“Masuk dapur pun malas,” usik Qaisara sejurus dia muncul dari dapur. Qayyum bangkit dari pembaringan. “Kau bawa apa, kak?”
“Bawa diri la. Bawa apa lagi?” Qaisara kerut dahi. “Kalau kau nak cucur yang aku baru masak tu, pergi ambil sendiri kat dapur tu. Jangan jadi pemalas.”
“Kau kan kakak aku yang paling cantiik.” Qayyum mula memuji, membuatkan Qaisara menjelingnya tajam. “Lagi?”
“Kau baik hati.”
“Lagi?”
“Kau seorang yang rajin dan suka membantu.”
“Lagi?”
“Apa lagi aku nak puji kau? Semuanya aku dah sebut,” Qayyum garu kepala yang tidak gatal. Qaisara ketawa besar. “Dah tu, ambil la cucur tu sendiri.”
“Menyesal aku puji kau melambung. Bukannya kau nak tolong,” Qayyum mendengus lalu bangkit. Qaisara ketawa panjang melihat Qayyum hentak kaki menuju ke dapur.
“Kenapa gelak macam orang tak betul macam tu?” tegur Afifah sambil menuruni tangga. “Buruk benar bunyinya. Awak tu perempuan.”
“Maaf, mama,” Qaisara tutup mulutnya dengan tangan. “Qayyum tu malas sangat. Nak ke dapur je pun. Itu pun nak suruh orang.”
“Kamu berdua ni…” Afifah geleng kepala. “Kalau tak bergaduh sehari, tak boleh ke? Kamu cuma dua beradik, tapi riuh rumah macam sepuluh orang!”
“Dah dia je adik saya, mama,” Qaisara senget bibir. “Dia la racun, dia la penawar. Dia la bodyguard, dia juga la punching bag saya.”
“Aku dengar tu, kak!” jerit Qayyum dari dapur, membuatkan Qaisara tergelak. Afifah hanya mampu menggelengkan kepala sambil tersenyum.
“Tak tahu dah mama nak buat macam mana dengan korang ni. Nak kata kecil lagi, masing-masing dah 20-an,” Afifah capai alat kawalan jauh dan menukar siaran di televisyen. Enggan masuk campur dengan hal mereka berdua.
“Mama,” Qayyum muncul membawa sebekas cucur yang dimasak Qaisara. “Papa belum balik lagi, kan? Boleh la cucur ni saya habiskan?”
“Bagi la aku sikit! Jangan tamak sangat!” Qaisara cuba mencapai cucur tersebut namun laju sahaja Qayyum melarikannya. Perhatiannya masih pada Afifah. “Betul kan, mama?”
“Tak tahulah mama,” Afifah menghela nafas halus. “Papa kamu keluar pun mama tak tahu. Bukannya mahu nak menelefon. Whatsapp ke. Nanti, tau-tau dah sampai rumah. Bukan sekali dua dia macam tu.”
Tingkah dua beradik itu terhenti. “Mama merajuk ke?”
“Kalau mama merajuk, bukannya papa nak pujuk pun!”
Qayyum terkebil-kebil. Qaisara telan liur.
*****
“Abang dah makan?” tanya Afifah sambil menguntum senyum. “Saya ada masakkan makanan kegemaran abang. Nanti saya sediakan.”
“Tak payahlah susah-susah. Abang dah makan dah tadi,” wajah Tajuddin kelihatan sangat lesu. Afifah terasa hati, namun dia cuba menyingkirkan rasa itu jauh-jauh. Dia mendekati suaminya itu. “Abang penat? Saya urutkan, ya?”
“Terima kasih,” mata Tajuddin terpejam menikmati urutan sang isteri. Sesekali bibirnya mengukir senyuman. Bahagia Afifah melihatnya. Tiba-tiba…
“Abang naik dulu,” Tajuddin bingkas bangun. Mencapai beg bimbit dan barangannya yang lain. “Nak mandi, nak segarkan diri. Kejap lagi nak ke surau pula.”
“Abang,” panggil Afifah ketika kaki Tajuddin mencecah anak tangga ketiga. “Abang ada keluarga lain ke kat luar sana?”
“Apa yang awak cakap ni?”
“Bukan sekali dua abang buat saya macam ni,” luah Afifah lagi. “Dah tak larat saya nak berselindung dari anak-anak setiap kali diorang bertanya, kenapa kita dah tak macam dulu lagi.”
“Diorang kecil lagi, diorang tak tahu apa-apa.”
“Abang, anak-anak kita dah masuk kolej. Dah cukup dewasa untuk tengok dan baca apa yang sedang berlaku antara kita,” balas Afifah, membuatkan Tajuddin terkejut. “Dah masuk kolej?”
“Bila last abang duduk sekejap, berborak dengan anak-anak? Sampai anak dah masuk kolej pun abang tak sedar?”
“Abang sibuk la, banyak kerja. Awak sebagai isteri, sepatutnya faham kesibukan abang.”
“Habis bila pula abang nak faham saya sebagai seorang suami?” tanya Afifah lagi. “Tak adil kalau saya seorang saja yang memahami, tapi tak difahami.”
“Awak cakap berbelit la. Saya tak faham.”
“Abang tak faham ke buat-buat tak faham?” Afifah berpeluk tubuh. “Inilah yang terjadi bila saya ajak berbincang pasal masalah ni. Penghujungnya, gaduh. Saya dah penat la dengan semua ni!”
“Tahu pun penat. Saya pun penat juga,” balas Tajuddin. “Saya perlu rehat yang cukup. Jadual saya padat esok.”
“Abang…,” panggil Afifah, namun bayang lelaki itu sudah hilang di balik tangga. Afifah urut dada. Air matanya menitis lagi.
Dari bilik, Qaisara mengintai di balik pintu. Dia dengar segalanya. Dia nampak segalanya. Matanya berkaca.
*****
“Banyaknya kau makan, kak!” lantang suara Qayyum apabila sampak di kafeteria itu. Dia melabuhkan duduknya di hadapan Qaisara. “Kau bela saka ke apa ni?”
“Kau baru lepas telan bateri ke apa ni??” balas Qaisara sambil menjeling ke arah adiknya itu. “Suara tu kalau boleh nak sampai ke pintu masuk utama kampus ni. Kuat sangat!”
Qayyum tersengih. “Tapi serius la kak. Banyak gila kau makan ni. Kau baru lepas putus cinta ke apa?”
“Teman lelaki pun tak ada. Macam mana nak putus cinta,” penuh mulut Qaisara menjawab soalan Qayyum. “Jadual kelas penuh sampai ke tengahari. Aku tak sempat sarapan.”
“Patut la,” Qayyum senget bibir. “Macam mana dengan rancangan kita tu?”
“Rancangan yang mana? Kau tu banyak rancangan,” balas Qaisara. Qayyum mendengus. “Rancangan nak pulihkan hubungan mama dan papa la. Kau ingat rancangan apa?”
“Oh, rancangan tu ke?” Qaisara menghabiskan makanannya. Pinggan ditolak ke tepi. “Jadi la. Aku dah buat tempahan hotel atas nama mama. Tentatif percutian pun aku dah bagi pada mama. Macam mana dengan papa?”
“Mulanya, papa macam tak nak pergi. Tapi bila aku pujuk sikit, papa mula mengalah. Dan ya, dia setuju pergi,” ujar Qayyum. “Kau rasa, betul ke apa yang kita buat ni?”
“Betul la,” balas Qaisara. “Kita bukan buat benda jahat pun. Kita cuma nak satukan mama dan papa balik. Nak diorang bercinta macam dulu. Salah ke?”
“Bercinta macam dulu?”
“Kau lupa ke, kita sangat bahagia dulu?” tanya Qaisara kembali. “Aku ingat lagi dulu, kita selalu makan bersama. Hujung minggu kita berkelah bersama.Mama selalu tersenyum. Papa selalu ketawa. Sekarang? Aku rasa macam kita ni hanya teman serumah, bukan keluarga.”
Qayyum mengeluh kecil. “Ada betulnya juga kata-kata kau tu.”
“Jadi sekarang ni, kita bantu diorang. Mungkin diorang tak nampak apa yang kita nampak sekarang ni. Sekarang ni la kita balas jasa diorang besarkan kita, walaupun tak terbalas sebenarnya.”
“Tapi kalau tak berjaya juga, macam mana?”
“Kita kena yakin dengan apa yang kita buat,” jawab Qaisara bersemangat. “Dan kita kena letakkan keyakinan kita pada Allah SWT.”
“Tapi serius la kau nak buat rancangan ni, kak?”
“Kita dah sampai tahap ni dah, dik. Apa lagi yang kau fikirkan?”
“Aku… teringin nak bercuti bersama keluarga,” jawab Qayyum lambat. “Dah lama kita tak buat macam tu.”
Qaisara hanya diam, tidak menjawab kata-kata Qayyum.
*****
“Terima kasih,” ucap Afifah lalu kad kunci hotel diambil dari kaunter. Sambil tersenyum, dia mendapatkan Tajuddin yang sedang menggunakan telefon pintar di sofa.
“Abang, jom,” ajak Afifah. Tajuddin tidak banyak bicara, dia mendapatkan bagasinya dan berjalan menuju ke lobi lif. “Ruginya tempah hotel mahal begini, kalau cuma kita berdua.”
“Nak buat macam mana, dah anak-anak kita ada urusan di saat akhir,” balas Afifah. Rasa kecil hati dicampak ke tepi. “Tapi okey apa. Dah lama kita tak bercuti macam ni. Dah macam bulan madu pula.”
Afifah ketawa kecil. Tajuddin masih beriak selamba.
Selama tiga hari dua malam mereka bercuti di hotel itu, tidak banyak aktiviti yang mereka lakukan. Masa mereka banyak dihabiskan di bilik hotel. Mereka hanya keluar ketika ingin mengisi perut. Tajuddin juga dilihat tidak lepas dari telefon pintarnya, sedikit sebanyak membuatkan Afifah terasa hati. Namun tidak pernah dia suarakan.
“Abang, hari ni kita makan makanan laut, nak? Ada satu restoran ni, baru dibuka. Tak jauh dari sini. Ada diskaun tau!”
“Jauh sangat ke? Kalau jauh sangat, tak payah la pergi,” sahut Tajuddin malas. Dia masih berbaju tidur seperti semalam. ‘
“Tak jauh pun, abang. Lima minit je berjalan kaki dari sini,” ajak Aifah lagi. “Jomlah, abang. Makanan laut kan makanan kegemaran abang.”
“Dah lama abang tak makan makanan laut,” balas Tajuddin. “Dan abang tak terasa nak makan dah sekarang ni.”
“Abang ni kenapa?” nada suara Afifah tinggi sedikit, menarik perhatian Tajuddin. “Awak dah kenapa?”
“Abang tanya saya? Abang tengok diri abang tu!” mata Afifah sudah mula berkaca. “Apa makna rumahtangga ni kalau asyik saya yang berusaha?”
“Apa yang awak cakap ni? Makan pakai awak dan anak-anak saya dah sediakan, kan? Apa lagi yang kurang?”
“Banyak yang kurangnya, bang! Apa abang ingat, tertunai sudah tanggungjawab abang bila makan pakai kami terjaga?”
“Habis tu, apa sebenarnya yang awak nak?”
“Kasih sayang abang. Perhatian abang. Keberadaan abang sebagai suami, ayah dan ketua keluarga,” suara Afifah semakin merendah. “Abang sedar tak, abang dah lama tak bersama saya? Dengan anak-anak? Sampai diorang masuk kolej pun abang tak sedar?”
“Abang sibuk,” jawab Tajuddin datar. “Abang cari rezeki untuk anak-anak. Untuk awak. Untuk kita juga.”
“Abang, kami perlukan kasih sayang abang. Bukannya harta benda,” Afifah sudah separuh merayu. “Abang sedar tak, anak-anak kita membesar tanpa seorang ayah, walaupun abang masih ada dalam keluarga?”
Tajuddin terdiam mendengarnya, memberi peluang untuk Afifah meneruskan kata-katanya. “Duit memang penting, tapi duit bukan segalanya. Duit tak mampu beli kasih sayang seorang ayah, seorang suami. Dan itu yang kami perlukan dari abang sekarang ni.”
Tajuddin mengeluh kecil. “Abang minta maaf.”
Aifah senyum pahit. “Sekarang ni, abang boleh janji dengan saya? Kembalikan suami saya, kembalikan ayah kepada anak-anak kita macam dulu?”
“Abang minta maaf. Abang tak boleh.”
“Kenapa?”
“Dulu tak sama macam sekarang,” jawab Tajuddin. “Sekarang ni, abang banyak kerja, bukan macam dulu. Bos abang juga dah mula percaya pada abang.”
“Jadi abang sanggup belakangkan keluarga demi kerjaya?” tanya Afifah. “Abang sanggup belakangkan saya dan anak-anak, orang-orang yang sentiasa doakan abang?”
“Inilah yang abang selalu kata, awak takkan faham!” suara Tajuddin tinggi tiba-tiba. “Awak takkan faham apa yang saya lalui sekarang.”
“Macam mana saya nak faham abang kalau abang sendiri tak cuba fahamkan saya?”
“Awak ingat abang tak cuba? Tapi setiap kali abang cuba, akhirnya kita bergaduh, bertengkar. Macam mana tu?”
“Bilanya yang abang cuba?” balas Afifah berani. “Setiap kali saya ajak berbincang, abang yang cuba mengelak. Ataupun kita bergaduh. Siapa yang salah?”
“Sekarang ni awak nak salahkan abang ke?” melengking suara Tajuddin, membuatkan Aifah terdiam. Dia terduduk. Air matanya mengalir. Tajuddin hanya memerhatikan. Lama merea berkeadaan begitu, sehinggalah Afifah akhirnya bersuara.
“Kalau macam ni caranya, lebih baik kita bercerai.”
Tajuddin hanya memandang tanpa rasa.
*****
“Cerai?”
“Ya, cerai. Saya rasa itulah jalan yang terbaik,” jawab Afifah. Dia tahu, keputusannya ini pasti akan membangkitkan kemarahan ramai orang. Salah seorangnya…
“Mak tak faham dengan kamu berdua ni. Orang nampak korang pasangan yang paling bahagia. Tak pernah bergaduh. Tiba-tiba nak bercerai? Mak tak boleh terima.”
“Apa yang dilihat tak sama dengan apa yang dirasa, mak,” jawab Afifah. “Ada je pasangan yang bercerai walaupun tak pernah bergaduh.”
“Tapi kenapa? Mak nampak si Tajuddin tu baik orangnya? Kenapa? Ada orang ketiga ke?”
“Bukan la,” Afifah tergelak kecil, cuba menutup kesedihan yang melanda. “Macam ni je la. Biarlah ia menjadi rahsia antara kami. Saya masih cuba jaga aib suami dia.”
“Dia bukan lagi suami kamu, Afifah.”
“Tapi dia masih ayah kepada anak-anak saya, mak.”
“Suka hati kamu la,” si ibu akhirnya mengalah. “Anak-anak kamu kata apa?”
Pertanyaan si ibu membuatkan Afifah berfikir sejenak. “Anak-anak, okey. Mereka sokong apa pun keputusan saya.”
“Mama nak bercerai?” tanya Qayyum apabila Afifah menyatakan keputusannya hari itu. “Ingatkan bila pergi berbulan madu, hubungan tu boleh diperbaiki. Rupanya ia jadi lebih teruk!”
“Kita hanya berusaha, kan?” balas Qaisara. “Mama betul ke nak bercerai ni? Dah fikir masak-masak?”
“Dah masak dah hangus dah pun,” jawab Afifah, separuh bergurau. “Mama rasa, lebih baik kita hentikan semua ni daripada lebih banyak hati yang terluka. Ayah masih berdegil dengan keputusannya. Mama dah tak mampu ikut rentaknya.”
“Buat la apa yang mama rasa terbaik. Kami tetap sokong dan sayang mama walau apapun yang terjadi,” ujar Qaisara. “Hubungan baik itu boleh dikekalkan walaupun tanpa ikatan, kan?”
“Afifah!”
“Ya, mak?”
“Macam mana sekarang? Tuntutan harta sepencarian? Hak penjagaan anak? Perkara lain yang berkaitan, macam mana pula?” pertanyaan demi pertanyaan membuatkan Afifah kerut dahi. “Banyaknya!”
“Kalau masa bernikah dulu pun banyak kerja yang dibuat, masa bercerai ni ingat senang? Lagi banyak isu yang timbul, tahu!”
“Kami dah sepakat dan bersetuju, tiada sebarang tuntutan yang akan kami buat selepas bercerai.”
“Baguslah kalau macam tu,” ucap si ibu. “Mak harapkan kamu bahagia lepas ni.”
“Terima kasih, mak.”
*****
7 tahun kemudian…
“Pekan Raub di negeri Pahang
Daerah masyhur raja durian
Dari Damansara kami datang
Nak petik bunga di taman tuan
Sepasang merpati sudah berjanji
Burung lain sudah ketepi
Menyampai hajat Putera kami
Meminang Puteri pilihan hati
Adat setempat dijunjung hormat
Dulang hantaran terhias sangat
Kedua pihak menghurai hajat
Bertolak ansur membawa berkat
Cincin sebentuk sebagai tanda
Ikatan pertunangan jadi sempurna
Pihak perempuan setuju terima
Pihak lelaki syukur dan gembira
Cincin disarung bakal mertua
Keluarga gembira foto bersama
Lepas makan masa dah tiba
Janji dibawa pulang bersama.”
“Macam mana? Dah tetapkan tarikh nikah ke? Atau masih berbincang?” tanya Qaisara, tidak sabar. Qayyum hanya menjeling kakaknya itu. “Lawa juga kau ni kak bila berbaju kurung macam ni. Selalunya berkemeja T dan berseluar yengki je.”
“Tukar topik je kau kan?” Qayyum mengaduh kesakitan setelah diluku Qaisara. “Ubah la sikit perangai tu. Kau dah bertunang tau, kak. Jadilah perempuan sikit.”
“Jawab dulu soalan aku!”
“Ye la, ye la,” Qayyum senget bibir. “Diorang kalau boleh nak cepatkan majlis nikah. Tapi mama dah bagitahu yang kita kena cari ayah dulu untuk jadi wali.”
“Diorang kata apa?”
“Diorang bersetuju,” jawapan Qayyum membuatkan Qaisara benar-benar lega. “Aku tak faham la kak. Kenapa kau beria nak ayah walikan kau masa nikah nanti? Aku kan boleh jadi wali.”
“Mama yang minta macam tu. Lagipun, betul juga kata-kata mama tu.” jawab Qaisara. “Dia tetap ayah kita. Dia perlu tahu apa yang berlaku pada kita.”
“Dia bukannya ambil tahu hal kita pun,” Qayyum memuncungkan mulutnya. “Sejak bercerai dengan mama, ayah terus hilang tanpa berita.”
“Sebab tu kita kena cari dia,” balas Qaisara. “Kau jangan lupa, ayah tu anak yatim piatu. Sebatang kara. Kita je keluarga yang dia ada. Sekurang-kurangnya tak la ayah tu berkecil hati kalau dia dapat tahu hal ni dari media sosial.”
“Dia bukan orang yang suka main media sosial la kak.”
“Manusia boleh berubah. Dah 7 tahun kan?”
“Ye la, kau menang,” Qayyum akhirnya mengalah. “Jadi, kau nak cari ayah di mana? Dia tak pernah jumpa kita sejak bercerai dengan mama. Nombor telefon dia pun kita tak tahu. Apatah lagi alamat rumah. Kau nak buat macam mana?”
“Apa susah?” Qaisara senyum. “Media sosial kan ada!”
*****
"Hei nasi goreng! Hei sungguh lazat! Sungguh sedap, sungguh enak, digoreng dengan…"
"Bila la rasanya aku nak merasa nasi goreng yang kau masak," Qaisara muncul dari dapur, mematikan nyanyian Qayyum. "Asyik aku je yang masak, kau tukang habiskan. Sesekali, teringin juga aku nak tengok kita bertukar posisi."
"Kau ni, suka sangat potong nyanyian aku. Tak baik tau, dengki dengan orang bersuara merdu macam aku ni."
"Suara kau merdu? Tolong la. Suara kucing kat depan rumah Pak Mail tu lagi sedap dari suara kau, tahu!"
"Jangan dengki la," Qayyum memuncungkan mulutnya. "Sebab suara merdu ni la, poster kita haritu ramai yang kongsi tau! Aku tengok semalam, dah 20 ribu yang kongsi poster tu."
"Poster tu memang cantik, tapi bukan suara kau, okey! Macam suara katak je," kutuk Qaisara lagi. "Eh, mama ada tanya pasal poster tu semalam."
"Kenapa? Ada yang tak kena ke? Macam mana mama dapat poster tu?"
"Mama bukan buta IT," terdengar suara Afifah dari tingkat atas membuatkan mereka tersentak. Wanita itu menuruni tangga dengan senyuman manis. "Ada kawan mama bagi poster tu dalam Whatsapp. Dia nak tanya, betul poster tu anak-anak mama yang buat."
"Mama marah ke?"
"Marah? Tak la. Mama suka tengok poster tu. Sekurang-kurangnya, ada usaha untuk korang cari ayah korang."
Mendengar kata-kata itu, hati Qayyum tersentuh. Tambahan pula bila melihat wajah sayu Afifah. "Mama, sebenarnya mama rindukan ayah, kan? Sebab tu mama letakkan syarat macam tu kat kakak."
Afifah tidak menjawab. Namun Qayyum nampak matanya berkaca. "Mama…"
"Bukan sehari dua mama hidup dengan ayah kamu," serak suaranya. Sebak mereka mendengarnya. "Lama. Dua puluh tiga tahun, bukan dua puluh tiga hari."
Qaisara kuis karpet di kaki.
"Kamu berdua bukan anak mama sorang. Korang, anak ayah juga. Jadi dia berhak, dan layak untuk meraikan hari bahagia korang."
Qayyum mendapatkan Afifah yang duduk di sofa. "Demi mama… demi mama, kami sanggup lakukan apa saja. Aoa yang kami lakukan ni, tak seberapa kalau nak dibandingkan kasih sayang mama. Kita cari ayah ya?"
"Terima kasih Qayyum, Qaisara. Kamu berdua…"
Kata-kata Afifah terhenti apabila telefon pintar Qaisara menjerit nyaring. Nombor asing yang terpapar membuatkan Qaisara pandang Qayyum yang tersengih.
"Aku letak nombor telefon kau kat poster tu, kak."
Qaisara mendengus seketika sebelum menjawab panggilan itu. "Helo… ya saya. Apa? Ayah saya di hospital?"
Ternganga Qayyum dan Afifah mendengarnya.
*****
“Hepatoma?”
“Ya, atau lebih dikenali sebagai kanser hati,” jawab doktor yang bertugas. “Encik Tajuddin dikesan menghidap penyakit ini enam tahun lalu. Sejak itu, dia komited menjalani rawatan pemulihan.”
“Sepatutnya dia dah sembuh la, kan?”
“Kita hanya manusia, puan. Kita hanya mampu berusaha, namun Allah lebih Berkuasa,” jawab doktor itu perlahan. “Hepatoma menduduki tangga ketiga bagi kematian berpunca dari kanser pada keseluruhannya.”
“Bermakna ia sangat berbahaya.”
“Saya minta maaf, puan. Encik Tajuddin teringin sangat bertemu dengan puan dan anak-anaknya sebelum dia menutup mata.”
Keluar dari bilik doktor itu, Afifah termenung sendiri. Apatah lagi melihat keadaan bekas suaminya yang berbeza dari dahulu. Dahulu sasa, sekarang kurus melidi.
“Kenapa awak tengok saya macam tu?” tanya Tajuddin, lemah. “Awak patut bersyukur sebab saya dah kurus sekarang. Awak yang minta saya diet, kan?”
“Abang…!” tidak mampu lagi dia menahan air mata. “Kenapa abang tak pernah bagitahu saya tentang apa yang berlaku pada abang?”
“Awak yang minta penceraian ni, jadi abang anggap kamu bahagia dengan perpisahan ni,” jawab Tajuddin perlahan. “Abang tak mahu ganggu kebahagiaan awak.”
“Abang tetap ayah kepada anak-anak kita. Mereka berhak tahu tentang apa yang berlaku pada abang. Tolonglah abang, jangan pentingkan diri sendiri!”
“Abang minta maaf,” ucap Tajuddin. Suasana hening seketika. Hanya esak tangis Afifah yang kedengaran. “Abang betul-betul minta maaf.”
“Qaisara dah nak kahwin, abang. Apa abang ingat dia mampu berbahagia ke bila tengok abang macam ni?” Masih Afifah ingat deraian air mata anaknya itu apabila mendapat tahu keberadaan ayahnya di hospital.
“Kenapa ayah tak pernah bagitahu dia sakit selama ni? Dia lupa ke yang dia ada anak yang sentiasa doakan kesejahteraan dia selama ni?”
“Ini ke punca kenapa dia menghilangkan diri? Sebab tak nak kita risaukan dia? Dia sedar tak, bila dia buat macam ni, kita akan lebih risaukan dia?”
“Abang tetap akan walikan dia masa nikah nanti.”
“Abang tak larat nanti.”
“Abang cuba. Demi anak kita,” Tajuddin sudah nekad dengan keputusannya. “Itu hari bahagia anak kita. Abang akan cuba penuhi kehendaknya. Selama ni, abang abaikan mereka adik-beradik. Inilah yang mampu abang buat sebelum abang pergi.”
“Abang,” panggil Afifah setelah diam beberapa ketika. “Kita kahwin semula?”
.
“Hah?”
*****
“Aku terima nikahnya Afifah binti…”
“Tajuddin, Tajuddin,” tegur imam yang duduk di sebelahnya. “Kamu ni nak menikahkan anak. Bukan kamu yang menikah.”
Pecah tawa mereka yang menghadiri majlis itu, termasuk Qaisara dan Afifah. Merah padam muka Tajuddin. Qayyum tepuk dahi.
“Maaf, saya lupa pula,” ucap Tajuddin. “Kita mula kembali, ya? Bismillah…” tangan lelaki itu dijabat erat. “Muhammad Taufiq bin Razif, aku nikahkan dikau dengan anakku, Qaisara binti Tajuddin dengan mas kahwinnya RM300 tunai.”
“Aku terima nikahnya Qaisara binti Tajuddin dengan mas kahwinnya RM300 tunai,” balas lelaki itu dengan sekali lafaz. Tajuddin pandang dua saksi yang mengapitnya. “Sah?”
“Sah!”
“Alhamdulilah…,” dan mereka menadah tangan membacakan doa. Air mata menitis di pipi Qaisara dan Afifah. Syukur dipanjatkan pada Ilahi.
“Puan Qaisara,” panggil Qayyum sambil tersengih-sengih. “Tak sangka aku, kau dah ada suami. Lepas ni tak boleh ganas-ganas lagi. Kena lembut je percakapan dan perbuatan kau tu.”
“Tak apa, Taufiq terima aku seadanya,” Qaisara membalas geram. “Tapi kan, yang paling gembira sebenarnya adalah mama.”
“Eh, kenapa pula?” tanya Afifah pelik.
“Menantu dapat, suami pun dapat!” Qayyum terkekeh ketawa sebelum disekeh oleh Qaisara. Afifah dan Tajuddin ketawa mendengarnya sambil berpegangan tangan.
“Tak sangka, mama kahwin dulu sebelum saya. Potong jalan ni! Pandai ya!”
“Eleh, kahwin pun bukan dengan orang lain. Dengan ayah kamu juga,” Afifah menjeling manja ke arah Tajuddin yang sedang tersenyum. “Itu yang sampai tersasul tu.”
Ketawa besar Tajuddin mendengarnya. “Maaf la. Ingat majlis sendiri tadi.”
“Ayah nak tahu sesuatu?” tanya Qaisara, menarik perhatian mereka. “Saya rasa saya dah dapat ayah saya balik.”
“Betul,” Qayyum mengiakan. “Dah lama kita berempat tak bergurau senda macam ni.”
“Maafkan ayah,” ucap Tajuddin. “Ayah tak sepatutnya buat macam tu pada kamu semua. Sekarang ni, ayah menyesal. Kamu sebenarnya kebahagiaan ayah. Bukan kerja, bukan benda lain. Hanya kamu.”
“Kami dah lama maafkan ayah,” sahut Qayyum. “Janji, ayah berada di sini bersama kami. Itu sudah lebih dari cukup.”
“Eh, tak. Belum lagi,” Qaisara pula bersuara. “Kami hanya akan maafkan ayah kalau ayah boleh tunaikan datu lagi permintaan kami.”
“Ayah tak sihat la,” sanggah Afifah. “Permintaan apa yang korang nak buat ni? Jangan macam-macam ya.”
Qayyum dan Qaisara berpandangan sesama sendiri sambil tersenyum-senyum.
*****
“Abang, berehatlah dulu. Dah pukul berapa ni?” tanya Afifah, mamai. Perlahan dia mencapai jam tangan di meja katil. “Pukul tiga pagi?”
“Abang dah terbiasa bangun waktu begini,” ujar Tajuddin. “Dah jadi rutin pula, bangun waktu begini untuk solat tahajud.”
Membulat mata Afifah mendengarnya. “Abang solat tahajud? Sejak bila?”
“Sejak abang disahkan berpenyakit,” jawab Tajuddin perlahan. “Abang rasa, ada hikmahnya semua ini berlaku. Sebab ia mendekatkan abang dengan Tuhan.”
“Abang…”
“Selama ni, hidup abang asyik dengan kerja saja. Keluarga pun abang abakan, apatah lagi agama,” Tajuddin bersuara serak. Afifah jadi sebak.
“Bila abang ada penyakit ni, ia bagaikan satu tamparan hebat untuk abang. Satu persatu yang ada pada abang, ditarik begitu saja. Masa tu, abang rasa abang dah hilang segalanya. Abang… abang…”
“Kami kan ada,” potong Afifah lembut. “Kami kan keluarga abang. Kami tak pernah lupakan abang.”
Tajuddin senyum nipis. “Abang segan bila awak cakap macam tu.”
Afifah bangun dari duduknya. Dia merapati suaminya dengan senyuman manis. “Abang, marilah.”
Tajuddin tergamam. “Marilah… apa?”
“Marilah kita solat tahajud bersama.”
“Oh…,” Tajuddin melepaskan keluhan lega. “Abang ingatkan apa tadi.”
“Tadi kan abang yang nak tahajud. Apa salahnya saya solat sekali,” ujar Afifah. “Lagipun, berjemaah lebih banyak pahala, kan?”
“Betul. Jom.”
Afifah ambil wuduk. Tajuddin bentang sejadah. Mereka solat taubat, tahajud dan solat hajat bersama. Terasa indah terlihat apabila Afifah menyalam tangan Tajuddin setiap kali selepas solat.
“Afifah,” panggil Tajuddin, membuatkan dia tersentak. Jarang suaminya itu memanggilnya sebegitu. “Ada apa, abang?”
“Awak maafkan abang?”
“Mestilah. Abang kan suami saya.”
“Kalau abang dah tak ada nanti, kita akan kembali berpisah, kan?”
“Perpisahan kali ni, adalah perpisahan yang saya redhai. Kerana saya tahu, ke mana abang pergi,” jawab Afifah perlahan.
“Awak maafkan abang?”
“Pasti.”
“Jom,” Tajuddin bangkit lagi. “Kita solat sunat lagi. Waktu subuh dah nak masuk. Lepas subuh, kita akan bertolak ke hotel yang ditempah untuk bulan madu kita, kan?”
“Abang ni…,” merah padam wajah Afifah mendengar kata-kata itu. Namun dia tetap bangkit dan menjadi makmum kepada suaminya. Dua rakaat dirasakan terlalu lama, terutamanya pada sujud terakhir.
“Subhanallah…,” serunya buat kali pertama. Tiada respon. Seruan buat kali kedua juga tiada jawapan. Afifah nekad, keluar dari saf dan menghabiskan solat sunatnya. Matanya sudah mula berkaca. Usai salam kedua, dia menerpa ke arah Tajuddin.
“Abang!”
Tubuh Tajuddin tumbang apabila disentuh. Afifah tergamam. Dengan tangan menggigil, dia menyentuh nadi di tangan. Tiada denyutan! Hidung pula menjadi sasaran. tiada hembusan nafas.
“Awak maafkan abang?”
“Mestilah. Abang kan suami saya.”
“Kalau abang dah tak ada nanti, kita akan kembali berpisah, kan?”
“Perpisahan kali ni, adalah perpisahan yang saya redhai. Kerana saya tahu, ke mana abang pergi.”
“Abang… Pergilah. Saya redha. Saya dah lama maafkan abang,” Afifah membaringkan dirinya di sebelah Tajuddin yang sudah terbujur kaku. Azan Subuh berkumandang, mengiringi pemergian Tajuddin. Afifah masih basah dengan air mata.
TAMAT