“Berdiri dan mampu bertahan. Itu yang mampu aku lakukan sekarang. Dulu dan sekarang, sama sahaja. Tiada apa yang berubah.”
Nora senyum pahit. Diarinya ditutup perlahan dan disimpan cermat. Kemudian dia mengemaskan diri di hadapan cermin.
“Kau boleh buat, Nora. kau boleh!” katanya sendiri. Dia memulakan langkah keluar dari bilik tidurnya.
“Lamanya. Bermekap ke?” tanya Azman, kedengaran sinis. “Tak payahlah nak cantik sangat. Nanti kena kebas orang. Rugi wang hantaran aku dulu.”
“Dah mula dah merepek dia tu,” Nora sudah malas melayan. “Saya berhias untuk suami saya. Bukan untuk orang lain pun. Berhias untuk suami kan banyak pahalanya.”
“Ye la tu,” Azman menghela nafas halus. “Saya lapar la. Awak tak masak ke?”
Terkejut Nora mendengarnya. “Eh, saya dah masak!”
“Tak ada pun kat atas meja tu,” balas Azman selamba. “Buat apa aku beli pinggan mangkuk kalau tak digunakan? Buat rugi aku je.”
Nora menggeleng perlahan. Dia terus melangkah ke dapur. “Saya dah letakkan kat meja dapur ni.”
“Kenapa letak kat situ?”
“Kita dua orang je yang ada kat rumah ni kan? Kalau saya hidang kat depan dan awak tak balik, bukan ke rugi saya nanti?”
“Perli aku ke tu?” Azman menjeling tajam ke pintu dapur. “Apa-apalah. Hidangkan cepat. saya lapar ni.”
Nora muncul dari dapur menatang semangkuk nasi dan beberapa pinggan lauk. Azman bangkit dari duduk dan menapak ke meja makan. “Hurm, banyak ni je?”
“Awak juga yang pesan dengan saya, jangan masak banyak sangat. Nanti membazir,” balas Nora. “Dah lupa ke?”
“Oh ya,” Azman terus duduk di meja makan. Tanpa banyak bicara, Nora menyendukkan nasi ke pinggan kosong. Disuakan kepada si suami.
“Kau tak makan ke?”
“Saya puasa hari ni. Puasa sunat. Hari ni kan hari Khamis. Saya dah minta izin dengan awak semalam dan awak dah izinkan. Lupa lagi ke?”
“Hurm….,” Azman terus menyuap makanan ke dalam mulut. “Sebab tu la kau masak awal hari ni? Lauk ni kau masak untuk kau sahur tadi?”
“Tak la. Saya sahur roti je.”
“Bagus,” balas Azman sambil mengunyah. “Banyak kali masak nanti, cepat pula habis gas kat dapur nanti. Tak pasal-pasal kena beli baru.”
Nora hanya mampu menggeleng perlahan.
*****
Nora mengenakan pakaiannya yang digosok tadi. Pakaian Azman terletak bersebelahan, elok tidak berusik. Tanda Azman belum melihatnya.
“Mana pula dia ni pergi?” tanya Nora sendiri. Kemudian dia turun, mendapatkan suaminya di ruang tamu. Dia mengeluh halus sambil menggelengkan kepalanya melihat Azman bersenang-senang duduk sambil bermain Ipad.
Terdengar keluhan itu, Azman segera menoleh. “Dah kenapa kau tak bersiap lagi? Dah pukul berapa ni.”
“Abang tu, kenapa tak bersiap lagi? Naiklah tukar baju. Nanti kita lambat.”
“Aku bersiap sekejap je. Tukar baju, pakai minyak wangi, dah siap. Kau tu…,” Azman menjeling ke arahnya. “Bersiap macam perempuan!”
“Dah memang saya perempuan pun. Takkan nak bersiap macam lelaki. Nanti orang kata apa pula.”
“Menjawab pula kata-kata aku tu.”
“Dah la abang. Pergilah bersiap,” Nora malas untuk memanjangkan perbalahan. “Baju abang saya dah gosokkan. Ada kat atas katil tu.”
Azman bangkit dari duduknya, menapak ke bilik tidur. Namun, belum pun sampai lima enam langkah, dia berhenti. Dahinya berkerut tatkala memandang wajah Nora, membuatkan wanita itu berasa hairan. “Kenapa?”
“Mana rantai tangan yang aku belikan kau hari tu?”
“Ada dalam laci la. Saya tak pakai pun rantai tu.”
“Kenapa tak pakai?” tanya Azman lagi. “Buat apa aku belikan rantai tu kalau setakat nak simpan dalam laci?”
“Bukan saya tak nak pakai, tapi…”
“Kalau macam tu, baik aku beli jongkong emas je!”
“Kalau saya pakai, buat kerja rumah, lepas tu rantai tu rosak atau hilang. Saya juga yang akan kena marah, kan?” balas Nora kembali. “Saya simpan rantai tu pun sebab keselamatan juga. Abang nak ke dengar berita saya kena potong tangan dek peragut?”
“Menjawab je kerja kau sekarang, kan? Mana kau belajar semua ni?”
“Abang nak saya pakai rantai tangan tu ke?” cepat-cepat Nora bertanya. “Kalau abang nak, lepas saya cuci cawan ni, saya pakai.”
“Kalau kau tak pakai, siap kau!” Azman separuh mengugut. “Sia-sia aku beli rantai tangan tu kalau kau tak pakai.”
Nora hanya mampu menggelengkan kepala sambil mengelap matanya yang tiba-tiba berkaca.
*****
“Dah lama kamu sampai, Nora?” tanya Hasnah. Wanita itu yang sedang menikmati hidangan mendongak cepat apabila ditegur sebegitu. “Dah lama dah. Apa perasaan terima menantu?”
“Kau ni,” Hasnah tepuk bahu Nora mesra. “Kau juga akan rasa benda yang sama bila anak kau kahwin nanti. Atau, kau masih sedih sebab kita tak dapat berbesan?”
“Nak sedih apanya? Dah memang diorang tak ada jodoh. Nak buat macam mana,” Nora senyum. “Tapi bagus juga macam tu. Kalau tak, bila diorang bergaduh nanti, dengan kita sekali bermasam muka.”
“Iya tak iya juga,” terangguk-angguk Hasnah mendengar kata-kata Nora. “Macam mana dengan anak kau? Sihat?”
“Alhamdulilah. Dia di tahun akhir pengajian. Adiknya pula, baru semester dua. Jadi agak sibuk la sikit. Susah nak cari masa balik jenguk mak ayahnya.”
“Susah dahulu, senang kemudian. Lagipun, anak kau pandai-pandai apa. Aku yakin, diorang akan dapat keputusan yang cemerlang nanti. Kau tengok anak aku. Belum habis belajar, sibuk nak bercinta.”
Nora ketawa kecil. “Jalan hidup seseorang tak sama, Hasnah. Anak kau begitu, anak aku begini. Asalkan diorang tak menyimpang dari menjadi seorang muslim, aku terima je apa jalan yang diorang pilih.”
“Azman tak kata apa-apa pula?”
“Bising juga la dia pada mulanya. Biasalah, orang tua. Mesti nakkan yang terbaik untuk anaknya. Tapi si abang dan si adik pandai pujuk. Lembutlah hati dia tu.”
“Betul ke ni? Aku tak percaya la,” Hasnah senget bibir. “Azman yang aku kenal, keras kepala orangnya.”
“Dah anak-anaknya pandai pujuk. Lagipun, takkan selama-lamanya dia nak keras kepala. Ye tak?”
“Betul juga kata kau tu,” Hasnah membetulkan kedudukannya. Kemudian dia menyedari sesuatu. “Eh, gelang baru ke tu?”
“Hah?” Nora tergamam. Namun sebentar kemudian dia mengukir senyuman nipis. Spontan dia memegang barang kemas di pergelangan tangannya itu. “Ya. Abang Azman baru beli.”
“Untungnya kau, Nora. Tiap-tiap bulan, ada je barang kemas yang Azman belikan untuk kau. Aku ni hanya mampu bersyukur dengan apa yang ada.”
“Eh, tak apalah. Rumah kau pun besar apa. Berkat kerja keras suami kau juga. Yang penting, isi dalam rumah tu bahagia.”
“Kenapa kau cakap macam tu? Kau tak bahagia ke?” pertanyaan Hasnah tidak dijawab oleh Nora. Dia meneruskan suapannya, terutamanya apabila bertentang mata dengan Azman yang sedang asyik berborak dengan rakan-rakannya.
Aku tak bahagia ke?
*****
“Boleh la, abah.”
Azman masih mendiamkan diri. Seperti tadi. Mengundang resah di hati Khairun. “Kita tak pernah buat apa-apa majlis pun sebelum ni. Sekali ini je yang abang minta pun. Bukannya saya minta kereta mewah atau benda-benda yang membazir pun.”
“Banyak nak pakai duit tu nanti,” Azman akhirnya bersuara. “Duit tu aku nak juga untuk tambang buat haji nanti.”
“Abah ni, dengan anak sendiri pun nak berkira,” Khadijah pula bersuara. “Apa salahnya berbelanja sikit untuk kami.”
“Sikit? Eh, aku dah banyak berbelanja untuk korang adik-beradik, tahu!” suara Azman tiba-tiba meninggi. “Dari korang kecil sampai korang dah besar panjang, banyak duit yang aku habiskan, yang aku belanjakan untuk korang tau!”
“Bukankah itu tanggungjawab abah sebagai ketua keluarga?” tanya Khadijah lagi, membuatkan Azman tersentak. “Tanggungjawab abah ialah untuk memberikan pendidikan dan kehidupan yang terbaik untuk kami anak-anak abah, kan?”
“Sebab aku fikir tanggungjawablah, aku buat semua tu. Sekarang ni la baru aku nak menyimpan untuk pergi haji. Tapi korang masih nak menyusahkan aku!”
“Abah rasa kami menyusahkan abah?” tanya Khairun pula. “Kalau abah rasa macam tu, kami juga rasa benda yang sama, abah. Sebab tu kami belajar rajin-rajin, sampai kami dapat biasiswa bila masuk sekolah menengah.”
“Bila masuk universiti pula, pinjaman yang kami mohon bertukar menjadi biasiswa bila kami dapat keputusan cemerlang hampir setiap semester. Untuk kurangkan lagi beban abah, kami ambil upah buat dropship dan jadi tutor.”
“Jadi kamu berdua nak mengungkit apa yang kamu berdua dah buat selama ni? Begitu?”
“Abah yang mulakan dulu.”
“Apa?”
“Abah yang sepanjang masa mengungkit setiap sen yang abah keluarkan untuk kami, untuk mak. Padahal, itu semua tanggungjawab abah sebagai ketua keluarga.”
Tegak telinga Nora mendengar namanya disebut. Dia pandang kedua-dua anaknya itu silih berganti, dan akhirnya pandangannya jatuh pada wajah suaminya. “Abang…”
“Ini semua kau la yang mengajar, kan?”
“Tak perlu mak ajar untuk kitorang luahkan semua ni, abah. Kami ni ada mata, ada telinga. Ada otak untuk berfikir, ada hati untuk merasa. Kami nampak semuanya sejak kami kecil lagi.”
“Kamu ni…”
“Sudahlah,” suara Khairun tegas memotong perbualan mereka yang hampir menjadi perbalahan. “Abang bukan nak mintak banyak pun. Abang minta tambah sikit je. Sebab duit yang abang kumpul selama ni, tak cukup sikit je. Tapi tak apalah kalau abah tak boleh tambah sikit. Kita guna je duit yang ada.”
Azman hanya diam membisu.
*****
“Buat apa tu, Khadijah?” tanya Nora apabila dilihat anak perempuannya itu sedang sibuk di dapur. Mendengar sapaan itu, Khadijah segera menoleh. “Eh, mak! Saya nak masak kuey tiow goreng. Tengah siapkan bahannya.”
“Cukup ke bahannya? Ada apa-apa yang perlu ditambah?”
“Pakai apa yang ada je, mak. Kalau beli barang lain, abah bising pula,” Khadijah kemudian membuat mimik muka Azman. “Buat rugi je beli barang ni semua kalau tak digunakan!”
Tersembur air yang diminum Nora. Cepat-cepat dia memandang sekeliling. “Kamu ni! Kalau abah dengar nanti, kecil hati dia.”
“Abah keluar tadi, mak. Katanya nak ke kebun. Entahlah,” Khadijah angkat bahu, lalu meneruskan kerjanya. Nora hanya menggelengkan kepala sambil melihat sekeliling. Matanya menangkap sesuatu. “Ada surat ke yang sampai?”
“Ada surat, dan ada surat khabar,” balas Khadijah. “Tak faham la. Abang dah belikan abah Ipad kot. Saya pun ada langgan akhbar online untuk abah. Kenapa masih beli surat khabar?”
“Inilah anak muda zaman sekarang. Bukan nak memahami orang tua macam kami,” Nora sembunyi senyum apabila Khadijah kerut dahi. “Aura baca surat khabar tu lain tau.”
“Wau! Mak dah pandai guna perkataan ‘aura’!” akhirnya Khadijah menyedarinya. Nora ketawa. “Boleh masuk tak dengan masyarakat IT sekarang?”
Khadijah ketawa. “Mak, kalau tak boleh masuk pun dengan zaman IT sekarang, saya tetap akan ajar mak. Bila-bila masa.”
“Betul ni?”
“Betul la. Mak senang belajar. Kalau abah…,” Khadijah mengeluh perlahan. “Saya masih ingat macam mana abang nak mengajar cara guna Ipad pada abah. Haduh!”
Khadijah tepuk dahi. Tergeleng Nora melihatnya. Lama dia memerhatikan anak daranya itu memasak. Kemudian dia bangkit dari duduk, mndapatkan surat yang terletak di atas meja. Satu persatu surat yang diterima itu ditelitinya.
“Bil api, bil air, bil pembentungan… eh?” sepucuk surat yang terselit menarik perhatiannya. “Surat untuk aku? Surat apa ni?”
“Mak dah lama tak terima surat rasmi, kan? Sejak mak bersara dulu,” Khadijah bersuara sambil menatang kuey tiow goreng ke meja makan. Nora tidak menjawab. Dia terus membuka surat itu dan membacanya. Air mukanya yang serius pada mulanya, bertukar ceria. Menarik perhatian Khadijah.
“Kenapa mak?”
“Alhamdulilah…,” Nora terduduk di atas lantai. Khadijah menerpa ke arahnya. “Mak okey ke? Surat apa yang mak dapat ni?”
“Khadijah… mak dapat pergi haji!”
*****
“Macam mana sekarang ni?” tanya Azman. Dia mundar-mandir sedari tadi, sehingga Nora memicit kepalanya perlahan. “Jangan la bergrerak macam tu. Sakit kepala saya tengok.”
“Kepala aku lagi sakit memikirkan hal surat ni, tahu!” Azman mencampakkan surat yang dipegangnya di atas meja. “Aku ingat aku sorang je la yang dapat pergi haji. Kau pun dapat juga?”
“Dah namanya rezeki. Nak buat macam mana? Kita terima je la,” balas Nora. “Bukan semua orang dapat peluang nak ke sana dalam usia macam ni.”
“Tapi aku kumpul duit hanya untuk seorang. Macam mana nak pergi berdua?” suara Azman semakin meninggi. “Apa kau ingat sekarang ni kita dapat pajek pergi satu, percuma satu ke?”
“Apa yang abang cakap ni?”
“Kau tak faham ke? Duit tambang yang aku ada sekarang ni hanya untuk seorang,” Azman mengeluh kasar. “Kau tolak je la tawaran tu. Habis cerita.”
“Kalau saya tolak tawaran tu, bila pula saya akan ke sana, bang? Giliran saya akan kembali ke belakang. Entah sempat entah tidak saya nak ke sana.”
“Masalahnya sekarang ni, aku tak ada duit!” Azman sudah mula menengking. “Ini semua salah kau. Kalau kau tak sibuk sangat nak buat kenduri doa selamat tu, tambang kau ke sana mungkin hanya perlu tambah sikit je!”
“Abang salahkan saya sebab kenduri doa selamat tu? Abang yang beria nak buat kenduri tu macam kenduri kahwin. Tempah katering, pasang sampai tiga khemah. Sekarang ni nak salahkan saya?”
“Ya la. Semua ni kau punya pasal!”
“Cukup!” suara Nora tinggi, melangkaui suara suaminya. “Selama ni saya diamkan aje bila abang asyik mengungkit. Setiap sen yang abang belanjakan, abang sebut-sebut depan saya dan anak-anak. Abang ingat kami ni tak ada perasaan?”
“Apa yang kau cakap ni?”
“Saya dah penat la, abang. Saya dah penat nak dengar ni semua. Saya dah tak larat,” Nora bangkit dari duduknya. Segera dia masih ke dalam biliknya. Tidak lama kemudian, dia keluar semula. Lengkap bertudung dan membawa beg tangan.
Azman tergamam. “Kau nak ke mana pula malam-malam macam ni?”
“Saya minta maaf abang. Saya dah tak larat, saya nak rehat. Izinkan saya, abang.”
“Nak ke mana?”
“Tak ke mana pun. Saya ke rumah abang saya je,” suara Nora semakin merendah. Bila dilihatnya Azman seperti tiada respon, Nora menapak ke pintu utama.
“Kadang tu, saya menyesal berkorban untuk abang masa abang kemalangan dulu.”
Azman tergamam. “Apa?”
*****
“Saya dah tak tahan, abang. Dia tak habis-habis nak mengungkit semua duit yang dia belanjakan untuk keluarga. Tak cukup saya, anak-anak juga jadi mangsa,” luah Nora.
Nasir menghela nafas halus. “Tak sangka sikapnya semakin menjadi-jadi. Dulu masa anak-anak masih kecil, dia tak macam ni.”
“Makan hati saya bang, bila dia bersikap macam ni. Orang luar tak ahu. Tapi setiap kali dia belikan barang untuk saya, barang dapur sekalipun, mesti lepas tu dia akan sebut-sebut.”
Nasir menggelengkan kepalanya. “Sebenarnya, abang boleh je bagi nasihat kat kamu berdua. Tapi abang tahu, sekarang ni kamu tak mampu dengar nasihat. Kamu cuma mahu abang dengar je luahan kamu, kan?”
“Betul tu,” Nora tongkat dagu. “Mujur Khairun dan Khadijah tiada di rumah. Kalau tak, haru jadinya. Abang bukan tak tahu perangai Khadijah tu macam mana.”
“Habis tu, kamu nak buat macam mana ni?”
“Saya nak tenangkan fikiran. Kalau duduk di rumah tu, setiap saat dia mengungkit. Peninglah saya.”
“Duduklah di sini selama mana kamu nak. Janji kamu dapat izin Azman,” pesan Nasir. “Dia masih suami kamu. Ingat tu.”
Ketukan di pintu mematikan perbualan mereka. Nora dan Nasir berpandangan sesama sendiri. “Siapa pula yang datang malam-malam macam ni?”
“Abang Nasir, Azman ni. Tolong buka pintu,” mendengarkan suara itu, Nora bingkas bangun dari duduknya. “Dia datang nak jumpa abang, kan? Baiklah saya masuk bilik dulu.”
“Adik…,” panggil Nasir, namun Nora sudah masuk ke dalam bilik. Nasir mengeluh halus. Kemudian dia bangun dan membuka pintu utama. “Hah, Azman. Kamu dah tak reti bagi salam?”
“Assalamualaikum, abang. Maaf, terlupa,” balas Azman. “Boleh saya masuk?”
“Rumah aku ni terbuka untuk sesiapa je pun. Tapi kalau dah datang dalam waktu-waktu macam ni, maknanya ada la tu yang tak kena.”
Azman melangkah masuk ke rumah Nasir dan melabuhkan duduknya tanpa sebarang kata. Nasir hanya melihat tingkah adik iparnya itu. “Kamu nak air? Abang buatkan. Rupa kamu ni pun dah serabut semacam je.”
“Nora ada datang ke sini?”
“Ada. Kamu datang ni nak ambil dia ke?”
“Tak la. Saya datang ni nak jumpa abang,” Azman menghela nafas berat. Dahi Nasir berkerut. “Kamu dah kenapa?”
“Betul ke Nora berkorban untuk selamatkan saya masa saya kemalangan dulu?” tanya Azman. Nasir tarik nafas dalam-dalam. “Betul la tu.”
“Dia buat apa?”
*****
“Encik Azman mengalami kecederaan parah akibat kemalangan motosikal itu, puan,” beritahu doktor itu. Terasa berat nafas dihela. Perlahan, Nora duduk di kerusi. “Jadi, apa yang perlu saya lakukan sekarang?”
“Encik Azman perlu dibedah bagi membolehkan dia kembali menjalani hidup seperti biasa. Namun, kos pembedahan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum prosedur ini diteruskan.”
Doktor tersebut menghulurkan sehelai surat kepada Nora. Dia menyambutnya dengan tangan menggigil. “Ini surat pengesahan kebenaran waris untuk pesakit dibedah. Surat ini hendaklah ditanda tangani selepas kos pembedahan diselesaikan.”
“Kenapa kamu hantar dia ke hospital swasta?” tanya Nasir, tidak lama setelah dia sampai. Doktor itu pula sudah berlalu, merawat pesakit lain pula. Nora termenung, membuatkan Nasir makin gelisah. “Kamu dengar tak apa yang abang cakap ni?”
“Dengar,” jawab Nora. “Kawan-kawan sekerjanya yang hantar ke sini. Katanya, dekat dengan lokasi kemalangan. Tak sangka pula kosnya akan setinggi ini.”
“Nama pun hospital swasta. Apa yang kamu harapkan?” tanya Nasir kembali. Nora menggelengkan kepalanya. “Mana nak cari duit banyak ni, bang?”
“Aku boleh bantu. Tapi tak banyak la. Simpanan aku pun tak banyak,” ujar Nasir. Mata Nora berkaca memandang abangnya itu. “Terima kasih, abang.”
“Tapi itu masih tak cukup untuk tampung kos pembedahan tu,” Nasir bersuara lagi. “Apa tak boleh tangguh ke pembedahan tu?”
“Doktor kata, secepat mungkin,” balas Nora. Dia mengeluh perlahan. Tangan diraup perlahan ke wajah. “Kalau macam tu, terpaksalah….”
“Terpaksa apa?”
“Terpaksalah saya keluarkan wang simpanan saya di Tabung Haji.”
“Jangan!” tingkah Nasir. “Kalau wang tu dikeluarkan, macam mana dengan hajat kamu nak mengerjakan haji tu?”
“Nyawa lebih penting, abang. Duit boleh dicari,” balas Nora. “Siapa lagi yang boleh bantu dia melainkan saya, isterinya?”
“Kamu pasti dengan keputusan kamu ni?”
“Pasti.”
“Baiklah. Kalau macam tu, siapa abang untuk menghalang?” Nasir ukir senyum nipis. “Buatlah apa yang kamu rasa betul. Abang akan sentiasa menyokong adik abang ni.”
“Terima kasih, abang.”
*****
Tersandar Azman di sofa setelah mendengar cerita Nasir. Dia memandang wajah lelaki itu, mencari kepastian. Nyata, lelaki itu tidak berbohong.
“Kenapa abang tak pernah ceritakan pada saya sebelum ni?”
“Abang ingat kamu dah tahu,” jawab Nasir. “Dan Nora juga tak pernah buka cerita lepas tu. Kamu tahu sesuatu?”
“Apa dia?”
“Masa tu, pihak hospital kekurangan darah masa pembedahan itu berjalan. Nora dengan rela hati mendermakan darahnya pada kau.”
“Allah…,” Azman raup wajah dengan tangan kasarnya. “Kenapa dia tak pernah ceritakan pada saya semua ni?”
“Mungkin sebab dia tak merasakan semua ini pengorbanan untuk kamu, Azman. Kamu suami dia. Macam mana kamu bertanggungjawab terhadap dia, macam tu juga dia rasa bertanggungjawab terhadap kamu.”
“Malunya saya, bang…,” wajahnya diraup lagi. “Selama ni saya merasakan saya yang paling banyak berkorban untuk keluarga. Walhal…”
Suasana sepi seketika. Tiada butir kata yang keluar dari bibir Nasir mahupun Azman. Nora mengintai di sebalik tabir. Matanya berkaca. Tidak pernah dia melihat Azman sebegitu.
“Rumahtangga ni indah sebenarnya. Luar dan dalam. Bila kita tahu peranan dan tanggungjawab kita dalam institusi itu sendiri,” ujar Nasir tidak lama dahulu. “It takes two to tango. Remember?”
“Wow, abang dah pandai bermadah dalam bahasa Inggeris!”
“Atau dalam bahasa Melayunya, bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi,” Nasir tetap meneruskan kata-katanya. “Kalau hanya satu pihak yang bergerak, berusaha, satu pihak lagi tak buat apa-apa, memang karam la bahtera rumah tangga tu.”
“Abang, saya minta maaf,” suara Azman mendayu-dayu, mematikan lamunan Nora. Air matanya menitis lagi. Nasir dilihatnya tenang sahaja.
“Kamu tak salah apapun dengan aku, Azman. Buat apa kamu minta maaf dengan aku?”
“Saya tak nampak kebaikan Nora selama ni.”
“Minta maaf la dengan Nora. Dia dengar je semua perbualan kita. Kan, Nora?” tanya Nasir, separuh memanggil membuatkan Nora tersentak. Azman segera memandang ke arah tangga, di mana Nora berdiri. Kaku.
“Abang minta maaf, Nora. Abang bersalah, abang berdosa…,” Azman sudah mengongoi menangis. Nora tergamam. Inilah kali pertama Azman membahasakan dirinya ‘abang’ sejak mereka bernikah 28 tahun lalu.
“Abang….”
*****
Lima bulan kemudian…
“Allahu akbar, Allahu akbar, Allahu akbar. Laa ilaaha illallahu wallahu akbar, Allaahu akbar walillaahil hamd’.”
Mendayu-dayu suara Nora, Khairun dan Khadijah mengalunkan takbir raya. Azman yang mengetuai bacaan itu hanya mendiamkan diri. Tiba gilirannya, dia mengalunkannya dengan suara yang sebak.
“Allahu akbar kabiiraa Walhamdulillaahi katsiiraa, Wasubhaanallaahi bukrataw wa asiillaa
Laa ilaaha illallahu walaa na’budu illaa iyyaahu mukhlishiina lahuddiin, Walau karihal kaafiruun. Laa ilaaha illallallahu wahdah, sadaqa wa’dah, wanashara ‘abdah, wa a’azza jundahu wahazamal ahzaaba wahdah. Laa ilaaha illallaahu wallaahu akbar, Allaahu akbar walillaahil hamd’.”
“Abah?” tanya Khairun apabila suara Azman hampir tidak kedengaran. Dia mengengsot sedikit ke hadapan, mendapatkan abahnya itu. Tindakannya itu menarik perhatian Nora dan Khadijah.
“Abah okey ke?”
“Abah sedih, tak dapat ke Mekah mengerjakan haji tahun ni,” Azman mengesat matanya perlahan. Mendengarkan itu, Nora ukir senyum nipis.
“Bukan abah seorang je yang tak dapat ke sana. Semua orang di seluruh dunia tak dapat peluang tu, walaupun hanya untuk mengerjakan umrah. Tunggulah sampai pandemik ni reda, dan kerajaan Arab Saudi mengizinkan. Nanti kita pergi sekeluarga, ya?”
“Berbeza sangat sambutan hari raya haji tahun ni,” luah Azman lagi. “Kalau kita tak dapat ke Mekah pun, sekurang-kurangnya kita dapat ke masjid. Ini, hanya yang terpilih yang dapat ke masjid.”
“Bukan rezeki kita la tu abah,” balas Khairun lagi.
“Tapi, bagus apa abah tak terpilih,” sahut Khadijah pula. Khairun memandangnya pelik. “Kenapa kamu cakap macam tu?”
“Kalau abah terpilih ke Mekah atau ke masjid, tak la kita merasa abah pimpin bacaan takbir kita. Ada bakat rupanya Haji Azman kita ni,” ujar Khadijah separuh mengusik. Tergelak kecil Khairun mendengarnya.
“Haji Azman. Sedap nama tu.”
“Abah belum pergi haji lagi la.”
“Tak apa la. Kata-kata itu kan doa,” Khadijah ukir senyum manis. Azman terhibur. Dia kemudian merapati Nora yang diam sedari tadi.
“Abang minta maaf. Abang harap, Nora tak berdendam dengan abang.”
“Tak adalah, abang. Saya tak pernah berdendam. Walaupun dalam diam,” Nora ukir senyum manis. Azman pegang ubun-ubunnya perlahan. “Terima kasih, sayang.”
“Adik.”
“Ya?”
“Hari ni hari raya haji ke hari mak dan abah bernikah?” tanya Khairun selamba. Pecah tawa Khadijah mendengarnya. Nora tersipu-sipu malu. Azman pula sudah tersengih macam kerang busuk.
TAMAT