Thursday, November 28, 2019

Cerpen : Aku, Imam dan Papan Luncur


“He was a boy
She was a girl
Can I make it any more obvious?
He was a punk
She did ballet
What more can I say?...”

Terangguk-angguk kepala Naddy mendengar lagu dendangan Avril Lavigne itu. Jam di tangan dikerling perlahan. Kemudian dia mengeluh kuat.

“Mana Sakeenah ni? Janji jumpa pukul 2 petang. Ini dah pukul 1.45 masih tak nampak batang hidung. Ni nak jumpa ke tidak ni?”

“Aku dah sampai la,” terdengar satu suara di belakang Sakeenah, membuatkan dia menoleh. “Ke mana kau pergi hah? Penat aku tunggu. Nasib baik aku tak berjanggut lagi tau!”

“Aku pergi solat la tadi. Kan aku dah mesej kau dalam Whatsapp. Kau tak baca ke?” jawab Naddy sambil menyemak telefon pintarnya. “Dah agak dah. ‘Double tick’ je kau bagi aku. Apa aku ni tak bermakna ke dalam hidup kau?”

“Dah mula la Drama Samarinda dia tu,” Naddy membetulkan duduknya. “Sorry la, Aku tak sedar. Aku tetapkan telefon aku dalam mod senyap. Mana nak dengar apa-apa.”

“Aku tahu, mesti kau dengar lagu yang menyakitkan telinga tu,” Sakeenah senget bibir. “Kenapa kau suka dengar muzik macam tu, Naddy? Bukan ke lebih elok kau dengar zikir ke, ayat-ayat Al Quran ke? Sekurang-kurangnya, kau boleh dapat pahala, daripada kau dengar muzik yang tak berfaedah tu.”

Naddy hanya senyum mendengar bebelan Sakeenah itu. Satu pun nasihat gadis itu tidak masuk ke dalam telinganya. Matanya asyik memandang ke arah sekumpulan budak lelaki yang sedang bermain papan luncur.

“Kau tak dengar la tu apa yang aku cakap,” Sakeenah singgung bahu Naddy, membuatkan gadis itu terkejut. “Kau ni! Aku tengah tengok diorang ni. Bagus la diorang ni main skateboard.”

“Suka kau ek, tengok orang buang masa macam tu,” komen Sakeenah lagi. “Daripada diorang lepak kat sini, baik diorang lepak kat masjid. Lagi bagus.”

“Yang kau lepak kat sini, kenapa pula? Kan buang masa macam aku juga?” tanya Naddy, separuh menyindir.

“Kau yang ajak, kan?”

“Kau selesa ke kat sini?” tanya Naddy, membuatkan Sakeenah berfikir lama. “Sesekali boleh la. Kalau selalu tu, tak elok la.”

“Kau yakin ke yang diorang hari-hari kat sini?”

“Kalau dah hari-hari kat sini ada orang je, apa lagi yang diorang buat?” Sakeenah tongkat dagu. Naddy angkat bahu, malas ingin berbalah dengan kawannya itu. Bayangan seorang lelaki lebih menarik perhatiannya.

“Nash!”

“Hah, siapa? Nash?”

“Ya, Nash. Pemain skateboard paling senior kat sini. Tinggi juga skil dia, banyak aksi luar jangka yang dia boleh buat.”

“Ye ke? Atau, sebab dia kacak?” Sakeenah serkap jarang. “Jaga pandangan, Naddy. Allah dah sebut dalam Al Quran... “

“Yea, aku tahu. Surah An Nur, ayat 30 dan 31 kan?” potong Naddy. “Jangan kau ingat kau sorang je yang tahu agama kat sini. Sakeenah. Aku pun dah khatam Al Quran!”

Sakeenah peluk tubuh, tersinggung dengan kata-kata Naddy itu.

*****
"Sedapnya suara imam tadi," komen Said apabila mereka sekeluarga masuk ke dalam kereta. "Lembut dan merdu. Macam suara Qari kat Mekah nun."

"Saya pun rasa yang sama," balas Ruqayah. "Sejuk hati saya mendengarnya. Abang dah jumpa ke imam tu?"

"Dah jumpa pun," Said senyum. "Lebih kurang sebaya anak kita. Sopan orangnya. Menghormati orang tua. Kalaulah anak kita berjodohan dengannya…"

Jodoh? Tegak telinga Sakeenah mendengarnya. Wajahnya bercahaya. Namun Said dan Ruqayah tidak menyedarinya.

Seperti Said dan Ruqayah, Sakeenah juga merasakan hal yang sama. Jatuh cinta dia dengan pemilik suara itu. Terasa bagai di awang-awangan. Buat pertama kali dirasakan, indahnya datang ke surau itu. Kalaulah mereka berjodohan…

"Siapa namanya, abang?"

"Alah, lupa pula abang tanya namanya," Said tepuk dahi. "Yang abang tahu, dia anak saudara Haji Othman. Tapi saudara jauh la."

Haji Othman? Haji yang anaknya semua perempuan tu? Kalau sungguh bagai dikata, pasti Haji Othman akan jodohkan anaknya sendiri. Oh tidak! Sakeenah mula tidak senang duduk.

"Takkan Haji Othman nak kahwinkan dia dengan anaknya yang tak serupa orang tu? Mintak simpang la!"

"Jangan cerita pasal orang, sayang. Anak kita ni pun kita tak tahu masa depannya macam mana."

"Saya yang didik anak saya, bang. Saya tahu dia macam mana," Ruqayah jeling Sakeenah di tempat duduk belakang. "Yang kamu tersengih-sengih macam kerang busuk ni, kenapa?"

Tersentak seketika Sakeenah dengan sergahan itu. Dia hanya tersenyum sumbing sambil garu kepala yang tidak gatal.

"Anak kita ni muda lagi, sayang. Belajar pun belum lagi. Baru masuk universiti. Abang rasa biarlah dia kejar cita-citanya dulu, baru dia fikir pasal cinta."

"Abang nak halang jodoh anak kita?"

"Abang bukan halang. Tapi abang juga tak paksa. Sampai masanya, dia akan kahwin juga. Masa tu, abang terima siapa pun jodohnya."

"Itu kata abang," Ruqayah membetulkan duduknya. "Kalau boleh, saya nak jodoh Sakeenah macam imam surau tu. Kalau dapat dia pun bagus juga."

Ayat terakhir Ruqayah membuatkan Sakeenah senyum lebar. Berbunga-bunga hatinya. Suara imam tersebut kembali terngiang di ruang telinga.

Oh, imam hatiku…

*****
"Apa la kau ni," kutuk Naddy. "Kata crush kat imam, tapi nama dia pun kau tak tahu. Tak crush teruk la kau ni."

"Hamboi!" Sakeenah jeling tajam namun Naddy buat tidak peduli. "Habis tu kau nak aku buat apa? Pergi saf paling depan, tanya nama imam tu secara bersemuka?"

"Ye la, sekurang-kurangnya bila kau tahu nama dia, boleh la kita cari dia dalam media sosial. Kat FB ke, Twitter ke, IG ke…"

"Aku takkan ajak kau macam tu," Sakeenah jelir lidah. "Imam tu aku punya tau. Kau jangan masuk campur."

"Blah la kau! Nama pun kau tak tahu, ada hati nak jadikan dia milik kau," Naddy membalas selamba. "Tapi kan, bukan ke kau anti-crush macam ni? Yang kau marah bila aku cakap aku minat Nash dulu? Kau kata apa? Zina hati?"

"Nash mana ni?"

"Budak Skateboard tu!"

"Jangan samakan Nash dengan imam aku tu! Nash tu lain, kau minat dia sebab nafsu! Aku lain."

"Hah? Lain? Macam mana pulak boleh lain tu? Bukan sama je ke?"

"Lain….sangat!" Sakeenah goyang jari telunjuk pada muka Naddy. "Aku minat dia sebab suara dia merdu bila baca Al Quran."

Berkerut dahi Naddy mendengarnya. Sebentar kemudian dia geleng kepala perlahan. Malas dia ingin bertelagah dengan gadis ini. Mana mungkin dia mengalah!

"Sebab tu je ke kau datang sini?" tanya Naddy. "Nak bagitahu yang kau dah tangkap cintan dengan imam yang kau cuma dengar suara?"

Belumpun Sakeenah membalas pertanyaan itu, seorang budak lelaki menghampiri mereka berdua, menghulurkan sehelai kertas berlipat padanya. "Untuk awak."

"Apa ni? Siapa bagi?" tanya Sakeenah pelik. Budak lelaki itu hanya tersenyum lalu meninggalkan mereka. Lipatan kertas itu dibuka lalu isi kandungannya dibaca.

"Siapa bagi?" soal Naddy. Sakeenah tidak menjawab, dia leka membaca surat itu. Sebentar kemudian, surat itu dikeronyokkannya, membuatkan Naddy terkejut. "Kau dah kenapa?"

"Tak ada apa-apa," jawab Sakeenah. Namun matanya tajam memandang Nash yang sedang bermain papan luncur bersama yang lain. Hanya setelah lelaki itu menyedari tindakannya, barulah dia memandang ke tempat lain.

Naddy memandang Sakeenah dan Nash silih berganti. Dia mengeluh kecil. Dia sudah cukup dewasa untuk memahami situasi tanpa suara itu. Mengenangkan itu, dia mengeluh lagi.

*****
Hari itu Sakeenah bersiap lebih awal daripada biasa. Sengaja dia memilih telekung yang baru dibasuh, baju yang masih wangi dan menyimpannya di dalam beg yang baru dibeli. Diletak elok di tepi pintu bilik. Hanya menunggu masa untuk panggilan ibu tercinta untuk ke surau.

“Sakeenah!” panggilan yang diharapkan akhirnya kunjung tiba. Cepat-cepat dia keluar dari bilik dan menuju ke ruang tamu. “Kita dah nak ke surau ke, umi?”

“Maaf la, Sakeenah. Harini umi tak dapat ke surau. Uzur,” beritahu Ruqayah, membuatkan hati Sakeenah sedikit kecewa.

“Tapi kalau Sakeenah nak ikut abi ke surau, telefon dia sekarang. Mungkin dia akan terus ke sana. Cuma mungkin lambat sikit. Katanya tadi ada urusan penting di pejabat.”

“Tak apalah, umi,” Sakeenah cuba mengawal kekecewaannya daripada terpamer. “Solat kat rumah pun boleh juga kan?”

Perlahan Sakeenah kembali ke biliknya. Dia hempaskan diri ke atas katil. Dia tekup muka dengan dua biji bantal dan menjerit nyaring. Hanya setelah puas, dia angkat mukanya. Matanya merah.

“Tak dapat aku nak melepas rindu pada imam kesayangan aku,” rengek Sakeenah perlahan. “Dah la minggu lepas aku tak dapat pergi sebab uzur. Minggu ni pun sama. Bertambah dalam la kolam rindu aku pada imam aku nanti.”

Selesai solat Maghrib, Sakeenah tidak membuka telekungnya. Dia mencapai Al Quran dan membacanya. Namun fokusnya bukan pada naskhah agung itu membuatkan tajwidnya menjadi tunggang langgang.

Telinganya mengawasi bunyi kereta abinya yang mungkin akan tiba bila-bila masa. Bila masa itu tiba, dia akan terus ke surau dengan telekung terpakai di kepala. Lantaklah orang nak cakap apa!

Namun apa yang ditunggu tidak kunjung tiba. Azan Isyak berkumandang, namun bayang Said masih tidak kelihatan. Sakeenah hampa, langsung dia mendirikan solat fardu itu tanpa membaharui wuduknya, yakin masih belum terbatal.

Selesai membaca doa, dia terus berkemas dan menutup lampu. Air matanya mengalir perlahan namun dibiarkan sahaja. Akhirnya dia tertidur dengan linangan air mata.

“Abang dah balik?” sapa Ruqayah melihat kelibat Said di muka pintu. “Abang dari pejabat ke ni?”

“Abang dari surau.”

“Abang singgah ke surau ke tadi?”

“Ya,” Said melabuhkan duduknya di atas sofa. “Masa azan Isyak tadi, abang dah dekat sangat dengan surau. Jadi abang terus singgah.”

“Oh…,” Ruqayah mengerti. “Kesian Sakeenah. Semangat dia nak ke surau tadi. Bila saya bagitahu keadaan saya, terus dia kecewa.”

“Sebelum ni dia tak macam tu pun?” Said bertanya pelik. Ruqayah hanya angkat bahu, tanda tidak tahu.

*****
"Dengar apa tu?" sapa Naddy ramah, sambil menepuk perlahan bahu Sakeenah. Terkejut gadis itu, spontan dia mencabut fon telinga.

"Kacau la kau ni. Aku tengah dengar suara bakal imamku ni. Merdu sungguh la."

"Kau rakam suara dia masa tengah solat?" Naddy kerut dahi. Dia labuhkan duduk di sebelah Sakeenah. "Bukan ke tu jadikan solat kau tak khusyuk?"

"Aku pasang perakam sebelum solat lagi. Tak jadi masalah pun," Sakeenah senyum sumbing. "Terima kasih ya Naddy, idea kau sangat membantu."

"Bermanfaat juga aku ni rupanya," Naddy ketawa kecil. "Jadi kau dah tahu nama imam tu? Siapa namanya? Hassan?”

Mendengar pertanyaan itu, Sakeenah tepuk dahi. “Aku masih tak tahu nama dia! Macam mana ni, Naddy?”

“Macam mana pula tu? Kau tak suruh abi kau tanya?”

“Takkan la aku nak buat macam tu? Segan la aku,” Sakeenah kuis tanah di kaki. “Aku tak nak la nampak sangat yang aku beria. Nanti abi aku perasan pula.”

“Apa-apa la,” ujar Naddy. “Tapi aku pelik la. Selalunya aku la yang mengajak kau datang sini. Hari ni kau pula yang datang sendiri. Awal pula tu. Kenapa ya?”

“Ada urusan yang perlu aku selesaikan di sini hari ni,” suara Sakeenah sudah mula bertukar serius. “Aku nak ajar orang yang tak faham bahasa.”

“Siapa?”

“Tu,” Sakeenah menjuihkan bibirnya ke arah Nash yang sedang menghampiri mereka. “Kau tengok je apa yang aku akan buat sekejap lagi.”

Naddy dapat mengesan sesuatu yang buruk akan berlaku. Dia nampak senyuman sins Sakeenah dan wajah polos Nash. Dia mula berasa tidak sedap hati. “Sakeenah….”

“Assalamualaikum, Sakeenah,” lembut sahaja lelaki itu mengucapkan salam sejahtera namun tidak dijawab gadis itu. "Beri salam itu, sunat. Menjawabnya, wajib."

“Waalaikumsalam,” jawab Sakeenah dalam keterpaksaan. Sekali pun dia tidak memandang wajah lelaki itu. Keadaan itu disedari Naddy lantas dia menyiku perlahan rakannya itu. Spontan Sakeenah menjawab, “Jaga pandangan!”

“Ada apa awak nak jumpa saya ni?” tanya Nash. Sakeenah tidak menjawab pertanyaan itu, namun dia menyerahkan sehelai kertas berlipat kepadanya. Naddy hanya menjadi pemerhati setia.

“Ambil balik surat ni!” tegas Sakeenah. “Masuk ini, dah lima kali awak hantar surat macam ni pada saya. Awak tak faham bahasa ke? Saya tak suka awak!”

Sakeenah bangkit dari duduknya. “Awak tak sesuai untuk saya. Carilah orang yang sekufu dengan awak. Naddy ke…”

Terkejut Nash mendengar kata-kata itu. Naddy apatah lagi. “Apa yang kau cakap ni, Sakeenah? Aku? Kenapa aku?”

“Kau kan suka dia. Kau ambillah dia,” sinis Sakeenah bersuara. Dia kemudian pandang Nash yang terkedu sedari tadi. “Kau jangan mimpi aku akan minat orang macam kau. Cermin muka tu sikit!”

Sakeenah terus meninggalkan kawasan itu, meninggalkan Naddy dan Nash yang masih terkesima.

*****
“Ada orang datang merisik kamu siang tadi, Sakeenah,” ujar Ruqayah ketika mereka sedang menikmati makan malam bersama. Tersedak Sakeenah yang sedang minum air. Said yang sedang menyuap nasi, memasang telinga.

Ruqayah menguntum senyum. “Umi dah bincang dengan abi, dan kami terima lamaran tu.”

“Ruqayah.”

“Apa?”

“Abang katakan pada mereka yang kita akan berbincang dengan lebih lanjut, kan? Kenapa buat keputusan terburu-buru? Tanpa bincang dengan abang lebih dalam pula tu!”

“Abang ni…,” Ruqayah tidak senang dengan teguran itu. “Dah orang lamar anak kita, takkan kita nak tolak? Bukan orang lain pun, abang sendiri kenal dengan dia. Ahli jemaah surau juga macam kita.”

“Sekurang-kurangnya, awak tanya dulu anak kita. Bukan main buat keputusan sendiri tanpa berbincang dahulu. Yang nak kahwin nanti, anak kita. Bukan awak!”

“Eh, abang ni!” terkejut Ruqayah mendengar ayat terakhir daripada Said. “Sakeenah ni anak saya, abang. Tentulah saya tahu apa yang terbaik untuk dia. Abang ni…”

“Bukan macam tu…”


“Umi, abi,” Sakeenah bersuara, mematikan perbalahan Ruqayah dan Said. “Apa saja keputusan umi dan abi, saya terima. Saya yakin dengan pilihan umi dan abi.”

“Eh, kamu nak ke mana tu?” tanya Ruqayah apabila Sakeenah bangkit dari duduknya. Sakeenah senyum. “Tak apalah, umi. Saya dah kenyang la.”

Dia membawa pinggan yang telah digunakan ke sinki lalu memcucinya. Selesai, dia menapak menuju ke bilik tidur. Kelakuannya itu hanya diperhatikan oleh Ruqayah dan Said.

“Kenapa dengan dia tu?” tanya Said.

“Entah. Mungkin ada keputusan kuiz di kampus yang tak memuaskan kot. Itu yang dia kecewa,” Ruqayah membuat andaian. Said sebenarnya masih tidak berpuas hati, namun dia tetap menghabiskan hidangannya.

Sakeenah melangkah ke dalam biliknya perlahan. Dia kemudian menghempaskan dirinya ke atas katil. Air matanya berlinangan. Sudah dua minggu sejak ‘imam’nya menghilangkan diri.

“Dah lama imam muda tu tak muncul di surau ya, abang?” tanya Ruqayah beberapa malam yang lepas.”

“Dia dah balik kepada keluarganya kot. Haji Othman kan hanya saudara jauh. Pasti dia masih ada keluarga lain. Ada mak, ayah, dan adik beradik lain.”

“La, ye ke?” Ruqayah kedengaran kecewa. Sakeenah apatah lagi. “Dia ada cakap tak bila dia datang ke sini lagi?”

“Mana la abang tahu? Abang bukan suka ambil tahu hal orang. Mana yang abang tahu tu, yang itu sajalah.”

Air mata Sakeenah menitis lagi. Dapat dirasakannya, dia takkan berpeluang untuk bertemu lelaki itu lagi. Hanya suara… hanya suara yang akan menjadi penemannya kini.

Oh, imamku…

*****
"Kau terima lamaran tu? Macam tu je? Habis macam mana dengan imam yang kau cuma dengar suara tu?" tanya Naddy bertubi-tubi selepas Sakeenah menghabiskan ceritanya.

"Mana satu aku nak jawab dulu ni?" tanya Sakeenah kembali. "Terima je la. Nak buat macam mana? Imam tu dah lari dari aku."

"Kesiannya kau, cinta tak berbalas," kutuk Naddy. Dia buat tidak peduli apabila Sakeenah menjelingnya tajam. "Habis tu kau terima lamaran lelaki yang kau tak kenal tu?"

Sakeenah angkat bahu. "Dia ahli jemaah surau. Selalu juga nampak dia kat sana. Entah, aku pun tak tahu sangat pasal dia. Abi aku yang lebih kenal dia."

"Apa punya cerita la kau ni. Jatuh cinta dengan orang yang kau cuma dengar suara. Nak kahwin pun dengan orang yang kau tak tahu apa-apa pasal dia," komen Naddy lagi. "Abi kau setuju tak? Mesti la setuju kan. Abi kau lebih kenal bakal suami kau tu."

"Umi aku yang aturkan semua," cerita Sakeenah lagi. "Abi macam berat hati. Aku tak tahu kenapa. Tapi dia layankan aje bila umi aku yang beria-ia."

"Kau cintakan dia?"

"Cinta boleh dipupuk lepas kahwin, kan?" soalan Naddy dibalas dengan soalan juga. "Lagipun, cinta lepas nikah itu yang lebih bagus. Apa pun kita nak buat lepas ni, halal dan berpahala.”

“Kata-kata orang yang putus cinta dengan imam,” usik Naddy. Lalu dia ketawa kecil. Sakeenah mencubit paha gadis itu membuatkan dia menjerit kesakitan.

“Rasakan. Dari tadi ya kau mengusik aku. Kau ingat aku tak sedar?”

“Ala, maaf la. Bukan selalu aku usik kau,” ujar Naddy sambil menyapu laju pahanya. Dia capai tangan Sakeenah yang mencubitnya tadi. “Ni bukan tangan manusia tau! Ni tangan ketam. Sakit wo!”

Sakeenah  membetulkan duduknya sambil memerhatikan kumpulan pemain papan luncur. Terasa seperti ada yang kurang di situ. “Naddy.”

“Ya?”

“Kenapa aku rasa macam ada yang kurang ni?”

“Apa yang kurang?”

“Itu yang aku tanya kau ni,” Sakeenah memandang kembali kumpulan itu. “Oh, baru aku perasan. Budak tu dah tak ada ek?”

“Siapa? Nash?” tanya Naddy kembali. “Ye la. Kau kan dah tolak cinta dia. Mesti la dia kecewa.”

“Kenapa kau tak ganti tempat aku, jadi yang dia cinta?”

“Kau ingat cinta tu macam handphone, boleh bertukar tuan macam tu je?” tanya Naddy kembali. “Fikir logik la. Kau pun susah nak lupakan cinta lama.”

Ayat Naddy membuatkan Sakeenah kembali termenung.

*****
Lima tahun kemudian…

"Tak sangka, perkahwinan Sakeenah berakhir dengan penceraian," ulas Ruqayah. "Umi benar-benar tak sangka yang bekas menantu umi tu sebenarnya…"

“Ruqayah, sudah la tu,” balas Said tenang. “Benda dah jadi, nak buat macam mana? Anak kita pun dah jadi janda sekarang.”

“Menyesal betul saya kahwin dengan dia, abi,” Sakeenah bersuara. “Nampak dari luar, baik sangat. Solat tak tinggal, hormat orang tua… rupanya, bengkok!”

“Ini pengajaran untuk kamu, Sakeenah,” balas Said. Sesekali dia pandang Sakeenah yang wajahnya tunduk ke lantai. “Dan ini juga pengajaran untuk kita juga.”

“Kenapa pula?”

“Awak dah lupa?” tanya Said kembali. “Awak yang bersungguh sangat nak kahwinkan dia. Saya dah cakap, tunggu dulu. Anak kita masih belajar masa tu. Tapi apa awak buat? Terus jalankan rancangan awak tu tanpa pedulikan pandangan saya. Kolot katanya. Sekarang ni, apa jadi? Pelajaran ke mana, keluarga ke mana!”

Masih Sakeenah ingat, pada tahun pertama perkahwinan mereka, Latif suaminya meminta dia menangguhkan pengajiannya. Alasannya, dia belum cukup mampu. Semua itu diikuti tanpa banyak soal meskipun abinya menentang keras.

Kemudian, mereka berpindah ke pantai timur kerana suaminya dikatakan mendapat peluang perniagaan di sana. Namun perniagaannya tidak menjadi dan mereka mengalami kerugian. Semua itu dilalui oleh Sakeenah dengan tabah dan sabar.

Namun pengorbanannya hanya sia-sia. Kesabarannya tercabar apabila dia secara tidak sengaja membongkar rahsia besar suaminya yang selama ini cuba disembunyikannya. Dia menangkap suaminya bersama seorang lelaki di atas katil!

Hancur luluh hatinya. Punah harapannya. Masa itu juga dia minta dilepaskan. Dan walaupun Latif keberatan, dia terpaksa menunaikan permintaan wanita itu.

“Benda dah jadi, nak buat macam mana,” suara Said mengembalikan Sakeenah ke alam realiti. “Kita belajar dari kesilapan, kita belajar dari pengalaman. Lepas ni, jangan buat keputusan terburu-buru. Terlalu gopoh akan membuatkan kita ambil keputusan yang tidak rasional.”

“Baik, abi,” jawab Sakeenah perlahan. Namun Ruqayah masih tidak memberikan sebarang respon. Ini membuatkan Said menjelingnya tajam. “Ruqayah…”

“Ye la. Saya minta maaf. Saya yang salah,” jawapan Ruqayah belum cukup memuaskan hati Said, namun dia terima apa adanya. “Lepas ni, apa-apa pun keputusan, bincang dengan saya dulu. Ini masa depan anak kita yang menjadi taruhan ni. Ingat senang?”

Ruqayah senyum senget. Sakeenah pula diam tidak berkutik.

*****
“Dah lama tak datang ke surau ni,” ujar Sakeenah apabila mereka menjejakkan kaki ke bangunan itu. “Banyak perubahan dah berlaku, ya?”

“Dah lima tahun, Sakeenah. Mestilah ada perubahannya.,” balas Said. Dia teringat sepotong pepatah Arab yang berbunyi: “Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam”.

“Tempat solat wanita pun dah tak ada tirai?” tanya Sakeenah, kagum bercampur pelik. “Kenapa ya, umi?”

“Banyak faktor. Nak cerita kat sini pun, lima belas muka surat pun tak cukup,” balas Ruqayah selamba. “Tapi bagus juga buat begini. Bila ada ceramah atau kuliah agama, tak la terasa ada penghalang antara penceramah dan jemaah wanita.”

“Betul juga tu,” ulas Sakeenah perlahan. “Ada ceramah ke harini?”

“Ada. Penceramahnya, imam muda yang baru tamatkan pelajarannya di Mesir. Suaranya sedap juga. Macam suara imam yang pernah datang sini dulu.”

Mendengarkan kenyataan itu, jantung Sakeenah kembali berdebar. Dia telan liur berkali-kali. Imam yang dimaksudkan, adakah…

“Anak saudara Haji Othman, kan?”

“Ye la. Anak saudara Haji Othman yang pernah jadi imam kat sini dulu. Bersih wajahnya, nampak matang. Dan baru sekarang baru saya tahu namanya.” balas Said. “Nasrullah Omar.”

Selepas lima tahun, barulah aku mengetahui namamu, wahai imamku. Hati Sakeenah sudah berbunga-bunga. Namun dia cuba berlagak selamba. Takut juga kalau-kalau abinya perasan tingkahnya itu.

“Apa tajuk ceramah kita hari ni, abang?”

“Jodoh atau ajal,” jawapan Said buat Sakeenah diam seketika. Terasa dalam sangat tajuk ceramah pada hari ini. Dia teringat kata-kata Naddy, “Mungkin ajal yang akan datang dulu sebelum jodoh tiba. Siapa tahu?”

Azan maghrib berkumandang, dan solat mula didirikan. Suara imam muda Nasrullah bergema kembali di surau itu. Hati Sakeena terusik. Entah mengapa, dia sendiri tidak tahu.

Usai solat Maghrib, para jemaah wanita mengambil tempat masing-masing. Sakeenah ternampak bayangan seseorang namun dia kurang pasti. Dia kembali memusatkan fokusnya pada ceramah yang akan disampaikan itu. Sesusuk tubuh yang duduk di ruangan penceramah membuatkan jantungnya berhenti berdegup seketika.

“Nash? Nasrullah Omar adalah Nash? Imam itu adalah Nash?”

Ceramah sudah dimulakan namun Sakeenah masih terkedu. Lelaki itu yang menyedari kehadirannya menguntum senyum ke arahnya. Kaku Sakeenah di situ.

*****
“Kenapa kau buat macam tu?” tanya Naddy. Tangan Sakeenah dipegang kejap, seakan enggan dilepaskannya. “Kenapa kau lukakan hati Nash sampai macam tu sekali?”

“Dah memang itu kenyataannya. Dia memang tak sesuai dengan aku,” jawab Sakeenah sombong. “Kau tengok sendiri la. Dengan pakaiannya macam tu, dengan pergaulannya lagi. Kau ingat dia layak ke untuk aku? Tolonglah!”

“Tak baik la kau buat dia macam tu,” kata Naddy. “Nash bukan seperti apa yang kau fikirkan. Baik kau tarik balik kata-kata kau tu sebelum terlambat.”

“Buat apa?” tanya Sakeenah angkuh. “Aku dah cakap dengan jelas dan terang, dan aku takkan tarik balik kata-kata aku.”

“Nash bukan macam yang kau fikirkan,” ujar Naddy. “Aku berani bersumpah yang kau akan menyesal dengan apa yang kau buat ni. Percayalah.”

“Aku takkan menyesal dengan apa yang aku buat, Naddy. Ini hidup aku dan aku tahu apa yang aku buat,” putus Sakeenah. Dari jauh dia nampak Nash berdiri kaku di tempatnya. Sempat dia menjerit. “Kau jangan harap aku akan terima cinta kau!”

“Sakeenah!” jerkah Naddy, membuatkan dia terkejut. “Kalaupun kau tak suka dia, jangan la kau malukan dia sampai macam ni sekali!”

“Biarlah! Biar dia tahu langit tu tinggi ke rendah,” balas Sakeenah. “Kerja pun tak ada, asyik main papan luncur je… ada hati nak bercinta dengan aku. Ingat aku terima?”

"Jangan bongkak sangat, Sakeenah. Lidah tu jangan lagi laju dari otak. Nanti makan diri!"

"Whatever!"

Menitis air mata Sakeenah mengingatkan peristiwa itu. Hampir dia terlupa akan hari itu. Hari dia meletakkan maruah Nash di tapak kakinya.

Hari ini, keangkuhannya memakan diri. Melihat Nash di meja penceramah, bukan sahaja telah membuatkan dia malu, tapi telah membuktikan sesuatu.

"Jangan menilai sesuatu daripada luaran, kerana dalamannya begitu banyak yang kau perlu tahu.” Latif, seorang lelaki yang tidak pernah culas ke surau. Namun di sebalik perwatakannya itu, tersimpan rahsia yang tidak pernah disangka.

Nash pula… seorang pemain papan luncur yang tidak pernah disangka, rupanya seorang imam surau yang diminati Sakeenah suatu masa dahulu. Dia tepuk dahi. Kenapa la aku ni bodoh sangat?

“Kita ni diuji dengan apa yang kita percaya,” suara Nash mengembalikan Sakeenah ke alam realiti. “Dan ia terpulang dengan apa yang kita paling percaya.”

“Bagus la ustaz ni. Cakapnya lembut. Bahasanya pun molek je,” puji salah seorang jemaah wanita. “Berbeza benar dengan lima tahun lepas. Nak jumpa kita pun, malu-malu je.”

“Eh, tak juga. Dulu, dia berdakwah dengan cara tersendiri. Budak-budak yang main papan luncur tu, dia la yang ajar diorang mengaji. Sampai khatam la budak-budak tu semua.”

“La, ye ke? Ingatkan saja-saja je dia lepak dengan budak-budak tu semua. Rupanya ada juga sesuatu yang dia buat.”

Mendengar pujian itu membuatkan hati Sakeenah bertambah pedih. Dia sudah tidak mampu menangkat muka. Cepat-cepat dia bangun menuju ke tandas.

“Eh, Sakeenah?” terdengar satu suara memanggilnya membuatkan dia menoleh. Sejurus, dia terkedu. Wanita yang memanggilnya ini amat dikenalinya.

“Naddy?”

*****
“Lepas kau kahwin dan pindah, aku sambung belajar ke kolej. Mula-mula, susah juga, walaupun aku minat bidang yang aku ambil tu. Lama-lama, okey,” Naddy membuka cerita. “Aku dengar kau tangguh pengajian kau. Betul ke?”

“Bukan tangguh. Berhenti terus,” jawab Sakeenah, membuatkan Naddy ternganga. “Suami aku suruh. Eh, bukan. Bekas suami.”

“Banyak juga ya cerita yang aku perlu dengar dari kau ni. Ye la, lima tahun kan. Bukannya sekejap,” ujar Naddy. “Kau pun, lepas kahwin haritu terus hilang ya. Putus hubungan terus. Mati kutu aku nak cari kau.”

Sakeenah hanya tersenyum. Dia kembali memandang sekumpulan jemaah lelaki yang sedang berbual dengan Nash di satu sudut di surau itu. “Kenapa kau tak bagitahu aku yang Nash tu imam kat surau ni dulu?”

“Eh? Ah, yang itu!” Naddy garu kepala yang tidak gatal. “Aku pun tak tahu, Sakeenah. Aku kan jarang ke surau masa tu. Jadi mana la aku tahu. Tapi, cerita yang dia ajar pemain papan luncur tu mengaji, aku tahu. Malah, dia juga ada ajar aku.”

“Serius la? Kenapa kau tak pernah cerita?” buntang mata Sakeenah mendengarnya. Naddy tersengih. “Masa tu aku belajar Iqra’ 1 je. Mana nak sama tahap dengan kau yang dah baca juzuk 15 dalam Al Quran.”

Sakeenah rasa ditampar berkali-kali. Dia teringat tingkah lakunya dahulu, di mana dia sangat berbangga dengan amalan dan pencapaiannya. Di mana dia memandang rendah pada semua orang, termasuklah…

“Nash tu nampak je macam tu dulu, tapi bila dia mengaji, suaranya merdu!” mata Naddy bercahaya. “Aku kagum dengan dia bukan saja sebab dia pandai main papan luncur dan mengaji, tapi cara dia menggabungkan dua perkara tu dan jadikannya satu jalan dakwah. Bukan semua orang berfikiran macam tu!”

Sakeenah rasa terpukul lagi.

“Tapi, dalam pada dia dikagumi sebagai imam, dia layan juga anime Jepun. Paling dia minat, Naruto! Tak sangka dia mampu habiskan beratus-ratus episod anime tu. Aku pun tak mampu buat macam tu!”

“Kau masih ada hati dengan Nash… Nasrullah ke, Naddy?” terpacul soalan itu dari bibir Sakeenah. Sebentar kemudian, dia menutup mulutnya.

“Suka?” tanya Naddy kembali. “Bukan sekadar suka, Sakeenah. Aku… aku dah jatuh cinta dengannya.”

“Hah?”

“Ya, Sakeenah. Aku cintakan dia,” senyuman Naddy melebar. “Aku cintakan Nasrullah Omar… suami aku, Sakeenah.”

Apa? Suami?

*****
“Kami dah kahwin dua tahun lepas.”

Ternganga Sakeenah mendengar berita itu. “Tapi, macam mana…?”

“Aku betul-betul tak sangka yang aku akan kahwin dengan dia. Ingat tak, yang kau tolak cinta dia dulu?” Sakeenah terkejut. Darah menyerbu naik ke muka. Masakan dia lupa peristiwa itu?

“Nash patah hati betul dengan penolakan kau,” Naddy menyambung cerita. “Dia ke Mesir bukan saja untuk sambung belajar, tapi bawa hati yang terluka. Selama tempoh tu, kitorang saling berbalas komen. Masa tu aku tak letak harapan sangat. Aku tahu dia patah hati.”

“Masa aku habis belajar, dia balik dari Mesir sekejap. Dalam tiga bulan macam tu. Dalam masa tiga bulan itulah, semuanya terjadi. Dia masuk meminang aku, menikah, dan dia bawa aku ke Mesir bersama dengannya, sebagai isterinya.”

Sakeenah telan liur. “Kau… isteri imam tu?”

“Ya. Unik kan?” tanya Naddy kembali. “Tak sangka, jodoh aku adalah orang yang aku suka. Crush aku. Lepas kahwi baru aku bagitahu dia hakikat tu. Dia gelak je. Kau tahu apa yang dia jawab?”

Sakeenah tidak menjawab soalan itu, namun itu bukan penghalang untuk dia meneruskan ceritanya, “Dia cakap, dia dah lama tahu. Sebab tu, dia lamar aku. Sebab aku lembut, dan sabar. Lembut? Celah mana entah.”

“Kau bahagia?” Soalan apa itu, Sakeenah?

“Bahagia sangat!” jawab Naddy teruja. “Dia sokong aku dalam bidang penulisan kreatif, dan aku sokong dia dalam jalan dakwahnya. Kau tahu, kami ada terbitkan buku bersama.” Naddy menghulurkan senaskhah buku kepada Sakeenah. “Bacalah!”

“Budak Papan Luncur,” perlahan Sakeenah membaca tajuk buku tersebut. “Tulisan Nasrullah Omar dan Nadia Nahar.”

“Kami dalam proses menulis buku kedua,” beritahu Naddy lagi. Kemudian dia pegang tangan Sakeenah erat. “Terima kasih.”

“Kenapa?”

“Sebab tolak cinta Nash,” Naddy senyum. “Penolakan kau membuka jalan untuk dia berjodoh dengan aku. Jadi aku berterima kasih sangat-sangat dengan kau.”

Sakeenah tersenyum kelat. Lidahnya kelu. Naddy menoleh apabila mendengar namanya dipanggil. Sakeenah tergamam apabila melihat Nash melambai ke arah mereka berdua.

“Okey la, Sakeenah. Suami aku dah panggil tu,” Naddy bangun dari duduknya. “Ada masa kita jumpa lagi ya. Tata!”

Sempat Naddy mencium pipi Sakeenah sebelum terkedek-kedek menghampiri suaminya. Sakeenah hanya menghantar langkahnya dengan pandangan mata. Dalam diam, dia cemburu dengan Naddy. Dia dapat imamnya, imam yang pernah dia tolak dulu.

Oh, imamku…

TAMAT