“3 tahun.”
Terkedu Azad mendengar kata-kata itu. Kata-kata dari Jasmin. Setelah hampir dua bulan melakukan provokasi terhadapnya, baru hari ini dia membalasnya.
“Apa yang 3 tahun?”
“Bagi saya masa 3 tahun. Saya akan tinggalkan awak macam yang awak minta,” balas wanita itu. Suaranya merendah. Azad senyum sinis. “Kenapa nak tunggu 3 tahun? Kenapa tak lakukannya sekarang?”
“Untuk apa? Untuk awak ketawakan saya dan hina saya?” tanya Jasmin kembali. “Saya cakap 3 tahun. jadi, 3 tahun la.”
“Kenapa ya?”
“Saya nak pergi dalam keadaan saya benar-benar bersedia.”
“Oh, maksudnya kau tak bersedia la sekarang? Maknanya kau masih sayangkan aku? Masih cintakan aku?”
“Untuk apa sayang tu? Untuk apa cinta tu, kalau balasan yang saya dapat hanyalah kebencian?”
“Tahu pun kau, yang aku benci kau. Dah tu, kenapa kau masih memilih untuk berkahwin dengan aku? Boleh je kau tolak pinangan mak aku dulu,” Azad angkat kening. Dia merapatkan wajahnya ke wajah Jasmin. “Hidup ini adalah tentang pilihan. Kau memilih, dan kau akan bertanggungjawab ke atas pilihan kau tu.”
“Ya, betul,” Jasmin tahu, suaminya itu sedang melakukan provokasi terhadapnya. Ini bukan kali pertama. Dia sudah biasa.
“Dah tu?”
“Pilihan saya juga untuk menunggu 3 tahun lagi,” jawapan Jasmin kedengaran tegas. Membuatkan Azad telan liur. Namun dia tidak mahu mengalah. “Kenapa nak kena tunggu 3 tahun?”
“Kita baru kahwin enam bulan. Takkan nak bercerai seawal ini? Nanti apa pula orang kata. Penat kenduri belum habis lagi, dah bercerai,” ujar Jasmin. Cepat-cepat dia menyambung apabila Azad ingin mengatakan sesuatu. “Saya tak mahu mak saya terkejut. Dia ada sakit jantung.”
“Tapi aku tak cintakan kau. Aku cintakan orang lain. Kau tahu, kan?”
“Tahu,” jawab Jasmin sepatah. Dia tarik nafas dalam-dalam. “Sebab itu jugalah, saya nak bagi keizinan pada awak.”
“Keizinan untuk apa?”
“Untuk awak kahwin dengan cinta hati awak tu.”
Lidah Azad kelu tidak terkata.
*****
“Masuklah, Wati,” pelawa Azad. Wanita itu melangkah masuk dengan penuh berhati-hati. Azad ketawa kecil melihat ulah isterinya itu.
Ya, isteri. Wati yang dicintainya atas izin Jasmin sendiri. Keizinan yang membawa syarat, mereka harus tinggal bersama bagi mengelak kecurigaan kedua belah pihak.
“Mana isteri tua abang?” tanya Wati, memudarkan lamunan Azad. Lelaki itu memandang sekeliling. “Entah. Tak nampak pula bayangnya.”
“Macam ni ke perangai seorang isteri? Tak ada di rumah untuk sambut suami bila balik.”
“Apa dia?”
“Ah, tak ada apa-apa,” Wati sedikit gugup. “Abang, Wati janji Wati akan sentiasa sambut abang di muka pintu bila abang balik kerja lepas ni.”
Azad senyum. Wajah manis Wati dielus lembut. “Bahagia abang bila Wati dah sah jadi isteri abang.”
“Jadi isteri, tapi tak ada kenduri,” Wati senget bibir. “Kita dah macam kahwin lari, tau. Wati tahu la Wati ni tak ada keluarga, tapi…”
“Dahlah, jangan bersedih lagi,” sampuk Azad lembut. “Abang kan ada. Kita akan bina keluarga yang bahagia bersama-sama, ya sayang?”
“Okey…,” jawab Wari acuh tidak acuh. Mereka terus bermesra di ruang tamu itu, sehingga terdengar deheman di muka pintu. Lantas mereka menoleh.
“Jasmin!”
“Dah lama ke korang sampai?” tanya Jasmin, cuba berbasa-basi “Maaflah. Rumah bersepah sikit. Tak sempat nak kemas.”
“Dari mana ni?” tanya Azad. Cuba menunjukkan kekuasaannya di hadapan Wati. Cuba menguatkan cengkamannya terhadap Jasmin. Aku masih suaminya!
“Dari pejabat pos. Hantar barang,” jawab Jasmin perlahan. “Abang dah makan? Saya belum masak lagi. Abang nak saya masak apa?”
“Tak perlu! balas Azad keras. “Aku makan dengan Wati je nanti kat luar. Wati!”
“Ya, abang,” suara Wati kedengaran manja sambil berjalan menghampiri suaminya. Pandangan jelek dilemparkan terhadap Jasmin, namun wanita itu tidak menyedarinya.
“Kau masak, kau makanlah sendiri,” kata-ata Azad berbaur arahan. Wati senyum sinis sebelum mengikuti langkah suaminya keluar dari rumah itu. Jasmin menghelas nafs berat dan mengitari pandangannya ke sekeliling rumah itu.
“This too, shall pass.”
Jasmin menutup kelopak matanya, saat pandangannya terasa mulai kabur. Titis-titis air mata mengalir laju menuruni pipi. Kemudian dia teringat sesuatu.
“Aku puasa la hari ni. Buat apa aku nak masak tengah hari ni? Baik aku masak nanti je untuk berbuka,” Jasmin senyum nipis.
“Alhamdulilah.”
*****
“Kau masih mampu bertahan?” tanya Diyana tidak percaya. “Kalau akulah kan, dah lama aku minta cerai. Tak pun, aku amuk je kat perempuan tu. Berani betul dia kacau suami orang.”
“Dan mengejutkan keluarga aku dengan berita macam tu?” tanya Jasmin kembali. “Kau tahu kan keadaan kesihatan mak aku macam mana?”
“Tapi kau yang tersiksa, Jasmin. Aku…!”
“Tiga tahun cukup untuk aku bersedia,” potong Jasmin pantas. “Itu lebih dari cukup.”
“Dah tu, kenapa kau benarkan dia kahwin lagi?”
“Kau nak tengok dia buat maksiat?” pertanyaan Jasmin membuatkan Diyana terdiam. “Kalau sesuatu yang buruk terjadi, aku akan turut merasa berdosa sebab akulah penyebabnya aku jadi begitu.”
“Kau ni…,” Diyana mati kata. Tergeleng kepalanya mendengar kata-kata Jasmin. “Kenapa kau ni baik sangat?”
“Tak apalah.”
“Apa pun alasan kau, aku tetap tak setuju kau bertindak macam tu. Kau hanya akan melukai hati kau sendiri!”
“Tak apalah. Aku kuat.”
“Persoalannya, sampai bila?” tanya DIyana lagi. “Mampukah kau tetap kuat hingga ke akhirnya?”
“Sudah tentu mustahil,” jawab Jasmin. “Tapi aku akan tetap cuba untuk berdiri meskipun jatuh berkali-kali.”
“Ada je idea kau kan, nak patahkan ayat aku?” Diyana senyum senget. Tidak puas hati. “Tahulah kau pelajar terbaik sastera masa sekolah dulu.”
Ketawa Jasmin mendengarnya. Sedikit, namun cukup untuk meredakan hati yang lara. Dia gapai tangan gadis itu lembut.
“Janji dengan aku, Diyana. Janji dengan aku, kau akan sokong aku dan sentiasa bersama aku walau apa jua keputusan yang aku ambil.”
“Apa yang aku boleh kata? Kau kan kawan baik aku,” Diyana angkat kening. “Kau tahu mana nak cari aku kalau jadi apa-apa. Aku akan selalu ada untuk kau. Mungkin akan diiringi bebelan barang sebakul dua.”
Jasmin ketawa lagi. “Apalah sangat dengan bebelan kau tu. Dah jadi halwa telinga aku dah. Bertahun kot aku kawan dengan kau.”
“Terima kasih.”
“Sama-sama. Macam mana dengan rancangan kau? Berjalan lancar?”
“Alhamdulilah.”
*****
“Kadang kala yang berbicara itu bukan lidah tapi hati yang pasrah.
Kadang kala yang menangis itu bukan lahir dari mata. Tapi terlahir dari jiwa yang tercalar.
Kadang kala yang terhiris itu bukannya jari, tapi naluri yang teramat sepi.
Kadang kala yang melangkah itu kaki, tapi yang menahan itu adalah hati.”
Bam!
Tergamam Jasmin melihat Azad muncul di pintu biliknya. Wajahnya keruh. membuatkan kening Jasmin bercantum. “Abang okey ke? Nak saya buatkan kopi?”
“Apa motif kau tulis status macam tu kat facebook?” tanya Azad garang, tanpa menjawab pertanyaan Jasmin. “Apa yang kau nak bagitahu orang sebenarnya?”
“Facebook?” tanya Jasmin bingung. “Oh, status pagi tadi tu ke?”
“Banyak mana kau tulis status macam tu?” tanya Azad kembali. “Kau memang sengaja nak jatuhkan aku, kan?”
“Niat saya hanya untuk berkongsi madah bicara. Mana tahu, ada orang yang mengalami situasi macam yang saya tulis tu. Salah ke?”
“Memang salah!” bentak Azad keras. “Ayat tu nampak macam kau nak jatuhkan aku. Seolah-olah, aku yang jahat, aku yang kejam. Aku yang salah sebab sakitkan hati kau!”
“Er…”
“Kalau bukan sebab Wati yang bagitahu aku, agaknya sampai sekarang aku tak tahu apa yang kau buat, kan?”
“Oh…,” Jasmin sedikitpun tidak terasa dengan nada suara suaminya. “Rupanya Wati yang bagitahu abang. Ingatkan abang tahu sendiri. Sebab setahu saya, abang tak ada Facebook.”
“Memang dia yang bagitahu aku. Dia isteri aku. Dia jaga aib aku. Bukan macam kau!” Tersentak Jasmin mendengarnya. Jaga aib?
“Sepatutnya aku tak setuju dengan cadangan kau untuk tiga tahun tu. Patutnya aku ceraikan saja kau masa nak kahwin dengan Wati dulu. Makin aku tengok muka kau, makin aku sakit hati!”
“Satu setengah tahun je lagi, abang. Lepas ni, kita boleh bawa haluan masing-masing. Mak saya un dah semakin sihat.”
“Huh!” Azad mendengus. “Jangankan setahun setengah, setengah jam lagi pun aku dah rasa rimas. Menghadap kau sekarang ni pun, aku dah benci.”
“Baguslah macam tu. Sekurang-kurangnya saya tahu siapa yang membenci saya. Walaupun suami saya sendiri.”
“Padamkan status tu. Kau kena dengar cakap aku. Kau masih isteri aku. Kau kena jaga aib aku!”
“Isteri?” tanya Jasmin. “Awak suami saya, kan Ada awak jalankan tanggungjawab awak sebagai suami saya?”
Azad mati kata.
*****
“Ala abang. Boleh la,” Wati bersuara manja. “Kereta tu tak pernah bertukar ganti sejak kita kahwin. Dah rosak sana sini. Daripada baiki, baik beli yang baru.”
“Sabarlah sayang,” Azad memujuk lagi. “Bila kita ganti kereta tu nanti, kita beli kereta yang lebih besar, lebih cantik.”
“Tak nak la ganti kereta. Nak beli kereta baru.”
“Buat apa simpan kereta lama kalau asyik rosak?” tanya Azad. “Lagipun, abang mana mampu nak bayar dua kereta.”
“Abang ni!: Wati memuncungkan mulutnya. “Mentang-mentang la Wati ni cuma isteri kedua. Macam ni je abang layan Wati.”
“Bukan macam tu.”
“Habis tu?”
“Abang tak tahu pun Jasmin beli kereta tu,” ujar Azad. “Memang dia ada bagitahu hari tu, tapi abang ingatkan dia nak ganti kereta.
Tergamam Azad apabila sebuah kereta bernombor pendaftaran baru diparkir di kawasan rumahnya. Belum sempat dia menjawab apa-apa, Jasmin muncul dengan senyuman manis di bibir.
“Kereta siapa tu?”
“Kereta sayalah. Kenapa?”
“Kereta kau?” Wati mencebik. “Kau beli kereta? Mana kau mampu! Kereta kau yang sekarang ni pun, suami aku yang belikan, kan?”
“Suami awak, suami saya juga,” balas Jasmin selamba. “Kereta lama tu dah habis bayar dah pun. Lagipun, kereta baru ni saya beli guna duit sendiri. Atas usaha sendiri.”
“Kau perli aku?”
“Saya tak cakap apa-apa pun. Abang…,” rengek Wati manja. “Dia perli saya sebab saya tak kerja. Dia pun, bukannya bekerja. Berlagak je lebih.”
“Kau kerja ke?” tanya Azad.
“Ya.”
“Kat mana? Gaji, elaun semua berapa? Kenapa kau tak pernah bagitahu aku?”
“Saya dah minta izin abang untuk bekerja. Abang juga yang suruh buat apa yang saya suka. Abang tak nak tahu apa-apa,” terjegil mata Azad mendengar jawapan Jasmin. “Kau!”
“Saya minta maaf kalau kata-kata saya menyinggung perasaan kamu berdua. Saya masuk dulu,” Azad hanya memandang sehingga bayang Jasmin hilang di balik pintu.
“Abang dengar tak apa yang sayang cakap ni?” tinggi nada suara Wati mengejutkan Azad daripada lamunan. Tidak tentu arah dia melihat Wati menarik muka masam.
“Dah tentulah abang dengar apa yang sayang cakap. Tapi, macam yang abang cakap tadi, abang tak mampu. Nanti-nantilah!”
Azad bangkit dan meninggalkan Wati yang terus-terusan menghentak kakinya, marah.
*****
“Aku tak sangka kau boleh buat macam tu!” ujar Diyana buat kesekian kalinya/ “Aku boleh bayangkanlah muka Wati tu macam mana.”
“Aku tak tengok pun muka dia. Tak ada keperluan pun.”
“Kalau aku jadi kau, aku akan tengok muka dia puas-puas,” Diyana tersandar, puas. “Aku yakin lepas ni dia akan minta kereta yang sama besar macam kau punya.”
“Dia dah minta dah pun.”
“Ye ke?” buntang mata Diyana mendengarnya. “Tak habis-habis lagi?” Hari tu bukan ke kau cakap dia minta Azad belikan dia komputer riba? Apa yang dia buat dengan benda alah tu?”
“Entah,” Jasmin angkat bahu. “Kali terakhir aku tengok, komputer riba, ada atas meja. Tak berusik langsung.”
“Dah berhabuk la tu,” Diyana senget bibir. “Nampak sangat dia dengki dengan kau. Apa yang kau ada, semua dia nak juga. Bukannya guna sangat pun.”
“Tak baik berburuk sangka. Mungkin dia benar-benar memerlukannya,” pangkah Jasmin lembut. “Kita fokus je kerja kita. Jangan peduli dengan orang lain.”
“Kuat dan sabarnya kau.”
“Sabar itu bukan wujud semulajadi, Diyana,” ujar Jasmin. Ia dilatih dengan kesakitan, kehilangan dan penderitaan. Orang yang sabar paling banyak terluka dan sakit.”
“Allah mendatangkan ujian untuk menguatkan kita. Bahkan sebenarnya jika kita berdosa. Ujian itulah kifarah dosa-dosa kita. Sakit itu penghapus dosa-dosa kita. Terimalah ujian dari Allah ini dengan redha. Walau ada waktunya kadang-kadang kita tak mampu untuk kuat.”
“Betul juga cakap kau tu,” terangguk-angguk Diyana mendengar madah bicara Jasmin. “Ujian tu datang setiap hari. Kadang ujian tu tak datang secara terus, ia mungkin datang melalui ujian orang lain. Macam kau dengan aku la.”
“Pulak…” geleng kepala Jasmin melihat Diyana ketawa. “Sempat lagi kau kenakan aku ya? Aku baru nak rasa insaf dengar kata-kata kau.”
“Ala, asyik kau je bermadah. Aku pun nak juga. Best pula rasanya,” jawab Diyana setelah tawanya reda. “Eh, minggu lepas kau balik kampung kan? Apa khabar mak kau?”
“Alhamdulilah, dia sihat.”
“Kau dah bagitahu ke tentang apa yang berlaku dalam rumahtangga kau?” mati kata Jasmin mendengar pertanyaan Diyana. Dia mengeluh halus. “Dah.”
“Mak kau tak terkejut ke?”
Minda Jasmin terus melayang, mengingati pertemuan dengan ibunya tempoh hari. Masih jelas di matanya reaksi ibu tua itu. “Kau dah fikir masak-masak, Min?”
“Orang dah tak sayangkan kita, mak. Buat apa kita tunggu lama-lama. Mak pun dah makin sihat.”
“Bahagia tu atas kamu, Min. Bukan atas orang lain. Tak perlu tunggu sampai mak sihat baru kamu nak bertindak.”
“Mak pun bahagia Min juga. Kalau sebab Min, jadi apa-apa kat mak, masih bahagiakah Min?”
“Kalau hati sendiri yang sakit, nak bahagia bagaimana lagi, Min?”
“Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” suara Diyana memecahkan lamunan Jasmin. Dia senyum nipis. “Termenung la tu. Meh tolong aku ni. Tadi kau yang suruh fokus, kan?”
Pecah tawa Jasmin mendengarnya.
*****
Wati mencampakkan telefon pintarnya ke sofa. Dia mendengus keras. Nafasnya turun naik. Bengkak hatinya apabila mendengar perkhabaran dari salah seorang rakannya.
“Kau tak tahu ke? Jasmin tu sekarang dah lebih berjaya daripada kau, tahu? Jualan produk kosmetik dia tu, dah mencecah lima angka. Yang terkini, aku dapat tahu dia tengah sambung belajar.”
“Sambung belajar?” Wati senyum sinis. “Nak kasih sama tahap diploma dengan aku ke?”
“Diploma apanya? Dia sekarang tengah sambung ijazah sarjana, tau! Lebih tinggi daripada kau. Sebab tu aku cakap, dia lagi berjaya daripada kau!”
“Kenapa aku dah lama tak nampak dia dalam Facebook? Dia dah sekat aku ke?”
“Eh, kau berkawan dengan dia ke?”
“Tak la, tapi….”
“Dah tu?” sampuk rakannya itu di hujung talian. “Kau memang stalker yang berjaya la. Tapi, sekarang ni dia dah jarang buat hantaran kat profil dia. Hanya sesekali saja. Tapi sekali buat hantaran, memang meletup la!”
“Argh!” Wati menjerit lagi. Dia benar-benar terkesan dengan berita yang baru diterimanya. Gelagatnya disedari oleh Azad yang baru keluar dari bilik. “Sayang kenapa? Ada apa yang tak kena?”
“Oh, abang…,” serta-merta Wati berubah watak. “Abang dah mandi? Hurm, kacaknya suami saya ni…”
“Sayang marah-marah tadi kenapa?” Azad melabuhkan duduknya di sebelah wanita itu. Pertanyaan Wati sebentar tadi tidak dipedulikan. “Sayang tak sihat ke?”
“Okey je…”
“Dah tu?”
“Abang…,” rengek Wati kembali. “Kalau saya nak sambung belajar, boleh?”
“Kenapa tiba-tiba ni? Bukan ke sebelum ni sayang paling malas nak belajar. Hari tu masa diploma pun, keputusannya hanya cukup-cukup makan, kan?”
“Tapi boleh sambung belajar, kan?”
“Boleh. Tapi bukan ke sayang dah janji dengan abang, nak jadi isteri yang taat setia dengan abang. Nak sambut abang di muka pintu setiap kali abang balik kerja. Kalau Sayang dah sibuk belajar nanti, macam mana nak buat semua tu?”
“Abang ni….”
“Lagipun, abang tak mampu nak tampung pengajian Sayang nanti. Banyak nak pakai duit nanti. Kita kan baru tukar kereta.”
“Abang tak sayangkan Wati ke?”
“Bukan tak sayang. Tapi cubalah sayang fahami situasi abang sekarang ni. Abang masih ada dua isteri. Ingat tu.”
Muncung Wati panjang sedapa mendengar kata-kata Azad itu.
******
"Dari mana je kau ni, Jasmin?" jerkah Azad apabila melihat kelibat wanita itu di muka pintu. "Dah pukul berapa ni, baru nak balik?"
"Saya ada perbincangan tadi," jawab Jasmin perlahan. "Saya dah cuba telefon abang, tapi tak berjawab. Jadi saya hanya tinggalkan mesej. Belum abang baca, kan?"
"Mesej apa? Aku tak dapat apa-apa mesej pun!" bentak Azad keras membuatkan Jasmin terkejut. Segera dia menyemak telefon pintarnya. "Saya mesej abang jam 2.45 petang tadi. Ada mesejnya ni. Masih saya simpan. Ni!"
"Ah, temberang je kau tahu, kan?" Azad tepis kuat tangan Jasmin yang ingin menunjukkan skrin telefon pintarnya. Jasmin tergamam. "Apa abang ni?"
"Kau ingat aku tak tahu yang kau ada hubungan sulit kat luar tu?" mata Azad merah menyala. "Cakap dengan aku, dengan jantan mana kau menyundal? Cakap!"
"Abang jangan nak tuduh saya bukan-bukan. Saya masih isteri abang. Saya ingat kenyataan tu!"
"Kenyataan apa?" suara Azad makin tinggi. "Bukan main lagi kau ya. Isteri solehah kononnya. Sanggup bagi aku kahwin lagi sebab nak elak maksiat. Hakikatnya, dia lagi ligat!"
Hampir meletup Jasmin mendengar kata-kata Jasmin. Namun sebentar kemudian dia urut dada. Cuba mencari ketenangan di sebalik asakan Azad. Dia pejam mata seketika.
"Nampak baik, padahal dia lagi teruk," suara Wati kedengaran di belakang Azad. Jasmin buka mata. Wajah sinis Wati direnung tajam. "Awak main tuduh begini, ada bukti ke?"
"Bukti dah cukup kuat kat luar tu," Wati juih bibir ke luar rumah. Berkerut dahi Jasmin mendengarnya. "Maksud kau?"
"Kereta tu, siapa yang belikan?"
"Saya beli sendiri, atas usaha sendiri."
"Bohong!" suara Azad bergema di ruang tamu itu. "Baik kau bagitahu aku, siapa yang taja kau sampai kau mampu beli kereta semewah tu. Cakap!"
"Taja?" tanya Jasmin kembali. "Awak ingat saya tak ada agama ke apa? Tak tahu halal haram? Awak ingat saya tak ada keluarga?"
"Mulut tu jaga sikit, Jasmin!"
"Awak diam, Wati," tegas suara Jasmin buat Wati kecut perut. "Awak kan yang cucuk abang Azad?"
"Jangan main tuduh, okey!"
"Sudah!" suara Azad kembali bergema. Suasana hening seketika. Keruh wajahnya memandang Jasmin. "Siapa yang taja kau sambung belajar?"
Jasmin beristighfar panjang. "Saya sambung belajar atas usaha saya sendiri. Saya kumpul duit, dari saya kerja. Lebih dari satu kerja. Prestasi saya di pejabat memuaskan hati majikan saya dan mereka dapatkan biasiswa untuk saya sambung belajar."
"Kau jangan nak bohong la. Kau pun bukannya bagus sangat. Setakat diploma je kan? Sama macam Wati?"
"Dah berapa lama abang kahwin dengan Wati?" tanya Jasmin tiba-tiba. Azad terkedu. "Kenapa tiba-tiba tanya?"
"Dah berapa tahun?"
"Tiga tahun. Kenapa?"
"Dan sepanjang tiga tahun ni jugalah, abang abaikan saya. Abang tak pedulikan saya. Abang buat saya macam orang asing dalam rumah ni," Jasmin kerling Wati sekilas. "Ye la, dah ada isteri baru. Isteri lama dilupakan."
"Kau cakap apa ni?"
"Saya minta izin abang buat itu, buat ini. Apa abang cakap? Abang cakap 'Buatlah apa yang kau suka, aku dah tak ambil peduli dah'. Dan abang langsung tak sedar, abang yang izinkan saya sambung belajar hingga ke peringkat ijazah."
"Apa?"
"Ya. Sudah tiga tahun. Seperti dalam perjanjian kita," Jasmin menghela nafas berat. "Nanti datang la ke pejabat agama. Kita uruskan penceraian kita."
"Apa?"
*****
"Kekadang Allah menyempitkan, supaya kita tak hanyut dalam kesenangan. Kekadang Dia melapangkan supaya kita tak selalu dipagut kesempitan . Kekadang Dia melepaskan kita dari kedua-duanya, supaya tidak bergantung kepada sesuatu selain-Nya"
Jasmin melangkah perlahan keluar dari kompleks mahkamah itu. Langsung tidak menoleh ke belakang. Panggilan oleh Azad langsung tidak dipedulikan.
“Sayang!” terasa tangannya direntap kuat, membuatkan dia terkejut. Berkerut dahinya memandang Azad. “Awak ni kenapa?”
“Awak? Bukan lagi abang seperti dulu?”
“Awak bukan lagi suami saya. Jadi apa perlu saya panggil awak begitu?” tanya Jasmin kembali. “Saya perlu wujudkan jarak antara kita, untuk elak fitnah. Kita dah bercerai, tapi Wati masih isteri awak. Jadi, awak perlu jaga hati dia.”
“Jaga hati?”
“Ya, salah satu perkara yang awak tak pernah buat kat saya sepanjang kita jadi suami isteri,” jawab Jasmin lagi. Terasa longgar cengkaman tangan terhadapnya. Dia menarik tangannya perlahan.
“Kita tak boleh jadi seperti dulu ke, sayang?”
“Awak sendiri cakap, Wati cinta pertama awak. Perkahwinan kita adalah satu kesilapan. Awak kahwin dengan saya hanya demi keluarga,” sengaja Jasmin mengulang kata-kata Azad satu ketika dahulu.
“Sayang….”
“Sebagai isteri, saya cuba untuk mencintai awak dan menyayangi awak. Tapi hati saya hancur bila awak cakap macam tu,” sambung Jasmin lagi. “Hati saya tertutup untuk awak saat saya izinkan awak kahwin dengan Wati.”
“Bagi saya satu peluang lagi, sayang,” suara Azad sudah separuh merayu. “Setiap orang berhak diberikan peluang kedua, kan?”
“Bukan semua orang berhak diberikan peluang kedua,” balas Jasmin. “Kalau kita kembali bersama, apa akan jadi dengan Wati?”
“Kita boleh mulakan hidup baru,” Azad cuba gapai tangan Jasmin namun gagal. “Berilah abang peluang kedua.”
“Kalau kita kembali bersama, awak janji awak akan berlaki adil?”
“Boleh! Saya janji.”
“Maaf, saya tak percaya dengan janji awak,” kata-kata Jasmin buat Azad terkedu. “Sebelum ni pun, berapa banyak janji awak pada saya yang awak tak tunaikan?”
“Sayang…”
“Selamat berbahagia dengan Wati, Azad. Assalamualaikum,” Jasmin tidak mahu menunggu lama lagi. Dia terus melangkah menuju ke parkir kereta. Panggilan Azad sudah tidak dipedulikan. Dia terus meloloskan diri ke perut kereta.
“Dia tu dah kenapa dah macam gila talak?” tanya Diyana yang setia menanti di kerusi pemandu. Jasmin tersenyum. “Dia tuntut harta sepencarian. Aku tolak, sebab aku bagi bukti yang dia abaikan aku sepanjang perkahwinan kami.”
“Dan?”
“Harta yang ada pada dia, hanyalah sebuah kereta. Yang lain, semuanya aku punya,” tercengang Diyana mendengar penjelasan Jasmin. Kemudian dia ketawa.
“The best revenge I ever heard!”
*****
“Tahniah, Jasmin!” ucap Diyana sebaik sahaja melihat wanita itu muncul dengan jubah konvokesyen. “Tak sangka aku, kau dah berjaya menggenggam segulung ijazah.”
“Alhamdulilah, terima kasih. Kau juga banyak membantu,” tidak lekang senyuman dari bibirnya. “Kalau kau tak ada, aku mungkin takkan sampai ke tahap ni.”
“Apa perancangan kau lepas ni?”
“PhD. Doktor Falsafah,” Jasmin senyum lagi. Terlopong Diyana mendengarnya. “Bukan main lagi kau ye?”
“Tak salah berimpian tinggi, kan?”
“Tapi aku bangga dengan kau. Bangkit setelah apa yang berlaku dalam hidup kau sebelu ni. Aku pun tak tahu apa yang akan jadi kalau semua tu jadi kat aku.”
"Kau pernah tengok pelangi tak?"
"Pernah,"
"Cantik tak?"
“Cantik, tapi tu la. Ia cuma hadir selepas hujan.”
"Haa, saya nak awak jadi macam pelangi. Tak selalu dilihat dan didekati. Tapi kalau dia tonjolkan diri, cantiknya memukau jiwa.”
“Hujan itu ujian yang datang dalam hidup kita. Pelangi tu bahagia yang muncul selepas ujian tu. Jadi yakinlah, akan ada keindahan setelah kesusahan.”
“Macam kenal je ayat terakhir tu.”
“Ada dalam Al Quran. Surah Al Insyirah, ayat 5 dan 6,” senyuman Jasmin memudar saat melihat kelibat seseorang di kejauhan. Diyana menyedarinya, dan kemudian menoleh.
“Dah berapa lama dia di situ?”
“Entah,” jawab Jasmin.
“Betul la dia ni dah gila talak,” komen Diyana. “Dari lepas korang bercerai, asyik ikut kau je ke mana kau pergi. Sampai kau terpaksa buat laporan polis sebab kau rasa tak selamat. Tapi dia masih tak sedar.”
“Bila Azad dah tak ada banyak harta, Wati pula minta cerai. Katanya, tak nak susah bersama. Kereta yang Azad belikan untuk dia tu, bank dah tarik balik sebab dia dah lama tak bayar. Mata duitan rupanya perempuan tu.”
“Wati kat mana sekarang ni?”
“Hilang tanpa dikesan,” jawab Jasmin. “Aku memang tak ambil peduli pasal dia, kan? Biarkanlah dia.”
“Macam tu je?”
“Bunga itu tidak pernah terfikir untuk bersaing dengan siapapun, ia hanya akan terus berbunga.
Hidup kita, jika dibandingkan dengan kehidupan orang lain, hanya akan membuatkan kita lemah, rasa tidak bersyukur. Kenapa dia lebih, kenapa kita kurang.
Kita teruskan kehidupan. Tidak perlu bersaing. Qona'ah. Redha. Syukur. Usaha dan bertawakkal kepada Allah,” Jasmin senyum lagi.
“Jasmin dan madah bicara tidak dapat dipisahkan,” Diyana angkat kening. Jasmin hanya mampu ketawa.
TAMAT