Sunday, June 28, 2020

Cerpen : Kenapa Singgah Kalau Tak Masuk



“Maafkan saya, Encik Ariff. Beberapa perubahan perlu dilakukan dalam syarikat. Salah satunya, pengurangan tenaga kerja.” 

“Jadi saya diberhentikan kerja la ni?” 

“Lebih kurang macam tu la. Maafkan saya,” merendah suara lelaki yang kini menjadi bekas majikannya itu. “Pihak syarikat akan memberikan sedikit pampasan…” 

“Tak cukup untuk saya teruskan hidup,” potong Ariff cepat. Lelaki itu senyum nipis. “Cukuplah untuk kelangsungan hidup sekurang-kurangnya tiga bulan. Sementara tu boleh cari kerja baru.” 

“Nak cari kerja baru tu yang susah sekarang ni,” Ariff mendengus. “Tak apalah, encik. Terima kasih atas kesempatan ini. Moga kita berjumpa lagi.” 

Berita itu tersebar dengan cepat tatkala Ariff kembali ke meja kerjanya. Rakan-rakan sekerja semuanya bercerita tentang perkara itu. 

“Macam mana pula syarikat ni boleh lumpuh?” 

“Dunia bisnes, Sara. macam-macam boleh berlaku dalam sekelip mata. Hari ini untung, esok boleh jadi rugi.” 

“Eh ye ke? Aku dengar cerita lain pula.” 

“Apa yang kau dengar?” 

“Aku dengar, bos kita tu kalah judi.” 

“Serius la?” 

“Ya. Aku dengar lagi, bos kita tu rugi besar. Dia terpaksa serahkan syarikat ni untuk tampung kerugiannya.” 

“Takkanlah sampai macam tu sekali… takkanlah peralihan kuasa dalam syarikat hanya di meja judi?” 

“Permainan orang kaya tak sama dengan permainan rakyat marhaen macam kita ni. Kalau kita bagi nilai ratusan ringgit, diorang mungkin berjuta.” 

“Tapi betul ke apa yang kau dengar ni, Lisa? Kalau cerita ni salah, kau boleh dikira fitnah tau! Berdosa!” 

“Itu apa yang aku dengar la.” 

“Ariff, macam mana dengan pertemuan kau dengan bos tadi? Kau dapat cuti tanpa gaji macam kitorang ke?” terkejut Ariff mendengar soalan itu. Dia tersenyum nipis. 

“Tak la. Worse. Aku diberhentikan.” 

“Apa?” 

“Betul la apa yang aku dengar tu.” 

“Apa lagi yang kau dengar ni, Lisa?” 

“Aku dengar, ada di antara kita yang dikurangkan gaji, ada yang dicutikan tanpa gaji dan ada juga yang diberhentikan kerja.” 

“Pula…” 

“Yang diberhentikan tu, sekurang-kurangnya boleh cari kerja lain. Yang dikurangkan gaji, sekurang-kurangnya masih ada kerja, ada gaji. Yang cuti tanpa gaji ni pula, macam mana diorang nak teruskan hidup?” 

“Ariff, apa perancangan kau lepas ni?” tanya Rahim, rakan sepejabatnya. 

“Tak tahu la,” jawab Ariff jujur. “Semua ni tiba-tiba saja pada aku.” 

“Ya la. Hidup ni selalunya tiba-tiba je,” balas Rahim selamba. “Tiba-tiba je kita dah habis sekolah. Tiba-tiba je kita dah kerja. Tiba-tiba je kita dah kahwin. Tiba-tiba je kita dah mati.” 

Ariff terkedu. 

*****
3 bulan kemudian… 

“Dukacita dimaklumkan bahawa permohonan tuan untuk bekerja di syarikat kami tidak diterima. Pihak syarikat mengucapkan selamat berjaya di dalam apa juga bidang yang diceburi…” 

“Nak ceburi bidang apanya, kerja pun tak ada,” dengus Ariff sambil surat itu dikeronyokkan dan dibuang ke tepi. Saku seluar diseluk perlahan dan beberapa wang tunai not biru dikeluarkan.

“Banyak ni je duit yang tinggal sampai hujung bulan ni,” keluh Ariff lagi apabila rakannya Hafiz tiba di situ. “Mana lagi aku nak cari kerja ni? Nak bayar duit motor lagi, duit bilik sewa lagi…” 

“Masa-masa macam ni, kau tak boleh memilih kerja. Kau perlu kerja untuk survival hidup kau. Cubalah minta kerja kat kedai-kedai ke, restoran ke, stesen minyak ke…” 

“Masalahnya, memang tak ada,” balas Ariff. “Aku pun pelik. Masa ni la semua tempat cukup pekerja. Kalau dulu, aku asyik nampak iklan jawatan kosong je.” 

“Adalah tu rezeki lain yang Allah nak bagi kau, Ariff. Siapa tahu. Rezeki, jdoh, ajal… tu semua kan rahsia Allah?”

“Ni dah kenapa tiba-tiba sebut pasal jodoh ni?” 

“Manalah tahu, rezeki kau akan sampai sekali dengan jodoh,” Hafiz ketawa kecil. “Eh, dah azan Zuhur tu. Jom la ke masjid.”

“Kau pergilah dulu. Aku…”

“Ariff oi, Allah tu Yaa Razaaq, Yang Memberi Rezeki. Minta kat Dia, bukan merengek macam budak kecil kat sini!” 

Ariff senget bibir. “Kau kalau tak tarbiah aku sehari tak boleh ke?”

“Dah kau yang meminta,” Hafiz ketawa lagi lalu melangkah menuju ke masjid tidak jauh daripada situ. Ariff masih kaku di tempatnya.

“Oi! Nak aku bawa tepak sirih ke?” 

Mahu tidak mahu, Ariff memaksakan langkahnya ke rumah Allah itu. Menyertai Hafiz dan jemaah lain menunaikan solat Zuhur. Usai wirid dan doa, Arif masih tetap di tempatnya. 

“Banyak sebenarnya sebab kenapa rezeki susah nak masuk dan melekat dengan kita. Antaranya ialah tidak bersyukur, banyak melakukan maksiat, kurang beristighar dan berkira untuk membantu memudahkan hal yang baik.”

Ariff terkedu mendengar kata-kata imam tersebut menasihati seorang jemaah lain. Dia refleksi diri. Selama dia bekerja, boleh dikira dengan jari, berapa kali dia bersyukur. Istighfar, jauh sekali. Apatah lagi solat. Dia ke masjid hari ini pun, kerana paksaan Hafiz. 

Kalau asal berkira, dialah orang nombor satu. Kalau tiada balasan, sama ada makanan atau duit, memang dia akan biarkan sahaja. Pendek dia memang berat tulang. 

“Kau ak nak sabung cari kerja ke?” 

“Hah?”

“Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kau di muka bumi, dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beruntung,” Hafiz membacakan sepotong ayat dalam Al-Quran. “Surah Jumu’ah ayat 10.” 

Tanpa banyak bicara, Ariff bangkit dari duduknya. Melangkah lemah ke muka pintu dengan pelbagai persoalan bermain di fikiran. 

“Hafiz.” 

“Ya.” 

“Aku nak pergi tandas la.” 

“Itu pun nak minta izin aku,” Hafiz geleng kepala sambil ketawa kecil. “Pergilah. Aku tunggu kat luar.” 

Ketika dia masuk ke tandas itu, hanya dia seorang penggunanya. Tiada apa yang kelihatan pelik. Namun saat dia selesaikan urusannya, sebuah dompet tebal terletak elok di atas sinki. 

“Dompet siapa ni?” 

***** 
“Kau guna duit dalam dompet tu, Ariff?” tanya Hafiz. “Semalam kau jumpa  dompet tu, kau terus guna duit tu? Kenapa kau tak pinjam duit aku je?” 

“Seganlah aku, asyik nak pinjam duit kau je,” balas Ariff lambat-lambat. “Dah banyak aku berhutang dengan kau ni.” 

“Itu bukan lesen kau ambil duit orang lain! Itu mencuri namanya!” bentak Hafiz lagi. “Kau tahu kan, mencuri tu berdosa?” 

“Habis tu kau nak aku buat apa?” 

“Pulangkan balik dompet tu pada tuannya,” usul Hafiz. “Dan kau kena mengaku segala kesalahan kau.” 

“Tak naklah!” 

“Atau,” Hafiz memberi pilihan kedua. “Aku nak kau bayar semua hutang aku. Sekaligus. Tanpa menggunakan duit dari dalam dompet tu.” 

“Kau ni kejam sangatlah!” 

“Aku yang kejam, atau kau yang menzalimi diri sendiri?” tanya Hafiz membuatkan Ariff terdiam. “Apa yang susah sangat? Tak rugi pun kau kalau bersikap jujur.” 

“Aku takut la.” 

“Tuan punya dompet ni manusia juga macam kita. Bukan singa,” Sempat lagi Hafiz mengusik. “Kalau kau takut, aku ada. Aku akan temankan kau jumpa dia.”

“Betul ni?”

“Betul.” 

Maka mereka pun memulakan pencarian, yang membawa mereka ke sebuah rumah agam tidak jauh dari situ. “Besarnya rumah ni, Hafiz. Kalau duit dia hilang banyak ni pun mesti tak luak, kan?” 

“Kau nak ubah fikiran?”

“Aku cakap je.” 

“Dah, jangan nak mengarut,” Hafiz tekan loceng yang terletak berhampiran pintu pagar. Tidak lama kemudian, seorang wanita separuh baya muncul. “Ya. Cari siapa?”

“Kami ni cari Tuan Salim Sulaiman. Dia ada di rumah tak sekarang?”

“Dia ada, seang berkebun. Awak berdua ni ada temu janji dengan Tuan Salim ke?”

“Tak ada, tapi…,” Hafiz menjeling tajam apabila Ariff menyikunya laju. “... kawan saya ni nak pulangkan dompet Tuan Salim.” 

“Oh ye ke?” wajah wanita itu bercahaya. “Tunggu sekejap ya. Saya bagitahu Tuan Salim.”

“Aku tak rasa kita kena jumpa dia,” getus Ariff perlahan. “Letak sajalah dompet tu di peti surat. Nanti diorang jumpa juga, kan?”

“Zaman teknologi sekarang ni manaorang tengok peti surat lagi. Semuanya guna emel, aplikasi, laman web,” balas Hafiz selamba. “Lagipun, kalau letak kat peti surat, macam mana kau nak mengaku kesalahan kau?”

“Kita tulislah surat.” 

“Banyak cantik kau,” Hafiz sudah buat gaya emak-emak. “Masa buat salah bukan main laju kau ye. Masa nak mengaku kesalahan, takut pula.”

“Mengaku kesalahan? Apa salah yang dia dah buat?” terdengar suara garau seorang lelaki membuatkan perhatian merka teralih. Spontan Hafiz bertanya, “Tuan Salim ke ni?”

“Ya.” 

Ariff telan liur. 

***** 
“Maafkan saya, Tuan Salim,” tertunduk-tunduk Ariff memohon. Lelaki itu menghembuskan keluhan berat. “Duit dalam dompet tu, saya nak gunakannya untuk beri sedekah di masjid semalam. Ralat juga rasanya bila dompet tu hilang.” 

“Ye la. Saya perasan juga Tuan Salim yang selalu bagi duit kat imam masjid, kan?” 

“Ya. Untuk bayar bil utiliti masjid. Bil api, air, internet…” 

“Maafkan saya, tuan.” 

“Berapa banyak yang awak guna tu?” tanya Tuan Salim lagi. Arif menjawab gugup. “Cukup untuk saya isi perut saya, tuan.” 

“Berapa banyak?” tanya Tuan Salim lagi. Lambat-lambat Ariff menaikkan lima jari. “Lima puluh ringgit?” 

“Lima ratus ringgit, tuan.” 

“Lima ratus?” terangkat kening Tuan Salim mendengar pengakuan Ariff. “Apa lagi yang awak bayar guna duit saya?” 

“Er, saya guna untuk bayar sewa bilik, tuan,” jawab Ariff takut-takut. “Maaf, tuan.” 

“Awak tunggu kat sini dulu,” putus Tuan Salim setelah beberapa ketika. “Saya akan kembali lepas ni.” 

“Kau ni!” Hafiz siku Ariff kuat sebaik Tuan Salim menghilang di balik pintu. “Banyak betul kau guna!” 

“Tuan rumah dah telefon tanya pasal bayaran sewa. Aku tak ada pilihan,” ujar Ariff. Hafiz mendengus. “Kenapa kau tak cakap dengan aku?” 

“Segan la.” 

“Sebab kau segan la, kita ada di sini,” balas Hafiz. “Tak apalah. Benda dah jadi. Nak buat macam mana lagi.” 

Tuan Salim muncul kembali membuatkan mereka membetulkan kedudukan mereka. Lelaki itu duduk di hadapan Ariff. “Boleh saya tahu, kenapa awak buat macam tu?”

Ariff pandang Tuan Salim lama. Kemudian dia beralih pandang ke arah Hafiz membuatkan lelaki itu membalas pandangannya pelik. “Kenapa pandang aku? Jawab je la soalan Tuan Salim tu.”

Ariff ambil nafas dalam-dalam, mengumpul kekuatan. “Saya dah tiga bulan tak ada kerja, tuan. Saya tertekan. Komitmen saya banyak. Tanggungan saya di kampung lagi…”

“Jadi awak sanggup mencuri?” 

“Saya… saya…,” tergagap-gagap Ariff menjawabnya. “Maaf, tuan. Memang saya salah. Hukumlah saya.” 

“Baik, saya akan pertimbangkan permohonan maaf awak tu,” putus Tuan Salim. Dia bangkit dari duduknya. “Namun, ada syaratnya.” 

“Apa? Syarat? Apa syaratnya?” Ariff bingung. 

“Awak kena kerja dengan saya,” jawapan Tuan Salim benar-benar membuatkan Ariff mengeluh lega. “Awak kena kerja di pasaraya saya yang baru dibuka.” 

“Apa?” Ariff dan Hafiz sama-sama terkejut. “Tapi tuan, saya tak ada pengalaman kerja di pasaraya. Kerja saya sebelum ni, kerani saja.” 

“Saya tak peduli,” Tuan Salim nekad dengan keputusannya. “ Kalau awak tak setuju, saya akan gandakan hutang awak sepuluh kali ganda, dan awak perlu membayarnya sekaligus.” 

Ariff sesak nafas. “Lima ribu ringgit? Sekaligus?” 

“Ya.” 

“Tuan, kalau tuan boleh pertimbangkan semula…,” Hafiz cuba membantu namun Tuan Salim mengangkat tangannya laju. “Saya mahu dia yang selesaikan masalah ini sendiri.” 

“Tuan Salim,” Ariff bersuara setelah beberapa ketika. “Saya… saya terima tawaran tuan tu.” 

“Pilihan pertama atau kedua?”

“Pilihan kedua.” 

“Awak pasti?” 

“Eh, salah! Pilihan pertama.” 

“Bagus. Awak boleh mula kerja esok.” 

***** 
Lima bulan kemudian… 

“Ariff! Ariff!” jeritan nyaring itu menggugat fokusnya dalam bekerja membuatkan dia senget bibir. Sebentar kemudian, seorang gadis muncul di ruangan itu. “Kau buat apa ni?” 

“Potong rumput,” jawab Ariff selamba. “Kau tak nampak ke apa yang aku tengah buat ni, Hani?”

“Memasak.”

“Dah mula dah loyar buruk dia tu.” 

“Siapa yang mulakan dulu?” Hani cekak pinggang. Apapun, semak tarikh luput ni bukan kerja kau tau. Ini kerja aku. Kerja kau kat kaunter sana.”

“Tadi kan kau mengadu sakit senggugut ke? Rehatlah dulu kat kaunter tu. Bukannya ramai sangat orang hari ni,” balas Ariff. “Kita tukar tugas harini.” 

“Alah, senggugut ni aku dah biasa dah. Lepas makan ubat nanti, redalah sakitnya,” Hani mendekati Ariff. “Tu, mak mertua kau panggil.” 

“Mak mertua? Bila masa aku kahwin?” 

“Mak mertua kau la. Makcik Kiah, yang nak kahwinkan kau dengan anak dia, Fatin tu.” 

“Makcik Kiah?” Ariff tepuk dahi. “Apa lagi la dia nak canang pasal anak dia  ni?” 

“Pergi sajalah. Melayan kerenah pelanggan pun salah satu skop kerja kita, kan?” Hani separuh mujuk. Ariff menghela nafas berat, lalu melangkah menuju ke kaunter pembayaran. 

“Makcik Kiah.” 

“Ariff!” mata wanita itu bercahaya apabila kelibatnya muncul di kaunter. “Menantu mak sihat? Mak ada masakkan bekal untuk menantu mak. Nanti makan ya?” 

“Baik, makcik. Nanti saya makan.” 

“Makcik? Apa pula… panggillah ‘mak’. Ariff pun bukannya orang lain… bakal menantu mak juga.” 

“Saya tak biasalah, makcik.” 

“Sebab tak biasalah, kena biasakan. Tak la nanti kekok bila kahwin dengan Fatin nanti,” Makcik Kiah masih tidak berputus asa. “Berlatihlah lagi, ya?” 

“Macam mana rasanya jumpa bakal mak mertua?” usik Hani apabila Makcik Kiah selesai membeli-belah di pasaraya itu. “Seronok tak?” 

“Seronok apanya?” balas Ariff, tidak bereaksi. “Aku kenal anak dia pun tidak, nak jadikan dia isteri?” 

“Tak apalah. Yang penting, awal-awal lagi kau dah diterima Makcik Kiah,” usik Hani lagi. “Cinta itu boleh berputik selepas kahwin, kan?” 

“Hati aku dah dimiliki la.” 

“Apa dia?”  

“Tak… maksud aku…,” Ariff berdehem seketika. “Aku kerja kat sini pun sebab berhutang dengan Tuan Salim. Kau pun tahu, kan?” 

“Percaya pada rezeki lepas kahwin, Ariff. Kalau kita ikhlas dalam sesuatu perkara, maka Allah akan mudahkan rezeki kita,” ujar Hani sambil tersenyum. Ariff memandangnya lama. 

“Jadi?”

“Jadi apa?” 

“Jadi tak, kau kahwin dengan anak Makcik kiah?” 

“Tukar topiklah!” 

***** 
“Kenapa kau tak nak terima lamaran Makcik Kiah tu?” tanya Hafiz. “Tak payah susah-susah nak cari jodoh lain.” 

“Tak payahlah nak mengejek akju sampai macam tu sekali?” desis Ariff. “Kalau kau jumpa la Makcik Kiah tu, kau akan dapat rasa yang lamaran tu bukan untuk anak dia, tapi untuk dia.” 

“Maksud kau?” 

“Layanan dia terhadap aku tu, bukan sebagai bakal menantu. Tapi sebagai bakal suami. Geli la aku.” 

Meledak tawa Hafiz mendengar komen itu, membuatkan Ariff bertambah bengang. “Kau memang suka, kan? Kenapa bukan kau yang terima lamaran tu? Kan senang?” 

“Bukan.. itu…,” tidak mampu Hafiz menghabiskan kata-katanya. “Tak sangka pula kau akan jumpa dengan orang macam tu.” 

“Banyak lagi kerenah pengunjung di pasaraya tu,” ulas Ariff. “Dah diberi diskaun, nak diskaun lagi. Ada pula yang minta hutang. Ambil dulu, hujung bulan baru bayar. Yang bercinta dalam pasaraya pun ada, sampai kami terpaksa halau sebab pelanggan tak selesa.” 

“Macam tu pun ada?” 

“Ya. Tapi, aku bersyukur hidup ini seadanya sebab…,” tidak semena-mena, wajah Hani muncul di ruang minda. Pipinya memerah tiba-tiba. 

“Ni dah kenapa senyum sorang-sorang ni?” 

“Senaman muka la. Kau apa tahu?” 

“Ariff, aku pun manusia. Sekilas ikan di air, aku dah tahu jantan betina. Inikan pula senyuman kau tu. Kau tengah angau, kan?”

“Mana ada la!” 

“Jangan bohong! Siapa nama dia?”

“Hani!” jawabnya spontan. Sebentar kemudian, dia menutup mulutnya. Semakin kuat Hafiz ketawa. “Kau ni….”

“Pasti Hani ni cantik orangnya, kan? Cantik rupanya, cantik perilakunya. Sampai kau tak mampu nak keluarkan dia dari fikiran kau.” 

“Merepek je la kau ni.” 

“Betul la apa aku cakap ni,” Hafiz mempertahankan hujahnya. “Kau tak pernah macam ni sebelum ni.” 

Ariff tidak menjawab. Matanya difokuskan ke kaca televisyen. Namun wajah Hani masih kelihatan. Apa kena dengan aku ni?

“Tuan Salim ada cakap apa-apa tak pasal hutang kau tu?” tanya Hafiz mengubah topik perbualan. “Dah nak masuk tujuh atau lapan bulan kau kerja di pasaraya tu, kan?” 

“Lebih kurang macam tu la,” balas Ariff. “Tak pula dia tanya apa-apa. Tapi sebenarnya aku suka macam tu. Aku suka kerja kat situ.” 

“Sebab Hani, kan?” 

“Jangan nak mulakan balik!” 

“Okey, okey,” Hafiz tahan ketawa. “Tapi Tuan Salim tak tanya kau langsung? Serius la! Hutang tu! Ayat tentang hutang adalah ayat terpanjang di dalam Al Quran. Cukup untuk mengingatkan kita betapa seriusnya perkara ni.” 

“Aku tahu tu,” balas Ariff. “Setiap kali dia datang ke pasaraya untuk semak akaun, setiap kali itulah aku akan tanya dia. Kau tahu apa jawapannya setiap kali itu?”

“Tak tahu.” 

“Aku nak bagitahulah ni,” dengus Ariff. “Dia cakap, masih dalam pertimbangan. Jawapan yang sama sejak lapan bulan lepas.” 

“Masih sama jawapannya?” terangkat kening Haiz mendengarnya. “Mungkin ada hikmah di sebalik semua ni.” 

“Mungkin.” 

***** 
“Mana Hani?” tanya Ariff apabila kelibat gadis itu tidak kelihatan. “Senggugut lagi ke dia?” 

“Tak ada alasan lain ke yang boleh kau bagi selain senggugut, Ariff oi?” balas Rafiq, rakan sekerjanya. “Dia keluar sekejap. Ada hal katanya.” 

“Oh…,” Ariff mengangguk faham. Kemudian dia meneruskan kerjanya apabila dia tiba-tiba teringat sesuatu.

“Kenapa?” tanya Rafiq apabila melihat perubahan air muka Ariff. “Muka macam kena bayar hutang hari ni.” 

Hutang… Ariff mengeluh dalam diam. Namun bukan itu yang terlintas di fikirannya sekarang ini. “Dah lama aku tak diganggu.” 

“Oleh siapa?” 

“Makcik Kiah.” 

“Makcik tu? Euw!” Rafiq buat gaya Cleopatra, membuatkan kening Ariff terangkat sebelah. “Kau dah kenapa?” 

“Aku betul-betul tak faham dengan makcik tu,” Rafiq memulakan cerita. “Semua staf lelaki kat pasaraya ni, yang ada rupa, semuanya dia lamar untuk jadi bakal menantu. Termasuklah aku, tau!” 

“Kenapa kau tolak?” 

“Gila kau? Matilah aku kena sembelih dengan tunang aku nanti!” membulat mata Rafiq. Ariff ketawa. “Terdesak sangat ke Makcik Kiah tu, sampai semua orang nak dijadikan bakal menantu?”

“Entahlah. Aku pun tak tahu dia tu,” balas Rafiq. “Tapi aku rasa, dia bukan nak cari menantu. Dia nak cari suami.” 

Hampir tersembur air yang sedang diminum Ariff. “Kau biar betul, Rafiq? Aku ingat aku sorang je yang fikir macam tu.” 

“Ada juga cerita lain yang aku dengar,” ujar Rafiq lagi. “Anak Makcik Kiah tu dah ada kekasih. Tapi Makcik Kiah tak berkenan. Itu yang dia cari bakal menantu tu. Anak dia tu tahu pasal benda ni. Sebab tu juga diorabng selalu bertengkar.” 

“Kenapa pula dia tak berkenan?”

“Entahlah.” 

“Sudahlah. Tak baik kita bercerita buruk pasal orang lain,” Ariff mengemas kaunter pembayaran. “Hari ni Tuan Salim akan datang, kan?” 

“Dia bukan hanya akan datang pada hari Selasa ke? Hari ni baru hari Isnin,” balas Rafiq. Ariff tepuk dahi. “Hari ni hari Selasa la.” 

“Hari ni ke?” Rafiq sudah tidak tentu arah. “Alamak! Laporan aku tak siap lagi! Matilah aku kena marah dengan Tuan Salim!” 

Terkocoh-kocoh Rafiq berlari ke ruang pejabat, tidak jauh dari kaunter pembayaran. Ariff tersenyum nipis lalu melayan beberapa pelanggan yang ingin membuat pembayaran. 

“Ramainya orang datang hari ni! Ada pembelian panik ke?” komen Tuan Salim sebaik tiba di pasaraya tengah hari itu. Ariff senyum. “Tak adalah, tuan. Raya kan dah nak tiba. Diorang beli barang keperluan la tu.” 

“Oh…”

“Tuan.” 

“Ya?” 

“Macam mana dengan permohonan maaf saya?” tanya Ariff lambat-lambat. “Hutang saya dah selesai ke?” 

Mendengarkan pertanyaan itu, Tuan Salim menghela nafas halus. Jantung Ariff berdegup kencang. Namun dia setia menanti jawapan. 

“Tuan?” 

“Hujung minggu ni, awak datang rumah saya. Ada sesuatu yang ingin dibincangkan,” putus Tuan Salim. Ariff akur. 

***** 
“Macam mana dengan kerja kamu sekarang?” tanya Tuan Salim setelah Ariff melabuhkan duduknya. “Dapat belajar sesuatu?” 

“Banyak yang saya belajar sepanjang satu tahun ni, tuan,” jawab Ariff lembut. “Salah satunya ialah, niat kita bekerja. Kalau kita bekerja untuk dapatkan duit, untuk komitmen bulanan, kita tak akan tenang. Kita selalu risau jika duit kita tak cukup sampai hujung bulan.” 

“Jadi, sekarang ni, apa niat Ariff kerja sekarang?” 

“Kerana Allah,” jawapan itu membuatkan Tuan Salim mengangguk perlahan. “Boleh huraikan apa yang Ariff cakap tu?” 

“Bila kita kerja kerana Allah, maka kerja kita itu menjadi ibadah. Bila kita kerja kerana Allah, maka kita tak perlu risau tentang gaji. Kerana rezeki itu hak Allah. Dan jika kita yakin rezeki itu memang Allah kurniakan untuk kita, maka kita tak perlu khuatir. Kerana rezeki itu takkan jadi orang lain.” 

“Kesimpulannya?” 

“Saya jadi tenang, tuan,” jawab Ariff membuatkan bibir Tuan Salim menguntum senyuman. “Bagus. Sekurang-kurangnya kamu belajar sesuatu. Bukan hanya bekerja untuk membayar hutang.” 

“Sebut pasal hutang…,” Ariff bersuara lagi. “Mula-mula saya risau juga kalau saya bekerja untuk membayar hutang pada tuan. Makna kata, saya takkan dapat gaji. Tapi sepanjang saya bekerja, gaji penuh yang saya terima. Tiada pula potongan apa-apa.” 

“Sebab saya yang arahkan begitu,” balas Tuan Salim. “Persetujuan awak untuk bekerja di pasaraya tu adalah syarat untuk saya pertimbangkan permohonan maaf awak. Bukan untuk awak bayar hutang.” 

Berderau darah Ariff mendengar kata-kata itu. “Jadi, tuan masih belum maafkan saya? Macam tu ke?” 

“Lebih kurang.” 

“Tuan,” Ariff sudah tidak tentu arah. “Apa lagi yang saya perlu buat ya?” 

“Eh, sabar. Jangan gopoh,” Tuan Salim menenangkan Ariff. “Sepanjang setahun awak kerja ni, saya nampak kejujuran awak . Jadi saya akan pertimbangkan untuk maafkan awak.” 

“Tapi….” 

“Tapi?” Tuan Salim ketawa kecil. “Tahu saja awak kan, saya nak sambung ayat saya dengan perkataan tu.” 

Ariff tersenyum pahit. Tuan Salim membetulkan kedudukannya. “Saya akan maafkan awak. Dengan satu syarat baru.” 

“Apa syaratnya, tuan?” 

“Awak kena kahwin dengan anak perempuan saya.” 

“Hah?” 

***** 
“Anak perempuan saya itu buta, pekak dan bisu. Saya risau, kalau-kalau dia tidak bertemu jodoh yang baik. Saya yakin, awak boleh jadi suami yang baik pada anak saya.” 

Kata-kata Tuan Salim tempoh hari kembali terngiang-ngiang di cuping telinga. Gagal diusir dari minda. Makin cuba dilupa, makin diingat pula.

“Macam mana sekarang?” tanya Hafiz. “Aku betul-betul tak sangka yang akan jadi macam ni.” 

“Tak apalah. Bukan salah kau pun. Kau bukannya ahli magik, yang boleh baca masa depan,” balas Ariff. Hafiz senyum nipis. “Kau dah banyak berubah sejak kerja kat pasaraya tu.” 

“Ye ke?” tanya Ariff seakan tidak percaya. “Aku rasa biasa je.” 

“Perubahan kau, bukan kau yang akan merasainya, Ariff. Tapi orang sekeliling,” ujar Hafiz. “Dulu kau tak macam ni. Aku ingat lagi masa kau mula-mula nak jumpa Tuan Salim.” 

“Aduh, jangan ingatkan aku dengan hal tu lagi! Malu!” Ariff tutup muka. Hafiz ketawa kecil. “Jadi sekarang ni, macam mana? Kau terima ke syarat Tuan Salim tu?” 

“Entahlah.” 

“Kau dah bagitahu mak kau ke?” tanya Hafiz lagi, membuatkan Ariff mengangguk perlahan. “Dia kata apa?” 

“Dia kata, mungkin dah sampai serunya untuk aku berumah tangga, dengan cara macam ni,” Ariff senyum pahit. “Mak aku juga dah bagi restu.” 

“Baguslah macam tu,” komen Hafiz. “Tapi, aku rasa kau patut istikarah. Yang nak kahwinnya kau. Kalau aku, dah lama aku setuju.” 

“Aku dah buat dah. Itu yang suara Tuan Salim tak hilang dari kepala ni,” Ariff angkat kening. “Mungkin betul la kata kau dulu. Mungkin rezeki aku datang sekali dengan jodoh. Sekarang la masanya, kan? Lagipun, jodoh yang baik juga rezeki. Kurniaan Allah.” 

“Kau terima juga walaupun dia buta, pekak dan bisu?” 

“Kalau dah itu bahagian aku, terima je la. Kan?” 

“Betul la kau dah berubah,” komen Hafiz lagi. “Aku doakan kau bahagia.” 

“Terima kasih, sahabat.” 

Hari yang ditunggu pun menjelang tiba. Gugupnya Ariff tidak terbendung lagi, terutamanya apabila menjabat tangan Tuan Salim yang bakal menjadi bapa mertuanya. 

“Ariff Zuhri bin Ahmad Zahir.” 

“Saya.” 

“Aku nikahkan dikau dengan anak perempuanku, Hani Sakinah binti Salim dengan mas kahwinnya dua ratus ringgit, tunai…” 

“Aku terima nikahnya dengan Hani Sakinah binti Salim dengan mas kahwinnya dua ratus ringgit tunai,” lancar Ariff mengucapkannya walaupun hatinya terdetik kuat.

“Sah!” berderai air mata Ariff sebaik sahaja perkataan itu kedengaran. Dia menadah tangan mengaminkan doa daripada Tuan Salim, bapa mertuanya. 

“Yaa Allah, aku telah menjadi suami orang hari ini. Aku mohon padaMu kebaikannya dan segala yang Engkau ciptakan padanya. Dan aku berlindung padaMu daripada keburukannya dan dari keburukannya yang Kau ciptakan pada dirinya." 

Saat Ariff menyarung cincin pada si isteri, jantungnya berdegup kencang. Ariff telan liur. Perasaan ini hanya muncul ketika bersama… 

“Assalamualaikum, abang,” suara manis sang isteri benar-benar memaranjatkan Ariff. Buntang matanya melihat wajah si isteri. 

“Hani!” 

***** 
“Abang penat?” tanya Hani sambil mengurut perlahan bahu Ariff. Namun lelaki itu masih membatu. Membisu. Mengundang resah di hati sang isteri. 

“Abang marahkan Hani ke?” 

“Eh, taklah! Cuma…,” Ariff tidak dapat meneruskan kata-katanya. Dia mengeluh perlahan. “Abang masih keliru.” 

“Kenapa?” 

“Tuan Salim cakap…” 

“Abah,” Hani membetulkan panggilan itu. “Abang dah jadi menantu abah sekarang. Takkan nak panggil Tuan Salim lagi?” 

“Ala, Tuan…. abah…. esh, susah la!” 

Hani ketawa kecil. “Abang rasa tertipu dengan abah ke? Sebab abah cakap Hani buta, pekak dan bisu?” 

Ariff terdiam mendengar pertanyaan Hani. Memang, dia berasa tertipu setelah melihat Hani sebagai isterinya, sejurus selepas pernikahan mereka. Namun kata-kata Tuan Salim, apabila semua tetamu telah pulang menusuk ke dalam hatinya. 

“Hani nampak sempurna di mata awak kan, Ariff? Sebenarnya, dia buta, pekak dan bisu,” ujar Tuan Salim membuatkan Ariff bertambah keliru. “Saya tak faham.” 

“Sebelum Ariff datang ke rumah tu, Hani tidak pernah memandang lelaki lain yang bukan muhrim. Kerana itu dia buta. Dia pekak, kerana dia tidak pernah mendengar perkara khurafat. Dia bisu, kerana tidak pernah berbicara hal yang sia-sia.” 

“Tapi, kenapa tuan pilih saya sebagai suami Hani?” 

“Sebab awak jujur,” jawab Tuan Salim. Sepanjang setahun ni, saya banyak mendengar cerita daripada Hani. Awak ingat Hani tu kerja di sana untuk apa? Untuk memantau awak je.” 

“Oh, sebab tu dia menghilang setiap kali Tuan Salim datang ke pasaraya,” Ariff baru menyedari hal itu. Tuan Salim anggukkan kepala. “Ya. Memang sengaja. Sebab dia tak mahu terlepas cakap kalau dia ada bila saya datang.” 

“Abang!” panggilan Hani membuatkan lamunannya terlerai. Ariff pandang wajah isterinya yang sudah keruh. “Kenapa?” 

“Abang marahkan Hani ke?” 

“Marah? Taklah,” Ariff merangkul si isteri ke dalam dakapannya. “Abang bersyukur, Hani jadi isteri abang.” 

“Terima kasih, abang.” 

“Hani tahu tak?” tanya Ariff membuatkan Hani memandangnya tepat. “Abang sebenarnya memang ada hati dengan Hani. Tapi bila Tuan Salim… abah minta abang kahwin dengan anak dia, abang pasrah. Dalam fikiran abang, mungkin Hani hanya singgah sebentar di hati abang.” 

“Singgah?” Hani kerut dahi. “Kenapa singgah kalau tak masuk?” 

“Ke mana?” 

“Ke hati abang la,” Hani menguntum senyum. Ariff ketawa. Bahagia. 

TAMAT