“Allahu akbar, Allahu akbar…,” laungan azan dari masjid seringkali menjentik hati Razi. Makin lincah tangannya membasuh pinggan. Selesai, dia terus mendapatkan Nora yang sedang mengira wang di kaunter.
“Kak, boleh saya…”
“Boleh. Pergilah,” jawab Nora tanpa menunggu Razi menghabiskan pertanyaannya. Razi senyum lebar. “Terima kasih, kak!”
Berlari Razi ke masjid untuk membersihkan diri dan berwuduk. Sempat dia menunaikan solat sunat tahiyatul masjid dan solat sunat rawatib sebelum bersolat jemaah.
Usai doa yang dipimpin imam diaminkan, Razi mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan jemaah yang lain sebelum mengemas sejadah yang digunakan.
“Razi,”
“Ya, imam?” pantas Razi menoleh tatkala kakinya ingin melangkah keluar dari perkarangan masjid. Kelu lidahnya melihat kelibat seorang lelaki yang berdiri di sebelah imam, dan seorang gadis di belakang mereka.
Umairah.
“Ustaz Daud, inilah Razi yang selalu saya cerita tu,” ramah imam memperkenalkan mereka berdua. Takut-takut Razi menghulurkan tangan. Tertunduk-tunduk dia. “Ustaz Daud, apa khabar?”
“Alhamdulillah, sihat,” jawab Ustaz Daud, ringkas. “Nak ke mana ni?”
“Sambung kerja, ustaz. Saya kerja kat kedai makan belakang masjid ni.”
“Oh, kedai Kak Nora tu?” tanya Ustaz Daud agak teruja. “Teh tarik di situ memang sedap. Dah lama saya tak ke sana.”
“Ustaz kan sibuk, berceramah di seluruh Malaysia,” imam senyum. “Ustaz nak ke sana ke? Jomlah. saya belanja.”
“Umairah?” laju Ustaz Daud berpaling. “Macam mana? Nak pergi makan ke atau nak balik terus?”
“Umairah ikut abah je,” lembut suara gadis itu menjawab pertanyaan ayahnya. Suaranya menggetarkan hati Razi. Cepat-cepat dia beristighfar di dalam hati.
“Kalau macam tu, marilah kita.”
Kedai makan Nora gamat seketika dengan kehadiran Ustaz Daud. Masing-masing ingin bergambar dengan personaliti dakwah itu. Razi terus ke dapur, meneruskan kerja-kerjanya.
“Tak sangka aku, Ustaz Daud tu nampak lebih berseri berbanding di kaca TV,” ulas Faizal, tukang masak selepas bergambar dengan lelaki itu.
“Ya,” jawab Razi sepatah.
“Dia tinggal di sini rupanya. Tapi disebabkan dia sibuk, kita jarang nampak dia.”
“Ya.”
“Anak ustaz tu lawa, kan?”
“Ya. Eh?” Razi tersedar. Faisal sudah tertawa besar. “Dah agak dah. kau suka kat dia, kan?”
“Merepek je kau ni,” Razi susun pinggan yang telah dibasuh. “Dia tu anak ustaz, Faisal. Mana sama taraf dengan aku yang tak start-start ni.”
Lebih kuat tawa Faisal, menarik perhatian Nora yang kemudian masuk ke dapur. “Apa yang seronok sangat tu?”
Mati tawa Faisal tiba-tiba. Namun dia masih tersenyum-senyum. Nora alih pandang kepada Razi. “Tolong buatkan cendol untuk anak Ustaz Daud tu. Teringin katanya.”
Makin lebar senyuman Faisal. Geram pula Razi melihatnya.
*****
Tasbih itu tidak berhenti menari di jemarinya. Mulutnya terkumat-kamit namun tidak mengeluarkan suara. Dia berkeadaan sebegitu dalam tempoh yang agak lama.
“Anak ustaz tu, lawa juga, kan?”
“Namanya Umairah,” terhenti tasbihnya tiba-tiba. Matanya yang terpejam ini terbuka. Entah mengapa, bayangan gadis itu menghantui fikirannya.
Umairah… nama secantik orangnya. Punya ciri-ciri wanita Melayu terakhir. Pandai menjaga maruah diri dan maruah keluarga.
“Eh, kenapa aku fikir pasal dia ni? Astaghfirullah…,” Razi tepuk pipinya perlahan. Kemudian dia meneruskan zikirnya.
“Sedar diri, Razi. Umairah tu anak ustaz. Penceramah terkenal. Pasti ramai yang nak jadikan dia menantu. Kau? Keluarga pun kau tak ada.”
Razi tarik nafas dalam-dalam. Kata-kata itu benar-benar membuatnya terganggu. Semakin laju tasbih menari di jarinya, seiring dengan lafaz zikir di bibir.
“Yaa Allah, Yaa Waduud, Kaulah Yang Maha Memberi Cinta. Aku memohon dengan kerendahan hatiku. Sekiranya Umairah adalah jodohku, maka permudahkanlah urusan kami berdua. Sekiranya tidak….”
Razi terhenti seketika. Entah mengapa, sukar baginya untuk meneruskan doanya. Bagaimana kalau dia memang bukan jodohku?
“Dan Tuhan kamu berfirman, ‘Berdoalah kamu kepadaKu nescaya kan Aku perkenan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.”
Tersentak Razi seketika apabila teringatkan ayat A-Quran itu dalam surah Ghafir ayat 60. Razi seka air mata yang mulai menitis. Dia senyum nipis lalu tarik nafas dalam-dalam.
“Sekiranya Umairah bukan jodohku, maka kau jauhkanlah kami dan berikanlah aku jodoh yang lebih baik daripadanya.”
Azan Subuh berkumandang sebaik sahaja doa itu selesai dibacakan. Razi bangun, memperbaharui wuduknya dan kembali ke tikar sejadah. Solat Subuh didirikan dengan penuh khusyuk. Selesai memberi salam dan membaca doa, dia kemudian bersiap untuk ke tempat kerja.
“Duhai kamu yang sedang berjuang dengan diri sendiri,” Razi teriingat kata-kata yang pernah didengarinya tidak lama dulu. “Rasa sakit dan lelah pastinya selalu datang walau kamu telah menghadapinya di masa silam.”
Razi senyum sendiri. Kena benar kata-kata itu dengan dirinya.
“Lain waktu, lain juga ujian untuk kamu. Sepanjang waktu itu, kamu sedang dibentuk ke arah hidup yang sejahtera berbanding dahulu.”
“Menunggu sempurna, bererti menunggu selamanya,” bisik Razi perlahan. “Menambah sejahtera, dan hidup sederhana. Itu lebih bahagia.”
“Kau cakap dengan siapa tu, Razi?” tanya Faisal yang baru tiba di kedai Nora. “Kau ni, asyik cakap sorang-sorang. Risau pula aku.”
“Bukan selalu,” balas Razi. “Dah kau selalu pinjam radio kat dapur ni. bawa balik rumah. Tak ada hiburan untuk aku pagi-pagi macam ni. Aku cakap la sorang-sorang.”
“Hiburan itu ibarat garam. Tak elok banyak sangat,” Faisal menyimpan barang peribadinya di bawah meja kaunter. “Ustaz Daud yang cakap.”
“Dia cakap macam tu?”
“La, kau tak tahu ke?” tanya Faisal kembali. “Takkan la kau tak tahu… bakal bapa mertua kot!”
“Jangan nak mula!”
*****
“Sebelum kita berdoa memohon rezeki, syukuri dulu apa yang sudah kita punya. Syukuri pancaindera kita; mata, hidung, mulut, kaki, tangan… seluruh anggota kita yang lengkap.”
“Syukir pekerjaan tetap yang selama ini menjadi jalan kita mencari nafkah. Syukuri umur yang diberi Allah, kesihatan, keluarga yang harmoni dan bahagia. Syukuri kesempatan kita datang ke masjid ini untuk mendengar ceramah dan bersolat jemaah.”
“Allah akan memberi nikmat jika kita banyak bersyukur. Alhamdulillah…,” Ustaz Daud mengakhiri ceramahnya apabila azan Isyak berkumandang. Dia bersama jemaah lain bangkit untuk menunaikan solat berjemaah. Razi tidak terkecuali.
Selesai berdoa, para jemaah mula berpusu-pusu untuk bersalam dan bergambar dengan Ustaz Daud. Ada juga yang terus keluar dari masjid untuk menyelesaikan urusan masing-masing. Razi hanya membiarkan mereka sambil mengemas sejadah.
Selesai, Razi mengambil keputusan untuk terus pulang ke rumah. Namun, belum sempat dia melangkah keluar dari masjid, namanya diseru-seru oleh imam. Lambat-lambat dia berjalan ke arah imam yang sedang berbual dengan Ustaz Daud dan seorang lelaki yang tidak dikenalinya.
Selesai mereka berbalas salam, imam mula bersuara, “Terima kasih Razi, kerana tolong saya kemas masjid setiap hari. Bukan mudah nak tengok anak muda macam Razi ni!”
“Tak ada apalah, imam. Memang saya nak buat,” balas Razi malu-malu. Lelaki di sebelah Ustaz Daud memerhatikan fizikal Razi dai hujung rambut hingga ke hujung kaki. Perbuatannya itu disedari oleh Ustaz Daud. “Kenapa, Haidar?”
“Ah, tak ada apa-apa,” jawab lelaki itu. Namun matanya tidak lepas dari memandang Razi. Tidak selesa dengan situasi itu, Razi meminta diri untuk pulang.
“Boleh tahan segak ya imam muda tu,” Razi terdengar perbualan para jemaah masjid yang pulang berjalan kaki sepertinya. Dia hanya diam, memasang telinga.
“Siapa? Ustaz Haidar tu ke? Dia memang imam muda la, personaliti dakwah sama macam Ustaz Daud. Pernah masuk pertandingan realiti agama. Walaupun tak menang, tapi dia tu memang ada aura la!”
“Ye la. Dia kan yang imamkan solat Isyak tadi?”
“La, dia ke? Patutlah lain macam je tadi.”
“Lain macam? Lain yang macam mana tu?”
“Suara lebih merdu. Sedap je terdengar kat telinga ni. Patutlah macam bergetar je jantung aku tadi.”
“Jangan nak cair pulak. Aku dengar dia dah nak kahwin tu.”
“Nak kahwin? Dengan siapa?”
“Belumlah nak kahwin lagi. Tapi aku dengar dah nak bertunang dah. Dah hantar rombongan merisik dah pun dan pihak satu lagi tu terima.”
“Tak kisahlah nak kahwin ke, nak bertunang ke, baru merisik ke. Tapi dengan siapa?”
“Dengan anak Ustaz Daud la, siapa lagi! Sama cantik sama padan, bagai pinang dibelah dua!”
“Seriuslah? Kak Umairah?”
“Serius! Aku dengar… aduh!” terhenti perbualan mereka apabila terlanggar Razi yang berhenti tiba-tiba. “Abang ni dah kenapa?”
“Er… ada tahi kucing,” jawab Razi sambil menunjuk ke arah jalan. Gadis-gadis itu melihat seketika sebelum menjerit kecil.
“Nasib baik kita tak pijak! Terima kasih, abang!”
Mereka terus berjalan meninggalkan Razi yang masih termangu di situ, memikirkan butir perbualan mereka tadi.
“Umairah nak bertunang?”
*****
“Betul ke apa yang aku dengar? Umairah nak bertunang dengan imam muda tu?” tanya Faisal sebaik sahaja Razi kembali dari masjid. Razi tertegun. “Mana kau tahu cerita ni?”
“Tu,” Faisal juih bibir ke arah sekumpulan remaja perempuan yang sedang berbual di salah satu sudut di kedai makan Nora. “Kuat pula tu mereka berborak.”
“Bergosip. Macam orang tua,” sungut Razi tanpa sedar. Mendengarkan itu, Faisal merenungnya tanpa berkedip. “Kau cemburu ke?”
“Cemburu? Aku? Nak cemburu dengan siapa?”
“Imam muda tu la.”
“Tak ada kerja aku,” sungut Razi lagi. “Pinggan mangkuk banyak lagi tak bercuci. Baik aku fokus pada itu dulu.”
“Ye ke?”
“Ustaz Syamsul Debat pernah cakap, lebih baik fokus pada apa yang kita tahu daripada bercerita tentang apa yang kita tak tahu.”
“Aku tak suruh pun kau bercerita tentang imam muda tu. Aku tanya kau cemburu ke dengan dia tu?”
“Tak perlu aku nak cemburu dengan orang macam tu,” balas Razi. “Eloklah Umairah dengan imam muda tu. Sekufu. Aku ni….”
“Jadi kau cemburu!” tebak Faisal laju. Terkejut Razi mendengarnya. “Apa kau ni?”
“Kononnya nak sorok perasaan tu tapi akhirnya terkeluar juga,” Faisal cebik bibir. “Tak salah ada perasaan tu, Razi. Yang salah bila kita nafikan yang kita ada perasaan tu. Betul ke betul sangat?”
“Ye la kot.”
“Aik, mengalah nampak,” Faisal angkat kening sebelah. “Sabar, kawan. Orang tu baru nak bertunang. Belum kahwin lagi.”
“Tapi dia dah dipinang, kan? Dah dirisik. Haram meminang atas pinangan orang lain. Kau lupa?”
“Kau bukan pinang dia pun. Kau cuma simpan perasaan kat dia. Itu je.”
“Walau apapun, aku tetap kena hapuskan perasaan ni,” ujar Razi, mengundang kerut di dahi Faisal. “Kenapa kau cakap macam tu?”
“Dia akan bertunang dan akan berkahwin. Berdosa tau, mencintai isteri orang,” Razi senyum pahit. “Aku tak nak la tunggu dia dah kahwin nanti baru aku nak hapuskan perasaan tu nanti. Susah.”
“Mana kau tahu susah atau tidak?”
“Sekarang pun dah susah, Faisal.”
“Kesian kau, Razi,” Faisal tepuk bahunya perlahan. “Aku harap kau kuat.”
“Tak, kawan. Aku tak kuat,” luah Razi. “Umairah tu….”
“Aku rasa…,” potong Faisal laju. “Cara terbaik untuk melupakan dia adalah dengan tidak bercerita tentangnya.”
Razi angguk perlahan. “Betul juga tu.”
Tanpa mereka berdua sedari, perbualan mereka didengari oleh seorang gadis. Tanpa kata, gadis itu berlalu dari kawasan dapur tanpa dilihat oleh sesiapa. Dia melangkah laju dan memasuki sebuah kereta tidak jauh dari situ. Seorang lelaki menantinya tidak sabar.
“Macam mana?”
Gadis itu membetulkan duduknya, menghadap lelaki itu. “Saya dengar Abang Razi ada hati dengan Kak Umairah.”
“Jadi betullah sangkaan aku. Berani betul dia ada hati dengan bakal isteri aku,” stereng kereta dipegang kejap. “Terima kasih sebab tolong abang.”
“Sama-sama, Abang Haidar.”
*****
Semua mata memandang ke arah Razi ketika dia melangkah masuk ke masjid itu. Razi berasa pelik, namun dia tidak ambil peduli. Terus sahaja dia menunaikan solat sunat tahiyatul masjid.
Mata-mata itu tetap memandang ke arah Razi meskipun lelaki itu sedang mengemas sejadah seperti biasa. Ada di antara mereka yang berbisik sesama sendiri. Razi tidak menyedarinya.
Selesai sahaja dia mengemas sejadah, dia mendapatkan jemaah yang masih berkumpul dengan niat untuk bertanya khabar. Anehnya, saat dia mendekat, mereka pula menjauh.
“Kenapa pula ni? Aku ada buat salah ke?” tanya Razi sendiri. Dia mencium baju yang dipakainya, kemudian bernafas di tapak tangannya.
“Baju aku tak busuk pun. Nafas aku pun tak berbau. Apa yang tak kena, ya?”
Enggan terlalu lama memikirkan tentang hal itu, Razi ambil keputusan untuk kembali ke rumah. Namun langkahnya terhenti apabila imam memanggilnya laju.
“Ada apa, imam?” tanya Razi setelah memberi salam. Imam kelihatan serba salah. “Er, kamu dah makan?”
Razi kerut dahi. Hairan. Belum pernah imam bertanyakan soalan sebegitu padanya sebelum ini. “Terima kasih, imam. Tapi saya tak makan malam.”
“Oh…,” panjang muncung imam. Kemudian dia memandang ke luar masjid, ke parkir kereta. “Kamu dah nak balik ke?”
“Ya, imam. Esok saya kerja.”
“Esok bukan kedai Kak Nora tutup ke?”
“Ya. Tapi saya ada kerja sambilan,” jawab Razi. “Kedai runcit kat hujung tu perlukan penghantar tong gas di hujung minggu.”
“Kuat benar kamu bekerja sekarang ni,” komen imam. “Apa, kamu kumpul duit nak kahwin ke?”
“Tak adalah, imam. Saya….”
“Apa salahnya pun, kan?” potong imam tanpa dia sedari. “Dah ada calon ke? Tak nak kenalkan pada saya?”
“Mana saya calon, imam. Saya ni….”
“Eh, ini bukan pekerja Kak Nora ke? Yang buka kedai makan kat belakang masjid ni?”
“Oh, yang suka kat Umairah, anak Ustaz Daud tu ke?”
“La, dia ni ke orangnya? Patutlah rajin solat jemah kat masjid ni. Ada udang disebalik batu rupanya.”
“Solat jemah apanya? Solat jemaah la!”
“Tak sama ke?”
“Tak sama la! Ah, tak kisah la. Yang penting, apa yang dia buat kat masjid ni, tak ikhlas. Buat apa kalau ada niat tersembunyi?”
“Mana kau tahu ikhlas ke tidak apa yang dia buat tu?”
“Aku ahli agama. Aku hafaz Al-Quran. Aku rajin ke masjid. Aku boleh tahu la!”
“Macam mana kau boleh tahu?”
“Tengok muka pun dah tahu!”
Janganlah engkau merasa selamat dengan banyaknya amal, kerana sesungguhnya engkau tidak tahu apakah amalmu diterima atau tidak.
“Dan janganlah engkau merasa aman dari dosa-dosamu, kerana sesungguhnya engkau tidak tahu apakah dosa-dosamu diampuni atau tidak.”
Terkocoh-kocoh dua lelaki itu berlalu setelah mendengar bingkisan daripada imam. Dia geleng kepala. “Kat rumah Allah pun boleh nak berborak macam tu. Dia lupa ke, kalau benda tu benar, itu ghibah. Kalau salah, itu fitnah!”
“Diorang cakap pasal saya ke, imam?” pertanyaan Razi buat imam berpaling laju. Sayu hatinya melihat wajah mendung lelaki itu.
“Maaf, Razi. Tapi itulah yang saya dengar dua tiga hari ni. Sebab tu saya panggil awak ni. Kalau boleh, saya tak nak awak dengar benda-benda macam ni. Saya kenal awak, Razi. Saya tahu awak macam mana.”
“Daripada mana diorang bawa cerita? Siapa yang mulakan dulu?”
“Biasalah, netizen. Sentiasa laparkan cerita macam ni. Tak ingat dosa pahala,” imam mengeluh perlahan. “Tapi apa yang saya dengar, Haidar pun tahu cerita ni.”
“Haidar, bakal suami Umairah?”
*****
“Macam mana Ustaz Haidar boleh tahu yang kau ada hati dengan Umairah?” tanya Faisal. “Setahu aku, hanya kau dan aku yang tahu cerita tu. Ke, kau yang buka cerita kat luar?”
“Memang tak la! Malu aku kot. Kau?”
“Apa aku pulak?” tanya Faisal kembali. “Agak-agak kau, Kak Nora tahu ke tidak pasal benda ni?”
“Kalau dia tahu pun, bukannya dia nak bagitahu orang lain.”
“Maksud kau, dia tahu?”
“Aku cakap, kalau. Tapi kan, macam mana pula dia boleh tahu?’
“Mungkin dia terdengar kita berborak kat sini. Tak mustahil, kan? Bukannya jauh pun dapur ni dengan kaunter tu. Aku sendawa pun Kak Nora boleh tahu.”
“Terdengar?’ dahi Faisal berkerut kuat. “Aku perasan sejak kebelakangan ni, macam ada orang curi-curi dengar kita berborak. Aku ingatkan perasaan aku je. Tapi….”
“Salah kita kot sebab berborak kuat sangat. Benda yang sepatutnya jadi rahsia dah tak jadi rahsia dah,” potong Razi cepat, enggan berburuk sangka. “Lepas ni kita kena beringat la.”
“Razi,” panggil Nora, mematikan perbualan mereka. Razi bingkas bangun dari duduknya. “Ada apa, kak?”
“Umairah… ada di luar. Nak jumpa kamu, katanya,” beritahu Nora perlahan. Razi tergamam. “Umairah?”
“Ya.”
“Kenapa tiba-tiba pula ni?” Razi pandang Faisal yang pura-pura menyibukkan diri. “Oh, nasi goreng ni dia nak pedas sikit….”
“Mana la akak tahu. Pergilah,” gesa Nora. “Dia seorang diri kat depan tu.”
“Seorang diri? Mana Ustaz Daud?”
“Eh, budak ni! Banyak tanya pula dia. Aku cepuk kang, baru tahu!” geram pula Nora dengan pekerjanya nan seorang ini. Boleh pula blur di saat begini.
“Razi!”
“Ah, ya. Saya pergi sekarang,” terkocoh-kocoh dia ke hadapan. Tergeleng kepala Nora melihatnya. Kemudian dia pandang Faisal yang tertinjau-tinjau ke hadapan. “Apa tengok-tengok?”
Razi nampak kelibat Umairah di satu sudut di kedai makan itu. Lambat-lambat dia mengatur langkah mendekati gadis itu. Semakin dekat, degupan jantungnya terasa semakin kencang.
“Assalamualaikum,” perlahan Razi memberi salam. Umairah yang sedang menggunakan telefon pintar mendongak. “Waalaikumsalam.”
“Awak nak jumpa saya ke?”
“Ya.”
“Kenapa?”
“Kot iye pun, duduklah dulu.”
“Tak apalah, cik. Takut undang fitnah.”
“Baiklah,” Umairah mengalah. “Tentang khabar angin yang bertiup kencang sekarang ni… saya nak tanya awak sendiri. Betul ke?”
“Oh, itu…,” Razi berdehem kecil sebelum meneruskan kata-katanya. “Kalau sebab itu, tak perlulah cik risau. Itu semua khabar angin semata-mata.”
“Kenapa? Tak boleh ke kalau perkara tu betul?”
“Maksud cik?”
“Tak boleh ke kalau kita ada perasaan yang sama?”
“Apa?”
*****
“Kau ni tak sedar diri ke?”
“Hah?” terkejut Razi apabila Haidar muncul secara tiba-tiba di kedai makan itu. Wajah lelaki itu keruh. Matanya merah, tajam memandangnya. “Kenapa ni?”
“Tak, sekarang ni kau sedar tak kau tengah cakap dengan siapa ni?” suara Haidar makin meninggi. “Umairah ni, bakal tunang aku. Bakal isteri aku. Kau sedar tak tu?”
“Sedar.”
“Dah tu, yang kau nak mengayat dia tu dah kenapa?”
“Mengayat?” hampir putus nafas Razi mendengar tuduhan itu. “Awak salah faham ni. Saya dekat dengan dia pun tidak.”
“Habis, hati tu?” Haidar tunjal dada Razi laju. “Kau ingat kau buat muka tak bersalah macam ni, orang tak tahu hati kau ni?”
“Haidar,” tegur Nora yang sudah berada di belakang Razi. “Malu la sikit dengan orang sekeliling. Mujur sekarang tak ada pelanggan.”
“Oh, akak tahu malu? Habis, yang anak buah akak bermaksiat kat kedai ni, akak tak malu?” Haidar pandang Nora pula. “Akak sekarang ni dah menggalakkan maksiat, tahu tak?”
“Apa yang awak melalut ni, Haidar? Dah terang-terang kat sini tempat terbuka. Jarak antara Razi dan Umairah pun jauh juga. Mana datang maksiatnya?”
“Mana tahu, bila tahu saya datang baru diorang nak jarakkan diri. Sebelum ni, mungkin rapat macam belangkas!”
“Haidar!”
“Awak tuduh saya ke?” tanya Umairah, perlahan. Namun cukup kuat untuk didengari oleh Razi dan Haidar. Lelaki itu tidak menjawab, hanya merenung tajam ke arahnya.
“Saya tak marahkan awak. Saya tahu, awak datang sini sebab dia yang panggil awak, kan? Bukannya awak nak jumpa sangat dengan lelaki ni. Bukannya dia ada apa-apa.”
“Haidar….”
“Bakal isteri saya takkan buat macam tu,” sambung Haidar lagi. “Bakal isteri saya takkan sanggup mencemarkan maruah keluarganya sendiri, dengan berkawan dengan orang yang tak tahu dari mana asal-usulnya!”
Suasana hening seketika. Umairah tunduk, nafas Haidar kuat kedengaran. Razi pula hanya diam seribu bahasa.
“Aku minta maaf kalau aku ada sakitkan hati kau.”
“Sedar pun!” bentak Haidar kasar. “Kau ingat kau siapa, nak bersaing dengan aku? Umairah, saya hantar awak balik sekarang.”
“Tapi….”
“Balik!” bentak Haidar lagi. Tiada pilihan, Umairah bangkit dari duduknya, mengikuti langkah Haidar. Razi menghela nafas berat sebaik bayang mereka hilang dari pandangan.
“Razi, kamu okey?”
Razi senyum pahit. “Saya nak jadi macam bunga, Kak Nora.”
Berkerut dahi Nora mendengarnya. “Bunga? Kenapa pula?”
“Bunga itu tidak pernah terfikir untuk bersaing dengan siapapun, ia hanya akan terus berbunga,” ujar Razi. “Hidup kita, jika dibandingkan dengan kehidupan orang lain, hanya akan membuatkan kita lemah, rasa tidak bersyukur. Kenapa dia lebih, kenapa kita kurang.”
Terangguk-angguk kepala Nora mendengar kata-kata Razi. “Tak apalah. Kita teruskan kehidupan. Tidak perlu bersaing. Qona'ah. Redha. Syukur. Usaha dan bertawakkal kepada Allah. Itu lebih penting.”
“Jodoh tu, akan datang bila waktunya,” nasihat Nora lagi. Razi angguk.
*****
“Kau pasti ke dengan keputusan kau ni?” tanya Faisal. Razi senyum. “Itu yang terbaik. Aku rasa.”
“Kau rasa?” sebelah kening Faisal terangkat. “Aku pula rasa, bila kau buat macam ni, kau seakan mengesahkan khabar angin tu.”
“Benda betul, nak buat macam mana,” balas Razi. “Lagipun, dah kecoh, aku dikatakan jumpa Umairah senyap-senyap. Mana diorang dapat berita palsu macam tu pun, aku tak tahu la.”
“Itu pun satu hal juga. Marah betul aku dengan penyebar berita tu. Kalau aku dapat, memang aku cili-cilikan mulut dia. Tak ada insurans.”
“Marah nampak?”
“Mestilah! Disebabkan mulut dia tu, aku akan kehilangan kawan baik aku. Yang sentiasa ada dengan aku di kala susah dan senang. Aku benci dia.”
“Jangan cepat benci seseorang yang buat kita sakit hati, Faisal,” nasihat Razi lembut. “Setiap orang ada kelemahan masing-masing. Kita sendiri pun tak sedar kelemahan diri kita, kan? Hanya orang yang boleh melihat kekurangan atau kelebihan yang ada pada kita.”
“Mereka buat salah, maafkan saja. Tak sesukar mana pun. Kecuali ada rasa ego yang membuat kita susah nak maafkan. Rasa sakit hati melebihi dari rasa simpati.
Pandanglah kebaikannya dulu. Takkan satu kesalahannya kita padam segala kebaikan dia kepada kita. Kita nafikan kerana sikap keras hati kita. Lupakan sengketa, ingatlah kebaikannya yang pernah dia lakukan.Kita pun tak sempurna nak menilai orang lain.”
“Tapi aku masih tak boleh lupa masa Haidar serang kau haritu,” Faisal masih tidak berpuas hati. “Mana pergi imej dia sebagai seorang personaliti agama? Pendakwah? Ikon yang menjadi ikutan, terutamanya remaja?”
“Semua orang boleh hilang pertimbangan bila marah, Faisal,” jawab Razi tenang. “Bila sudah naik darah, kunci kereta kat dalam poket seluar pun dia boleh lupa.”
“Ini tak adil untuk kau, Razi,” suara Faisal lagi. “Bukannya kau yang bersalah dalam hal ni. Kenapa kau pula yang kena pergi?”
“Hal tu jadi dalam kedai Kak Nora. Babitkan Umairah, anak Ustaz Daud. Babitkan Haidar. Banyak benda aku nak kena jaga ni, Faisal.”
Terdengar dengusan halus daripada Faisal. Jelas, dia masih berasa semua ini tidak adil bagi Razi.
“Alah, bukannya aku pergi terus pun. Nanti aku balik la ke sini.”
“Bila tu?”
“Bila semuanya dah reda sikit.”
“Kau ingat semuanya akan berakhir semudah itu?”
“Mungkin.”
“Main-main la kau ni.”
“Bila diorang dah nak kahwin nanti, aku baliklah,” ujar Razi separuh memujuk. “Lagipun, aku bukannya pergi tempat lain. Kampung Kak Nora juga. Dia minta aku uruskan ayahnya yang terlantar sakit.”
“Jangan lupa balik ke sini.”
“Insya Allah.”
*****
6 bulan kemudian…
Riuh rendah suasana di kawasan rumah Ustaz Daud. Para jemputan sudah mula bertandang, memeriahkan majlis pernikahan Umairah dan Haidar. Di antara mereka merupakan figura yang dikenali ramai, jiran tetangga dan kariah masjid.
Termasuk Razi.
“Bila kamu sampai dari kampung, Razi?” tanya imam apabila mereka bertemu di hadapan rumah Ustaz Daud. “Dah enam bulan kamu menghilang, tahu-tahu kamu muncul di sini?”
“Semalam lagi saya dah sampai, imam. Cuma belum sempat ke masjid je,” balas Razi sambil tersenyum.
“Suasana masjid dah tak sama bila kamu tak ada, Razi. Tak ada orang nak kemaskan sejadah bila habis solat fardhu,” ujar imam. “Kadang-kadang tu, macam ternampak-nampak je bayangan kamu.”
Tersipu-sipu Razi mendengarnya. “Ustaz Daud mana?”
“Ada di dalam agaknya, sedang melayan tetamu. Kamu datang dengan siapa ni?”
“Dengan Faisal dan Kak Nora,” balas Razi. Imam ketawa kecil sambil menepuk bahunya perlahan. “Mana boleh panggil macam tu lagi. Dia kan…”
“Imam,” suara Ustaz Daud mematikan perbualan mereka. Teragak-agak Razi menghulurkan tangan, namun disambut lelaki itu penuh mesra. “Marilah masuk. Tetamu semua ada kat dalam tu.”
“Ustaz dan imam masuklah dulu. Saya tunggu mereka sekejap,” beritahu Razi sambil memandang sekeliling. Ustaz Daud dan imam akur, mereka melangkah masuk ke dalam kawasan rumah. Razi menunggu kemunculan Faisal dan Nora penuh sabar.
“Berapa tahun kau tunggu aku kat sini?” tanya Faisal sebaik memberi salam. Nora yang muncul sebelumnya berdiri di sebelah Razi. Lelaki itu ketawa. “Hampir berjanggut la aku tunggu.”
“Tak apalah, berjanggut pun, ada orang nak.”
“Kau ni kan….”
“Jomlah masuk,” ajak Nora. Mereka beriringan masuk ke dalam rumah. Beramah mesra dengan tetamu lain sebelum upacara pernikahan dimulakan.
Riuh rendah di kawasan ruang tamu tiba-tiba sepi apabila seorang lelaki meluru ke arah Ustaz Daud dan berbisik sesuatu. Riak wajah Ustaz Daud yang ceria tiba-tiba bertukar keruh. Razi terdengar lelaki itu berbisik keras. “Betul ke ni?”
“Betul, Ustaz.”
“Tok kadi dah sampai ni. Jangan main-main.”
“Sumpah, Ustaz. Saya tak bohong.”
Ustaz Daud segera keluar dari keramaian itu dan menghubungi seseorang. Dalam masa yang sama, para jemputan yang sudah tiba berbisik sesama sendiri. Ada juga yang menyemak sesuatu di telefon pintar.
“Razi,” bisik Faisal, menarik perhatiannya. Razi pantas menoleh. “Ada apa?”
“Haidar kena tangkap basah.”
“Apa?” buntang mata Razi mendengarnya.”Dengan siapa?”
“Dengan pelajar sekolah. Masa pegawai agama serbu, dia cakap itu adik kandung dia. Bila disiasat, rupanya itu adik angkat dia je.”
“Budak sekolah yang selalu ada dengan dia tu ke?” tanya Nora.
“Ya.”
“Habis tu macam mana dengan majlis ni?”
“Tak tahu.”
“Razi,” panggil Ustaz Daud. Ketika itu, imam pula datang menghampiri mereka. Ustaz Daud tidak mempedulikan kehadiran lelaki itu. Tumpuannya hanya pada Razi. “Saya nak minta tolong awak sikit.”
“Tolong apa tu, Ustaz?”
“Tolong kahwin dengan Umairah?”
“Apa?” kuat suara Faisal namun mulutnya cepat ditekup oleh imam. Gelagat mereka mula menjadi perhatian tetamu.
Razi sedikit terkejut. “Ustaz cakap apa ni?”
“Haidar, dia…,” Ustaz Daud tidak tahu hendak mulakan dari mana. “Kamu ganti Haidar sajalah. Kahwin dengan Umairah. Boleh?”
“Maaf, Ustaz, saya tak boleh. Saya dah kahwin,” Razi pegang tangan Nora erat. “Ini isteri saya.”
“Apa?”
*****
“Awak kahwin dengan Kak Nora?” Kenapa saya tak tahu?” tanya Umairah beberapa hari kemudian, di kedai makan Nora. Pertemuan itu pada mulanya disertai Nora, namun apabila dilihat Umairah seakan enggan bersuara, Nora meminta diri meskipun dihalang Razi.
“Kenapa saya tak tahu, Razi?”
“Majlis diadakan secara kecil-kecilan. Tak ramai pun yang dijemput,” balas Razi. “Tapi, imam masjid tahu tentang hal ni. Dia dan Faisal yang jadi saksi pernikahan kami.”
“Kenapa imam tak pernah bagitahu apa-apa?”
“Banyak lagi benda yang lebih penting untuk difikirkan imam, selain saya, Umairah.”
“Tak penting, kata awak?” tanya Umairah. Suaranya mula meninggi. “Apa saja cerita tentang awak, penting pada saya, awak tahu tak?”
“Apa yang awak cakap ni?”
“Awak lupa yang saya sukakan awak?” pertanyaan Umairah buat Razi telan liur. “Sampai sekarang, perasaan tu masih ada, awak tahu tak?”
“Maaf.”
“Takkan perasaan awak pada saya dah hilang macam tu je?”
“Ya,” jawapan Razi buat Umairah tergamam. “Apa maksud awak ni?”
“Saya dah berjanji dengan diri saya sendiri, akan lupakan awak bila awak dah jadi tunang Haidar. Sebelum Haidar datang serang saya di sini pun, saya dah tetap dengan keputusan saya.”
“Perginya saya ke kampung Nora, bantu ayahnya di kampung sedikit sebanyak bantu saya dalam proses itu. Saya bersyukur, sebab Allah aturkan hidup saya begitu.”
“Semudah itu? Secepat itu?”
“Hati kita, Allah yang pegang, kan?”
“Sampai hati awak,” suara Umairah mula merendah. “Saya ikut cakap ayah saya untuk menikahi Haidar, walaupun dalam hati saya hanya ada awak. Bila dah jadi macam ni, awak pula yang berputus asa terhadap saya. Macam mana saya nak bahagia?”
"Tak ada yang boleh menjamin kebahagiaan di masa depan, kalau kita tak melibatkan Allah dalam segala urusan," balas Razi, perlahan namun tegas. “Lagipun, saya tak pernah berputus asa dengan awak. Saya cuma rasa, Allah telah jawab doa saya dengan cara paling indah.”
“Saya tak faham.”
“Allah menjawab doa kita dengan tiga cara. Pertama, Dia akan mengabulkan doa kita. Kedua, Dia akan menunda doa kita sehingga kita bersedia. Ketiga, Dia akan menggantikan doa kita dengan hal yang lebih baik untuk kita.”
Umairah tunduk. Dalam diam, dia mengakui kata-kata Razi itu.
"Adakalanya kita perlu menangis, agar kita sedar bahawa hidup ini bukan hanya untuk bergembira dan gelak ketawa. Adakalanya kita perlu ketawa agar kita tahu menghargai nilai setitis air mata.”
“Kalau kita tidak merasai kesulitan hari ini, kita tidak akan rasai kemanisan di kemudian hari. Tidak salah untuk sesekali kita perlu derita untuk mengenal erti bahagia. Sesekali kita perlu kecewa untuk kita kenal erti kejayaan. Sesekali kita perlu menangis untuk kita syukuri nikmat yang diberi. Sesekali kita perlu terhiris untuk kita kenal diri sendiri."
“Awak….”
“Baliklah, Umairah. Cukup-cukuplah tu. Saya hormat awak sebagai anak Ustaz Daud. Jangan cemarkan maruah keluarga dengan sikap begini.”
Lama Umairah duduk di tempatnya. Razi sudah lama ke dapur. Sapaan Faisal langsung tidak dipedulikan. Nora di kaunter hanya melihat gelagat gadis itu tanpa kata. Apabila Umiarah akhirnya bangun dan meninggalkan kedai itu, Nora masuk ke dapur mendapatkan Razi. “Abang…”
“Ya?”
“Terima kasih,” ucap Nora. “Sebab abang jadi suami saya.”
Razi senyum. Dia teringat doanya dalam tahajud tidak lama dulu. “Berikanlah aku jodoh yang lebih baik daripadanya.”
“I love you, sayang.”
“Ehem!” mereka berdua tersentak mendengar deheman kuat Faisal. “Aduh, bilalah nak habis kerja ni. Aku pun nak bermanja, bersemut dengan isteri tercinta.”
Tergelak Razi dan Nora mendengar kata-kata Faisal.
TAMAT.