Sunday, August 15, 2021

Cerpen : Bunga

 




“Dah pukul berapa sekarang ni?” tanya Zahra sendiri. Dia menggeliat seketika sebelum jam tangan dikerling perlahan. Pukul 11.30 malm. Patutlah aku rasa mengantuk.” 


“Ah, kau! Pukul 11.30 pagi pun kau tetap mengantuk!” kutuk Hanisah, rakan sekerjanya. Zahra hanya ketawa. “Apalah kau ni, Zahra. Tak bujanglah tidur awal.” 


“Fahaman mana pula kau percaya ni?” 


“Adalah,” Hanisah kenyit mata. Geleng kepala Zahra melihatnya. “Macam-macamlah kau ni, Hanisah oi…” 


“Alah, rilekslah. Masih malam kan. Belum lagi tengah malam. Belum lagi pagi,” Hanisah senyum. “Kalau dah masuk pukul 12, barulah dikira tengah malam. Kalau dah masuk pukul 1, dah dikira pagi.” 


“Mana kau belajar semua ni?” 


“Adalah.” 


“Eleh, macam la aku tak tahu yang kau belajar semua tu dari TikTok.” 


“Mana kau tahu?” 


“Adalah!” Zahra ajuk kembali kata-kata Hanisah membuatkan dia ketawa. “Pandai betul kau, kan?” 


“Mestilah. Aku kan…,” kata-kata Zahra terhenti apabila telefon pintarnya menjerit nyaring. Hanisah mengintai seketika ke arah peranti tersebut. “Kekasih?” 


“Merepek la. Kau sendiri tahu kan, aku tak ada kekasih. Nak bercinta apanya, asyik kerja je. Dengan kau pula tu!” 


“Mana la tahu, kau berhubungan di belakang aku. Nak sorok kekasih kau. Mana tahu dia lebih kacak dari pelakon lelaki terhebat Malaya. Lebih kacak daripada Azim….” 


“Dah mula la mengarut dia tu,” Zahra senget bibir. Telefon pintarnya berdering lagi saat Hanisah berlalu ke tandas. Lambat-lambat Zahra menjawab panggilan tersebut. 


“Helo,” sapa Zahra. Tiada jawapan. Zahra cuba lagi. “Helo.” 


Masih tiada jawapan. Zahra mula bengang. “Helo, di sana. Kalau sekadar telefon sekadar menghabiskan kredit, baik telefon orang lain. Saya ni di pejabat, masih bekerja.” 


“Helo, Zahra. Dah lama aku tak jumpa kau.” 


Garau suara kedengaran di hujung talian. Zahra tergamam. Pucat wajahnya. Hampir terlepas telefon pintas dari pegangan. 


“Khabir?” 


***** 

Khabir menyeringai sambil mengenakan kembali pakaiannya. Wajah Zahra yang basah dengan air mata dipandang penuh makna. Perlahan dia mendekati gadis itu. 


“Jangan sentuh aku!” jerit Zahra kuat. Membangkitkan kemarahan Khabir. Tengkuk gadis itu dicengkam kasar. “Kau!”


“Lepaskan aku…,” rintih Zahra dalam kesakitan. “Kenaa kau buat aku macam ni?” 


“Kau terlalu cantik untuk dilepaskan,” bisik Khabir dalam-dalam. “Dan aku sukar melepaskan perempuan cantik macam kau.” 


“Kau lupa ke aku siapa?” 


“Aku takkan lupa. Sampai mati pun akan aku ingat!” 


“Tergamaknya kau…” 


“So what?” 


“Kau tak kesiankan Syukri ke?” 


“Aku peduli apa. Aku suka, aku nak, dan aku akan dapat,” Khabir ketawa jahat. “Aku peduli apa dia milik siapa.” 


“Syukri tu anak saudara kau!” 


“Tapi aku yang jamah kau dulu, kan?” Khabir ketawa lagi. “Tapi, aku kesian juga kat dia. Yang dia dapat hanya sisa aku. Kesian…” 


“Binatang!” Zahra cuba tolak Khabir dengan kuat namun gagal. Sebaliknya, cengkaman lelaki itu semakin kuat. 


“Kau nak lari ke mana?’ 


“Jahanam!” sejurus, cengkaman Khabir terlerai. Lelaki itu terperosok ke sudut lain di bilik itu. Seorang lelaki muncul dengan mata yang merah menyala. 


“Syukri…,” panggil Zahra, lemah. Syukri pantas menoleh. Spontan dia menanggalkan jaket yang dipakainya lalu disarungkan kepada gadis itu.


“Hero dah sampai…,” 


“Zahra ni bakal tunang Syukri, paksu. Tergamak paksu buat macam ni kat kami?” 


“Dia cantik, aku tak boleh tahan…,” Khabir ketawa lagi. Syukri mengesan sesuatu. “Paksu ambil dadah ke?” 


Hanya tawa Khabir yang kedengaran. Langsung dia tidak menjawab pertanyaan Syukri. Namun Syukri tidak perlukan jawapan itu. Keadaan lelaki tiu sendiri sudah menjawab segala-galanya. 


“Zahra…,” Syukri menoleh. Sayu hatinya melihat keadaan gadis itu sekarang. “Masih boleh berjalan? Kalau boleh, bangun.”


Arahan Syukri buat Zahra dongak kepada. “Kita nak ke mana?” 


“Kita buat laporan polis!” 


***** 

Berkerut dahi Azim melihat notifikasi yang diterima menerusi telefon pintarnya. “Panggilan tidak dijawab daripada Zahra?” 


Seingatnya, sudah lama gadis itu tidak menghubunginya. Sejak mereka memutuskan untuk membawa haluan masing-masing, dan Azim mengahwini Saira. 


Jadi apa perlunya lagi semua ini?


Lama berfikir, Azim akhirnya mendail nombor gadis itu semula. Sebaik panggilannya bersambut, dia terus bertanya, “Awak salah tekan nombor telefon ke apa ni?”


“Azim, tolong Zahra!” suara cemas di hujung talian membuatkan lelaki itu tersentak. “Apa yang berlaku ni?” 


“Azim… oh, maaf,” kendur suaranya di hujung talian. “Zahra lupa, Azim dah berkeluarga. Tak apalah.” 


“Zahra, apa yang berlaku sebenarnya ni? Cuba cerita pada Azim!” 


“Tak… tak apalah. Zahra tak mahu ganggu keluarga Azim,” pantas talian dimatikan. Azim cemas. Cepat-cepat dia bersiap. 


“Abang nak ke mana ni?” tanya Saira. “Dah tengah malam ni.” 


“Abang nak jumpa kawan abang kejap. Ada kecemasan katanya.” 


“Kecemasan apa?” 


“Entah. Dia tak sempat cakap apa-apa,” balas Azim. “Awak tidur dulu ya. Tak payah tunggu abang balik. Tak tahulah abang balik pukul berapa ni.” 


“Kawan abang tu lelaki ke perempuan?” 


“Saira…,” ubun-ubun wanita itu dielus lembut. “Awak tak percayakan abang ke? Kalau bukan sebab kecemasan, abang tak keluar waktu begini.” 


Saira diam. “Hati-hati, abang.” 


“Baik,” Azim terus keluar rumah. Di dalam kereta, Azim cuba menghubungi Zahra namun tidak berjawab. Azim semakin resah. Aplikasi khas dibuka dan lokasi nombor telefon Zahra cuba dikesan. 


“Apa yang jadi pada awak ni, Zahra?” 


Azim memandu dengan penuh hati-hati. GPS yang menunjukkan lokasi Zahra diikuti sebaik mungkin. Dari jauh, dia melihat kelibat gadis itu bersama seorang lelaki. Wajah Zahra kelihatan sangat takut. Pantas dia membunyikan hon. 


Zahra terkejut mendengar bunyi hon itu. Lagi terkejut melihat kereta Azim. Cepat-cepat dia berlari, masuk ke dalam kereta Azim. “Awak buat apa kat sini?” 


“Saya takut awak dalam bahaya. Saya cuma nak pastikan awak selamat.” 


“Terima kasih,” mata Zahra berkaca. Azim nampak itu. Dia terus memandu meninggalkan kawasan itu. Bayang lelaki yang cuba mengganggu Zahra dijeling sekilas menerusi cermin. Nampak lelaki itu marah dengan apa yang berlaku. 


“Siapa dia tu?” tanya Azim. Zahra tidak menjawab. Namun Azim perasan, tubuh gadis itu menggigil. “Dia cuba buat benda tak baik ke dengan Zahra?” 


“Er, tak ada apa-apa,” Zahra buang pandang ke luar kereta. “Dia… dia…” 


“Dia ke penyebab Zahra putuskan hubungan kita dulu?” 


“Saira tahu ke Azim dengan Zahra ni?” 


“Bukan itu persoalannya sekarang ni,” balas Azim. “Sekarang ni, siapa lelaki tu? Zahra macam kenal je dia. Dia membahayakan Zahra ke?”


“Azim, tolong jangan tanya lagi, boleh?” pinta Zahra. “Terima kasih sebab datang selamatkan Zahra, tapi tolong jangan apa-apa.” 


“Rahsia apa yang Zahra cuba sembunyikan ni?” tanya Azim. Zahra diam, tidak menjawab. 


***** 

Jam menunjukkan pukul 5 pagi. Namun riuh rendah di luar membuatkan Syukri tidak jadi menyambung tidurnya. Dia mendengus kasar, bangkit dari katil lalu melangkah keluar dari biliknya. 


“Syukri! Tengok siapa yang balik ni!” suara Rafidah, ibunya kedengaran teruja. Syukri tergamam. Dia ni… 


“Bila kau keluar dari penjara, Khabir?” Rafidah masih gembira dengan apa yang berlaku. Namun tidak bagi Syukri. Kembalinya Khabir bermakna… 


“Dah dua tiga hari dah saya keluar, kak long.”


“Kenapa baru hari ni nak balik sini?”


“Adalah urusan yang perlu diselesaikan. Jumpa kawan-kawan,” Khabir jeling tajam pada Syukri. 


“Khabir dah makan? Eh, kak long belum masak lagi. Subuh pun belum masuk lagi. Tapi ada la biskut kat dapur tu,” Rafidah bangkit dari duduknya dan melangkah ke dapur. “Syukri, boraklah dulu dengan paksu. Mesti banyak cerita tu. Dah lima tahun tak jumpa, kan.” 


Syukri mengeluh halus sebaik kelibat Rafidah menghilang di balik dapur. Perlahan dia melangkah mendekati Khabir. 


“Aku dah jumpa Zahra.” 


Mati langkah Syukri mendengar kata-kata Khabir. “Buat apa kau nak jumpa dia?” 


“Panggil aku paksu, Syukri. Hormat aku sebagai pakcik kau!” 


“Perlu ke aku masih hormat kau bila kau sendiri yang hancurkan rasa hormat tu?” 


Khabir ketawa kecil. “Aku dengar, namanya dah tak boleh disebut dalam rumah ni. benci benar mak kau dengan perempuan tu. Mana tidaknya, dia penyebab adik kesayangan mak kau ni masuk penjara.” 


“Kau…!” 


“Kalaulah dia tahu, kaulah orangnya yang sumbat aku ke dalam sana, agak-agak apa yang akan jadi ya?” 


“Apa yang kau dengki sangat dengan aku dan Zahra, hah?” makin keras nada suara Syukri. “Apa yang kau tak puas hati sangat? Ini baru hukuman dunia. Kalau hukuman akhirat nanti, macam mana?” 


“Mulut tu jaga sikit. Kau jangan nak ajar aku!” 


“Nampak sangat yang kau masih belum insaf lepas lima tahun dalam penjara tu,” Syukri geleng kepala. “Buat aku main risaukan tentang Zahra.” 


“Buat apa nak disebut-sebut lagi nama tu?” muncul Rafidah di muka pintu. “Aku dah cakap aku tak suka dengar nama tu dalam rumah ni!” 


Tapi mak, Zahra…!”


“Jangan sebut lagi nama tu!” suara Rafidah sudah naik satu oktaf. “Paksu kamu baru balik ni. Jangan rosakkan suasana dengan sebut nama dia!”


“Mak…!” 


“Sudah!” Rafidah tarik tangan Khabir menuju ke dapur. Sempat lelaki itu menjeling kepada Syukri. Jari telunjuk digariskan di bahagian leher. 


Syukri tergamam! 


***** 

Zahra merenung seketika gambarnya bersama Syukri yang diambil beberapa tahun lalu. Dia tersenyum kecil melihat wajah manis lelaki itu. Kenangan bersamanya kembali bermain di ruang minda. 


Namun senyumnya hanya seketika. Wajah Rafidah tiba-tiba muncul di ruang matanya. Wajah yang penuh dengan kemarahan, setelah Khabir dihukum kerana menganiaya Zahra. 


“Kurang ajar kau!” jerkah Rafidah ketika di luar kompleks mahkamah, selepas Khabir dijatuhkan hukuman. “Adik aku tu sebaik-baik umat, kau tahu! Berani betul kau tuduh adik aku yang bukan-bukan!” 


“Mak…,” Syukri cuba menahan Rafidah dari terus menarik tudung Zahra. “Kalau paksu tak salah, takkan dia dihukum?” 


“Ini sebab mulut dia yang celupar!” jerit Rafidah lagi, menarik perhatian orang ramai yang berada di kompleks itu. Zahra hanya mampu mendiamkan diri, menahan asakan demi asakan daripada Rafidah.


“Hei, perempuan! Kau dengar sini. Kau jangan ingat aku akan terima kau dalam keluarga aku. Kau jangan mimpi! Aku takkan maafkan kau. Sampai mati pun aku takkan maafkan kau!” 


Zahra kesat air mata yang mengalir. Peristiwa itu masih segar dalam ingatannya walau lima tahun berlalu. Kerana peristiwa itu, dia terpaksa memutuskan hubungannya dengan Syukri. 


“Tak ada cara lain ke?” tanya Syukri, tidak berpuas hati dengan keputusan itu. “Janganlah macam ni. Saya akan lindungi awak.” 


“Dan buat awak derhaka pada mak sendiri?” pertanyaan Zahra membuatkan Syukri terkedu. “Syurga tu di bawah telapak kaki ibu.”


“Habis, awak?” tanya “Hidup awak tak bermakna? Tak berharga? Sampai awak dihina macam ni?” 


“Tak apalah…” 


“Kita kahwin,” usul Syukri. “Kita kahwin kat Siam. Tak ada siapa yang akan tahu!” 


Laju Zahra menggeleng. “Jangan Itu ibu awak yang awak nak lawan tu. Saya tak nak awak jadi anak derhaka.” 


“Dah tu macam mana dengan kita?” 


“Mungkin kita tak ada jodoh,” terasa perit kata-kata itu keluar dari bibirnya. Namun dia terpaksa. Demi kebaikan semua. 


Deringan telefon yang kuat mematikan lamunan Zahra. Lambat-lambat dia melihat skrin telefon. Dia mengeluh seketika lalu menjawab panggilan tersebut. “Ya, Azim.” 


“Zahra betul okey i?” suara Azim kedengaran prihatin di hujung talian. Senyuman pahit terukir. “Betul, Zahra okey je.” 


“Azim risau, kalau lelaki tu muncul lagi,” 


“Tak perlu risau la, Azim. Insya Allah, Zahra selamat,” sedaya upaya Zahra meyakinkan lelaki itu, walau dia sendiri tidak pasti dengan keselamatannya. 


“Siapa lelaki tu, Zahra? Kenapa bila dia muncul, Zahra resah?” tanya Azim untuk kesekian kalinya. Zahra menghela nafas halus. “Tak perlulah Azim tahu.” 


“Azim perlu tahu. Sebab kalau bukan sebab dia, Zahra takkan telefon Azim malam tu,” suara Azim terdengar tegas di hujung talian. “Siapa dia? Apa yang dia pernah buat kat Zahra?”


“Dia pernah rogol Zahra!” 


“Apa?” 


***** 

“Baiklah, itu saja taklimat ringkas untuk hari ini. Ada apa-apa yang perlu ditambah?” tanya Zahra sambil memandang setiap orang yang berada dalam bulatan itu. Dia senget bibir melihat tiada respon daripada soalannya. “Betul tak ada soalan ni?” 


“Penerangan dari Zahra sudah cukup difahami. Ringkas, tapi padat,” ujar Azim. Tersipu-sipu Zahra mendengarnya. “Jangan puji lebih-lebih. Kembang nanti.” 


Beberapa orang di dalam bulatan itu berbisik sesama sendiri namun tidak dipedulikan. Selesai taklimat, mereka bersurai. Namun mereka masih tetap bercerita sambil memerhatikan kemesraan Zahra dan Azim. 


“Betul ke Zahra okey ni? Kalau tak sihat, Azim boleh suruh orang lain gantikan tugas Zahra,” tanya Azim penuh prihatin. 


“Betullah. Azim ni dah kenapa?” Zahra senyum nipis. “Jangan mesra sangat, Azim. Jadi bahan gosip orang nanti.” 


“Biarlah orang yang mengata.” 


“Tajamnya sebilah pedang hanya diketahui setelah digunakan. Tajamnya sepatah kata hanya diketahui setelah dituturkan,” Zahra senyum. “Kita mungkin takkan rasa apa-apa. Tapi Azim kena ingat, Azim ada isteri. Kalau dia dengar gosip tu, apa yang dia fikir nanti?” 


Azim angguk perlahan mendengar kata-kata Zahra. “Masih berbisa madah bicara Zahra. Macam masa dulu-dulu.” 


“Mula dah….”


“Mereka hanya boleh bercakap, tapi hanya kita yang tahu apa yang berlaku, kan?” 


“Diuji dengan fitnah itu sudah cukup berat, Azim. Janganlah beratkan ujian tu dengan menjadikan diri sendiri sebagai bunga-bunga fitnah.” 


Azim tersedar. Spontan dia menjarakkan dirinya daripada Zahra. Senyum nipis Zahra melihatnya. “Maaf kalau kata-kata Zahra agak kasar.” 


“Dalam lembut, ada tegasnya. Azim suka,” Zahra telan liur mendengar kata-kata itu. “Azim doakan Zahra bertemu jodoh dengan orang yang baik-baik, yang dapat terima Zahra seadanya.” 


“Aamiin… Zahra juga doakan Azim cepat-cepat dapat anak. Comel-comel. Macam umi dan abinya.” 


“Alah, mama dan abah la.” 


“Umi dan abi la comel!” 


“Mama dan abah la!”


Mereka ketawa. Perbuatan mereka itu hanya dilihat dari jauh oleh beberapa orang krew yang sedari tadi melihat ulah mereka. 


“Tengok tu, bukan main lagi Zahra dengan Azim tu. Dia lupa ke yang Azim tu dah kahwin? Kalau Saira nampak, macam mana?” 


“Kenapa kalau saya nampak?” satu suara mengejutkan mereka lantas mereka menoleh. Belum sempat mereka berkata apa-apa, Saira nampak suaminya berbual mesra dengan seorang gadis. “Itu Zahra?” 


“Saira, aku…,” Hanisah yang muncul selepas itu terdiam melihat tingkah Saira. Dia senyum sinis. Perlahan dia mendekati wanita itu. “Cemburu ke?” 


“Perlu ke?” 


“Mana la tahu… sebab diorang tu kan pernah bercinta. Siapa boleh agak kalau cinta berputik kembali?” 


“Apa?”


***** 

“Syukri, mak dah masak nasi lemak…,” terhenti bicara Rafidah apabila dilihatnya Syukri sedang bersiap-siap. “Kamu nak ke mana ni?”


“Paksu dah keluar kan?” 


“Ye la. Dia pergi jumpa kawan dia. Kenapa kau tanya?”


“Mak kenal ke siapa kawan paksu tu?” 


“Mana la mak kenal. Paksu kamu mesti banyak kawan. Macam kamu juga,” berkerut dahi Rafidah. “Kamu tak jawab lagi soalan mak. kamu nak ke mana ni?” 


“Cari Zahra.” 


“Buat apa kamu nak cari perempuan tak guna tu?” suara Rafidah sudah bertukar nada. “Kamu dah lupa apa yang dia dah buat kat keluarga kita?” 


“Apa yang dia dah buat?”


“Kenapa la kamu suka buat mak ulang benda yang sama?” Rafidah mengeluh kasar. “Dia penyebab paksu kamu masuk penjara. Paksu kamu tak salah tahu!” 


“Mana mak yakin yang paksu tak bersalah?” 


“Paksu kamu la cakap!” 


“Dan mak percaya cakap dia?” 


“Dia adik mak, takkan la mak tak percaya?” tergeleng kepala Syukri mendengar kata-kata Rafidah. “Mak percaya bulat-bulat cakap dia?” 


“Kenapa dengan kamu ni?” 


“Saya sendiri nampak dia ambil dadah, mak. Dia…!” 


“Kamu jangan nak tuduh dia bukan-bukan!” potong Rafidah laju. “Jangan sebab aku tak suka perempuan yang kau sayang sangat tu, kau nak tuduh paksu kau macam tu. Dia keluarga kau!” 


“Mak…,” Syukri sudah mati kata. Rafidah tersenyum puas. “Aku tak izinkan kau jumpa perempuan tu. Sampai mati pun, aku takkan maafkan dia. Sebab dia, adik aku masuk penjara.” 


“Paksu masuk penjara sebab Syukri, mak!” 


“Apa?” ternganga Rafidah mendengar kenyataan Syukri itu. “Kamu jangan nak tipu mak. Jangan sebab perempuan tu….!” 


“Syukri yang buat laporan polis. Syukri yang bawa Zahra, Syukri yang heret paksu ke balai polis,” nada suara Syukri merendah apabila melihat reaksi Rafidah. “Syukri nampak, dia dalam pengaruh dadah masa semua tu berlaku.” 


“Mak tak percaya…” 


“Siapa yang mak lebih percaya? Adik sendiri, atau anak sendiri?” tanya Syukri. “Paksu sendiri tak pernah betah di rumah, mak boleh yakin yang dia takkan buat benda tak elok kat rumah?”


“Tapi kenapa…” 


“Zahra yang minta supaya benda ni dirahsiakan, bila tengok mak mengamuk dengan dia,” suara Syukri bergetar apabila mengingatkan hal itu. “Dia putuskan hubungan kami bukan sebab ugutan mak. Tapi sebab dia tak nak Syukri jadi anak derhaka.” 


Rafidah masih diam ketika Syukri selesai bersiap. Nafasnya turun naik. Kenyataan itu terlalu sukar diterima. Syukri capai topi keledar. 


“Syukri dah janji dengan diri sendiri, akan lindungi Zahra walau apapun yang terjadi. Walau dari ahli keluarga sendiri. Kerana undang-undang dan kejahatan, tidak pernah kenal saudara. Syukri pergi dulu.” 


Rafidah masih terduduk di birai katil Syukri ketika motosikal lelaki itu menderum kuat meninggalkan kawasan rumah itu. 


***** 

“Zahra berhubungan kembali dengan Azim. Ada harapan la mereka kembali bercinta,” 


“Kesian kat Saira, baru je kahwin dengan Azim tu. Dah diuji begini.” 


“Yang Azim pun satu, kalau masih tak boleh lupakan Zahra, kenapa kahwin dengan Saira?” 


“Zahra pun salah juga, Dah tahu Azim dah kahwin, pergi layan juga tu kenapa?” 


“Betul la kan. Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.” 


“Hanisah,” suara Zahra kedengaran membuatkan mereka yang lain bertempiaran lari menyelamatkan diri. Tinggal Hanisah di situ terkulat-kulat memandang Zahra. “Ya?” 


“Kau yang bawa cerita tentang aku dan Azim?” mendatar nada suara Zahra bertanya. Hanisah telan liur. “Benda betul kan?” 


“Benda tu tak betul langsung,” 


“Mana yang tak betulnya?” 


“Tentang aku dan Azim kembali bercinta,” jawab Zahra. Hanisah larikan pandangannya ke tempat lain. “Kenapa kau buat macam tu? Apa yang kau dapat?” 


“Tak ada apa-apa pun,” Hanisah angkat bahu. “Aku kesiankan Saira. Itu je.”


“Dengan menyebarkan cerita tak betul?” tanya Zahra lagi. “Kalau betul pun, itu ghibah. Kalau salah, itu fitnah. Kedua-duanya berdosa, Hanisah. Kau suka kumpul dosa ke apa?” 


“Habis tu, kau bukan main mesra lagi dengan Azim tu.” 


“Aku berhubungan dengan dia atas dasar kerja!” suara Zahra semakin tegas. “Aku tak pernah berlebih-lebih bila berurusan. Kalau kau nampak kami bergelak ketawa, bukan hanya dengan dia. Dengan yang lain pun, kita bergurau senda.” 


“Mana la aku tahu…..” 


“Sebab tu Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: ‘Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam…’,” Zahra hela nafas dalam-dalam. “Ada ustaz pernah cakap, fokus pada benda yang kamu tahu, jangan sibuk bercerita tentang apa yang kamu tidak tahu.” 


“Maaf la…,” 


“Tak payah nak minta maaf dengan aku. Sebab aku tak pernah simpan dalam hati,” nada suara Zahra kembali kendur. “Minta maaf dengan Saira. Sebab mulut kau, hatinya terluka. Saira…”


Terkejut Hanisah apabila dia menoleh dan mendapati Azim dan Saira berada di belakangnya. Wajah Saira keruh memandangnya. “Saira…” 


“Aku tak sangka kau sanggup lagakan kami. Hubungan kami suami isteri baik saja dengan Zahra sebelum ni. Sebab mulut kau, aku dah berburuk sangka dengan dia!” 


“Maafkan aku, Saira…,” Hanisah sudah melutut di hadapan Saira, merayu. “Aku cemburu dengan hubungan kalian. Jadi bila ada ruang, aku tak lepaskan.” 


“Macam mana, abang?’ tanya Saira sambil memandang ke arah suaminya. Azim senyum. “Maafkanlah. Itu lebih baik.” 


“Terima kasih!” Hanisah bangkit dan terus berlalu pergi. Saira pandang wajah Zahra, meminta penjelasan atas tindakan Hanisah. Zahra hela nafas halus. “Dia malu dengan apa yang berlaku kot. Berilah dia masa.” 


“Baiklah. Zahra…,” Saira gapai tangan gadis itu lembut. “Maafkan saya sebab berburuk sangka.” 


“Tak apa. Saya juga nak minta maaf. Mungkin tindak tanduk kami juga mengundang cakap-cakap macam tu. Siapa tahu, kan?” 


Saira senyum. Dia pandang Azim. Tangan lelaki itu dicium lembut. “Saya minta maaf, abang.” 


“Kau memang tak pernah berubah, Zahra,” satu suara garau menarik perhatian mereka. Berubah air muka Zahra melihat lelaki itu. 


“Kau?” 


***** 

“Jadi kau bagitahu mak kau perkara yang sebenar? Begitu?” tanya Zahra. Syukri hanya menganggukkan kepala. Zahra menghela nafas halus.


“Kau marah?” 


“Benda dah jadi. Nak buat macam mana,” balas Zahra. “Tapi mesti mak kau kecewa.” 


“Aku lagi kecewa dengan dia,” ujar Syukri membuatkan Zahra menoleh laju. “Aku tahu yang dia tahu Khabir ambil dadah. Tapi dia tutup mata. Kenapa? Sebab itulah keluarganya. Itu satu-satunya adik yang dia ada.” 


Suasana hening seketika. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Syukri perasan kelibat Hanisah sedng mengintai pergerakan mereka. “Perempuan tu macam masih belum insaf lagi.” 


“Biarlah dia.” 


“Diorang tak tahu apa-apa pasal aku ke?” 


“Dengan perangai diorang yang macam tu, kau rasa aku nak ke bercerita?” Syukri ketawa mendengar jawapan Zahra. “Fahamlah aku sekarang. Ini bukan kali pertama.” 


“Forgive, not forget.” 


“Lelaki tu, Azim?” Syukri mengubah topik perbualan. Zahra angguk. “Dan di sebelahnya adalah Saira, isterinya?” 


“Kejap, biar aku teka. Dia tak tahu apa yang berlaku pada kau dulu, kan? Sebab tu kau putuskan hubungan kau dengan dia?” 


“Dia tahu.” 


“Tapi baru-baru ni je, kan?” 


“Ada perbezaan ke?” 


“Ada,” Syukri cebik bibir. “Kalau kau bagitahu dia masa mula-mula dulu, mungkin dia akan terima kau. Mungkin kau yang akan jadi isteri dia, bukan Saira tu.” 


“Tak ada jodoh, nak buat macam mana.” 


“Itu ajelah ayat kau dari dulu. Tak ada jodoh, tak ada jodoh,” Syukri membetulkan duduknya. “Ke sebenarnya kau trauma dengan apa yang berlaku?“


“Mungkin,” Zahra senget bibir. Tiba-tiba matanya berkaca. 


“Bertahun aku cuba lupakan. Tapi tak boleh. Tiap-tiap malam aku mimpi buruk, sampai aku tak boleh tidur. Walaupun dia kat dalam penjara, aku masih rasakan yang dia ada di sekitar aku. Kalaulah kau tahu betapa takutnya aku masa tu…” 


Syukri hanya diam, memberi ruang untuk Zahra meluahkan perasaannya. “Dan sekarang, dia muncul kembali. Aku jadi lebih takut. Tapi aku tak boleh tunjuk kat diorang tu. Sebab aku tahu, kalau aku tunjuk, aku akan kalah. Hakikatnya…”


“Aku ada kat sini sekarang, kan? Aku akan lindungi kau,” pujuk Syukri. Zahra senyum lalu sapu air mata. "Kalau aku ke tandas pun kau nak ikut ke?" 


"Memang tak la!" Syukri ketawa besar. "Aku temankan kau sampai ke depan pintu je. Boleh?" 


"Depan pintu, boleh," jawab Zahra. Mereka kemudian berjalan beriringan. Syukri berhenti di hadapan tandas wanita manakala Zahra terus masuk. 


Langsung Syukri tidak sedar Khabir sedang menghampiri mereka… 


***** 

“Zahra,” terhenti lincah tangannya di sinki apabila mendengar suara garau itu. Pantas dia menoleh. Bagai terhenti degup jantungnya apabila melihat sesusuk tubuh yang berdiri menghadapnya. “Khabir?” 


“Ya, aku,” Khabir membuka purdah yang dipakainya. Wajah Zahra pucat tidak berdarah. Dia ingin menjerit meminta tolong, namun suaranya tidak terkeluar. 


Khabir senyum sinis. “Takut?” Terkejut bila aku muncul depan kau?” 


“Apa yang kau nak?” 


“Kau lupa, apa yang aku cakap malam tu?” mata Zahra membesar. Pertemuan mereka tempoh hari terimbas di ruang mata. “Aku tak puas lagi dengan kau, Zahra.” 


“Kau memang dah gila!” 


“Cakaplah apa yang kau nak cakap. Yang penting, aku dapat apa yang aku nak,” perlahan, Khabir mendekati Zahra. Saat itu, Zahra merasakan kakinya semakin lemah. “Tolong… hmph!” 


Zahra meronta kuat apabila Khabir menekup mulutnya dengan kain. Rontaan semakin lama semakin lemah. Khabir ketawa kecil. 


Saat Zahra sudah tidak sedarkan diri, Khabir menutup tubuhnya dengan kain hitam. Dia memakai kembali purdahnya lalu tubuh Zahra dipikul di bahu. Selesai, Khabir melangkah keluar dari tandas itu. 


Syukri hanya memandang sekali lalu apabila seorang wanita berpurdah melintasinya sambil memikul sesuatu. Namun sebentar kemudian dia tersedar. Sepasang kaki yang terjuntai di badan wanita itu menarik perhatiannya. “Kaki?” 


“Tolong! Penculikan! Wanita berpurdah tu nak bawa lari Zahra!” terdengar suara hanisah dari dalam tandas. Syukri mendengus marah. Dalam kepalanya hanya ada satu nama. Khabir! 


Mendengar jeritan itu, Khabir mempercepatkan langkahnya. Namun terhenti apabila Saira muncul di hadapannya sambil mendepangkan tangan. “Nak lari ke mana?” 


“Bukan urusan kau!” satu tendangan hinggap di perut membuatkan Saira jatuh tersungkur. Dia mengerang kesakitan. 


Azim yang melihat tidak tunggu lama. Kaki Zahra yang terjuntai ditarik kuat, membuatkan gadis itu terjelepuk ke lantai. Azim terus memasang kuda-kuda, bersiap untuk menghadapi serangan seterusnya. 


Khabir sudah naik gila. Tinggi tangannya mengepal penumbuk. Namun belum sempat dia menyentuh Azim, Syukri pantas menahannya dan mengilas tangannya ke belakang membuatkan Khabir menjerit kesakitan. Belakang lutut Khabir ditendang kuat membuatkan dia jatuh terduduk. 


“Kau tak serik-serik lagi, kan?” 


Khabir ketawa. “Mak kau tetap akan bela aku, Syukri. dan benci perempuan tu. Apa yang kau boleh buat? Tak ada apa-apa!” 


“Sumbat dia ke dalam penjara, Syukri!” terdengar suara rafidah membuatkan semua mata tertumpu ke arahnya. Mati tawa Khabir. “Kak long?” 


“Selama ni aku percaya kat kau, Khabir. Apa orang cakap semua aku pekakkan telinga. Aku benci orang yang masukkan kau ke penjara. Ini yang kau balas kat aku?” suara Rafidah bergetar hebat. 


“Kak long…” 


“Buat laporan polis, Syukri. Sumbat dia ke dalam penjara. Aku dah tak ambil peduli dah dia ni. Buat malu aku je,” arah Rafidah. Syukri hanya mengangguk sambil mengemaskan pegangannya terhadap Khabir. Sebentar kemudian, Azim datang membawa tali untuk mengikatnya. 


Rafidah memandang sayu ke arah Zahra yang masih belum sedarkan diri sambil dipangku oleh Saira yang sedang menahan kesakitan. 


***** 

“Terima kasih Saira, sebab selamatkan aku,” Zahra bersuara perlahan ketika wanita itu menziarahinya di hospital. 


“Tak ada apalah. Kau dah selamatkan rumahtangga aku, apa salahnya aku selamatkan kau pula,” Jawab Saira sambil tersenyum. “Hanisah pun memainkan peranan juga.” 


“Ya,” sahut Zahra. “Dia ada datang tadi.” 


“Berapa lama lagi kau kena duduk kat sini?” 


“Doktor nak pantau keadaan aku lagi. Dalam dua tiga hari lagi kot,” beritahu Zahra. “Kau macam mana? Okey tak?” 


“Okey je,” Saira usap perutnya perlahan. “Anak aku pun okey lagi.” 


“Anak?” buntang mata Zahra mendengarnya. “Tahniah!” 


“Alhamdulilah, terima kasih,” Saira senyum bahagia. “Ada hikmah di sebalik yang berlaku. Cuma aku berharap anak aku kuat. Ye la, belum lahir dah kena tendang.” 


Zahra ketawa kecil. “Maafkan aunty, sayang. Sebab aunty, awak kena tendang.” 


Mereka terus berbual mesra sehingga Azim muncul di muka pintu. Saira bangun lalu mendapatkan suaminya. “Saya tunggu abang di luar, ya.” 


Azim terkejut. “Sayang?” 


“Saya bagi abang berbual sekejap je dengan Zahra,” bisik Saira, lembut. Terharu Azim mendengarnya. “Terima kasih, sayang.” 


“Zahra okey?” tanya Azim sebaik sahaja Saira keluar dari bilik itu. Zahra senyum lalu menganggukkan kepala. 


“Tak sangka Khabir sanggup buat macam tu kat Zahra,” ujar Azim. “Di tempat terbuka pula tu.” 


Zahra menghela nafas berat. “Azim ada buat laporan polis pasal dia serang Saira?” 


“Sudah.” 


“Baguslah,” Zahra buang pandang ke luar tingkap. Suasana hening seketika. 


“Zahra.” 


“Ya?”


“Syukri tu, baik orangnya, kan?”


“Dia cinta pertama Zahra, Azim.” 


“Cinta pertama, sukar dilupa,” Azim mengangguk. faham. “Azim doakan semoga jodoh Zahra kuat dengan dia.” 


“Eh?” 


“Azim boleh nampak, dia cintakan Zahra,” sambung Azim lagi. “Azim nak Zahra bahagia, macam mana Zahra selalu doakan Azim.” 


Zahra diam. 


“Antara kita mungkin tak ada jodoh. Tapi kita masih boleh berkawan, kan?” Azim senyum. Puas hatinya dapat meluahkan segalanya.


“Azim pergi dulu. Saira mengidam pizza,” Azim terus keluar dari bilik itu tanpa menoleh ke belakang lagi. Zahra terkedu. Lama kemudian dia berbisik sendiri. “Terima kasih, Azim.” 


Syukri masuk ke bilik itu tidak lama kemudian. “Kau okey?” 


Zahra senyum senget. “Tengok muka kau, aku terus sakit balik.” 


“Pulak…,” Syukri tepuk dahi. “Ada orang nak jumpa kau ni.” 


“Siapa?” 


“Mak ni,” Zahra tergamam apabila mendengar suara Rafidah di belakang Syukri. Dia telah liur. Dia pandang Syukri yang kemudian menganggukkan kepala. 


“Ma… masuklah,” pelawa Zahra takut-takut. Rafidah senyum pahit sambil menghampiri Zahra. Ubun-ubun gadis itu dielus lembut. 


“Keluar hospital nanti, tinggal dengan mak ya.” 


“Hah?” 


“Bagi mak peluang untuk tebus segala kesilapan mak,” tangan Zahra digenggam erat. “Mak minta maaf sebab tak percayakan kamu berdua.” 


Mata Zahra berkaca. Lambat-lambat dia menjawab, “Mak tak salah apapun dengan saya. Semuanya saya dah maafkan.” 


“Zahra… kahwin dengan Syukri, ya?” terkejut mereka berdua mendengar kata-kata itu. Mereka berpandangan sesama sendiri. Tanpa kata, Syukri kata putus. 


“Boleh ya?” 


“Insya Allah, mak.” 


“Alhamdulilah….” 


TAMAT