“Awak nak letak jawatan?” tanya Zura sambil membaca surat yang diserahkan Salima. “Kenapa? Bakal suami awak tak izinkan awak kerja ke?”
“Bukan begitu,” jawab Salima. “Saya cuma ingin berbakti sepenuhnya pada suami saya. Kalau bekerja, mungkin perhatian terhadapnya akan berkurang.”
“Sayang la,” ujar Zura. “Awak antara staf saya yang sangat cemerlang. Awak komited, dan hasil kerja kamu sangat membanggakan.”
“Itu tidak manghalang saya daripada mencapai impian saya, puan. Menjadi seorang isteri yang membahagiakan dan Insya Allah, dibahagiakan suami.”
“Betul ni, awak dah fikir masak-masak?”
“Saya dah fikir tentang hal ni dah sebulan, puan,” jawab Salima. “Tunang saya juga meminta saya mempertimbangkan hal ni. Tapi puan, ini adalah pilihan saya sendiri.”
Zura mengeluh berat. “Saya faham. Awak inginkan yang terbaik untuk hidup awak. Saya juga faham, awak dah buat pilihan yang awak rasakan itu yang terbaik.”
“Puan tak izinkan saya berhenti kerja ke?”
“Eh, taklah. Saya takkan halang staf saya mencapai impiannya,” balas Zura. “Cuma, saya minta awak bekerja di sini sehingga kita jumpa pengganti awak. Boleh?”
“Tapi puan…!”
“Sehingga awak jumpa pengganti,” potong Zura. “Dengan ini, kita beri peluang kepada orang baru untuk menunjukkan potensinya.”
“Baik, puan.”
“Bila awak akan menikah?”
“Tiga bulan lagi, puan,” balas Salima. Zura senyum. “Insya Allah, cukup masa yang diberi untuk kita cari dan latih staf baru.”
“Baik, puan,” Salima tunduk hormat. “Kalau macam tu, saya keluar dulu. Nak sambung kerja-kerja lain yang masih ada.”
Keluar sahaja dari bilik Zura, Salima diserbu oleh Fathanah. “Macam mana? Macam mana?”
“Bos suruh cari pengganti,” Salima senget bibir. “Apalah susah sangat nak lepaskan aku macam tu je?”
“Aku dah agak dah,” gumam Fathanah. “Bos tu bukan kejam tak nak bagi kau berhenti. Dia nak ajar kau supaya lebih bertanggungjawab atas apa yang kau ada.”
“Maksud kau?”
“Dia nak kau ajar staf baru, kan?” tanya Fathanah membuatkan Salima mengangguk. Fathanah sambung lagi, “Dia buat macam tu sebab hanya kau yang tahu cara kerja kau. Kalau kau berhenti macam tu je, apa jadi dengan pengganti kau nanti? Nak kitorang ajar? Mana la kitorang tahu sangat.”
Ternganga Salima mendengar kata-kata Fathanah. “Kenapa aku tak terfikir sampai macam tu sekali ya?”
Fathanah senyum. “Kita semua boleh buat pilihan dalam hidup kita. Itu benar. Tapi kita kena ingat, kita bertanggungjawab atas pilihan yang kita buat.”
Terdiam Salima mendengar kata-kata Fathanah itu.
*****
“Sayang! Buat apa tu?” tanya Badrul sambil membelek sesuatu di Ipadnya. “Abang bosan kat sini. Temankanlah abang.”
“Macam budak-budak la abang ni,” Salima muncul dari dapur sambil mengelap tangannya. “Nak minta berteman pula. Saya nak kemas dapur. Nak basuh pinggan yang kita guna masa makan tadi.”
“Dah habis kemas ke?”
“Dah.”
“Kalau sudah, marilah duduk sini,” Badrul tepuk ruangan kecil di sebelahnya. Salima tersenyum, lalu melabuhkan duduknya di sebelah suaminya, Badrul.
Suami.
“Sayang,” Badrul elus rambut Salima lembut. “Rumah ni pasti lebih meriah jika ada anak kecil, kan?”
“Sabarlah, abang,” balas Salima. “Belum rezeki kita lagi.”
“Kita dah tiga tahun kahwin, sayang. Takkan masih tak ada rezeki lagi?” tanya Badrul. “Ke sayang ni yang bermasalah?”
“Apa yang abang cakapkan ni?”
“Abang rasa abang sihat untuk dapatkan anak,” ujar Badrul, tanpa memandang ke arah Salima. “Tak tahulah kalau sayang tu…”
“Mandul?” Salima bangkit dari duduknya. “Abang nak kata saya tak mampu nak mengandung? Tak mampu nak melahirkan anak? Tak mampu nak bagi abang zuriat?”
“Bukan macam tu,” Badrul cuba capai tangan Salima. “Abang cuma nak cakap, mungkin sayang boleh buat pemeriksaan dengan doktor. Mana tahu…”
“Abang,” potong Salima. “Saya dah buat macam-macam tau. Berurut, minum air akar kayu, ambil ubat tradisional… semua saya dah cuba. Macam yang sayac cakap tadi, kita tak ada rezeki.”
“Habis tu, berapa lama lagi abang harus tunggu?”
“Sabarlah, abang. Ada yang dah kahwin 15 tahun baru ada anak. Mungkin masa untuk kita belum tiba.”
“Takkan abang nak tunggu lama macam tu? Abang ni bukannya makin muda.”
“Apa kata kita ambil anak angka, abang?” usul Salima. “Orang kata, kalau bela anak yatim ni, murah rezeki. Mungkin lepas tu, kita akan dapat anak sendiri.”
“Abang tak nak. Abang nak anak sendiri. Anak angkat tak sama macam anak sendiri,” balas Badrul. Salima hela nafas berat. Dia kembali melabuhkan duduk di sebelah suaminya itu.
“Apa kata kalau abang kahwin lain?”
“Apa?”
*****
“Kahwin lagi?” tanya Fathanah tidak percaya. Terkejut dia mendengar cerita Salima. “Dan kau izinkan?”
“Aku belum bagi kata putus,” jawab Salima. “Aku tak tahu la. Aku dah tak boleh fikir sekarang ni.”
“Mana pergi Salima yang kreatif, yang pantas berfikir, yang cekap semua tu?” tanya Fathanah. “Mana pergi dia?”
“Kau janganlah perli aku. Memang aku sedar, aku dah banyak berubah sejak aku kahwin ni,” Salima memuncungkan muka. Fathanah tersedar. “Maafkan aku.”
“Macam mana ni?”
“Macam mana apa lagi?” tanya Fathanah kembali. “Kalau aku jadi kau la, aku takkan setuju. Sebab anak, nak kahwin lagi? Alasan karut. Sekarang ni ada macam-macam cara la untuk dapatkan anak. Kat Malaysia ni ada 5 jenis rawatan kesuburan yang kau boleh cuba. Siti Nurhaliza sendiri gunakan cara yang sama.”
“Mahal la kos rawatan tu, Fathanah.”
“Habis kau ingat, kahwin tu gratis?” sengaja Fathanah menggunakan bahasa Indonesia, untuk memberi kefahaman kepada sahabatnya itu. “Mas kahwin pun dah mahal. Kenduri lagi, belanja itu ini lagi.”
“Habis tu, apa aku nak buat ni?”
“Semuanya terpulang pada kau, Salima. Hidup kau, bukan hidup aku,” jawab Fathanah. “Bukannya aku nak pentingkan diri sendiri. Tapi aku tak nak kau salahkan aku di kemudian hari, kalau aku paksa kau ikut cakap aku.”
Salima diam lagi. Pertemuan dengan Fathanah berakhir tanpa kata putus mengenai hal itu. Salima pulang ke rumah dengan kepala yang berserabut.
“Tak ada cara lain ke, abang?Selain daripada kahwin lagi?”
“Abang rasa ini je caranya. Bukan abang nak belakangkan sayang. Tapi abang mahu zuriat sendiri. Abang nak anak abang berbinkan abang, bukan Abdullah.”
“Bukannya saya mandul pun, abang. Kalau kita buat rawatan kesuburan tu…”
“Abang tak nak,” potong Badrul pantas. “Abang nak cara biasa. Cara rawatan ni…,” Badrul geleng kepala. “Abang rasa macam abang tak mampu pula bagi zuriat.”
“Abang….”
“Sayang hanya perlu beri keizinan. Yang lain biar abang uruskan,” ujar Badrul. “Abang juga takkan sia-siakan sayang. Abang janji.”
Tiba di rumah, Badrul sedang asyik bermain dengan telefon pintarnya. Salima hanya dipandangnya sekali lalu. Sejak peristiwa itu, Badrul sedikitpun tidak mahu bercakap dengannya, apatah lagi bermanja dengannya.
Salima sedar itu.Perlahan dia mengatur langkah menghampiri Badrul di sofa. Sedikitpun lelaki itu tidak mahu memandangnya. Salima telan liur, mengumpul kekuatan.
“Abang,” panggil Salima. Badrul masih seperti tadi. Salima tidak peduli. “Abang dah jumpa ke calon isteri kedua abang tu?”
“Dah,” jawab Badrul sepatah.
“Saya kenal ke?”
“Tak.”
“Abang….”
“Hurm…”
“Abang uruskanlah semuanya. Saya izinkan. Demi bahagia abang,” terasa perit Salima mengungkapkannya. Matanya berkaca. Badrul tersentak. Dia membetulkan duduknya, menghadap Salima. “Betul ke?”
“Ya, abang. saya izinkan abang kahwin lagi.”
*****
“Silakan masuk, Sayang,” suara Badrul mempelawa seseorang membuatkan Salima menghentikan kerja-kerjanya dan melangkah ke ruang tamu. Dia cuba mengukir senyuman manis terhadap ahli baru dalam keluarga mereka.
“Salima, kenalkan ini Irdina. Dan ini…,” Badrul menunjuk ke arah sepasang kanak-kanak di belakangnya. “... Kayyisa dan Khaleed. Anak-anaknya.”
“Oh…, silakan masuk,” sedaya upaya Salima cuba mengawal rasa terkejutnya. “Duduklah dulu. Biar saya buatkan air.”
Tanpa sebarang kata, Salima menyiapkan minuman untuk mereka. Langsung dia tidak menyedari seseorang di muka pintu dapur.
“Sayang.”
“Eh!” Salima melatah. Kemudian dia mendengus geram. “Abang! Terkejut saya tau! Jangan la buat macam ni lagi.”
Badrul ketawa sambil menghampiri Salima. Dia merangkul wanita itu dari belakang. “Cantik tak isteri baru abang?”
Pertanyaan itu nyata mengguris hati sang isteri. Namun dia cuba memaniskan wajahnya. “Macam mana abang boleh kenal dia?”
“Dulu dia satu sekolah dengan abang,” jawab Badrul agak ragu-ragu. “Lepas sekolah, kami bawa haluan masing-masing. Baru-baru ni je kami berjumpa semula.”
“saya ingatkan abang pilih anak dara sebagai isteri kedua abang. Kenapa pilih janda pula? Ada anak pula tu.”
“Jangan kuat sangat. Nanti dia dengar,” Laju jari telunjuk Badrul singgah di bibirnya. “Apa salahnya janda? Anak dara ni, leceh sikit. Dia kuat cemburu Nanti bergaduh dengan sayang saja kerjanya.”
Salima ketawa kecil, sedikit terhibur dengan kata-kata suaminya. Badrul mengeratkan pelukannya. “Lepas ni, abang akan panggil awak dengan nama Salima pula, ya?”
“Kenapa pula?”
“Abang dah terbiasa panggil Irdina sayang. Kalau abang panggil Salima sayang juga, nanti Irdina cemburu.”
“Panggillah Irdina dengan panggilan lain. Panggilan sayang tu dah sebati dengan saya. Dah tiga tahun. Abang baru sebulan kahwin dengan dia.”
“Janganlah macam ni, Salima,” pelukannya dolonggarkan. Dia memusingkan tubuh Salima, menghadapnya. “Awak kena banyak beralah. Dia bukan orang lain. Madu awak juga.”
“Tapi abang…!”
“Awak sayang saya tak?”
“Sayang…”
“Awak nak suami awak bahagia, kan?”
“Ya.”
“Kalau macam tu, awak kena dengar cakap suami,” Badrul cuit hidung Salima mesra. “Oh ya. Ada satu lagi perkara.”
“Apa dia, bang?”
“Irdina dan anak-anaknya akan tinggal dengan kita di rumah ni.”
“Apa?”
*****
salima menyeka peluh di dahi. Dia memerhati keadaan sekeliling. Senyuman terukir nipis namun matanya berkaca.
“Salima,” panggil Badrul sebaik sahaja dia keluar dari bilik air. “Duduk sekejap. Abang ada benda nak bincang.”
“Apa dia, abang?”
“Bilik Irdina sekarang ni tak sesuai la untuk dia, Salima. Dia tak selesa,” beritahu Badrul membuatkan kening salima terangkat sebelah. “Bilik tu kecil ke?”
“Ya.”
“Tapi ukan ke bilik tidur kedua tu hampir sama besar dengan bilik kita ni? Barang Irdina banyak sangat ke, bang?”
“Bilik tidur kedua tu, untuk anak-anak dia, Salima. Takkanlah dia nak tidur dengan anak-anak pula? Budak-budak makin membesar, Salima. Lagipun, kami perlukan privasi.”
“Habis tu, takkan nak bagi dia bilik ni?” tanya Salima lirih. “Ini bilik saya, bang. Bilik saya sejak kita kahwin. Takkan saya nak bagi kat dia pula? Mana adil macam tu.”
“Salima sayangkan abang, tak?”
“Ini bukan masanya, abang!” bentak Salima. “Takkan saya kena beralah sepanjang masa? Cara ni tak betul, bang!”
“Habis tu, awak nak abang buat apa lagi? Nak suruh dia pindah dari sini?” Badrul meninggikan suaranya. Tergamam Salima dengan tindakan suaminya itu. Belum pernah Badrul berkelakuan sebegitu.
“Awak nak suruh dia pindah ke rumah lain, supaya awak rasa selesa kat rumah ni? Mana adil macam tu. Awak kena la beralah,” Badrul bersuara lagi. “Saya buat semua ni sebab awak tak mampu nak bagi saya zuriat!”
Lemah Salima mendengar kata-kata Badrul itu. Tanpa sebarang kata, dia bangkit dan melangkah keluar dari bilik itu. Perlahan dia menapak ke bilik stor yang terletak di tingkat bawah rumah. Saat dia memasuki bilik itu, air matanya bercucuran.
“Tak apalah. Biarlah aku mengalah. Demi kebahagiaan suami aku,” bisik Salima perlahan. “Bilik ni pun, kalau dikemas, cantik juga.”
Dengan kudrat yang ada, Salima mengemas bilik stor itu. Barang-barang yang sudah rosak, diletakkan di satu sudut. Akan dibuang apabila siang menjelang. Katil yang sudah lama tidak digunakan, dipasang semula. Diuji berkali-kali bagi memastikan ketahanannya.
Badrul sedikitpun tidak datang menjenguk. Salima melakukan semuanya sendirian. Dia hanya berhenti apabila hampir semuanya siap.
“Buat apa tu?” terdengar suara Irdina dari luar bilik, menarik perhatiannya. Wanita itu masuk ke dalam bilik dengan perasaan teruja. “Bagusnya awak, Salima. Sedar diri yang awak tu mandul. Sanggup pindah ke bilik yang kotor ni. Kalau saya la….”
“Macam mana bilik baru awak? Selesa?” potong Salima. “Maaflah saya tak sempat kemas barang saya lagi. Nanti-nanti saya kemaskan.”
“Oh, tak payah susah-susah,” Irdina melemparkan sebuah beg kepada Salima. Baju-baju awak semuanya kat sini. Saya dah kemaskan. Tak payahlah berterima kasih. Saya ikhlas.”
Irdina melangkah pergi sambil ketawa kecil. Mengguris hati Salima untuk kesekian kalinya. Air matanya bercucuran lagi.
*****
“Salima! Salima!” Badrul masuk ke bilik itu setelah panggilannya tidak bersahut. Terkedu dia melihat Salima terbaring di atas katil. “Awak tak masak ke harini? Apa kami anak-beranak nak makan?”
“Abang, saya minta maaf,” Salima bersuara lemah. “Saya betul-betul tak larat hari ni. Bila bangun je, dunia rasa berpusing.”
Badrul sedikitpun tidak melangkah mendekati Salima. “Semalam pun awak demam juga. Boleh je awak masak untuk kami anak-beranak.”
“Semalam saya gigihkan juga walaupun saya tak larat. Harini…,” Salima tidak menghabiskan kata-katanya. “Abang bawa saya ke klinik, ya?”
“Buat apa? Makan je la ubat yang ada tu. Awak demam biasa je kan?”
“Abang, saya dah demam beberapa hari. Apa salahnya abang bawa saya ke klinik? Selama ni pun, saya tak pernah minta tolong abang sejak abang kahwin dengan Irdina. Inilah kali pertama.”
“Abang sibuk!”
“Abang!” panggil Salima lemah namun Badrul sudah menghilang di balik pintu. Salima mengeluh. Dia kembali berbaring. Telefon pintarnya direnung lama.
“Salima!” panggil Badrul kembali, membuatkan wajah Salima bercahaya. “Ya, abang? Kita ke klinik ya?”
“Ke klinik apanya…,” Badrul menggerutu. “Abang bawa Irdina dan anak-anak makan di luar. Awak jaga rumah. Jangan ke mana-mana.”
“Tapi saya tak larat…,” kata-kata Salima terhenti apabila Badrul menutup pintu biliknya kuat. Riuh-rendah suara Kayyisa dan Khaleed di ruang tamu terdengar sayup-sayup apabila mereka keluar dari rumah. Salima menghela nafas berat.
“Kalau Irdina terhiris pisau sikit je, terus dia dilarang untuk masak. Kalau aku demam bagai nak mati, dia biarkan aje. Adil ke macam tu?”
“Kenapa awak nak bandingkan macam tu pula? Dia tu ada anak-anak yang perlu dijaga. Awak? Uruskanlah rumah. Tak cukup adil ke saya dengan awak berdua?”
“Masalahnya anak-anak dia pun saya yang jaga. Dia? Asyik bermalas-malasan di ruang tamu.”
“Awak nak fitnah Irdina pula?”
“Apa pula?”
“Saya tahu awak cemburu, tapi tak payah sampai nak tuduh dia bukan-bukan. Sudah! Saya tak nak dengar awak kata macam tu lagi.”
“Tapi abang….”
“Aku kata sudah!” suara Badrul sudah mulai meninggi, membuatkan Salima menikus. “Kalau macam ni perangai awak, baik abang tak payah datang bilik ni. Abang naik atas la macam ni.”
Menitis air mata Salima mengenangkan peristiwa itu. Telefon pintarnya direnung lama. Kemudian peranti itu dicapai, dan nombor telefon seseorang didail.
“Fathanah…..!”
*****
“Terima kasih Fathanah, sebab sudi temankan aku ke klinik hari ni,” ucap Salima, tersenyum di sebalik wajah pucatnya. Fathanah jatuh kasihan melihatnya. “Kau betul boleh jalan ni?”
“Boleh la. Kenapa, kalau aku tak boleh? Kau nak dukung aku ke?”
“Kalau aku dukung pun aku masih terasa ringan,” balas Fathanah selamba. “Kau dah makin kurus. Muka tu cengkung. Apa, banyak sangat ke kerja kat rumah tu? Irdina tak tolong sama?”
Mendengarkan nama itu, Salima menghela nafas berat. Fathanah senget bibir. “Aku dah agak dah. Mesti ada yang tak kena kat rumah tu.”
“Sudahlah,” ujar Salima, enggan memanjangkan cerita. “Aku nak beli makanan dulu sebelum balik. Diorang semua makan kat luar. Belum tentu beli makanan untuk aku.”
“Baiklah. Kau nak makan kat kedai ke, kau nak balik ke rumah?” tanya Fathanah. Belum sempat Salima menjawab, Fathanah sambung, “Kau makan kat kedai je la. Aku temankan kau.”
“Muka aku ni pucat, Fathanah,” balas Salima. “Buatnya pelanggan kedai tu lari, nanti tuan kedai salahkan aku pula.”
“Sempat lagi buat lawak antarabangsa dia tu,” Fathanah menggerutu. Dia capai sesuatu dari dalam beg tangannya. “Pakai gincu ni. Tak la nampak pucat sangat nanti.”
“Terima kasih,” ucap Salima lalu dia mengenakan gincu itu pada bibirnya. Dia memuncungkan bibirnya, memandang Fathanah, “Aku seksi tak?”
“Seksa aku melihatnya,” balas Fathanah lalu mereka sama-sama ketawa. Selepas menikmati makanan dari restoran yang berdekatan, Fathanah menghantar Salima pulang.
“Terima kasih, sebab tolong aku.”
“Tak ada hal. Kalau aku di tempat kau, mungkin kau akan buat benda yang sama,” balas Fathanah. “Apa pun, jangan simpan semuanya sendiri. Sakit nanti. Kalau perlu bantuan, telefon aku, okey?”
“Baik, cikgu!” jawab Salima berseloroh. Dia masih tersenyum saat keluar dari kereta Fathanah. Namun apabila bayangannya hilang dari pandangan mata, senyuman Salima turut hilang.
“Kau masih nak pertahankan lelaki tu?”
“Dia suami aku, Fathanah.”
“Suami apa yang tak berlaku adil pada isteri-isterinya?” Fathanah mula naik angin. “Lagi satu, siapa sebenarnya isteri pertama dia? Kau atau Irdina?”
Melihat Salima mendiamkan diri, membuatkan Fathanah sedar kesilapannya. “Maafkan aku, Salima. Aku terlalu marah tadi, sampai cakap yang bukan-bukan.”
“Tak apa.”
Prang! Bunyi kaca pecah dari dalam rumah membuatkan lamunan Salima terhenti. Berlari dia masuk ke dalam rumah. Tercengang dia melihat Khaleed berdiri di sebelah gelas yang pecah, tersengih memandangnya.
Sakit kepalanya datang kembali!
*****
Salima melabuhkan duduknya seketika setelah semua kerja-kerja rumahnya selesai. Matanya kuyu namun dia masih memandang sekeliling. Khaleed dilihatnya asyik bermain permainan video di televisyen. Langsung tidak peduli keadaan sekeliling.
“Awak buat apa kat sini, Salima?” tanya Badrul, membuatkan mata Salima yang mula mengatup kembali segar. “Dah masak ke untuk tengah hari ni?”
“Saya dah siap masak, abang. Ada lauknya kat bawah tudung saji tu. Abang nak makan ke?” tanya Salima. Badrul kerut dahi. “Awalnya masak? Kalau lauk tu sejuk, tak sedap la nanti.”
“Takkanlah awak nak makan selewat itu?”
“Bukan saya, Irdina tu,” juih Badrul ke arah bilik tidur utama di tingkat atas. “Dia mana boleh makan makanan yang dah sejuk. Terjejas bayi dalam kandungan tu nanti. Awak tak pernah mengandung, awak mana tahu?”
Terkedu Salima mendengarnya. Ini bukan kali pertama.
“Awak masak yang lain nanti. Yang atas meja tu, awak habiskan sendiri.”
“Takkan saya nak habiskan semuanya sendiri?”
“Salah awak, kan? Hadaplah sendiri.”
“Abang! belum sempat Salima membalas, terdengar suara Irdina menjerit kuat dari atas. Seketika kemudian, wanita itu muncul menuruni tangga dengan laju. Pantas Badrul menerpa ke arahnya. “Sayang! Jatuh nanti!”
“Peduli apa aku,” balas Irdina geram. Dia mendekati Salima lalu dahi wanita itu ditunjal laju. “Kau yang curi rantai aku, kan? Mengaku je la!”
“Rantai apa ni?”
“Buat-buat tak tahu pula dia,” Irdina mendengus geram. “Rantai tu aku letak atas meja solek aku je tau! Sekarang dah hilang! Mesti kau yang ambil, kan?”
“Rantai apa ni, sayang?”
“Rantai leher, hadiah ulang tahun perkahwinan kita, abang!” bentak Irdina. “Kau dengki dengan aku, sebab aku mengandung, kan? Sebab Abang Badrul sayang aku lebih daripada kau, sebab tu kau curi rantai tu, kan?”
“Demi Allah, saya tak curi rantai tu! Rupa rantai tu pun saya tak tahu macam mana,” ujar Salima, mempertahankan dirinya.
“Kau jangan nak bohong!” jerkah Irdina garang. “Kau selalu masuk bilik aku, kan? Sebab apa lagi, kalau bukan sebab nak curi barang aku!”
“Saya masuk pun sebab nak ambil kain baju kotor untuk dibasuh, Itu saja!”
“Bohong!” Irdina pandang Badrul. “Kita geledah bilik dia, abang. Mesti dia sororkan rantai tu dalam bilik dia. Kita mesti geledah bilik dia!”
Badrul tanpa banyak bicara, terus menapak ke bilik Salima. Irdina menjeling wanita itu sambil tersenyum sinis. Salima hanya mampu melihat dengan linangan air mata. Khaleed pula memandang tanpa rasa.
“Bibik, saya lapar la.”
“Rantai tu tak ada dalam bilik ni la, sayang,” ujar Badrul setelah bilik salima digeledah. Irdina menerpa ke arah salima. “Mana kau sorokkan rantai aku, hah?”
“Mama!” suara ceria Kayyisa menarik perhatian mereka. Anak kecil itu berdiri di tangga sambil memusingkan tubuhnya. “Cantik tak Kayyisa? Macam puteri tak?”
“Rantai leher aku…,” riak wajah Irdina berubah. Badrul sudah tidak tentu arah. Salima hanya diam, melangkah masuk ke biliknya. Di sana, dia menangis sepuas-puasnya.
“Fathanah….”
*****
"Abang, saya minta abang lepaskan saya," ucap Salima pada satu hari, membuatkan Badrul terkejut. "Lepaskan? Kenapa pula? Selama ni kita bahagia, kan?"
"Kita? Kita, atau hanya abang dan keluarga baru abang?"
"Apa yang awak cakap ni? Takkan sebab kes rantai hilang tu, awak buat permintaan mengarut ni?"
“Ini bukan permintaan mengarut, abang,” luah Salima. "Saat awak ambil kembali panggilan sayang tu daripada saya, semuanya berubah. Hidup awak bukan lagi ada saya di dalamnya. Yang ada hanya Irdina, anak-anaknya dan awak sahaja,"
"Anak-anak Irdina anggap awak macam ibu sendiri juga, kan?"
"Awak tak dengar, yang anak-anak dia panggil saya bibik? Saya sedar saya ni cuma ibu tiri, tapi layakkah saya digelar sebegitu sekali?"
"Alah, budak kecil. Mana diorang tahu apa-apa."
"Kalau diorang tak tahu apa-apa, siapa yang mengajar?"
"Awak nak kata Irdina hasut anak-anak supaya bencikan awak?" suara Badrul meninggi. Salima senyum. "Tengok, awak bela Irdina. Saya tak cakap apa-apa pun pasal menghasut."
"Jadi awak nak apa?"
"Lepaskan saya. Itu lebih baik."
"Lepaskan? Tak boleh la macam tu. Irdina dah sarat mengandung. Siapa yang nak jaga dia?"
"Awak ambillah orang gaji."
"Eh, tak boleh. Nanti nak kena bayar orang gaji tu nanti...."
"Habis tu, saya ni apa? Isteri awak, atau orang gaji?" tanya Salima membuatkan Badrul tergamam. “Bukan sehari dua abang perlakukan saya begini. Malah, sebelum abang menikah dengan Irdina lagi, abang tak anggap saya sebagai isteri. Tiada zuriat, hanya alasan untuk abang kahwin lagi. Bukannya saya tak tahu abang bercinta dengan Irdina lama sebelum abang menikahi dia.”
Suasana hening seketika. Badrul meletup-letupkan jari-jemarinya, mengurangi rasa canggung yang menjelma. Salima hanya diam tanpa sebarang kata.
"Abang,” tanya Salima memecah kesunyian. “Saya nak tanya, abang ingat lagi tak janji abang untuk bahagiakan saya masa kita mula-mula kahwin dulu?"
“Er…,” Badrul mati kata.
"Pasti abang dah lupa, kan? Sebab tu, abang begitu mudah memungkiri janji tu. Mungkir bahagia yang abang ingin berikan pada saya. Kerana itu, saya mohon. Lepaskanlah saya."
“Tak ada cara lain ke?”
“Bila dalam hati abang cuma ada Irdina, pilihan apa lagi yang saya ada?” Salima bangkit. Bagasi yang telah tersedia lama dicapai. “Saya minta maaf kalau selama ni, saya ada sakitkan hati abang. saya mohon, halalkan segala makan minum saya. Kita jumpa di mahkamah sajalah.”
“Sayang…”
Langkah Salima terhenti. Air matanya bergenang. Sudah lama dia tidak mendengar panggilan itu. Dia menggeleng perlahan lalu meneruskan langkahnya.
“Dapat juga aku halau kau dari rumah ni,” suara Irdina kedengaran. Salima menoleh lalu melemparkan senyuman. “Selamat berbahagia dengan suami. Tahniah, kau dah tak perlu berkongsi lagi.”
“Itu yang aku nak.”
“Cuma, aku harap kau mampu menemaninya di waktu senang, dan di waktu susah,” ucap Salima lalu melangkah keluar dari rumah itu. Sebuah kereta menunggunya di luar rumah. Salima masuk ke dalam kereta tersebut.
“Jom kita pergi, Fathanah.”
*****
Setahun kemudian…
“Puan Salima,” panggil Fathanah mesra di muka pintu. Salima senget bibir. “Puan apanya… aku ni janda tau.”
“Janda meletup,” usik Fathanah lagi. “Ramai orang tanya pasal kau. Nak kenal kau dengan lebih dalam lagi. Kau nak ke?”
“Bila masanya kau jadi pencari jodoh tak bertauliah ni?” Salima kerut dahi. “Aku dah malas nak fikir pasal semua tu lagi. Aku nak fokus pada diri aku je sekarang ni.”
“Baiklah,” Fathanah. “Eh, aku lupa. Tadi aku ada nampak Badrul kat bawah. Penyambut tetamu tu kata, dia cari kau. Tapi kau yang tak nak jumpa dia.”
“Memang pun.”
“Apa yang dia nak kali ni?” tanya Fathanah. Jari-jemari Salima yang menari di papan kekunci terhenti. Dia pandang wajah sahabatnya itu. “Dia nak rujuk dengan aku balik.”
“Hah?”
“Dia nak rujuk dengan aku balik, tapi aku yang tak nak.”
“Kenapa?”
“Aku dah tawar hati,’ jawab Salima mendatar. “Aku dah malas nak ada kaitan dengan dia lagi.”
“Kau memang tak nak bagi Badrul peluang ke?”
“Untuk apa? Untuk dia perlakukan aku sesuka hati dia macam dulu?” tanya Salima kembali. “Aku tahu, dia bukan nak sangat rujuk dengan aku. Dia cuma nakkan harta aku. Macam aku tak tahu.”
Saat cerai dilafazkan, Salima tidak membuat banyak tuntutan. Hanya rumah yang sedang diduduki Badrul dan Irdina. Badrul membantah dengan alasan itu adalah harta sepencarian. Namun mahkamah menolak dan Badrul diminta mengosongkan rumah berkenaan.
“So dia nak balik dengan kau sebab rumah tu?” tanya Fathanah. “Dia ni teruk la. Dah cerai pun dia tak nak lepaskan kau?”
Salima angkat bahu. Dia masih ingat peristiwa dua bulan lepas apabila Irdina datang mengunjunginya. Marah betul wanita itu dengan perintah mahkamah untuk mengosongkan rumah itu.
“Kau tak tahu malu ke? Dah kikis harta Badrul, kau minta cerai, lepas tu kau tuntut rumah tu pula? Mana kau letak maruah kau?”
“Mana kau letak maruah kau?” tanya Salima kembali. “Aku dah lama kerja sebelum kahwin dengan Badrul. Rumah tu hasil titik peluh aku. Badrul dan kau datang, cuci kaki je. Dan kau buat rumah tu macam rumah sendiri?”
“Kau….!”
“Jangan ingat kau boleh pijak aku macam dulu ke?” potong Salima penuh yakin. “Aku boleh buat laporan polis kalau kau sentuh aku, tahu?”
“Kau boleh buat apa?” Irdina tunjal dahi Salima berulangkali. “Kau tetap akan jadi kuli aku. Kuli aku!”
“Kau lupa agaknya, kita masih di kawasan mahkamah,” kata-kata Salima membuatkan air muka Irdina berubah. “Polis!”
“Berani betul kau buat macam tu,” ujar Fathanah. “Aku bangga dengan kau.”
Salima senyum.
*****