“Helo, semua!” Hari ni saya sangat gembira sebab semua tugasan saya sudah siap! Lepas saya hantar tugasan pada pensyarah, saya merdeka! Jadi bolehlah saya tonton drama-drama Jepun! Seronoknya!”
Riang ria suara Dina merakam dirinya dalam telefon pintar. Selesai, dia memuatnaik rakaman tersebut dalam laman sosial. Kemudian setelah dia mengemas biliknya yang bersepah, barulah dia keluar.
“Orang lain pun siapkan tugasan juga. Tapi tak la macam kau yang nak laporkan semua benda dalam laman sosial,” terdengar satu komen berdesing di telinga Dian saat dia keluar bilik. Terangkat keningnya sebelah. Dijeling Nadia yang sedang menonton televisyen.
“Peduli la,” balas Dina selamba. “Aku guna profil aku. Telefon aku, data aku. Kau tak ada hak untuk halang aku nak buat apa.”
“Rimas, tahu tak. Rimas.”
“Kalau rimas, tak payah ikut aku dalam laman sosial,” balas Dina lagi. Rambutnya dikuak ke belakang, penuh bergaya. “Kau tak sakit hati, apa pun aku tak rugi.”
“Ye la tu,” Nadia ketawa sinis. “Yang meroyan teruk bulan lepas sebab pengikut berkurang tu siapa? Bukan kau ke?”
“Itu… itu.. argh!” Dina mendengus kasar. “Cakap orang. Kau tu? Tak habis-habis cerita pasal drama pukul tujuh tu di blog. Orang bukannya baca sangat pun.”
“Aku bukan nak kata apa la kan,” ujar Nadia sambil membetulkan duduknya. “Bilangan pengunjung cecah lima ribu sebulan. Aku juga jana pendapatan dari blog aku. Orang lebih suka menonton drama Melayu daripada drama Jepun kau yang entah apa-apa tu.”
“Entah apa-apa?” hampir sahaja Dina meletup mendengar kata-kata itu. Namun kemudian dia tarik nafas dalam-dalam. “Entah apa-apalah aku ni nak melayan kau. Baik aku keluar.”
Nadia hanya tersenyum mendengar kata-kata Dina. Sebaik sahaja pintu ditutup, dia bersuara, “Siapa suruh layan?”
Telefon pintar di atas meja dicapai lalu dia menyemak semua notifikasi yang diteria. Kemudian dia membuka laman sosialnya.
“Selesai bergaduh dengan Mak Cik Takoyaki. Lagi,” Nadia senyum lebar lalu menekan butang Hantar.
Dia bangun seketika untuk menggunakan bilik air. Kembali sahaja ke ruang tamu, satu notifikasi baru diterima.
“Nama aku Cik Takoyaki la! Suka hati je kau ubah nama aku jadi Mak Cik Takoyaki tu dah kenapa?”
Tergelak Nadia membaca koen yang ditinggalkan Dina di status terbarunya itu. Tergeleng kepala dia mendengarnya. “Dah meroyan dah dia.”
*****
“Dina!” panggilan itu membuatkan suapannya terhenti. Dina merenung tajam ke arah Lisa dan Sara yang tersengih menghampirinya. “Korang ni, kacaulah. Aku nak makan ni.”
“Kau ni, tak muak ke asyik makan takoyaki je?” tanya Lisa. “Aku yang tengok ni pula rasa muak, kau tahu?”
“Kau takkan rasa muak bila kau dah jatuh cinta.”
“Dina oi, takoyaki ni makanan. Bukannya orang yang kau boleh jatuh cinta!”
“Biarlah! Cinta itu universal, kan?” sengaja Dina angkat kening. Lisa tepuk dahi. Sara hanya mampu ketawa tanpa henti.
“Dahlah Lisa. Kau takkan menang bila berlawan cakap dengan Dina ni. Kau bukan tak tahu yang dia ni banyak akal!”
“Kau ni puji aku ke kutuk aku, Sara?”
“Dua-dua pun boleh.”
“Kau!” Dina tepuk bahu Sara mesra lalu ketawa. “Kau nak makan takoyaki ni tak? Aku terbeli lebih pula.”
“Aku puasa.”
“Kau, Lisa?”
“Tak nak la. Aku dah muak la.”
“Aduh, banyak pula takoyaki yang aku beli ni,” Dina garu kepala yang tidak gatal. “Aku pun dah kenyang dah ni. Siapa pula nak habiskan?”
“Apa kata kau bagi kawan serumah kau tu?”
“Siapa? Nadia? Euw!” Dina buat gaya geli. “Yang aku simpan pun dia boleh buang, inikan pula nak belanja dia? Memang dia tolak mentah-mentah la!”
“Dah memang kau yang salah masa tu, kan? Siapa suruh kau simpan takoyaki tu sampai lima hari? Memang ke tong sampah la cerita dia.”
“Aku lupa, nak buat macam mana,” Dina memuncungkan mulutnya. “Habis tu, aku nak buat apa? Bagi takoyaki ni untuk dia?”
“Apa salahnya kau cuba.”
Menjelang malam, dia tiba di rumah. Nadia dilihatnya sedang khusyuk menelah buku-buku tebal sambil membuat catatan di buku nota. “Banyak tugasan?”
“Boleh tahan la,” Nadia membetulkan kaca matanya dan memandang Dina. “Kau nak tolong ke?”
“Aku bukannya tahu subjek yang kau belajar tu,” balas Dina sambil menghempaskan diri di sofa, tidak jauh daripada Nadia. “Aku ada bawa takoyaki. Kau nak makan?”
“Takoyaki?” kening Nadia terangkat sebelah. “Pelik la kau hari ni. Kau nak belanja aku makanan kegemaran kau?”
“Ye la. Kenapa?”
“Tak la. Selalunya kau la yang paling kedekut bila bab makanan kegemaran kau. Siap bergasak lagi dengan aku sebab aku buang takoyaki kau yang dah rosak sebab lama sangat dalam peti ais tu.”
“Itu cerita dulu,” Dina mendengus kecil. “Kau nak tak takoyaki ni?”
“Tak nak la. Aku dah kenyang la,” balas Nadia, menyambung kerjanya. “Aku dah bedal tiga keping roti canai kat kedai Abang Hensem petang tadi.”
“Huh!” Dina bangun dari duduknya. Dia berjalan ke dapur sambil hentak kaki. “Kalau aku tahu kau akan tolak aku macam ni, aku takkan belanja kau takoyaki ni.”
“Aik, marah?”
“Sibuk nak makan roti canai tu,” gumam Dina lagi. “Dia tak sedar agaknya yang kalori roti canai tu tinggi.”
Nadia ketawa kecil. “Macamlah kalori takoyaki tu rendah sampai boleh jadi harian. Sama je kalori dengan roti canai.”
“Apa kau cakap?”
“Tak ada apa!” Nadia jelir lidah.
*****
“Time tengah bulan ni la motor ni nak buat hal pun!” rungut Nadia sambil membelek motosikalnya. “Aku nak pergi kerja macam mana ni. Dah lambat ni.”
“Apa yang bising sangat pagi-pagi macam ni?” Dina muncul di muka pintu sambil garu kepala. “Kau rupanya. Apa, tak cukup tidur ke malam tadi?”
“Bukanlah,” balas Nadia. “Motor aku rosak.”
“Apa? Rosak?” Dina ketawa mengejek. “Itulah. Aku dah cakap, beli je motor baru. Motor ni dah layak jadi tukun tau!”
“Senangnya kau cakap. Nak beli motor ni, kena pakai duit. Bukan bulu hidung!”
“Aik, kau buat kerja sambilan, menulis blog lagi, masih tak cukup duit ke?”
“Aku bukan macam kau, tak kerja sambilan pun tak perlu sesak di hujung bulan,” Nadia sarung kasut ke kaki. “Aku tak boleh pentingkan diri sendiri. Banyak lagi tanggungan ayah aku. Jadi aku tak nak susahkan dia.”
“Oh, macam tu,” muncung Dina panjang sedepa. “Eh, kau nak pergi mana tu?”
“Kerja la. Mana lagi?”
“Jalan kaki?”
“Ye la. Motor aku dah rosak, kan?”
“Serius la kau nak jalan kaki? Jauh tu?”
“Ye la. Kan moto aku rosak. Berapa kali aku nak cakap?”
“Kau tunggu kejap. Tunggu tau!” terburu-buru Dina masuk ke dalam rumah. Berkerut dahi Nadia melihatnya. Sebentar kemudian, Dina muncul semula.
“Aku hantar kau ke tempat kerja.”
“Eh?” Nadia terkejut mendengar kata-kata Dina. “Kau biar betul ni? Angin apa yang dah merasuk kau pagi-pagi macam ni?”
“Kau jangan nak buat drama pukul tujuh kat sini pula,” Dina senget bibir. “Aku nak jogging kat tasik dekat tempat kerja kau tu. Alang-alang tu aku hantar la kau sekali.”
“Jarang benar kau jogging kat taman tasik. Selalunya kau pergi gym je. Lebih selamat kau kata,” Nadia garu kepala yang tidak gatal. “Ke… kau kesiankan aku?”
“Kesiankan kau? Tolonglah!” Dina kuak rambut ke belakang. “Aku saja nak berubah angin. Salah ke?”
“Tak salah pun. Pelik je.”
“Dah;ah. Jangan banyak bunyi. Masuk dalam kereta,” ujar Dina separuh mengarah. Nadia hanya akur, dia meloloskan diri ke dalam kereta.
“Rasa pelik pula bila kau baik dengan aku macam ni,” Nadia meluahkan perasaannya. “Rasa canggung pula.”
“Apa ‘gong’?” Dina pura-pura tidak mendengarnya. Dia mengeluarkan sesuatu dari dalam dompetnya. “Balik dari kerja nanti, hantar motor kau ke bengkel ni.”
“Tak payahlah. Nanti pandai-pandai la aku baiki motor tu nanti.”
“Kau reti ke baiki motor?”
“Yelah… kot.”
“Kot?” terangkat sebelah kening Dina mendengarnya. “Tak reti la tu.”
Nadia menggerutu. Namun dalam diam, dia mengakuinya.
“Nanti cakap dengan tauke bengkel tu, aku bayar nanti.”
“Tak nak la. Aku berhutang budi dengan kau nanti.”
“Bila dah masuk gaji nanti kau bayar la. Dah nama pun berhutang, kan?” Dina jelir lidah. Nadia senget bibir. Sebelum keluar, dia pandang balik orang di sebelah. “Dina.”
“Ya?”
“Terima kasih.”
*****
Esak tangis kedengaran sebaik sahaja Nadia masuk ke dalam rumah. Meremang tengkuk mendengarnya. Namun Nadia menguatkan diri. Dia melangkah penuh berhati-hati.
Esak tangis semakin jelas kedengaran apabila dia mendekati bilik Dina. Nadia mengeluh lega. Pasti budak ni tonton drama Jepun kegemarannya lagi, desis hatinya.
Baru sahaja dia ingin melangkah pergi dari situ, apabila tangisan Dina semakin kuat dan semakin mendayu-dayu. Nadia telan liur. Perlahan dia mengetuk pintu bilik Dina.
“Oi, kau okey ke tu?”
“Aku tak okey!” jerit Dina kuat dari dalam bilik. “Jangan kacau aku la! Aku nak bersendirian! Aku nak bersendirian….”
“Dia sambung nangis pula,” Nadia garu kepala yang tidak gatal. “Aku bukan nak masuk campur. Tapi sekarang kan dah senja. Kau menangis macam tu, seram pula aku dengar.”
Serta-merta bunyi tangisan itu mati. Nadia diam. Perlahan dia tampar mulutnya sendiri. Apasal cabul sangat?
Tidak lama kemudian, pintu bilik itu dibuka. Dina muncul dengan mata merah. Hampir terundur Nadia melihat keadaan itu. “Kau dah kenapa? Internet tak kuat ke sampai kau tak boleh tengok drama Jepun?”
“Apa yang aku alami sekarang lebih hebat daripada drama Jepun, kau tahu?” balas Dina, serak. “Kekasih aku curang di belakang aku.”
“Macam drama pukul tujuh la pula,” komen Nadia selamba. Dina menjelingnya tajam namun dia buat tidak peduli. “Dia curang dengan siapa? Kau kenal ke?”
“Kalau perempuan lain aku tak kisah sangat, walaupun aku kisah la juga. Tapi ini…,” Dina kembali berlinang air mata. “... kawan baik aku sendiri. Lisa!”
Buntang mata Nadia mendengarnya. “Lisa? Amboi, pandai betul dia ambil kesempatan. Betul-betul boleh buat drama pukul tujuh ni.”
“Kau ni!” Dina pukul bahu Nadia dengan bantal peluknya. Tidak sempat dia mengelak. “Aku kenal Lisa dah lama tau. Sejak dari sekolah lagi. Tak sangka…”
“Kau kenal dia luar dalam pun, kalau dia nak curang, dia tetap akan curang. Kau kenal dia lama mana pun, kalau dia nak khianat, dia tetap akan khianat.”
“Kau ni, nak pujuk aku ke nak kutuk aku?”
"Bukan kutuk. Ini kenyataan," Nadia membetulkan duduknya. "Dah la. Tak payah kau nak menangis meratapkan orang yang tak menghargai kau."
"Tapi aku sayang dia."
"Ada dia sayang kau?" tanya Nadia membuatkan Dina terkedu. "Kalau dia sayangkan kau, dia tak curang dan bercinta dengan Lisa, kawan baik kau. Dah la. Daripada kau buat muka tapai basi kat sini, baik kau ikut aku pergi surau. Solat. Tenang sikit.”
“Nadia.”
“Apa?”
“Terima kasih.”
*****
“Apa? Aku kena serumah dengan budak roti canai tu?” lantang suara Dina, tidak percaya apabila Lisa memberitahu yang mereka tidak dapat tinggal bersama, sebaliknya terpaksa tinggal dengan Nadia.
“Kenapa kau panggil dia budak roti canai?”
“Semua orang tahu kan, dia tu hantu roti canai?” tanya Dina kembali. “Semua jenis roti canai dia suka. Aku rasa, kalau boleh dia nak kahwin dengan mamak roti canai tu ha.”
Hampir tersembur air di mulut Sara mendengar kata-kata Dina. Cepat-cepat dia mengelap mulutnya. “Kau ni, kalau nak bagi punchline sekalipun, beragak la.”
“Betul la tu apa aku cakap,” Dina mempertahankan hujahnya. “Jarang la aku tengok dia makan makanan lain yang lebih hipster, yang lebih mengikut trend.”
“Dia diet kot. Takpun, dia berjimat,” ujar Sara. “Ye la, berapa sen sangat la sekeping roti canai tu.”
“Dia telan tiga keping juga.”
“Eleh, kau pun sama. Makan takoyaki tu macam makan stik kambing,” Lisa bersuara sambil jelir lidah. Dina berpura-pura marah. Mereka kemudian sama-sama ketawa.
“Termenung jauh nampak?” suara Nadia mematikan lamunan Dina. Dia hanya melihat Nadia melabuhkan duduk di sebelahnya. “Dah sampai mana dah?”
“Pulau Ketam, mungkin.”
“Kenapa Pulau Ketam?”
“Saja.”
“Ada-ada je la kau ni,” Nadia menghulurkan sekeping sampul kepada Dina. “Nah. Duit baiki motor aku. Separuh dulu. Lagi separuh aku bayar kemudian.”
“Eh, kau dah dapat gaji ke?”
“Duit hasil aku menulis blog. Aku baru keluarkan pagi tadi,” jelas Nadia. “Ambillah.”
“Tapi nanti kau nak makan, macam mana?”
“Roti canai kan ada,” balas Nadia selamba. Dina kerut dahi. “Roti canai?”
“Ya, roti canai. Makanan paling ringkas dan kenyang. Memberi tenaga sepanjang hari,” Nadia senyum-senyum. Kemudian dia ketawa kecil melihat Dina memandangnya pelik. "Tak la. Ada la duit aku simpan sikit untuk belanja makan."
"Kau ni, mengejutkan aku je la," Dina geleng kepala. "Aku nak buat pengakuan ni. Dulu aku…."
"Dulu kau tak suka aku?" potong Nadia membuatkan Dina tergamam. "Aku tahu, ada yang tak suka aku sebab terlalu agungkan drama melayu pukul tujuh. Ada juga yang tak sukakan aku sebab aku suka sangat dengan roti canai."
"Kau marah ke?"
"Tak la. Biarlah orang nak benci aku. Itu tandanya aku tak sempurna," Nadia senyum. "Kalau semua orang sukakan aku, puji aku, agungkan aku… mungkin aku akan lupa diri. Bencinya orang pada aku membuktikan yang aku masih ada kekurangan. Ertinya, aku masih manusia. Jadi, buat apa nak marah?"
Terangguk-angguk Dina mendengar kata-kata itu.
*****
“Baik betul kau dengan budak roti canai tu sekarang ni,” ujar Sara ketika mereka sedang mengulangkaji pelajaran di perpustakaan. “Selera kau dah berubah ke?”
“Berubah apanya…,” pandangan Dina masih tertumpu pada timbunan buku-buku di hadapannya. “Suka takoyaki, suka tengok drama Jepun, dan tetap suka bergaduh dengan budak roti canai tu.”
“Yang terakhir itulah yang aku sangsi,” balas Saa. “Kalau dulu, korang bagaikan anjing dengan kucing. Baik di alam maya, mahupun di alam nyata. Sekarang….”
“Kita bukannya makin muda,” potong Dina selamba. “Buat apa nak gaduh lama-lama? Kitorang kan tinggal serumah.”
“Macam suami isteri pula,” komen Sara spontan membuatkan Dina tergelak. “Kau pernah dengar kisah lagenda kolej ni tak, Dina?”
“Kisah yang mana satu?”
“Ala, kisah budak Converse VS Cik High Heels. Pernah dengar tak?”
“Adalah aku dengar, tapi tak ingat pula ceritanya. Kenapa dengan cerita tu?”
“Situasi kau dengan budak roti canai tu lebih kurang sama dengan kisah lagenda tu. Cuma, korang taklah bergusti depan perpustakaan.”
“Ye la. Aku bau ingat pasal diorang bergusti tu!” sahut Dina teruja. “Tapi, sama ke kisah diorang dengan kisah kitorang?”
“Sama beb. Cuma bezanya, tajuk kisah korang. Mungkin aku boleh bagi tajuk ‘Antara Takoyaki dan Roti Canai. Amacam?”
“Mengarutlah!” Dina ketawa kecil. “Tapi sedap juga tajuk tu. Aku harap aku taklah bergusti dengan dia di mana-mana sampai kena panggil dengan pengetua nanti.”
“Tahu tak apa!” Sara tegakkan ibu jari kanannya. Kemudian dia menyedari kehadiran seseorang. “Eh, itu Lisa.”
Mati senyuman Dina mendengar nama itu. Dia mendengus halus. Sara dengar itu. “Kau tak nak tegur dia ke?”
“Buat apa?” tanya Dina kembali. “Dia rampas kekasih aku, Sara. Kau jangka aku akan buat apa? Senyum dan ketawa atas tindakannya?”
“Mana la tahu, kalau-kalau kau nak maafkan dia ke.”
“Lambat lagi.”
“Janganlah macam tu. Tak baik berdendam tau,” Sara memuncungkan mulutnya. “Aku tersepit di tengah-tengah, antara kau dan Lisa.”
“Kenapa pula?”
“Lisa selalu ajak aku keluar. Makan, tengok wayang, belajar bersama. Tapi aku selalu tolak walhal dia pin kawan aku. Malah, aku kenal kau melalui dia.”
Diam Dina mendengar bicara Sara. Kata-kata Nadia tempoh hari kembali berlegar di ruang minda.
“Kita kata kita berkawan dengan semua orang. Tapi kita marah bila kawan kita berkawan dengan orang yang kita tak suka. Janganlah macam tu. Mungkin dia nampak kebaikan orang tu yang kita belum nampak lagi. Siapa tahu?”
“Tak payahlah tolak ajakan dia lagi lepas ni. Keluar je dengan dia,” Dina kuntum senyum. “Lagipun, kau kenal dia dulu sebelum aku, kan?”
“Tapi, nanti kau…”
“Kau bebas nak berkawan dengan sesiapa saja sebagaimana aku,” balas Dina. “Sebagai kawan, aku tak ada hak nak halang kau.”
Barulah Sara mengukir senyuman. “Terima kasih, Dina.”
*****
Dina melabuhkan duduknya di hadapan Nadia yang sedang menikmati roti canai membuatkan gadis itu memandangnya pelik. “Kau dah kenapa? Lapar ke?”
“Lapar apanya. Ini ha,” Dina menghulurkan sehelai kertas kepada Nadia. Gadis itu membeleknya sekejap. “Gred B?”
“Itu gred untuk tugasan aku haritu,” Dina mengeluh halus. “Aku main-main kot sekarang ni. Sebab selalunya tugasan aku dapat gred A.”
“Mana ada. Aku tengok kau usaha keras je. Keras pun tak usaha macam kau.”
“Apa dia?”
“Tak ada apa-apa,” Nadia menghulurkan sepotong roti canai kepada Dina namun gadis itu menolak. “Tak nak la. Aku tak ada selera.”
“Suka hati kau la. Tapi jangan seksa diri. Perut kau tu perlu makanan selain takoyaki.”
“Apa dia?” tanya Dina lagi. Nadia hanya tersengih. “Siapa yang paling tinggi dalam kelas kau?”
“Brian.”
“Berapa?”
“Dalam 183cm agaknya. Aku pun tak ambil peduli sebenarnya. Tapi kenapa kau tanya?” Dina angkat kening. Nadia tepuk dahi. Dina pelik. “Dah kenapa pula ni?”
“Aku tanya pasal gred. Bukan pasal ketinggian,” jawab Nadia membuatkan Dina tergelak besar. “Maaflah. Lain kali kalau cakap biar terang.”
Nadia senyum senget. “Kau masih sedih ke dengan keputusan tu?”
“Sedih la juga tapi tak macam tadi.”
“Bagus,” jawab Nadia membuatkan Dina berkerut dahi. “Sedih seketika tak apa. Tapi jangan sedih lama-lama. Kerana mukmin itu kuat sifatnya.”
“Betul ke?”
“Betul,” Nadia senyum lagi. Dina membetulkan duduknya. “Mulai hari ini, aku akan berusaha lebih keras lagi.”
“Macam tu la,” Nadia menghulurkan lagi sepotong roti canai kepada Dina. “Nah. Kau perlu tenaga untuk usaha keras nanti.”
“Aku makan je takoyaki nanti.”
“Makan la dulu roti canai ni.”
“Tak nak. Kalorinya tinggi.”
“Lebih kurang sama je kalorinya dengan takoyaki, kalau kau nak tahu.”
“Betul ke ni?” tanya Dina seakan tidak percaya. Nadia angguk kepala. “Cubalah dulu roti canai ni.”
Lambat-lambat Dina menyambut huluran itu. Potongan roti canai akhirnya masuk ke dalam mulutnya buat kali pertama. Dahinya berkerut pada mulanya, namun air mukanya perlahan-lahan berubah.
“Sedapnya!”
“Kan? Macam juga takoyaki, roti canai ni ada banyak pilihan. Yang kau tengah makan ni, roti telur.”
“Sedap betul roti telur ni. Aku habiskan ya?” tanya Dina lantas pinggan di hadapan Nadia ditarik ke arahnya. Nadia terkejut pada mulanya, namun sebentar kemudian dia tersenyum.
“Lapar sangat tu,” komen Nadia. Dina pura-pura tidak mendengarnya.
*****
Terburu-buru Lisa memasuki kelas itu ketika Dina sedang mengadakan perbincangan dengan rakan sekelasnya. Terkejut Dina apabila Lisa tiba-tiba menepuk mejanya kuat. “Eh, kau dah kenapa?”
“Kau tak reti nak teruskan hidup ke?”
“Apa yang kau cakap ni?”
“Boleh tak kau berhenti jadi bayang-bayang antara aku dan kekasih aku?”
“Maksud kau, bekas kekasih aku?” tanya Dina kembali. “Kisah kitorang kan dah lama habis. Apa yang kau takut sangat?”
“Kau jangan nak pura-pura baik dengan aku la, Dina. Aku tahu kau masih ada hati dengan kekasih aku. Aku tahu kau masih nak goda dia,” Lisa merapatkan wajahnya ke wajah Dina. “Dia pilih aku daripada kau.”
“Jadi?”
“Berhenti berlakonlah, Dina,” Lisa ketawa sinis. “Susah-payah aku dapatkan dia daripada kau.”
“Jadi kau mengakulah yang kau khianat aku? Macam tu?” tanya Dina membuatkan tawa Lisa mati tiba-tiba. Spontan Lisa mencekak leher baju Dina. “Kau!”
“Eh, apa ni?” rakan-rakan Dina cuba untuk meleraikan mereka namun dihalang Dina. “Sanggup kau buat semua ni kerana seorang lelaki?”
“Kau ingat kau hebat sangat?” desis Lisa geram. Dina senyum. “Aku ada ramai saksi kat sini. Diorang boleh laporkan pada pengurusan kolej. Kau rasa, kau boleh selamat?”
“Kau ugut aku?”
“Siapa ugut siapa sekarang ni?”
“Kau dengar sini…,” Lisa menguatkan cengkamannya. “Kau jangan dekat dengan kekasih aku!”
“Aku dah lama tak jumpa dia, sejak korang berdua bercinta dan khianati aku. Apa lagi yang kau tak puas hati?”
“Bohong!” bentak Lisa membuatkan Dina tersentak. “Kalau aku nampak kau cuba goda dia, aku…”
“Kau nak buat apa?” potong satu suara membuatkan cengkaman Lisa terlerai. Lisa menoleh, memandang Nadia di belakangnya. Dina terkedu. Bila masa dia sampai?
“Kau nak buat apa?” tanya Nadia lagi. Lisa mendesis. “Ini bukan urusan kau, jadi kau jangan sibuk. Boleh tak?”
“Kalau aku kata tak boleh?”
“Yang kau sibuk nak bela perempuan ni dah kenapa?”
“Yang kau tu, kenapa beria nak pukul dia?”
“Dia musuh ketat aku. Kau ada masalah?” jawab Lisa bangga. Dina terkedu. “Lisa…”
“Dia anggap kau kawan baik dia, dan kau memusuhi dia?” Nadia senyum. “Dia kawan baik aku. Kau sakit?”
“Kau…!”
“Aku bukan nak kata apa la kan,” Nadia garu kepada yang tidak gatal. “Dina tak pernah jadi bayang-bayang antara kau dan kekasih kau. Yang kau takut, hanya bayang-bayang kau sendiri.”
“Kau diam!”
“Semua orang tahu la yang kekasih kau tu buaya darat,” Nadia ketawa kecil. “Kau tu yang tak nak terima kenyataan.”
“Aku kata diam!” Lisa menerpa ke arah Nadia dan mereka bergumpal di atas lantai. Macam WWE! Ramai orang berkerumun di sekeliling mereka dan bersorak, seolah-olah ia satu pertunjukan pentas.
“Berhenti!”
*****
“Apa kena dengan kamu berdua ni, hah?” lelaki itu picit dahi. “Lima tahun lalu pun, saya terima kes macam ni. Apa, kamu berdua ni nak ulang sejarah ke?”
Masing-masing tidak menjawab. Sesekali Nadia menyentuh bibirnya yang pecah. Kuat juga penangan Lisa ni, bisiknya dalam hati.
“Kamu dengar tak apa yang saya cakap ni?” jerkah pengetua kolej itu membuatkan mereka berdua tersentak. “Lisa, marah macam mana sekalipun, itu bukan lesen untuk kamu serang anak orang sampai macam tu sekali!”
“Dia yang masuk campur urusan saya, tuan!”
“Yang awak pergi ceroboh kelas orang tu, mulia sangat la?” lelaki itu separuh menyindir. “Kamu bukan saja memulakan pergaduhan, malah kamu juga tidak menghormati pensyarah yang ada di situ!”
Lisa tunduk.
“Kamu, Nadia!” buntang mata gadis itu mendengar namanya dipanggil. “Kamu bukan pelajar kelas itu. Kenapa kamu datang? Kenapa kamu nak keruhkan keadaan?”
“Maafkan saya, tuan. Saya sedar kesalahan saya,” Nadia tunduk memandang lantai. “Saya hanya fikirkan keselamatan Dina masa tu, tanpa sedar implikasi yang akan timbul. Tuan hukumlah saya.”
Lisa mendesis sambil menjeling tajam ke arah Nadia. Namun Nadia tidak mempedulikannya.
“Muka dah tak macam muka orang pun masih minta dihukum. Yang sorang ni…”
“Saya mempertahankan hak saya!”
“Siapa? Kekasih kamu?” pengetua kolej itu ketawa kecil. “Kamu sampai bertumbuk sebab dia, sampai luka lebam seala, tapi boleh pula dia bersama perempuan lain.”
“Sebab tu saya jumpa dengan perempuan tu, untuk pertahankan hak saya!”
“Kamu yakin ke yang perempuan tu adalah Dina?”
“Apa yang tuan cakap ni?”
“Tengoklah sendiri,” lelaki itu mengeluarkan beberapa keping gambar di atas meja. Buntang mata Lisa dan Nadia melihatnya. “Ini…”
“Kamu jangan ingat saya tak ambil peduli tentang apa yang berlaku di kolej ni. Lelaki ni, kekasih kamu kan, Lisa? tangan dia tu, mendarat kat pinggang siapa?”
“Tuan bohong ni,” tangan Lisa menggigil saat meneliti gambar-gambar tersebut lalu mengoyakkannya kasar. “Tuan sengaja nak fitnah kekasih saya!”
“Kamu nak cari gaduh dengan saya pula ke sekarang ni?” tanya pengetua kolej itu membuatkan Nadia terkejut. “Kamu tahu tak tindakan kamu ni boleh mengakibatkan kamu dibuang kolej?”
Lisa terkedu lidah tidak terkata.
*****
“Lepas tu apa jadi?” tanya Dina tidak sabar. Sara tarik nafas dalam-dalam, membuatkan Dina semakin resah. “Kenapa?”
“Lisa kata, dia terus melutut minta maaf,” kata Sara. “Dia kata, dia menyesal dengan tindakannya. Dan dia berjanji tak akan ulangi lagi kesilapannya.”
“Lain pula dengan apa yang aku dengar.”
“Lain?” dahi Sara berkerut. “Apa yang lainnya?”
“Aku dengar dia terus koyakkan gambar kecurangan kekasihnya tu. Lepas tu dia cabar pengetua untuk ambil tindakan atasnya. Dia juga ugut untuk saman pengetua kerana cuba malukan kekasihnya.”
Sara ternganga. “Kenapa sampai macam tu sekali?”
“Entahlah,” Dina tersandar di kerusi. Dia hanya senyum melihat Nadia yang datang kepada mereka. “Obses sangat dia dengan kekasihnya tu. Sampai semua perkara ditolak tepi.”
“Kekasihnya tu, bekas kekasih kau juga, Dina,” suara Nadia. “Kenapa kau tak nak sebut nama dia?”
“Buat apa? Dia hanya masa silam aku. Orang yang pernah hadir dalam hidup aku walau cuma seketika. Aku pun dah maafkan dia. Sekarang ni, dia hanya bekas kekasih aku dan kini, kekasih Lisa.”
“Kau okey, Sara?” Nadia alih perhatian kepada gadis itu. “Kau terkedu dari tadi.”
“Aku masih tak sangka yang dia boleh dan sanggup buat macam tu,” ujar Sara. “Lisa yang aku kenal dulu dah tak ada dalam dirinya.”
“Manusia berubah, Sara.”
“Sedih la aku. Dulu dia baik tau.”
“Tahu. Aku pun terasa bila dia buat macam ni,” Dina tunduk sedikit. Nadia pandang mereka berdua silih berganti. “Kita manusia. Tak sempurna. Dan kita diuji dengan apa yang kita percaya.”
“Maksud kau?”
“Kalau kita percaya yang cinta manusia boleh buat kita bahagia, maka kita akan diuji dengan cinta manusia. Tapi, kalau kita letakkan punca bahagia itu dengan dinta Dia…,” Nadia tegakkan jari telunjuk ke langit. “... maka Dia akan bagi kasih sayang sebanyak-banyaknya buat kita.”
Sara sudah terlopong. Dina sudah tersenyum. “Kau kalau sehari tak buat aku kagum tak boleh ke?”
“Aku lapar la. Jom kita pergi makan roti canai,” Nadia tukar topik perbualan. Dina tepuk dahi. “Asyik makan roti canai je. Takoyaki la pula. Sedap tau!”
“Malas la. Banyak sangat aksesorinya. Roti canai senang je. Boleh dimakan begitu sahaja.”
“Kalau kuah tumpah, kotor juga baju kau nanti,” Dina senget bibir. “Kita makan takoyaki je la senang.”
“Alah, roti canai la.”
“Sara, antara takoyaki dan roti canai, kau nak makan yang mana?”
“Aku pula?” Sara garu kepala yang tidak gatal. Dina dan Nadia sama-sama ketawa.
TAMAT