“Bagaimana dengan persiapan tempat, Khairul? Semuanya berjalan dengan lancar?” tanya Alya sambil membelek beberapa dokumen di hadapannya.
“Sudah, puan. Cuma tadi unit fasiliti bagitahu, dia kata salah satu pembesar suaa ada masalah sikit. Dia sedang cuba dapatkan yang baru.”
“Boleh ke kita dapatkan sebelum majlis bermula?” dahi Alya berkerut. “Tak terganggu ke majlis kita tu nanti? Ramai VIP yang akan datang nanti. Saya risau!”
“Pihak Unit Fasiliti bagi jaminan yang pembesar suara yang baru akan sampai sebelum majlis bermula. Puan jangan risau.”
“Baik,” Alya menghela nafas lega. Dia beralih perhatian kepada Fasha yang berdiri di sebelah lelaki itu. “Bagaimana dengan senarai kedatangan?”
“Ramai yang dah sahkan kehadiran, puan. Semua pihak akan hantar wakil ke majlis tu nanti,” balasan kata-kata Fasha itu membuatkan Alya tersenyum lega.
“Bagaimana pula dengan jamuan?”
“Itu…,” kata-kata Fasha terhenti apabila telefon pintar Alya bergetar kuat, membuatkan semua perhatian terarah kepadanya. Alya terkedu melihat nama yang terpapar di skrin telefon. “Izwan?”
“Kalau puan sibuk, kami datang balik kejap lagi,” ujar Khairul. Baru sahaja Fasha ingin bersuara, Khairul siku gadis itu kuat. “Ya.. ya. Kami keluar dulu ya, puan.”
“Terima kasih,” ucap Alya. Setelah mereka keluar dari bilik itu, baru Alya menjawab panggilan itu. “Helo.”
“Hai, kekasih lama!”
“Bila masa kita bercinta, hah?” laju Alya membalas kata-kata itu. Terdengar ketawa berdekah di hujung talian. “Kau masih garang macam dulu.”
“Lebih garang, aku rasa,” Alya tergelak kecil. “Kau pula, dah lama tak cari aku. Kenapa? Dah bahagia ke?”
“Kau tu yang lupa daratan! Berjaya sikit, lupa kawan,” Izwan ketawa lagi. “Aku dengar kau urus majlis melibatkan orang diraja sekarang ni. Hebat!”
“Tak la hebat sangat. Banyak lagi benda yang aku perlu belajar,” ujar Alya merendah diri. “Kau pula, macam mana?”
“Aku? Macam ni je la. Macam dulu-dulu,” suara Izwan semakin merendah, menarik perhatian Alya. “Kenapa ni? Apa yang dah terjadi?”
Terdengar Izwan mengeluh di hujung talian. “Apa yang jadi kat kau dulu, dah terjadi pada aku pula, Alya. Sama, sama macam dulu.”
Kata-kata Izwan membuatkan Alya hampir putus nafas.
*****
“Macam mana dokumen penting macam tu boleh hilang?” Puan Ruqayah mengamuk sakan. Habis semua orang di hadapannya kena sembur dengan wanita itu. Tertunduk semuanya, takut bertentang mata dengan Puan Ruqayah apabila dia sudah naik minyak.
“Siapa yang uruskan projek ni?”
“Saya… puan,” jawab Haifa takut-takut. “Tapi… saya bagi dokumen tu kat Alya, suruh dia simpan, sebab masa tu dah Jumaat petang. Puan pun tak masuk pejabat.”
Tergamam Alya mendengarnya. Dia memandang wajah Haifa tepat. Namun gadis itu seolah-olah cuba melarikan pandangan matanya daripada gadis itu.
“Alya!” panggilan Puan Ruqayah menyebabkan perhatiannya teralih. Wajah garang wanita itu dipandangnya sekilas. “Puan, saya tak dapat apa-apa dokumen daripada Haifa…”
“Habis tu, awak nak kata Haifa ni berbohong? Begitu?” jerkah Puan Ruqayah, memotong kata-kata Alya. “Selama ni, awak pernah ke buat kerja dengan sempurna? Ada saja benda yang tak betul yang awak buat!”
“Tapi, saya…,” Alya pandang Haifa sekali lagi. Namun sekali lagi, gadis itu memandang ke tempat lain, enggan memandang wajahnya.
“Jangan nak tegakkan benang yag basah pula!” suara Puan Ruqayah bergema lagi. “Saya tak kira. Awak kena siapkan balik dokumen tu. Saya nak dokumen yang lengkap esok pagi atas meja saya. Kalau tidak, siap awak!”
Alya telan liur. Dia hela nafas berat. Dari lirikan matanya, dia nampak Haifa tersenyum sinis. Dia menggeleng perlahan.
“Apa yang awak gelengkan tu?” Alya terkejut. “Ingat! Esok pagi!”
Kerana itu, Alya masih di pejabat walaupun jam sudah menunjukkan angka tujuh. Dia masih bertungkus lumus menyiapkan dokumen yang dikehendaki. Haifa sedikitpun tidak membantu, malah dia dihadiahkan dengan kata-kata sinis.
“Kenapa kau cakap macam tu tadi, Haifa? Kenapa kau cakap kau bagi dokumen tu kat aku? Kau sendiri tahu, yang aku tak dapat apa-apa pun dokumen daripada kau.”
“So?” Haifa angkat kening. “Kau ingat aku akan mengaku dengan Puan Ruqayah, yang aku hilangkan dokumen tu? Memang tak la!”
“Kau!” Alya benar-benar terkejut. “Sampai hati kau buat aku macam tu. Aku sangka kau kawan aku!”
“Siapa nak kawan dengan kau?” Haifa mencebik. “Aku tak ada kawan la yang bercinta dengan suami orang macam kau!”
Menitis air mata Alya mendengarnya. Dia tidak menyangka, hidupnya berubah seratus lapan puluh darjah hanya kerana dia jatuh cinta dengan lelaki yang sudah berkeluarga. Dan dia dihukum kerana itu.
*****
“Betul ke apa yang kau cakap ni?”
“Betul la! Dia sendiri mengaku dengan aku, dia nak kahwin dengan lelaki itu,” terdengar suara Haifa mengeluh kasar. “Entah apa yang istimewa sangat dengan lelaki tu pun aku tak tahu. Dah la suami orang.”
“Tak malunya,” suara Adriana pula kedengaran. “Apa, dah habis ke lelaki bujang kat dunia ni, sampai suami orang pun dia nak kebas?”
“Jangan tak tahu, dia pandai menggoda lelaki yang bergelar suami,” Dalilah bersuara seakan menghasut. “Jaga-jaga dengan suami kau, Ana. Kau baru kahwin kan?”
“Haah la. Takut pula aku.”
“Jangan risau. Suami kita setia. Suami kita takkan tergoda dengan perempuan tak tahu malu macam tu.”
“Kalau kau tak risau, kenapa kau tak bagi suami kau datang jemput kau kat pejabat?” Dalilah separuh memerli. “Kau sebenarnya takut juga kalau-kalau suami kau digoda dia. Kan?”
“Itu bukan takut la. Itu namanya langkah berjaga-jaga. Jauh bezanya tu.”
“Ye la tu.”
“Shhh….. aku dengar bunyi tapak kaki. Mesti dia yang datang tu,” kata-kata Adriana membuatkan mereka tidak senang duduk. Masing-masing menumpukan perhatian pada pintu masuk pantri itu dengan debaran kencang di dada. Seketika kemudian…
“Kau rupanya, Izwan,” mereka mengurut dada apabila melihat seorang lelaki sedang memegang mug kosong. “Buat suspen je la kau ni.”
“Korang buat apa lama-lama kat sini? Tak ada kerja ke? Atau kerja dah siap?” tanya Izwan sambil membawa mug itu ke meja. “Asyik muka korang je. Orang lain pun nak guna juga pantri ni.”
“Ah, sibuk la kau. Kitorang tengah bincang pasal hal kerja la ni,” sanggah Dalilah. “Kau nak guna tempat ni, guna je la. Tak ada siapa yang larang!”
“Memang tak ada siapa yang larang. Masalahnya, korang duduk sini macam bos tak sediakan meja untuk korang buat kerja. Dari pagi sampai ke petang asyik kat sini sampai orang lain jadi segan nak guna pantri ni. Dapat ilham lebih ke kat sini?”
“Banyak la kau punya ilham!” balas Adriana pula. “Kau tu, buat apa nak lama-lama kat sini? Nanti bos cari, kau juga yang susah. Baik kau pergi cepat. Pergi, pergi!”
“Ye la. Memang muka aku, muka Alya memang muka ‘wanted’ pun. Hari-hari bos cari. Tapi kami bersyukur, bos cari kami hari-hari, tandanya bos percayakan kami untuk buat kerja. Tak adalah orang mengata kami makan gaji buta!”
“Kau perli kami?”
“Aku cakap je,” Izwan sudah selesai membancuh milo dan ingin menapak keluar dari pantri itu. “Lagipun, tak elok mengata orang lain. Dah macam makan dagin saudara sendiri yang dah mati.”
“Kau!”
“Pergi dulu ya! Bos cari!” Izwan bersuara riang lalu keluar dari pantri itu. Dia melintasi meja Alya yang sedang termenung. Tanpa kata, dia menghulurkan mug di tangannya kepada Alya, membuatkan gadis itu terkejut.
“Apa ni, Wan?”
“Ambillah. Memang aku bancuh untuk kau pun,” balas Izwan. “Aku tahu, kau dengar apa yang aku dengar tadi, kan?”
“Ya…,” lambat-lambat Alya mengakuinya. Namun sebentar kemudian dia bersuara ceria. “Terima kasih untuk milo ni. Mesti sedap kau buat!”
“Tentulah! Tengok kaki la!” Izwan bersuara sedikit berlagak, membuatkan Alya tertawa. “Masuk bakul angkat sendiri!”
*****
Alya sambut surat yang dihulurkan oleh Puan Ruqayah dengan tangan yang menggigil. Perasaannya bercampur baur.
"Saya minta maaf, Alya. Saya dah cuba sedaya upaya untuk kekalkan awak di sini. Ternyata pihak pengurusan inginkan awak bertukar jabatan. Mungkin awak lebih menyerlah di sana.”
Alya telan liur. Dia teringat kata-kata Haifa beberapa bulan lalu. "Orang bertukar bahagian ni, dua je sebab dia. Kalau bukan sebab prestasi, mesti sebab masalah disiplin."
"Kau rasa Alya akan bertukar bahagian ke?"
"Tentulah!" jawab Haifa penuh yakin. "Kes dia bercinta dengan suami orang tu dah sampai ke pengetahuan pihak atasan, tau! Dia takkan terlepas dari dikenakan tindakan!”
“Kejap! Siapa yang bagitahu pihak atasan tentang perkara tu? Kau ke yang bagitahu diorang?”
“Dah tentulah bukan aku! Korang sendiri tahu kan, aku bukan jenis orang yang akan jaga tepi kain orang,” balas Haifa selamba.
“Alya?” pertanyaan Puan Ruqayah mengembalikannya ke alam realiti. “Awak okey?”
“Saya okey,” Alya tarik nafas berat. “Ini semua sebab saya punya masalah disiplin ke? Atau ada sebab lain?”
Kejadian dokumen penting hilang dalam pejabat bukan kali pertama berlaku. Sebelum ini, sudah beberapa kali kes yang membangkitkan kemarahan wanita itu. Namun sejak akhir-akhir ini, Puan Ruqayah mula menyedari sesuatu yang tidak kena.
“Bukan sebab itu,” Puan Ruqayah menghulurkan sepucuk lagi surat kepadanya. Senyumannya mula terukir. “Bacalah surat ni dulu.”
Lambat-lambat Alya membuka surat itu. Lama-kelamaan, dahinya yang berkerut mula menghilang. Diganti dengan senyuman yang semakin melebar.
“Betul ke ni, puan?”
“Awak ingat saya nak kenakan awak, ke?” tanya Puan Ruqayah kembali. “Sekarang ni bulan Julai, bulan April dah lama berlalu. Jadi, lupakan sangka buruk awak yang ingat saya nak kenakan awak.”
Alya garu kepala yang tidak gatal. Selepas mengucapkan terima kasih, dia kembali ke mejanya. Pandangan mata yang tajam menikam langkahnya tidak dipedulikan. Dia terus duduk di mejanya, meneruskan kerja-kerjanya.
“Rajin betul buat kerja. Nak tutup petualangan ke tu?” terdengar suara sumbang yang menyindir. Alya biarkan sahaja. Dalam diam, dia mengukir senyuman.
“Tahniah, staf cemerlang!” bisiknya perlahan. Dia berbangga, ini hadiah yang didapatkan di sebalik tekanan yang dialami sekarang ini.
*****
"Bosan pula bila Alya dah tak ada kt sini," ujar Haifa pada suatu hari. "Rasa lain bila dia berpindah ke pejabat utama."
"Bila dia ada, rasa menyampah pula," balas Adriana pula. "Tapi bila dia tak ada, hilang satu bahan untuk kita membawang."
"Dia dah tak kawan dengan lelaki tu ke?"
"Dah tak kawan dah. Lelaki tu dah kembali kepada isteri dia. Merana la dia tu."
"Cari pasal, mendapat la," Dalilah mencebik. "Tapi aku dengar, dia masih lagi tak berubah. Masih berkawan dengan suami orang. Tak faham aku."
"Eh? Siapa pula? Kita kenal ke?"
"Kenal la! Dekat sangat dengan kita!"
"Siapa?"
"Izwan!" Adriana dan Haifa benar-benar terkejut dengan jawapan Dalilah. "Korang tak nampak ke yang dia rapat dengan Izwan sebelum dia pindah?"
"Ye tak ye juga," Adriana garu dagu yang tidak gatal. "Tak serik-serik lagi ke dia tu?"
"Mana maunye, kalau dah itu selera dia," Haifa senget bibir. "Maknanya, suami kita masih tak selamat."
"Ee, takutlah!"
"Lebih takutlah kamu dengan mulut kamu yang macam meminta kena cili," kemunculan Izwan secara tiba-tiba mengejutkan mereka bertiga. Masing-masing berlagak selamba namun tidak Haifa. Dia ingin mengatakan sesuatu apabila Izwan memotongnya laju.
"Si Alya tu sikitpun tak usik korang, apatah lagi laki korang. Yang korang tak habis-habis nak tabur fitnah tu apahal? Seronok sangat makan daging sendiri?"
"Yang kau beria nak bela dia tu kenapa? Kau ada hati dengan dia? Kau suka dengan perampas suami orang tu? Kau jangan…"
"Kalau betulpun dia ada hubungan dengan suami orang, ada ganggu kerja dia ke? Suami yang dia ganggu tu, suami korang ke yang kau marah sangat tu?"
"Memang la dia tak ganggu suami kami…"
"Ha, dah tu?"
"Kami mengambil langkah keselamatan!"
"Dengan tabur fitnah?" pertanyaan Izwan membuatkan Haifa terdiam. "Lagipun, mana akak tahu semua cerita ni?"
"Dia pernah mengaku dulu!"
"Adakah itu lesen untuk korang terus sebar aib dia? Korang tahu tak, siapa yang buka aib saudaranya di dunia, Allah akan buka aibnya walaupun dia berada dalam rumah sendiri?"
"Memandai je…," Adriana bersuara perlahan, namun dapat didengari oleh Izwan. "Itu memang hadis Nabi! Kau boleh Google kalau kau tak percaya."
Izwan tidak betah berlama-lama di pantri itu lagi. Dia melangkah keluar dari ruang itu. Di muka pintu, dia berhenti lalu berpaling memandang mereka bertiga.
"Alya ditukarkan ke pejabat utama sebab prestasi kerjanya. Bukan sebab korang tak suka dia. Apa korang ingat suara korang kuat sangat sampai didengari pihak atasan? Kalau betul, kenapa korang masih di sini?"
Izwan melangkah meninggalkan Haifa, Adriana dan Dalilah yang semakin geram dengannya.
*****
"Alya, awak dengan Syed ditugaskan untuk menguruskan kebajikan VIP. Apa saja isu yang timbul, cuba selesaikan dulu. Kalau tak mampu, bagitahu saya."
"Baik bos!" sahut Alya dan Syed penuh bersemangat. Mereka kemudian bekerjasama penuh dedikasi untuk memastikan kelancaran majlis tersebut.
"Alya, boleh tolong semak senarai nama VIP ni, betul ke ejaannya?" tanya Syed sambil menghulurkan sehelai kertas kepadanya. Alya membaca senarai itu penuh teliti.
"Eh, nama Tan Sri ni salah ni. Nama ayahnya bukan begini," pantas Alya mencapai pen dari dalam koceknya. Dia terus membetulkan senarai yang masih berada di tangan Syed.
"Okey, done!"
"Ini betul, ya? Saya nak betulkan dan cetak untuk kedudukan kerusi nanti," tanya Syed. Melihat anggukan Alya, dia terus melangkah pergi dari situ. Alya meneruskan kerjanya membalut cenderahati untuk para VIP.
"Bagusnya dia ni. Masa kerja kat sana, jadi kuli. Kat sini pun kerjanya balut hadiah je," terdengar suara seakan memerli di belakang membuatkan Alya menoleh. Tergamam dia melihat Haifa, Adriana dan Dalilah di belakangnya sambil tersenyum sinis.
"Eh, korang datang?" Alya cuba mengukir senyum semanis mungkin. "Boleh la duduk dulu. Kejap lagi majlis akan dimulakan."
"Kau ingat kitorang nak datang sangat ke majlis ni? Kalau bukan sebab diwajibkan datang, memang tak la kitorang nak datang sini. Malas nak tengok kau goda suami orang macam dulu-dulu."
Alya telan liur mendengar sindiran Haifa. Namun dia masih mengukir senyuman. "Kalau tak ada apa-apa yang penting, saya nak sambung kerja ni. Korang boleh ambil tempat dulu, daripada merayau tak tentu arah macam ni."
Merah muka Dalilah mendengarnya. "Kau memang tak reti nak berubah, ya? Aku ingatkan bila kau dah ditukarkan ke sini, kau berhenti la goda suami orang. Rupanya, lagi teruk!"
"Syed tu baru kahwin, tau? Berani betul kau goda dia. Tulis I Love You kat kertas yang dia pegang, kau ingat senonoh sangat?"
"Jangan terkejut la Adriana. Selera dia kan, suami orang. Jangan nak hairan sangat," suara Haifa benar-benar menyakitkan hati Alya. Namun dia masih berlagak selamba.
"Haifa, cerita dulu dah tutup buku, kan? Kenapa kau masih nak mengungkit?"
"Cerita dulu?" Haifa angkat kening sebelah. "Bukan 'cerita dulu' tu masih lagi berlaku sekarang ke?"
"Kalau benda betul, dikira mengumpat. Kalau benda salah, dikira fitnah," Alya sembunyi senyum. "Kau suka ke fitnah orang macam ni?"
"Kau tuduh aku fitnah kau? Ada bukti?" Baru sahaja Alya ingin membalas apabila kelibat Syed muncul di ruang mata. Segera dia menggamit lelaki itu untuk datang kepadanya.
"Kau masih pegang senarai VIP tadi?" tanya Alya. Syed angguk, lalu senarai nama itu diserahkan kepadanya. Alya tunjuk senarai itu kepada Haifa. "Ada tertulis I Love You ke kat sini?"
Air muka Haifa berubah. Lidahnya kelu untuk berkata-kata, memberi peluang untuk Alya meneruskan kata-katanya. "Kalau kau teringin berperangai macam budak-budak, jangan ajak aku. Nanti kau mesti kalah."
Haifa mendengus. Bahu Adriana dan Dalilah dicuit kasar. "Jom!"
"Kenapa tu?" tanya Syed, tidak mengerti. Alya senyum memandang lelaki itu. "Tak ada apa-apa."
*****
"Lepas tu, apa jadi?" tanya Alya. Dia membetulkan duduknya, menghadap lelaki itu.
"Esoknya, aku kena serang dengan Dalilah. Dia kata, aku pusing cerita. Dia kata, aku bagitahu Puan Ruqayah yang dia cuti bukan sebab anak sakit, tapi buat kerja luar."
"Kau tak bagitahu hal sebenar ke?"
"Tak sempat. Aku dah diserang bertubi-tubi. Haifa dan Adriana kat belakang Dalilah, tersenyum-senyum. Aku dah diasak sampai ke dinding, Alya."
"Jadi kau mengaku?"
"Apa lagi pilihan yang aku ada?"
Alya diam. Nafas yang dihela terasa berat. "Puan Ruqayah tak tahu semua ni?"
"Aku tak rasa dia tahu. Sebab tak lama lepas tu, dia tanya aku kenapa aku macam dipulaukan diorang. Tak adalah aku bagitahu dia hal sebenarnya."
Alya tersandar di kerusi. Dia tidak menyangka, tiga sekawan itu masih tidak mahu berubah. Malah, masih tega menabur fitnah. Lupakah mereka akan keluarga di rumah?
"Aku dah kena macam mana kau kena dulu, Alya. Sakit sangat. Bezanya, aku masih boleh mengadu pada kau, sebab kau pernah alaminya dulu."
Alya hanya diam. Mengeluh kecil lalu hati terdetik. Kenapa mereka tak nak berubah?
"Mesti kesakitan kau lebih teruk daripada aku, sebab kau tak tahu nak mengadu pada siapa."
"Prestasi tahunan kau macam mana? Terjejas tak?" tanya Alya.
"Terjejas! Nampak diorang sangat gembira. Aku sendiri tak tahu apa yang diorang mahukan."
"Kalau ikut pengalaman aku, diorang nak tengok kau jatuh. Terduduk. Biar kau tak mampu bangun lagi. Biar kau tak mampu bicara lagi."
"Sampai macam tu sekali?"
"Manusia, Wan. Manusia," Alya senyum nipis. "Sampai bila-bila pun kita takkan mampu baca hati mereka. Hari ni dia mungkin kawan baik kau, esok mungkin musuh."
Izwan telan liur mendengar kata-kata itu. "Macam mana kau hadapi semua tu?"
"Mengadu pada Allah."
"Semudah itu?"
"Mendengarnya, sangat mudah. Hakikatnya, ia perlukan istiqamah," jawab Alya. "Mula-mula, memang susah. Aku menangis, meluruh setiap malam. Lepas tu aku mula rajin solat malam, mengadu pada Allah."
Segar terus mata Izwan mendengar kata-kata Alya. "Lepas tu?"
"Aku selalu berdoa macam ni. 'Yaa Allah, tunjukkan aku hikmah di sebalik semua yang berlaku. Dan tunjukkan aku jalan keluar dari semua ini.' Dan Allah jawab doa aku dengan pertukaran aku ke sini."
Alya senyum. Izwan terkedu.
"Aku tak suruh kau solat malam macam yang aku buat. Kalau kau belum mampu, berdoalah agar kau dikeluarkan dari ujian ni. Jangan bimbang. Allah itu Maha Mendengar. Cuma kita yang kadang-kadang… sama ada malu, atau ego."
Kata-kata Alya mengejutkan Izwan. Alya yang dikenalinya, sangat menjaga solatnya. Itupun, masih difitnah menjalin hubungan dengan suami orang. Namun dia kuat menghadapinya. Dia yang hanya menjaga solat Jumaat, melatah apabila diuji sebegini.
"Alya, terima kasih ya. Kau dah banyak buka mata aku tentang hal ni."
"No problem."
Belum sempat Izwan berkata apa-apa, telefon pintarnya menjerit nyaring. Pantas dijawab panggilan itu. "Ya, Puan Ruqayah?"
"Adriana kemalangan!"
"Apa?"
*****
“Saya tak faham dengan apa yang berlaku,” ujar Puan Ruqayah ketika mereka melawat Adriana di hospital. “Mereka bertiga berkawan baik. Sangat rapat. Korang pun boleh nampak.”
Izwan dan Alya hanya mendiamkan diri. Mendengar dengan teliti setiap butir bicara majikan mereka itu. Walaupun Alya tidak lagi bekerja di bawah wanita itu, dia tetap menganggap Puan Ruqayah atasannya.
“Pagi tu saya tengok Dalilah dan Haifa bertekak. Saya tak pasti la sebab apa. Tapi nampak Dalilah betul-betul marah dengan Haifa. Nak dileraikan, saya tak tahu hujung pangkal. Jadi saya diamkan aje. Lepas tu saya dengar, Dalilah cari awak, Izwan.”
Lelaki itu tersentak. “Cari saya? Kenapa pula? Bukan ke puan yang arahkan saya ke pejabat utama, untuk hantar dokumen ke bos besar? Lepas tu saya minta izin puan untuk bersarapan bersama Alya, kan?”
“Itu yang saya bagitahu dia. Kemudian saya nampak wajah dia macam serabut sangat. Macam ada satu kesalahan besar yang dia dah buat.”
“Apa kena mengena Adriana kena langgar dengan hal ni, puan?”
“Itu yang saya tak faham. Dalilah yang bergaduh dengan Haifa, kenapa Adriana pula yang Haifa langgar?”
“Apa?”
“Ya, Haifa langgar Adriana,” beritahu Puan Ruqayah. Masih jelas di ruang matanya, bagaimana Adriana yang sedang melintas jalan terlambung setelah dilanggar kereta Haifa dengan kelajuan yang sangat tinggi. “Saya pelik sangat. Kenapa Adriana yang Haifa langgar sedangkan dia bergaduh dengan Dalilah?”
“Apapun alasan Haifa, itu bukan lesen untuk dia langgar sesiapapun,” ujar Alya. Dia jatuh kasihan melihat keadaan Adriana sebentar tadi. Wayar berselirat di atas badannya. Keadaannya parah namun stabil.
“Mesti Dalilah terkesan dengan apa yang berlaku,” ujar Izwan. Dia nampak Dalilah menangis, meratapi apa yang berlaku kepada kawannya itu. Dia belum berkesempatan berbual dengan wanita itu. Hatinya masih sakit dengan apa yang berlaku sebelum ini.
Bunyi kuakan pintu mematikan perbualan itu lantas mereka menoleh. Dalilah keluar dari bilik Adriana dengan mata sembab. Demi melihat mereka bertiga, Dalilah meraung lagi. Dia menerpa ke arah mereka. “Aku minta maaf!”
“Apa yang berlaku sebenarnya ni?” Puan Ruqayah semakin bingung melihat tingkah Dalilah. Izwan dan Alya apatah lagi. Berkerut dahi mereka melihat apa yang berlaku.
“Kenapa ni?”
“Adriana dah beritahu segalanya. Dia cakap, Haifa yang buat cerita pasal Izwan bagitahu bos yang saya tipu cuti saya. Padahal, Izwan tak pernah cakap apa-apa pun. Haifa sengaja nak kenakan Izwan, sebab dia berdendam dengan Izwan!”
“Sampai sanggup kenakan kawan sendiri?” Puan Ruqayah benar-benar terkejut. Izwan dan Alya berpandangan sesama sendiri.
Dalilah masih menangis. “Haifa, bila dia tak puas hati atau berdendam dengan seseorang, dia akan jatuhkan sampai orang tu tak mampu bangkit lagi. Tak sangka, kali ni saya mangsanya!”
“Kenapa Adriana bagitahu awak hal sebenarnya?”
“Sebab dia rasa bersalah dengan Izwan,” beritahu Dalilah lagi. “Dia rasa, Izwan tak salah apa pun. Kenapa dia kena jadi mangsa Haifa? Dan dia sebenarnya rancang nak bagitahu Izwan bila dia kena langgar dengan Haifa siang tadi!”
Bagai putus nafas lelaki itu mendengar pendedahan demi pendedahan oleh rakan sekerjanya itu. Dia pandang Alya. Gadis itu hanya berlagak selamba.
“Jadi betullah kata polis yang Haifa ditahan kerana sengaja mendatangkan kecederaan pada Adriana?”
“Ya!” Dalilah terpaksa mengaku. “Saya minta maaf, puan. Izwan, aku minta maaf! Aku tahu aku salah. Maafkanlah aku!”
Izwan masih lagi terkedu. Membisu.
*****
“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya, Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya,
Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa yang sudah terjadi kepada bumi?" Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya: Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian).
Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”
Mata Izwan berkaca tatkala membaca terjemahan Surah Al-Zalzalah. Dia pejam mata, membiarkan air matanya mengalir. Segala perbuatan Haifa terhadapnya dan Alya suatu ketika dahulu, bagaikan ditayangkan kembali di ruang mata.
“Kau rasa, aku patut bergembira di atas apa yang terjadi pada Haifa sekarang ni?” tanya Izwan apabila mereka melangkah keluar dari hospital.
“Apa yang kau cakap ni?”
“Ye la… apa yang terjadi pada dia sekarang ni kan, balasan atas apa yang dia pernah buat pada kita dulu,” Izwan menyampaikan hujahnya. “Kau tak rasa nak ‘padan muka’kan dia ke?”
“Buat apa?” berkerut dahi Alya mendengarnya. “Mungkin dia dah terima pembalasannya. Tapi ini mungkin juga ujian untuk kita.”
“Maksud kau?”
“Setiap hari kita diuji, sama ada ia datang terus pada kita, atau ia datang melalui orang lain. Dan ujian itu, sama ada kesusahan atau kesenangan. Dulu, kita susah, dia senang. Sekarang, dia susah, kita senang. Sama saja, Wan. Kita tetap teruji.”
“Habis tu, macam mana ni?”
“Maafkan saja dia, Wan.”
“Maafkan? Begitu mudah?” Izwan tidak puas hati. “Bukan sikit apa yang dia buat kat kau, Alya. Fitnah yang ditabur pun, boleh jatuhkan maruah kau sebagai seorang wanita. Kenapa kau masih nak maafkan dia?”
“Maafkan, bukan kerana dia layak terima kemaafan itu, tapi kita berhak bahagia,” balas Alya. “Bila kita lepaskan dan maafkan semua orang yang sakiti hati kita, secara tak sedar langkah kita akan jadi lebih ringan. Perjalanan hidup kita akan jadi lebih mudah. Kau tak nak macam tu ke?”
Izwan diam, memberi ruang untuk Alya meneruskan bicara, “Lagipun, dalam sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda: Musa bin Imran a.s, berkata: "Wahai Tuhanku, diantara hamba-hamba-Mu, siapakah orang yang paling mulia dalam pandangan-Mu ? "Allah Azza Wajalla menjawab, “ Orang yang memaafkan walaupun ia mampu membalas. “ (Hadis Riwayat Baihaqi)
“Maafkan saja dia, Wan. Itu lebih mudah daripada jadi pendendam sepanjang hayat,” Alya mengakhiri hujahnya.
Azan Subuh yang berkumandang mematikan lamunan Izwan. Perlahan, dia bangkit dan mengejutkan isterinya yang masih berselimut. Sementara menunggu wanita kesayangannya itu berwuduk, Izwan kembali duduk di atas sejadah. Kata-kata Alya kembali terngiang di peluput telinga.
“Maafkan saja dia, Wan.”
Ya, aku maafkan Haifa. Bukan kerana dia layak terima kemaafan itu, tapi kerana aku berhak untuk bahagia. Aku mahu bahagia, tanpa diselubungi dendam.
Air mata Izwan mengalir lagi.
TAMAT.