Sunday, May 3, 2020
Cerpen : Kemarin
Pesawat itu memuntahkan isinya sebaik sahaja selamat mendarat. Penumpang berpusu-pusu keluar. Reza tidak terkecuali. Dengan tenang dia mendapatkan barang bawaannya dan melangkah keluar. Sempat dia mengucapkan terima kasih pada krew kabin yang bertugas.
Sementara menunggu untuk mendapatkan bagasi, Reza mengambil kesempatan untuk menyemak notifikasi di telefon pintar. Semua emel yang diterima dibaca satu persatu. semua pesanan ringkas yang masuk dibaca sekali lalu.
Kecuali pesanan itu.
“Selamat kembali ke Malaysia! Aku tunggu kau di kafe yang selalu kita lepak tu. Maaf, aku tak dapat jemput kau. Aku ada mesyuarat tadi.”
Reza senyum. Laju jari jemarinya menari di skrin telefon pintarnya. “Baik, tunggu aku. Dah lama aku tak makan makanan Malaysia. Aku nak pesan makanan paling mahal di kafe tu. Yang penting kau belanja, Zaini.”
“Tak ada masalah!”
Usai mendapatkan bagasinya, Reza terus membuat tempahan e-hailing. Dia mahu pulang ke rumah dahulu untuk menghantar bagasinya. Selesai membersihkan diri seadanya, dia keluar semula, untuk berjumpa dengan Zaini.
“Lihatlah kau!” seru Zaini apabila mereka bertemu. “Apa kau tak cukup makan ke kat Itali tu?”
“Kan aku dah cakap, aku dah lama tak makan makanan Malaysia,” balas Reza. “Sekarang ni, aku nak makan puas-puas. Kau jangan kacau aku.”
“Iya-iyalah tu,” Zaini senget bibir. “Tengoklah apa yang kau pesan tadi tu? Bukan semuanya makanan barat ke?”
“Makanan barat, citarasa Malaysia,” balas Reza selamba. “Kan lain tu. Mana boleh dapat rasa macam ni kat sana.”
“Pandailah kau,” Zaini geleng kepala. “Kau balik terus ke ni? Tak ke sana lagi dah? Atau akan ke sana lagi dalam tempoh terdekat?”
“Ya,” jawab Reza. “Tapi tak tahu la akan datang macam mana. Kerjaya sedang berkembang, kan. Mungkin lepas ni bos aku akan hantar aku ke tempat lain pula. Mana tahu?”
“Ya, aku tahu. Kerjaya kau memang sedang berkembang. Tapi usia kau juga makin meningkat,” ujar Zaini. “Bila nak kahwin?”
“Amboi! Tak menyabar!” bulat mata Reza memandang sahabatnya itu. “Aku baru balik, kan, Tunggulah dulu. Ada jodoh, adalah.”
“Ayat tu aku dah dengar lima bulan yang lepas dah, Reza oi!” tempelak Zaini. “Belum sempat aku dengar jawapan lanjut kau, dah sampai pun kau kat Itali tu. Baru hari ni aku jumpa kau. Tak guna punya kawan!”
Tergelak Reza mendengarnya.
“Atau kau masih belum lupakan kisah lama?” pertanyaan Zaini buat tawa Reza mati tiba-tiba. Hilang senyumannya. Sebaliknya, dia membuang pandang ke luat kafe. Ramai orang lalu lalang di situ.
“Reza,” panggil Zaini membuatkan pandangannya teralih. “Aku salah cakap ke tadi? Kalau salah, aku minta maaf.”
“Bukan,” Reza menggeleng sambil tersenyum nipis. “Tapi betul la kata kau. Aku masih belum boleh lupakan Fasha.”
*****
Reza membuang satu persatu barangan milik Fasha ke dalam tong sampah. Baju, barangan mekap, dan semua yang berkaitan dengannya. Kata-kata Zaini tempoh hari masih diingatnya sehingga sekarang.
“Fasha datang cari aku, Reza. Dia cakap, kau tukar kunci pintu rumah kau. Dia dah tak boleh masuk.”
“Kenapa pula dia nak datang? Bukan ke dia yang cakap dia takkan jejakkan kaki ke rumah tu? Jijik katanya.”
“Dia kata barang-barang dia ada lagi kat rumah kau.”
“Mengarut,” Reza mendengus. “Dia dah bawa semuanya masa keluar rumah haritu. Satu pun dia tak tinggalkan, kecuali kenangan. Apa lagi yang tinggal?”
“Baju, barangan mekap dan semua yang berkaitan. Itu yang dia kata pada aku," Zaini angkat bahu. "Aku rasalah kan, ada yang tak kena. Dia macam sembunyikan sesuatu daripada kau."
"Nak sembunyikan apa lagi? Semuanya sudah terbongkar," balas Reza. "Dia dah mengaku semuanya pada hari dia tinggalkan rumah tu."
"Aku tak berani komen pasal tu," Zaini angkat bahu lagi. "Tapi kalau kau jumpa dia balik lepas ni, kau tegur dia tak?"
"Buat apa?" dahi Reza berkerut. "Dia yang beria-ia nak keluar dari kehidupan aku. Buat apa aku nak terhegeh-hegeh tegur dia?"
Masin betul mulut Zaini. Dua minggu kemudian, dia terserempak dengan wanita itu di pasaeaya. Namun Reza hanya berlagak biasa, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku antara mereka.
"Ini tempat awam, sesiapa saja boleh datang sini. Tiada siapa boleh larang," fikirnya. Dia hanya mampu berharap agar wanita itu tidak menegurnya.
Namun harapannya meleset. Ketika dia sedang memilih bawang, wanita itu semakin lama semakin dekat dengannya.
"Jarang orang lelaki pandai pilih bawang," terdengar lembut suara Fasha ke peluput telinga. Hampir runtuh tembok keegoan Reza. Sabar Reza, sabar!
Reza berdehem perlahan lalu melangkah pergi situ. Namum getar suara Fasha menghentikan langkahnya.
"Awak tak nak ajar saya macam mana nak pilih bawang ke? Saya tak reti la. Boleh ajarkan saya?"
Reza pejam mata. Nafas diatur perlahan. Kemudian dia melangkah pergi dari situ, meninggalkan Fasha dan kelakuannya.
"Awak!" terkejut Reza apabila Fasha tiba-tiba memintasnya. "Sampai hati awak tak nak tolong saya. Dah sombong ya awak sekarang, dah tak nak tegur saya lagi."
Reza geleng perlahan. Dia capai susu yang kebetulan ada di situ. Baru sahaja dia ingin melangkah pergi, lengannya dicengkam kuat oleh Fasha. Raut wajah wanita itu keruh.
"Saya tak suka bila awak buay saya macam ni. Sampai hati awak!"
"Macam mana?" Perlahan, dia lepaskan cengkaman kuat Fasha. Mata wanita itu dipandang dalam-dalam. "Kenapa? Sakit hati?"
Belum sempat wanita itu membalas, Reza sudah menyambung, "Macam tu la perasaan saya bila ditinggalkan awak dulu. Sakit, perit, sedih. Tapi awak tak peduli semua tu. Yang awak tahu, awak dan diri awak tu je."
"Awak, saya…"
"Awak tak pernah peduli perasaan saya masa tu. Jadi buat apa saya nak pedulu perasaan awak sekarang?"
Lidah Fasha kelu.
*****
"Kami sama-sama buta. Dia dibutakan kerana harta, aku dibutakan kerana cinta."
Reza mengeluh halus, menarik perhatian Zaini yang sedang menonton televisyen. "Kau datang sini nak gelak-gelak ke, nak sedih-sedih?"
"Aku ingat nak ajak kau tengok video gusti. Tapi bila sampai sini, drama Samarinda pula yang jadi," Reza tersenyum pahit. "Aku ingat nak pindah rumah la."
"Tapi rumah tu kan rumah kau."
"Aku boleh jual, kan?"
"Kau nak pindah ke mana?"
"Belum tahu lagi. Itu yang aku tanya kau ni. Ada rumah murah tak di kota?"
"Kau tanya pasal benda yang tak mungkin berlaku. Macam mana aku nak jawab?" Zaini senget bibir. "Susah la nak jumpa rumah murah kat kota sekarang ni."
Reza angguk perlahan mendengar kata-kata Zaini. "Ya tak ya juga. Jadi aku kena pindah ke desa?"
"Jadi petani moden la kau nanti. Hilang semua kekacakan kau nanti."
"Petani moden pun kacak apa. Kaya pun kaya. Biar padan muka Fasha. Siapa suruh dia tinggalkan aku."
"Bingo!" Zaini petik jari. "Kau sebenarnya nak pindah rumah sebab Fasha, kan? Mengaku je la."
"Ya," jawapan Reza buat Zaini terdiam. "Dia cari aku di rumah tu hampir setiap hari. Aku tak nak timbul masalah."
"Kenapa dengan dia tu? Dah gila talak ke apa?"
"Entah," jawab Reza. Dia capai konsul di hadapannya. "Itu yang aku datang rumah kau ni. Aku takut aku kalah lagi dengan rayuannya."
"Muka je ganas. Dalam hati ada taman," kutuk Zaini buat Reza menjelingnya tajam. "Dah lama hidup?"
"Lama la juga. Cuma belum kahwin lagi," Zaini tersengih lebar. "Aku bukan macam kau."
"Kena lagi…," Reza tepuk dahi.
"Kau sewakan ajelah rumah kau tu. Tinggal dengan aku," cadang Zaini. "Kau pun bukan selalu ada di Malaysia. Terbang ke sana sini. Lapangan terbang tu dah macam rumah kedua kau dah."
"Kutuk aku lagi?"
"Kenyataan kan?" Zaini tersengih lagi. "Tapi cadangan aku tu, serius. Aku bosan la sorang-sorang kat rumah."
"Kalau aku keluar negara pun kau masih sorang-sorang kat rumah. Sama je, kan?"
"Sama tapi berbeza," nada suara Zaini mula berubah. "Aku juga boleh bantu kau lupakan Fasha. Dia mana tahu aku tinggal di mana. Jadi dia takkan kacau kau lagi."
Reza bersandar malas di sofa. Laju jari-jemarinya menari di atas konsul permainan. "Nantilah aku fikir dulu. Tawaran ni tiada tarikh akhir, kan?"
"Ya!"
*****
"Kyoto?"
"Ya. Kyoto. Dia baru bertolak semalam," jawab Zaini. Fasha mengeluh berat. "Berapa lama dia pergi kali ni?"
"Bergantung pada prestasi kerjanya. Paling cepat, tiga bulan. Paling lama, setahun," jawab Zaini. "Kenapa kau tak putus asa cari dia?"
"Aku masih perlukan dia, Zaini."
"Oh, kau perlukan dia? Bukanlah kau cintakan dia pun," Zaini separuh menyindir. "Apa kau ingat Reza tu barang ke yang kau boleh tolak tarik macam tu je?"
"Jangan masuk campur urusan aku, Zaini. Kau tak faham!"
"Apa yang aku tak faham? Bagitahu aku," cabar Zaini berani. "Kau yang tinggalkan dia, ikut lelaki tu yang lebih layak jadi ayah kau. Hanya sebab dia kaya. Apa kau ingat Reza tu tak ada hati dan perasaan?"
"Sebab tu aku kata kau tak faham!"
"Ya, memang aku tak faham. Kau yang tinggalkan dia, Fasha," Zaini bersuara geram. "Kau keluar dari rumah tu lepas kau hina dia. Kau kata dia miskin. Kau kata dia anak yatim piatu. Kau kata kau terseksa hidup dengan dia. Sekarang kau cari dia balik?"
"Aku jadi saksi, dia merana dengan keputusan kau. Berbulan dia berkurung dalam rumah. Dah macam kuarantin pun ada. Aku yang selalu ambil berat pasal dia. Berat badannya susut teruk. Daripada seorang yang sasa, jadi kurus melidi. Semuanya sebab kau!"
"Aku…"
"Dah la, Fasha. Aku dah malas nak layan kau. Baik kau pergi dari sini. Aku ada banyak kerja lain nak buat."
"Zaini, tolonglah aku…"
"Yang kau beria sangat nak jumpa Reza ni dah kenapa? Apa, dah habis ke harta orang tua tu kau kikis?"
"Kau jangan kurang ajar, Zaini! Aku bukan orang macam tu!"
"Oh ye ke? Aku tak nampak macam tu pun," balas Zaini. "Actions speaks louder than words. Kau sendiri tahu itu. Bukan sekali dua aku dengar kau dengan orang tua tu berhibur di kelab malam."
Kelu lidah Fasha untuk berbicara. Memberi ruang untuk Zaini terus berbicara. "Pergilah. Pergi sebelum aku guna cara yang lebih kasar."
Fasha melangkah lemah menuju ke pintu. Sebelum tombol pintu dipulas, dia pandang Zaini kembali. "Kadang, apa yang terlihat di mata, tak sama dengan apa yang tersembunyi di jiwa."
Zaini diam.
*****
Kereta yang dipandu Fasha laju membelah lebuhraya. Wajah Fasha keruh memandang ke hadapan. Kata-kata Zaini begitu menyakitkan hati.
"Apa, dah habis ke harta orang tua tu kau kikis?"
"Argh!" jeritan Fasha bergema di dalam kereta itu. Dia menghempas stereng beberapa kali. Setelah puas, dia memandang ke hadapan semula.
"Kau tak tahu, kau tak tahu, kau tak tahu!" jeritnya lagi. Dia atur pernafasan yang sudah tidak teratur. Dia genggam stereng kuat.
Bunyi telefon pintar nyaring kedengaran, langsung dia tidak ambil peduli. Tajam matanya menikam ke hadapan. Dia mendengus apabila deringan telefon seakan tidak mahu berhenti.
"Sibuk la!"
Kereta yang dipandu Fasha memasuki kawasan kondominium mewah apabila dia menyedari sekumpulan lelaki berpakaian hitam berdiri di kawasan lobi. Fasha telan liur. Jantungnya berdegup kencang.
"Bila orang tua tu balik dari Dubai?"
Fasha cuba memaniskan wajah sebelum melangkah ke dalam kondominium itu. Dia mahu kelihatan teruja apabila menerima kedatangan tetamu rumahnya nanti.
"Sayang! Bila balik?"
"I balik minggu lepas, sayang."
"Dah seminggu you balik, baru nak cari I? You dah tak sayangkan I la tu,"
"Bukan macam tu. I balik rumah isteri pertama I. Bukan orang lain. Madu you juga."
"Ye la tu," Fasha pura-pura merajuk. "I ni hanya isteri kedua. Taraf I tak setinggi dia. Baiklah, I memang sedar diri."
Datuk Jalal tertawa. Dia mengeluarkan sesuatu dari dalam kocek seluarnya. "I tahu macam mana nak redakan rajuk you."
"Wah, cantiknya!" Fasha benar-benar teruja dengan pemberian lelaki itu."Terima kasih, sayang. You nak kopi? I buatkan."
"Tak nak. I nak you."
"Apa?"
"I nak you… buatkan teh. Okey?" tanya Datuk Jalal sambil kenyitkan mata. Fasha tersenyum penuh menggoda, lalu melangkah ke dapur.
Datuk Jalal menghantar langkah Fasha dengan senyuman manis, namun memudar apabila wanita itu menghilang di balik dapur. Kata-kata Sam, pengawal peribadinya tadi masih terdengar jelas di telinga.
"Fasha pergi jumpa bekas kekasihnya?"
"Kau tahu siapa dia?"
"Saya dah siasat tentang lelaki tu, Datuk," Sam menghulurkan beberapa keping gambar Reza kepadanya. "Maklumat tentang dia juga ada di situ."
"Bagus," bisik Datuk Jalal perlahan. Janggutnya dielus lembut. Cermin matanya diletakkan bersebelahan sampul yang diterima daripada Sam tadi. Dia senyum penuh makna.
"Aku nak kau ikut Fasha. Kalau dia jumpa lelaki tu, beritahu aku."
"Baik."
*****
"Macam tu pula?" tanya Reza. Dia bersandar tenang di sofa mendengar cerita Zaini. "Macam-macam la dia ni. Dulu bukan main lagi minta aku lupakan dia. Sekarang…"
"Tak lama pula kau keluar negara kali ni?"
"Aku pergi Singapura la, bukan pergi Kyoto," jelas Reza. Trip ke Kyoto lambat lagi. Tapi kenapa kau cakap macam tu pada dia?"
"Aku nak ajar dia sikit," sahut Zaini geram. "Kalau kau di tempat aku pun, kau akan buat benda yang sama juga. Dia ingat kau ni macam kereta agaknya. Suka, ambil. Tak suka, buang."
"Macam perempuan la kau ni," Reza ketawa sambil menggelengkan kepala. "Apapun, aku bersyukur ada kawan macam kau. Terima kasih."
"Macam tu la gunanya kawan," ucap Zaini. "Akulah segala-galanya bagi kau, kan?"
"Dah macam gay pula kau cakap macam tu," tawa Reza semakin kuat. "Tapi betul la tu. Kaulah madu, kaulah racun."
"Sampai hati kau cakap aku macam tu."
"Kenyataan, kan?"
Tawa mereka berdua bersatu.
"Tapi ada satu perkara yang perlu kau ambil serius."
"Apa dia?"
"Kau tak sedar lagi ke?" tanya Zaini kembali. "Kelakuan kau dah diintip seseorang. Aku dah sedar lama dah. Takkan kau tak sedar lagi?"
"Hah?" terkejut Reza dengan kata-kata tersebut. "Biar betul!"
"Kau nampak muka aku ni muka pembohong ke?" tanya Zaini kembali. "Kau ada hutang dengan ah long ke?"
"Kau!" laju Reza membalas. "Minta simpang 44 la! Tak ada makna aku nak berhutang dengan ah long. Aku bukannya boros sampai nak berhutang segala!"
"Aku tahu tu. Aku tanya je," balas Zaini. Dia garu dagu. "Tapi itu tak menjawab persoalan kenapa kau diekori."
"Mungkin ssbab aku kacak?"
"Perasan!" Zaini senget bibir. "Kau ada kacau isteri orang agaknya?"
"Tolong sikit! Kau sendiri tahu yang aku ni sukar jatuh cinta. Kisah cinta aku cuma satu, itupun dengan Fasha!"
"Kau sebut nama siapa tadi? Fasha?"
"Ya."
"Aku rasa… ini ada kena mengena dengan dia."
"Hah?"
*****
Sam masih tetap di kereta. Gelagat Reza yang berbual bersama seorang wanita di kafe itu diperhatikan tanpa jemu. Sesekali, dia mengerling jam di tangan.
Sudah sebulan dia mengintip pergerakan lelaki itu. Mengikut setiap derap langkah tanpa disedarinya. Melaporkan setiap apa yang ditemuinya pada Datuk Jalal, majikannya.
"Datuk," panggil Sam ketika lelaki itu asyik melihat gambar-gambar yang dirakamnya. "Belum pernah sekalipun saya lihat dia berjumpa dengan Puan Fasha."
"Terus ekori dia," arah Datuk Jalal. "Aku nak bukti kecurangan isteri aku."
"Tapi Datuk kan dah tukar kunci rumah tu. Puan Fasha takkan dapat keluar. Buat apa saya nak intip lelaki ni?"
"Fasha tu licik orangnya, sejak kecil lagi," ujar Datuk Jalal. "Aku yakin dia akan cari jalan untuk jumpa dengan lelaki ni. Masa tu, aku perlukan bukti!"
Deruman kereta sport yang melalui jalan itu mematikan lamunan Sam. Cepat-cepat dia membetulkan duduknya dan kembali memusatkan fokus pada Reza. Seketika kemudian dia nampak Reza beredar dari situ. Dengan tenang, dia menghidupkan enjin kereta dan mengekori kereta Deza dari belakang.
"Saya tak rasa yang Reza ni ada hubungan dengan Puan Fasha. Saya rasa Puan Fasha ni yang terhegeh-hegeh nakkan dia. Saya tengok dia ni biasa-biasa je."
"Kau nak kata yang isteri aku ni gatal? Macam tu?"
"Bukan begitu, Datuk," segera Sam tunduk, mengakui kesilapannya. "Lelaki ni, langsung tak ada usaha menghubungi Fasha. Hidupnya hanya rumah dan kerja."
"Mungkin dia sedang merancang sesuatu," Datuk Jalal meneka lagi. "Terus ekori dia!"
Lamunan Sam terhenti apabila kereta yang dipandu Reza mulai perlahan dan kemudian berhenti di tepi jalan. Reza kemudian keluar dari kereta dan memeriksa tayar. Sam senyum, lalu bertindak keluar dari kereta.
"Tayar bocor ke bang?"
"Tak la bocor pun sebenarnya," ujar Reza. Dia berdiri dan menghadap Sam. "Yang awak tu, kenapa ikut saya? Awak paparazzi ke?"
Terkejut Sam dengan kata-kata Reza itu. "Apa yang awak cakap ni?"
"Jangan nak berdalih lagi. Saya dah tahu semuanya," kata-kata Reza buat Sam telan liur. "Saya bukan anak jutawan. Saya kerja makan gaji. Tak ada apa yang istimewa pada saya. Awak balik la. Jangan ikut saya lagi."
"Awak tahu siapa saya?"
Reza geleng. "Tapi kalau awak masih nak ekori saya macam ni, saya takkan teragak-agak untuk buat laporan polis."
Hampir putus nafas Sam mendengar perkataan terakhir itu.
*****
Mundar-mandir Fasha di ruang tamu. Dia gigit jari. Sudah sebulan dia begini, sejak dia dikunci di dalam rumah sendiri. Alasan yang diberikan oleh Datuk Jalal sangat tidak masuk akal.
"Tak ada sebab pun untuk you keluar. Barang dapur, pengawal I akan belikan. Kalau you nak barangan mewah, I sendiri akan belikan. Jadi buat apa you nak keluar lagi?"
'Alasan itu tidak cukup kuat untuk aku dikurung macam penjara kat sini!' jerit hatinya. Dia mundar-mandir lagi. Sesekali dia menapak ke pintu utama. Hampa hatinya melihat dua orang pengawal Datuk Jalal berdiri tegak di depan pintu.
Aku nak bebas! Nak bebas! Nak bebas! Kenapa semua orang tak faham ni?
Bunyi pintu dibuka membuatkan Fasha berlari ke sofa. Televisyem dihidupkan dan majalah pura-pura dibaca. Sesekali dia menjeling ke arah Datuk Jalal yang baru masuk ke rumah.
"Sayang! How was your day?"
"Bad," jawab Fasha tanpa sekalipun memandang ke arah Datuk Jalal. Lelaki itu senyum, lalu mendekati Fasha di sofa. "Siapa yang buat you marah ni? Pengawal I ke?"
"You."
"Me? Why?"
"You know why," balas Fasha. "You tahu I sukakan kebebasan. Yang you kurung I dalam rumah ni kenapa?"
"Sayang, kat luar tu tak selamat untuk you," rambut wanita itu dielus lembut. "I cuma nak lindungi you."
"Dengan kurung I dalam rumah ni?" tanya Fasha kembali. "You, Malaysia pernah buat Perintah Kawalan Pergerakan. Semua orang disuruh duduk di rumah. Tapi bukan sampai dikunci macam ni!"
"Habis tu, you nak I buat apa?"
"I nak bebas!" jawab Fasha laju. "Bagi I kebebasan macam dulu. I nak ke mana saja, tanpa ada siapa pun halang!"
"Dan you boleh jumpa dengan lelaki tu?" tanya Datuk Jalal membuatkan Fasha tergamam. "Lelaki mana yang you cakap ni?"
"You tahu I tengah cakap pasal siapa sekarang ni," suara Datuk Jalal sudah tidak semesra tadi. "I tahu you pergi cari Reza."
"Kalau ya pun, apa masalahnya. Apa salahnya I nak jumpa kawan lama?"
"Kawan lama ke, kekasih lama?" sekali lagi Datuk Jalal membuatkan Fasha tergamam. "I tahu sejarag cinta antata antara you dengan dia. You tak boleh nak sorok apa-apa daripada I."
"Oh, tak cukup dengan kurung I, sekarang you nak intip I pula?" Fasha pura-pura berani. Namum hanya seketika apabila Datuk Jalal merenungnya tajam.
"You milik I."
"Tak ada siapa boleh halang apa I nak buat!"
"Jangan lupa siapa yang bagi you kemewahan semua ni," ujar Datuk Jalal. "Jangan lupa juga, siapa yang bayarkan hutang keluarga you dulu!"
"You ugut I?"
"Sekadar peringayan bagi orang yang tak kenamg budi macam you," balas Datuk Jalal. "Kalau I boleh kurung you, tak mustahil I boleh bunuh you kalau I nak!"
Fasha telan liur.
*****
"Beraninya kau," komen Zaini sebaik sahaja Reza selesai bercerita. "Kau tak takut ke kalau-kalau dia buat benda tak elok kat kau? Belasah ke…"
"Buat apa aku nak takut?" tanya Reza kembali. "Aku bukannya berhentikan kereta kat tepi jalan yang tak sibuk pun. Aku berhentikan kat perhentian bas. Kalau dia nak buat sesuatu, ada ramai saksi. Dia sendiri sedar tu."
"Kau ada tanya tak kenapa dia ikut kau? Siapa upah dia? Apa yang dia mahu? Berapa banyak yang dia tahu pasal kau?"
"Banyak sangat kau tanya ni. Aku nak jawab yang mana satu ni?" Reza angkat kening. "Aku tak tanya pun semua tu. Aku tak rasa ia perlu. Dia tak mungkin jawab."
"Betul juga tu," Zaini angguk kepala sambil pandang sekeliling bilik Reza yang agak bersepah. "Kau dah dapat panggilan ke?"
"Bos suruh aku bersedia." jawab Reza. "Aku kena selesaikan kerja-kerja aku di sini dulu. Banyak yang aku kena buat ni."
Zaini angguk. Dia kemudian ke ruang tamu. Deruman kereta di luar menarik perhatiannya untuk mengintai. "Aku rasa kau kena tengok ni."
"Tengok apa?" tanya Reza yang baru keluar dari biliknya. Zaini tidak menjawab. Menambahkan rasa pelik di hati Reza lalu mendapatkan lelaki itu.
"Macam mana perempuan tu boleh ada di situ?"
"Apa?" pantas Reza mengintai di balik tirai. Terkejut dia apabila melihat Fasha bersama seorang lelaki di luar pagar. "Dia yang intip aku selama ni. Kenapa dia ada dengan Fasha?"
"Reza!" terdengar suara Fasha memanggilnya dari luar. "Kaluarlah. Saya perlu jelaskan sesuatu."
"Apa teruk sangat gila meroyan dia ni?" komen Zaini. "Sampai ke sini dia cari kau. Apa tak cukup ke harta yang lelaki tu bagi?"
"Reza, keluarlah. Saya perlu jelaskan sesuatu," Fasha pandang Sam yang setia menemaninya. "Saya terpaksa buat semua ni."
"Hidup kita ni ada pilihan. Tak ada yang terpaksa," komen Zaini lagi. Namun apabila Reza merenungnya tajam, dia buat gaya zip mulut.
"Saya terpaksa. Ayah berhutang dengan dia. Sebagai balasan, dia jadikan saya sebagai isteri kedua. Tapi saya tak pernah rela. Percayalah cakap saya!"
"Macam la dia tak boleh to….."
"Baliklah, Fasha. Walau apapun cerita di sebaliknya, sekarang awak adalah isterinya. Tempat awak di sisi dia sekarang. Baliklah sebelum perkara jadi lebih teruk."
"Tapi saya tak pernah bahagia dengan dia."
"Sebab awak tak pernah ikhlas mencintai dia."
"Saya cintakan awak."
"Saya tak mungkin cintakan isteri orang," jawab Reza. "Baliklah. Nanti orang mengata awak, bukannya saya. Baliklah sebelum saya telefon polis."
Mendengarkan itu, Sam mendekati Fasha. "Puan, saya rasa elok kita pergi sekarang."
Fasha hentak kaki. Kemudian dia masuk ke dalam kereta. Sam mengeluh perlahan. "Reza, terima kasih. Saya harap awak jumpa jodoh yang lebih baik lepas ni."
"Cepatlah jalan!" tengking Fasha dari dalam kereta. Terkocoh-kocoh Sam menuruti kehendaknya. Kereta kemudian dipandu pergi dari situ.
Zaini pandang Reza tidak berkelip. Dia nampak mata lelaki itu berkaca. "Kau okey tak ni?"
Reza hanya mampu angguk kepala.
*****
"Semuanya dah ada, kan?"
"Ya."
"Passport? Dompet? Kad pengenalan?"
"Ada."
"Wang tunai dah ditukar?"
"Sekarang kan zaman nirtunai. Tak perlu tukar banyak-banyak," jawapan Reza buat Zaini sengih. "Kau dah kenapa? Layan aku macam budak kecil. Macam la ini pertama kali aku keluar negara."
"Kau betul okey ni?"
"Dari semalam kau tanya soalan tu. Kenapa?" tanya Reza. "Kau ingat aku terkesan ke dengan berita semalam?"
Negara digemparkan dengan tragedi pembunuhan kejam pasangan suami isteri di kediaman mereka. Si suami dipukul sehingga mati manakala si isteri mati dikelar pergelangan tangan, dipercayai bunuh diri.
"Dah takdir hidup dia berakhir begitu, Reza," ujar Zaini. "Kau jangan pula rasa bersalah."
"Kali terakhir aku bertemunya, dia cakap dia tak bahagia," Reza mengeluh halus. "Kalaulah aku boleh lakukan sesuatu untuk membantunya…"
"Kau tak bantu pun," potong Zaini. "Kau takkan bantu. Kalau kau bantu, hidupnya takkan berakhir begini."
"Aku takkan ganggu isteri orang. Kau tahu itu."
"Tahu… sebab tu aku cakap macam tu. Kalau kau jenis melayan, dah lama kau tergoda dengan Fasha."
"Jangan mulakan, Zaini."
"Kenyataan, kan?" Zaini tersenyum. "Sebab tu aku bangga ada kau sebagai kawan. Kau tetap pendirian, walaupun terpaksa korbankan perasaan."
"Lain macam madah kau kali ni."
"Aku dapat rasakan yang kau akan bawa jodoh dari Jepun," ujar Zaini sambil tersengih. Buntang mata Reza mendengarnya. "Amboi!"
"Pergi. Tinggalkan semuanya di sini. Biarkan Fasha belajar sendiri, yang dia patutnya menjadi isteri yang sebenarnya."
Reza senyum. "Terima kasih, sahabat."
Reza terus masuk untuk pemeriksaan imigresen. Dapat dia lihat kelibat Fasha mendapatkan Zaini selepas pemeriksaan selesai. Raut wajah Fasha ketika itu begitu hampa. Reza senyum nipis. "Ini yang terbaik."
Tiba masa pelepasan, Reza bersama penumpang lain beratur menaiki pesawat. Di hadapannya terdapat seorang krew kabin wanita sedang mengucapkan selamat datang kepada setiap penumpang yang masuk. Tiba giliran Reza… "Selamat datang, sayang!"
Senyuman Reza makin melebar.
TAMAT