Sunday, August 23, 2020

Cerpen : Hanya Engkau Yang Mampu


Hujan lebat pada pagi itu turut menangisi pemergian Maryam dan anaknya, Huzair. Jasad mereka berdua terbujur kaku di ruang tamu rumah itu. Di sekelilingnya, para jemaah surau berdekatan membacakan surah Yasin secara tartil. 


Merah mata Husna. Bengkak mata Salima. Rayhan yang berada dalam dukungan Salima, diam tidak merengek seperti biasa. bagai mengerti, ayahnya telah tiada. 


“Mana Rafiq, kak?” tanya Husna. Salima tidak menjawab. Tertoleh-toleh dia mencari kelibat anak sulungnya itu. Tingkahnya hanya terhenti apabila susuk tubuh Rafiq duduk berdekatan jenazah ayahnya, di samping seorang lelaki. 


“Dia dengan tunang kamu, Husna.” 


“Oh,” hanya itu jawapan yang mampu diberikan. Husna termenung lagi. Peristiwa malam tadi terpahat kuat dalam fikirannya. 


“Kamu berdua tak payah la ikut kami ke surau malam ni,” ujar Husain sambil menyarung selipar. “Rayhan tu tak sihat sangat.” 


“Kak Long kan ada,” Husna mula memuncungkan mulutnya. Tiba-tiba Huzair muncul sambil menggantungkan penyangkut baju di bibirnya. “Ha, muat!” 


“Abang!” 


“Sudah-sudahlah tu. Nak bergaduh je kerjanya,” Maryam tolak sedikit tubuh Husna yang menghalang pintu utama. “Tak payah dilayan Acu ni, Along. Jom pergi sekarang.” 


“Ala, Acu nak ikut.” 


“Rayhan kan tak sihat tu. Takkan Kak Long nak tinggal sorang? Dengan Rafiq tengah melasak tu,” balas Husain. “Balik nanti abah belikan laksa.” 


Terpujuk sedikit Husna dengan kata-kata Husain. “Janji tau!” 


Terasa lama pula pemergian tiga beranak ke surau malam itu. Tidak betah Husna jadinya. Dia ke dapur untuk mendapatkan minuman. Di dapur, Salima sedang menyuapkan Rafiq makan. Berselera benar anak itu. 


“Demam Rayhan dah kebah ke, kak?” 


“Belum lagi,” jawab Salima. Suaranya merendah. “Dari tadi asyik merengek je. Ini pun baru dapat tidur. Tak selesa agaknya.” 


“Tak apalah. Biar saya suapkan Rafiq.” 


“Eh, tak payah. Biar Kak Long suapkan dia. Kak Long pun boleh makan sekali,” ujar Salima. “Acu boleh tolong Kak Long? Tolong tengokkan Rayhan. Kak Long takut dia terjaga je.” 


“Boleh,” Husna mengatur langkah menuju ke bilik tidur Huzair dan Salima. Rayhan tidur lena di atas katil. Belum sempat Husna melabuhkan duduknya, telefon pintar di tangan berdering. Segera diangkat panggilan itu, bimbang anak kecil itu terjaga. 


“Helo.” 


“Husna, abang kamu kemalangan!” 


“Apa?” 


“Husna.” 


Panggilan itu mematikan lamunannya. Segera dia menoleh. Lelaki yang berada di samping Rafiq sebentar tadi, sudah berada di sisinya. “Awak okey?” 


“Macam ni je la, Jabir. Tak tahu la kuat ke tak,” luah Husna jujur. Jabir menghela nafas berat. “Diorang nak bawa jenazah ke kubur.”


Mendengarkan itu, air mata Husna tumpah lagi. 


***** 

“Makan, abah,” lembut Husna memujuk. Namun Husain masih begitu. Kaku, beku. Sedikitpun dia tidak mempedulikan Husna. Gadis itu mengeluh. 


“Janganlah macam ni, abah. Dah tiga bulan mak dan abang pergi. Tak baik, meratapi orang yang dah tak ada.” 


Diam. Masih tiada sebarang balasan daripada Husain. Dia terus memandang ke luar jendela. Husna mengeluh perlahan. 


“Abah…” 


“Assalamualaikum,” terdengar suara garau dari luar rumah. Husna kenal suara itu, lantas dia bangkit menuju ke pintu utama. “Waalaikumsalam, abang Jabir.” 


“Abah dah bangun?” tanya lelaki itu sambil menanggalkan kasutnya. Husna mengeluh perlahan. “Dia dah bangun. Tapi dia tak nak makan.” 


Tegak tubuh Jabir mendengar jawapan Husna. Berkerut dahinya. “Tak nak makan? Tak apalah, biar abang tengok kejap.” 


Husna berundur setapak, memberi ruang untuk lelaki itu masuk. “Abang, saya sapu laman dulu ya.” 


“Baik.” 


Sepanjang Jabir di dalam rumah, Husna mengambil kesempatan menyapu laman rumahnya. Pasu bunga juga disusun cantik. Setelah beberapa lama, kelibat Jabir muncul kembali. 


“Abah dah makan ke, abang?” 


“Dah,” Jabir kuntum senyum. “Lampin dia dah penuh sebenarnya. Dia segan nak bagitahu. Lepas mandi tadi, dia makan dengan berselera.” 


“Ye ke?” Husna tunduk seketika. “Malu saya dengan abang. Semua benda abang buat. Satu pun…” 


“Mana ada semua benda. Awak kan masakkan untuk abah. Tempat tidur abah, awak juga yang kemaskan?” potong Jabir. “Lagipun, apalah sangat kudrat awak nak angkat lelaki dewasa yang kurang sihat macam abah?” 


“Lagi saya malu dengan abang.” 


“Nak malu apanya? Bukan orang lain pun. Bakal menantu dia juga,” balas Jabir. “Lagipun, awak sorang je kan. Mana larat nak buat semua tu. Dengan kuliah lagi. Mana Kak Long?” 


“Kak Long? Entahlah,” Husna hela nafas berat. “Sejak Abang Long pergi, dia dan anak-anak dah tak balik sini. Husna tahu, abah rindu dengan cucu-cucunya.” 


“Bagi Kak Long masa. Dia pun terasa dengan kehilangan ni,” ujar Jabir separuh memujuk. “Apa pun, abang ada berbincang dengan abah tadi. Dan abah pun setuju. Cuma kalau awak berat hati…” 


“Apa yang abang bincang dengan abah?” 


“Kita… kita cepatkan pernikahan kita. Boleh?” 


“Hah?” 


***** 

Majlis pernikahan Husna dan Jabir berlangsung serba sederhana. Tiada persandingan seperti yang diminta Husna. Dia hanya mahu mengadakan majlis kecil-kecilan, cukup memenuhi syarat sah pernikahan. 


Sungguhpun begitu, ramai tetamu yang datang meraikan pengantin baru. Senyuman tidak lekang dari bibir kedua mempelai. Tidak terkecuali, bapa pengantin perempuan. 


“Dah lama aku tak tengok ayah kau senyum macam tu, Husna,” giat Wana. Husna hanya memandang Husain yang galak berbual dengan jemaah surau. “Abah aku sunyi tu. Tak ada teman berborak sejak mak aku tak ada.” 


“Sorry, Husna.” 


“Tak apa.” 


“Kenapa kau tak carikan isteri untuk abah kau tu?” tanya Wana spontan. Buntang mata Husna mendengarnya. “Isteri? Siapa yang nak kahwin dengan abah aku tu? Ke mana-mana saja dengan kerusi roda sekarang ni. Ada yang sanggup?” 


“Ada. Makcik tiri adik aku yang duduk kat belakang rumah Pak Samad tu.” 


“Belakang rumah Pak Samad tu, kubur!” 


“Eh, ye ke?” tanya Wana, buat muka kosong. Tidak lama lepas itu, dia kenyit mata. Tergeleng kepala Husna melihatnya. 


“Okey, kita serius sikit,” Wana membetulkan duduknya. 


“Serius sikit je?” 


“Kalau serius banyak, aku dah ajak kau pergi mahkamah dah.” 


“Kenapa mahkamah?” 


“Serius,” Wana buat muka kosong lagi. Kemudian dia ketawa kecil. Husna sudah pegang kepala. “Kau ni kan…” 


“Cantik,” potong Wana. “Okey, okey. kita serius. Kenapa kau cepatkan rancangan kau nak bernikah dengan Jabir? Bukan kau kata nak tunggu sampai kau habis belajar ke?” 


“Perancangan Allah lebih hebat, Wana,” ujar Husna. “Jabir cepatkan pernikahan kami sebab dia nak jaga abah. Dia kesian tengok aku jaga abah sorang-sorang. Abah pula segan dengan aku sebab aku ni perempuan. Dia banyak bergantung pada Jabir je sekarang ni.” 


“Betul juga tu. Lelaki pun reti malu juga,” komen Wana. “Eh, tapi mana kakak ipar kau? Majlis ni pun dia tak datang, kan?” 


Husna mengeluh kecil. “Tak tahulah aku ke mana dia bawa diri. Nombor telefon dia terus tak aktif. Nak kata bersedih, aku pun sedih juga. Tapi aku teruskan hidup. Lagipun, dah lima bulan arwah pergi.” 


“Tahap kesedihan orang tak sama, Husna. Mungkin kau kuta, mungkin dia tak. Dengan anak-anak lagi,” Wana memberikan komentarnya. “Sabarlah. Bagi dia masa.” 


“Berapa lama lagi masa yang aku kena bagi dia? Abah tu rindu cucu-cucu dia tau,” balas Husna. Matanya mula berkaca. 


“Bila dia dah bersedia nanti, dia baliklah,” Wana paut erat bahu Husna. “Dah la. Jangan bersedih. Jurusolek dah balik tau! Aku tak reti nak betulkan solekan kau ni!” 


“Wana!” 


***** 

“Abah dah tidur?” tanya Husna sebaik sahaja Jabir masuk ke dalam bilik. Lelaki itu senyum, lalu ubun-ubun isterinya itu dikucup lembut. “Sudah, sayang.” 


“Baguslah.” 


“Kenapa sayang macam tak senang duduk je ni?” tanya Jabr. Husna terkejut. “Ketara sangat ke, abang?” 


“Taklah ketara sangat. Tapi sayang kan isteri abang. Mestilah abang tahu,” balas Jabir. “Tadi ada orang telefon sayang, kan? Siapa? Dia ke yang buat sayang tak senang duduk macam ni?” 


Husna angguk perlahan. “Kak Long yang telefon.” 


“Alhamdulilah, akhirnya dia nak juga telefon sayang. Jadi apa yang tak kena?” 


“Ye la. Dah tujuh bulan kita kahwin, baru hari ni dia nak telefon kita. Tentulah saya rasa berjauh hati.” 


“Jangan macam tu. Kita tak tahu apa yang dia lalui selama tujuh bulan ni,” pujuk Jabir. “Dia telefon kita pun dah cukup besar rahmat. Macam mana dia dan anak-anak? Sihat?” 


“Abang prihatin sangat dengan Kak Long ni kenapa?” 


“Aik, cemburu ke?” tanya Jabir kembali. Dia ketawa kecil melihat Husna memuncungkan mulutnya. Bahu wanita itu dipaut penuh kasih. “Hati abang kan, sayang dah ambil. Nak cemburu apa lagi?” 


“Cara abang tanya tadi…” 


“Abang tanya je. Itu kan kakak ipar sayang,” balas Jabir. “Sayang tak jawab soalan abang lagi. Diorang sihat?” 



“Alhamdulilah, diorang sihat. Kak Long ajak jumpa,” beritahu Husna. Dia pandang suaminya. Jabir angkat kening, memberi isyarat untuk Husna meneruskan kata-katanya. “Tapi kat rumah kebajikan.” 


Berkerut dahi Jabir mendengarnya. “Kenapa kat situ?” 


“Entah,” Husna angkat bahu. “Kita pergi, nak?” 


“Kalau kita berdua pergi, siapa nak jaga abah?” tanya Jabir kembali. “Sayang pergilah. Abang izinkan.” 


“Tak nak bawa abah?” 


“Sayang pergi dulu. Tengok keadaannya macam mana. Kalau semuanya okey, baru kita bawa abah, okey?” 


“Baiklah, abang. Terima kasih.” 


Dan dengan keizinan itu, Husna berdiri di rumah kebajikan itu. Gelagat Rafiq yang sedang bermain dengan rakan-rakan sebaya dipandangnya penuh kasih. Kata-kata salah seorang staf rumah kebajikan itu masih basah di cuping telinganya. 


“Rafiq dan Rayhan dihantar ke sini enam bulan lalu. Ayahnya telah meninggal dunia. Ibunya cuba untuk menjaga mereka berdua sendirian, tapi tak berdaya. Dia sendiri yang hantar anak-anaknya ke sini.” 


Berkaca mata Husna mendengar kata-kata itu. Rayhan yang sedang tidur dalam pangkuannya direnung penuh kasih. Sungguh, dia tidak sanggup melihat mereka dua beradik di rumah kebajikan, sedangkan mereka masih ada keluarga. 


Aku mesti buat sesuatu! 


***** 

“Macam mana, abah?” tanya Husna lagi, apabila dilihatnya lelaki itu membisu seribu bahasa. “Acu minta maaf. Bukan niat Acu nak belakangkan abah dallam hal ni, tapi Acu tak nak susahkan abah.” 


Husain menghela nafas berat. “Diorang tu cucu abah juga. Sakit pening dia, abah pun akan terasa. Tergamak Salima buat macam tu pada anak-anaknya. Kalau tak mampu jaga, bagitahu! Hantar diorang ke sini. Biar abah yang jaga.” 


“Abah…,” Jabir bersuara setelah beberapa ketika. “Abah kan tak sihat. Tambah pula, kita tak tahu apa yang terjadi pada Kak Long. Dia pun tak bercerita, kan?” 


“Betul tu,” balas Husna. “Dia tak ada masa saya ke rumah kebajikan tu. Rayhan hampir tak kenal saya. Nasib baik Rafiq masih ingat Acu dia.” 


“Rafiq dan Rayhan tu kecil lagi. Tak sepatutnya dia tinggal di rumah tu, bila dia masih ada keluarga,” ulas Husain. “Kamu boleh jaga dia, Acu?” 


“Apa?” terbeliak mata Husna mendengarnya. “Abah suruh Acu jaga dia?” 


“Ye la. Kenapa? Kalau kamu tak boleh jaga, biar abah yang jaga,” ucap Husain penuh bersemangat. “Lagipun, abah dah tak pakai kerusi roda lagi. Bertongkat je sekarang ni.” 


“Tapi Rayhan tu kecil lagi,” tingkah Husna. “Acu pun masih belajar. Acu dah tangguh dua semester. Kalau tangguh lagi, nanti lambat habis.” 


“Habis tu?” 


“Kalau abah izinkan, Acu nak berhenti belajar.” 


“Tak boleh!” suara Husain keras menyanggah. “Acu tak boleh berhenti. Acu dah mulakan, Acu kena teruskan sampai habis.” 


“Tapi….” 


“Macam ni sajalah,” suara Jabir, cuba menamatkan perbalahan mereka. “Husna ada berapa semester lagi untuk habis belajar?” 


“Dalam empat semester,” jawab Husna perlahan. “Ingatkan nak sambung lagi, tapi…” 


“Macam ni,” potong Jabir tegas. “Kita bincang dulu dengan Kak Long. Mungkin dia boleh bagi kerjasama dalam rancangan ni.” 


“Rancangan apa?”


“Kita bawa Rafiq dan Rayhan keluar dari rumah kebajikan tu. Kita jaga seorang, Kak Long jaga seorang.” 


“Mesti Kak Long tak setuju,” komen Husna. “Dia yang hantar dua beradik tu ke rumah kebajikan tu. Takkan dia nak ambil balik?” 


“Sebab tu abang kata, kita kena bincang elok-elok dengan dia,” pujuk Jabir lembut. “Kita nak tolong Kak Long juga ni. Tapi dia tak boleh lepas tangan. Anak-anak tu, anak-anak dia.” 


Termenung Husna memikirkan kata-kata suaminya itu. Lama kemudian baru dia bersuara semula, “Baiklah, nanti saya bincang dengan Kak Long.” 


“Hanya Jabir yang mampu fikirkan semua ni,” Husain senyum. Jabir garu kepala yang tidak gatal. 


***** 

“Macam mana, kak?” tanya Husna setelah dia menerangkan rancangan Jabir dan Husain. Salima diam. Berfikir. 


“Kak Long tak tahu la, Acu.” 


“Kak Long, budak-budak tu anak-anak akak. Anak Abang Long.” 


“Tapi Abang Long dah mati! Dia dah tak ada! Dia tinggalkan semua tu untuk Kak Long. Terlalu berat untuk Kak Long tanggung!” 


“Sebab tu la perlunya keluarga dalam situasi macam ni. Untuk menolong,” balas Husna. “Kami nak tolong Kak Long. Sebab budak-budak tu, keluarga kami juga.” 


“Kalau macam tu, ambillah dua-dua.” 


“Kak Long, saya masih belajar. Tak mampu nak jaga kedua-duanya.” 


“Habis, Acu ingat Kak Long mampu?” tanya Salima kembali. “Tinggalkan sajalah budak-budak tu di situ.” 


“Budak-budak tu masih ada keluarga, Kak Long. Abah tak nak diorang tinggal kat rumah kebajikan tu. Abah nak kita jaga diorang.” 


Salima geleng kepala. “Kenapa sibuk-sibuk nak jaga diorang tu? Abah bukannya sihat sangat.” 


“Sebab abah fikirkan keluarga,” jawab Husna perlahan. Salima mendengus. “Masuk kubur nanti, sorang-sorang juga.” 


“Kita masih hidup kan, Kak Long?” kesabaran Husna semakin menipis. “Sebab tu kami nak tolong. Macam yang saya cakap tadi, kita akan jaga diorang bersama.”


“Jadi sekarang ni Acu nak Kak Long buat apa?” 


“Macam ni,” Husna membetulkan duduknya. “Kak Long akan jaga sorang. Saya akan jaga sorang. Makan pakai anak Kak Long yang kami jaga, kami tanggung semua. Kak Long hanya perlu fokus pada anak lagi sorang.” 


“Acu nak pisahkan diorang?” 


“Kita jumpakan diorang sesekali. Tiap-tiap minggu ke, tiap-tiap bulan ke… ikut kelapangan masa kita juga.” 


“Boleh,” akhirnya Salima bersetuju. “Acu nak jaga anak Kak Long yang mana?” 


“Kak Long la buat keputusan,” Husna ukir senyum nipis. “Apa pun keputusan Kak Long, saya anggap itu yang terbaik dan saya akan jaga dia semampu saya. Demi Abang Long.” 


“Baik. Kamu jagalah Rafiq, Acu,” putus Salima. “Rayhan, biar Kak Long yang jaga. Sebab Rafiq akan sekolah. Kak Long tak mampu nak tanggung persekolahan dia.” 


“Baik. Saya akan jaga dia baik-baik.” 


*****

Tiga tahun kemudian… 


“Rafiq nak apa, sayang?” tanya Husna apabila dilihatnya anak kecil itu masuk ke dapur. “Rafiq lapar yea? Acu tengah masak lagi ni. Kejap lagi kita makan sama-sama yea?”


“Baik,” ujar Rafiq. Dia menarik kerusi lalu duduk berdekatan wanita itu. Senyuman manis diukir. “Acu nak abang tolong apa-apa tak?” 


“Alahai, rajinnya anak Acu ni,” Husna tersenyum gembira. “Tolong kemaskan ruang tamu. Kejap lagi Pakcu dan Atuk balik dari surau.” 


“Dah kemas dah. Itu yang abang datang sini. Nak tolong Acu kat dapur pula.” 


“Kerja sekolah dah siap?” 


“Dah. Erm, Acu…,” panggil Rafiq perlahan sambil bermain dengan jari-jemarinya. “Boleh tak kalau…  kalau….” 


“Kenapa, sayang? Ada apa-apa yang tak cukup ke?” tanya Husna prihatin, sambil meletakkan ikan goreng di atas meja. “Atau Rafiq nak beli apa-apa?” 


“Boleh tak kalau kita ambil adik?” tanya Rafiq lambat-lambat. Husna terkedu. Rafiq menundukkan kepalanya. “Kalau boleh la Acu. Kalau tak boleh, tak apa.” 


“Kenapa tiba-tiba pula ni?” tanya Husna sambil membelai rambut anak kecil itu. Melihat wajah bersalah anak itu, cepat-cepat dia menyambung, “Tak apa. Cerita je. Acu dengar.” 


“Kesian adik. Dia selalu rasa abang dapat macam-macam daripada Acu,” luah Rafiq. “Haritu, masa kita bawa adik makan di McDonalds, adik cakap ‘untungnya abang. Mesti abang selalu dapat makan macam ni. Adik selalu dapat makan nasi dengan telur je.’.”


“Ibu tak pernah belanja adik ke?” tanya Husna spontan. Sesaat kemudian, dia menyesali pertanyaannya itu. Dilihatnya anak itu menganggukkan kepala. “Adik cakap, bila kita datang je dia boleh merasa makan sedap-sedap.” 


“Allahu…,” hampir putus nafas Husna mendengarnya. “Adik cakap macam tu ke?”


“Ya.” Rafiq pegang perlahan tangan Husna. “Acu, kalau Acu dapat bawa adik ke rumah ni, abang akan sangat gembira. Tapi kalau Acu tak mampu, abang tak kisah.” 


“Acu akan bincang dengan Pakcu dan Atuk ya. Tapi Acu tak janji, tau,” wajah Rafiq bercahaya apabila mendengar kata-kata Husna. Lantas dipeluknya wanita itu. “Terima kasih, Acu!” 


Malam itu, setelah Rafiq masuk tidur, Husna membincangkan hal itu bersama Jabir dan Husain. “Macam mana?” 


“Mahu ke Kak Long kalau kita ambil Rayhan?” tanya Husna kembali. Husain diam, berfikir. “Abah tak ada halangan. Tanyalah Jabir. Dia suami kamu.” 


“Saya tak ada masalah, abah. Tapi Husna baru mula bekerja,” ujar Jabir. “Takut juga kalau-kalau ada yang terjejas kalau kita ambil Rayhan.” 


Husna diam. Wajah sedih Rafiq muncul di ruang mata. Bergenang kolam matanya. Namun sebentar kemudian dia dengar Jabir bersuara, “Kalau awak rasa awak mampu, ambillah Rayhan. Saya akan bantu awak.” 


Menitis air mata Husna mendengarnya. “Terima kasih, abang!” 


****** 

"Kak Long tak izinkan!” 


Terkejut Husna apabila dia menyuarakan hasratnya. “Kenapa, Kak Long?” 


"Kak Long dah nak kahwin," jawab Salima. Buntang mata Husna mendengarnya. "Tahniah, Kak Long! Bila langsungnya?" 


"Tak lama lagi."


"Siapa calonnya?" 


"Faisal, kawan Kak Long di tempat kerja. Dia banyak bantu Kak Long. Dia tak kisah dengan status Kak Long sebagai janda anak dua."


"Balu, Kak Long," Husna betulkan kata-kata Salima. "Abang Long bukan ceraikan Kak Long. Dia meninggal dunia." 


"Apa-apa sajalah," Salima seakan tidak peduli dengan kata-kata Husna. "Kak Long nak bawa anak-anak tinggal dengan keluarga baru Kak Long nanti. Rafiq pun akan Kak Long ambil dari Acu." 


"Tapi Kak Long…." 


"Keputusan Kak Long muktamad," potong Salima pantas. "Kak Long ibu kandung diorang. Kak Long yang melahirkan diorang.. Jadi Kak long berhak ke atas diorang!” 


Husna mendengus kasar. “Habis, kami?” 


“Korang hanya orang luar.” 


“Sampai hati Kak Long cakap macam tu,” suara Husna merendah. “Acu ni saudara diorang. Acu yang jaga Rafiq. Takkan Kak Long dah lupa semua tu?" 


"Kau yang nak jaga sangat, kan?" berubah panggilan Salima buat Husna, membuatkan Husna terkedu. "Aku tetap akan tuntut hak aku sebagai seorang ibu. Kau tak ada hak!" 


"Semudah itu Kak Long nafikan hak kami. Semudah itu juga kan, Kak Long buang kami?” tanya Husna lirih. Namun Salima langsung tidak terkesan. “Kau bukan adik ipar aku lagi pun. Abang kau kan dah tak ada. Kau juga yang cakap tadi, kan?” 


“Kak Long!” Husna gosok perlahan dadanya, bagi mengurangkan aura kemarahan yang semakin mencengkam. “Maaf. Saya bukan adik ipar awak lagi. Tapi hubungan seorang menantu dengan ayah mertua akan kekal hingga akhirat. Hubungan cucu dan atuk juga takkan terputus!” 


"Huh!" Salima mendengus. "Aku akan datang ke rumah kamu nanti. Siapkan anak aku. Rafiq akan kembali pada aku. Itu janji aku."


"Macam mana pula janji dengan ayah diorang?"


"Maksud kau?" 


"Awak dah janji dengan arwah suami awak, yang awak akan jaga diorang dengan baik. Sekarang ni, awak nak pisahkan diorang dengan Atuk diorang?" 


"Anak-anak aku. Biar aku yang uruskan. Kau jangan masuk campur." 


***** 

Sudah lima bulan sejak peristiwa itu berlalu. Sejak itu, dia tidak bertemu dengan Rafiq lagi. Salima muncul di rumah Husna, dua hari selepas pertemuan mereka. Rafiq dibawa pulang meskipun anak kecil itu meronta-ronta tidak mahu mengikut ibunya. 


“Aku ibu kau!” tengking Salima kuat apabila Rafiq menangis, enggan melepaskan pegangannya pada pinggang Husna. “Aku yang patut jaga kau! Bukan orang luar ni!” 


“Kamu anggap aku ni orang luar, Salima?” tanya Husain perlahan. Namun dari nada suaranya, Husna tahu, hati ayahnya itu terluka. 


“Saya ibunya. Saya lebih berhak ke atas dia dan adiknya.” 


“Aku sebagai datuknya, langsung tak berhak?” 


“Dia masih ada keluarga,” Salima menjeling kepada Husna. “Kau yang cakap macam tu. Jangan kau nak buat-buat lupa pula.” 


“Kamu pasti dengan keputusan kamu ni?” tanya Husain lagi. “Kamu kena ingat satu perkara. Kalau kamu ambil dia sekarang, dan kamu abaikan dia, aku takkan teragak-agak untuk ambil dia semula daripada jagaan kamu. Masa tu, jangan harap kamu dapat jumpa cucu aku!” 


“Abah jangan nak mengajar saya pula. Pandailah saya nak menjaga dia,” balas Salima sedikit angkuh. “Saya yakin, Faisal akan ayah yang terbaik untuk diorang.” 


“Baik.” 


“Sayang,” panggilan Jabir membuatkan Husna tersedar dari lamunan. Wajah suaminya itu dipandang penuh kasih. “Bila abang balik? Tak dengar bunyi kereta pun?” 


“Macam mana nak dengar. Jauh benar mengelamunnya,” ubun-ubun Husna dikucup lembut. “Dah sampai ke mana?” 


“Ke mana-mana sajalah.” 


“Jangan kuat mengelamun sangat,” Jabir ukir senyum. “Nanti anak dalam perut tu terikut. Susah abang nanti.” 


“Abang ni…,” Husna merengek manja. Jabir ketawa kecil. Tangannya mendarat lembut di perut Husna yang semakin membesar. “Anak ayah sihat hari ni?” 


“Sihat sangat. Asyik menendang je dia hari ni,” adu Husna. “Saya rasalah, anak ni nanti anak lelaki la. Seronoknya!” 


“Kalau lelaki, sayang nak bagi nama apa?” 


“Saya nak bagi nama dia….,” kata-kata Husna terhenti apabila pintu biliknya diketuk perlahan. Husna pandang Jabir yang tersenyum-senyum. “Siapa, abang?” 


“Pergilah buka pintu tu,” arah Jabir. Muncung Husna memanjang sedepa. “Orang yang tengah membuyung pula yang disuruh buka pintu. Tak romantik langsung.” 


“Abang sediakan kejutan untuk sayang.” 


“Ye ke?” Husna teruja. Pantas dia membuka pintu biliknya itu. Dua susuk tubuh yang berdiri di hadapannya kini cukup untuk membuatkan dia tergamam. 


“Acu!”


***** 

“Tak sangka, Rafiq dan Rayhan kembali ke rumah ni,” Husna masih menitiskan air mata. Dia masih memeluk dua beradik itu. “Tapi macam mana…” 


“Abah dan Jabir tak pernah lepaskan perhatian pada mereka berdua, walaupun Salima bertegas mahu jaga anak-anaknya,” beritahu Husain. “Diorang masih berada di bawah jagaan kita, sebagai keluarga ayahnya. Kita yang perlu jaga diorang.” 


“Tapi, Kak Long…” 


“Mulanya Salima masih mahu jaga diorang. Tapi lepas dia berkahwin, rupanya Faisal tu panas baran orangnya dan selalu pukul dua beradik ni.” mendengar kata-kata itu, cepat-cepat Husna membelek setiap inci tubuh Rafiq dan Rayhan. Terdapat beberapa kesan lebam dan luka akibat dirotan kelihatan. “Kak Long tak halang ke? Ini anak-anak dia kot!” 


“Kalau dah sayang….”


“Sampai sanggup abaikan anak sendiri?” tanya Husain tegas. “Abah jumpa dia dan cakap yang dia dah mungkir janji. Abah minta anak-anak ni balik. Demi Abang Long.” 


“Demi Abang Long,” mata Husna kembali berkaca. Dipandang Rafiq dan Rayhan penuh kasih. “Kesian diorang, abah. Diorang kecil lagi.”


“Memang diorang kecil lagi. Tapi diorang dah mumayyiz.” 


“Maksud abah?” 


“Penjagaan anak-anak adalah hak seorang ibu sehingga mereka mumayyiz. Selepas tempoh itu, mereka diberi hak untuk tinggal sama ada bersama ibu atau ayah. Dan abah dah tanya diorang,” beritahu Jabir. “Sayang tanyalah diorang kalau sayang nak dengar dari mulut diorang sendiri.” 


“Abang dan adik nak duduk dengan siapa?” tanya Husna lembut. Rafiq cepat-cepat angguk. “Abang nak duduk dengan Acu. Abang tak nak duduk dengan ibu. Sakit!”


“Allahuakbar…,” spontan Husna mengucup dahi Rafiq lembut. Dia alih pandang pada Rayhan. “Adik? Nak duduk kat sini ke nak duduk dengan Acu?” 


“Nak duduk dengan Acu, boleh?” jawab Rayhan, laju. “Tak best duduk dengan ibu. Kalau kami nak makan, ibu suruh kitorang masak sendiri.” 


“Apa?” terkejut Husna mendengarnya. Cepat-cepat Jabir menenangkan isterinya itu. “Sudahlah, sayang. Abah dah bagi amaran. Sebab dia dah mungkir janji, kan.” 


“Tapi dia tetap ibu diorang.” 


“Abah takkan nafikan hak dia sebagai seorang ibu. Tapi kalau dia buat hal, abah takkan teragak-agak untuk buat laporan polis,” beritahu Husain. “Abah dah bagitahu dia. Abah juga cakap, abah dah rakam semua perbualan kami. Harap sangat dia beringat lepas ni.” 


“Harapnya macam tu la.” 


“Acu,” panggil Rafiq membuatkan perhatian Husna teralih seketika. “Ya, sayang? Abang nak cakap apa?” 


“Abang nak cakap, hanya Acu yang mampu sayangkan kami macam anak sendiri,” mata Husna berkaca lagi. “Boleh tak kalau kami nak panggil Acu, mama?” 


“Boleh, sayang!” Husna peluk dua beradik itu dengan penuh kasih. Air matanya mengalir tanpa henti. 


TAMAT.