Sunday, January 12, 2020

Cerpen : Ku Bersuara


“Fasihah,” panggilan Encik Rahim membuatkan fokusnya terganggu. Spontan dia mendongak, mencari wajah lelaki itu. “Ya?” 

“Dah nak pukul tujuh malam ni. Awak tak nak balik ke?” tanya lelaki itu prihatin. Mendengarkan itu, pantas Fasihah melihat jam yang terpapar di skrin komputer. “Eh eh! Iye la! Leka sangat saya buat kerja ni sampai tak perasan dah malam. Maaf ya.” 

“Saya suka sebenarnya staf yang rajin dan berdedikasi macam awak ni,” ujar Encik Rahim separuh memuji. “Tapi awak kena ingat sesuatu. Awak tu perempuan. Tak elok balik rumah malam-malam. Bahaya.” 

“Baik, encik. Saya nak siapkan kerja sikit ni.” 

“Dah namapun kerja, Fasihah. Sampai bila pun takkan pernah habis,” Encik Rahim bersuara lagi. “Balik, rehat. Esok awak boleh sambung kerja ni.” 

“Baik, encik,” cepat-cepat Fasihah menutup komputer dan mengemas barangnya. “Encik tak balik lagi?” 

“Kalau saya dah balik, yang depan awak ni apa?” Encik Rahim separuh bergurau. Fasihah tergelak kecil. Selesai berkemas, mereka berjalan beriringan keluar pejabat. 

“Bila agaknya saya boleh rasa nasi minyak awak, ya?” kata-kata Encik Rahim membuatkan Fasihah tersenyum. “Lambat lagi, encik. Kehidupan saya sekeluarga baru hendak stabil. Saya tak mahu terburu-buru.” 

"Ada tiga perkara yang harus disegerakan urusannya dan janganlah dilewat-lewatkan. Yang pertama, Solat apabila telah masuk waktunya. Yang kedua, jenazah apabila telah hadir. Yang ketiga..."

"Anak dara apabila telah ada orang sekufu dengannya,” potong Fasihah membuatkan dahi Encik Rahim berkerut. “Saya tahu itu, encik. Cuma, saya perlu kukuhkan kewangan keluarga saya dulu. Baru sekarang nak stabil.” 

“Sebelum ni tak stabil ke?” tanya Encik Rahim, ingin tahu. Fasihah hanya senyum, enggan menjawab pertanyaan itu. Melihatkan itu, Encik Raim mulai mengerti. 

“Tak apalah. Walau apa jua keputusan dan rintangan yang awak tempuhi, saya doakan awak sentiasa berjaya dan bahagia,” ikhlas Encik Rahim menuturkannya. Kemudian dia melangkah pergi dari situ, meninggalkan Fasihah setelah gadis itu masuk ke dalam kereta. 

Lancar pemanduan Fasihah membelah lebuhraya. Namun tidak fikirannya. Kata-kata Encik Rahim tadi masih terngiang-ngiang di cuping telinganya. 

“Berjaya dan bahagia? Bolehkah aku?” 

Setelah 45 minit pemanduan, akhirnya dia sampai di destinasi. Entah kenapa, kepulangannya kali ini mengundang satu rasa aneh di dada. Langkah demi langkah semakin berat dirasakan. Walhal, dia pulang ke rumah sendiri, ke rumah keluarganya. 

“Assalmualaikum. Mak! Oh, mak!” 

“Waalaikumsalam. Mak, Kak Long dah balik!” laung Fairuz sambil dia membukakan pintu untuk kakaknya itu. “Kenapa tak buka pintu sendiri? Kak Long tertinggal kunci, ya?” 

“Ya,” balas Fasihah. “Kasut siapa kat depan tu? Tak biasa tengok pun. Abang Ngah beli kasut tak cakap ke apa?” 

“Itu bukan kasut Abang Ngah la,” balas Fairuz. “Kasut tu, milik orang lama yang baru balik rumah.” 

Dahi Fasihah berkerut. “Adik cakap apa ni? Kak Long tak faham la. Siapa?”

“Kak Long,” satu suara garau membuatkan Fasihah tergamam. Jantungnya berdegup kencang. Perlahan-lahan dia menoleh. Seorang lelaki berdiri di pintu dapur, membelakangi ibunya yang tersenyum memandangnya. 

“Kak Long dah lupa ke, siapa ni?” tanya Suhaila, ibunya. Fairuz sudah tersengih-sengih. Tapi tidak Fasihah. Lelaki ini, sampai bila-bila pun dia akan ingat. 

“Ayah….”

***** 
Sengaja Fasihah menghempaskan pintu biliknya. Biar orang di luar sana tahu perasaannya. Sesuatu yang tidak pernah dia luahkan selama ini. 

“Kak Long, salam ayah, nak. Dah lama dia tunggu Kak Long balik,” ujar Suhaila apabila dilihatnya Fasihah masih diam membatu. “Mari, nak.” 

“Siapa dia?” tanya Fasihah, keras. “Kenapa mak benarkan orang asing masuk ke rumah kita? Kan bahaya tu?” 

“Kak Long…,” panggil Fairuz perlahan. “Tak baik tau cakap macam tu. Kita masih berbintikan dia. Salamlah tangan dia tu, tanda hormat.” 

“Kau nak anggap dia ayah kau, silakan!” bentak Fasihah. “Tapi kalau kau nak suruh aku buat benda yang sama, lupakan!” 

“Nurul Fasihah!” sengaja Suhaila menyebut nama penuh anaknya itu. “Mak tak pernah ajar anak-anak mak kurang ajar, kan?” 

“Maafkan saya, mak,” suara Fasihah mulai lembut. “Tapi saya tetap dengan keputusan saya. Sebab terlalu ikutkan nafsu serakah dialah, kita semua jadi macam ni. Sampai mati pun akan saya ingat!” 

“Kak Long…,” panggil Fairuz lagi. Namun Fasihah sudah menapak naik ke biliknya. Sebentar kemudian, terdengar pintu dihempas kuat, mengejutkan mereka semua. 

“Maafkan saya, abang. Saya gagal didik anak-anak kita,” ujar Suhaila tulus. “Selama ni, dia tak pernah macam ni. Saya tak tahu…” 

“Tak apalah, Ila. Dalam hal ni abang pun bersalah juga. Semua ni terjadi sebab abang,” balas Azhar, suaminya. “Abang faham, bukan senang abang nak diterima dalam keluarga ni lagi.” 

“Ayah nak ke mana tu?” tanya Fairuz apabila Azhar mendekati pintu utama. “Tidurlah di sini. Rumah ni bukan rumah orang lain. Rumah keluarga ayah juga.” 

“Tak apalah, adik. Ayah tak nak keruhkan keadaan,” Azhar mengalah. “Sampaikan salam ayah pada Kak Long dan Abang Ngah ya?” 

“Ayah ada tempat tidur ke malam ni?” 

“Pandailah ayah tidur di mana-mana.” 

“Nanti,” Fairuz menghulurkan beberapa keping not ungu kepada Azhar. “Ayah ambillah ni. Tak banyak yang adik boleh bagi. Harap duit ni membantu.” 

“Ini pun sudah lebih dari cukup. Terima kasih, adik.” 

Fairuz menapak ke bilik Fasihah sebaik sahaja bayangan Azhar hilang dari pandangan. Pintu yang tidak berkunci memudahkan dia untuk menyelinap masuk. Dilihatnya Fasihah sedang asyik menulis sesuatu pada diarinya. Demi melihat kedatangan Fairuz, cepat-cepat dia menyimpan diari itu. 

“Kak Long tak rasa bersalah ke, melukai hati mak macam tu?” 

“Maksud adik?” 

“Ye la,” Fairuz duduk di birai katil. “Mak mengharapkan kita dapat memaafkan ayah. Dia pun dah terima pembalasannya. Hukumannya. Mak yakin, dia dah berubah. Kita sepatutnya menyokong mak.” 

“Kak Long tetap tak boleh terima,” balas Fasihah. “Hukuman yang dia terima, adalah atas kesalahan yang terlihat. Macam mana pula dengan kesalahan yang tersembunyi?” 

“Apa Kak Long cakap ni?” 

“Kesalahan yang terlihat, adalah kesalahan yang orang nampak. Impak dari kesalahannya itu, adalah apa yang orang tak nampak. Kita yang alami impak tu, Adik. Seolah-olah, kita turut terhukum dengan kesalahannya. 20 tahu, Adik! Dan dengan apa yang berlaku, Adik rasa Kak Long boleh maafkan dia?” 

Terdiam Fairuz mendengar hujah Fasihah. Ada benarnya juga. 

***** 
“Terima kasih, ayah! Abang Ngah sayang ayah!” ucap Farid sambil memeluk erat bungkusan yang berbalut itu. Azhar hanya senyum. Ubun-ubun anak kecil itu dicium lembut. “Bukalah!” 

“Wah, Digimon!” jerit Farid gembira. Dikeluarkan peranti tersebut dan dibeleknya penuh teruja. Fasihah yang baru pulang dari sekolah, hanya memerhatikan gelagat adiknya itu. Tanpa kata, dia menapak ke dapur. Dia terus membuka tudung saji dan menikmati makan tengah hari tanpa mengganggu sesiapa. 

“Kak Long dah balik?” Suhaila muncul dari belakang rumah, membawa sebakul pakaian. “Macam mana sekolah? Bagus?” 

“Sekolah okey, mak. Tapi…,” Fasihah memandang ke ruang tamu, di mana Farid dan Azhar masih bergurau senda. “Harini bukan harijadi Abang Ngah pun. Kenapa ayah belikan dia hadiah?” 

Suhaila senyum. “Ini kes cemburu la ni?” 

Fasihah diam. Dia meneruskan suapannya. Suhaila menggeleng perlahan lalu menapak ke ruang tamu. Dia mendapatkan Azhar yang masih bergumpal dengan Farid. “Abang.” 

“Ya?” 

“Ada anak kita yang cemburu.” 

“Mana?” tanya Azhar lagi. Suhaila menjuihkan bibirnya ke pintu dapur. “Dia buat perangai macam biasa la. Diam, tak bercakap dengan kita.” 

Azhar gelak kecil. Dia bangun, mendapatkan beg kertas yang terletak di atas sofa. Kemudian dia melangkah menuju ke dapur. Fasihah sudah habis makan, dia sedang membasuh pinggan di sinki.

“Kak Long, mari sini,” pinta Azhar. Fasihah masih mengunci bicara, namun arahan si ayah tetap diikuti. Dia mendekati lelaki itu yang kemudian menghulurkan beg kertas tadi kepadanya. “Ambillah.” 

Fasihah menyambutnya tanpa kata. Dia menelek perlahan isi dalam beg kertas itu. Sebentar kemudian matanya tiba-tiba bercahaya. Spontan dia mendongak memandang Azhar. “Betul ke ni, ayah?” 

“Iye. Ayah tak lupakan anak ayah yang sorang ni. Abang Ngah ayah belikan Digimon, Kak Long ayah belikan patung Barbie.” 

“Terima kasih, ayah! Sayang ayah!” Fasihah peluk erat lelaki itu. Azhar ketawa kecil. Kepala anak kecil itu diusap perlahan. “Kalau ayah tak belikan hadiah, Kak Long tak sayangkan ayah la?”

“Ayah ni…,” Fasihah menumbuk manja lengan Azhar, membuatkan lelaki itu ketawa besar. Fasihah senyum dalam tangisan. 

“Ni dah kenapa senyum ni?” suara Encik Rahim mematikan lamunan Fasihah. Cepat-cepat dia membetulkan duduknya. Laju tangannya menari di papan kekunci walaupun dia sendiri tidak tahu apa yang ditaipkan. 

“Awak buat apa tu?” 

“Buat kerja la.” 

“Awak taip apa kalau dah skirn kosong macam tu?” pertanyaan Encik Rahim membuatkan Fasihah tersedar. Dia belum menghidupkan komputernya lagi! Fasihah tepuk dahi. 

“Apa yang awak fikirkan sebenarnya, Fasihah?” tanya Encik Rahim prihatin. “Dah tiga kali saya tengok awak termenung macam ni. Awak ada masalah ke?” 

Fasihah hanya diam, tidak menjawab pertanyaan Encik Rahim itu. 

***** 
“Apalah dugaan yang kita terima ni, sayang?” hampir menangis Azhar apabila keluar dari bilik doktor. Dokumen kesihatan Fairuz yang masih kecil, dipegangnya erat. Masih, dia enggan menerima apa yang didengarnya sebentar tadi.

“Siti Fairuz Azhar menghidap kerosakan hati dan perlu dibedah segera," masih jelas kata-kata doktor itu di peluput telinga mereka. Azhar meraup wajahnya lama. "Kenapa Fairuz kena alami dugaan macam ni? Dia kecik lagi!" 

"Tak apalah. Kan tadi doktor dah periksa saya. Dia cakap lagi dua minggu, keputusan sama ada saya boleh dermakan sebahagian hati saya pada Fairuz, akan keluar. Cuma…" 

"Cuma apa, sayang?" 

"Kos pembedahan tu, tinggi sangat," luah Suhaila. "Simpanan kita tak cukup. Keadaan Fairuz pula bukannya makin elok.” 

“Sayang jangan risau. Nanti abang usahakan,” jawab Azhar, tenang. Namun itu belum cukup untuk meredakan hati Suhaila yang resah. 

“Banyak duit yang kita kena kumpul tu,” Suhaila tarik nafas dalam-dalam. “Kalau kita minta bantuan melalui media, boleh ke?” 

“Maksud sayang?” 

“Pergi ke mana-mana stesen TV, masuk ke mana-mana rancangan bual bicara, minta bantuan di situ,” beritahu Suhaila. “Ramai yang dah buat macam tu. Apa salahnya kita cuba?” 

“Tak payah la sampai macam tu sekali. Nampak macam abang dah tak mampu sangat dah,” Azhar nyata tidak bersetuju dengan cadangan Suhaila itu. “Nanti abang fikirkan jalan. Pinjam duit kawan ke…” 

“Ada ke kawan abang yang nak pinjamkan duit sampai beratus ribu?” tanya Suhaila sedikit ragu. Namun Azhar tidak bereaksi. Dia diam, memikirkan cara untuk menyelesaikan masalah itu. 

Dua minggu kemudian, mereka bertemu doktor sekali lagi. Fairuz yang masih demam ditinggalkan sementara di bawah pengawasan neneknya. Masing-masing berdebar menantikan keputusan doktor. 

“Encik Azhar dan Puan Suhaila, keputusan pemeriksaan ini mendapati puan boleh mendermakan sebahagian hati puan kepada Fairuz,” kata-kata doktor itu sedikit sebanyak meredakan debaran yang menghantui mereka. 

“Alhamdulilah. Terima kasih, doktor.” 

“Sama-sama. Pembedahan perlu dilakukan secepat mungkin. Saya takut, Fairuz semakin lemah. Bagaimana dengan wang kos pembedahan?” 

“Doktor jangan risau. Wangny saya dah sediakan,” kata-kata Azhar mengejutkan Suhaila. “Bila boleh pembedahan dilakukan?” 

“Secepat mungkin.” 

“Betul ke duit tu dah cukup, abang?” tanya Suhaila apabila mereka keluar dari bilik doktor. Melihat anggukan Azhar, Suhaila bertanya lagi, “Mana abang dapat duit?” 

“Yang itu, sayang jangan risau la. Biar abang uruskan. Sayang hanya perlu fokus pada pembedahan tu nanti, ya?” 

“Melihat kerut di wajah Suhaila masih tidak berkurangan, Azhar mendakap bahunya lembut. “Fairuz anak kita. Abang akan lakukan apa sahaja untuknya. 

Tetap, ia belum cukup untuk meleraikan kekeliruan dalam minda wanita itu. Namun, didiamkan sahaja. 

***** 
"Sayang, mana tali pinggang abang?" tanya Azhar dari dalam bilik. Suhaila yang sedang memasak di dapur menggelengkan kepala. "Kat seluar yang abang pakai semalam kot!" 

"Mana seluar tu? Tak ada pun kat sini?" laung Azhar lagi. "Awak dah ambil untuk basuh ke?" 

Pertanyaan itu membuatkan Suhaila teringatkan sesuatu. Spontan matanya memandang ke arah bakul yang terisi pakaian kotor. Dia senyum senget. Jumpa! 

"Kak Long, tolong ambilkan tali pinggang kat seluar ayah tu," pinta Suhaila. Fasihah hanya menurut tanpa banyak soal. "Beratnya seluar ayah ni!" 

"Ada isi dalam poket kot. Cuba keluarkan. Kalau tercuci sekali nanti, payah pula."

"Baik," Fasihah terus menyeluk saku seluar itu. Ada tisu, pemetik api dan sebuah buku akaun bank. Tanpa merasakan apa-apa, Fasihah menyemak isi kandungan buku itu. "Banyaknya kosong!" 

Kata-kata Fasihah itu menarik minat Suhaila lalu dia mendekati anak kecil itu. "Mana? Mak nak tengok juga." 

Fasihah terus menyerahkan buku akaun itu dan menyambung kerjanya. Berderau darahnya apabila melihat beberapa transaksi yang dicatatkan. Amaun yang tertera bukannya sedikit. 

Demi rasa ingin tahu yang semakin membuak-buak, Suhaila menutup dapur gas sebelum masuk ke bilik tidurnya. Azhar masih lagi bersiap-siap. "Mana tali pinggang saya?" 

"Ini apa?" tanya Suhaila kembali. Buku akaun yang dipegang dicampak ke atas katil. "Duit apa yang banyak sangat ni? Setahu saya, gaji abang tak sebanyak ni." 

Azhar telan liur. Buku akaun itu dan wajah Suhaila dipandang silih berganti. "Mana sayang dapat buku bank abang ni?"

"Tak kisah la mana saya jumpa buku ni pun. Yang penting, duit dalam akaun abang. Duit apa? Kenapa banyak sangat?"

"Sayang, abang…," Azhar cuba mendakap isterinya itu namun Suhaila mengelak. "Jawab soalan saya, abang!" 

"Duit abanglah ni!" Azhar sudah tidak tentu arah. "Abang tolong kawan abang, dia bagi la upah." 

"Takkan upah sampai beratus ribu?" Suhaila masih tidak berpuas hati. "Kerja apa yang abang buat sampai kawan abang bayar sebanyak itu?" 

"Sayang…"

"Jawab soalan saya!" 

"Awak tak perlu tahu!" 

"Saya perlu tahu, abang! Saya perlu tahu, sebab dengan duit ni abang sara kami anak beranak. Saya tak nak bagi anak-anak saya makan benda haram!" 

"Bukannya abang bagi makan daging babi pun kat awak semua!" 

"Makanan dari sumber yang haram pun, tetap dikira haram, abang!" kata-kata dari Suhaila membuatkan Azhar terdiam. Tanpa mereka sedari, Fasihah mendengar pertelagahan mereka dengan linangan air mata. 

***** 
"Rasuah?" tanya Encik Rahim. Fasihah menganggukkan kepalanya. Encik Rahim menghela nafas halus. "Bahaya rasuah ni. Boleh jadi duri dalam daging dalam diri manusia."

"Patutlah selama ni hidup kami mewah saja. Apa yang kami nak, kami dapatkan, walaupun ia agak mustahil. Rupanya, ayah jadi tumbuk rusuk!" 

"Janganlah marah ayah sampai macam tu sekali. Walau macam mana jahatnya dia, awak tetap anak dia. Nama dia tetap ada dalam nama awak, darah dia tetap mengalir dalam diri awak."

"Saya sedar itu semua. Tapi dalam masa yang sama, kepahitan dan keperitan hidup saya selama ni juga berpunca daripada dia. Madu dia bagi, racun pun dia bagi!" 

"Tapi ia membentuk apa awak hari ini kan?" 

"Apa maksud awak?" 

"Rama-rama itu cantik. Namun proses kelahirannya bukan mudah, kan? Macam tu juga dengan kita. Ujian demi ujian yang dihadapi membuatkan peribadi kita menjadi ampuh."

Fasihah tarik nafas, kemudian menghembusnya perlahan. Dia pejam mata perlahan, cuba menghadam kata-kata Encik Rahim itu. 

"Apa jadi lepas tu? Dia berhenti buat perkara tu ke?" tanya Encik Rahim membuatkan matanya terbuka luas. Dia pandang mata lelaki itu dalam-dalam. "Berhenti? Ada ke perkataan tu dalam kamus hidup dia?" 

"Dia teruskan juga?" 

"Ya," Fasihah mengeluh kecil. "Dia masih terima suapan daripada orang-orang tertentu. Hadiah, jangan cakap la. Hadiah yang diterima semakin banyak, besar-besar pula tu." 

"Mak awak?" 

"Sejak hari itu, mak tak mahu terima apa-apa pun daripada ayah. Kami adik beradik turut menerima kesan, terutamanya Farid, adik . Dia agak rapat dengan ayah, jadi dia memberontak dan selalu bergaduh dengan mak."

"Masa tu umurnya berapa tahun?" 

"Lima atau enam tahun… entahlah, saya pun tak ingat," Fasihah garu dagu. "Yang saya ingat, dia belum sekolah lagi masa tu." 

"Saya faham. Anak kecil kan tak tahu apa-apa. Jadi apabila disekat dari buat sesuatu, pasti dia memberontak."

Fasihah menganggukkan kepala. "Fairuz lebih mudah dipujuk sebab dia masih kecil. Farid… sampai sekarang hubungan kami kadang baik, kadang keruh." 

"Ayah awak pula?" 

Fasihah angkat bahu. "Dia masih tetap dengan aktivitinya, sehinggalah satu hari…" 

***** 
"Polis masih meneruskan siasatan rapi berhubung kejadian runtuhan bangunan di sebuah tapak pembinaan di pinggir Putrajaya, yang mengorbankan 2 nyawa pagi ini. Siasatan awal mendapati bahan binaan yang digunakan tidak menepati spesifikasi yang dibenarkan…" 

Suhaila mendengar berita yang tersiar itu dengan teliti. Berderau darahnya apabila melihat logo syarikat yang terpapar. Bukankah itu logo syarikat tempat Azhar bekerja? 

"Mak," panggilan Fasihah membuatkan fokus Suhaila terganggu. Segera dia memandang anak gadis itu. "Kenapa, Kak Long?" 

"Kenapa ayah balik ikut pintu belakang?" pertanyaaan Fasihah benar-benar mengejutkan Suhaila. Segera dia bangkit, menuju ke bilik tidur. Dia mencari kelibat suaminya. "Abang!" 

"Sayang!" Azhar menerpa ke arahnya sebaik sahaja Suhaila masuk ke bilik. "Sayang kena tolong abang sekarang ni. Abang dalam bahaya ni. Polis tengah cari abang!" 

"Polis?" dahi Suhaila berkerut. "Kenapa polis nak cari abang? Apa salah yang abang dah buat?" 

"Itu semua tak penting! Yang penting sayang kena tolong abang sekarang ni. Abang tak tahu nak minta tolong siapa ni!" 

"Saya perlu tahu, abang! Atau saya takkan tolong abang," suara Suhaila seakan mengugut, membuatkan Azhar semakin tidak tentu arah. "Sayang tak nak tolong abang la ni?" 

"Bagitahu saya dulu kenapa!" 

"Abang tak tahu pun bahan binaan tu tak bagus!" balas Azhar separuh menjerit. "Abang luluskan pembelian bahan binaan gred A. Tapi abang suruh diorang beli bahan gred C. Lagi murah!" 

"Abang!" Suhaila benar-benar terkejut dengan pengakuan suaminya itu. "Abang dah bunuh orang, tahu tak?" 

"Benda dah jadi, abang nak buat macam mana?" suara Azhar semakin tinggi. "Sayang kena tolong abang. Polis dah cari abang di pejabat." 

"Tidak, abang," Suhaila bersuara lembut, namun tegas. "Saya tak akan tolong abang. Pandai-pandai la abang uruskan semua ni." 

"Sampai hati sayang, buat abang macam ni. Apa, awak dah tak sayangkan saya ke?" 

"Sebab saya sayangkan abang la, saya buat macam ni," balas Suhaila. "Abang suami saya, abang ayah kepada anak-anak kita. Dan abang perlu bertanggungjawab atas apa yang abang dah buat!" 

"Mak, ayah," panggilan Fasihah membantutkan pertelagahan mereka. Segera Suhaila menerpa ke arahnya. "Ada apa, sayang?" 

"Ada polis datang rumah nak tangkap ayah," beritahu Fasihah. Segera Suhaila menoleh ke arah Azhar yang sudah lemah lututnya mendengar perkhabaran itu. 

***** 
Azhar sujud untuk kesekian kalinya setelah beristighfar beberapa lama. Dalam sujud, dia menangis lagi, entah untuk ke berapa kali.

Dia menyesali kesalahannya. Dia menyesali kesannya. Dia menyesali apa yang berlaku kepada keluarganya. 

Salah dia. Semuanya salah dia. 

Pertemuan pertama Azhar dengan keluarganya selepas 20 tahun terpisah, tidak diterima baik oleh Fasihah, anak sulungnya. Dia tidak mengerti, mengapa dia dibenci sebegitu sekali, sedangkan apa yang dilakukan adalah untuk keluarganya. 

Azhar benar-benar tidak menyangka, anak yang dulunya pendiam dan manja, berubah menjadi keras sebegitu. Kasih sayang Fasihah terhadapnya seakan sudah hilang. Seakan mati. 

Siang tadi, selepas solat Zuhur di masjid, Azhar didatangi seorang lelaki muda. Dia tidak mengenali lelaki itu, namun dia dilayan dengan penuh kasih dan mesra. Lelaki itu menyalam tangannya dan menciumnya penuh hormat. 

"Tak kenal saya, ke?" tanya lelaki itu. Azhar menggelengkan kepalanya. 

"Apalah ayah ni… terlalu fikirkan pasal anak perempuan, anak lelaki dilupakan. Sedih saya macam ni."

"Yaa Allah, Farid!" lantas mereka berpelukan. "Maafkan ayah. Sungguh, ayah tak kenal kamu tadi. Kamu nampak lain sangat!" 

"Ayah tinggalkan kami masa kami masih kanak-kanak. Ayah muncul kembali ketika kami sudah dewasa. Mana nak sama.” 

“Oh ya, ayah lupa,” Azhar garu kepala yang tidak gatal. “Maafkan ayah sebab tak cam kamu tadi. Makin kacak, makin bergaya. Makin hensem!” 

Farid ketawa. Mereka kemudian menyambung perbualan di kedai kopi, tidak jauh dari masjid berkenaan. “Abang Ngah sihat? Ayah tak sempat jumpa kamu masa balik haritu.” 

“Saya di Perth, Australia masa tu. Bentangkan kertas kerja,” beritahu Farid. “Bila balik ke Malaysia, adik bagitahu ayah dah keluar penjara. Itu yang saya cari ayah tu.” 

“Jadi, adik dan mak dah bagitahu apa yang berlaku hari tu?” 

“Ya,” lemah lutut Azhar apabila mendengar jawapan Farid. “Ayah jangan salahkan Kak Long seratus peratus. Ada sesuatu yang dia simpan.” 

“Maksud Abang Ngah?” 

“Ayah masih kenal anak-anak ayah, kan? Walaupun kami dah dewasa, ada satu sifat kami yang kekal sampai bila-bila.” 

“Ayah masih tak faham.”

“Ayah masih ingat Kak Long, yang hanya diam bila dia tak dapat hadiah daripada ayah sedangkan saya dapat?” 

“Ya.” 

“Macam tu juga dia masa ayah ditangkap dulu. Tetap diam masa ayah ditangkap polis, tetap diam masa ayah dijatuhkan hukuman, tetap diam masa dia dihina kerana kes ayah.” 

“Apa?”

“Ya, ayah. Lepas ayah dipenjarakan, kehidupan kami amat susah. Mak, selain bekerja, dia menjual nasi lemak di tepi jalan. Kak Long turut membantu. Tapi mulut orang sekitar, yang menghina kami sekeluarga, juga usaha untuk memboikot perniagaan mak… dia pendam sendiri semua tu. Kami hanya dapat tahu daripada seorang jiran yang prihatin.” 

“Di sekolah, lain pula ceritanya. Kami dipulaukan seluruh sekolah, kerana kami digelar ‘anak banduan’. Saya tak tahan dengan gelaran tu, ayah. Saya selalu bergaduh di sekolah. Tapi yang kena dendanya, Kak Long. Sebab dia dikatakan tak pandai jaga adik.” 

“Dia berusaha keras mengubah nasib keluarga kami, ayah. Dan dia simpan semua kesakitan itu sendiri. Saya pernah nampak, satu malam, dia menangis semahunya dengan menutup muka dengan bantal. Saya ingatkan dia dah tak tahan dengan apa yang berlaku. Tapi lepas tu, dia bangun dan berlagak seolah-olah tiada apa yang berlaku.” 

“Memang hubungan kami kadang baik, kadang keruh. Tapi kami selalu bertelagah tentang hal ini, ayah. Saya yang minta dia luahkan semua kesakitan tu, biar tak ada apa lagi yang tersimpan. Tak sangka, dia luahkan pada ayah. Maafkan saya, ayah.” 

Air mata Azhar mengalir laju lagi. Dia benar-benar menyesali apa yang telah terjadi. Fasihah jadi begitu kerana tingkahnya. Kerana dirinya. 

Bunyi deringan telefon yang kuat menghentikan zikir Azhar. Lambat-lambat dia bangun, mendapatkan peranti tersebut dan menekan butang hijau. “Helo.” 

“Ayah, Kak Long kemalangan!” 

Hampir putus nafas Azhar mendengarnya. 

***** 
“Ayah!” panggil Fairuz ketika kelibat Azhar kelihatan di ruang wad kecemasan itu. Sempat dia menjeling dua orang lelaki yang sedang bertengkar di satu sudut di ruangan itu. Apabila Azhar sampai kepada mereka, tangan lelaki itu dicium lembut. 

“Macam mana dengan Kak Long?” tanya Azhar. “Macam mana kemalangan ni boleh berlaku?” 

“Kak Long kerja sampai lewat malam sejak dua minggu ni. Ada projek yang perlu disiapkan katanya. Jadi Kak Long tak cukup rehat. Doktor kata, Kak Long ‘microsleep’ masa kemalangan tu berlaku.” 

“Jadi macam mana keadaan Kak Long sekarang?”

“Tapi tadi doktor cakap dia hilang banyak darah,” ujar Farid pula. “Kemungkinan kami perlu derma darah. Tadi kami dah buat pemeriksaan, sama ada darah kami sesuai dengan darah Kak Long 

Mata Azhar mencari kelibat Suhaila lalu mendekatinya. Dia peluk isterinya itu dengan erat. Suhaila meraung. “Anak kita kat dalam tu, abang! Saya tak sanggup kehilangan anak kita, bang!” 

“Insya Allah, Kak Long akan selamat,” pujuk Azhar lembut. Farid dan Fairuz hanya memerhatikan mereka berdua. Perhatian mereka teralih apabila seorang doktor lelaki keluar dari bilik kecemasan itu. 

“Siapa waris Nurul Fasihah Azhar?” 

“Saya,” jawab Farid. “Macam mana dengan kakak saya, doktor?” 

“Dia kehilangan banyak darah dan perlukan penderma dengan segera,” doktor lelaki itu mengulangi kenyataannya. “Dan, keputusan pemeriksaan mendapati darah encik, cik dan puan tidak sesuai dengan darah Cik Nurul Fasihah.” 

“Apa?” terbeliak mata Farid mendengarnya. Raungan Suhaila bertambah kuat. Dakapan Azhar semakin erat. “Kalau darah saya macam mana, doktor?” 

“Awak siapa?”

“Saya ayahnya.”

“Kita periksa dulu. Kalau sesuai, kita akan terus buat proses pendermaan darah. Encik setuju?” 

“Apa pun saya setuju, demi anak saya, doktor!” 

Setelah pemeriksaan dilakukan, mereka menunggu lagi. Sempat Farid dan Fairuz membelikan makanan untuk Azhar dan Suhaila. Namun suami isteri itu sudah hilang selera. 

“Abang, macam mana kalau anak kita…” 

“Anak kita akan selamat, Insya Allah,” Azhar cuba berfikiran positif, walaupun dia sendiri tidak tahu apa nasib anaknya itu. 

“Saya minta maaf abang, saya gagal jaga anak-anak kita dengan baik,” air mata Suhaila mengalir lagi. Cepat-cepat Azhar memujuknya. “Awak dah lakukan yang terbaik. Saya bangga dengan awak.” 

Kelibat doktor muda itu benar-benar dinantikan oleh mereka sekeluarga. Farid segera menerpa ke arahnya apabila dia muncul. “Macam mana, doktor?” 

“Alhamdulilah, darah Encik Azhar sepadan dengan darah Cik Fasihah. Boleh kita teruskan?” Semua mata tertumpu ke arah Azhar ketika ini. Dia senyum nipis, lalu angguk kepala perlahan. 

***** 
“Kak Long nak makan?” tanya Fairuz, lembut. Namun Fasihah masih diam membisu, sambil duduk di kerusi roda. Tingkahnya membuatkan Fairuz menjadi resah. “Kak Long, jangan la macam ni.” 

Fasihah masih seperti tadi. Fairuz cuba menyuap bubur yang dimasak Suhaila, namun Fasihah enggan menerimanya. Fairuz mengeluh kecil. “Apalah Kak Long ni. Kawan Kak Long dah datang ziarah pun masih diam macam ni.” 

“Makanlah sikit. Janganlah macam ni. Badan tu perlu tenaga. Kalau tak makan, macam mana nak makan ubat? Macam mana nak sihat?” 

Tiada balasan daripada Fasihah membuatkan Fairuz berputus asa.Dia bangkit. “Orang lain pun marah juga. Tapi tak adalah sampai tak nak makan segala. Orang yang dimarah tu tak ada apa pun. Elok je hidup. Tu yang dapat derma darah kat awak tu.” 

Sengaja Fairuz menekankan perkataan ‘derma darah’ dalam kata-katanya. Bengang sungguh dia dengan reaksi Fasihah selepas mendapat tahu apa yang berlaku ketika di hospital. 

“Suka hati Kak Long la. Adik tak mahu campur. Ingat dia sorang yang marah ayah tu. Akak kena ingat, orang yang memaafkan lebih mulia daripada orang yang meminta maaf.” 

Kata-kata Fairuz menggetarkan jiwa Fasihah. Dia mula berlembut hati. Kenangan bersama Azhar 20 tahun lalu kembali bermain di fikiran. Air matanya mula mengalir. 

"Janganlah marah ayah sampai macam tu sekali. Walau macam mana jahatnya dia, awak tetap anak dia. Nama dia tetap ada dalam nama awak, darah dia tetap mengalir dalam diri awak."

Kata-kata Encik Rahim kembali terdengar di corong telinga. Kali pertama mendengarnya, dia tidak merasakan apa-apa. Namun kali ini, terasa sayu sangat. Air mata semakin laju mengalir. 

“Kak Long, mak tanya…,” kata-kata Fairuz terhenti apabila melihat mata Fasihah bergenang. Segera dia menerpa ke arah kakaknya itu. “Kak long, kenapa?” 

“Kak Long nak jumpa ayah. Kak long rindu ayah,” rintih Fasihah, membuatkan Fairuz tergamam. “Kak Long nak minta maaf dengan ayah!” 

“Kak Long… sebenarnya ayah dah tinggal di sini. Dia cuma tak jumpa dengan Kak Long sebab takut Kak Long marahkan dia lagi.” akhirnya Fairuz membongkarkan rahsia. Fasihah terkedu. Dia masih tersedu-sedan. 

“Kak Long nak jumpa dengan dia tak?” 

“Tolong panggilkan ayah, adik. Kak Long… Kak Long nak jumpa ayah,” pinta Fasihah penuh mengharap. Segera Fairuz bangkit dan mendapatkan Azhar dan Suhaila di dapur. “Ayah, mak… Kak Long nak jumpa.” 

“Awak naiklah dulu, sayang. Kak Long pasti tak nak jumpa saya lagi,” ujar Azhar. Belum sempat Suhaila membalas, Fairuz terus menyampuk, “Eh, tak! Kak Long nak jumpa ayah!”

“Betul ke ni?” 

“Betul! Dia sendiri yang cakap dengan adik,” Fairuz pegang lengan Azhar erat. “Jomlah, ayah. Adik temankan.” 

Fairuz memimpin tangan Azhar menuju ke bilik Fasihah. Dari luar bilik lagi, terdengar suara gadis itu memangis tersedu-sedu. Spontan Azhar menerpa ke arah Fasihah. “Kak Long, kenapa ni? Kak Long ada rasa sakit kat mana-mana ke?” 

“Ayah…,” Fasihah masih lagi menangis. “... Kak Long nak minta maaf. Kak Long kurang ajar sangat dengan ayah, Kak Long marah ayah. Kak Long minta maaf….” 

Fasihah terus menyembamkan mukanya ke dada Azhar, membuatkan lelaki itu tergamam. Dia pandang Suhaila dan Fairuz silih berganti. Farid yang baru tiba turut terkejut dengan tindakan kakaknya itu. 

“Kak Long tak salah apa pun dengan ayah. Sepatutnya, ayah yang minta maaf dengan Kak Long. Ayah tak tahu, Kak Long banyak menderita sebab ayah. Maafkan ayah, nak!” 

Fasihah dan Azhar terus berpelukan sambil menangis. Suhaila, Farid dan Fairuz hanya memerhatikan mereka sambil memanjatkan kesyukuran