arah Eijaz sebelum dia berlari ke biliknya.
“Abang!”
“Hah, tu teringatkan siapa la pula tu?” suara kuat Saadah menyedarkan Eijaz daripada lamunannya. “Teringatkan teman lelaki la tu.”
“Mak!”
*****
“Ini senarai pekerja baru kita?” tanya Eijaz kembali untuk kepastian. Diteliti lagi senarai tersebut. “Azeem… Hamzah… Abdullah…”
“Nak saya panggilkan diorang ke?” tanya Nabila, pembantunya membuatkan Eijaz terkejut. “Diorang dah sampai ke?”
“Dah. Ada kat luar tu.”
“Kalau macam tu, panggillah diorang masuk,” lembut Eijaz memberi arahan. Sudah menjadi tradisi dalam syarikat itu, untuk pekerja baru akan menemui atasan mereka sebelum memulakan kerja.
“Assalamualaikum semua,” ramay Eijaz menegur semua yang ada di hadapannya. “Saya tak ada masa sesi temuduga tempoh hari. Jadi ada eloknya kita berkenalan sekarang. Supaya mudah urusan kita di masa akan datang.
Selesai Eijaz memperkenalkan dirinya, seorang demi seorang pekerja baru memperkenalkan diri mereka sehinggalah pekerja terakhir mendiamkan diri. Agak lama. Tingkahnya itu menarik perhatian Eijaz. “Awak okey?”
“Ah, maaf. Saya…,” lelaki itu tarik nafas dalam-dalam. “Nama saya Azeem, dan saya baru keluar dari penjara.”
Suasana hening seketika. Semua mata tertumpu ke arah lelaki itu, membuatkan dia tunduk memandang lantai. “Maaf, kalau kalian kurang selesa.”
“Apa yang buat awak buat pengakuan tu?” tanya Eijaz membuatkan Azeem mengangkat wajahnya. “Sebab Cik Eijaz percayakan kami.”
“Maksud awak?”
“Bila Cik Eijaz cakap cik nak berkenalan dengan kamu, saya anggap cik nak percayakan kami. Saya tak nak kepercayaan tu musnah sebab cik dengar cerita buruk tentang saya dari orang lain.”
Eijaz hela nafas halus. “Saya tak nak panggil awak bekas banduan. Kejam sangat kedengarannya. Tapi, awak tahu kan, persepsi masyarakat terhadap orang-orang yang pernah ke penjara macam awak?”
“Saya tahu.”
Eijaz ukir senyum nipis. Nabila yang berdiri di sebelahnya dipandang. “Saya nak awak keluarkan notis. Tiada siapa yang boleh bercerita tentang kisah Azeem masuk penjara. Tanya dia pun tak boleh. Dia nak mulakan hidup baru, jadi kita kena sokong dan bantu dia.”
“Cik Eijaz?”
“Notis ini berkuatkuasa serta-merta,” wajah Azeem yang terlihat bingung dipandang. “Awak dah percayakan saya dengan pengakuan tu. Takkan saya nak hancurkan kepercayaan awak pula, kan?”
“Tapi Cik Eijaz….”
“Awak pun manusia macam saya juga. Dan setiap manusia berhak dapat peluang kedua. Saya takkan ambil hak tersebut daripada awak,” Eijaz menoktahkan kata-katanya. “Saya ucapkan selamat maju jaya kepada awak semula. Selamat bekerja.”
Semua pekerja baru itu mengucapkan terima kasih sebelum meminta diri. Sebaik semuanya keluar dari bilik itu, Eijaz menapak ke mejanya. Gambar bersama Eidlan ketika lelaki itu menghadiri konvokesyen diambil dan ditilik perlahan.
“Abang, adik tak pernah lupa abang. Setiap kata-kata abang, adik guna balik dalam kehidupan abang. Moga abang tetap tenang di sana ya.”
Al Fatihah…
*****
“Banyaknya mak masak ni?” tegur Eijaz apabila melihat lauk-pauk yang terhidang di atas meja. Ada juga yang telah diletak di dalam bekas makanan. “Mak nak bersedekah dengan siapa ni?”
“Eh, lagi mahu tanya?” Saadah angkat kening. “Bukan ke dia yang bagitahu yang dia ada jamuan di pejabat hari ni?”
“Memang saya ada cakap. Tapi, tak ada pula saya minta mak masak lauk ni semua.”
“Suka hati mak la,” Saadah senget bibir. “Bukan selalu mak nak jamu rakan sekerja kamu dengan air tangan mak ni.”
“Dengan saya, mak tak jamu pun begini,” sengaja Eijaz memuncungkan mulutnya. “Nampak sangat mak sayangkan orang luar lebih dari anak sendiri.”
“Jangan kamu nak buat drama swasta pula kat sini. Sekeh kang,” kata-kata Saadah buat Eijaz gelak besar. “Bekas khas ni kamu bagi kat… siapa namanya?”
“Siapa?”
“Alah, yang anak yatim tu. Azam? Azim?”
“Azeem, mak,” Eijaz senget bibir. “Lain macam mak punya baik dengan si Azeem tu. Ada apa-apa ke ni?”
“Ada la.”
“Mak nak kahwin dengan dia ke?”
“Hesh, kamu ni!” Saadah lembut bahu Eijaz yang sudah ketawa besar. “Dia kan anak yatim. Apa salahnya mak bagi perhatian kat dia. Apa orang kata, sebarakan kasih sayang? Ha, itu dia.”
“Azeem tu lelaki. Mak tu perempuan,” ujar Eijaz. “Nanti apa pula orang kata.”
“Bukannya dia datang rumah pun. Mak bagi makanan je. Itu pun melalui kamu, sebagai perantara,” balas Saadah. “Kamu jangan risau la.”
“Mak…”
“Mak dah tak ada anak lelaki lagi, Eijaz,” sambung Saadah membuatkan Eijaz mati kata. “Bila dia datang dalam hidup kamu, entah kenapa, mak rasa dekat dengan dia. Jadi apa salahnya mak berkongsi kasih sayang?”
“Tapi mak jumpa dia pun belum, kan?”
“Kasih sayang tidak mengenal batas, kan?” Saadah senyum sambil angkat kening. Power lagi rupanya madah bicara mak ni. Ingatkan dah tumpul dah.”
Mak!” Eijaz terjerit kecil. “Baru saya nak mendalami ayat mak tu. Aduh, emak siapalah ni…”
“Dah, kamu jangan nak banyak bunyi. Jangan lupa bawak bekalan ni semua. Jangan lupa bekal untuk anak mak tu sekali.”
“Anak mak, konon. Nama dia pun mak lupa.”
“Eijaz!” tawa gadis itu meletus lagi.
*****
Eijaz masih tekun membuat kerja-kerjanya sehingga jam telah menginjak angka tujuh. Matahari pun sudah mula berlabuh. Baru dia tersedar, hanya dia yang masih berada di pejabat.
“Aduh, lambat lagi! Mesti mak risau ni. Dahh janji nak balik awal, tetap balik lambat. Anak macam apalah aku ni.”
Eijaz terus membebel sambil mengemas barang-barangnya. Kemudian dia terus keluar dari pejabat dan menguncinya dengan cermat. Lif yang ditunggu terasa lama pula kali ini.
“Jangan bergerak,” terdengar satu suara garau di cuping telinganya. Mata Eijaz membesar. Kaku tubuhnya apabila terasa benda tajam singgah di pinggangnya. Eijaz telan liur. “Kau nak apa?”
“Kau bagi saja barang berharga yang ada pada kau. Cepat!”
“Aku tak ada apa-apa!”
“Bohong!”
“Aku cakap benda betul!”
“Jangan bohong!” keras suara itu. “Aku tahu, kau bos kat sini. Kau banyak duit. Bagi kat aku sekarang!”
Degup jantung Eijaz semakin kencang. Seluruh tubuhnya menggigil. Dalam fikirannya ketika itu, hanya satu kata. Mati!
“Baik kau bagi je apa yang kau ada. Kalau tak…. kau layan aku pun boleh juga. Aku ni pun dah lama tak dapat perempuan.”
“Kurang ajar!”
Sejurus, lelaki itu tersungkur ke lantai. Azeem yang muncul entah dari mana, terus menumbuk lelaki itu tanpa henti. Kaki Eijaz melemah. Dia terjelepuk di lantai.
“Biadap! Salah orang yang nak samun!” Azeem kedengaran benar-benar marah. Makin kelu lidah Eijaz melihat reaksi Azeem yang tidak disangka-sangka.
“Kau tak tahu ke kawasan ni ada CCTV?”
“Azeem, dah la tu. Mati dia nanti,” Eijaz bersuara takut-takut. Azeem menoleh garang, namun segera sejuk melihat wajah Eijaz yang ketakutan. Pantas dia melepaskan lelaki itu dan mendapatkan Eijaz.
“Bos okey?”
“Saya…. saya….”
“Boleh bangun?” tanya Azeem lagi. “Kita buat laporan polis. Kita heret dia ni ke balai.”
“Ba.. baik. Eh…,” Eijaz tergamam sekali lagi apabila melihat lelaki itu sudah bangun dan menghunuskan pisau. Azeem yang menyedari tingkah Eijaz, segera menoleh. Namun segalanya sudah terlambat.
“Ergh!”
“Azeem!”
*****
“Eijaz!” teralih perhatiannya seketika apabila mendengar namanya dipanggil. Dia menghela nafas lega saat melihat sesusuk tubuh yang menghampirinya. “Mak!”
Mereka berdakapan seketika sebelum Saadah membelek tubuh anaknya itu. “Kamu tak apa-apa, kan? Kamu tak cedera, kan?”
“Tak. Tapi Azeem….,” terhenti kata-kata Eijaz mengingatkan lelaki itu. Air matanya tumpah lagi. Saadah mengurut bahunya perlahan. “Insya Allah. Dia takkan apa-apa.”
“Dia cedera sebab Eijaz, mak.”
“Kamu cakap dia kena tikam kat bahu kan? Kan jauh dari jantung tu?”
“Tapi dia hilang banyak darah,” adu Eijaz lagi. “Dia jadi macam tu sebab nak selamatkan saya. Kalau jadi apa-apa kat dia….”
“Kita doakan dia ya?” Saadah ukir senyum nipis. “Kita doak, dan yakinlah bahawa Allah akan makbulkan doa kita.”
“Baik, mak,” tiada lagi esak tangis daripada Eijaz, namun dia tunduk memandang lantai. Peristiwa senja tadi kembali terbayang di ruang fikiran.
“Azeem!” jerit Eijaz kuat saat melihat darah banyak keluar, kesan tikaman itu. Namun Azeem nampak tidak terkesan. Pisau yang terbenam di bahu, dikeluarkan dengan susah payah. Darah membuak-buak keluar. Azeem tidak peduli, dia ingin menyerang lelaki itu semula, namun bayangnya sudah tiada di situ.
“Azeem, kita ke hospital ya?” serak suara Eijaz. Dia cuba mendapatkan Azeem yang kelihatan sudah goyah. Azeem pandang wajah Eijaz lalu cuba tersenyum nipis.
“Eijaz...,” lelaki itu rebah menyembah lantai. Mengejutkan Eijaz. “Azeem!”
“Eijaz,” suara Saadah menyedarkannya daripada lamunan. Dia membetulkan duduknya. “Ya, mak?”
“Doktor panggil tu.”
“Oh,” Eijaz bingkas bangun, mendapatkan seorang lelaki berkot putih yang sedang menunggunya. Doktor itu menjelaskan sesuatu, dan Eijaz terangguk-angguk mendengar. Selesai, doktor itu kembali masuk ke wad kecemasan. Eijaz kembali ke tempat duduknya.
“Apa yang doktor cakap, Eijaz?”
“Tadi doktor cakap, Azeem hilang banyak darah tadi sebab dia cabut pisau tu. Tapi sekarang keadaannya dah stabil.”
“Hilang banyak darah?” tanya Saadah, risau. “Habis tu?”
“Tadi Eijaz derma darah kat dia.”
“Sama darah ke Eijaz dengan dia?”
“Ya.”
“Hurm,” Saadah garu dagu. “Ada jodoh ni.”
“Mak!”
“Eleh, malu la tu. Tengok, muka dah merah,” giat Saadah. “Keadaannya dah stabil kan? Atau…”
“Dah stabil, mak.”
“Nah, makan ni,” Saadah hulur coklat yang kebetulan dibawanya. “Kamu perlu tenaga lepas derma darah.”
“Terima kasih, mak.”
“Kita masih belum boleh jumpa dia ke, Eijaz? Mak nak ucapkan terima kasih sebab dah selamatkan anak mak,” Saadah hela nafas halus. “Mak ingat, mak nak jemput dia ke rumah lepas dia sihat nanti.”
Mendengarkan permintaan Saadah, Eijaz teringat riak wajah Azeem sebelum dia rebah tidak sedarkan diri. Cara Azeem memanggilnya ketika itu, belum pernah dilakukannya sebelum ini.
“Azeem….”
*****
“Eh, awak buat apa kat situ?” tanya Eijaz apabila melihat Azeem masih kaku di tempatnya. “Jomlah masuk.”
“Eijaz, betul ke apa yang awak cakap siang tadi?” pecah tawa gadis itu mendengar pertanyaan Azeem. “Betul la. Apa, awak ingat saya tipu awak ke?”
“Bukan. Tapi…,” Azeem telan liur. “Kita ni baru tiga bulan berkawan. Takkan secepat itu awak nak…”
“Memang kita baru tiga bulan berkawan. Tapi kita kenal dah hampir setahun, kan? Apa salahnya?” tanya Eijaz lagi. “Lagipun, mak saya dah anggap awak macam anak sendiri, sebelum dia jumpa awak di hospital lagi.”
“Betul ke?”
“Betul la. Apa, awak takut ke nak jumpa bakal mak mertua?” tiba-tiba Eijaz jadi nakal. “Mak saya tu, garang orangnya. Kalau salah langkah, bersiap sedialah kena makan nanti.”
“Eh, awak ni. Suka hati je cakap macam tu pasal mak awak.”
“Kenyataan la,” ucap Eijaz sungguh-sungguh. Wajah Azeem kembali pucat. Lucu Eijaz melihatnya. “Baru kena usik sikit dah takut. Awak jangan risaulah. Awak tengok saya, kan? Macam tu juga la mak saya. Mak borek, anak rintik.”
Azeem menarik nafas lega. Mereka kemudian beriringan masuk ke dalam rumah. Saadah menyambut mereka dengan senyuman manis di bibir.
“Sampai juga Azeem ke rumah kecil mak ni,” ucap Saadah. Azeem tunduk tanda hormat. “Makcik sihat?”
“Apa panggil makcik pula… panggil saja mak. Kat dalam rumah ni pun tak ada anak lelaki,” Saadah senyum. “Jom makan. Mak dah siap masak dah.”
Mereka menikmati hidangan makan malam dengan penuh berselera. Berbual mesra, kadang terkeluar tawa bahagia di sela-sela perbualan mereka.
Selesai makan, Saadah mengarahkan Eijaz membasuh pinggan di dapur. Azeem cuba membantu, namun ditegah oleh wanita itu. “Biarkan dia jadi orang dapur sekejap. Asyik bekerja je, sampai kadang lupa yang mana garam yang mana gula.”
“Saya pandai masak la, mak!”
“Iya la tu!” balas Saadah selamba. Azeem hanya mampu ketawa. Mereka kemudian duduk berbual di ruang tamu. Mata Azeem tertancap pada satu bingkai gambar yang diletakkan tidak jauh dari kaca televisyen.
Saadah seakan mengerti, dia mengambil bingkai gambar tersebut dan melabuhkan duduknya di sebelah Azeem. “Inilah keluarga mak. Dulu lengkap empat orang. Sekarang tinggal dua.”
“Ayah dan abang Eijaz meninggal sebab apa?”
“Eijaz tak cerita?”
“Tak.”
“Abang Eijaz meninggal dunia dalam satu rompakan bersentaja,” suara Saadah berubah mendung. “Eidlan dibiarkan begitu saja di lorong setelah ditikam banyak kali. Dia meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Ayah mereka pula meninggal dunia akibat serangan jantung setelah terima berita sedih tu.”
“Rompakan bersenjata?” Azeem sudah tidak senang duduk. “Perompaknya dah dapat ditangkap?”
“Ya. Dia dah ditangkap dan dihukum atas perbuatannya,” Saadah sapu titis air mata yang mengalir di pipi. “Tapi mak tak pergi perbicaraan tu pun. Mak tak kuat. Masa tu, mak tak sanggup tengok wajah orang yang buat anak mak macam tu.”
Azeem mendiamkan diri, membuatkan Saadah berdehem seketika. “Apa la. Sedih pula mak waktu-waktu macam ni.”
“Maaf, mak.”
“Tak apa,” Saadah senyum nipis. “Eijaz bagitahu, kamu baru keluar penjara masa mula-mula kerja dulu. Kalau kamu tak keberatan…. atas kesalahan apa kamu dipenjara?”
Lambat-lambat Azeem menjawab, “Rompakan bersentaja hingga menyebabkan kematian, mak.”
Mati senyum Saadah mendengar pengakuan Azeem itu.
*****
“Seorang lelaki ditemui mati dibunuh di sebuah di Pekan Batu, dekat sini, awal pagi tadi.
Mangsa, dikenali sebagai Eidlan Hamzah, 26 tahun, ditemui jam 1.20 pagi dengan kesan tikaman dan kecederaan lain pada badan, kepala dan belakang kepala.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman, berkata makluman pertama diterima daripada dua lelaki mengatakan terdapat mangsa tidak sedarkan diri di sebuah lorong di Pekan Batu.
Katanya, makluman kedua pula diterima mengatakan mangsa sudah meninggal dunia di dalam perjalanan ke hospital berdekatan.
"Ketika sampai di tempat kejadian, didapati mayat mangsa yang lengkap berpakaian ditemui dengan badan ditutup surat khabar, kira-kira 300 meter dari jalan raya.
"Pegawai perubatan dan pasukan forensik menyatakan mangsa telah ditikam dan mungkin dipukul dengan menggunakan objek keras berpandukan kesan kecederaan," katanya.
Berikutan itu, katanya, polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Ipoh untuk bedah siasat.”
Eijaz membaca lagi keratan akhbar yang memaparkan berita kematian Eidlan. Memori lapan tahun lalu masih segar dalam ingatan. Dia masih ingat, ketika itu dia sedang berada di tingkatan lima, sedang bersedia untuk menghadapi peperiksaan SPM. Selesai menjawab kertas terakhir, dua orang pegawai polis sudah menunggu di pejabat sekolah.
“Eijaz Husna?” tanya salah seorang pegawai polis itu membuatkan Eijaz makin keliru. “Ya, saya. Ada apa ya?”
“Mari ikut kami ke balai polis.”
Eijaz terkejut. “Balai polis? Tapi saya tak salah!”
“Kami tak cakap pun awak salah. Mari, ikut kami.”
“Tapi, kenapa?”
“Abang awak, Eidlan Hamzah. Dia…,” pegawai polis itu tidak dapat meneruskan kata-katanya apabila dilihat mata Eijaz berkaca.
Eijaz menghela nafas berat. Lapan tahun sejak peristiwa itu berlalu. Siapa yang boleh melupakan pemergian ahli keluarga sendiri dalam keadaan yang cukup tragis?
“Awak bunuh abang saya?” tanya Eijaz. Suaranya bergetar hebat. “Awak yang bunuh abang saya?”
“Maaf,” Azeem tunduk memandang jalan.
“Maaf, semudah itu awak ucapkan maaf tu ya?” balas Eijaz geram. “Yang menghadapnya, kami. Yang mengalaminya, kami. Yang kehilangannya, kami. Kami, Azeem!”
“Maaf.”
“Ingat maaf tu boleh hidupkan balik ayah dan abang saya? Gitu?” suara Eijaz sudah naik satu oktaf. Suasana hening seketika. Eijaz duduk melutut, menghamburkan tangisan sepuas-puasnya. Azeem tidak bergerak dari tempatnya. Dia hanya membiarkan sahaja Eijaz melepaskan perasaannya.
“Pergilah. Saya tak nak tengok awak lagi.”
“Eijaz…”
“Pergi, pergi. Pergi!”
“Saya cintakan awak, Eijaz!”
“Untuk apa cinta tu, kalau awak sendiri yang musnahkan kebahagiaan saya?” jawab Eijaz lantang. Azeem terdiam.
“Abang saya mati dibunuh awak. Ayah saya mati sebab awak. Ya, awak yang kat depan mata saya ni. Awak rasa saya boleh ke cintakan awak setelah semua ni?”
“Eijaz….”
“Pergi!”
“Cik Eijaz,” pecah lamunannya mendengar namanya dipanggil. Nabila di hadapannya memandangnya risau. “Cik okey?”
“Ya,” Eijaz membetulkan duduknya. “Ada apa, Nabila?”
Nabila meletakkan surat perletakan jawatan di atas meja. Eijaz terkaku seketika. “Surat ni… awak punya ke?”
“Tak la. Ini Azeem punya,” jawab Nabila. Spontan Eijaz bangkit dari duduknya. “Azeem?”
“Ya. Dia datang tadi hantar surat ni. Siap bawa beg besar.… Eh, Cik Eijaz!” terkejut Nabila apabila Eijaz tergesa-gesa keluar dari biliknya. Sebentar kemudian dia masuk semula, mencapai kunci kereta dan tas tangan.
“Saya keluar cari Azeem kejap!”
*****
Hembusan angin di pantai menampar lembut wajahnya. Terasa tenang di situ. Tidak terlalu terganggu dengan hiruk-pikuk kota. Namun, kenangan bersama Eijaz sentiasa bermain di fikiran.
“Kenapa awak suka pantai?” tanya Eijaz, ketika mereka berkunjung ke pantai itu tidak berapa lama dahulu.
“Kenapa? Awak tak suka pantai ke?”
“Suka, tapi saya tak reti berenang,” akui Eijaz. “Awak pula?”
“Saya suka awak.”
“Apa dia?”
“Eh, tak. Saya suka pantai,” Azeem buang pandang ke arah laut. “Awak tahu kan, kat pantai ni awak boleh jumpa tapak sulaiman?”
“Ye ke?”
“Ya,” jawab Azeem perlahan. “Diorang cakap kat sini memang ada tapak sulaiman, tapi saya tak pernah jumpa.”
“Kenapa awak suka sangat dengan tapak sulaiman? Bukan sebab bentuknya macam bintang, kan?”
“Bukan la, sebab tapak sulaiman ni sangat dekat dengan diri saya.”
“Maksud awak?”
Azeem senyum. “Satu hari nanti awak akan faham.”
“Baik, saya tunggu hari itu.”
Azeem mengeluh kasar. Hari itu telah tiba. Dia telah menjangka itu semua akan terjadi, namun entah mengapa, hatinya masih sakit melihat reaksi Eijaz dan ibunya.
“Apakah ini bermakna aku benar-benar mencintai Eijaz?” bisik Azeem perlahan. Air matanya menitis. Peristiwa lapan tahun lalu kembali menghantuinya. Menggigil dia memandang tangan sendiri. Tangan itulah yang telah menikam Eidlan lapan tahun lalu.
“Cintanya aku dengan Eijaz, tapi tangan ini juga yang ambil nyawa Eidlan,” Azeem bersuara lagi. “Masih layakkah aku untuk bersama Eijaz?”
“Saya dah boleh agak, awak ada kat sini,” suara Eijaz menggetarkan hati Azeem. Namun sebentar kemudian dia tergamam. Segera dia menoleh. “Eijaz!”
“Awak sendiri cakap, awak suka pantai, kan?” ujar Eijaz. “Jadi keputusan saya untuk cari awak kat sini, tak salah.”
“Eijaz…,” Azeem seakan kelu untuk meneruskan bicaranya. “Kenapa….”
“Semua orang layak diberikan peluang kedua, kan?” ujar Eijaz lagi. “Buat apa saya nak rampas peluang tu daripada awak?”
Azeem tergamam. Kata-kata itu….
“Saya pernah cakap dengan awak sebelum ni, kan? Saya ulang balik kata-kata tu hari ni,” Eijaz senyum nipis. “Sebenarnya, itu kata-kata arwah abang saya.”
“Eijaz….”
“Membenci adalah salah, tidak kira siapa yang dibenci,” sambung Eijaz. “Lagipun awak dah terima hukuman, kan? Siapa saya untuk terus menghukum awak?”
Azeem tunduk memandang pasir. Eijaz mencari anak mata lelaki itu. Dia tarik nafas dalam-dalam. “Mak saya jemput awak ke rumah lagi. Dia kata, dia nak masak lauk kegemaran awak.”
“Hah?”
“La, pekak rupanya dia ni. Macam mana la saya boleh jatuh hati dengan dia ni,” Eijaz tepuk dahi. Mata Azeem membesar. Betul ke apa yang aku dengar ni?
Tidak jauh dari situ, seorang kanak-kanak lelaki melompat sambil bersorak riang. “Mama, saya jumpa tapak sulaiman!”
*****
“Azeem sihat?” tanya Saadah, gembira bercampur sebak saat kelibat lelaki itu muncul di muka pintu. Azeem tunduk seketika, kemudian menjawab perlahan, “Sihat, makcik.”
“Lupa lagi la tu,” Saadah senyum senget. “Panggil mak la. Dalam rumah ni dah tak ada anak lelaki. Azeem jadi anak lelaki mak ya.”
Kaget Azeem mendengarnya. “Tapi, makcik….”
“Mak,” pantas Saadah membetulkan panggilan itu. Dia pandang Eijaz yang berdiri di belakang Azeem. “Tengok ni Eijaz. Macam mana kamu boleh jatuh hati dengan dia ni?”
Pantas Azeem menoleh ke belakang. Wajah Eijaz memerah. “Apa yang mak tahu pasal kita?”
“Semuanya,” jawab Eijaz sambil tunjuk isyarat ‘peace’. “Antara kami memang tak ada rahsia.”
Azeem telan liur.
“Tu buat apa lagi kat luar tu? Tak panas ke? Masuklah cepat, makan sekali. Mak dah lapar ni,” suara Saadah kedengaran kuat dari dalam rumah, membuatkan Eijaz tergelak kecil. Dia mendahului Azeem yang sudah terpaku. “Jom masuk.”
“Makan, Azeem,” pelawa Saadah sambil menyendukkan nasi ke pinggan Azeem. “Mak masak banyak untuk Azeem. Makan kenyang-kenyang.”
Berkaca mata Azeem melihat lauk-pauk yang terhidang. “Ini semua… lauk kegemaran saya ni. Macam mana mak tahu?”
“Eijaz la yang bagitahu,” balas Saadah mesra. “Azeem nak tahu, dia siap belajar nak masak semua ni. Tapi dari Youtube la.”
“Mak!”
“Eh, benda betul kan?” Azeem ketawa mendengar ulah dua beranak itu. Mereka kemudian menikmati hidangan dan diselangi gelak tawa dari mereka bertiga.
Selesai makan, Azeem menawarkan diri untuk turut sama membasuh pinggan mangkuk walaupun ditegah oleh Saadah dan Eijaz. Selesai semuanya, mereka duduk di ruang tamu.
“Mak tak marah dengan saya?” tanya Azeem serius apabila mereka berehat di ruang tamu. “Bukan kecil kesalahan yang saya buat pada keluarga mak.”
Senyum Saadah masih tidak lekang dari bibirnya. “Semua orang pendosa, kan?”
“Tapi, mak….”
“Mak pun bukan baik. Kamu bukan jahat. Eijaz sama saja dengan kita, Azeem. Kita sama-sama pendosa,” ujar Saadah. “Tapi, sebaik-baik pendosa adalah yang bertaubat dan kembali padaNya.”
Azeem tunduk memandang lantai. Eijaz hanya memerhatikan lelaki itu dengan pandangan redup.
“Moga kita sama-sama menjadi mereka yang sentiasa mengingatiNya.”
“Mak….”
“Kalau kamu nak tahu, mak dah maafkan siapa pun yang buat anak mak, masa Eidlan dikebumikan lagi,” beritahu Saadah. “Mak dah maafkan kamu, nak. Cuma malam tu, mak terkejut, sebab mak tak sangka jumpa kamu dalam keadaan macam tu.”
“Mak….”
“Semuanya ada hikmah,” Eijaz senyum. “Ada sebabnya Allah temukan kita macam ni. Di masa ini. Kalau kita jumpa lapan tahun lepas, mungkin penerimaan kami bukan macam ni.”
Mata Azeem kembali berkaca. “Terima kasih, mak.”
“Tapi, tetap ada denda,” suara Saadah terdengar serius. Azeem dan Eijaz memandang tepat ke arahnya. “Denda, mak? Denda apa?”
“Dendanya ialah… kamu berdua kena kahwin.”
“Apa?”
“Habis tu, dah bercinta bagai nak rak, takkan tak nak kahwin?” Saadah angkat kening pada Azeem. “Kita buat yang wajib je. Janji nikah. Yang penting, Azeem sah jadi ahli keluarga ni.”
“Terima kasih, mak!”
TAMAT