"Alhamdulilah, majlis pertunangan Fahmi dan Marissa berjalan lancar," ujar Rafidah sambil mengipas-ngipas dirinya. "Panas!"
"Ramai ke yang datang?" tanya Fahmi. Dia hanya menumpukan perhatiannya pada Ipad yang sedang dipegangnya.
"Ramai!" jawab Rafidah teruja. "Ramai yang tanya kenapa Fahmi tak datang. Dah tak terdaya mama nak bagi alasan."
"Mama cakap je la, pihak lelaki cukup hantar wakil. Tak elok kalau tuan punya badan datang sekali. Baru bertunang, kan?"
"Ala, sekarang ni orang mana nak tengok semua tu. Kalau Fahmi datang sekali kan senang. Boleh terus ambil gambar untuk 'pre-wedding'." Rafidah terus berceloteh namun niatnya mati apabila dilihat Fahmi tidak memberikan reaksi. "Fahmi."
"Ya."
"Kamu macam tak gembira dengan pertunangan ni."
"Mama yang suka, kan? Saya ikut je."
"Jadi, hati kamu pada siapa?"
"Mama tahu jawapannya," jawab Fahmi perlahan. Mendengarkan itu, Rafidah bangkit dari duduknya. Wajahnya berubah marah.
"Kamu masih berharap mama akan terima Adibah sebagai menantu mama? Jangan harap! Adibah dan keluarganya boleh pergi jauh dari keluarga kita. Mama takkan restu!"
Fahmi mengeluh. Dia teringat kali pertama membawa gadis kesayangannya berjumpa Rafidah tidak lama dahulu. Penerimaan mamanya pada ketika itu bukan seperti sekarang. Malah dia sangat menyayangi gadis itu.
Sekarang…
"Kamu jangan berani-berani sebut nama dia depan mama lagi. Kalau dia mama tak suka, seluruh keturunannya mama benci. Ingat tu!"
"Kenapa mama benci sangat dengan Adibah tu?" tanya Fahmi, bangkit berhadapan Rafidah. "Dulu bukan main lagi mama sayangkan dia. Sekarang…"
"Itu sebelum aku tahu siapa dia sebenarnya!" bentak Rafidah keras. "Aku tak mahu anak cucu aku terpalit dengan darah kotor dia tu!"
"Mama…"
"Sudah!" potong Rafidah. "Keputusan aku muktamad. Marissa tu pun boleh tahan cantik. Dari keturunan baik-baik. Dia seribu kali lebih baik daripada perempuan tak guna tu!"
"Mama…," baru sahaja Fahmi ingin bersuara, telefon pimtarnya berbunyi nyaring. Cepat sahaja dia menjawab panggilan itu, membuatkan Rafidah menjelingnya tajam. "Iya, Haji Tarmidi?"
Berkerut-kerut dahi Fahmi mendengar suara lelaki tersebut di hujung talian. Sebentar kemudian air mukanya berubah. Dia memandang lama ke arah Rafidah, membuatkan wanita itu gelisah. "Kenapa?"
"Kes bunuh ayah dibuka semula!"
*****
Adibah memberhentikan enjin keretanya setelah diparkir elok. Dia mengeluh perlahan. Dokumen yang terletak di kerusi penumpang dipandang lama. Kenangan bersama lelaki itu kembali menerjah minda.
“Boleh ke mama awak terima saya nanti?” tanya Adibah ketika mereka berdua menikmati makan malam bersama.
“Insya Allah. Mama saya bukan seorang yang pandang harta benda. Dia sangat sayangkan saya. Pasti dia bersetuju dengan pilihan hati saya ni.”
Adibah senget bibir. “Mana la tahu, kan… saya ni kan cuma gadis penjual bunga. Pelajaran? Setakat SPM je. Apa lagi yang ada pada saya, kan?”
“Ada,” Fahmi senyum. “Awak ada sesuatu yang orang lain tak ada. Hanya saya yang nampak benda tu.”
“Apa benda tu?”
“Kasih sayang saya pada awak,” Fahmi kenyit mata. Adibah menggerutu, namun bibirnya mengukir senyuman. “Awak memang saja kan?”
“Saja apa?”
“Saja buat saya cair dengan kata-kata awak.”
“Awak yang terlebih dahulu cairkan hati saya dengan cinta awak. Siapa suruh?”
Bunyi hon di luar kereta menghentikan lamunan Adibah. Segera dia menoleh ke luar kereta. Seorang lelaki di kerusi pemandu kereta sebelahnya, memberikan isyarat kepadanya. Adibah menurunkan cermin kereta. “Ya, Encik Ramzi?”
“Awak dah bersedia?”
“Bersedia atau tidak, kita dah ada di sini, kan?”
Lelaki itu senyum. “Shall we?”
“Jom.” mereka keluar dari kereta masing-masing. Adibah menghulurkan dokumen tadi kepada Ramzi. “Saya harap kita berjaya hari ini.”
“Awak boleh harapkan saya. Cuma, saya harap awak dapat kawal emosi awak sikit,” Ramzi berdehem seketika. Adibah kerut dahi. “Saya tak faham.”
“Ye la kan, bukan sebarangan orang yang kita akan jumpa nanti,” Ramzi terus melangkah pergi meninggalkan Adibah terkulat-kulat keseorangan di situ. Namun tidak lama, Adibah cepat-cepat mendapatkan lelaki itu di lobi lif.
“Saya mampu kawal emosi, okey?"
Ia tidak semudah yang disangka. Beberapa kali Adibah cuba mengawal pernafasannya. Ramzi nampak itu. "Gementar?"
"Sikit."
"Itu normal," Ramzi senyum. "Saya pun rasa benda yang sama, walau dah hadapi kes sebegini."
"Macam mana Encik Ramzi hadapi situasi macam ni?"
"Bertawakallah kepada Allah setelah berusaha."
Ramzi terus keluar dari perut lif setelah pintu terbuka. Cepat-cepat Adibah mengekorinya. Memerhatikan lelaki di hadapannya ini berurusan dengan orang sekeliling menimbulkan satu rasa di hati Adibah.
Tidak. Ini bukan cinta. Ini cuma rasa kagum, bisik hati Adibah.
"Encik Ramzi dan Cik Adibah ya? Bos saya dah lama tunggu kalian."
"Kami lewat ke?"
"Tidaklah. Mereka yang awal," gadis penyambut tetamu itu senyum. "Mari, saya tunjukkan biliknya."
Semakin mereka menghampiri bilik majikan gadis itu, semakin kuat debaran jantung Adibah. Bagaikan gendang yang dipalu laju.
"Assalamualaikum," sapa Ramzi. Adibah hanya memandang semua orang dalam bilik pejabat itu.
Bilik pejabat Fahmi.
*****
"Punca kematian Encik Karim mencurigakan kerana ada unsur-unsur yang diragui," Ramzi memulakan bicara. "Kalau boleh saya teruskan…"
"Nak diragukan apa lagi?" potong Rafidah laju. "Dah terang lagi bersuluh, suami saya dibunuh oleh mak perempuan ni! Korang nak siasat apa lagi?"
Fahmi masih diam membisu. Masih terkedu dengan kemunculan Adibah secara tiba-tiba. Ditambah pula dengan kenyataan pahit yang diterima.
Ibu kau bunuh ayah aku.
"Kau nak lagi dengan perempuan macam ni, Fahmi?" kata-kata Rafidah mengembalikan Fahmi ke alam realiti. "Korang anak-beranak memang tak suka tengok aku senang, kan?"
"Kebenaran harus ditegakkan," Adibah bersuara. "Walaupun dia pahit untuk ditelan."
"Apa kenyataannya? Yang mak kau tu pembunuh?"
"Mak saya tak bersalah. Dia berada di tempat yang salah pada masa yang salah. Itu saja!"
"Macam bagus sangat je ayat kau ni kan?" Rafidah mencebik. "Mahkamah pun dah sabitkan kesalahan atas mak kau. Padan muka dia. Mereputlah dia dalam penjara tu."
"Sebab itulah, kami mahu kes ini dibuka semua," Ramzi menyambung bicara. "Kami datang ni untuk berbincang secara tidak rasmi, sebelum perbicaraan bermula."
"Nak berbincang?" Rafidah ketawa mengejek. "Atau korang datang nak bagitahu yang korang nak balas dendam?"
Jari telunjuk wanita itu terarah kepada Adibah. "Hey perempuan…."
"Nama saya Adibah," potong gadis itu pendek. Rafidah terkejut. Namun cepat-cepat dia mengawal suaranya.
"Dengar sini, Adibah. Kau jangan ingat kau boleh kalahkan aku. Tak mungkin."
Adibah telan liur. Cuba mengumpul kekuatan. "Atas nama cinta pada mak saya, sekali-kali saya takkan berundur. Saya akan tuntut bela!"
Sejurus, Adibah keluar dari bilik itu diikuti Ramzi. Rafidah pandang Fahmi yang seakan kaku. "Perempuan macam tu yang kau nak jadikan menantu aku dulu, Fahmi? Langsung tak hormatkan aku. Dia ingat dia boleh kalahkan aku agaknya. Dia ingat dia siapa?"
Fahmi hanya menghantar langkah Adibah pergi dengan pandangan mata sehingga bayangan gadis itu menghilang. Perlahan, satu rasa aneh mengalir dalam hatinya.
Bencikah aku? Atau cemburu?
*****
"Cik Adibah, ada orang nak jumpa," ujar pekerjanya ketika Adibah sedang leka meneliti beberapa dokumen. Adibah memanjangkan leher, meninjau ke luar pejabatnya. Tiada kelibat orang yang dikenalinya selain para pekerja. "Siapa, Alia?"
Gadis itu angkat bahu. Adibah menghela nafas halus. Dia mengemaskan dirinya sebelum keluar. Dia memandang sekeliling. "Mana?"
"Tu," Alia menunjuk ke arah seorang wanita yang sedang leka membelek bunga tidak jauh daripada mereka. Adibah kerut dahi. Wanita itu tidak permah dilihatnya sebelum ini.
"Ada apa saya boleh bantu, puan…"
"Marissa. Cik Marissa," wanita itu berpaling menghadap Adibah. "Tunang Fahmi."
"Oh…," hanya itu respon yang mampu diberi. "Cik Marissa berminat nak beli bunga apa di sini?"
"Aku tak nak beli bunga. Aku nak jumpa kau."
"Eh?"
Pang!
Adibah terjelepuk ke lantai. Pipinya terasa pijar. Terkejut semua orang dengan tindakan Marissa. Wajah wanita itu merah menahan marah.
"Hei perempuan! Kalau kau ingat dengan cara kotor macam ni, kau boleh raih perhatian Fahmi, kau silap. Fahmi tunang aku. Milik aku!"
Adibah kesat mulutnya yang terasa melekit. Darah! Serta-merta dia bangkit, berhadapan dengan Marissa. Namun wanita itu sedikitpun tidak gentar. "Apa?"
"Berani betul kau kan? Aku sikit pun tak sentuh kau. Apa yang kau buat? Kau sedar tak kau kat mana ni?"
"Aku peduli apa?" Marissa bersuara bongkak. "Aku Marissa, anak Tan Sri Hashim. Aku boleh buat apa saja yang aku suka!"
"Oh…," Adibah ketawa kecil. Seakan mengejek. "Kau kat dalam kedai aku tau. Kau sedar ke tidak ni?"
"Perempuan!" dahi Adibah ditunjal laju-laju sehinggakan dia hampir terjatuh. "Dengan status ayah aku, bukan setakat kedai ni, dengan kau-kau aku boleh beli sekali!"
"You know something?"
"What?"
"Being someone's someone doesn't give you license to break the rules. Espescially, when you attacking me at my own place. Alia!"
Terkocoh-kocoh Alia mendekati mereka dan menghulurkan telefon pintarnya. Adibah membelek peranti itu seketika sebelum menunjukkan sesuatu kepada Marissa.
Terkejut Marissa bukan kepalang. Perbuatannya dirakam! "How dare you!"
"Kalau tak ada rakaman yang ni pun, rakaman CCTV lebih dari cukup untuk dakwa kau dan sumbat kau ke dalam lokap. Belum masuk darah kat bibir aku lagi."
"You can't do this!"
"I can. I just did," nada suara Adibah masih sederhana seperti tadi. Telefon pintar diserahkan kembali pada Alia. "So? Kau nak tetap di sini dan aku panggil polis, atau…."
"Kau jangan ingat kau akan selamat!" potong Marissa cepat. Tas tangan dicapai. "Aku tak habis lagi dengan kau!"
Marissa terus melangkah keluar dari kedai itu. Adibah dan Alia hanya memandangnya tanpa rasa.
"Alia."
"Ya?"
"Tolong carikan ais. Nak tuam bengkak ni. Sakit pula rasa," Adibah pegang pipi. "Kuat juga dia tampar tadi."
Meletus ketawa Alia. "Cik Adibah ni…"
*****
Adibah melangkah keluar dari kompleks mahkamah diikuti Ramzi. Langkah mereka laju namun teratur. Sesekali, Ramzi menegur sesiapa yang dikenalinya di ruang kaki lima.
"Adibah!" panggilan seorang lelaki mematikan langkah mereka. Adibah dan Ramzi memusingkan tubuhnya. Fahmi menghampiri mereka sambil termengah-mengah.
"Kenapa awak buat Marissa macam tu?"
"Saya buat apa?"
"Awak tampar Marissa, kan?"
"Hah?"
"Betul la kata mama," Fahmi bersuara seakan mengejek. "Awak memang jahat. Awak dengan mak awak sama je. Suka menyakiti orang lain."
Adibah menggelengkan kepala. Telefon pintar dicapai dari dalam beg. Video perbuatan Marissa tempoh hari dimainkan semula dan ditunjukkan kepada Fahmi. Buntang mata lelaki itu melihatnya.
"Bibir saya luka, pipi saya bengkak dan lebam dua hari akibat perbuatan dia. Saya yang sakit, dia cakap kat awak yang saya pukul dia?"
"Awak, saya…"
"Dan awak percaya cakap dia?" Potong Adibah cepat. "Oh, lupa. Dia kan tunang awak. Mestilah awak percayakan dia."
"Adibah…"
"Dia sepatutnya bersyukur saya tak buat laporan polis," suara Adibah kedengaran serius. "Kalau tak, dah lama dia ke lokap."
"Saya minta maaf…"
"Pesan kat dia, jangan masuk campur dalam kes ni. Dia hanya tunang, bukan isteri."
"Tak boleh ke awak gugurkan kes ni?" Bentak Fahmi tiba-tiba. "Kenapa nak buka balik kes yang 20 tahun berlalu ni?"
"Kerana saya yakin yang mak saya tak bersalah," Adibah menjawab tegas. "Ada sesuatu yang tak kena. Saya nak tuntut bela!"
"Kes ni terlalu lama," balas Fahmi. "Awak masih nak teruskan juga?"
"Ya."
"Cinta kita akan terjejas nanti….."
"Ia dah lama terjejas, saat mama awak hina saya macam-macam dulu," balas Adibah cepat. "Tapi saya berterima kasih padanya, kerana dia saya tahu pada siapa saya ingin tuntut bela."
"Adibah…"
"Lagipun, awak dah bertunang. Jadi tolong setia dengan Marissa, sebab saya dah tak nak terima serangan dia lagi," Adibah melangkah pergi dari situ, meninggalkan Fahmi terkulat-kulat di situ. Ramzi kemudian menghampiri lelaki itu.
"Kuatnya seorang Adibah, dia mampu bangkit dari penghinaan seorang wanita. Kuatnya seorang Adibah, dia mampu bertahan menghadapi cemburu seorang wanita. Kuatnya seorang Adibah, menegakkan kebenaran walaupun dari orang yang dia cinta."
Fahmi terkedu. Adibah masih cintakan aku?
*****
Adibah masih cintakan aku?
Ya, aku yakin. Kalau tidak, dia takkan cakap macam tu tempoh hari.
Kenapa kau terlalu yakin?
Cinta sukar berubah.
Tapi tak mustahil, kan?
Kerana itu, Fahmi berada di sini. Setia memerhatikan pergerakan Adibah sejak seminggu lalu. Kerana keyakinan itu, tidak tega dia meninggalkan gadis itu lagi. Perhatian terhadap Marissa langsung terabai. Langsung tiada rasa buat tunangnya itu.
Kelibat Adibah yang muncul di hadapan kedai bunga itu mematikan lamunan Fahmi. Cepat-cepat dia membetulkan duduknya. Dia memerhatikan langkah kaki gadis itu yang menuju ke keretanya.
Nafasnya mati apabila Adibah didatangi seseorang yang tidak dikenalinya. Kekasaran lelaki itu dan jeritan Adibah membuatkan Fahmi cepat-cepat keluar dari kereta.
“Tolong!”
“Hoi! Buat apa tu?” jerkah Fahmi sambil laju langkah diatur ke arah mereka berdua. Lelaki yang mengasari Adibah kelihatan tidak tentu arah dan terus berlari dari situ. Fahmi mendekati Adibah. “Awak okey?”
“Saya okey,” jawab Adibah. “Awak buat apa kat sini? Nak serang saya macam mana Marissa serang saya haritu?”
Pertanyaan Adibah tidak mampu dijawab oleh Fahmi. Dia hanya mampu berdehem, mengurangkan rasa canggung yang mulai bertandang. “Awak kenal ke orang tadi tu?”
“Tak,” Adibah mengemaskan beg sandangnya. “Tapi saya dah biasa diserang macam tu. Oleh mama awak, oleh tunang awak… sekarang dari orang tu pula.”
Fahmi telan liur. “Bahaya la awak sorang macam ni. Saya hantar awak balik la macam tu. Jom!”
“Tak perlu. Saya boleh balik sendiri,” selamba sahaja Adibah menolak pelawaan Fahmi. “Lebih baik awak balik sekarang. Saya tak nak ada satu lagi serangan terhadap saya pula.”
“Perli saya ke?”
“Saya cuma nyatakan kebenaran,” Adibah senget bibir. “Saya masih mahu hidup lama. Saya mahu tuntut bela atas mak saya. Dan awak, tidak berpihak pada saya.”
“Adibah….,”
“Baliklah,” potong gadis itu. “Berhentilah ‘stalk’ saya, macam yang awak buat seminggu ni. Balik ke pangkuan keluarga awak, kepada tunang awak.”
Terbeliak mata Fahmi mendengarnya. Adibah tahu?
“Hubungan cinta kita telah lama berakhir, Fahmi. Sekarang, hubungan kita tidak ubah seperti defendan dan plaintif. Itu sahaja,” usai berkata-kata, Adibah terus masuk ke dalam keretanya. Kemudian kenderaan itu menderum laju meninggalkan Fahmi keseorangan.
Fahmi pulang ke rumah dengan perasaan kecewa. Keretanya baru memasuki perkarangan rumah apabila dia mengesan sesuatu. Kelibat seorang lelaki yang baru keluar dari rumahnya amat dikenalinya.
“Mama, siapa lelaki yang baru keluar tadi?” tanya Fahmi apabila Rafidah menyambut kepulangannya di muka pintu. Air muka Rafidah berubah sedikit namun Fahmi tidak menyedarinya.
“Pekerja mama. Baru masuk kerja tiga bulan.”
“Baru tiga bulan mama dah suruh dia datang ke rumah? Kerja apa yang dia buat sampai mama percayakan dia untuk datang ke rumah? Dengan pekerja lain mama tak buat macam tu pun?”
“Kerja biasa-biasa je. Ala, Fahmi tak perlu tahu pun,” Rafidah cuba mengalih perhatian. “Fahmi dah makan? Mama ada masak makanan kegemaran Fahmi. Marissa pun ada datang tadi, hantar makanan.”
“Tak apalah mama. Saya masih kenyang,” Fahmi terus melangkah naik ke biliknya, meninggalkan Rafidah di ruang tamu. Kelibat lelaki itu masih mengganggunya.
Bukankah lelaki itu yang serang Adibah tadi?
*****
"Betul ke apa yang kau cakap ni?" Tanya Adibah seakan tidak percaya. "Boleh pakai ke kata-kata dia tu?"
"Eh, dia yang pernah bercinta dengan mamat tu, kita pula yang dia tanya," Adibah senget bibir mendengar sindiran Ramzi. "Tanya diri. Apakah kau percaya bicaranya atau percaya orangnya."
Adibah mendengus. "Orangnya saja aku tak percaya apatah lagi bicaranya."
"Jangan macam tu," ujar Ramzi. "Orang tu sayangkan awak lagi, tau. Orang lain pun tak sanggup ikut ke mana saja awak pergi seminggu ni."
"Itu bukan cinta. Itu psiko."
"Psiko dia tu yang selamatkan awak, kan?" Tanya Ramzi sambil angkat kening. "Kalau bukan sebab dia, awak mungkin dah kat hospital sekarang ni."
Adibah menghela nafas berat. Memberi peluang untuk Ramzi meneruskan bicaranya. "Turunkan sikit ego tu, Adibah. Ego seringkali meranapkan seseorang. Lagipun, mungkin betul dia nak tolong kita. Siapa tahu?"
"Kenapa dia tak berpihak pada mak dia je?"
"Dalam setandan pisang, tak semuanya elok. Ada yang rosak. Macam tu juga dengan keluarga. Tak semuanya sependapat."
Adibah diam. Ramzi diam. Hanya bunyi penghawa dingin yang kedengaran. Adibah buang pandang ke luar tingkap. Cuba mencerna kata-kata lelaki itu.
"Adibah."
"Ya?"
"Manusia sanggup lakukan apa sahaja atas nama cinta. Walau kadang-kadang diorang lupa, cinta manusia itu tak sebesar cinta pada Dia."
Adibah pejam mata. Nafasnya diatur perlahan. Doa dibaca dalam hati. Berikanlah aku kekuatan, Yaa Qowiyy.
Tiba-tiba Adibah teringat sesuatu. Dia meluru ke arah beg tangannya, menimbulkan kehairanan di hati Ramzi. "Kenapa?"
"Ini," Adibah mengeluarkan sesuatu dari dalam beg tangannya. "Malam tu memang saya tak perasan. Tapi saya jumpa benda ni di parkir kereta saya esok paginya."
Ramzi mengambil peranti yang dihulurkan Adibah dan membeleknya penuh berhati-hati. Dahinya berkerut apabila menemui apa yang diinginkannya.
"Jadi?" Tanya Adibah tidak sabar. Wajah serius Ramzi menggerunkannya. "Jumpa apa-apa tak?"
Ramzi pandang Adibah lama. "Fahmi mesti tak suka dengan apa yang kita jumpa ni."
"Kenapa?"
"Ini bukti… Puan Rafidah terlibat dalam pembunuhan suaminya!"
"Hah?"
*****
“Siapa perempuan tu, abang?” suara Rafidah sudah mulai meninggi. Masakan tidak? Hari itu, setelah pertengkaran demi pertengkaran, Karim memutuskan untuk membuat permohonan cerai.
“Apa yang awak cakap ni?”
“Abang tahu apa yang saya katakan ni! Cakap, siapa perempuan tu? Biar saya cincang dia. Berani betul dia ganggu rumahtangga saya!”
“Ini semua bukan sebab perempuan lain!” suara Karim kedengaran tegas."Ini semua sebab awak, yang asyik nak menang je dalam semua perkara. Awak selalu rendahkan saya, suami awak di hadapan kawan-kawan awak yang lain. Awak ingat saya siapa?"
"Alasan je semua tu!" Rafidah sudah macam kena rasuk hantu. "Sebenarnya abang ada perempuan lain, kan? Perempuan tu, janda yang baru kematian suami tu, kan? Mengaku je la!"
Karim menggeleng perlahan. Terasa malas untuk berbalah dengan wanita ini. Dia melangkah pergi ke muka pintu.
"Awak jangan ingat saya akan biarkan semua ni! Saya akan pertahankan rumahtangga saya. Ingat tu!"
Karim hanya mampu menggelengkan kepalanya. "Saya dah tawar hati dengan awak. Saya nak tamatkan semua ni."
"Jadi betullah abang ada perempuan lain!" Rafidah menjerit apabila Karim melangkah keluar dari rumah itu. Habis kusyen di sofa dicapai dan dibaling entah ke mana-mana. Kemudian dia terduduk di atas lantai. Dia menangis semahunya.
Sementara itu, Karim meneruskan pemanduannya ke sebuah kedai makan tidak jauh dari rumahnya. Menu biasa dipesan. Kemudian dia duduk seorang diri, jauh daripada pengunjung.
"Bergaduh dengan isteri lagi?" tanya seorang wanita yang membawa makanan pesanannya. "Kenapa setiap kali bergaduh, awak akan datang ke sini?"
"Sini tenang sikit, Jasmin."
"Kedai makan yang ramai orang ni awak kata tenang? Pelik betul la awak ni."
"Ini kedai makan yang bukan biasa-biasa, kan? Awak buka kelas mengaji percuma di tingkat atas kedai ni, kan? Itu yang buat kedai makan ni lain daripada yang lain."
Jasmin ketawa kecil. "Saya buat semua ni untuk arwah suami saya. Moga pahala daripada amalan ni akan menjadi bekalan suami saya di kubur nanti."
"Bagusnya awak ni. Kenapa isteri saya bukan macam awak, ya?"
"Jangan macam tu. Kalau ada sesuatu kekurangan pada pasangan, perbaiki, bukan buang. Kalau kita boleh terima kekurangannya dulu, kenapa kita tak boleh terimanya sekarang?"
Kata-kata Jasmin membuatkan Karim kembali berfikir. Kenangan bersama Rafidah sepanjang perkahwinan mereka kembali bermain di minda. Tanpa sedar, Karim mengukir senyum.
“Ha, tengok! Awak masih sayangkan isteri awak tu,” Jasmin turut mengukir senyum. “Balik, berbaik-baik dengan isteri, dan buatlah yang terbaik untuk selamatkan rumahtangga awak.”
“Terima kasih atas nasihat awak tu. Saya balik dulu!” tergesa-gesa dia keluar dari kedai makan itu. Sebelum menyeberang jalan, sempat dia bertanya, “Makanan tadi macam mana?"
"Saya belanja!" jawab Jasmin sambil mengemas mejanya. Kemudian dia menyedari sesuatu. Lantas dia mencapainya dan mengejar lelaki itu. "Karim! Awak terlupa dompet awak!"
Baru sahaja Karim ingin berpatah balik, sebuah van berhenti betul-betul di hadapan mereka. Karim kaget seketika apabila terdengar jeritan Jasmin sebelum van itu meluru pergi.
Jasmin diculik!
*****
"Macam mana telefon kau boleh hilang, Rico?"
"Maaf bos. Saya tak sedar bila telefon tu hilang. Saya baru sedar pagi tadi."
"Kalau orang lain yang jumpa telefon tu, macam mana? Kau dah la tak reti nak padam mesej! Nanti pecah la semua rahsia aku. Kau ni bodoh la!"
"Bos kata aku bodoh?"
"Ya! Kau memang bodoh! Dah la dulu kau salah bunuh orang. Laki aku yang jadi mangsa. Nasib baik aku pandai putar alam, kau terlepas dan perempuan tu yang masuk penjara. Kali ni, sudahlah kau tak dapat bunuh anaknya, bahan bukti pula boleh hilang?"
"Kau jangan main sedap cakap, bos! Kau nak mati ke?" Kata-kata lelaki itu benar-benar buat Rafidah kecut perut. "Okey, aku salah. Puas hati?"
Lelaki itu kembali sejuk hatinya. Namun tidak lama, kerana wanita itu kembali mundar mandir di hadapannya. "Semak la!"
"Macam mana aku tak semak? Kalau telefon kau tu hancur kena gilis kereta, tak apalah juga. Ini hilang entah ke mana-mana! Mana aku tak risau?"
"Aku dah pergi tempat tu balik, memang tak jumpa! Aku nak buat macam mana?" Lelaki itu bersandar pada kerusi. "Mungkin betul kata kau. Telefon tu dah digilis kereta."
"Aku harap betul la tekaan aku tu," desis Rafidah perlahan. "Kalau tak, habislah kita."
"Kau beria sangat nak bunuh budak tu, kenapa? Biar la dia hidup," Rico membetulkan duduknya. "Kau ni asyik nak bunuh orang je. Kau ingat nyawa orang tu apa?"
"Budak tu dah buka balik kes 20 tahun lalu. Kes bunuh suami aku," Rafidah bersuara penuh dendam. "Kalau dibiarkan, rahsia akan terbongkar. Orang akan tahu yang pembunuh sebenar Karim bukannya perempuan tu, tapi kau! Apa, kau teringin nak masuk penjara ke?"
"Kalau macam tu, aku akan selesaikan tugas aku secepat mungkin," Rico bangkit dari duduknya. "Kau tunggu je berita dari aku."
"Hati-hati, jangan sampai anak aku yang kau bunuh," pesanan Rafidah berbaur sindiran. Rico mendengus.
"Mama nak bunuh siapa?" Suara Fahmi kedengaran membuatkan Rafidah dan Rico terkejut besar. "Er… bukankah Fahmi ke pejabat pagi tadi?"
"Kenapa? Mama takut rahsia mama terbongkar?" Tanya Fahmi kembali. Wajah Rafidah pucat tidak berdarah. "Kenapa, mama? Kenapa sampai nak bunuh orang?"
"Kerana dia rampas kebahagiaan aku!" Suara Rafidah naik tiba-tiba. "Mak dia rampas ayah kau daripada aku. Kau rasa, aku akan duduk diam?"
"Bukan ini caranya, mama…"
"Atas nama cinta, aku sanggup lakukan apa saja. Bunuh orang pun aku rela."
"Ayah dah mati kerana cinta gila mama, sedar tak?" Fahmi goncang bahu Rafidah, cuba menyedarkan wanita itu. "Apa lagi yang mama cuba pertahankan?"
"Tak… aku tak bunuh ayah kau. Perempuan tu yang bunuh dia. Perempuan tu jadikan ayah kau perisai bila Rico nak bunuh dia. Perempuan tu yang bunuh ayah kau!"
"Mama…."
"Perempuan tu dah rampas suami aku. Sekarang anak dia nak rampas anak aku. Anak aku! Tidak, aku takkan izinkan. Hahaha…..!"
Fahmi melepaskan pegangannya. Rafidah seakan sudah hilang akal. Dia kemudian duduk di sofa, memintal rambutnya. Bercakap sendiri, kemudian tertawa.
Fahmi jatuh terjelepuk melihat keadaan mamanya.
*****
Adibah hanya mendengar dengan teliti setiap laporan yang disampaikan oleh Ramzi. Dahinye berkerut-kerut, cuba menghadam maklumat yang diterima. Hanya setelah Ramzi selesai memberikan laporan itu, Adibah menghela nafas halus.
“Puan Rafidah dah gila?”
“Jangan la cakap macam tu,” balas Ramzi. “Gangguan mental yang agak teruk menyebabkan Puan Rafidah dirujuk kepada hospital psikitari. Bukanlah bermaksud dia gila.”
“Okey,” Adibah membetulkan duduknya. “Jadi, bagaimana dengan kes ni?”
“Dalam pada itu, Fahmi dah dapatkan pengakuan Puan Rafidah mengenai pembabitannya dalam kes pembunuhan Encik Karim, suaminya. Fahmi dah rakam semuanya dan rakaman itu telah diserahkan kepada pihak polis.”
“Rakaman tu, boleh diterima pihak polis ke? Sebab keadaan Puan Rafidah macam tu,” tanya Adibah. Ramzi angkat kening. “Siasatan sedang dilakukan berkenaan dengan rakaman itu, sama ada pengakuan dilakukan dalam keadaan sedar atau tidak. Tapi apapun, Puan Jasmin akan dibebaskan kerana telah terbukti dia tidak bersalah.”
“Eh, macam mana pula?”
“Rico, orang yang menyerang awak tempoh hari dah ditangkap polis tidak lama kemudian. Dan dia pun dah mengaku bertanggungjawab atas kes ini, juga kes 20 tahun lepas tu. Jadi, secara rasminya, mak awak tidak bersalah.”
“Yakah?” wajah Adibah bercahaya. Tidak sabar untuk berjumpa dengan ibunya semula. Perjuangannya selama ini akhirnya membuahkan hasil.
“Bagaimana dengan Fahmi, Adibah?” pertanyaan Ramzi membuatkan air mukanya berubah lagi. “Kenapa dengan dia?”
“Ye la. Kan dia masih sayangkan awak…”
“Tapi dia dah bertunang dengan Marissa, kan?” tanya Adibah kembali. Ramzi menggelengkan kepalanya. “Dengar cerita, keluarga Marissa minta pertunangan mereka diputuskan. Mereka tidak mahu anaknya masuk dalam keluarga Puan Rafidah yang kata mereka, keluarga pembunuh.”
“Kesian Fahmi,” laju sahaja kata-kata itu keluar dari mulut Adibah. Dia kemudian menyedari perubahan air muka Ramzi. “Eh, kenapa?”
“Ye la, mana la tahu… awak nak kembali padanya semula… mungkin… awak masih cintakan dia…”
Adibah senyum. “Nada suara tu macam cemburu.”
“Eh, tak la!”
Adibah senyum, lalu dia menghampiri Ramzi yang sedang berdiri membelakanginya. “Awak, Fahmi mungkin cinta pertama saya. Tapi awak cinta terkini saya. Atas nama cinta ini, saya takkan berpaling lagi. Sampai mati.”
Cepat-cepat Ramzi berpaling, menghadapnya. “Betul ni?”
“Betul.”
“Kalau macam tu, lepas ni semua ni selesai, saya akan hantar rombongan meminang awak. Boleh?”
“Boleh!”
Ramzi bersorak riang. Tanpa mereka sedari, perbualan mereka didengari oleh Fahmi yang berdiri di balik pintu. Setiap butir perbualan mereka didengarinya. Hancur hatinya apabila Adibah menerima lamaran Ramzi.
Atas nama cinta, aku relakan kau pergi. Moga kau bahagia, Adibah…
TAMAT