Sunday, March 8, 2020
Cerpen : Syurga Cinta Damia
“Takziah Daim, atas pemergian isteri kau,” ucap Salim sambil tepuk bahu lelaki itu. “Aku tahu, tak mudah kau nak terima kenyataan ini. Aku harap kau tabah hadapi dugaan ni.”
“Insya Allah, aku kuat. Cuma… anak aku tu,” jawab Daim sambil memandang ke arah Damia yang masih bersimpuh di kuburan ibunya. Air matanya masih bercucuran, walau suara tangisan tidak lagi kedengaran.
“Ya la. Damia agak rapat dengan ibunya. Pasti sukar dia hadapi semua ni,” ujar Salim. “Kau kena selalu berada di sampingnya. Bagi dia kekuatan.”
“Kalaulah aku yang jemput Damia dari sekolah, pasti Diyana masih hidup,” tergeleng kepala Salim mendengar kata-kata Daim. “Sudah suratan takdir, Daim. Kau harus terima.”
Daim tidak menjawab, dia melangkah perlahan ke arah Damia yang masih setia di sisi kuburan ibunya. “Damia, mari kita pulang. Hari pun dah senja.”
Damia pandang ayahnya dengan mata berkaca. “Tak boleh ke saya temankan ibu? Saya dah janji nak temankan ibu sampai bila-bila.”
“Bukannya ayah tak benarkan. Tapi tak molek, sayang,” Daim duduk, matanya bertentang mata anaknya itu. “Hari pun dah senja. Damia masih belum sihat sepenuhnya. Kita balik, ya?”
“Ibu…”
“Kalau kita sayangkan ibu, kita kena selalu doakan untuk dia. Bukan menangis meratap macam ni,” pujuk Daim lagi. “Lagipun, kalau Damia di sini, siapa nak temankan ayah? Ibu bukan sahaja dah tinggalkan Damia, ayah juga.”
Damia pandang wajah ayahnya itu lama. Kemudian dia mengukir senyuman nipis. “Kesian ayah. Damia temankan ayah ya?”
“Ibu?”
“Tadi ayah juga yang cakap. Kalau kita sayangkan ibu, kita kena banyakkan berdoa untuk ibu,” petah anak kecil itu berkata-kata. “Kita berdoa kat rumah la. Ayah nanti akan doakan untuk ibu juga, kan?”
“Ya,” Daim mendepangkan tangannya. Damia pantas memaut tengkuk lelaki itu. Daim mendukungnya dengan penuh berhati-hati.
“Ayah.”
“Ya?”
“Ibu tak pergi seorang, kan? Ibu bawa tangan Damia sekali,” ucapan Damia buat Daim pandang balutan di tangan anaknya itu. Matanya mulai berkaca.
“Ya, nak.” pantas ubun-ubun Damia dikucup lembut. Lama. Air mata menitis meski dia cuba menahannya.
Maafkan ayah, Damia. Ayah tak sekuat Damia.
*****
"Masuklah, Fadilah, Khairina, Khairani," pelawa Daim. Wanita itu dan dua anak gadisnya melangkah masuk ke rumah sambil memandang sekeliling. "Besar juga rumah ni ya?"
"Rumah besar, tapi tiada penyeri," jawab Daim perlahan. "Saya harap kehadiran awak mampu menyerikan rumah ni."
"You can count on me."
"Mama, kenapa rumah ni macam….!" mati kata-kata Khairani apabila mulutnya ditekup kuat oleh Khairina. Dia kemudian tersengih. "Ayah, mana adik baru kami? Dari tadi tak nampak dia. Damia namanya, kan?"
"Haah la," Daim baru menyedari ketiadaan Damia. Segera dia melangkah keluar dari rumah, mencari kelibat anak kecil itu. "Damia!"
"Kat sini!"
Lega rasanya Daim apabila melihat kelibat Damia di kebun bunga. Segera dia mendapatkan anak kecil itu. "Apa yang Damia buat kat sini?"
"Tengok bunga kesayangan ibu," jawab Damia membuatkan Daim tersentak. "Damia rindukan ibu. Sebab tu Damia tengok bunga yang ibu sayang."
"Damia…," Daim pegang bahu anak itu lembut. "Jom masuk. Mama dan kakak-kakak baru Damia teringin sangat nak jumpa Damia."
"Mama?"
"Ya, mama. Ayah kan dah kahwin lagi," ubun-ubun anak itu diusap perlahan. "Mama dah jadi sebahagian dari keluarga kita. Damia lupa ya?”
“Damia ingat,” anak kecil itu kuis tanah di kaki. “Tapi ayah… boleh ke dia… boleh ke mama sayang saya macam mana ibu sayangkan saya?”
“Mestilah. Dia kan Mama Damia,” Daim memeluk anak kecil itu erat. Kelakuan mereka diperhatikan di sebalik tirai oleh Fadilah dan anak-anaknya.
“Kenapa nak biarkan budak cacat tu terus ada dalam rumah ni? Nanti kita pun jadi cacat macam dia,” rungut Khairani. Dia langsung tidak mempedulikan renungan tajam oleh Khairina.
“Mama, tak boleh ke jadikan rumah ni kita punya je?”
“Maksud Nani?”
“Mama suruh la ayah hantar budak tu balik kampung dia. Tak best la dia ada kat dalam rumah ni,” pujuk Khairani lagi.
“Ini rumah dia, Nani! Jangan berani nak macam-macam. Kita cuma menumpang je!” getus Khairina geram.
“Siapa kata kita menumpang?” tanya Fadilah kembali, membuatkan Khairina telan liur. “Mama kan dah jadi isteri ayah kamu. Jadi mama ada hak.”
“Apa yang mama nak buat?” pertanyaan Khairina tidak dijawab oleh Fadilah, sebaliknya dia hanya tersenyum sinis.
*****
"Mama, apa kita buat kat sini?" tanya Damia sambil memandang sekeliling. Fadilah terus memandu kereta tanpa mempedulikan pertanyaan anak kecil itu.
"Mama…"
"Ish, bisinglah! Asyik bertanya je. Bingit telinga tau tak!" bentak Khairani kuat. "Nak ikut tu buat la cara nak ikut! Ini tidak. Memekak je!"
Damia diam menikus. Sejak dari hari pertama lagi, Khairani memang tidak sukakan Damia. Ada sahaja yang tidak kena di matanya. Hari-hari anak kecil itu dimarahi, kadang tanpa sebab. Anehnya, Daim hanya membiarkan perlakuan itu.
"Biarlah. Budak tu terkejut agaknya dapat kakak."
"Mama, kita nak ke mana sebenarnya ni? Kenapa kita tak ajak Nina?” tanya Khairani. Fadilah senyum. “Lecehlah bawa dia. Ada je akal nak menghalang rancangan mama.”
“Rancangan apa?”
“Nanti Nani tahulah,” Fadilah senyum lagi. Damia hanya mendengar, namun dia tidak dapat membaca senyuman Fadilah itu.
“Mama, Nani nak makan aiskrim yang mahal tu, boleh?”
“Boleh, sayang. Anything for you.”
“Damia nak juga.”
“Eh, dia ni! Sibuk je. Apa yang orang nak, dia pun nak juga,” getus Khairani. “Makan aiskrim banyak-banyak, nanti boleh rosak gigi, tahu? Boleh reput tulang, nanti tak tumbuh tangan kamu yang cacat tu.”
“Nani,” tegur Fadilah. Dia memandang sekilas ke arah Damia yang mula murung. “Damia nak aiskrim? Nanti mama belikan.”
“Terima kasih, mama. Sayang mama,”
“Sibuk nak sayang mama orang.”
“Okey, kita dah sampai,” ujar Fadilah. Dia mula bersiap untuk keluar, begitu juga Damia dan Khairani. Namun secepat kilat dia pegang tangan Khairani. Apabila gadis itu mahu bersuara, dia letak jari di bibir.
“Yeay, mama nak belanja aiskrim!” Damia bersorak riang, tidak menyedari apa yang berlaku. Dia terus keluar dari kereta. "Eh?"
"Pergi la cari aiskrim kau tu sendiri. Mama nak belikan untuk aku je. Bukan untuk kau!" Damia tersentak apabila mendengar jeritan Khairani, kemudian kereta yang dipandu Fadilah berlalu pergi meninggalkan Damia keseorangan di tepi jalan.
"Mama! Jangan tinggalkan Damia! Mama!! Mama!!!" Damia cuba mengejar namun kereta itu semakin laju meninggalkannya. Damia terduduk, menangis sambil memanggil namanya.
"Mama…"
*****
"Setiap tiga hari akan ada seorang bayi dibuang sama ada dijumpai mati atau hidup. Walaupun ia sesuatu yang menyayat hati dan dianggap tidak berperikemanusiaan, tetapi itulah fakta sebenar serta realiti yang berlaku dalam masyarakat kita."
Sakinah terus membaca artikel di surat khabar itu dengan penuh teliti. Sesekali dia menggelengkan kepala. "Diorang ni tak sayang anak ke? Kalau dah tak nak anak tu, baik bagi je dengan aku. Biar aku yang jaga dia!"
Sakinah terus membaca surat khabar sambil melangkah perlahan, apabila telinganya menangkap bunyi tangisan anak kecil. Langkahnya mati seketika. Dia cuma mengamati bunyi tangisan itu.
"Sekarang pukul berapa ye?" tanya Sakinah sendiri sambil mengurut tengkuknya. Dia lihat jam di tangan. "Baru pukul sepuluh malam. Takkan la hantu keluar waktu ni? Eh, hantu bukan kira keluar pukul berapa. Siang pun dia boleh keluar. Orang jadi hantu pun ada."
Bunyi tangisan itu kedengaran lagi. Kali ini lebih jelas dan kuat. Sakinah mengumpulkan kekuatannya, cuba mencari dari mana datangnya bunyi tangisan itu.
"Allahuakbar!"
Terkejut Sakinah melihat seorang kanak-kanak perempuan yang bengkak matanya. Comot pakaiannya. Fizikalnya sempurna, kecuali tangannya.
"Hai… adik," perlahan Sakinah mendekati kanak-kanak itu. Ubun-ubun anak itu diusap lembut. "Siapa nama?"
"Damia," jawab anak kecil itu dalam sedu sedan. Jatuh kasihan Sakinah melihatnya. "Siapa nama ayah?"
"Daim."
"Ibu?"
"Ibu… ibu dah meninggal dunia," tangisan kembali kedengaran. Segera Sakinah mendakap anak kecil itu. "Shhh… jangan nangis. Makcik kan ada."
Sedu sedan semakin menghilang. Sakinah terus peluk Damia dengan penuh kasih sayang. Lama kemudian baru dia bertanya lagi. "Kenapa Damia ada kat sini?"
Damia diam. Sedu sedan kedengaran lagi. Spontan Sakinah mengeratkan pelukannya. Lama kemudian baru dia menjawab, "Mama… mama buang Damia kat sini. Mama dan Kak Nani tak sayangkan Damia."
"Mama tu… ibu tiri Damia ke?" tanya Sakinah lagi. Damia angguk kepala. Sakinah tarik nafas dalam-dalam. Tergamaknya kau buang anak macam ni! Marahnya dalam hati.
"Nak makcik hantar Damia balik rumah?"
"Nanti mama buang Damia lagi," jawabnya polos. Sakinah bungkam. Dia teringat kata-katanya sebentar tadi. "Kalau dah tak nak anak tu, baik bagi je dengan aku. Biar aku yang jaga dia!"
Adakah ini ujian untuk aku?
"Kalau Damia ikut makcik balik, Damia mahu?" mati terus sedu sedannya mendengar kata-kata Sakinah. Wanita itu angguk sambil ukir senyum manis. "Makcik tinggal sorang je. Damia boleh temankan makcik."
"Tapi, Damia tak kenal makcik."
"Jangan risau, makcik bukan orang jahat. Makcik janji, makcik akan jaga Damia. Kalau mama tak sayangkan Damia, tak apa. Makcik akan cuba sayangkan Damia. Mahu?"
Damia pandang wajah Sakinah lama. Wanita itu membalasnya sambil terus mengusap ubun-ubun anak itu. Sebentar kemudian dia ukir senyuman nipis.
"Baik, makcik!"
*****
10 tahun kemudian…
"Umi! Umi!" panggil Damia sambil membuka kasut sekolahnya. Bayangan Sakinah dicari namun gagal. Dia kecewa, lalu dia menghempaskan duduknya di sofa.
"Dah kenapa menjerit-jerit ni, Damia? Kan umi dah cakap jangan menjerit macam tu. Dah la suara kamu macam baru lepas telan bateri," bebel Sakinah yang muncul dari tandas.
Damia tersengih. "Umi, agak-agak umi, apa keputusan yang Damia dapat untuk PMR tahun ni? Cemerlang ke, biasa-biasa je?"
"Apa saja keputusan yang Damia dapat, itu yang terbaik. Bukannya umi tak nampak usaha Damia selama ni. Belajar, dan kerja di Kedai Pak Mail tu dalam masa yang sama. Ingat umi tak tahu?"
Sengihan Damia bertambah lebar. "Ala, umi…. Bukannya selalu. Setiap hujung minggu je. Lagipun, dua bulan sebelum periksa, Pak Mail suruh Damia fokus pada pelajaran."
"Umi tahu. Pak Mail ada cerita," jawab Sakinah. "Jadi, apa keputusan PMR Damia? Lulus ke gagal?"
Mati sengihan Damia tiba-tiba. Perlahan dia bangkit dan menghampiri Sakinah, membuatkan wanita itu jadi pelik. "Ini dah kenapa?"
"Umi, kalau Damia gagal, umi marah tak?"
"Buat apa nak marah? Damia dah buat yang terbaik, kan?"
"Betul ni?"
"Betul. Kenapa? Damia gagal ke?" tanya Sakinah dengan dahi berkerut. Lambat-lambat Damia menghulurkan slip keputusan peperiksaannya. Khusyuk Sakinah membacanya.
"Budak bertuah!"
Laju tangan Sakinah hinggap di bahu Damia. Hilang wajah murung di wajah gadis itu, digantikan dengan ketawa besar. Kemudian dia peluk dan cium Sakinah dengan penuh kasih sayang.
"Ini untuk umi. Terima kasih sebab jaga Damia selama ni. Damia sayang umi sangat-sangat, tau!"
"Tahniah, Damia," Sakinah kucup dahi gadis itu lama. "Pandai betul Damia kenakan umi yea?"
Tergelak Damia mendengarnya.
"Damia tak nak cari keluarga Damia lagi ke?" pertanyaan Sakinah mematikan tawanya. Dia senyum nipis lalu melangkah ke sofa.
"Diorang ingat Damia lagi ke, umi? Entah-entah, nama Damia dah luput dari ingatan diorang."
"Damia…," Sakinah mendekati gadis itu dan mengelus bahunya lembut. "Cubalah cari mereka lagi."
"Diorang tak nak orang yang cacat macam Damia ni, umi," Damia senget bibir. "Kalau tak, diorang takkan buang Damia dari hidup diorang."
"Damia…"
"Tak apalah umi. Damia ada umi. Damia sangat berterima kasih pada umi. Kalau umi tak ada malam tu, rasanya Damia dah tiada di dunia ni."
Sejurus, Damia memeluk Sakinah erat. Air matanya mengalir laju.
*****
5 tahun kemudian…
"Damia okey?" tanya Nazim. "Rehat la. Dari tadi saya tengok awak bekerja tanpa henti. Kesian pula saya tengok."
"Tak apalah. Damia masih boleh buat kerja. Nanti bila Damia perlu rehat, Damia bagitahu ya."
"Jangan la bila penat baru nak rehat. Bila tiba masanya, awak rehat je. Badan tu nak pakai lama."
"Ala, Nazim ni…"
"Saya bos kat sini. Awak kena dengar cakap saya," kembang hidung Nazim mengucapkannya, membuatkan Damia ketawa kecil. "Baiklah. Nanti saya rehat ya."
"Okey," Nazim senyum lalu meninggalkan Damia melayan pelanggan yang datang. Kebanyakannya berasa kagum dengan kegigihan Damia bekerja meskipun dengan kekurangan yang ada.
"Kita nak belajar kat mana ni?" terdengar suara sekumpulan lelaki dan perempuan masuk ke restoran makanan segera itu sambil bergelak ketawa.
"Kat perpustakaan je la. Apa susah? Semua bahan ada, kan?"
"Tak best la. Kat perpustakaan tak boleh makan. Aku tak boleh belajar tanpa makanan. Belajar kat sini je la."
"Ah, kau! Makan je la kerja kau. Bila nak habisnya?"
"Biar la. Mulut aku. Perut aku. Otak aku yang tak boleh nak diproses tanpa makanan."
"Ala, cakap je la sebenarnya…."
"Sudah la. Kau pun, Nani. Kenapa tiba-tiba nak belajar kat sini? Macam la kat perpustakaan tu tak ada kafe. Mengada je la kau ni."
"Ala, Kak Nina ni. Biarlah. Bukan selalu pun saya belajar kat sini."
"Bukan minggu lepas kau ada pergi outlet yang sama minggu lepas?"
"Diamlah kau!"
Damia tidak mempedulikan mereka. Dia terus menghabiskan kerjanya. Kemudian dia terdengar lagi, "Dahlah. Kita kat tempat makan ni. Adik, kami nak pesan makanan, boleh?"
"Ya. Cik nak pesan apa?" Damia memaniskan muka menghadap pelanggannya. Namun kemudian dia berasa pelik apabila wajah ceria pelanggannya berubah. "Cik?"
"Damia? Awak, Damia kan?" tergamam dia mendengarnya. "Er…. Cik ni siapa ya?"
"Kak Nina ni!" bulat mata Damia mendengarnya. "Nani! Nani! Kita jumpa Damia balik!"
"Apa?"
*****
“Damia hidup lagi?” tanya Fadilah sambil berkerut dahi. Terkedu dia sebentar apabila menerima panggilan telefon daripada Khairani. Jantungnya terhenti seketika.
“Ya, mama. Damia hidup lagi. Dia kerja dekat restoran makanan segera,” jawab Khairani di hujung talian. “Yang restoran tu pun satu. Kenapa dia ambil orang cacat untuk kerja dengan dia? Budak tu layaknya mengemis kat tepi jalan je dengan kecacatan yang dia ada tu.”
Kata-kata Khairani langsung tidak diambil peduli oleh Fadilah. Dia berfikir sendiri. “Damia hidup lagi? Takkanlah? Mesti ada yang bela dia. Tapi siapa?”
“Mama!”
“Ya!”
“Kita kena buat sesuatu, mama. Kalau tidak, habislah semua rahsia kita 15 tahun lepas. Mesti ayah dah tak sayangkan kita lagi,” Khairani sudah merapu di hujung talian. Fadilah mendengus kasar.
“Nanti mama fikirkan. Kamu balik dulu.”
“Tapi mama, Nani nak belajar kat sini,” rengek Khairani lagi.
“Keputusan peperiksaan kamu pun bukannya baik sangat! Balik sekarang!” Fadilah sedikit bertegas, membuatkan Khairani merengek kecil. “Ye la mama. Kak Nina….!”
Talian dimatikan. Fadilah bangkit, mundar-mandir di dalam bilik itu. “Damia masih hidup? Macam mana dia hidup lagi? Aku tinggalkan dia memang sehelai sepinggang. Seharusnya dia sudah mati! Macam mana boleh jadi macam ni?”
“Damia masih hidup?” terdengar suara Daim di balik pintu, membuatkan Fadilah terkejut. “Eh, abang! Bila abang balik?”
“Aku balik dah lama, cukup lama untuk aku tahu segalanya!” suara Daim semakin meninggi, cukup untuk menggerunkan Fadilah. “Kau buang anak aku? Sampai hati kau. Kenapa?!”
“Abang, dengar dulu…”
“Aku tanya kenapa!”
“Sebab dia cacat, abang!” terhambur jawapan itu dari mulut Fadilah, membuatkan Daim tergamam. “Sebab dia cacat. Orang cacat biasanya bawa sial!”
Pang!
Terduduk Fadilah apabila tangan Daim singgah laju di pipinya. Air matanya menitis. “Sampai hati abang. Saya yang abang tampar ni, isteri abang tau!”
“Dan yang kau hina tu, anak aku. Anak kandung aku!” Daim bersuara geram. “Aku tak peduli. Kalau kau nak hidup lama kat rumah ni, bawa Damia balik. Kalau tak, kau dan anak-anak kau boleh berambus!”
“Abang! Sampai hati abang. Apa, dah hilang ke semua kasih sayang abang pada saya dan anak-anak selama 15 tahun ni?”
“15 tahun Damia derita kat luar sana, tanpa aku tahu dia masih hidup. Patutlah kau beria-ia ajak pindah rumah dulu. Kau takut Damia muncul balik!”
“Abang!”
“Aku tak kira. Kau bawa balik Damia, atau korang semua boleh berambus!”
Fadilah bungkam.
*****
“Macam mana, Damia?” tanya Nazim prihatin. “Diorang pasti akan cari awak kat sini. Nak tak nak, awak kena bersedia.”
“Kalau diorang nak cari Damia, diorang dah cari 15 tahun lepas. Bukannya sekarang, bila Damia dah pandai urus diri.”
“Mungkin diorang ada cari awak sebelum ni. Ye la, awak kan bagitahu yang awak dibu… ditinggalkan di tepi jalan.”
“Masa mula-mula umi jumpa saya, hampir setiap hari dia bertanyakan orang yang lalu lalang tentang saya. Mana la tahu, ada orang mencari anak yang hilang. Tapi tak ada. Memang tak ada. Maknanya, memang diorang tak cari saya.”
“Saya ada juga bawa umi datang ke rumah saya, nak cari diorang. Tapi diorang dah pindah,” Damia mengakhiri hujahnya. Dia menghela nafas halus. “Memang dari dulu, mama dan anak-anaknya tak suka saya sebab saya cacat.”
“Siapa kata? Awak cantik apa,” terpacul kata-kata itu dari mulut Nazim, membuatkan Damia tersentak. Nazim garu kepala yang tidak gatal.
“Er…. cacat tak semestinya mati, kan? Sekurang-kurangnya, awak berjaya sekarang. Bukan senang nak jadi pengurus cawangan restoran ni. Pelajaran awak pun bukannya biasa-biasa. Awak dah nak habis diploma, kan?”
“Ya,” jawab Damia. “Tapi di mata diorang, saya tetap tak layak untuk hidup, sebab saya cacat.”
“Awak hidup untuk diorang ke untuk diri awak sendiri?” tanya Nazim, membuatkan Damia memandangnya pelik. “Kalau awak hidup untuk diri awak sendiri, awak tak perlu peduli dengan pandangan mereka. Bukannya mereka yang bagi nyawa kat awak. Tapi Allah.”
“Ye la,” Damia senyum. “Terima kasih awak, sebab ingatkan Damia. Sebab tu la Damia sayang awak.”
“Apa?”
“Tak ada apa-apa,” wajah Damia memerah. “Damia nak balik dulu. Syif Damia dah habis. Awak kerja sampai malam, kan?”
“Ya.”
“Kerja elok-elok!” ucap Damia sambil melambaikan tangannya. Membuatkan hati Nazim berbunga-bunga. Tersengih dia sambil membalas lambaian itu. Sebentar kemudian dia menyedari sesuatu.
“Damia, telefon awak tertinggal!”
Nazim terus mengejar Damia hingga ke luar restoran. Tidak jauh dari mereka, sebuah kereta menderum lalu dipandu laju ke arah Damia. Nazim menyedari hal itu. “Damia!”
“Argh!”
Damia terdorong ke tepi jalan apabila Nazim menolaknya kuat. Dia tergamam. “Nazim! Awak tak apa-apa?”
Wajah Nazim berkerut menahan sakit. Dia tidak mampu mengucapkan sepatah kata. Damia pandang tangan Nazim. Darah!
“Nazim, kita ke hospital!”
“Awak okey, kan?’ tanya Nazim dalam kesakitan, membuatkan Damia terharu. Matanya berkaca. “Saya okey.”
“Nazim! Kereta tadi terbabas!” terdengar salah seorang pekerja restoran itu menjerit sambil berlari ke arah kereta tadi. Mendengarkan itu, cepat-cepat Nazim berdiri dengan dibantu Damia. “Kita ke sana!”
“Baik!”
Kereta yang cuba melanggar Damia itu sudah dikerumuni orang ramai. Rata-rata mereka berasa marah dengan tindakan pemandunya yang dianggap sengaja. Semakin dekat, semakin Damia mengenali wajah pemandunya.
“Mama?” Damia benar-benar terkejut. Fadilah memandangnya tanpa senyuman. Malah merenungnya tajam.
"Kenapa mama buat macam ni?" .
"Aku benci kau! Kenapa kau tak mati je dulu?" jerkah Fadilah, mengejutkan semua orang yang ada di situ.
"Kurang ajar! Kau siapa nak tentukan nyawa orang?" jerit satu suara, disahuti suara-suara yang lain. Damia menjerit nyaring. "Diam!"
Semua mata memandang ke arahnya, termasuk Nazim. Damia sudah tidak peduli. "Kalian, hantarkan saja dia ke balai polis. Biar polis yang selesaikan semuanya."
"Damia….," Fadilah cuba memanggilnya namun suaranya tenggelam oleh orang ramai. Dia dibawa ke balai polis yang berdekatan.
"Awak okey, Damia?" tanya Nazim. Damia pandang Nazim dengan senyuman nipis. "Jom la kita ke hospital. Rawat luka awak tu."
"Okey."
*****
“Berat juga hukuman yang diterima mama tiri awak tu nanti,” ujar Nazim apabila mereka melangkah keluar dari balas polis itu. “Penjara tidak lebih dari lima tahun, denda tidak kurang dari lima ribu ringgit. Banyak tu!”
“Hukuman tu sepatutnya tidak cukup lagi untuk orang macam tu,” balas Sakinah geram. “Tak cukup lagi dengan apa yang dia buat dulu? Sekarang nak ambil nyawa orang pula?”
Hampir putus nafasnya apabila menerima berita tentang kemalangan yang menimpa Nazim dan Damia. Bergegas dia ke balai polis dari tempat kerja dan akhirnya dia lega kerana tiada kecederaan serius pada mereka berdua.
“Moga dengan hukuman ni mama akan insaf, umi,” ujar Damia, seakan berdoa. “Sebab kesian juga pada ayah kalau dia tak berubah.”
“Sebut pasal ayah…. tadi polis cakap, keluarga mama dah dihubungi, kan?”
“Katanya macam tu la,” Damia hela nafas halus. “Tak tahu la bila diorang sampai. Hari pun dah petang. Jalan sesak agaknya.”
“Damia dah sedia ke nak jumpa dengan diorang?”
“Er….”
“Hoi, perempuan!” spontan Damia menoleh apabila mendengar jeritan tersebut. Dia telan liur apabila melihat Khairani berlari untuk menerkamnya. Mujur Khairina sempat menahan. “Kamu ni dah kenapa?”
“Kenapa, Kak Nina cakap? Dia fitnah mama, lagi Kak Nina nak bela dia?” Khairani dah macam orang kurang siuman. “Hei, perempuan. Tak ada siapa yang nak bunuh kau la. Kau mati pun orang tak peduli, sebab kau memang cacat!”
“Khairani!” Pang!
“Kak Nina…,” Damia mendapatkan Khairina yang merah matanya. Nafasnya turun naik menahan amarah. Damia pegang lengan gadis itu.
“Arwah papa tak pernah ajar kita untuk menghina orang lain, Nani! Ayah pun sama! Siapa yang ajar kau untuk mempersoalkan ciptaan Allah ni?”
Khairani pegang pipi yang terasa pijar. “Kak Nina belalah budak cacat ni. Kak Nina ingat dia akan bantu akak ke? Dia pun perlu dibantu.”
“Sekurang-kurangnya hanya tangan dia yang cacat, bukan otak! Tapi kau…,” sekali lagi Khairina menghampiri Khairani namun dihalang Damia. “... kau lebih teruk dari cacat otak!”
“Sampai hati Kak Nina cakap saya macam tu!”
“Macam tu la perasaan Damia bila kau hina dia!” Khairina menoleh ke arah Damia yang masih memeluknya. “Maafkan mama dan Nani, Damia. Maafkan Kak Nina juga, sebab tak tegur dan halang perbuatan diorang.”
Damia senyum pahit. “Tak apalah, Kak Nina. Akak bela Damia macam ni pun, Damia dah cukup bersyukur. Terima kasih, Kak Nina.”
Khairani hentak kaki di lantai. “Kak Nina!”
“Kamu diam!” bentak Khairina. “Kalau nak bela mama sangat, tinggallah kat sini. Malas Kak Nina nak melayan lagi.”
“Damia,” suara garau seorang lelaki membuatkan dia terpaku. Perlahan dia menoleh, menghadap seorang lelaki separuh usia yang sedang memandangnya. “Ayah….”
Damia pandang Sakinah, Nazim dan Khairina silih berganti. Mereka angguk perlahan, seperti menyokongnya. Damia senyum, dia mendekati Daim yang sedang menitiskan air mata. “Ayah!”
“Maafkan ayah, nak!” Daim peluk Damia erat. Kerinduan selama 15 tahun kini terlerai. “Maafkan ayah atas segalanya.”
“Tak apa, ayah,” jawab Damia dalam tangisan. “Ayah datang ni dah cukup membahagiakan saya. Terima kasih.”
Daim mengeratkan pelukannya. Dalam masa yang sama matanya mencari mata Sakinah. Wanita itu angguk perlahan.
“Terima kasih, sebab jaga anak saya macam anak sendiri,” ucap Daim. Sakinah tersenyum nipis. “Sama-sama.”
“Dah besar pun anak ayah ni,” Daim membelek wajah anaknya lama. “Yang lelaki tu, siapa? Teman lelaki ke?”
“Ayah!” Damia menyembamkan muka di dada lelaki itu. Nazim garu kepala yang tidak gatal. Mereka yang lain ketawa kecuali Khairani. Wajahnya murung.
TAMAT