Sunday, March 22, 2020

Cerpen : Embun


Malam makin larut. Jasmin mula bersiap untuk pulang. Sempat dia melambai pada pelayan-pelayan yang masih membersihkan kelab malam itu. Kemudian dia melangkah keluar dari premis itu.

Langit yang terang disinari cahaya rembulan, ditenung lama. Fikirannya melayang. Ke masa lalu, masa kini, juga masa hadapan. Sejenak matanya berkaca.

‘Sampai bila harus hidup aku begini? Tidakkah ada peluang untuk aku berubah, ke arah yang lebih baik?’ bisik hatinya.

“Jasmin, ada kau nampak Angel?” tanya Robert, salah seorang pekerja di situ, mematikan lamunannya. Dia menoleh. “Kenapa kau tanya pasal dia? Kau tahu kan, yang dia mengandung. Sebab tu, dia dah ta kerja kat sini.”

“Itu aku pun tahu. Tapi kau tahu kan yang dia dah bersalin?” pertanyaan itu mengejutkan Jasmin. Pantas dia menoleh. “Betul ke ni?”

“Betul la. Aku yang bawa dia ke hospital,” jawab Robert. “Tapi kan, dia macam tak suka je dengan anak tu. Kesian pula aku tengok.”

“Memang la dia tak suka. Kan sebab anak tu, Razi tinggalkan dia. Razi tak mengaku itu anaknya, kan?”

“Bukan itu saja, Jasmin. Dia tak sukakan budak tu sebab budak tu berkulit gelap,” balas Robert. Jasmin angkat kening sebelah. “Angel Cina. Razi pula memang berkulit cerah. Jadi betullah anak tu bukan anak Razi?”

“Itulah pasalnya,” jawab Robert. “Angel tertekan dengan apa yang berlaku, sampaikan dia nak bunuh budak tu. Berapa kali dah aku nampak dia tekup budak tu dengan bantal. Mujur aku sempat halang.’

“Hah?” Jasmin terkejut besar. “Bawa aku jumpa dengan Angel, Robert. Sekarang!”

“Baik.”

Sepanjang perjalanan menuju ke rumah wanita itu, bibir Jasmin tidak putus-putus berdoa agar si kecil itu tidak diapa-apakan ibunya. Kuat suaranya sehingga kedengaran di telinga Robert.

“Tak pernah aku tengok kau berdoa macam ni,” tegur Robert. “Belum pernah aku tengok kau macam ni.”

“Apa yang terjadi antara Angel dengan Razi tak sepatutnya menyebabkan budak tu jadi mangsa. Dia kecil lagi, Robert. Dia tak bersalah!”

“Budak tu bukannya anak kau pun. Kau jumpa dia pun tak pernah. Lagipun, budak tu bukannya comel sangat. Gelap pula tu.”

“Itu bkan alasan untuk nafikan hal dia sebaai manusia untuk hidup di muka bumi ni, RObert. Sama macam kita,” balas Jasmin.

Perjalanan ke rumah Angel dirasakan terlalu lama walaupun tidak banyak kereta di jalan raya pada waktu begini. Setengah jam kemudian baru mereka sampai.

“Angel! Jangan!” Jasmin pantas menerpa apabila dilihatnya wanita tu sedang mencekik seorang bayi kecil. “Kau gila ke?” Dia anak kau!”

“Dia bukan anak aku!” jerit Angel kuat. “Anak aku putih, bersih dan wangi. Bukan macam budak ni. Kotor, busuk dan hitam! Biar aku bunuh dia!”

“Jangan la!” pantas Jasmin tepis tangan Angel yang kembali ingin mencekik anak itu. Bayi itu yang menangis kuat kemudian dipujuk dengan nada lembut. Jasmin jatuh sayang pada bayi kecil itu. Comel juga, detik hatinya.

“Aku tak nak tengok budak ni. Aku tak nak jaga dia. Kau bawa dia pergi dari sini. Buang la dia kat mana-mana pun. Pergi!” Angel capai bantal di sisi dan membalingnya ke arah Jasmin. Pantas dia berpusing, melindungi bayi kecil itu daripada bahaya.

“Kau nak tambah dosa kau dengan membunuh ke macam mana ni?” tanya Jasmin berani. “Kalau kau tak nak anak ni, biar aku yang jaga!”

“Silakan. Aku tak kisah pun!” jerit Angel kuat. “Tapi, jangan sekali-kali kau muncul depan mata aku, terutamanya dengan budak ni. Kalau tak, dua-dua aku bunuh!”

Jasmin geleng kepala. Robert tergamam. Dia menghampiri Angel. “Kenapa kau cakap macam ni? Dia tu kan anak kau.”

“Sebab budak ni, Razi tinggalkan aku. Budak ni memang bawa sial! Jauhkan dia daripada aku!” Angel baling bantal lagi, membuatkan Jasmin terpaksa membawa bayi itu ke luar rumah. Angel masih mengamuk di dalam rumah sambil ditenteramkan oleh Robert.

Jasmin pandang langit lagi, kali ini dengan seorang bayi di dukungannya. Matanya kembali berkaca. Doanya sebentar tadi seakan tertunai malam ini.

‘Demi anak ini, aku akan berubah. Ke arah yang lebih baik. Terima kasih, Tuhan,’ Bisik hatinya. Bayi kecil di dukungan dicium lembut.

“Embun,” panggil Jasmin sepatah. “Nama kau Embun ya?” Bayi itu mengeliat kecil seolah bersetuju. Jasmin senyum, lalu bayi itu dicium lagi.

“Embun.”

*****
10 tahun kemudian…

“Embun!” panggilan kuat itu membuatkan gadis itu menoleh laju. Dia senyum apabila melihat sesusuk tubuh sedang berlari ke arahnya. “Jangan la lari macam tu, Ria. Jatuh nanti.”

“Hai,” sapa Ria sambil tersenyum lebar. Embun angkat kening sebelah. “Kau dah kenapa? Macam kerang busuk je aku tengok.”

“Aku ada benda nak bagitahu kau ni,” Ria rapatkan kedua-dua tangannya ke bibir. “Kau mesti suka. Tapi… entahlah.”

“Belum bagitahu apa-apa dah buat ulasan sendiri,” komen Embun sambil senget bibir. “Bagitahu je la. Kejap lagi cikgu masuk.”

“Cikgu tak masuk la. Diorang ada mesyuarat.”

“Mana kau tahu?”

“Aku tahu la.”

“Kau ni… suka sangat jawab macam tu,” Embun buka buku teks yang ada di hadapannya dan mula mengulangkaji. Namun kelibat Ria masih mengganggunya. “Kenapa?”

“Aku tak cerita lagi apa yang aku nak cerita.”

“Kau nak cerita apa yang kau tak cerita lagi?”

“Ada la cerita yang aku nak cerita tapi aku tak cerita lagi?”

“Kau nak cerita apa sebenarnya yang kau tak cerita lagi ni?”

“Kau tak kasi aku cerita, macam mana aku nak cerita apa yang aku nak cerita ni.”

“Cerita apa yang kau nak cerita tapi kau tak cerita lagi ni? Cerita je la. Aku nak dengar juga kau cerita.”

“Kasi la aku cerita dulu, macam mana aku nak cerita kalau kau halang aku cerita?”

“Apa benda kita merepek ni?” tanya Embun sejenak, lalu mereka tertawa. Menarik perhatian murid-murid lain di kelas itu.

“Kau nak cerita apa tadi?”

“Kau kenal Hanisah?”

“Anak Tuan Saari yang putih melepak tu ke? Apa pula tak kenal… mak aku kan kerja kat rumah dia,” jawab Embun bersahaja. “Kenapa dengan dia?”

“Tu yang aku nak cerita ni…,” Ria telan liur apabila Embun merenungnya tajam. “Dia tadi kena rotan dengan cikgu disiplin sebab ponteng kelas.”

“Oh…,” Embun sambung mengulangkaji pelajaran. Ria bersungut kecil. “Kau macam tak terkejut dengan cerita ni.”

“Aku dah boleh agak,” jawab Embun. Dia menghela nafas kecil. Setiap hari, dia dan Hanisah akan bertolak ke sekolah pada waktu yang sama. Dia nampak gadis itu lengkap beruniform putih. Namun kelibatnya sering tidak kelihatan di sekolah.

“Macam mana boleh kena tangkap pula tu?”

“Embun!” jeritan kuat itu menarik perhatian sesiapa yang mendengarnya. Embun terkejut. Hanisah memandangnya dengan wajah menyinga.

“Habislah…,” Ria tutup mulutnya yang ternganga. Dia pandang Embun dan Hanisah silih berganti. “Tapi kenapa dia cari kau?”

Hanisah menerpa ke arah Embun. “Kau yang bagitahu cikgu pasal aku ponteng kelas kan? Mengaku je la!”

“Sumpah, Hanisah. Bukan aku yang buat!”

“Hei, budak buruk!” dahi Embun ditunjal seenaknya. “Kau ingat kau dah pandai, disanjungi semua orang dalam rumah aku, kau boleh buat sesuka hati kau? Aku takkan izinkan!”

Embun sedikitpun tidak membalas perbuatan Hanisah. “Demi Allah, aku tak buat! Kita bukan sekelas pun, jadi buat apa aku nak dengki dengan kau?”

Dahi Embun ditunjal lagi. “Kau memang patut dengki dengan aku. Sebab aku lagi cantik daripada kau, sebab aku lagi kaya daripada kau!”

“Hanisah!” mati langkahnya mendengar panggilan itu. Lantas dia berpaling dan tergamam. Cikgu disiplin muncul di kelas itu dengan rotan di tangan. Ria sudah terlopong.

“Tak serik-serik lagi ke kena rotan tadi? Ikut saya ke bilik disiplin sekarang!”

Embun dan Ria hanya berpandangan sesama sendiri.

*****
10 tahun kemudian…

“Rasa macam tak percaya kan, Embun? Sekejap je kita dah masuk universiti,” ujar Ria. “Macam baru semalam je kita masuk sekolah.”

“Masa cepat berlalu, kan? Masa tidak ada masa untuk membuang masa dengan orang-orang yang suka membazirkan masa," balas Embun. Ria tepuk dahi. “Aku ingatkan kita dah berhenti bermain dengan kata-kata macam ni.”

Embun ketawa. Bukan hanya gelak tawa yang menghiasi sepanjang lebih sepuluh tahun persahabatan mereka, . Tangisan duka juga. Namun mereka masih kekal bersama. Kerana itu, Embun bersyukur dengan persahabatan mereka.

“Eh, Embun,” Ria sudah masuk mode membawang. “Kau kenal dengan senior kita tu tak? Yang hidung mancung, bela janggut kambing tu? Siapa namanya?”

“Yang mana satu ni?”

“Berapa ramai senior kita yang hidungnya mancung dan bela janggut kambing macam tu?”

“Hah? Bela kambing?”

“Janggut kambing la! Kau ni!” Ria tampar kuat bahu Embun membuatkan gadis itu mengaduh kesakitan. Kemudian Ria ketawa besar.

“Kau ni…. kita kat perpustakaan la. Senyap la sikit,” tegur Embun sambil mengusap bahunya yang kesakitan. “Kalau kita kat tepi tasik macam selalu tu lain la cerita.”

“Maaf, aku terlupa.”

“Eh, siapa yang ada kat sini?” terdengar satu suara sinis membuatkan mereka menoleh. Ria mendengus apabila melihat kelibat Hanisah bersama rakan-rakannya di situ. “Nak pula dia datang ke perpustakaan ni.”

“Belajarlah rajin-rajin ya. Nanti senang boleh bantu orang tua,” Hanisah bersuara separuh mengejek. “Eh, aku lupa. Kau mana ada orang tua. Mak kau kan dah meninggal dunia.”

Mendengarkan kata-kata itu, mata Embun berkaca. Dia teringatkan Jasmin, ibu angkatnya yang meninggal dunia tiga tahun lalu.

“Sekurang-kurangnya, dia dapat berbakti pada ibunya. Dapat menenangkan hati ibunya. Tak buatkan ibunya susah hati. Bukan macam kau. Kejap-kejap, mak kau sakit jantung. Kejap-kejap, ayah kau sakit kepala.”

“Aku bukan cakap dengan kau, jadi diam!”

“Kau berani buli dia sebab dia takkan melawan, kan? Dari dulu lagi kau macam tu,” Ria bersuara geram. “Sudah-sudah la tu. Kita dah besar ni. Matang la sikit.”

“Kau ni siapa? Setiausaha tak bergaji dia ke?” tanya Hanisah sinis. Baru sahaja Ria ingin membalas, apabila Embun tiba-tiba mengemas barang-barangnya dan bangun dari situ. Dia ingin melangkah pergi, apabila Hanisah menahannya.

“Aku tahu kau ada hati dengan Aqasha. Kau dengar sini. Orang yang hitam, busuk dan kotor macam kau tak layak berkawan dengan orang macam dia.”

“Kau ambillah,” jawapan Embun benar-benar mengejutkan Hanisah. Wajahnya bercahaya. Senyumannya melebar. “Betul ke ni?”

“Kalau dia sukakan kau, tak ada siapa pun dapat halang. Tapi kalau dia tak suka, jangankan aku, kau pun tak dapat halang.”

Mati senyuman Hanisah. “Sedar sikit kau tu siapa.”

“Aku sedar aku ni siapa. Sebab tu aku cakap macam tu. Jom, Ria,” Embun terus melangkah pergi dari situ. Ria senyum sinis ke arahnya sambil angkat ibu jari. Hanisah mendengus geram.

“Berani betul kau jawab macam tu ek?” ulas Ria apabila mereka sudah agak jauh dari perpustakaan. “Embun yang aku kenal jarang macam tu.”

“Aku malas nak cari gaduh,” balas Embun. “Siapa Aqasha yang dia sebut-sebut tu? Kacak sangat ke dia, sampaikan aku diberi amaran macam tu sekali?”

“Kacak sangat!” membulat mata Ria, membuatkan kening Embun terangkat sebelah. “Dia la lelaki hidung mancung, janggut kambing yang aku cakap tu!”

“La, dia ke?” Embun langsung tidak tertarik. Dia meneruskan langkahnya, tidak mendengar langsung Ria memuji lelaki itu di hadapannya. Mereka……

“Aduh!”

“Oh mak kau terbang melayang!”

Kedua-duanya terduduk di lantai. Segera Ria mendapatkannya. “Kau okey, Embun? Ada sakit kat mana-mana?”

“Okey je.”

“Awak okey?”

“Saya cakap saya okey la…,” mati kata-katanya apabila memandang wajah lelaki yang melanggarnya. Tidak berkelip dia memandang lelaki itu.

“Saya Aqasha.”

*****

“Dia sukakan kau, Embun.”

“Tapi aku tak ada hati dengan dia.”

“Cuba la dulu. Mana tahu rasa tu akan datang kemudian.”

“Kau ingat rasa tu ada kaki?”

“Kau main-main kan dengan aku?”

“Kenapa kau beria sangat ni?”

“Aku dah cakap, dia sukakan kau,” jawab Ria lalu mengeluh kecil. Embun diam, buku yang terbuka di hadapannya dipandang lama. “Aku datang sini untuk belajar, Ria.”

“Aku pun sama, Embun. Tapi tak salah kalau kau nak terima cinta dia. Orang kata, lebih baik jadi orang yang disayangi, bukan orang yang menyayangi.”

“Entahlah…,” Embun tutup buku di hadapannya. Hilang fokusnya pada buku itu dek kerana kata-kata Ria. “Aku tak reti la bercinta-cinta ni.”

“Dah tu, belajar la. Itu pun aku nak kena ajar,” Ria senget bibir. “Aku nak tengok kau bahagia, Embun. Sejak mak kau meninggal, kau jarang senyum.”

Mendengarkan kata-kata itu, Embun termenung sendiri. Memang benar, sejak pemergian Jasmin, bibirnya begitu lokek mengukir senyuman. Bukan kerana tiada lagi Jasmin di sisi namun kerana kenyataan yang pahit untuk ditelan.

“Kau bukan anak aku,” luah Jasmin beberapa bulan sebelum dia meninggal dunia. “Ibu kau tak mahukan kau sebab kau berkulit gelap. Malah dia pernah cuba untuk bunuh kau.”

“Aku yang bela kau bila ibu kau sendiri buang kau. Tapi aku bersyukur, sebab in semua, aku nekad berhenti kerja di kelab malam tu, sebab nak bagi kau makan dengan rezeki yang halal.”

“Terima kasih, ibu…” bisiknya perlahan.

“Apa dia?” laju Ria bertanya, sambil mendekatkan telinga di wajah Embun, membuatkan gadis itu terkejut. “Apa kau ni? Macam makcik bawang dah aku tengok.”

“Makcik bawang yang ini….,” ujar Ria sambil tepuk dada. “... adalah makcik bawang yang bakal ada ijazah. Kau apa tahu?”

“Ada-ada aje la kau ni,” Embun menggelengkan kepala. Ria membetulkan bajunya. “Jadi, macam mana?”

“Macam mana apa?”

“Aqasha,” jawab Ria. “Ala, terima je la dia, Embun. Aku dah tak larat nak dengar permintaan dia tu. Asyik minta nombor telefon kau.”

“Erm….”

“Aku tahu, sebenarnya kau sukakan dia, kan?” tebak Ria membuatkan Embun terkejut. “Cuma kau tak nak luahkan sebab Hanisah. Kau tak nak cari pasal dengan dia. Betul tak?”

“Aku malas nak gaduh. Cukup-cukup la selama ni dia tak puas hati dengan aku tentang banyak benda. Aku tak nak tambah masalah.”

“Dia yang timbulkan masalah tu, Embun. Bukannya kau. Jadi buat apa kau nak takut?” tanya Ria kembali. “Lagipun, Aqasha sukakan kau, bukannya dia.”

“Kau rasa, aku patut buat apa?”

“Lagi mau tanya?” buntang mata Ria mendengarnya. Embun telan liur. Pen yang dipegangnya dipusing-pusing laju.

“Fikirlah,” Ria bangkit seketika sebelum menapak ke mesin layan diri yang terletak tidak jauh daripada mereka. Cukup untuk memberi ruang untuk Embun berfikir.

*****
“Sila ambil perhatian. Perpustakaan akan ditutup dalam masa lima belas minit…,” jelas kedengaran suara wanita itu di corong pembesar suara. Embun melihat jam tangan sekilas. Kemudian dengan cermat dia mengemaskan barangannya. Mesej yang masuk ke telefon pintarnya belum sempat dibaca.

“Terima kasih, kak,” sempat Embun menyapa staf perpustakaan yang bertugas di kaunter. Wanita itu tersenyum, dia sudah mengenali Embun kerana sering berkunjung ke premis itu. “Hati-hati di jalan ya, Embun.”

“Baik, kak. Moga doa itu kembali pada akak juga ya.”

“Insya Allah, aamiin….”

Embun terus melangkah keluar dari perpustakaan menuju ke perhentian bas yang terletak tidak jauh daripada situ. Langsung dia tidak menyedari langkahnya diekori.

“Embun!” spontan dia menoleh apabila namanya dipanggil. Sejurus, wajahnya ditampar kuat, membuatkan dia tersungkur. Apa yang berlaku mengejutkan orang di perhentian bas itu.

“Apa ni, Hanisah?”

“Kau tanya aku? Kau tanya aku apa semua ni?” suara Hanisah melengking kuat. “Aku dah cakap dengan kau kan, jauhkan diri kau dari Aqasha. Yang kau degil sangat tu kenapa?”

“Dah dia nak berkawan dengan aku, siapa aku nak halang?”

“Kau kurang ajar, kan?” Hanisah sepak tubuh Embun, membuatkan gadis itu mengaduh kesakitan. “Kau ingat kau tu sesuai ke jadi kekasih Aqasha? Layak ke kau? Cermin muka kau tu sikit. Dasar muka buruk!”

“Eh, kalau muka buruk sekalipun, dia tak layak nak bahagia ke?” sahut satu suara dari perhentian bas. “Elok la muka buruk perangai elok, daripada muka elok perangai macam…”

“Kau diam, boleh tak?” potong Hanisah garang. “Ini urusan aku dengan dia. Kamu semua jangan masuk campur!”

“Eleh, kecoh. Macam la cantik sangat….”

“Kau diam!” suara Hanisah naik lagi. Kemudian dia tunduk. Rambut Embun ditarik lagi membuatkan dia menjerit kesakitan. “Jangan Hanisah… jangan!”

“Kalau kau tak nak kena lagi teruk daripada ni, jauhkan diri kau dari Aqasha,” Hanisah bersuara geram. “Kalau tak….!”

“Kalau tak, apa?” satu suara garau kedengaran membuatkan Hanisah menghentikan tindakannya. Dia berdiri lalu menoleh. Aqasha berdiri di belakangnya membuatkan dia tergamam.

“Eh, Aqasha! Buat apa kat sini? Eh…,” Hanisah tunduk kembali mendapatkan Embun. “Sakit ke? Itu la, aku dah cakap, jalan tu pandang kiri kanan. Kan dah jatuh.”

“Tak payah berlakon lagi, Hanisah. Aku dah nampak semuanya,” ujar Aqasha, tenang. Hanisah terkejut. “Itu semua salah faham je. Embun jatuh, dan saya tersadung badan dia.”

“Yang kau tarik rambut dia tu dah apahal?”

“Mana ada tarik! Aku betulkan kedudukan dia je.”

“Usah berdalih lagi. Aku dah nampak semuanya.”

“Tapi….”

“Selamanya, mata lebih aku percaya berbanding telinga,” potong Aqasha. “Kau buat la macam mana sekalipun, tetap takkan ubah rasa aku terhadap Embun. Makin aku cintakan dia, ada la.”

“Dia bukannya cantik sangat pun! Buruk ada la. Apa yang kau sayang sangat dengan dia ni ha?”

“Sebab dia baik hati. Dan dia tak dengki dengan orang lain, macam kau,” balas Aqasha. Dia kemudian mendapatkan Embun, membantunya untuk berdiri. “Awak okey? Ada rasa sakit tak?”

“Sikit je ni?”

“Awak nak buat laporan tentang hal ni tak?”

“Tak payah la. Dia bukannya sengaja,” balas Embun perlahan. Aqasha senyum perlahan, dia pandang Hanisah. “Awak tengok. Dalam keadaan macam ni pun, dia masih nak maafkan orang macam awak. Kalau saya la…”

“Awak, jom la. Tak payah la gaduh kat sini,” perlahan Embun tarik lengan baju Aqasha. Lelaki itu membalasnya dengan senyuman. Mereka melangkah pergi dari situ, meninggalkan Hanisah yang termangu keseorangan.

“Aku sumpah kamu berdua takkan bahagia bila hidup bersama!”

*****
“Besarnya rumah awak…,” Embun bersuara kagum apabila menjejakkan kaki di perkarangan rumha itu. “Jauh lebih besar daripada bilik saya.”

“Ada-ada aje la awak ni,” balas Aqasha. “Rumah besar ke, rumah kecil ke… itu semua tak penting. Yang penting, isinya. Adakah isi dalam rumah itu berbahagia atau tidak. Awak bahagia dengan saya?”

“Soalan apa awak ni…,” Embun mula malu-malu. “Tapi kenapa awak memilih untuk tinggal bersama kawan-kawan awak, bukan di sini?”

“Mama dan ayah selalu sibuk. Ayah orang bisnes, jadi masanya banyak dihabiskan keluar negara. Mama sentiasa bersamanya. Jadi buat apa tinggal di rumah sebesar ini seorang diri?”

“Betul juga tu,” Embun menganggukkan kepala. “Patutlah awak cakap yang masa kita terhad untuk jumpa mereka.”

“Ya. Jadual mereka tak menentu. Pernah sekali, mereka terbang ke Perth sehari selepas mereka kembali dari Jakarta. Gila, kan?”

“Tak la gila sangat, kalau mereka orang kaya macam mama ayah awak,” komen Embun. Aqasha senyum. “Ini yang saya suka tentang awak. Jujur. Awak cakap apa sahaja yang terlintas di fikiran awak.”

Embun senyum. “Terima kasih.”

“Jadi, mari kita masuk,” pelawa Aqasha. Mereka kemudian melangkah masuk ke rumah agam itu, disambut oleh Mak Nab, pembantu rumah.

“Datuk Mokhtar dan Datin Safiyah dah lama tunggu di ruang tamu,” ujar pembantu rumah. Aqasha angguk kepala, lalu memberi laluan kepadad Embun. “Jom.”

“Anak menantu ayah dah sampai!” terdengar suara ceria Datuk Mokhtar ketika mereka tiba di ruang tamu. Lelaki itu bangun dan menghampiri mereka berdua. “Jadi, inilah Embun, gadis yang berjaya menawan hati anak ayah ni?”

Merah pipi Embun mendengar pujian itu. “Pakcik… er… Datuk apa khabar?”

“Apa pula panggil pakcik, Datuk segala? Panggil saja ayah. Lebih mesra. Tak lama lagi, Embun akan jadi anak menantu ayah juga kan?” sahut Datuk Mokhtar sambil ketawa. “Ayah sihat. Mama juga sihat. Kan, mama?”

“Hurm…,” balas Datin Safiyah acuh tidak acuh. “Ingatkan lawa sangat. Rupanya, biasa-biasa saja. Kulit gelap pula tu.”

“Mama…,” Aqasha mendekati wanita itu dan tersenyum mesra. “Rupa paras tak penting. Hati yang murnilah kunci bahagia.”

Datin Safiyah mendengus. “Ini zaman moden, sayang. Rupa paras yang orang ramai tengok dulu. Tengok sajalah dalam industri hiburan. Artis yang tak cantik dipandang sepi walaupun mereka berbakat besar.”

“Takkan semua benda kita nak ikut, sayang? Benda yang baik jadikan ikutan. Benda yang tak elok jadikan sempadan. Tak begitu, Angel?”

“Abang! Dah banyak kali saya cakap, jangan panggil saya dengan nama lama tu. Depan tetamu pula tu. Malu saya.”

“Angel?” tanya Embun pelik. “Angel nama lama Datin?”

“Nama lama saya, sebelum saya masuk Islam dan berkahwin,” jawab Datin Safiyah lambat. “Saya dah berjanji nak tinggalkan semua masa silam saya bila saya mahu berubah.

“Ah, tak payah la cerita pasal awak. Malam ni, kita cerita pasal anak menantu kita saja. Boleh, Embun?” tanya Datuk Mokhtar. Embun ukir senyuman walaupun sukar dirasakan. Kata-kata Datin Safiyah lebih menganggunya. Suara Jasmin mula bergema di ruang minda,

“Nama mak kamu Angel.”

*****
“Apa?” tanya Ria. “Kau nak cakap yang mak Aqasha tu Angel, mak kau?”

“Aku tak berani nak buat andaian. Tapi aku rasa…… dia mak aku,” jawab Embun perlahan. Dia tunduk, matanya berkaca.

Ria mengeluh kecil. “Kalau betullah mak Aqasha tu mak kau, bermakna korang adalah adik-beradik. Macam mana ni?”

“Aku pun terfikir benda yang sama juga,” balas Embun. “Kalau benar kami adik-beradik, aku kena jauhkan diri daripada dia. Antara kami, takkan dapat bersama.”

“Tapi itu cuma andaian, kan? belum… belum tentu itu semua betul, kan?” tanya Ria lagi seakan tidak puas hati. “Ramai je orang yang nama Angel kat dunia ni, kan?”

“Tak tahu la,” Embun tongkat dagu. “Mak aku cakap, lepas dia bagitahu mak kandung aku nama aku, dia mengamuk lagi. Dia siap ugut nak bunuh aku kalau mak aku tak pergi dari situ.”

“Sampai macam tu sekali?” Ria termenung mendengar cerita Embun. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. “Eh, Aqasha bukan lebih tua daripada kita ke? Kalau macam tu, dia abang tiri kau la kan?”

“Tetap, dia adik-beradik aku, Ria,” jawab Embun. “Aku dah tak tahu nak fikir apa lagi. Dah buntu aku.”

Ria juga merasakan hal yang sama. Dia menghela nafas berat lalu memandang sekeliling. Matanya menangkap sesuatu. “Embun.”

“Ya?”

“Hanisah datang sini la,” beritahu Ria. “Tapi, siapa pula yang dia bawa tu? Tak pernah tengok pun kat sini sebelum ni.”

Spontan Embun memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Ria. Seketika, dia tergamam. “Ria, itu mama Aqasha.”

“Hah? Dia buat apa datang sini?”

“Mana aku tahu,” Embun bangkit, bersedia menyambut kedatangan Datin Safiyah dan Hanisah di belakangnya. “Mama…”

Pang!

Terkedu semua orang yang berada di situ, termasuklah Embun. Pantas dia pegang pipinya yang terasa pijar. Datin Safiyah dilihatnya sedang menyinga. “Siapa mama kau?”

“Datin…”

“Kau tak layak kahwin dengan anak aku!” potong Datin Safiyah cepat. “Kau jangan ingat kau boleh jadi menantu aku! Tidak! Aku takkan izinkan!”

“Tapi Datin….!”

“Apa tapi-tapi? Keputusan aku muktamad. Kalau kau betul-betul sayangkan Aqasha, jauhkan diri kau daripada dia. Hilang terus pun tak apa!” Datin Safiyah puas hati. Kemudian dia melangkah pergi dari situ, diikuti Hanisah yang tersenyum sinis.

“Datin Safiyah,” panggil Embun membuatkan langkahnya terhenti. Segera dia berpaling. “Kau nak apa? Pampasan? Mata duitan juga kau ni ya? Kau ingat kau layak ke dapat pampasan macam tu?”

“Saya cuma nak tanya, betul ke Datin adalah Angel, ibu kandung saya?” pertanyaan Embun mengejutkan semua orang, termasuklah Hanisah. Segera Datin Safiyah menerpa ke arah Embun.

“Jasmin patutnya bunuh kau masa kau masih bayi lagi!” Datin Safiyah berbisik keras di telinga Embun. Mata gadis itu berkaca. “Jadi betullah Datin ni… ibu saya?”

“Aku takkan mengaku kau anak aku. Untuk apa? Aku dah cakap, aku dah tinggalkan semua masa silam aku. Termasuk kau!” Datin Safiyah menjauhkan dirinya daripada Embun. “Aku? Cermin sikit muka kau. Antara kita terlalu jauh berbeza. Berani betul kau kan, mengaku anak aku?”

Datin Safiyah terus berlalu pergi diikuti Hanisah. Perlahan Ria mendekati Embun, yang sudah bercucuran air mata.

*****
“Tolong aku, Ria,” ujar Aqasha entah untuk kali ke berapa. Ria mendengus. “Aku dah cakap banyak kali kan?”

“Aku tahu kau bohong. Aku tahu kau rahsiakan sesuatu daripada aku,” Aqasha menggerutu, tarik buku yang sedang dibaca Ria. “Kau ni!”

“Aku takkan pulangkan buku ni selagi kau tak setuju nak tolong aku,” Aqasha separuh mengugut. Ria sedikit pun tidak peduli. “Buku ni, ada lima salinan di perpustakaan ni. Aku boleh ambil yang lain.”

“Ria!”

“Apa?”

“Tolong aku, Ria. Bagitahu aku di mana Embun sekarang,” Aqasha sudah mula merayu. “Takkan kau tak tahu ke mana Embun menghilang?”

“Kalau aku bagitahu kau sekali pun, apa yang kau boleh buat?”

“Aku akan pujuk dia supaya kembali pada aku.”

“Tak payahlah,” Ria ambil kembali buku di tangan Aqasha dan menyambung ulangkajinya. “Embun dah nekad. Dia takkan muncul di sini lagi.”

“Tapi kenapa?”

“Sebab dia tak cintakan kau!”

“Bohong!”

“Itu yang dia katakan,” Ria pandang Aqasha dalam-dalam. “Kau sendiri tahu, dia tak pernah berbohong, kan?”

“Jadi, selama ni, dia hanya permainkan perasaan aku je?” Aqasha bertanya sendiri. Dia terhenyak di kerusi.

“Dia tak pernah kata yang dia cintakan kau, kan? Hanya kau yang meluahkan rasa cinta,” ujar Ria. “Kita boleh cintakan seseorang. Tapi kita tak boleh paksa orang itu cintakan kita. Betul tak cakap aku?”

Aqasha diam. Dia pandang telefon pintar yang setia dalam genggamannya. Gambar Embun yang dijadikan hiasan peranti itu direnung perlahan. “Dia cinta pertama aku, Ria.”

“Tak semua cinta pertama tu berakhir dengan bahagia.”

“Jadi, apa yang patut aku buat sekarang ni?”

“Teruskan hidup.”

“Susah la, Ria.”

“Aku tak kata pun senang. Tapi kita boleh cuba, kan?” Ria senyum nipis. “Mungkin cinta yang lahir selepas ni buat kau lebih bahagia. Siapa tahu?”

Aqasha tidak membalas kata-kata Ria itu. Kemudian, dia bangkit dan berlalu. Senyuman Ria memudar. Dia capai telefon pintar di dalam beg, dan menghantar mesej kepada Embun.

‘Aqasha cari kau lagi. Aku tak rasa dia akan berhenti.’

Sebentar kemudian, mesejnya berbalas. ‘Jangan bagitahu hal sebenar. Aku tak mahu dia lebih terluka.’

Membacanya, membuatkan Ria menghela nafas berat. Dia berbisik sendiri. Kenapa ini yang harus terjadi pada kalian?

*****
5 tahun kemudian…

“Abang…,” panggilan itu membuatkan suapan Aqasha terhenti. Dia tahu pemilik suara itu. Sudah lama dia berkongsi hidup dengan wanita itu.

“Hanisah dah makan?”

“Belum lagi,” Hanisah separuh merengek. “Khusyuk sangat tengok koleksi tudung oleh The Hijab World. Cantik sangat.”

“Dah banyak kali abang dengar awak sebut nama The Hijab World. Jenama tudung luar negara ke?”

“Tak la. Buatan Malaysia juga. Dari Sabah,” jawab Hanisah teruja. “Cantik rekaan tudungnya bang. Tak teringin ke abang nak belikan untuk sayang?”

“Dah banyak koleksi tudung yang ada dalam almari tu. Ada yang masih belum dipakai. Nak beli lagi?” terangkat kening Aqasha. “Bukan ke itu membazir?”

“Ala abang, rekaan The Hijab World tu unik. Tak ada pun dijual di KL ni. Boleh la abang. Harganya pun berpatutan tau!”

Aqasha mengeluh kecil. “Awak ni kan…”

“Saya buat semua ni semua sebab saya sayangkan abang. Saya nak nampak cantik di mata abang. Mama juga yang pesan macam tu,” Hanisah peluk erat suaminya itu dari belakang. Namun reaksinya beku. Kaku.

“Abang…,” Hanisah melonggarkan pelukannya. “Dah lama kita kahwin. Tapi kita masih macam ni. Kenapa, abang?”

“Tak ada apa-apa la,” jawab Aqasha datar. Dia bangun. “Terima kasih sebab sediakan sarapan untuk saya.”

“Ucapan terima kasih tu dah selalu sangat saya terima. Ucapan cinta dan sayang, bila pula?” tanya Hanisah. Aqasha tidak menjawab, dia hanya berlalu pergi. Hanisah mendengus kasar. “Masih sayang lagi ke dia dengan Embun tu? Takkan la. Dah lima tahun dia menghilangkan diri.”

Enggan melayan perasaan, dia mengambil keputusan untuk keluar membeli belah. Seperti selalu, dia sering keluar bersendirian. Tidak ditemani oleh suaminya.

Langkahnya tanpa arah tuju. Dia hanya berjalan sambil melihat barangan baru yang dijual di pusat membeli belah itu. Matanya tertancap pada majlis pelancaran butik terbaru yang diadakan di situ. Laju kakinya melangkah apabila melihat papan tanda yang terpapar. The Hijab World.

“Cawangan ketiga The Hijab World kali ini mencipta sejarah apabila ia adalah cawangan pertama yang dibuka di luar Sabah. Seronoknya! Akhirnya kita boleh beli tudung yang cantik-cantik tanpa perlu beli secara atas talian lagi.”

Mendengarkan kata-kata itu, senyuman Hanisah melebar. Segera dia masuk ke butik tersebut, membelek koleksi tudung yang ada di situ. Langsung dia tidak menyedari ada seseorang di belakangnya. “Cik?”

“Ya?” pantas dia menoleh. Sebentar kemudian dia tergamam. “Embun?”

“Hanisah?”

“Oh, kau kerja kat sini rupanya,” Hanisah bersuara sinis. “Lima tahun menghilang, aku ingatkan kau jadi lebih baik. Rupanya, sama je. Eh, kejap. Baik sikit la. Sebab dulu mak kau orang gaji kat rumah aku kan?”

Hanisah ketawa kecil. Embun hanya menggelengkan kepala. “Puan Hanisah, kan? Isteri Encik Aqasha?”

“Tahu pun kau ya? Ini mesti Ria yang bagitahu. Maklumlah, majlis perkahwinan kami diadakan secara gilang gemilang. Semua orang dijemput, kecuali kau.”

“Puan Hanisah nak beli tudung ke?” Embun enggan melayan provokasi wanita itu. “Tudung ini dikeluarkan khas sempena pembukaan cawangan ini. Puan berminat?”

“Kau mampu ke beli tudung macam ni?” tanya Hanisah lagi. “Aku tak rasa yang kau mampu beli tudung berkualiti macam ni. Ye la, bajet kau hanya tudung yang dijual di tepi jalan tu je kan? Kalau kau pakai tudung ni pun, mesti sebab bos kau yang bagi.”

“Jadi puan berminat untuk beli tudung ni?” Embun masih berlagak biasa, membuatkan Hanisah menjadi geram. Tudung di tangan dicampakkan ke muka Embun, membuatkan gadis itu tidak sempat mengelak. Melayang tudung itu jatuh ke lantai.

“Eh, kenapa kau tak ambil? Macam ni ke cara kau layan pelanggan yang datang ke sini?” sengaja Hanisah bersuara kuat, menarik perhatian pengunjung yang ada. “Mana bos kau? Aku nak jumpa dia!”

“Puan…,” tegur salah seorang staf yang berada di situ. “Cik Embun ni, pemilik The Hijab World. Dia bos di sini.”

“Dia bos?” Hanisah ketawa mengejek. “Jangan nak bergurau la. Perempuan macam ni bos korang?”

“Ya, puan. Cik Embun pemilik butik ini.”

Hanisah jatuh rahang.

*****
“Kau betul ni tak nak tinggal sini lama lagi?” tanya Ria sambil menolak troli bagasi. Embun menghentikan langkahnya, lalu berpaling menghadap sahabatnya itu.

“Kita dah sampai lapangan terbang dah ni, Ria. Soalan apa tu?”

“Mana la tahu kan. Hati manusia ni macam duit syiling. Sekejap sahaja boleh berubah,” Ria senget bibir. “Orang yang dah naik kapal pun boleh berubah fikiran, kan?”

Embun senyum. “Tak kot.”

Ria memuncungkan mukanya. “Pindah la sini, Embun. Lima tahun kau kat sana. Membina kerjaya. Membina empayar. Balik la sini. Sekurang-kurangnya, aku ada di sini temankan kau.”

Embun menghela nafas halus. “Perniagaan aku di sana, Ria. Sedang berkembang. Takkan aku nak tinggalkan semua tu?”

“Tapi kau seorang diri di sana, Embun. Aku risau.”

“Sabah tu tak adalah jauh sangat.”

“Seberang laut juga, kan?”

“Kau ni…,” Embun menggerutu. “Kau jangan risau la. Selagi kita yakin Allah akan lindungi kita, Dia akan hantarkan orang-orang yang baik di sekeliling kita. Macam kau.”

“Tapi kau tetap tinggalkan aku. Kenapa? Sebab Aqasha ke?” tebakan Ria kali ini benar-benar mengena. “Dia dah kahwin, Embun. Dah bahagia dah dengan Hanisah. Kau tak perlu rasa bersalah lagi.”

Embun senyum pahit. Kotak memorinya memutar perbualan telefon dengan Aqasha beberapa malam lepas, selepas kunjungan Hanisah ke butiknya dua minggu lepas.

“Saya masih sayangkan awak. Dah lima tahun, tapi rasa sayang, cinta saya pada awak tak pernah pudar.”

“Apa yang awak merepek ni? Awak dah kahwin. Saya pun dah teruskan hidup. Apa lagi yang awak mahu?”

“Penjelasan,” jawab Aqasha. “Awak hilang tanpa dikesan. Awak tak habiskan pelajaran awak. Awak tinggalkan semuanya di sini, termasuk saya. Tanpa sebarang kata! Sekarang saya mahukan penjelasan daripada awak.”

“Datin Safiyah tak beritahu apa-apa pada awak ke?”

“Kenapa babitkan mama dalam hal ni? Apa yang mama dah buat dengan awak? Apa yang awak sembunyikan daripada saya?”

“Datin Safiyah tak bagitahu awak ke yang kita ni adik-beradik?” kata-kata Embun nyata mengejutkan Aqasha di hujung talian. “Apa yang awak cakap ni? Celah mana pula yang kita ni adik-beradik?”

“Tanyalah Datin Safiyah sendiri. Saya rasa dia lebih tahu segalanya daripada kita,” jawab Embun. “Apa pun, terima kasih sebab sayangi saya. Cuma, saya rasa elok kalau awak lebih menyayangi Hanisah sebagai isteri awak.”

“Embun!” panggilan Ria mematikan lamunannya. “Ya?”

“Bila kau balik lagi ke sini?”

Embun angkat bahu. “Entahlah. Aku dah lantik wakil untuk uruskan butik aku di sini. Jadi lama lagi kot baru aku balik sini.”

“Lama lagi tu berapa lama? Lima tahun?”

Embun hanya mampu mengukir senyuman. “Bila Allah izinkan kita bertemu.”

“Jaga diri, Embun.”

“Okey.”

Ria hanya mampu menghantar kelibat Embun melepasi pemeriksaan dengan lambaian tangan sebelum ia menghilang. Nafas ditarik dalam-dalam. Kemudian dia berpaling, ingin melangkah pergi dari situ.

“Ria!”

“Aqasha?” ternganga Ria melihat lelaki itu muncul di hadapannya. “Kau buat apa kat sini? Mana Hanisah?”

“Mana Embun?”

“Embun?” Ria kerut dahi. “Embun baru saja masuk untuk berlepas…”

“Apa?” Aqasha terduduk. Nafasnya turun naik. Ria mendapatkannya. “Kau okey? Nampak macam tak sihat je.”

“Aku nak jumpa Embun…,” Aqasha sudah mula menangis. “Aku nak jumpa dia. Aku nak minta maaf pada dia atas apa yang mama aku dah buat dulu.”

Malam tadi, Datin Safiyah mengakui segalanya. Tentang masa silamnya dan kaitannya dengan Embun. Dia mengakui tindakannya menyebabkan Embun membawa diri.

Ria senyum pahit. “Embun dah maafkan segalanya. Dia yakin ada hikmah di sebalik semua ini.”

Perlahan Aqasha mengangguk. Papan tanda elektronik dibacanya perlahan. Terhenti apabila dia membaca tulisan Kota Kinabalu.

“Andai takdir menentukan kita berpisah, aku tunggu kau di syurga.”

TAMAT