Sunday, July 26, 2020

Cerpen : Aku Maafkan Kamu




Titis-titis hujan yang semakin melebat, belum menunjukkan tanda akan berhenti. Lalu lintas masih sesak. Bas yang dinaiki bergerak dengan kelajuan sederhana. 

Haura lengkap bertopeng muka, mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan. Sekaligus melindungi wajahnya daripada dikenali. Rindu sungguh dia untuk menggunakan perkhidmatan awam ini, seperti dulu-dulu.

Haura membuang pandang ke luar bas. Langit yang hitam dengan awan yang sarat diselindungi bangunan pencakar langit. Haura senyum. Perbualan dsngan Asma tempoh hari kembali bermain di fikiran. 

"Aku tak macam kau, Haura. Dalam masa lima tahun, macam-macam yang kau dah capai. Aku ni, baru nak habis belajar. Tak dapat aku nak kejar kau yang dah kaya ni." 

"Merepek apa kau ni…," Haura menggerutu, jelas tidak selesa dipuji sebegitu. "Garis masa kita berbeza, Asma. Aku punya begini, kau punya begitu. Jangan persoalkan rezeki yang Allah kurniakan pada kita." 

"Positifnya kau, Haura," Asma memuji lagi. "Macam mana kau boleh berfikiran macam ni yea? Aku tak boleh la, terutamanya selepas apa yang terjadi pada kau dulu." 

"Kau percaya pada karma?" 

"Kau percaya pada karma?" tanya Asma kembali. Buntang matanya. "Itu kan kepercayaan Hindu dan Buddha." 

"Aku tak," jawab Haura sambil senyum. "Aku percaya setiap apa yang berlaku itu ada hikmahnya. Yang baik atau yang buruk. Sekiranya kita sudah berusaha, dan hasilnya tetap kurang memuaskan, kita redha. Mungkin Allah sedang simpan sesuatu yang lebih baik untuk kita." 

"Bersangka baik pada Allah. Itu lebih baik. Lagipun,percaya pada Qada' dan Qadar Allah itu kan salah satu rukun iman?" Haura menghabiskan kata-katanya. Asma mengangguk, memahami. "Jadi apa yang kau nak buat dengan dia?"

"Siapa?"

"Fida. Aku tahu, dia cuba untuk jumpa kau, kan? Walaupun aku menghalang, tapi dia masih mencuba," Asma mendengus geram. "Degil betul dia tu." 

Deringan telefon mematikan lamunan Haura. Dia capai peranti di dalam beg. Aplilasi Instagram dibuka dan notifikasi dibaca. Sebentar kemudian, dia mengeluh perlahan. 

"Kau dah bersedia nak jumpa dan maafkan Fida?" 

*****
"Pak Din, ikan ni baru sampai ke?" tanya Haura mesra. Lelaki itu yang sedang mengira wang di kaunter terus melaung, "Ya! Kamu bertuah, Haura. Sebab ikan-ikan tu semua baru turun dari lori!" 

"Rezeki saya la ni. Alhamdulilah. Terima kasih, Pak Din!" 

"Sama-sama. Pilih, jangan tak pilih. Eh…," Pak Din baru menyedari seseorang di hadapannya. "Wah, Munah! Cantik kamu hari ni. Nak beli ikan ke?" 

"Buat apa nak beli ikan? Bukan ada yang makan pun kat rumah tu. Kitorang makan ayam je!" jawab Mak Munah sombong. "Orang miskin je yang makan ikan ni."

"Jangan cakap macam tu, Munah. Kadang-kadang, harga ikan lagi mahal dari harga ayam tau," balas Pak Din, sedikit terasa dengan kata-kata Mak Munah. 

"Kalau aku nak makan ikan, aku pergi terus kat restoran mewah. Apa ada hal? Anak aku kaya. Kerja senang di bandar tu. Tiap-tiap bulan bagi aku duit banyak. Untung kan aku sebagai ibu?" 

"Oh…," Pak Din sudah malas mahu melayan. "Ni, kau datang ke kedai aku yang kecil ni, kau nak beli apa-apa ke?" 

"Ni," Mak Munah menghulurkan sepucuk sampul tebal. "Dua ribu ringgit. Kau bagilah barang-barang dapur untuk rumah anak yatim di hujung kampung tu. Katakan aku yang bersedekah!"

"Banyaknya duit ni…," terlopong Pak Din melihatnya. "Anak kau ke yang bagi ni?" 

"Ye la. Anak aku kan kerja senang kat bandar tu. Mampu la dia bersedekah. Kalau dia kerja kilang kat kampung ni, jangankan bersedekah, belanja untuk diri sendiri pun belum tentu lepas!" 

Sengaja Mak Munah meninggikan suara, agar didengari Haura yang sedang memilih ikan di luar kedai. Luruh hati Haura mendengarnya. Namun dia berlagak selamba. 

"Cepat-cepat tau uruskan duit ni," sengaja Mak Munah menggawang-gawangkan tangannya di hadapan Pak Din sehingga lelaki itu menyedari sesuatu. "Eh, cincin baru! Emas betul ke ni?" 

"Mestilah! Anak aku yang bagi, kan?" bertambah lebar senyuman Mak Munah. "Aku balik dulu. Eh, Haura…" 

Mak Munah beriak seolah-olah baru menyedari kehadiran Haura di ruangan ikan. "Baru balik dari kerja ke?" 

"Ya, Mak Munah. Baru balik. Singgah sekejap beli barang dapur, untuk masak lauk tengah hari." 

"Kerja kuat, tapi gaji sikit," Mak Munah mencebik. "Aku balik dulu. Kirim salam dengan mak kau ya…" 

"Haura okey?" tanya Pak Din apabila kelibat wanita itu sudah jauh dari pandangan. Haura senyum pahit. "Saya okey."

"Haura jangan ambil hati ya dengan Mak Munah tu." 

"Saya bukan tak nak kerja di bandar. Tapi siapa nak jaga mak? Kami dua beranak je. Mak pula bukannya sihat sangat," ujar Haura.

Pak Din angguk kepala. 

*****
Majlis tahlil baru sahaja berakhir. Jemaah masjid juga sudah mula beransur pulang. Haura berdiri di depan pintu, mengucapkan terima kasih pada yang sudi mendoakan ibunya. 

Siang tadi, jenazah ibunya sudah selamat disemadikan. Sudah kering air matanya. Namun sehingga kini, kepalanya berputar ligat. Macam-macam yang difikirkan. 

“Kalaulah aku boleh tolong lebih lagi,” Asma menghulurkan sampuk kecil. “Tapi ini je yang aku mampu. Aku masih belajar. Ini saja simpanan yang aku ada.” 

“Susahkan kau aje la.” 

“Tak susah pun. Kau banyak tolong aku masa sekolah dulu. Budi kau tak mampu terbalas dengan wang ringgit.” 

“Tapi tu la,” Haura mengeluh untuk kesekian kalinya. “Duit ni tak cukup untukng tampung kos pengebumian mak aku. Silap aku juga, sebab tak daftar jadi ahli khairat kematian kat surau tu.” 

“Macam ni je la,” Fida bersuara setelah beberapa ketika. “Aku dahulukan duit aku dulu. Nanti-nanti kau bayarlah balik.” 

“Fida!” 

“Betullah apa aku cakap,” Fida mempertahankan bicaranya. “Kos nak kebumikan tu bukannya sikit. Duit dia pun dah banyak habis bayar bil hospital. Apa salahnya aku dahulukan duit aku? Tapi nanti dia kena bayar la.” 

“Kau ni tak sensitif langsung,” bisik Asma keras. “Haura tengah bersedih tu. Kenapa kau nak kena cakap macam tu?” 

“Kenyataan, kan?” 

“Kot ye pun….” 

“Kau jangan fikir banyak, Haura. Biar aku yang selesaikan hal tu,” Fida tidak mempedulilan Asma. “Nanti-nanti kau bayarlah aku balik. Susah apanya?” 

“Haura,” panggilan Asma membuatkan lamunannya terhenti. Haura pandang sahabatnya yang sedang membetulkan lengan bajunya. “Kau dah nak balik dah?” 

“Aku boleh je temankan kau malam ni kalau kau nak,” balas Asma. “Betul ke ni, kau okey sorang-sorang malam ni?” 

“Aku okey,” jawab Haura, cuba meyakinkan Asma. Gadis itu mengeluh halus. “Ala, kau bagilah aku temankan kau malam ni, yea?” 

“Nanti mak kau cakap apa pula.” 

“Mak aku faham la.” 

“Tak apalah. Kau baliklah dulu. Aku okey.” 

“Kau halau aku ke apa ni?” Asma angkat kening sebelah membuatkan Haura ketawa kecil. “Tak la. Serius. Aku okey. Kalau ada apa-apa, aku bagitahu kau.” 

“Tak apalah kalau kau dah cakap macam tu,” Asma raih Haura ke dalam dakapannya. “Aku balik dulu. Jaga diri, ya.” 

“Baik,” 

Senyuman nipis yang terukir mulai memudar saat kelibat Asma hilang di hadapan mata. Haura mengeluh berat. Sekeping kertas yang mengandungi butiran kos pengebumian ibunya siang tadi, ditatap kembali. 

“Enam ribu ringgit,” sebutnya perlahan. Dia teringat kata-kata Fida. “Aku dahulukan duit aku. Nanti kau bayarlah aku balik.” 

Haura mengeluh lagi. 

***** 
“Terima kasih, Fida. Sanggup kau tolong aku selesaikan hutang dengan pihak masjid,” tulus Haura mengucapkannya. “Aku tak tahu pula kos akan setinggi ini.” 

“Tak ada apa-apalah. Kau kena faham sesuatu, Haura. Zaman sekarang ni, semua barang naik harga.” 

“Aku kagum dengan kau, Fida. Kau mampu kumpul duit sebanyak ni hanya dalam tempoh 3 tahun kau bekerja kat bandar tu,” ujar Haura. “Kau kerja apa kat bandar tu? Gaji mesti tinggi, kan?” 

“Kerja biasa-biasa je,” Fida senyum. “Kat bandar tu, kita tak boleh buat satu kerja je. Menteri kita pun buat dua kerja. Jadi macam-macam la yang aku buat.” 

“Apa yang kau buat?” 

“Macam-macam la. Hantar barang, hantar orang, ambil upah buat itu ini…,” Fida tepuk bahu Haura lembut. “Kau nak kerja di bandar tak?” 

“Hah?” 

“Ye la…,” Fida berdehem seketika. “Kau kerja di kilang tu, berapa sen sangat kau dapat? Kalau dulu, kau memilih untuk tetap di kampung sebab nak jaga mak kau. Tapi sekarang ni mak kau dah tak ada. Hutang kau pun banyak.” 

Haura telan liur mendengar ayat terakhir Fida. 

“Jadi, aku ingat nak ajak kau kerja kat bandar tu. Kau tinggal dengan aku. Jangan risau la, aku akan tolong kau.” 

“Tapi aku….” 

“Sampai bila kau nak terperuk dalam kampung ni?” potong Fida pantas. “Kau cantik. Kau pandai. Mesti kau boleh buat banyak duit kat bandar nanti. Kalau kau ikut cakap aku, kau juga akan hidup senang macam aku.” 

“Aku tak biasa la kerja kat bandar tu.” 

“Tak biasa la kena biasakan. Belum cuba, belum tahu. Nanti bila kau dah cuba, mesti kau akan seronok duduk di bandar tu macam aku.” 

“Bagi aku fikir dulu, boleh?” 

“Tak payah fikir banyak la, Haura,” pujukan Fida sudah kedengaran seperti mendesak. “Kalau kau kerja di bandar, cepat sikit kau selesaikan hutang. aku. Cepat sikit kau senang!” 

Mendengarkan perkataan ‘hutang’ yang diucapkan Fida berulangkali, membuatkan Haura terdiam seketika. Beberapa kali dia menghela nafas halus. Membuatkan Fida semakin resah. “Macam mana, Haura?” 

“Bagi aku masa, boleh?” 

“Ala, Haura…” 

“Aku perlu bagi notis sebulan kat kilang tu kalau nak berhenti,” ujar Haura, membuatkan kata-kata Fida terhenti. Dia tergamam, namun sebentar kemudian dia tersenyum lebar. 

“Bagus, Haura!” 

***** 
“Macam mana kerja kat sini, Haura? Seronok?” tanya Fida pada suatu hari, ketika mereka sedang menikmati makan malam yang dimasak oleh Haura. “Dah lima bulan kau kat sini. Mesti kau dah biasa dengan bandar ni.” 

“Macam tu je la, Fida,” balas Haura segan. “Kau sendiri tahu, aku ni kurang bergaul. Dunia aku adalah rumah dan tempat kerja je. Mana la aku reti nak berkawan semua ni. Kat sini lain la.” 

“Lain apanya? Aku tengok diorang tu semua nak kawan dengan kau. Semua puji kecantikan kau,” balas Fida. “Kau kena pandai bersosial, Haura. baru boleh hidup senang macam aku.” 

“Aku cuma nak hidup tenang, itu je.” 

“Tak banyak duit, macam mana nak tenang, Haura. Hidup kat bandar ni, kena pandai cari peluang. Kalau tak, kau yang akan ketinggalan,” Fida senyum. “Malam ni kau nak ikut aku tak? Ada kerja sampingan untuk kau.” 

“Kerja sampingan?” tanya Haura. “Tak ganggu kerja aku yang sedia ada ni ke?” 

“Taklah. Malah, kerja ni akan mendatangkan wang yang jauh lebih banyak dibandingkan dengan kerja kau yang sekarang ni,” Fida bangkit dari duduknya. “Kau bersiap ya. Lagi setengah jam kita keluar.” 

“Pinggan kau ni?” 

“Basuhkanlah. Macam tak biasa,” selamba sahaja Fida berkata-kata membuatkan Haura geleng kepala. Lincah tangannya membersihkan meja makan dan mengemas dapur. Kemudian dia bersiap seadanya. Siap, dia menunggu Fida di ruang tamu.

“Macam ni je ke kau bersiap?” tanya Fida sambil pandang Haura dari atas hingga ke bawah, membuatkan dia tidak selesa. “Hurm, bolehlah. Nanti aku akan ajar kau macam mana nak bergaya.” 

“Tak payahlah. Aku selesa begini.” 

“Eh, mana boleh. Kurang la duit kau dapat nanti,” kata-kata Fida membuatkan Haura kerut dahi. Pelik. Kerja apa yang dikira berdasarkan pakaian yang dikenakan? Haura mula berasa tidak sedap hati. 

Haura hanya mengikut langkah kaki Fida yang memasuki sebuah restoran makanan segera. Mereka duduk di meja di mana seorang lelaki menunggu mereka. “Kenapa lambat?” 

“Ala, maaflah. Kau tak marah kan, Amy?” jawab Fida penuh manja. Bulat mata Haura melihat pipi mereka berlaga. “Ini Haura, yang aku ceritakan tu.” 

Seperti Fida tadi, lelaki itu memandangnya dari atas hingga ke bawah. Haura menarik perlahan bajunya, tanda tidak selesa. Amy ketawa kecil. “Dia tak biasa buat kerja ni kan, Fida.” 

“Orang baru, biasalah. Lama-lama nanti, okeylah,” balas Fida. Detak jantung Haura semakin kencang. “Aku kena buat kerja apa ni, Fida?” 

Gadis itu hanya mengukir senyum tanpa menjawab soalan Haura. 

***** 
“Kau suruh aku jual dadah, Fida?” suara Haura sudah sampai tahap maksima. Mujur ketika itu mereka berada di dalam kereta Amy. Kalau tidak, semua orang tahu yang mereka… 

“Benda tu mahal, Haura. Kalau kita jual, kita cepat kaya!” 

“Jadi inilah yang kau buat selama ni? Duit inilah yang kau bagi mak kau makan?” tanya Haura lagi, tidak percaya. “Mati-mati aku ingat kau kerja elok-elok kat sini. Rupanya…” 

“Kita kat bandar, Haura. Bukannya orang kampung tahu. Diorang takkan tahu kalau kau tak kecoh!” 

“Allah tahu, Fida! Allah Maha Mengetahui segalanya. Kau lupa ke?” 

“Kau jangan nak ceramah aku kat sini, boleh?” suara Fida mulai berubah. “Orang bukan peduli apa yang kita buat ni. Yang diorang nampak, kita kaya. Kita banyak duit. Itu saja!” 

“Fida…,” Haura benar-benar tidak percaya apa yang didengarnya. “Kau dah banyak berubah.” 

“Aku tak peduli apa pun orang nak cakap pasal aku, termasuk kau!” bentak Fida geram. “Sekarang ni, kau nak kerja dengan aku ke tak?”

“Kau tahu jawapannya, kan?” 

“Baik! Amy, berhenti kat sini!” pinta Fida kasar. Amy terkejut, lalu dia memberhentikan keretanya serta-merta. Fida pantas keluar dan menyeret Haura bersama. “Eh, apa ni?” 

“Selagi kau tak selesaikan hutang aku, kau jangan nak mengaku kau kawan aku! Mulai hari ni, aku tak kenal kau! Pandai-pandai la kau nak hidup lepas ni!” 

Fida terus masuk ke dalam kereta dan meninggalkan Haura sendirian di tepi jalan itu. Haura memandang sekeliling. Suasana di situ menakutkannya. Kawasan perkuburan! 

Haura tidak mampu menahan air matanya lagi. Dia menangis semahu-mahunya. Dia teringatkan ibunya yang telah berada di negeri abadi. 

“Ya Allah, aku tahu Kau mengujiku kerana Kau sayangkan aku. Aku tahu Kau juga takkan tinggalkan aku sendirian. Bantu aku, Yaa Allah. Bantulah aku, Yaa Allah….” 

Beberapa buah kereta cuba Haura tahan, namun tiada satu pun yang sudi berhenti brhenti. Haura pasrah. Dia berjalan perlahan membelah kepekatan malam. Suasana di kawasan perkuburan itu semakin menakutkannya. Basah lidahnya mengalunkan zikir. 

“Hai cik adik, nak ke mana tu?” usikan lelaki di dalam sebuah kereta membuatkan langkah Haura semakin laju. Tidak dipedulikan suara nakal itu. Namun seketika kemudian dia terdengar sesuatu. “Haura, nanti! Kejap! Tunggu!” 

Langkah Haura terhenti. Perlahan dia memusingkan badannya. Dia melihat seorang lelaki berjalan membelakangi cahaya lampu kereta. “Haura, kan?” 

“Ya. Awak siapa? Macam mana awak kenal saya?” 

“Saya Talhah.” 

***** 
“Tak sangka la, Haura tu berperangai macam tu,” kutuk Mak Munah tanpa segan silu. “Kat kampung ni, sopan bukan main. Semua orang puji dia. Rupanya, simpan kuku. Dah sampai ke bandar tu, Sakan tak ingat dunia.” 

“Itulah. Fida pun terkejut. Tak sangka dia berperangai macam tu,” sahut Fida. Dia kemudian telan liur. Mak Munah senget bibir. Kemudian dia bangkit, mengejutkan Fida. “Mak nak ke mana tu?” 

“Mak nak bagitahu Mak Senah, Mak Kiah, Mak Jah. Mak nak bagitahu semua orang, betapa buruknya perangai Haura tu. Memalukan keluarga betul. Agaknya dia tunggu maknya mati baru dia buat perangai.” 

Fida geleng kepala melihat gelagat ibunya itu. Dalam hati dia senyum puas. Padan muka kau, Haura! Aku akan buat sampai kau malu nak balik kampung! Kau ingat kau baik sangat! 

“Orang nak tolong dia, bagi dia senang. Dia pula tolak tuah!” luah Fida pada malam itu. Amy hanya diam, memusatkan fokusnya pada pemanduan. 

“Sibuk sangat nak pertahankan prinsip dia tu. Bukannya boleh bagi makan pun.” 

“Yang kau beria nak halau dia ni, kau tak takut ke dia akan pecahkan rahsia kita?” akhirnya Amy bersuara. Fida mencebik. “Dia nak bagitahu siapa? Dia bukannya kenal sesiapa pun kat sini. Biar dia mati kat tempat kita tinggalkan tu. Padan muka dia!” 

“Jahatnya kau, Fida.” 

“Siapa yang ajar?” dia mengukir senyuman manja. “Eh, kau kata ada Datuk nak jumpa. Dia dah bayar ke?” 

“Mestilah. Kalau tak, aku takkan suruh kau bersiap macam ni,” Amy mengelus dagu Fida lembut. “Banyak tau dia bayar kali ni. Dia kata servis kau bagus.” 

“Ye ke? Seronoknya!” Fida tepuk tangan. “Aku nak beli rantai untuk mak aku pula. Biar semua orang terbeliak tengok nanti. Apa, dia ingat aku tak boleh jadi kaya?” 

Deringan telefon mematikan lamunan Fida. Tanpa banyak bicara, dia memeriksa mesej yang baru diterima. Senyumannya mati saat membaca mesej daripada Asma. 

‘Kau tahu tak mana nak cari Haura? Aku telefon dia tak berjawab. Aku mesej dia tak berbalas. Dah dua minggu ni. Aku risau.’

“Kawan kesayangan kau dah mati kena baham anjing rasanya. Tak payah la kau susah-susah lagi,” Fida senyum mengejek. Kemudian dia mencapai surat khabar dan membacanya sekali lalu. 

“Aku geram betul la dengan Mak Senah tu!” rungut Mak Munah tatkala memasuki rumah, menarik perhatian Fida. “Kenapa pula, mak?” 

“Aku bagitahu cerita pasal Haura, haram dia nak percaya. Dia kata, budak tu baik la, kuat pegangan agama la, sopan la. Susah la!” 

“Tapi orang lain percaya, kan?” tanya Fida kembali, membuatkan Mak Munah senyum lebar. “Nasib baik diorang percaya.” 

Fida sembunyi senyum. 

***** 

Lima tahun kemudian… 

Fida menghempaskan tubuhnya di sofa. Sakit hatinya bukan kepalang. Berita yang disampaikan oleh benar-benar membuatnya tidak senang duduk.

“Haura balik kampung!” kuat suara ibunya itu di hujung talian. “Dia balik, bawa kereta besar. Dia bermalam di rumah Asma.” 

“Mana mak tahu semua tu?” 

“Mak Senah la cerita. Seronok sangat dia bila Asma anaknya tu balik dengan Haura.,” giat Mak Munah lagi. “Lima tahun menghilang, alih-alih dia muncul. Seronok sangat agaknya makan duit haram selama ni.” 

Duit haram? Fida terdetik sendiri. Matanya berkaca. Saya yang bagi mak makan dengan duit haram selama ni, detik hatinya. 

“Kau dengar tak apa yang mak cakap ni?” 

“Mak cakap apa tadi?” 

“Punya panjang lebar aku membebel, kau boleh tak dengar pula? Dahlah!” Mak Munah seakan merajuk lalu menamatkan panggilan. Fida terkedu. 

Telefon pintar yang terletak di atas meja diambil laju. Aplikasi laman sosial dibuka. Nama Asma dicari. Apa yang ditemui sungguh mengejutkan. 

“Tahniah atas pembukaan butik HA Collection yang ketiga.” Gambar Asma bersama Haura yang sedang tersenyum, mengiringi kapsyen yang tertera. 

“Kau sorok Haura selama ni daripada aku?” Fida mula diamuk amarah. Nombor telefon Asma didail pantas. Tanpa salam, dia terus menyergah, “Pandai betul kau sekarang ni kan, Asma?” 

“Apa ni?” 

“Kau sorok Haura selama ni, kan?” 

“Oh, kau dah tahu?” Asma sedikit pun tidak terkejut dengan kata-kata Fida. “Baguslah. Memang niat aku pun untuk kau tahu apa yang berlaku.” 

“Kenapa kau buat aku macam ni? Aku ni kawan kau, kan?” 

“Haura juga anggap kau kawan dia. Tapi apa yang kau buat?” tembak Asma lagi membuatkan Fida tergamam. “Apa yang kau cakap ni?” 

“Kau hina Haura. Kau rendahkan Haura walhal dia banyak tolong kau. Dan yang paling aku tak boleh terima, kau tinggalkan Haura kat tepi jalan macam tu je bila dia tak nak ikut cakap kau. Apa tu?” 

Wajah Fida pucat tidak berdarah. 

***** 
“Kau betul ke nak jumpa dia ni, Haura?” tanya Asma untuk ke sekian kalinya. Haura senyum, lalu mengangguk perlahan. 

“Kau tak takut dia akan buat kau macam dulu?” 

“Manusia boleh berubah, kan?” jawapan haura membuatkan Asma mendengus perlahan. “Kau, ni positif sangat la. Takut aku.” 

“Nak takut apanya? Dia juga manusia, macam kita.” 

“Tapi perangai macam binatang.” 

“Tak baik kau cakap macam tu.” 

“Kalau bukan sebab Talhah, suami aku yang jumpa kau kat tepi jalan waktu tu, sampai sekarang aku tak tahu apa kerja Fida sebenarnya,” Asma tidak mempedulikan kata-kata Haura. “Tak sangka, sampai di bandar, dia jadi gelap mata hanya kerana wang ringgit.” 

Haura hanya diam. Ada benarnya kata-kata Asma itu. Namun, rahsia Fida tetap disimpan utuh antara dia dan Asma. Bahkan Mak Senah, ibu Asma juga tidak tahu tentang hal itu. 

“Betul ke kau nak jumap dia ni?” tanya Asma lagi. “Hati-hati tau. Kalau bukan sebab anak aku ni, aku dah temankan kau dah.” 

“Tak apa. Doa kau dah cukup temankan aku. Kau jaga je anak kau ni. Lambat lagi Talhah nak balik, kan?” 

“Ya,” Asma memuncungkan mulutnya, membuatkan Haura ingin tergelak. “Jaga diri.” 

“Haura,” panggilan itu membuatkan lamunannya terhenti. Dia mendongak sedikit. Wajah Fida dilihatnya sedikit mendung. “Hai. Susah tak cari tempat ni?” 

“Tak susah sangat. Sekarang kan ada GPS,” balas Fida lalu melabuhkan duduknya di hadapan Haura. “Dah berjaya kau sekarang. Dah ada butik sendiri.” 

“Alhamdulilah, itu semua rezeki Allah.” 

“Macam mana kau boleh selamat malam tu? Aku patah balik, kau dah tak ada. Aku ingatkan kau dah kena baham anjing.” 

“Allah lindungi hambaNya yang teraniaya,” zas! Terkena lagi Fida dengan kata-kata Haura. Dia berdehem seketika. “Eh, aku baru perasan. Amy mana?” 

“Er, dia… dia…,” Fida mulai resah. “Dia dah kena tangkap polis tiga tahun lalu. Kena tangkap atas kesalahan mengedar dadah.” 

“Jadi, kau buat apa sekarang?” 

“Ada Datuk sudi taja hidup aku,” jawab Fida bangga. Haura menggeleng perlahan. “Sampai bila, Fida?” 

“Bukan urusan kau, Haura,” Fida sudah tidak senang duduk. “Aku sebenarnya ada urusan lain ni. Ada apa hal sebenarnya kau nak jumpa aku?” 

“Bukan ke kau yang mengikuti aku di laman sosial selama ni? Setiap gambar aku kau daftar suka, setiap status aku kau baca.” 

Fida tersentak. Macam mana dia tahu? 

“Apapun, aku bukan nak jumpa kau sebab tu,” Haura mengeluarkan sepucuk sampul dan diletakkan di hadapan Fida. “Aku datang nak bayar hutang.” 

“Haura…” 

“Sepuluh ribu ringgit. Lebih dari cukup untuk aku selesaikan hutang aku,” potong Haura tegas. Dia bangkit dari duduknya. “Harap lepas ni, kau berhenti burukkan aku pada orang-orang kampung. Sebab aku pun tak kenal kau.” 

“Haura…” 

“Oh ya,” Haura teringat sesuatu. “Aku tahu kau tak pernah minta, aku tetap akan bagi. Aku maafkan kau, Fida. Cuma, jangan cari aku lagi lepas ni.” 


Haura terus melangkah pergi meninggalkan Fida seorang diri di situ. 

***** 
“Fida minta maaf dengan kau. Dia nak jumpa kau,” beritahu Asma, membuatkan lincah jemarinya di papan kekunci terhenti. Haura mengeluh perlahan. “Hari-hari kau cakap benda yang sama, Asma.” 

“Kali ni, dia nak minta maaf dengan kau. Sungguh-sungguh dia telefon aku. Dia kata, dia rasa bersalah dengan apa yang berlaku.” 

Entah siapa yang memulakannya, kegiatan Fida di bandar terbongkar. Keluarga Fida dicemuh penduduk kampung. Malu besar Mak Munah dengan perbuatannya, sehingga dia dihalau daripada rumah. 

“Fida cakap, selagi dia tak minta maaf dengan kau, selagi itu dia tak boleh balik kampung,” kata Asma lagi. “Macam mana?”

“Macam tu je la.” 

“Kesian dia, Haura. Dia dah hilang tempat bergantung,” pantas dia menoleh mendengar kata-kata Asma. “Apa maksud kau? Mana Datuk yang bela dia tu?” 

“Datuk tu tinggalkan dia setelah dapat tahu yang Fida menghidap HIV.” 

“Allahuakbar…,” tersandar Haura di kerusi mendengar berita itu. Asma menghela nafas halus. “Sebab tu dia nak jumpa kau sangat, Haura.” 

“Aku dah maafkan dia,” jawab Haura. “Cuma, tak perlu kami bertemu. Cukup la dia tahu yang aku dah maafkan dia. Kau boleh minta dia teruskan hidupnya dan sebut nama aku lagi.” 

“Haura…” 

“Dia yang tak anggap aku ni kawan dia,” ujar Haura lagi. Jari-jemarinya kembali lincah di papan kekunci. “Kirim salam dengan dia. Nanti aku akan kirimkan wang, untuk kos rawatannya.” 

“Aku sebenarnya nak cakap lagi. Tapi, tak apalah. Aku hormat keputusan kau. Luka yang Fida berikan pada kau dulu, tak semua orang mampu hadapinya,” Asma senyum. Dia bangkit dari duduknya. “Aku sambung kerja dulu. Nanti kita makan tengah hari bersama ya?” 

“Baik,” Haura meneruskan kerja-kerjanya. Namun fokusnya sedikit terganggu. Wajah Fida kembali bermain di ruang mata. 

“Fida….” 

Sudah enam bulan berlalu sejak pertemuan terakhir mereka. Sejak itu, Haura nekad menyekat Fida daripada mengakses semua laman sosialnya. Fikirnya, Fida tidak akan mencarinya lagi. Namun dia silap. 

Egokah aku kerana enggan berjumpanya lagi? 

Wajah Asma muncul di muka pintu lagi membuatkan lamunan Haura terlerai. Peliknya, wajah itu kelihatan gelisah. “Apa yang berlaku?” 

“Fida… dia dah meninggal dunia.” 

“Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un….”

TAMAT