Saturday, October 5, 2019
Cerpen : Not A Hijacker!
Orang ramai sudah mula memenuhi dewan itu. Semuanya dengan pakaian serba cantik dan mewah. Ada yang datang bersama pasangannya, ada yang datang berseorangan.
“Hurm, aku la yang datang sorang tu,” bisik Hana sambil tersenyum simpul. Dia melangkah perlahan ke dalam dewan itu. Sungguh canggung dirasakan apabila melihat sekeliling. Rakan-rakan perempuannya semua sudah bertemu jodoh. Dia?
“Hana!” demi mendengarkan namanya dipanggil, Hana terus menoleh ke belakang. Senyumannya bertambah lebar apabila melihat dua kelibat yang amat dikenalinya.
“Marissa! Zamir!” ingin Hana memeluk gadis itu lebih lama lagi namun Marissa cepat-cepat meleraikan pelukannya. “Maaf tau. Aku kurang sihat. Tak mahu la berjangkit pada kau nanti. Kesian kau.”
“Oh ya ke? Tak apa,” Hana cuba bersangka baik. Dia pandang Zamir yang tersenyum nipis. “Korang berdua dah kahwin kan? Tahniah!”
“Terima kasih. Kenapa tak datang ke majlis kahwin kami?” tanya Zamir mesra.
“Oh, maaf la. Ada urusan lain. Tak ada di Malaysia masa tu. Maaf ya,” tulus Hana memohon maaf. Marissa nampak teruja. “Ke mana kau masa tu?”
“Jepun. Ada festival filem dan budaya di sana. Aku dihantar syarikat. Nak tak nak, kenalah pergi.”
“Wah, bestnya kau dapat jalan-jalan,” suara Marissa kedengaran cemburu. “Tapi bagus juga. Masa bujang ni la boleh melancong sepuasnya. Nanti bila dah kahwin, tak mahu ke mana-mana dah. Duduk berdua di rumah dengan suami, itupun dah cukup romantik.”
Merah muka Hana mendengarnya. Dia menjeling sekilas ke arah Zamir di belakang Marissa. Lelaki itu juga nampaknya tidak senang dengan kenyataan isterinya itu. “Sayang, jom kita tegur Haidar dan isterinya.”
“Oh, okey. Kami pergi dulu. Bye!” laju tangan Marissa melambai ke arah Hana sebelum berlalu pergi dari situ. Hana terasa hati, namun cepat-cepat dia menghela nafas halus, cuba membuang rasa kurang senang itu. Perlahan dia menuju ke bufet makanan yang disediakan. Makanan yang terhidang benar-benar membuka seleranya.
“Hana! Ini Hana ke ni?” sapa seorang wanita yang sedang memegang tangan anaknya. Hana menoleh lalu tersenyum. “Apa khabar, Saffiyah?”
“Sihat, Alhamdulilah. Eh, betul la ni Hana. Liyana! Falisha! Meh tengok Hana ni. Dah kurus!” Senyuman Hana tiba-tiba pahit dirasakan. Apatah lagi bila dua lagi wanita muncul di kiri dan kanan Safiyyah. “Eh eh, iye la. Hana dah kurus. Tapi masih kuat makan macam dulu yea?”
Ini yang aku malas nak datang majlis reunion macam ni. Bila jumpa tiga sekawan ni, asyik bahan saiz badan aku je. Diorang tu sedar tak yang diorang pun tak kurus macam dulu?
“Makin kurus kau sekarang. Apa rahsia?”
“Senang je,” Hanya dapat satu idea. “Jangan cerita pasal orang lain. Kau akan gembira dengan apa yang kau ada sekarang.”
Safiyyah, Liyana dan Falisha kelu lidah tidak terkata.
*****
6 bulan kemudian…
Hana memeriksa kembali peralatan yang perlu dibawa. Ditanda satu persatu dalam senarai semak di tangan. Kemudian dia pandang Suraya, pembantu di sebelahnya. “Macam mana dengan kenderaan?”
“Dah siap, cik. Pemandu akan datang dalam pukul 8 pagi esok, di foyer utama. Dia minta kita bersedia lebih awal, kerana dia tak mahu menunggu.”
Berkerut dahi Hana mendengarnya. “Siapa pemanduya? Firdaus?”
“Ya, Cik Hana,” jawab pembantu itu. Hana senget bibir. Dah agak, fikirnya. “Tak apalah. Kita akan bersedia lebih awal. Awak balik la dulu. Berehat. Esok kita nak berjalan jauh.”
“Baik,” sahut Suraya, sedikit teruja. “Cik tak nak balik ke? Cik akan ikut perjalanan ni, kan?”
“Saya nak baliklah ni,” Hana senyum. “Awak nak saya tumpangkan ke?”
“Tak apalah, cik. Tunang saya dah nak sampai tu,” berseri-seri wajahnya apabila menyebut perkataan ‘tunang’. “Saya pergi dulu, Cik Hana.”
Ucapan itu Hana sambut dengan senyuman dan dia menghantar pembantunya itu ke muka pintu dengan pandangan mata. Kemudian dia meneruskan kerja-kerjanya sehingga jam di dinding berdenting sepuluh kali. Barulah dia pulang ke rumah.
Sampai di rumah, dia mandi dan mengemaskan diri. Sementara menunggu hadirnya mengantuk, dia mengambil kesempatan membuka aplikasi Facebook. Ramai kawan-kawannya berkongsi pelbagai berita dan perkembangan diri, tidak kurang yang berkongsi artikel yang bermanfaat.
Perkongsian oleh Marissa menarik perhatiannya. Segar matanya seketika. Lambat-lambat dia membacanya. “Yang Terindah Hanya Sementara.”
Tertarik dengan perkongsian itu, Hana bersuara sendiri. “Kadang bahagia itu juga ujian. Sama ada kita bersyukur, atau kita kufur.”
Esoknya, Hana, Suraya dan beberapa staf lain menunggu dengan penuh kesabaran di foyer utama. Namun bayangan Firdaus masih tidak kelihatan. Suraya mula resah, namun Hana tenang sahaja.
“Awak ada nombor telefon dia?”
“Ada.”
“Cuba telefon. Tanya dia di mana.” arahnya dengan nada suara yang lembut. Tanpa banyak bicara, Suraya mengeluarkan telefon bimbitnya. Namun, belum sempat gadis itu menekan butang hijau, sebuah van berhenti di hadapan mereka. Suraya menarik nafas lega namun kemudian…
“Eh, awak pemandu kami kali ni ke? Mana Firdaus?”
“Maaf. Firdaus ada kecemasan. Terpaksa balik kampung. Saya yang gantikan dia,” beritahu lelaki itu. Hana memandangnya tidak berkelip.
Zamir?
*****
"Lepas habis belajar, aku jalani latihan industri di syarikat milik ayah Marissa. Jadi setiap hari aku akan jumpa dia di pejabat, sebab dia pun kerja sana. Selalu keluar bersama, lama-lama kami saling jatuh cinta. Lalu kami pun kahwin."
Zamir membuka cerita. Ketika itu tugasan Hana hampir selesai dan Zamir mengajaknya untuk bersiar-siar selepas makan malam. Suraya dan yang lain sudah pulang ke hotel penginapan. Penat sangat kata mereka.
"Beruntungnya awak, Zamir," puji Hana. "Marissa tu cantik. Perniagaan ayahnya juga berjaya."
Zamir senyum pahit. "Perkahwinan tu tak semuanya indah, Hana. Mula-mula, memang kami bahagia. Tapi selepas tiga tahun, kami masih belum dikurniakan anak. Saya redha, mungkin belum rezeki kami. Tapi akhirnya saya dapat tahu, yang Marissa memang tak mahu melahirkan.
“Kenapa? Eh, silap…,” Hana tutup mulutnya seketika. “Macam mana awak boleh tahu semua tu?”
Zamir tarik nafas dalam-dalam. Dihembusnya perlahan. Kemudian dengan pandangan mata sayu, dia menatap mata Hana. “Saya dapat tahu dia cuba gugurkan kandungannya.”
“Ha?” terkejut besar Hana mendengarnya. “Takkan la sampai macam tu sekali, Zamir? Awak pasti dengan apa yang awak cakapkan ni?”
“Ya,” Zamir mengangguk lemah. “Tapi bagaimana saya dapat tahu tu, tak perlulah saya ceritakan. Saya masih ingin menjaga aib bekas isteri saya.”
“Bekas isteri?”
“Ya. Kami bercerai tidak lama dulu,” beritahu Zamir lagi. “Lepas tu, semuanya berubah. Saya diberhentikan kerja, saya dihalau dari rumah yang saya duduki dengan Marissa… saya tinggal sehelai sepinggang, Hana. Tiada apa yang tinggal untuk saya.”
“Bila awak mula bekerja dengan syarikat ni?” tanya Hana, cuba mengubah topik perbualan. Zamir senyum nipis. “Dah dua bulan. Saya tak tahu pun awak kerja di sini. Besar juga jawatan yang awak pegang ya. Masa majlis haritu, awak cakap awak kerja kerani je.”
“Tiada apa-apa yang menarik pada saya,” Hana merendah diri. “Semua ni amanah di dunia. Bukannya boleh bawa ke kubur pun. Buat apa saya nak bermegah-megah dengan apa yang akan habis saat kita tutup mata?”
“Betul juga cakap awak tu,” Zamir angguk perlahan. “Saya dulu macam tu. Berbangga dengan kesenangan dunia. Ada isteri cantik, kerja bagus, harta yang banyak. Tapi bila semuanya ditarik, saya bukan siapa-siapa.”
“Muhammad Ali pernah cakap…”
“Muhammad Ali tu siapa?”
“Muhammad Ali… Cassius Marcellus Clay, Jr….. la, tak kenal ke?”
“Muhammad Ali, petinju tu? La, awak kenal dia ke?”
“Muhammad Ali? Siapa yang tak kenal? Saya pun kenal dia. Tapi tu la, dia yang tak kenal saya,” terkikih Hana ketawa sambil menutup mulut. Zamir ternganga. Dia sudah terkena. “Pandai awak ya…”
“Okey, kita kembali jadi serius,” suara Hana mulai berubah nada. “Muhammad Ali pernah cakap masa dia mula-mula dikesan menghidap Parkinson dulu. ‘Allah bagi aku sakit ni untuk ingatkan aku yang bukan aku yang berkuasa. Allah itu Yang Maha Kuasa’.”
“Jadi?”
“Jadi, mungkin Allah tarik semua nikmat yang ada pada awak, untuk ingatkan awak yang Dia itu yang Maha Kuasa,” mata Hana mula berkaca. “Semua yang kita ada ni, bukan selama-lamanya milik kita. Sampai masa, kita akan kehilangannya. Termasuk keluarga.”
Zamir terdiam. Dia termenung lama. “Betul cakap awak. Selama ni, saya langsung tak ingat Allah. Tak solat. Zakat apatah lagi. Puasa, hanya sebab segan dengan orang. Tak pernah terfikir nak ke Makkah, untuk haji atau umrah. Memang patut pun kan, Allah tarik semua yang saya ada?”
“Ujian itu ada dua, Zamir. Ujian kesusahan dan ujian kesenangan. Kita diuji dengan kesenangan supaya kita bersyukur, kita diuji dengan kesusahan supaya kita bersabar.”
Zamir terdiam lagi. Lama, hingga membuatkan Hana resah. “Awak okey ke?”
“Saya okey,” jawab Zamir perlahan. “Terima kasih, Hana. Awak dah ingatkan saya tentang hakikat hidup ini.”
Hana tersenyum. Tanpa mereka berdua sedari, ada sepasang mata sedang memandang mereka dengan penuh rasa cemburu.
*****
3 bulan berlalu…
Kehidupan Hana masih seperti biasa. Sibuknya tidak terkata. Sebulan sekali, dia pasti akan bertugas di luar kawasan, menyiapkan projek yang datang dan pergi. Namun di sebalik kesibukan itu, sesekali dia dan Zamir akan bertemu. Hana sering mengajaknya menghadiri majlis ilmu, sama ada di masjid atau di tempat-tempat lain.
Malam itu, selesai membersihkan diri, Hana meluangkan masa di hadapan komputer riba. Cuba menyiapkan cadangan projek terbarunya. Kertas kerja yang disiapkan perlu dihantar secepat mungkin untuk dibincangkan dalam mesyuarat akan datang.
Selesai menyiapkan kertas kerja, dia mengambil kesempatan untuk melayari internet. Bukan kebiasaannya, namun hari ini tiba-tiba dia tergerak hati untuk membuka Facebook miliknya. Alah, bukan selalu. Lagipun, ini bukan waktu bekerja. Jadi tiada salahnya, bisik hati kecilnya.
Sedang asyik dia membaca perkembangan terkini rakan-rakannya di Facebook, dia menerima satu mesej. Dahinya berkerut kuat. Mesej itu, dari Liyana.
Liyana : Hai, Hana.
Hana : Assalamualaikum
Liyana : Ops, okey. Waalaikumsalam. Kau sihat?
Hana : Alhamdulilah, macam ni je la. Kau macam mana?
Liyana : Aku? Mengandung lagi, beb. Anak ketiga. Dah lima bulan.
Hana : Tahniah! Aku gembira untuk kau.
Liyana : Kau bila nak kahwin?
Hana : Aku? Tak tahu la. Jodoh belum sampai.
Liyana : Eleh, belum sampai konon. Habis Zamir tu siapa? Bukan bakal suami?
Hana : Dia kawan aku. Kawan kau. Kawan kita semua.
Liyana : Iye la. Mana la tahu. Kau nak cuba nasib sebab dia kan duda.
Hana : Aku kawan biasa je dengan dia.
Liyana : Kalau lebih dari sekadar kawan pun apa salahnya? Ke, kau segan dengan Marissa? Sebab dia pernah kahwin dengan Zamir?
Hana berhenti menaip. Ayat terakhir Liyana bagaikan satu provokasi. Untuk apa, dia sendiri kurang pasti. Lama dia berfikir. Akhirnya dia memilih untuk log keluar, tanpa salam dan pamitan. Komputer riba ditutup dan dia kembali ke katil. Kata-kata Liyana mengganggu fikirannya.
“Kalau lebih dari sekadar kawan pun apa salahnya?”
Hana menghela nafas berat. Dia cuba mengingat kembali setiap pertemuannya dengan Zamir. Selama mereka kenal, belum pernah sekalipun Zamir memberikan petunjuk tentang hala tuju hubungan mereka.
Kahwin? Dengan Zamir?
Tergelak Hana akhirnya. “Apa la aku ni. Kenapa la aku boleh terpengaruh dengan Liyana ni? Baik aku tidur. Lagi bagus. Esok nak mesyuarat. Kalau aku tertidur masa tu nanti, mahunya aku kena surat merah. Bahaya!”
Hana terus tarik selimut dan tutup lampu. Masa untuk tidur!
*****
“Awak ni sibuk sangat la, Hana,” komen Zamir ketika mereka keluar makan malam di kedai makan berhampiran rumahnya. “Awak perlu masa untuk diri sendiri juga.”
“Masa untuk diri sendiri? Maksudnya?”
“Pergilah bercuti ke mana-mana saja. Kawan-kawan kita yang lain semuanya kerap pergi bercuti. Ke pantai ke, ke hutan ke, ke bandar lain ke…”
“Macam mana awak tahu yang diorang kerap bercuti?”
“Facebook. Kenapa, diorang tak ajak awak ke?”
“Tak pun. Saya pun jarang tengok Facebook,” ujarnya perlahan. “Tak apalah. Dapat luangkan masa dengan awak pun dah kira bagus dah.”
“Apa awak cakap?” tanya Zamir, membuatkan Hana tutup mulut. Apa yang tak kena dengan aku ni, boleh pula aku terlepas cakap. Hadoi…..
“Awak ada hati dengan saya yea…” Zamir cuba serkap jarang. Merah pipi Hana mendengarnya. “Mana ada la!”
“Ye la tu,” Zamir senget bibir. “Saya dengar la apa yang awak cakap tadi. Jangan ingat saya tak dengar apa-apa.”
Hana telan liur. “Saya salah cakap je tu. Abaikan ajelah apa yang saya cakap tadi. Tak penting sangat pun.”
“Tak baik tipu diri sendiri,” Zamir berdehem beberapa kali. “Tak baik tau. Sebab saya pun rasa benda yang sama.”
“Hah? Apa dia?” buntang mata Hana mendengarnya. Biar betul ni?
“Betul. Saya tak bohong. Saya juga ada perasaan yang sama.”
“Kejap. Awak yakin yang kita ada perasaan yang sama?”
“Saya yakin, awak dan saya ada perasaan yang sama,” sengaja Zamir mengulang ayat Hana. Dia pandang mata Hana lama-lama. “Saya sayangkan awak, Hana.”
Lidah gadis itu kelu tidak terkata. Dia hanya mampu tersenyum simpul. Zamir capai sesuatu dari dalam poketnya. Mata Hana membesar lagi tatkala melihat kotak berwarna merah yang berada dalam genggaman Zamir. Sebentuk cincin!
Zamir bangun, dan melutut di hadapan Hana, membuatkan gadis itu terpana. “Awak nak kahwin dengan saya tak?”
“Apa?????”
*****
"Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Dengan penuh rasa kesyukuran, memohon kesudian dan kehadiran Dato'/ Datin / Tuan / Puan / Encik / Cik ke majlis perkahwinan kami Zamir Asyraf dengan Hana Darirah pada 1 April 2017 di Dewan MBSA Seksyen 19, Shah Alam."
Tiba hari yang berbahagia. Indah rasanya apabila Zamir melafazkan ijab kabul terhadapnya. Air mata berguguran saat jari manisnya disarung tanda ikatan telah terpatri. Akhirnya dia telah bergelar seorang isteri.
“Semuanya sudah selesai,” ujar Zamir ketika hanya tinggal mereka berdua di bilik pengantin. Dia pandang isterinya dengan penuh rasa cinta.
“Sayang…,” Zamir elus tangan Hana penuh kasih. Wanita itu senyum simpul. Namun sebentar kemudian dia bersuara, “Kenapa kawan-kawan kita yang lain tak datang ya?”
Tingkah Zamir terhenti. Dia pandang mata Hana dalam-dalam. “Awak betul tak tahu kenapa kita dipulaukan macam ni?”
“Dipulaukan?” tanya Hana tidak percaya. “Kenapa pula kita dipulaukan? Saya ada ke buat salah ke? Ke awak yang buat salah?”
Senyuman Zamir memudar. Dia bangun, mendapatkan telefon tebletnya yang terletak di atas meja. Dia membuka aplikasi Facebook miliknya sebelum menghulurkan tabletnya itu pada Hana. “Bacalah. Saya dah tengok semalam.”
Perlahan Hana membaca setiap hantaran yang tertera di halaman itu. Dia tertarik dengan status Falisha. “Benda boleh cari lelaki single, kenapa nak jugak suami orang, kekasih orang, tunang orang? Dia cakap pasal siapa ni?”
“Pasal kita, sayang,” Zamir duduk di sebelah isterinya. “Dia dan beberapa orang yang lain mengata pasal kita sejak jemputan kahwin diedarkan. Semua salahkan abang sebab ceraikan Marissa dan kahwin dengan sayang. Tapi, sayang lebih tahu cerita sebenar, kan?”
Mendengarkan itu, Hana diburu rasa bersalah. Dia pegang tangan Zmair, suaminya. “Saya minta maaf, sebab saya, awak kena tanggung semua ni.”
“Kita berdua tak salah apa pun, Hana,” balas Zamir. “Mereka yang salah faham. Tak apalah. Kita pun dah selamat bernikah. Itu yang penting.”
“Rasa hilang mood pula,” ucap Hana. “Sepatutnya hari bahagia ni, kita sambut dengan kawan-kawan kita. Saudara-mara kita pun tak ramai, kan?”
“Hana, pernah ke diorang berbuat baik dengan sayang?” kata-kata Zamir itu menyedarkan Hana. “Eh, abang tahu?”
“Abang tahu, sayang. Abang sentiasa perhatina sayang. Dari zaman sekolah lagi,” beritahu Zamir. “Abang tahu yang Safiyyah, Liyana dan Falisha selalu buli Hana.”
“Tapi abang tak pedulikan saya pun? Oh lupa, masa tu kan, abang tengah hangat bercinta dengan Marissa,” sengaja Hana mengusik. Terjerit dia seketika apabila Zamir mencuitnya kuat.
“Buat lagi macam tu. Memang abang cubit sayang laju-laju,” ujar Zamir. Hana hanya mampu telan liur apabila Zamir memandangnya dengan pandangan mata nakal.
*****
6 bulan kemudian…
“Puan betul ke okey ni?” tanya Suraya bimbang. Bukan sekali dua dia melihat Hana dalam keadaan sebegitu. Minggu ini sahaja, sudah tiga kali Hana keletihan sebegitu.
“Tak ada apalah, Suraya. Saya tak cukup rehat agaknya ni. Sekejap lagi okey la,” ujar Hana separuh memujuk. Kepalanya yang pening dipicit perlahan.
“Nak saya hubungi Encik Zamir ke?”
“Tak perlu,” lembut Hana menegah. “Dia kan tengah bekerja sekarang ni. Saya tak mahu la dia risau tak tentu pasal.”
“Okey, kalau macam tu, kita pergi klinik,” Suraya separuh memaksa. “Kalau tak, saya telefon Encik Zamir. Biar dia dukung puan ke klinik. Balik terus pun takpe!”
“Lepas mesyuarat, ya?” pinta Hana sambil buat muka comel. “Lepas mesyuarat, awak nak bawa saya ke mana pun boleh. Tapi, bagi saya makan Panadol dulu, boleh?”
“Mana boleh! Puan tak boleh makan Panadol. Nanti Encik Zamir marah. Puan…,” kata-kata Suraya terhenti apabila daun pintu dikuak perlahan. Kelibat wanita yang muncul di balik pintu itu mengejutkan Hana. “Falisha…”
“Aku ganggu kau ke?” tanya Falisha sambil melangkah masuk ke dalam dan duduk di hadapan Hana tanpa disuruh. Matanya liar memandang susun atur di dalam bilik itu. Perbuatannya itu membuatkan Suraya merenungnya tajam. Biadap!
“Besar bilik ni ya. Boleh tahan juga jawatan kau di sini. Aku ingat kau kerani biasa je.” nada suara Falisha berbaur sindiran. Namun Hana membalasnya dengan senyuman.
“Macam mana kau tahu aku kerja kat sini? Setahu aku, tak pernah sekalipun aku beritahu sesiapa,” tanya Hana pelik. Falisha ketawa sinis. “Zaman teknologi ni Hana, semuanya di hujung jari. Kau tak beritahu apa-apa pun, aku tetap akan dapat tahu kau di mana.”
“Tak faham aku dengan kata-kata kau ni,” ujar Hana. “Tapi tak apalah. Ada apa kau datang ke sini?”
“Kau ada baca-baca kat Facebook ke, apa-apa cerita pasal kau?”
“Aku jarang buka Facebook. Tak ada keperluan, memang aku tak buka langsung. Kenapa?”
“Kau bahagia dengan Zamir?”
“Kau datang sini sebab nak tanya soalan tu ke?”
“Ala, tanya soalan mukadimah, takkan tak boleh?” Falisha ketawa lagi. Makin sakit kepala Hana mendengarnya. Namun dia cuba berlagak selamba.
“Aku datang nak bercerita pasal Marissa, bekas isteri suami kau tu,” Itu dia! Hana kekang senyum di bibir. “Kenapa dengan dia?”
“Betul ke aku dengar, mereka berdua bercerai sebab Zamir dah jatuh cinta dengan kau?” tanyanya laju. “Aku bukan apa, Marissa pernah bercerita pasal benda ni dulu. Aku tak nak la dengar dari sebelah pihak. Sebab tu aku tanya kau.”
“Apa lagi yang dia cakap?”
“Dia cakap lagi, dia dah jumpa kau masa rumahtangganya berantakan dulu. Dia siap merayu kau untuk tak ganggu rumahtangga dia. Sampai melamar kau jadi isteri kedua lagi. Betul ke?”
Hilang terus sakit kepala Hana mendengar kata-kata Falisha.
*****
“Marissa ni dah melampau, tahu tak! Berani betul dia fitnah sayang sampai macam ni sekali, hanya sebab nak nampak baik di mata orang ramai!”
Api kemarahan Zamir menyala-nyala. Belum pernah Hana melihat suaminya sebegitu. Dalam hati, dia menyesal kerana memberitahu perihal siang tadi. Kalaulah dia tahu…
“Rasa macam nak pergi jumpa dia sekarang, nak tanya kenapa dia buat macam tu!”
“Abang, dahlah. Jangan diikut sangat amarah tu,” lembut Hana memujuk. “Lagipun, dah malam ni. Abang tidur dulu ya. Esok-esok, hilanglah marah tu.”
“Tak ada maknanya nak hilang marah tu,” Zamir menggerutu. Dia melabuhkan duduknya di sebelah Hana. “Kalau pasal Marissa, marah tu takkan hilang. Ada saja benda yang dibuat untuk menyakitkan hati kita.”
“Eh, abang! Saya nampak sesuatu kat muka abang,” buntang mata Hana tiba-tiba sambil membelek wajah Zamir. “Saya nampak kedut. Itulah, kuat marah lagi. Kan dah cepat tua!”
“Sayang!” Zamir cubit manja hidung Hana, membuatkan gadis itu terkekek ketawa. “Pandai betul isteri abang ni cuba hiburkan hati abang.”
“Saya nak jadi isteri yang macam dalam lagu nasyid tu… isteri cerdik yang solehah, Penyejuk mata, penawar hati, penajam fikiran…” selamba sahaja Hana menyanyi di hadapan Zamir. “...Di rumah dia isteri, di jalanan kawan, Di waktu kita buntu, dia penunjuk jalan.”
Zamir peluk isterinya mesra. “Sejuk hati, sejuk hati juga. Marah dengan Marissa masih belum hilang. Memang saya nak tahu kenapa dia dia buat macam ni semua. Nak marah, dengan abang la. Kenapa nak kena fitnah sayang?”
“Sebab sayang dapat abang!” balas Hana ceria sambil membalas pelukan suaminya. Sengaja dia mengeratkan pelukan apabila Zamir memandangnya dengan dahi berkerut.
“Ala, biarkanlah diorang tu. Bos kan selalu cakap, orang mengata di belakang kita, bukan sebab kita ni terbelakang, tapi sebab dia di belakang kita, dan kita di hadapan mereka. Kita lebih maju daripada mereka!”
“Lagipun, Lao Tzu pernah cakap, Care about what other people think, and you will always be their prisoner,” sambungnya lagi. “Tak perlu fikirkan tentang orang bila bukan mereka yang bagi kita makan.”
“Beruntungnya abang beristerikan sayang. Kenapa kita tak macam ni dari mula lagi?” sengaja Zamir mengusik.
“Supaya abang akan lebih menghargai sayang sekarang ni. Dah la. Tak baik abang marah-marah macam ni. Nanti yang kat dalam perut ni terikut pula.”
“Yang dalam perut?” kening Zamir tercantum. Sebentar kemudian wajahnya bercahaya. “Yang dalam perut? Betul ke ni, sayang?”
“Ya, papa! Tahniah!”
*****
Hana masih melaksanakan tugasannya seperti biasa, biarpun perutnya sudah sarat mengandung 8 bulan. Masih lincah, walaupun berkali-kali Suraya berpesan supaya membataskan pergerakannya.
“Bagaimana dengan dokumen untuk projek di Langkawi? Katanya akan diserahkan pada saya hari ini untuk semakan,” tanya Hanya sambil menaip sesuatu di komputer ribanya. Suraya mencatat sesuatu pada buku notanya, kemudian membalas. “Katanya hari ni. Nanti saya tanya Nazim sama ada dokumen tu dah siap ke belum.”
“Kalau belum, minta dia siapkan cepat. Saya perlu semak sebelum cuti bersalin nanti. Takut tak sempat pula. Zamir tak mahu saya fikir pasal kerja masa berpantang nanti.”
“Bagus juga tu. Puan Hana ni sejak mengandung, tak pernahnya nak bercuti. Asyik kerja je. Kalau saya jadi Encik Zamir pun, saya risau,” komen Suraya. Tergelak Hana mendengarnya. “Awak ni, elok jadi adik Zamir. Kuat membebel. Sekepala memanjang. Penat saya dibuatnya.”
“Tak baik tau cakap macam tu. Kitorang kuat membebel sebab kitorang sayangkan puan,” Suraya senyum simpul. Terhibur Hana melihatnya.
“Saya keluar dulu. Ada kerja yang perlu disiapkan,” Suraya meminta diri. Hana akur, kemudian dia meneruskan kerja-kerjanya. Fokusnya terhenti apabila daun pintunya dikuak perlahan. Tanpa memandang ke arah pintu, Hana bersuara, “Ada apa, Suraya?”
Diam. Tiada sebarang jawapan daripada orang yang baru masuk itu. Menimbulkan rasa pelik di hati Hana. “Suraya? Mulut awak penuh dengan makanan, macam selalu ke?”
“Hana Darirah.”
Gerak lincah tangan Hana di papan kekunci terhenti mendengar nama penuhnya dipanggil. Dia menoleh ke arah suara itu. Sebentar kemudian, dia tergamam. Susuk tubuh di hadapannya ini sangat dikenalinya.
“Marissa...,” ucapnya perlahan. Dia telan liur. “Macam mana kau tahu aku kerja kat sini?”
“You should know why I’m here,” Marissa bersuara bongkak. “Boleh tahan kerja kau kat sini ya. Rupanya Falisha tak menipu.”
“Kenapa kau datang sini?”
“Kau dengar sini, Hana,” Marissa merapati wanita itu. “Zamir hak aku. Kau yang rampas dia dari aku. Jadi kau tak layak dampingi suami aku!”
“Bekas suami,” selamba Hana membetulkan gelaran Zamir terhadap Marissa. “Dia dah bercerai dengan kau lama sebelum aku jumpa dia lagi. Jadi jangan bagi nama ‘perampas’ tu kat aku. Tak sesuai.”
Berbulu telinga Marissa mendengarnya. “Dia takkan ceraikan aku kalau bukan kau penyebabnya! Sepanjang kami berkahwin, hanya nama kau yang disebutnya! Bukan nama aku!”
Kening Hana terangkat sebelah. Matanya mula meliar mencari sesuatu yang pelik pada pandangannya. Kena! Spontan dia senyum.
“Kenapa kau gelak? Tak betul ke apa yang aku cakap tu?”
“Tak betul langsung. Macam yang aku cakap tadi, dia jumpa aku lepas bercerai dengan kau. Lagipun, bukan ke kau yang beria-ia minta cerai dari dia?”
“Apa yang kau cakap ni?”
“Aku tak tahu la betul ke tak, tapi Zamir cakap yang kau minta cerai dengan dia sebab isu anak. Dia nak anak, dan kau sebaliknya. Apa aku salah ke?”
“Apa kena mengena dengan kau? Dia kahwin dengan kau pun, bukannya kau ada anak pun dengan dia!”
“Sebenarnya, ada,” Hana bangkit dari duduknya perlahan, menyerlahkan perutnya yang memboyot. “Anak kembar. Zamir suka sangat. Dia siap sediakan satu bilik khas untuk anak-anak kami. Saya tak pernah tengok dia sebahagia itu.”
Marissa nampak sangat tidak berpuas hati dengan kenyataan itu. “Kenapa kau tak pernah bagitahu hal ni kat Facebook?”
“Rahsiakan kehamilan, umumkan kelahiran. Itu pesan ustaz yang selalu bagi tazkirah kat surau yang selalu kitorang pergi. Kau pernah ajak Zamir ke surau, ke masjid?” sengaja Hana bersuara sinis bagi membakar hati Marissa.
Ternyata usahanya itu berjaya. Marissa melangkah pergi dari situ sambil menghempas pintu. Hana duduk kembali dengan senyuman manis di bibir. Senyuman itu masih terlekat walaupun ketika Zamir datang ke bibirnya. “Sayang dah kenapa?”
Hana diam, namun dia masih tersenyum.
*****
5 bulan kemudian…
“Abang, tolong tukarkan lampin Ara.”
“Baik sayang,” Zamir dengan gembira mengangkat salah seorang bayi di atas katil itu. Sambil menyanyi riang dia menukarkan lampin itu walaupun dia sedikit pelik melihat lampin anak kecil itu seakan baru lepas ditukar. “I’m done!”
“Abang, lampin siapa yang abang tukar tu?”
“Lampin Ara la. Kenapa?”
“Kenapa saya rasa abang tukar lampin Aza, bukan Ara?”
“Eh, ye ke? Nampak sama je diorang tu?”
“Tak sama la. Ara ada tahi lalat di dagu. Aza tak ada,” beritahu Hana. “Abang ni, anak dah 3 bulan setengah pun masih tak dapat nak bezakan. Apa da.”
Zamir garu kepala yang tidak gatal. “Apa boleh buat. Muka diorang sama sangat. Tak dapat nak bezakan dah.”
Hana ketawa. Dia peluk Zamir dari belakang. “Tak apa. Kata Suraya, benda tu normal. Saya pun, selalu je tersalah tukar lampin kat diorang ni.”
“Apa?” Zamir terkejut. Namun sebentar kemudian, dia ketawa besar. “Tak sangka kecil-kecil lagi diorang dah pandai kenakan kita.”
“Tapi abang tetap sayangkan anak kembar kita tu, kan… siap nak letak kat celah ketiak. Ara belah kiri, Aza belah kanan,” nada suara Hana berbaur cemburu. “Habis, saya ni nak duduk mana?”
Zamir berpusing dan membalas pelukan isterinya itu. “Sayangku ini tetap kekal di lubuk hatiku yang paling dalam. Romantik tak?”
Zamir memberikan senyuman paling menawan pada pandangan mata Hana. Dia berdehem perlahan. “Abang, anak kita baru tiga bulan, bang.”
Sekali lagi Zamir gelak besar!
TAMAT