"Kenapa kau masih tersadai kat sini, Khairi?" tanya Nisa apabila melihat lelaki itu masih berdiri berhampiran pintu masuk kedai serbaneka itu.
"Kau tak nampak ke kat luar tu hujan lebat?" tanya Khairi kembali. "Macam mana aku nak balik, Nisa oi? Aku bukannya ada kereta."
"Mana la aku nampak tadi, sengal!" balas Nisa geram. "Kau tunggu la kat sini sampai hujan teduh. Selamat sikit."
"Kau nampak macam aku tengah main hujan ke?"
"Kau!" Khairi sempat mengelak apabila Nisa membaling kain buruk kepadanya. "Bagitahu umi kau. Jangan bagi dia risau."
Mendengarkan ayat terakhir gadis itu, cepat-cepat Khairi mencapai telefon pintarnya di dalam beg. Aplikasi Whatsapp dicari dan dia mula menaip kata demi kata untuk umi tercinta.
"Umi, saya tersekat di skala enam ni. Hujan lebat. Bila hujan dah teduh sikit saya beransur balik. Umi tunggu ya."
Tidak sampai seminit, mesejnya berbalas. Cepat-cepat dia membacanya, "Baik-baik berteduh tu. Jangan sampai menyusahkan orang lain."
"Baik umi."
"Lagi satu, macam mana dengan permintaan umi yang nak ziarah Pak Ya tu? Jomlah teman umi. Takkan umi nak pergi sorang-sorang," mesej seterusnya daripada umi mula mengusik hatinya. Lama dia memandang skrin telefon pintarnya itu.
"Mesej umi sendiri macam mesej kekasih je gayanya," Nisa mengusik. "Mesej umi je tau! Jangan mesej orang lain!"
Namun Khairi tidak memberikan sebarang respon, membuatkan Nisa mengesam sesuatu. "Kau kenapa? Apa yang jadi kat umi kau?"
"Umi… dia nak jumpa Pak Ya."
Dengan Nisa dia tidak perlu berahsia. Nisa tahu segalanya dan dia menerima Khairi seadanya. Kerana itu, tiga kata keramat itu milik Nisa.
"Kau nak pergi jumpa dia ke?"
"Entah. Abang Long dan Kak Ngah awal-awal lagi dah cakap tak nak jumpa Pak Ya. Jangankan jumpa, nak dengar nama dia pun diorang tak mahu."
"Aku tak tanya pasal diorang. Aku tanya pasal kau, Khairi. Kau nak pergi jumpa dia ke?"
Khairi pandang tepat ke wajah gadis itu. "Entahlah…. Apa yang dia buat, aku masih tak boleh lupa."
*****
Hanya Khairi yang masih mengalirkan air mata. Khalid dan Khalisah sudah berhenti menangis, namun wajahnya masih sugul. Mereka bertiga duduk di satu sudut, memerhatikan orang-orang dewasa yang lain berkumpul di ruang tamu.
“Abang Karim memang tak ada adik-beradik lain ke?” tanya Juhara, isteri Zakariyya. Sesekali dia menjeling ke arah tiga beradik itu.
“Mana ada. Abang Karim… arwah Abang Karim kan membesar di rumah anak-anak yatim. Masa dia kahwin dengan arwah kakak, dia panggil pengetua rumah anak yatim tu untuk jadi wakil keluarganya.”
“Oh…,” panjang muncung Juhara mendengarnya. “Jadi, kita la yang kena bela diorang ni? Tak susahkan kita ke nanti?”
“Mana ada la,” balas Zakariyya. “Besar pahalanya kita jaga anak yatim ni. Banyak kelebihannya. Lagipun bukannya orang lain. Anak saudara awak juga.”
Juhara mendengus halus. “Jangan sampai diorang ni menyusahkan saya ya, bang. Saya tak suka.”
Khairi dengar ayat terakhir Juhara itu. Dia tidak memahaminya. Namun Khalid dan Khalisah tidak mendengarnya.
“Boleh kan Abang Ya, jaga budak-budak ni?” tanya Zhafirah, lembut. “Kesian diorang. Kecil-kecil lagi dah kehilangan ibu ayah.”
Semuanya berlaku dengan begitu pantas. Masih Khairi terasa kucupan kasih Zulaikha dan pelukan hangat Karim tatkala mereka menghantarnya ke sekolah. Dua jam kemudian, dia menerima berita kemalangan yang menimpa kedua orang tuanya itu. Kemalangan yang ‘menghantar’ mereka berdua ke alam abadi.
Tiada lagi masakan Zulaikha yang dibuat dengan penuh kasih sayang. Tiada lagi cerita sebelum tidur oleh Karim setiap malam. Tiada lagi gelak tawa mereka berdua. Tiada lagi… mengenangkan perkara itu, Khairi menangis lagi.
“Abang Ya boleh jaga diorang ni semua. Zhaf jangan risau. Abang akan jaga diorang macam mana ibu ayah diorang jaga dulu.”
“Baguslah kalau macam tu,” Zhafirah memandang sayu ke arah Khalid, Khalisah dan Khairi. “Diorang ni dah tak ada orang lain, bang. Hanya kita yang diorang ada.”
Zhafirah mendekati mereka bertiga. Ubun-ubun anak-anak kecil itu diusap seorang demi seorang. “Maafkan umi. Bukannya umi tak nak jaga kalian. Tapi umi rasa, Pak Ya lebih sesuai jaga kalian. Nanti ada masa, umi datang jenguk kalian ya.”
Khalid dan Khairi tidak menjawab apa-apa. Namun Khalisah memeluk wanita itu erat. Seakan tidak mahu dilepaskannya lagi. Zhafirah membalas pelukan itu dengan kucupan lembut di dahi.
“Jaga diri, ya? Umi sayang kalian semua.”
*****
“Macam tu la ceritanya,” Zakariyya mengkahiri ceritanya. “Arwah memang seorang yang baik. Suka bersedekah dan tak lokek memberi. Jujur, saya bangga jadi adik dia.”
“Bagusnya arwah kakak kau, Ya,” ujar salah seorang daripada mereka yang ada di situ. “Macam mana anak-anak dia sekarang? Kau yang jaga diorang, kan?”
“Ya,” jawab Zakariyya. “Biasalah budak-budak. Dengan macam-macam ragamnya. Tapi aku bersyukur, diorang sangat mendengar kata. Cuma, itulah…”
“Apanya, Ya?”
“Biasalah, kehidupan. Ada pasang surutnya. Kadang-kadang tu, meriah la sikit makannya. Kadang-kadang tu, kami makan apa yang ada. Biasalah, budak-budak baru nak membesar, kan. Tapi aku bersyukur sebab budak-budak tu faham situasi aku.”
“La, kenapa kau tak cakap kau kesempitan wang? Nah,” mereka menghulurkan wang RM50 seorang kepada Zakariyya. “Ni buat belanja budak-budak tu. Makanan diorang, pakaian diorang… “
“Banyak sangat ni…,” ujar Zakariyya sambil mengira wang yang diterimanya. “Tak sangka aku, korang sudi membantu.”
“Apalah sangat duit ni dengan pengorbanan kau menjaga diorang,” jawab salah seorang daripada mereka. “Apa yang boleh kami tolong, kami akan tolong. Kami pun nak juga pahala tolong anak yatim.”
“Betul tu. Kalau ada keperluan budak-budak tu, kau bagitahu je kami. Insya Allah, kami akan cuba sedaya upaya untuk bantu. Jangan malu-malu tau nak minta tolong kami, ya!”
“Insya Allah,” Zakariyya mengesat air matanya. Setelah beberapa lama kemudian, mereka bersurai. Zakariyya singgah di pasaraya untuk membeli beberapa barang dapur, menggunakan wang yang baru didapatkannya tadi. Kemudian dia pulang ke rumah.
“Eh, abang! Banyaknya abang beli?”terkejut Juhara melihat barangan di tangan Zakariyya. “Ada siapa-siapa nak datang ke?”
“Mana ada la,” jawab Zakariyya. “Ni semua barang-barang yang dibeli guna duit sedekah untuk budak-budakk tu. Awak ni, macam tak biasa pula. Bukan sekali dua kita buat macam ni. Dah tiga tahun.”
“Mana la tahu, abang menang loteri ke,” Juhara senyum senget. “Saya tak nak makan duit hasil judi tau. Haram.”
“Tahu,” Zakariyya menghulurkan barangan itu kepada Juhara namun wanita itu tidak menyambutnya. Sebaliknya, dia menoleh ke arah pintu dapur. “Khalisah!”
“Ya, Mak Ju?”
“Ambil barang-barang ni semua. Cuci dan simpan dalam peti sejuk,” arah Juhara. Khalisah hanya diam. Dia ambil barangan di tangan Zakariyya dan terus kembali ke dapur.
“Awak ni, kalau iye pun nak mengarah, jangan la kuat sangat suara tu. Nanti orang dengar,” tegur Zakariyya. “Mana yang lain?”
“Ke mana lagi kalau bukan ke kedai makan abang tu?” jawab Juhara. “Kan abang yang suruh Khalid dan Khairi basuh pinggan kat sana. Abang lupa ya?”
Zakariyya garu kepala yang tidak gatal. “Anak-anak kita?”
“Kat dalam bilik tu, tengah buat apa entah. Tapi nampak macam tengah belajar. Eh, abang.” Juhara paut lengan Zakariyya manja. “Berapa abang dapat kali ni?”
“Dalam tiga ratus ringgit macam tu.”
“Banyaknya!” terbeliak mata Juhara mendengarnya. “Bolehlah saya beli gelang emas baru, kan abang?”
“Eh eh dia ni! Tak ada benda lain ke dapat kepala otak tu? Tak habis-habis gelang emas,” tergeleng-geleng Zakariyya melihat tingkah isterinya itu. “Nanti abang belikan.”
“Terima kasih, abang!” suara Juhara kedengaran sehingga ke dapur, didengari oleh Khalisah. Menitik air matanya.
*****
"Dah siap semuanya, Khairi?" tanya Khalid apabila melihat adiknya itu mengelap tangannya dengan apron. "Ada lagi pinggan yang perlu dicuci?"
"Tak ada, abang," jawab Khairi. Dia pandang seketika beberapa kanak-kanak yang sedang bermain di taman. Perlakuannya itu disedari Khalid.
"Adik."
"Kenapa kita tak boleh main-main macam diorang tu?" tanya Khairi, lirih. "Takkan sebab kita ni anak yatim, kita tak boleh main dengan orang yang ada mak ayah?"
"Adik, jangan macam ni. Nanti Pak Ya dengar," pujuk Khalid. "Adik tentu tak nak kena pukul macam hari tu, kan?"
Masih segar dalam ingatsannya, pada hari itu, Khairi beria-ia mengajaknya bermain bersama kanak-kanak lain selepas selesai mencuci pinggan. "Jom la abang! Kita tak pernah main dengan diorang."
Khalid pada mulanya enggan, namun akhirnya terpujuk selepas melihat wajah Khairi yang terlalu berharap. "Baiklah. Sekejap je tau. Dan jangan bercerita dengam sesiapa lepas ni."
Sangka Khalid, tiada siapa yang menyedari kehadiran mereka di taman permainan itu. Namun sangkaannya meleset. Pulang sahaja ke rumah, Zakariyya sudah menunggu mereka dengan rotan di tangan.
"Kamu ke mana tadi? Kenapa Pak Ya dengar ada orang nampak kamu main dengan budak-budak di taman?"
Khairi sudah kecut perut. Dia membisu. Begitu juga dengan Khalid. Tindakan mereka berdua membangkitkan kemarahan Zakariyya. Khalisah hanya diam sambil memerhatikan mereka di balik pintu dapur.
"Kamu ingat aku ni apa, hah?" Zakariyya terus melibas belakang mereka berdua membuatkan mereka mengaduh kesakitan. Zakariyya terus melibas mereka biarpun Khairi merayu minta dilepaskan.
"Ampun, Pak Ya… ampun!"
"Rasakan!" Khalid dan Khairi terus menerima libasan daripada Zakariyya. Hanya setelah dia penat, barulah dia berhenti. Berbirat-birat belakang dua beradik itu menerima 'habuan' daripada Zakariyya.
"Lain kali, dengar cakap aku. Jangan bermain dengan budak-budak kat taman tu. Budak-budak tu otaknya tak bagus. Tak pandai!"
"Adik, tak payah la. Abang boleh je tahan kena rotan dengan Pak Ya, tapi abang tak sanggup la tengok adik pun kena rotan sekali."
"Baiklah, abang," Khairi akhirnya mengalah. Dia memandang sekali lagi ke arah kanak-kanak di taman itu sebelum menghela nafas halus.
Takkan sebab aku anak yatim, aku diperlakukan begini?
*****
"Cantiknya baju sekolah kami, ayah. Terima kasih!" Luzman peluk Zakariyya erat. "Baju baru. Boleh la pakai pergi sekolah esok."
"Tapi ayah, tahun ni je dah tiga kali ayah beli baju sekolah untuk kitorang," komen Umaimah. Juhara menjelingnya tajam. "Kakak tak suka ke apa yang ayah buat ni?"
"Bukan macam tu," balas Umaimah. "Apa kata kali ni, ayah beli baju untuk Khalid, Khalisah dan Khairi pula. Diorang pun dah lama tak ada baju baru. Asyik pakai baju lama kitorang je. Diorang pun macam kitorang juga, nak juga merasa pakai baju baru."
"Baju korang elok lagi kan?" jawab Juhara. "Biar je diorang pakai baju korang tu. Sekurang-kurangnya kita bagi juga pakaian kat diorang, kan? Jadi diorang kena belajar bersyukur."
"Tapi, mak dan ayah beli baju kami ni pakai duit diorang,” Zakariyya pandang tepat ke wajah anak sulungnya itu. “Kakak rasa, semua ni tak betul.”
“Apa yang tak betulnya?” tanya Zakariyya. “Makan pakai diorang ayah bagi. Tempat tinggal ayah bagi. Apa lagi yang tak betulnya? Cuba cakap dengan ayah, apa yang tak betulnya?”
“Tapi….”
“Dah, jangan nak banyak tanya lagi. Ayah buat ni semua untuk keluarga ayah. Untuk kita semua!”
“Habis tu, anak-anak saudara Abang Ya tu, abang abaikan aje?” suara tegas Zhafirah kedengaran di muka pintu, mengejutkan Zakariyya sekeluarga. “Eh, Zhaf! Bila balik? Kenapa datang sini tak bagitahu abang?”
“Kenapa?” Zhafirah bertanya kembali. “Kalau saya bagitahu abang, mungkin sampai sekarang saya takkan tahu apa yang berlaku kat sini. Patutlah setiap kali saya datang melawat, mata Khalisah sayu semacam je. Rupanya, dia menyimpan rahsia!”
Zakariyya terkedu. Namun Juhara tiba-tiba menjadi berani. “Kau ingat, senang nak jaga diorang tu, Zhaf? Diorang tu sangat nakal tau, terutamanya si Khairi tu. Asyik tak dengar cakap kami!”
“Itu bukan alasan untuk korang abaikan hak diorang!” balas Zhafirah geram. “Abang tahu kenapa diorang digelar anak yatim? Sebab diorang tak mampu uruskan diri sendiri lagi masa kematian mak dan ayah. Sepatutnya orang dewasa macam kita ni yang bantu diorang. Bukan ambil kesempatan kat diorang!”
“Mana kau tahu yang kitorang ni ambil kesempatan ke tidak?”
“Ni!” Zhafirah capai baju yang dipegang Luzman. “Baju ni dibeli dengan duit sumbangan orang kampung, kan? Duit ni duit diorang, kan? Dan baju yang diorang pakai sekarang ni, baju anak-anak abang, kan?”
Sejurus, Juhara menjeling tajam ke arah Umaimah. Tertunduk gadis itu memandang lantai. Tidak mampu dia melawan jelingan ibunya.
“Tak payah nak jeling dia sangat!” suara Zhafirah yang tegas itu mengejutkan Juhara. “Kawan Zhaf yang duduk kat sini yang bagitahu. Yuran sekolah diorang pun abang tak bayar, kan?”
“Diorang kan ada biasiswa. Bayar yuran pakai biasisiwa je la.”
“Kau diam, Luzman!” bentak Zhafirah. “Duit belanja sekolah pun kau tak bagi, kau suruh diorang berpuasa, kan?”
Hanya suara Zharifah yang bergema di ruang tamu itu. Khalid dan Khalisah hanya mengintai di balik tirai bilik mereka. Khairi hanya memerhatikan mereka tanpa rasa.
“Kak Ngah yang bagitahu umi ke?” tanya Khalid. Khalisah menggeleng laju. “Mana ada. Hantar surat ke London tu kan pakai duit. Kita mana ada duit.”
“Betul juga,” Khalid mengintai kembali. “Marah betul umi kali ni ya. Siapa agaknya yang bagitahu umi ya?”
“Entah.”
“Eh, Pak Ya dan umi datang!” cepat-cepat mereka kembali ke katil dan pura-pura membaca buku. “Eh, Abang Long! Buku tu terbalik!”
Zakariyya dan Zhafirah muncul di muka pintu. Wajah lelaki itu kelat, namun Zhafirah menlemparkan senyuman manis.
“Tanyalah diorang sendiri, diorang nak ikut kau ke tak,” ujar Zakariyya. Sempat dia menjeling tajam ke arah Khalid, supaya memberikan jawapan yang tepat. Atau, rotan!
“Anak-anak umi, nak tinggal dengan umi ke nak tinggal kat sini?”
“Dengan umi!” jawapan mereka benar-benar mengecewakan Zakariyya. Lepas ni, tiada lagilah sumbangan yang boleh dikutip!
*****
“Saqahallahul Azim…,” mereka bersuara hampir serentak. Al Quran yang dibaca dijunjung sebanyak tiga kali. Kemudian Khalid mengumpulkan kitab mulia itu lalu diletakkan di tempat yang sepatutnya. Kemudian mereka berkemas sebelum melangkah ke dapur.
“Eh, dah habis mengaji?” tegur Zhafirah yang sedang ligat di dapur. “Pergilah belajar dulu. Tengok TV ke… kari ni tak siap masak lagi. Nanti kita makan bersama ya.”
“Baik, umi,” jawab Khalid. Dia pandang Khalisah dan Khairi. “Korang pergi ambil buku. Kita belajar sama-sama.”
Khalisah dan Khairi akur. Mereka mendapatkan buku mereka dan mula belajar di ruang tamu. Sesekali, Khalid menbantu adik-adiknya menyelesaikan masalah yang timbul. Zhafirah hanya memerhatikan mereka di pintu dapur. Perbualan… perbalahan dengan Zakariyya tempoh hari kembali singgah di ingatan.
“Apa salah budak-budak tu bang? Apa dosa diorang, sampai abang tergamak buat diorang macam ni? Diorang tu bukan orang lain. Anak-anak buah abang. Darah daging abang!”
“Zhaf…”
“Abang mungkir janji abang pada Zhaf. Tiga tahun, bang! Tiga tahun!” mata Zhafirah sudah mula berkaca. “Saya tak peduli. Saya akan ambil budak-budak tu semua dan jaga diorang.”
“Zhaf tak boleh buat macam tu!” Zakariyya mula membantah. “Budak-budak ni sekolah lagi. Takkan nak suruh diorang berpindah macam tu je?”
“Ye ke? Atau abang takut orang takkan bagi abang duit lagi? Sampai bila abang nak jual nama budak-budak ni untuk dapat duit?”
Zakariyya masih tidak mahu mengalah. “Abang penjaga mereka yang sah, Zhaf. Siapa pun tak boleh lawan hakikat tu, termasuk Zhaf!”
“Tapi mahkamah boleh, kan?” balas Zhafirah. “Kalau saya buat aduan ke pihak mahkamah, agak-agak hak abang tu masih belum tergugat ke tak?”
Zakariyya terdiam. Dadanya berombak kencang. Matanya merah menahan marah. “Berani betul kau buat macam tu? Ini abang kau, Zhaf!”
“Try me,” suara Zhafirah seakan mencabar. “Kalau abang boleh abaikan diorang kerana duit, saya pun berani lawan abang. Demi budak-budak. Lagipun, budak-budak tu dah mumayyiz. Suara diorang dah boleh didengari oleh pihak mahkamah.”
“Belum tentu diorang nak ikut kau, Zhaf,” Juhara bersuara. “Kalau diorang tak nak ikut kau, macam mana?”
“Kita tanya,” Zhafirah yakin, kanak-kanak malang itu menunggu saat yang sesuai untuk keluar dari rumah itu.
“Umi,” panggilan Khairi mematikan lamunan Zhafirah. Dia terkedu melihat tiga beradik itu berdiri di hadapanya. “Ya, sayang. Ada apa?”
“Umi dah siap masak ke? Kalau dah, jom la kita makan bersama. Kak Ngah boleh tolong umi. Saya dan Khairi boleh siapkan meja makan,” ujar Khalid. Zhafirah senyum nipis, dia usap ubun-ubun Khairi lembut. Penuh kasih sayang.
“Jom. Umi pun dah lapar ni.”
“Jom!”
*****
Zhafirah membaca sekali lagi surat yang diterima oleh Khalid pagi tadi. Matanya mula berkaca. Tangannya menggigil. Keadaannya itu menimbulkan kerisauan di hati Khalid. “Umi okey?”
“Umi gembira,” akhirnya air mata Zhafirah mengalir. “Anak umi… akhirnya anak umi dah besar. Dah semakin dewasa. Dah masuk universiti. Alhamdulilah.”
“Tahniah, Abang Long,” ucap Khalisah dan Khairi hampir serentak. “Akhirnya abang dapat juga masuk universiti. Kami bangga dengan abang!”
“Tapi masalahnya…,” Khalid bersuara sedikit lambat. “Kita nak pakai duit yang banyak ni, umi. Kita ni pun bukan orang yang senang.”
“Macam mana dengan biasiswa?”
“Biasanya tak diberikan pada pelajar semester pertama,’ jawab Khalid. Dia mengeluh halus. “Macam mana ni, umi? Saya perlu terima tawaran ni, atau kerja dulu?”
Zhafirah bangun dari duduknya. “Kita ke rumah Pak Ya.”
“Hah?” terkejut mereka bertiga mendengarnya. “Kenapa nak kena ke sana? Kita bukan dah tak ada apa-apa hutang dengan dia ke?”
“Dia masih terima duit sumbangan atas nama korang dari orang-orang kampung dan kawasan sekitar,” Zhafirah akhirnya memberitahu hal sebenar. “Sengaja umi tak bagitahu korang supaya korang tak berdendam. Tapi kali ni, kita terpaksa ke sana untuk dapatkan duit tu.”
“Kalau dah umi cakap macam tu, jom la kita pergi,” Khalid memberi kata putus. Khalisah terkejut. “Abang Long?”
“Kita cuba nasib. Mana tahu, Pak Ya dah berubah.”
Mereka pun bersiap dan berkunjung ke rumah Zakariyya. Ketika itu, Juhara dan anak-anaknya tiada di rumah. Kata Zakariyya, mereka keluar membeli belah.
“Ada apa datang ke sini?” tanya Zakariyya, sedikit angkuh. “Bukan main lama lagi kau tak datang sini, Zhaf. Kau mimpi apa malam tadi?”
“Abang, saya nak minta tolong abang ni,” Zhafirah memulakan bicara tanpa berbasa-basi lagi. “Abang Long… Khalid. Dia dapat tawaran sambung belajar ke universiti.”
“Oh, tahniah,” ucapan Zakariyya langsung tidak kedengaran ikhlas. “Jadi, kau nak minta aku tolong apa ni?”
“Abang masih simpan duit sumbangan untuk budak-budak ni, kan? Saya nak minta duit tu sikit. Saya nak guna untuk belanja Abang Long masuk universiti.”
“Duit apa?” kening Zakariyya terangkat sebelah. “Duit apa yang kau cakap ni? Mana ada aku terima apa-apa duit daripada orang lain!”
“Abang, saya tahu abang masih terima duit tu. Ramai yang bagitahu saya, abang masih jual nama budak-budak ni untuk dapatkan duit. Apa salahnya bagi duit tu kat kami sikit. Bukannya saya minta semua.”
“Kalau kau nak, kau minta la sendiri,” Zakariyya bersuara angkuh. “Duit ni, aku yang usaha. Diorang bagi kat aku. Buat apa aku nak bagi kat korang?”
“Abang, saya…”
“Kalau tak ada apa-apa lagi, korang boleh keluar sekarang,” Zakariyya bangun dan menapak ke pintu. “Cepat sikit. Aku nak keluar ni.”
“Abang!”
“Dulu aku tolong budak-budak ni, kau marahkan aku ambil duit diorang. Sekarang ni, kau uruskan sendiri. Aku tak nak ambil peduli lagi!”
“Abang…”
“Keluar!” suara Zakariyya sudah naik satu oktaf. Khairi tarik lengan baju Zhafirah. Khalisah sudah menyorok di belakang abangnya. Khalid bangun dari duduknya. “Terima kasih, Pak Ya. Budi baik Pak Ya takkan kami lupakan. Sampai bila-bila.”
“Keluar!”
*****
“Kenapa Kak Ngah yang masak? Kenapa bukan umi?” tanya Khairi apabila melihat Khalisah menghidangkan makan malam di meja makan. “Umi tak sihat ke?”
“Umi tak keluar dari bilik sejak dari tadi. Mungkin umi kurang sihat, jadi Kak Ngah la yang tolong masak. Bukan susah mana pun,” jawab Khalisah. Khalid hanya memandang mereka tanpa rasa. Kemudian dia memandang ke arah pintu bilik Zhafirah.
“Sampai hati Pak Ya, buat umi macam tu,” Khairi bersuara lagi. “Kita tak pernah minta apa-apa pun daripada Pak Ya selama ni. Dan benda yang kita tu bukannya benda lain. Hak kita juga.”
“Manusia boleh jadi buta kerana duit, adik. Sebab duit, boleh putus saudara. Sebab duit juga boleh jatuh darjat seseorang manusia.”
Khalid tiba-tiba bangun. Dia pandang Khalisah dan Khairi. “Sekarang dah pukul berapa, Khairi?”
“Dah nak pukul tujuh. Kenapa?”
“Kak Ngah boleh solat?”
“Boleh,” jawab Khalisah.
“Bersiaplah untuk solat Maghrib. Kita akan solat berjemaah di bilik. Abang Long akan jadi imam. Lepas tu, kita solat hajat.”
“Untuk permudahkan urusan abang masuk universiti?”
“Lebih kurang,” jawab Khalid, enggan memberitahu hal sebenar. “Pergilah bersiap. Panggil umi sekali.”
Tanpa banyak bicara, Khairi terus mendapatkan beberapa helai sejadah dan dibentangkan di ruang tamu. Khalisah pula mendapatkan Zhafirah untuk menyampaikan hasrat Khalid. “Umi?”
“Ya?” Zhafirah cepat-cepat mengesat matanya. “Ada apa, Kak Ngah?”
“Abang Long ajak solat berjemaah.”
“Baik, kejap lagi umi keluar,” jawab Zhafirah. Tidak lama kemudian, dia keluar dari bilik, lengkap bertelekung. Khalid dapat mengesan mata Zhafirah yang sembap.
Solat Maghrib didirikan apabila azan berkumandang, berimamkan Khalid. Terasa sayu alunan Surah Al Fatihah yang dibacakan lelaki itu. Mata Zhafirah bergenang lagi. Selesai solat Maghrib, mereka berdiri kembali untuk menunaikan solat sunat hajat.
Usai solat hajat dan berzikir, Khalid mengetuai mereka untuk membaca doa. Tidak seperti kebiasaan, kali ini Khalid sengaja membaca doa dalam bahasa Melayu, supaya lebih difahami oleh mereka yang lain.
“Yaa Allah, kami ini anak yatim piatu. Yang tiada sesiapa pedulikan kami melainkan ibu saudara kami. Dan kini ibu saudara kami ini sedang bersedih. Maka kami memohon padaMu wahai Tuhan, TARIKLAH NIKMAT KEMEWAHAN mereka-mereka yang menganiaya kami dan jadikanlah mereka manusia yang berada dalam kesedihan.”
“Yaa Allah, Abang Long…,” Zhafirah terus menerpa ke arah Khalid sambil mengalirkan air mata. “Umi mohon…. tolong tarik balik doa tu. Umi mohon, Abang Long!”
Khalid diam, tidak berkata apa-apa. Khalisah sudah mengalirkan air mata. Khairi hanya terkedu melihat apa yang berlaku.
*****
“Khairi, tengok apa tu?” tanya Zhafirah apabila melihat Khairi begitu asyik di kaca televisyen. “Khusyuk benar.”
“Anime, umi,” Khairi tersengih. “Saya tengok Naruto.”
“Anime? Kartun?” Zhafirah senget bibir. “Apa pengajaran yang oleh didapatkan dalam anime macam ni?”
“Banyak, umi,” jawab Khairi. “Dia ajar erti persahabatan, kekeluargaan… dia juga ajar kita, walau macam mana sekalipun dugaan yang mendatang, kita tak harus mudah mengalah. Sebab hidup ni adalah satu perjuangan.”
“Bagusnya,” Zhafirah senyum. “Kan bagus kalau semangat macam ni digunakan semasa belajar juga. Mesti keputusan cemerlang, kan?”
“Eh, umi. Tak cukup cemerlang lagi ke keputusan peperiksaan adik sekarang ni?” tanya Khairi pelik. Zhafirah ketawa melihat reaksi wajah Khairi. “Belum lagi. Selagi SPM belum lepas, selagi itu umi akan risau.”
“Sudah-sudah la tu tengok kartunnya, adik oi,” usik Khalisah yang baru pulang dari kolej. “Dalam periksa nanti, bukannya dia tanya soalan pasal anime tu pun.”
“Kak Ngah ni dengki!” muncung Khairi sudah panjang sedepa. Khalisah jelir lidah. Zhafirah ketawa besar melihat telatah dua anak saudaranya itu.
“Umi, kenapa umi tak nak kahwin?” soal Khairi tiba-tiba, membuatkan tawa Zhafirah terhenti. Keningnya terangkat sebelah. “Kenapa tiba-tiba tanya soalan macam tu?”
“Ye la. Umi muda lagi. Baik, cantik…,” Khairi jeling wajah Zhafirah yang kemerahan. “Kenapa umi tak kahwin lagi?”
Zhafirah menguntum senyuman manis. “Sebab korang la.”
“Hah?”
“Kalau umi kahwin, siapa yang nak jaga korang?”
“Umi dan suami la, kan?”
“Adik yakin yang suami umi nanti akan benarkan umi jaga korang macam sekarang ni?” tanya Zhafirah. Dia kemudian menyambung apabila melihat Khalisah dan Khairi mendiamkan diri. “Tak apalah. Biarlah umi tak kahwin sampai bila-bila. Janji umi ada korang. Kan?”
“Terima kasih, umi,” Khalisah menerpe ke arah Zhafirah dan memeluknya erat. “Terima kasih atas pengorbanan umi pada kami. Ini janji kami pada umi, kami takkan tinggalkan umi!”
Zhafirah senyum dalam tangisan. Khairi kemudian turut memeluk mereka. Ketika Khalid pulang, mereka bertiga masih berpelukan. “Ni drama Samarinda ke ni?”
Siaran di televisyen sudah bertukar kepada siara berita. Mereka masih berpelukan sedari tadi. Khalid hanya memerhatikan mereka dari satu sudut.
“Berita seterusnya, pihak polis berjaya menangkap seorang penjawat awam kerana disyaki terlibat dalam pelbagai kesalahan rasuah. Lelaki tersebut, Zakariyya Hassan, ditahan di rumahnya petang semalam. Rumah beliau…”
“Umi, itu Pak Ya!” spontan pelukan mereka terlerai. Zhafirah terkedu. Khalisah dan Khairi terdiam. Khalid tergamam.
*****
“Macam mana?” tanya Nisa di hujung talian. “Kau pergi ke jenguk Pak Ya tu? Macam mana dengan Abang Long dan Kak Ngah?”
“Abang Long dan Kak Ngah memang awal-awal lagi tak nak jenguk Pak Ya. Tak perlu dipujuk pun. Diorang masih terluka dengan apa yang berlaku dulu.”
“Habis, kau?”
“Kalau aku ikut keras kepala aku, macam mana umi nak jumpa abang dia?” tanya Khairi sekaligus memberi jawapan soalan Nisa. “Umi kata, sekejap je. Tak apalah.”
“Kau dah sedia ke jumpa Pak Ya?”
“Kalau diikutkan memang tak sedia,” sempat Khairi menjeling Zhafirah yang sedang menyarung selipar. “Tapi demi umi, kan? Apalah sangat benda ni kalau nak dibandingkan dengan pengorbanan umi dulu.”
“Tak apalah kalau macam tu,” ujar Nisa. “Pandu kereta tu elok-elok sikit. Kau tu belum dapat rehat lagi dari kerja malam tadi. Tak payah nak bawa kereta laju-laju.”
“Sayang juga kau dengan aku, kan?” Khairi tergelak apabila Nisa mendengus di hujung talian. Baru sahaja dia ingin menyambung usikannya apabila Zhafirah sudah masuk ke dalam kereta. “Nanti kita sembang lagi, ya? Bye?”
“Teman wanita?” tanya Zhafirah pendek. Khairi hanya mengangguk perlahan. Zhafirah senyum. “Ingat batas pergaulan walaupun dah ada teman wanita. Belum ada ikatan, belum boleh lebih-lebih.”
“Baik, umi,” ujar Khairi sambil memakai tali pinggang keledar. “Kita gerak sekarang?”
Kereta yang dipandu Khairi ditemani dengan alunan lagu-lagu yang terpasang di radio. Khairi dan Zhafirah sama-sama mendiamkan diri. Khairi memusatkan fokus pada pemanduannya, manakala Zhafirah termenung ke luar jendela, melayan perasaannya.
“Tak sangka, begitu sekali jadinya hidup Pak Ya,” Zhafirah akhirnya bersuara. “Tak sangka pula Kak Ju sanggup minta cerai masa dia dalam penjara dulu.”
Khairi hanya mendiamkan diri. Dia masih ingat, saat menerima berita penangkapan Zakariyya beberapa tahun lalu, Zhafirah terus menghubungi Juhara untuk kepastian. Peliknya, panggilan itu langsung tidak berjawab. Risau dengan keadaan itu, Zhafirah meminta Khalid membawanya ke rumah Zakariyya. Khalid menurut walaupun berat hati.
Rumah itu didapati telah disita ketika mereka tiba. Anak isteri langsung tidak kelihatan. Menurut kata jiran, Juhara bergaduh besar dengan Zakariyya dan meninggalkan rumah tersebut beberapa waktu sebelum penangkapannya.
Selang beberapa bulan, Umimah pula ditimpa kemalangan lalu meninggal dunia. Belumpun hilang kesedihan itu, Juhara pula datang menuntut cerai. Dugaan demi dugaan yang diterima Zakariyya. Berita terakhir yang didengar…
“Kita dah sampai,” ujar Khairi sambil membuka tali pinggang keledar. Namun Zhafirah hanya diam sambil memandang sekeliling, menarik perhatian Khairi. “Umi?”
“Ini ke tempatnya?” tanya Zhafirah kembali. Khairi melihat mesej yang diterimanya menerusi Whatsapp. “Mengikut kata doktor tu, sinilah tempatnya.”
“Jomlah,” ajak Zhafirah. Setelah mereka berurusan dengan penjaga rumah orang tua itu, wanita itu menunjukkan seorang lelaki yang sedang duduk di satu sudut, sedang mengira jari.
“Dia ingat semua orang yang datang sini adalah anaknya, Luzman,” beritahu penjaga rumah orang tua itu. “Kadang-kadang dia meracau sendiri. Gelak sorang-sorang, menangis sorang-sorang. Selalu juga la dia memanggil Khalid, Khalisah, Khairi. Bila saya tanya siapa diorang tu, dia menangis.”
Wanita itu meninggalkan Khairi dan Zhafirah di situ. Air mata Zhafirah bergenang. Khairi hanya memandang tanpa rasa.
“Umi merayu, maafkanlah Pak Ya. Dia dah terima balasannya. Umi sedih tengok keadaan dia sekarang ni.”
Khairi hanya diam membisu. Perbualannya dengan Khalid dan Khalisah beberapa malam lepas kembali bermain di fikiran.
“Abang Long dan Kak Ngah memang tak boleh lupa apa yang Pak Ya buat kat kitorang dulu. Tapi abang pernah dengar dalam satu ceramah motivasi, cerita pasal kisah Muhammad Ali di mana dia dan ibunya pernah dihalau masa minta air. Tahu tak apa yang ibu dia cakap?”
“Apa dia?”
“Membenci adalah salah, tidak kira siapa yang dibenci,” Khalid ambil nafas dalam-dalam. “Jadi, Abang Long dah maafkan Pak Ya.”
“Kalau Abang Long dah cakap macam tu, Kak Ngah ikut je. Tak guna membenci, bukannya boleh putar balik semua masa-masa tu.”
“Adik?” suara Zhafirah mengembalikan Khairi ke alam realiti. Dia pandang kembali Zakariyya yang sedang ketawa sendiri. Matanya berkaca.
Kami dah maafkan Pak Ya.
TAMAT