Bagasi terakhir telah didapatkan. Hairul tarik nafas dalam-dalam, lalu troli ditolak perlahan. Matanya meliar, memerhati sekeliling. Seakan mencari seseorang.
"Danny!"
"Ya!"
Pandangannya mati apabila seorang gadis lalu betul-betul di hadapan matanya. Terkaku dia melihatnya. "Mustika?"
Hairul mengorak langkah laju untuk menyaingi… mengejar gadis itu. Namun sekejapan, gadis itu hilang dari pandangan mata. Hairul mengeluh berat. "Tak mungkin itu adalah Mustika. Dia kan dah…"
"Hairul?" sapaan dari belakang membuatkan Hairul segera menoleh. Dia tersenyum melihat seorang wanita berjalan menghampirinya. "Mama…"
Mereka berpelukan seketika, tanpa mempedulikan mereka yang lalu lalang. "Dah kurus anak mama ni. Kurang makan ke kat London tu?"
"Mama sihat?"
"Alhamdulilah, mama sihat," Datin Marina capai troli yang ditolak Hairul. "Marilah kita balik. Mesti Hairul penat, kan?"
"Mama, saya nak ke satu tempat dulu. Boleh mama bawakan saya ke sana?"
"Ke mana, sayang? Mama akan usahakan demi anak mama yang seorang ni," rambut Hairul dielus lembut. "Hairul nak ke mana?"
"Kubur," jawapan Hairul membuatkan senyuman Datin Marina mati seketika. Dia berdehem, mengurangkan canggung yang tiba-tiba menjengah. "Nanti-nanti mama bawakan, ya? Sekarang ni Hairul perlu rehat."
"Saya perlu pergi sekarang, mama," suara Hairuk kedengaran tegas. "Nanti bila saya dah mula kerja, saya takut tak sempat nak ziarah kubur mereka lagi."
"Tapi mama tak bawa selendang. Macam mana nak…"
Hairul mengeluarkan sehelai selendang dari dalam begnya dan dihulurkan kepada Datin Marina. Tergamam wanita itu apabila menyambutnya. "Jadi, kita boleh pergi kan, mama?"
"Erm… baiklah," Datin Marina akhirnya mengalah. Dia hanya memerhatikan pemandunya memasukkan bagasi Hairul ke dalam kereta. Mereka meneruskan perjalanan menyusuri lebuhraya sehinggalah mereka sampai di satu kawasan perkuburan.
Cepat-cepat Hairul keluar dari kereta diikuti Datin Marina yang sibuk membetulkan selendangnya. Mereka berjalan perlahan sehinggalah mereka berhenti di dua kuburan yang masih cantik batu nisannya.
"Inilah kubur mereka," beritahu Datin Marina. "Mama tak boleh berlama-lama di sini. Mama tunggu di kereta ya."
Hairul tidak mempedulikan Datin Marina. Dia duduk, membacakan Al Fatihah buat penghuni dua kuburan itu. Batu nisan yang tegak diusap perlahan.
"Assalamualaikum, ayah… Mustika."
Air mata Hairul terus bercucuran.
*****
"Saya nak tanya sikit, boleh?" tanya Hairul sejurus Tuan Hazri membuka failnya. "Boleh saya tahu, apa punca ayah dan kakak saya meninggal dunia?"
Mati langkah lelaki itu, kemudian dia memandang Datin Marina. Setelah wanita itu menganggukkan kepalanya, barulah Tuan Hazri meneruskan kata-katanya.
"Kematian Datuk Mustapha dan Cik Mustika adalah disebabkan kemalangan jalan raya. Kereta yang dipandu Cik Mustika terbabas lalu jatuh ke dalam gaung."
"Laporan forensik?"
"Laporan forensik mengatakan kandungan alkohol Cik Mustika melebihi kadar yang dibenarkan. Cik Mustika…"
"Saya tak percaya. Mustika minum arak?"
"Banyak yang kamu tak tahu, Hairul," ujar Datin Marina. "Hampir 5 tahun kamu di luar negara. Macam-macam yang berlaku di sini. Tapi kami diamkan, sebab tak mahu ganggu pelajaran kamu."
Hairul mendesis. "Kenapa mama tak cuba nasihatkan dia? Mama kan, ibu dia. Mama ada hak!"
"Mama dah cuba, sayang. Tapi kamu lebih kenal kakak kesayangan kamu tu. Degil, tak mahu dengar cakap mama!"
"Tapi…."
"Er, saya rasa…," potong Tuan Hazri, mematikan perbalahan anak-beranak itu. Dia tutup failnya. ".... kita tangguhkan dulu sesi pembacaan wasiat Datuk Mustapha ke hari lain. Setuju?"
"Tak perlu," jawab Hairul. "Bacakan saja wasiat tu sekarang. Kami sedia mendengarnya."
"Baik," Tuan Hazri membuka kembali failnya. "Datuk Mustapha mewasiatkan sejumlah wang simpanan dan harta berjumlah RM500 juta kepada warisnya."
"Datin Marina akan menerima 30 peratus daripada wang simpanan Datuk Mustapha dan banglo yang sedang didiami sekarang. Setuju?"
"Setuju."
"Encik Hairul akan menerima 50 peratus daripada wang simpanan Datuk Mustapha, dan perlu menguruskan MH3 Hodlings sebaik mungkin. Setuju?"
"Setuju."
"5 peratus daripada wang simpanan Datuk Mustapha akan diserahkan kepada badan kebajikan."
"Mana lagi 15 peratus?" tanya Datin Marina. "Nak bagi pada Mustika? Dia kan dah mati."
"Mama…"
"Sepatutnya begitu," balas Tuan Hazri. "Namun begitu, pindaan wasiat ini telah dibuat beberapa minggu sebelum kematian Datuk Mustapha. Pindaan itu menyatakan, sekiranya apa-apa terjadi pada Mustika, wang tersebut perlu diserahkan pada seorang gadis yang bernama Danny Adelia."
"Apa???"
*****
“Bayang… Mekar di dalam jiwaku… Bersebelahan tanganku… Tak mungkin aku terlupa… ah sudah! Kunci kereta aku pulak yang aku lupa,” gumam Danny apabila memeriksa beg tangannya. “Sara, kau ada nampak tak kunci kereta aku?”
“Atas meja kerja tu,” sahut Sara yang sedang melayan pelanggan. Danny segera mendapatkan meja yang dimaksudkan. “Ada pun! Terima kasih ya, Sara. Nanti aku belanja kau makan ya!”
“Banyak la kau,” Sara senget bibir. “Kau selalu terlupa mana kau letak kunci kereta. Itu baru kereta Kancil tau! Kalau kereta besar macam Vellfire tu aku tak tahu la macam mana kau jaga kunci.”
“Dia dah mula bebel dah…,” Danny garu kepala yang tidak gatal. “Kau boleh percaya ke orang macam aku ni bakal bawa kereta Vellfire? Kereta besar-besar ni nanti banyak hutang la dengan bank. Tak payah la. Apa yang aku ada sekarang ni pun dah cukup. Aku bersyukur.”
“Iye, aku tahu. Tapi kau juga kena percaya dengan rezeki Allah. Sebab Allah dah kata dalam Al Quran, dalam Surah Ibrahim ayat 7….”
“... yang bermaksud, ‘Sesungguhnya jika kau bersyukur, pasti Kami akan menambah nikat kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmatKu, maka sesungguhnya azabKu sangat pedih,” sambung Danny. “Selalu sangat kau sebut ayat tu, Sara. Aku dah boleh hafal.”
“Kau ni…”
“Kawan yang baik juga adalah rezeki, kan?” Danny senyum. “Kerana itu, aku beryukur sebab dapat kawan yang baik macam kau. Terima kasih, Sara.”
“Jangan nak buat Drama Samarinda kat sini. Hari ni hari Isnin tau!”
“Apa kena mengena?” tanya Danny kembali. Kemudian mereka sama-sama ketawa. “Aku balik dulu. Kau okey kan sorang-sorang ni?”
“Okey je. Kejap lagi Rizal sampai, kan?” Sara senyum. “Balik dan rehat. Dah dua minggu kau tak cukup rehat. Asyik mengigau je. Penat aku.”
“Jangan cakap kuat-kuat la!” buntang mata Danny membuatkan Sara ketawa. Setelah dia meminta diri, segera dia masuk ke dalam kereta. Enjin kereta dihidupkan, dan dia memandu pulang. Langsung dia tidak menyedari ada yang mengekorinya.
Sesampainya di rumah, dia pelik melihat kelibat seorang lelaki di hadapan rumahnya. Segera dia menyapa lelaki itu. “Pakcik Malek!”
“Ha, Danny!” Lelaki itu langsung tidak senyum seperti selalu. Pelik Danny melihatnya. “Kenapa ni?”
“Kamu ada hutang dengan sesiapa ke? Ah long ke…,”
“Tak ada la, pakcik. Kenapa?”
“Habis tu, kenapa orang ni cari kamu?” kata-kata Pakcik Malek membuatkan Danny segera menoleh. Kelihatan sekumpulan lelaki datang kepada mereka, dengan seorang daripada mereka terkaku melihatnya.
“Siapa korang ni?”
*****
Danny melihat seketika dokumen yang ditunjukkan Tuan Hazri sambil dahinya berkerut. Terkumat-kamit bibirnya membaca isi kandungan dokumen tersebut. Perlakuannya hanya diperhatikan Hairul dan Tuan Hazri tanpa suara.
“Maknanya, saya mewarisi duit peninggalan Mustika? Macam tu?” tanya Danny setelah selesai membaca. Hairul dan Tuan Hazri berpandangan sesama sendiri. “Lebih kurang macam tu la.”
“Tapi saya tak kenal pun Mustika ni,” jawab Danny. “Macam mana saya nak mewarisi harta orang yang saya tak kenal? Jangan la encik berdua ni nak tipu saya, macam drama petang-petang tu.”
Tuan Hazri ketawa kecil. “Kalau Cik Danny baca balik, nama penuh Cik Danny terpapar di situ. Tandatangan Datuk Mustapha dan Cik Mustika juga ada. Cik Danny cam tak, tandatangan tu?”
“Orangnya pun saya tak kenal, macam mana saya nak cam tandatangan diorang?” Danny senget bibir. Hairul hela nafas halus, lalu dia menghulurkan sesuatu. “Ini Mustika, kakak saya. Wajahnya saling tak tumpah macam awak.”
Terkedu Danny melihat gambar tersebut. Lambat-lambat dia menyambutnya. Dia membelek gambar itu perlahan. “Dia ni Mustika?”
“Ya.”
“Kenapa muka kami sama?” tanya Danny lagu sambil membelek gambar tersebut. “Oh, dia ada tahi lalat di dagu. Saya tak ada.”
“Itu yang kami perlu tahu, Cik Danny.”
“Panggil Danny je. Saya kurang selesa dipanggil Cik Cik macam ni,” perhatian Danny kembali pada gambar yang dipegang. “Sama betul.”
“Jadi, Cik…. maaf. Kalau Danny bersetuju, boleh la turunkan tandatangan cik di sini,” Tuan Hazri menghulurkan sehelai lagi dokumen padanya. Danny membacanya penuh berhati-hati. Baru sahaja dia mengambil pen, tiba-tiba pintu dikuak pantas. Datin Marina muncul dengan wajah menyinga.
“Kamu dah kenapa, Hairul? Kenapa nak teruskan juga wasiat tu? Bukan ke mama kata mama nak bantah wasiat tu di mahkamah?”
Hairul bangun dari duduknya. “Mama, kenapa ni? Ini wasiat, amanah arwah ayah. Kenapa mama nak persoalkan pula?”
“Kenapa Mustika senang-senang nak bagi harta dia pada orang luar? Orang yang dia tak kenal? Kenapa? Ini mesti ada orang yang nak rampas harta dia. Tak ada motif lain!”
“Datin,” Tuan Hazri cuba meredakan keadaan. “Cik Danny sendiri tak kenal siapa Mustika. Tapi itu bukan alasan untuk kita tak teruskan wasiat ni. Kerana ini wasiat Cik Mustika sendiri, bukan lagi wasiat Datuk Mustapha.”
“Macam mana pula dia boleh terima wasiat Mustika kalau dia sendiri tak kenal siapa Mustika?”
“Er, saya baru teringat,” suara Danny bergema di dalam bilik itu. “Saya pernah berjumpa Mustika beberapa bulan lepas.”
Mendengar suara tersebut, pantas mata Datin Marina mencari kelibat gadis itu. Sebentar kemudian dia terkejut. “Mustika?”
*****
“Danny! Danny! Datang sini cepat!” suara Sara yang seakan menggesa itu membuatkan Danny menjadi resah tiba-tiba. Mesin pengimbas barkod barangan ditinggalkan begitu sahaja. Sebaik tiba di kaunter…
“Assalamualaikum. Awak, Danny Adelia, kan?”
“Kau siapa? Kenapa muka kita sama?”
“Nama saya, Mustika Mustapha. Selamat berkenalan,” Mustika hulur tangan untuk bersalam. Lambat-lambat dia menyambutnya.
“Macam tu la cara kami bertemu,” Danny menyudahkan ceritanya. “Lepas tu, agak kerap juga la dia datang ke kedai serbaneka tempat saya bekerja tu. Kadang tu untuk beli barang. Kadang dia sengaja datang untuk berborak.”
Hairul dan Tuan Hazri hanya mendengar ceritanya tanpa menyampuk walau sepatah kata. Namun Datin Marina tiba-tiba mencelah, “Apa yang korang borakkan?”
“Pasal isu semasa la. Kadang saya ajar dia life hacks. Seronok betul dia bila belajar benda baru,” balas Danny. “Dia ada cakap pasal latar belakang dia, yang dia anak Datuk dan bekerja di syarikat besar. Tapi saya tak percaya. Bila saya tengok semua ni, baru saya percaya.”
“Patutlah ada nama awak dalam wasiat Cik Mustika,” ujar Tuan Hazri, meleraikan persoalan yang merantai fikiran mereka. “Ada Cik Mustika cakap apa-apa sebelum dia meninggal dunia?”
“Tak ada pula.”
“Betul ni?”
“Betul. Buat apa saya nak tipu?” Danny angkat kening sebelah. “Kalau tak percaya, sudah. Saya balik dulu la. Saya kerja syif malam hari ni.”
“Nantii dulu!” tahan Hairul. “Kalau saya minta awak berhenti kerja dari kedai tu, awak sanggup?”
“Kenapa pula? Itu sumber pencarian saya. Siapa awak untuk halang saya berhenti kerja? Suami?” Buntang mata Hairul mendengar pertanyaan Danny. Dia berdehem perlahan.
“Saya ingat… awak ambil alih tugas Mustika dalam MH3 Holdings sajalah. Boleh?”
“Hairul!” Datin Marina bangkit. Wajahnya memerah. “Kamu nak suruh dia yang kita tak tahu asal usul ni, kerja di syarikat kita?”
“Ya, mama.”
“Tapi kelulusan saya cuma setakat SPM,” ujar Danny. “Saya tak berkesempatan untuk belajar lebih tinggi.”
“Tak apa,” balas Hairul. “Yang penting, semangat awak dan kesanggupan awak untuk ubah hidup awak kepada yang lebih baik. Untuk menjadi yang lebih baik dan yang terbaik, kita perlu bermula dari satu langkah ke satu langkah yang lain. Biar kita jatuh bangun asal kemahuan kita untuk mahu berubah ke arah kebaikan itu selalu ADA dalam diri kita. Mahu?”
Danny telan liur.
“Segala kemudahan yang pernah diberikan kepada Mustika dulu, akan diberikan kepada awak. Termasuk sebuah kereta Vellfire untuk kemudahan pergerakan awak. Setuju?”
“Hah? Vellfire?”
*****
“Vellfire?”
“Kot ye pun, tutup la mulut tu. Besar sangat ternganga tu, nanti masuk lalat,” usik Danny, menyebabkan Sara cepat-cepat menutup mulutnya. “Ye, Vellfire. Aku harap lepas ni kau tak tanya lagi. Dah 3 kali aku jawab ni.”
“Alhamdulilah,” Sara raup tangan ke wajah. “Akhirnya, dapat juga kau kereta Vellfire, kan?”
“Bukan kereta aku. Kereta Mustika. Aku tolong jagakan je.”
“Tapi Mustika kan dah tak ada. Jadi secara automatiknya, kereta tu kau yang punya. Dah termaktub dalam wasiat, kan?”
“Duit, iye. Kereta, tak. Sebab tu aku berat hati nak terima jawatan tu,” Danny bersandar di kerusi. “Jawatan yang diberi pun bukan calang-calang. Aku takut aku tak mampu.”
“Kau bukannya tak mampu, kau yang tak mahu,” tingkah Sara. “Aku tahu kau sebenarnya lebih dari mampu. Kalau tak, takkan la kau jadi pengurus kat kedai tu? Bukan sebarangan orang boleh sampai ke tahap tu, tau! Dengan kerja kita yang tak glamer sangat ni.”
“Aku uruskan outlet itu je. Jawatan ni memerlukan aku menguruskan semua cawangan di Malaysia. Mana lebih berat?” tanya Danny kembali. “Kadang-kadang aku rasa semua ni bukannya nikmat. Aku rasa semua ni macam ujian je.”
“Betul la tu,” jawab Sara membuatkan Danny memandangnya tajam. “Ujian bukan sekadar datang dalam bentuk kesusahan. Ia boleh jadi datang dalam bentuk kesenangan. Ujian kesusahan membentuk kita untuk jadi hambaNya yang bersabar. Ujian kesenangan mengajar kita untuk jadi hambaNya yang bersyukur.”
Danny hela nafas halus. “Boleh ke aku lakukannya, Sara? Aku takut aku tak kuat.”
“Kau nak aku buka dalil ke?” tanya Sara, disambut dengan ketawa besar oleh Danny. “Itu yang aku tunggu sebenarnya. Silakan, Ustazah Sara.”
“Main-main ek?” sengaja Sara membuntangkan matanya, membuatkan tawa Danny bertambah besar. “Allah dah cakap dalam Surah Al Baqarah, ayat 286. ‘Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Apa lagi yang kau nak dustakan, Danny?”
Tersenyum Danny mendengar hujah gadis itu. “Terima kasih, Sara. Kaulah sahabat aku. Kau selalu ingatkan aku tentang Allah.”
“Kau juga yang cakap, sahabat yang baik itu juga rezeki,” Sara kenyit mata. “Dah la. Aku nak tidur. Esok aku kerja pagi.”
Danny hanya menghantar langkah Sara dengan pandangan mata. Sebaik pintu ditutup, dia mengeluarkan sebuah fail dari bawah katilnya. Dokumen dalam fail itu ditatap lama.
“Laporan ujian DNA.”
“Janji dengan aku, Danny,” suara Mustika kembali terngiang di telinga. “Tolong jangan dedahkan hasil laporan ni kecuali bila terdesak.”
“Bila masa terdesak tu?”
“Kau akan tahu bila tiba masanya.” suara Mustika mula menghilang. Danny mengeluh lagi. Pandangannya dibuang ke arah langit.
“Bila masanya tu akan tiba, Mustika?”
*****
Sudah sembilan bulan Danny memulakan tugasnya sebagai pegawai operasi di MH3 Holdings. Semakin hari, dia semakin cekap menyelesaikan permasalahan yang timbul. Kehadirannya mula disenangi staf yang lain.
"Di atas bangku dari bambu, Di bawah terangnya rembulan, Berduaan duduk denganmu, Bercinta penuh kemesraan, Malam indah bagaikan di syurga, Penuh cinta kasih dan sayang, Cahaya purnama menjanjikan, Cinta kita kan abadi selamanya…"
Dengan penuh perasaan Danny menyanyi, bagaikan sedang membuat konsert dihadiri ribuan peminat. "Bulan itu…"
"Amboi, seronoknya menyanyi. Ada yang mahu dikongsi?" sapa Hairul ketika masuk ke bilik Danny. Terkejut beruk gadis itu jadinya. "Eh, dah lama ke Hairul sampai?"
"Lama juga. Sebelum sampai korus lagi," Hairul geleng kepala melihat gelagat Danny. "Sedap juga suara awak ya?"
"Jangan perli la," getus Danny. Wajahnya merah menahan malu. "Ada apa Hairul datang ke sini?"
"La, tak boleh ke?" Hairul ketawa kecil. "Dah nak senja dah ni. Tak nak balik ke cik kak?"
Spontan Danny melihat ke luar tingkap. "La, ye ke? Saya ingatkan langit mendung sebab suara saya. Teruk betul saya ni kan?"
"Jom la balik."
"Eh?"
"Lupa? Tadi kita ke pejabat bersama, kan? Saya tumpang kereta awak," sengaja Hairul membulatkan matanya. Danny tepuk dahi. "Apa lagi yang saya lupa lepas ni…"
"Dah la. Jom balik."
"Jom," Danny terus mengikut langkah kaki Hairul. Mereka berbual mesra. Setibanya di lot parkir, Danny tepuk dahi lagi. Hairul memandangnya pelik. "Kenapa?"
"Kunci kereta saya tertinggal di pejabat," Danny bersuara penuh kesal. "Awak tunggu di kereta, biara saya pergi ambil kunci."
"Kita pergi bersama la."
"Tak apa la," Danny ukir senyuman manis. "Saya pergi ambil kunci sekejap. Awak jangan pergi mana-mana. Jangan ikut orang yang tak dikenali!"
"Macam la saya ni budak kecil," gumam Hairul. Danny tutup mulut menahan ketawa. Cepat-cepat dia kembali ke pejabatnya dan mendapatkan kunci di atas meja. Ketika dia berpatah balik ke lobi lif…
"Apa ni, Hazri?" Danny terdengar suara seorang wanita dalam bilik lelaki itu. Pelik juga dia, setahu dia, lelaki yang kuat bekerja itu tiada kekasih. Dany memandang sekeliling sebelum memasang telinga.
"Kau dah janji nak singkirkan dia dari syarikat dalam tempoh tiga bulan. Tapi kenapa sampai sekarang dia masih di sini?"
"Susah saya nak buat macam tu. Dia seorang yang komited dengan kerjanya. Dua bulan pertama saya ingatkan saya boleh singkirkan dia bila tengok dia macam tak mampu buat kerja. Tapi bila masuk bulan ketiga…"
"Itu semua alasan, Hazri!" potong wanita itu. "Aku tak peduli. Aku nak kau singkirkan Danny Adelia secepat mungkin, sama macam kau singkirkan Mustika. Aku tak nak tengok muka dia lagi!"
"Baik, Datin Marina."
Danny benar-benar terkejut!
*****
“Biar betul, Danny?” tanya Sara seakan tidak percaya. Danny hanya mendiamkan diri, tidak menjawab pertanyaan itu.
“Bahaya betul la dunia orang-orang kaya ni,” komen Sara. “Apa lagi yang diorang tak puas hati ya? Bukannya diorang tak ada duit. Diorang lagi banyak duit daripada kau. Kenapa nak kacau kau juga?”
“Aku mewarisi harta Mustika, yang diwarisi Datuk Mustapha. Yang mana, peratusan harta aku lebih tinggi daripada dia.”
“Tapi kenapa dia bersekongkol dengan Tuan Hazri?”
“Mana la aku tahu,” Danny angkat bahu. “Nasib baik aku tolak tawaran Hairul untuk tinggal serumah dengan diorang. Kalau tidak, tak tahulah aku.”
“Eleh… padahal suka,” giat Sara. “Kau ingat aku tak tahu ke yang kau selalu igaukan dia setiap malam?”
“Dah kenapa kau tiba-tiba tukar topik ni?” wajah Danny memerah, membuatkan Sara ketawa besar. “Aku dah agak dah. Kau cintakan Hairul, kan?”
“Dah la!” Danny baling bantal ke arah Sara. Sempat dielak. “Malam ni kau jangan mimpikan Hairul lagi tau!”
“Sebab?”
“Aku tak ada untuk rakam kau masa tidur!” Sara ketawa lagi. Tidak sempat dia mengelak bantal yang dibaling ke arahnya. “Aduh!”
“Usik aku lagi. Dah la tukar topik jauh perginya,” muncung Danny memanjang. “Kau tak nak pergi kerja ke?”
“Dah nak pergi la ni. Aku pinjam kereta kau kejap.”
“Motor kau mana?”
“Hujan kan kat luar tu,” ujar Sara. Danny segera melihat ke luar kereta. Dia angguk perlahan. Sara kemudian mencapai kunci kereta di atas meja. “Aku pergi dulu!”
Danny kembali termenung sejurus Sara menutup pintu. Pertemuan demi pertemuan dengan Mustika, sebelum dia meninggal dunia kembali dimainkan di ruang minda.
“Danny, aku bersyukur kau hadir dalam hidup aku, walaupun hakikatnya aku yang cari kau. Kalau jadi apa-apa pada aku…”
“Kau cakap apa ni?”
“... tolong berhati-hati dengan Hazri.”
Danny tersentak. Segera dia menerpa ke arah almari, dokumen yang disimpan cermat di dalam sampul kuning itu dikeluarkan penuh berhati-hati. Sebentar kemudian dia terkejut besar.
“Aku kena bagitahu Hairul!”
Segera dia bangkit dan bersiap seadanya. Kemudian dia capai kunci kereta dan terus keluar dari rumah. Hujan masih lebat membasahi bumi, namun itu tidak menghalang Danny untuk terus memandu.
Pon! Pon!
Danny tergamam. Namun semuanya sudah terlambat.
Prang! Pecah berderai apabila gelas yang elok dalam pegangan tangan Hairul terlepas. Datin Marina menjenguk ke dapur apabila mendengar kebisingan itu. “Kenapa tu?”
“Tak ada apa-apa, mama. Tangan saya licin kot.”
“Lain kali, lepas basuh tangan, lap tangan dengan kain bersih,” pesan Datin Marina. Dia kemudian menyambung pembacaannya. Hairul membersihkan lantai itu penuh berhati-hati. Tidak dipedulikan notifikasi yang diterima di telefon pintar Selesai, dia membaca mesej yang diterima daripada Tuan Hazri.
“Hairul, Danny kemalangan! Dia terkorban!”
Lemah kakinya menerima mesej tersebut. Telefon pintar terlepas, sekali lagi menarik perhatian Datin Marina. Hairul terkulai membuatkan wanita itu menerpa ke arahnya.
“Hairul!”
*****
“Macam mana?” tanya Datin Marina sebaik sahaja Tuan Hazri masuk ke pejabatnya. Lelaki itu terkedu. “Macam mana Datin boleh masuk ke sini?”
“Lupa?” tanya Datin Marina kembali sambil menayangkan segugus kunci. Tuan Hazri tersenyum lantas mendekati wanita itu. Namun cepat Datin Marina menghalang. Dahi Tuan Hazri berkerut. “Kenapa?”
“Saya nak tanya pasal Danny Adelia,” Suara Datin Marina kembali kedengaran angkuh. “Kamu dah selesaikan dia?”
“Sudah. Macam mana yang saya lakukan pada Mustika dulu,” jawab Tuan Hazri. “Saya rosakkan brek kereta Vellfire yang selalu dia guna. Cuma laporan forensik yang masih belum saya dapatkan, tapi saya yakin Hairul takkan tahu apa-apa.”
“Bagus!” Datin Marina ketawa jahat. Membayangkan gadis itu bertarung dengan sakaratul maut, sama seperti Mustika tidak lama dulu.
“Jadi, bagaimana?” tanya Tuan Hazri. “Mustika wasiatkan semua hartanya pada Danny. Sekarang Danny dah mati, pada siapa pula dia serahkan semua hartanya?”
“Kamu ingat budak tu teringat ke nak buat wasiat? Dia pasti tak buat apa-apa untuk selamatkan hartanya, yang Mustika rampas daripada aku tu,” Datin Marina bersuara penuh dendam. “Dia tak sebijak Mustika, yang tahu aku akan buat sesuatu pada dia.”
“Betul juga tu,” Hazri angguk kepala. “Jadi sekarang, cerita dongeng apa pula yang kita ingin canangkan pada Hairul tentang Danny? Sebab saya nampak, dia macam suka dengan budak tomboi tu.”
“Senang saja, sayang,” Datin Marina elus rambut Tuan Hazri penuh manja. “Katakan saja Danny ada hubungan terlarang dengan Sara, teman serumahnya!”
Sejurus, pintu pejabat itu dikuak lebar. Tuan Hazri dan Datin Marina tersentak. Lebih mengejutkan apabila melihat kelibat yang muncul di balik pintu.
Hairul dan Danny!
“Berani betul korang babitkan Sara dalam hal ni,” Danny bersuara geram. “Berani betul korang nak fitnah aku dan Sara!”
“Macam mana… macam mana…,” Jarinya menggigil menunjuk ke arah Danny. Laju peluh mengalir dari dahinya.
“Sara yang bawa kereta tu!” suara Danny sudah naik satu oktaf. “Tergamak korang aniaya orang yang tak bersalah. Korang ingat nyawa kami ni apa?”
“Kenapa kalian buat macam ni?” tanya Hairul, lebih tenang. “Kenapa kalian sanggup nak bunuh orang? Dan kalau saya tak salah dengar, kalian juga yang bunuh Mustika, kan?”
“Tak… tak…,”
“Ya! Memang aku yang bunuh dia. Kenapa?” balas Datin Marina tiba-tiba. Matanya memerah. Dia pandang Danny tidak berkelip. “Sebab… dia rampas harta aku!”
“Kenapa pula? Bukan ke mama dah dapat bahagian mama? Itu dah lebih dari cukup, kan?”
“Wasiat tu dah diubah selepas Mustika dapat tahu tentang hubungan mama dengan Hazri,” jawapan Datin Marina benar-benar mengejutkan Hairul. “Awak?”
Hazri cuba mengelak daripada bertentang mata dengan Hairul. Namun lelaki itu tidak peduli. Perhatiannya hanya pada Datin Marina. “Mama ada hubungan dengan lelaki ni masa ayah masih hidup?”
“Cinta tak boleh dipaksa, Hairul. Mama cintakan dia?”
“Sampai sanggup buat jenayah?”
“Mama hanya nak dapatkan balik hak mama!”
“Mustika juga ada hak!”
“Mustika hanya anak angkat!” jerit Datin Marina membuatkan Hairul tergamam. “Mustika… anak angkat?”
“Ya,” jawab Datin Marina. “Dia hanyalah anak pungut yang ayah kamu kutip entah dari mana!”
“Itu bukan lesen untuk Datin bunuh kakak saya,” giliran Danny pula yang besuara, mengejutkan mereka berdua. “Ya, Mustika kakak saya. Kami sempat jalani ujian DNA sebelum dia meninggal dunia.”
“Jadi mama bunuh Mustika… dan ayah?”
“Itu bukan salah mama. Ayah kamu berada di tempat dan masa yang salah!”
“Tapi mama yang bunuh diorang, kan?”
“Diorang kemalangan, kan?”
“Kemalangan tu, korang yang rancang, kan? Sama macam apa yang berlaku pada Danny dan Sara?”
“Ye, memang kerja kami! So what?” suara Datin Marina kembali meninggi. Hairul cuba menahan dirinya, namun Danny nampak yang dia menggigil.
“Terima kasih, mama.”
“Apa?”
“Assalamualaikum,” muncul beberapa orang lelaki dan wanita berpakaian seragam biru di belakang Danny dan Hairul. “Kami polis.”
*****
“Aku minta maaf, Danny. Aku tak sepatutnya bawa kereta kau malam tu,” ujar Sara. “Aku tak tahu pula kereta kau rosak… dirosakkan orang. Kalau aku tahu…”
“Kalau aku tahu, aku takkan benarkan kau bawa kereta tu,” potong Danny cepat. “Tapi, benda dah jadi, kan? Kalau semua ni tak berlaku, aku tak tahu perkara sebenar tentang kematian Mustika.”
“Betul ke Mustika kakak kau?”
“Ya. Kali terakhir dia datang, dia ada bagi laporan ujian DNA kami. Dia tak bagi aku buka laporan tu, dia suruh aku simpan je. Bila aku buka sampul tu, semuanya terbongkar. Dalam sampul tu, bukan saja ada laporan DNA tu. Ada gambar Datin Marina bermesra dengan Tuan Hazri.”
“Iye ke?” terkejut Sara mendengarnya. “Sebab tu kau keluar juga malam tu, walaupun kau sebenarnya tak suka keluar waktu hujan?”
“Ya,” jawab Danny. “Kereta Kancil aku tu kan lampunya tak terang. Sebab tu aku tak suka keluar masa hujan. Orang tak nampak kereta aku. Itu pun nasib baik ada orang hon aku masa tu. Kalau tak, mungkin aku pun turut sama kemalangan.”
“Jadi, apa yang kau nak buat sekarang?”
“Entah,” Danny angkat bahu. “Jaga kau kot. Sampai kau sihat. Sebab, aku rasa bersalah pula. Sebab aku, semua ni jadi.”
“Hairul macam mana?”
“Hairul? Kenapa pula?”
“Ye la. Mak dia sendiri yang buat perangai. Sanggup menghalalkan segala cara demi mencapai matlamatnya. Aku rasa mesti dia rasa down gila.”
Ting! Bunyi lif mengejutkan Danny daripada lamunannya. Segera dia masuk ke dalam lif, diikuti orang ramai. Dia mencari sesuatu dari dalam begnya apabila seorang lelaki berdiri di sebelahnya.
“Jangan tinggalkan saya,” lelaki itu berbisik di telinga membuatkan Danny tersentak. Hampir sahaja dia menyiku perut lelaki tersebut apabila… “Hairul?”
“Jangan tinggalkan saya, Danny. Saya perlukan awak, untuk hadapi semua ni.”
“Saya tak faham.”
“Ayah dah tak ada. Mustika pun dah tak ada. Mama mungkin dipenjara. Semua ni akan menjejaskan kehidupan saya. Saya perlukan seseorang di sisi.”
“Carilah Allah,” Danny menjawab selamba. Hairul memandangnya tepat, membuatkan dia berasa tidak selesa. “Betullah apa yang saya cakap. Carilah Allah, awak takkan sunyi.”
“Saya dah istikarah. Saya nampak awak,” kata-kata Hairul buat Danny telan liur. “Kita kahin, nak?”
Buntang mata Danny mendengarnya. Sebentar kemudian dia menyedari sesuatu. Banyak mata dalam lif itu memandangnya. Wajahnya merah menahan malu.
“Apa la melamar orang dalam lif. Tak romantik langsung,” Danny bersuara perlahan, namun dapat didengari Hairul. “Tapi awak terima tak?”
“Terima la, dah kita pun suka kat dia.”
“Alhamdulilah…”
TAMAT